Friday, April 13, 2012

Sayang...Bahagiakah Kita?

Sepasang suami isteri sedang menaiki basikal pada suatu petang. Suami di hadapan, manakala isterinya membonceng di belakang. Mereka melalui jalan berhadapan sebuah vila. Kebetulan di halaman vila tersebut sedang duduk pemilik dan isterinya sambil santai-santai minum petang.
Tiba-tiba pandangan kedua-dua pasangan suami isteri itu bertembung. Pasangan suami isteri yang sedang bersantai di halaman vila merenung pasangan suami isteri yang sedang berbasikal melalui hadapan vilanya.
Walaupun hanya seketika berpandangan tetapi hati mereka sempat berbicara...
"Alangkah bahagianya mereka," bicara hati suami yang sedang menunggang basikal. "Rumah besar, duduk bersantai pula dengan menikmati makanan yang enak-enak. Isterinya cantik, kereta besar..."
Apa pula bicara hati suami yang sedang duduk bersantai di halaman vilanya?
"Oh, romantik sungguh kedua-dua suami isteri itu. Isterinya memeluk erat di belakang. Alangkah bertuahnya mendapat seorang isteri yang disayangi. Tidak seperti aku, sekalipun mempunyai harta yang melimpah ruah tetapi aku tidak bahagia seperti mereka..." begitulah bisik hati si suami kaya itu.
Justeru, siapakah antara kedua-dua mereka yang bahagia apabila masing-masing merasakan orang lain yang lebih bahagia? Apa ukuran sebuah rumah tangga yang bahagia? Mempunyai segala kekayaan dan kemewahan hidup? Rumah besar, perabot mahal dan kereta berjenama, itukah petanda rumah tangga yang bahagia?

Jika itulah petanda bahagia, tentu sahaja rumah tangga Rasulullah dan isteri-isterinya tidak bahagia. Betapa sejarah telah menukilkan sering kali dapur rumah Rasulullah tidak berasap kerana tidak ada makanan untuk dimasak. Alas tempat tidur Rasulullah sangat kasar sehingga berbekas di belakang Baginda apabila tidur di atasnya.
Namun, rumah tangga Rasulullah s.a.w. itulah yang paling bahagia dan hingga kini menjadi contoh teladan untuk kita ikuti.
Apa sebenarnya bahagia itu? Hakikat­nya ramai manusia masih tertanya-tanya dan teraba-raba tentangnya. Yang miskin berasa bahagia itu pada kekayaan. Namun apabila dia mencapai kekayaan, ada yang lain pula disangkanya bahagia, lalu itulah pula yang diburunya untuk mendapat bahagia.
Bagi orang yang sakit, sihat itu bahagia. Sebaliknya pada yang sihat, itu bukan bahagia. Buktinya betapa ramai orang yang sihat tubuh badan tetapi muram jiwanya.
Bagi orang biasa, ternama dan termasyhur itu bahagia. Anehnya ramai pula orang ternama yang menyamar dan ingin lari daripada paparazi kerana benci akan publisiti.
Bahagia Itu dari Hati yang Tenang
Jadi apa bahagia sebenarnya? Bahagia itu bukan dari luar ke dalam, sebaliknya dari dalam ke luar. Maksudnya, harta, nama dan lain-lain perkara berbentuk kebendaan dan luaran bukan penyumbang kepada kebahagiaan seorang manusia. Bahagia itu datang dari dalam diri dan sesuatu yang maknawi sifatnya.
Untuk menangani sesuatu yang berasal atau berpunca dari dalam diri, manusia tidak boleh bergantung kepada dirinya semata-mata. Manusia harus bergantung kepada Allah, Penciptanya Yang Maha Mengetahui. Soal dalaman ialah soal hati atau roh. Itu sangat sedikit diketahui oleh manusia. Untuk mengetahui rahsia bahagia, manusia perlu kembali kepada Penciptanya (Allah).
Bahagia itu datang dari hati yang tenang. Hati yang tenang terhasil daripada sering mengingati Allah. Dalam al-Quran Allah mengingatkan hanya dengan mengingati-Nya hati akan menjadi tenang. Firman Allah yang bermaksud: "Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang." (Surah al-Ra'd 13: 28)
Dengan berzikir hati menjadi tenang dan dengan ketenangan hati itulah ter­ciptanya kebahagiaan pada diri seseorang. Itulah resipi kebahagiaan dari segi ilmiah­nya. Namun bagaimana pelaksanaannya?
Saya pernah mendengar kisah benar yang diceritakan oleh seorang bekas mufti tentang pengaduan seorang suri rumah tentang kebengisan suaminya. Bayangkan, suaminya "kaki masjid", kuat berzikir dan memakai serban serta jubah. Namun anehnya, suami itu sangat garang dan ganas. Pantang salah sedikit, isterinya akan diherdik, ditampar malah ditendangnya.
Lalu kita tertanya-tanya, mengapa suami yang kuat berzikir itu jadi begitu? Mengapa zikir yang ditegaskan sebagai sumber ketenangan itu gagal memberikan ketenangan kepada suami yang pemarah itu?
Lalu kita bertanya, bagaimana faktor zikrullah (mengingati Allah) ini dapat dipraktikkan dalam rumah tangga agar rumah tangga itu benar-benar mendapat ketenangan dan seterusnya kebahagiaan? Apakah suami, isteri dan seluruh anggota keluarga perlu berzikir sahaja sepanjang masa? Atau mengapa setelah zikir dipraktikkan, rumah tangga masih tidak tenang-tenang juga? Di mana salahnya?
Ada sepasang suami isteri yang meng­hadapi masalah dalam rumah tangga. Isteri keletihan menguruskan anak-anak yang masih kecil manakala suaminya pula keletihan bekerja untuk menyara ekonomi keluarga. Mereka sama-sama letih. Setelah mendengar cerita bagaimana Siti Fatimah dan Sayidina Ali mendapat kekuatan daripada berzikir dengan kalimah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar, mereka pun terus mengamalkannya. Sayangnya, mereka tidak mendapat ketenangan seperti yang dialami oleh Siti Fatimah dan Sayidina Ali.
Zikir sudah sama tetapi kenapa kesan pada hati berbeza? Sekali lagi, di mana salahnya?
Zikir itu bukanlah sekadar menyebut-nyebut kalimah zikir tetapi yang lebih penting menghayatinya dengan hati dan mempraktikkannya dengan perbuatan. Oleh sebab itu, zikir itu terbahagi kepada tiga dimensi – lidah (qauli), hati (qalbi) dan perbuatan (fi'li). Inilah yang hendak dipraktikkan oleh suami isteri agar rumah tangga bahagia.
Zikir pada lidah, ramai yang sudah tahu. Yakni lidah menyebut-nyebut kalimah zikir sama ada semasa solat, selepas solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Dalam sebuah rumah tangga, perlu ada program zikir secara rasmi dan tidak rasmi agar seluruh anggota keluarga berzikir sama ada secara berjemaah ataupun individu. Seelok-eloknya setiap keluarga ada amalan-amalan zikir yang khusus dan diamalkan secara istiqamah. Pilih sahaja sama ada al-Ma'thurat, Manzil atau zikir-zikir warisan keluarga yang berasal daripada tarekat-tarekat yang muktabar. Atau ambil sahaja daripada zikir-zikir yang telah terbukti autentik daripada petikan ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.
Tidak cukup sekadar "membaca" atau "menyebut" kalimah zikir, tetapi paling utama mesti dihayati maknanya. Jika Subhanallah, ertinya Maha Suci Allah. Apa maksud Maha Suci Allah itu? Allah suci daripada segala kekurangan, kelemahan dan lain-lain sifat negatif sama ada dari segi zat, sifat, perbuatan dan nama-nama-Nya. Allah itu juga suci daripada segala sifat buruk, hodoh dan seumpamanya. Berlawanan dengan makhluk-Nya yang serba-serbi lemah, kurang dan hina.
Untuk menghayati zikir Subhanallah, seseorang mesti memahami makna dan pengertiannya. Untuk mengetahui dan memahami, seseorang mesti belajar. Setelah itu barulah erti Subhanallah itu dibawa dalam kehidupan dalam bentuk penghayatan apabila bertemu dengan pelbagai insiden dalam rumah tangga. Katakan "Subhanallah" apabila Allah disifatkan dengan sesuatu yang negatif atau apabila berlaku sesuatu yang di luar dugaan sama ada buruk atau baik, suka atau duka, untung atau rugi dalam rumah tangga kita.
Tidak cukup dihayati sahaja, tetapi praktik "Subhanallah" itu hendaklah diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Segala tindakan sama ada oleh suami atau isteri mestilah mencerminkan mereka benar-benar menyucikan Allah. Orang yang benar-benar menyucikan Allah tidak akan marah-marah, mengherdik apalagi memukul pasangannya. Adakah mereka berani berbuat demikian jika mereka merasakan yang suci, yang hebat dan kuat hanya Allah? Orang yang marah-marah, bengis dan mudah naik angin boleh dianggap tidak menyucikan Allah dalam kehidupannya sebaliknya dia "menyucikan" dirinya sendiri.
Ya, kebahagiaan itu datang daripada ketenangan. Ketenangan itu pula datang daripada zikir. Namun bukan semua zikir menghasilkan ketenangan. Zikir yang menghasilkan ketenangan hanyalah zikir yang diamalkan secara bersepadu antara lidah, hati dan anggota. Hanya zikir yang bersepadu itu yang memberi ketenangan pada hati untuk menghadapi pelbagai pancaroba dalam hidup.
Hati yang tenang akan bersyukur apa­bila menerima nikmat, sabar apabila ditimpa musibah, rela mem­beri maaf apabila dipinta, mudah meminta maaf apabila bersalah, qanaah dengan rezeki yang ada, tawakal apabila berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dan manusia.
Mengapa dengan berzikir hati akan memiliki sifat-sifat baik ini?

Thursday, April 5, 2012

Memahami Perubahan Anak-anak dan Beberapa Persediaan Untuk Menghadapinya (Siri 1)

Tanpa disedari, anda mungkin termasuk di kalangan ibubapa yang tidak benar-benar bersedia menghadapi perubahan diri dan perkembangan anak-anak.
Anak yang dulunya anda dakap buat kali pertama untuk diazankan, rupa-rupanya begitu cepat berubah dan membesar. Anda tentu masih dapat membayangkan perubahan anak anda iaitu daripada seorang bayi yang hanya tahu tidur dan menghisap susu, dia mula belajar bertatih dan berjalan, selepas itu tahu berkata-kata, dan kemudian pandai meminta itu dan ini.
Anda tentu masih ingat hari pertama menghantarnya ke sekolah rendah, kemudian membantunya menghadapi UPSR. Kemudiannya anda melihat dia membesar ketika di sekolah menengah dan seterusnya di pusat pengajian tinggi.
Hari ini mungkin dia sudah semakin besar dan mampu memandu kereta untuk pulang ke kampung anda. Rupa-rupanya bayi yang asalnya kecil itu telah membesar begitu cepat menjadi seorang remaja yang hebat, sehingga anda merasakan rindu untuk kembali mendokongnya sebagai bayi dan bermain-main dengannya seperti dulu.
Satu kehilangan?
Itulah hakikat fasa perubahan manusia yang perlu diakui oleh kita semua. Sesetengah ibu bapa melihat perubahan yang berlaku kepada anak-anak ini sebagai 'kehilangan' yang berlaku secara sedikit demi sedikit.

Mereka melihat, semakin anak itu membesar, semakin sedikitlah masa yang dapat diluangkan bersama-sama. Semakin anak itu membesar, semakin susah anak itu menerima pendapat dan arahannya. Semakin anak itu membesar, semakin sedikitlah peluang mereka dapat bermain-main dan bermesra dengan anak-anak. Itulah yang mereka rungsingkan.
Akibatnya, mereka secara tidak sedari cenderung untuk menafikan hakikat bahawa anak-anak mereka semakin membesar dari sehari ke sehari. Serta tidak bersedia menyesuaikan pendidikan anak-anak dengan tumbesaran mereka.
Bagi ibu bapa ini, mereka perlu difahamkan bahawa setiap perubahan dan perkembangan pada diri anak-anak adalah ketetapan Allah SWT.
Dia telah menjadikan manusia berubah-ubah mengikut fasa usia masing-masing. Allah berfirman, maksudnya: "Allah adalah yang telah menjadikan kamu dalam (keadaan) lemah, kemudian memberikan kamu kekuatan selepas keadaan lemah, kemudian menjadikan selepas kekuatan, keadaan lemah dan rambut beruban. Dia menjadikan apa yang Dia inginkan. Dan Dialah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa." (Surah Al-Rum, ayat 54)
Allahlah yang sebenarnya berperanan mengubah kejadian manusia ini dari kecil dan lemah hingga besar dan kuat, kemudian kembali menjadi lemah dan tidak berdaya. Peranan ibubapa pula adalah untuk memahami perubahan ini dan bersedia untuk mengadaptasi peranan mereka sebagai ibubapa sesuai dengan perkembangan fizikal, emosi, daya fikir dan jiwa anak-anak.
Pedoman Nabawi
Keperluan mendidik anak-anak mengikut perkembangan usia mereka adalah satu prinsip yang ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW. Baginda memberikan gambaran melalui pendidikan solat yang merupakan pendidikan amali yang terpenting bagi seorang muslim. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat bila dia berumur tujuh tahun, dan pukullah dia jika enggan solat bila berumur sepuluh tahun, dan pisahkan antara anak-anak lelaki dan perempuan (bila mencecah umur sepuluh tahun)."
Secara umumnya arahan Baginda SAW itu menunjukkan bahawa umur tujuh tahun adalah umur yang sesuai untuk memulakan pembelajaran yang serius. Umur sepuluh tahun pula digambarkan sebagai umur yang sesuai untuk mendisiplinkan anak-anak dengan peraturan agama dan kehidupan. Kita diajar bahawa pada umur sepuluh tahun inilah anak-anak baru bersedia untuk dihukum melalui pukulan.
Baginda juga menggambarkan bahawa pada umur sepuluh tahun ini langkah pencegahan kecurangan dan maksiat perlu dilaksanakan. Rasa ingin tahu anak-anak yang sedang membesar itu boleh membawa kepunahan jika ibu bapa tidak menyediakan sempadan dan sekatan. Sebab itulah Baginda bertegas agar anak-anak dipisahkan tempat tidur bila mencapai usia ini.
Arahan Junjungan Nabi ini menunjukkan betapa pentingnya ibu bapa peka dengan perkembangan usia anak-anak. Terdapat empat bentuk perubahan pada diri anak-anak yang kadang-kadang kurang diberikan perhatian oleh ibubapa.
Berikut adalah empat aspek perubahan anak-anak yang memerlukan keprihatinan ibu bapa.
4 aspek perubahan yang perlu diberikan perhatian:
Perubahan dari sudut pergantungan  memerlukan perubahan kawalan ibubapa
Perubahan dari sudut kecenderungan memerlukan perubahan pendekatan mendidik
Perubahan dari sudut daya fikir memerlukan perubahan dalam komunikasi
Perubahan dari sudut pergaulan sosial memerlukan perubahan dalam berkongsi kasih
Dalam ruangan ini kami persembahkan dahulu gambaran umum persoalan perubahan anak-anak dan bagaimana menanganinya. Insyaallah dalam catatan akan datang kami akan membincangkan ssatu per satu empat aspek perubahan anak dan bagaimana menanganinya.
Selamat mendidik anak-anak.

Tuesday, April 3, 2012

Lelaki-Lelaki dan Bengkel Besi - Sebuah Cerpen

Dia bertanya, "Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?"
Untuk soalan itu, saya sering termangu-mangu sendiri. Tidak banyak tempat yang saya benar-benar tersenyum daripada hati, tetapi setidak-tidaknya saya masih tersenyum, dan pada ketika itu, saya ditanyakan lagi satu soalan oleh lelaki tua itu, soalan yang membuatkan termangu saya menjadi menungan yang panjang.
Lelaki dan bengkel besi
Saya adalah lelaki yang hidupnya kasar, sangat kasar sehingga pernah saya diberitahu, lembut embun pagi pun enggan singgah pada tubuh saya. Tidak tahu saya, mengapa kata-kata begitu dilemparkan kepada saya, tetapi untuk setiap kata-kata yang datang kepada saya, saya yakin ia bukan kata-kata untuk mengambil hati.
Saya bekerja sebagai pembuat parang, dan katakan parang jenis apa yang kamu mahukan, saya pasti sediakan. Parang panjang, parang bengkok, parang pendek, ataupun parang-parang yang kamu lihat daripada filem Lord of The Ring. Katakan sahaja, saya pasti usahakan.
Untuk kerja itulah saban hari saya bermain dengan panas api, merah besi dan tajamnya denting tukul. Semua itu menjadikan otot saya padat, bersegi-segi dan urat-urat seperti tali yang berselirat pada tubuh saya.

Itulah dunia, apa sahaja yang mampu diterangi matahari, pasti mampu juga dilindungi bayang. Dan pekerjaan itu menjadikan saya, lelaki yang pendiam. Sangat pendiam dan saya hanya berbicara dengan denting-denting besi.
Pada ketika itu hanya denting besi yang mampu menyelongkar rasa bahagia dalam hati saya. Semakin kuat dentingnya semakin saya berasa bahagia. Dan seperti manusia biasa yang lain, saya juga punya kisah di sebalik bahagia yang saya peroleh daripada dengting besi itu. Kisah yang saya tidak pernah ceritakan kepada sesiapa, tetapi tetap diketahui oleh seorang lelaki tua.
Lelaki tua yang lebih hormatnya adalah adik kepada arwah ayah saya.
Bapa saudara.
Hari itu, pada ketika saya sedang peluh sudah membasahi wajah, hanya kerana bagi menempa parang Barrow, lelaki tua itu datang dengan wajah yang tenang. Dengan kopiah lusuh yang hanya hilang pada ketika mandi dan tidur, dengan baju Melayu cekak belanga ungu yang sudah tidak berbutang dan seluar hitam yang sudah nampak kelabu, dia duduk di pangkin, memerhati dengan pandangan orang yang penuh pengalaman hidup.
Dia tidak saya sambut, tidak saya pedulikan kerana saya sangat tahu, setiap kali dia datang, dia hanya datang dengan niat mengubah hati saya. Bukan sekali dua tetapi berkali-kali, namun kali ini, wajahnya sudah seperti nampak pada penghujung sabar, dan saya tahu, saya hanya perlu bersabar sedikit sahaja lagi bagi memastikan, lelaki tua itu tidak akan datang untuk selama-lamanya ke tempat penuh api ini.
"Sampai bila kamu mahu membuat parang?" Itu soalan pertamanya kepada saya.
Parang yang sudah terlihat bentuknya, saya kembali cucuh ke timbunan arang batu yang merah. Panas api itu sama dengan panas soalan daripada lelaki tua itu. Dan panas itu membuat saya hanya diam berdiri.
"Kamu ada ijazah, dan kamu ada pengalaman kerja yang bagus, mengapa kerja yang begini juga yang kamu kejarkan?" Lelaki tua itu terus bertanya dan saya terus diam memerhatikan bilah parang yang kembali merah.
"Sekiranya bengkel besi itu milik kamu, pak cik faham yang kamu mahu berniaga. Tetapi bengkel ini bukan kamu yang punya. Kamu hanya pekerja kepada Ah Chai, dan paling utama pak cik tahu, kamu tidak ada perancangan apa-apa pada kerja kamu ini. Sangat sia-sia ijazah dan pengalaman kerja kamu."
Saya tahu, diam adalah pertahanan terbaik saya. Saya tahu, dengan diam saya ini, lelaki tua itu akan berlalu, dan bagi mempercepatkannya pergi, bilah parang yang merah itu saya ketuk dengan sekuat hati, biar dentingnya menyerang gegendang telinga lelaki tua itu.
Ting! Ting! Ting! Sekuat hati, itu yang saya niatkan. Ting! Ting! Ting!
Dan sekuat hati juga, lelaki tua itu menarik bilah parang yang merah daripada tangan saya, dan terus dicucuhkannya kepada timbunan arang batu yang menyala di hadapan saya.
"Saya tahu mengapa kamu kerja di sini. Kamu bekerja di sini kerana kamu mahu menebus dosa kamu kepada arwah ayah kamu, dengan menyambung pekerjaannya sebagai tukang besi. Tetapi kamu lupa, ayah kamu menyekolahkan kamu, bukan kerana mahu kamu menyambung pekerjaannya ini, tetapi mahu kamu bekerja yang lebih baik! Dan ini bukan caranya kamu menebus salah kamu kerana kamu tidak pernah bersalah, tetapi kamu cuma tidak dapat menerima ujian hidup." Lelaki tua itu mula bersyarah, dan saya masih tidak menyangka lelaki tua itu masih kuat dan mampu merentap bilah parang daripada tangan saya.
"Mengapa kamu diam?" Lelaki tua itu mula keras suaranya.
"Soal hati, sampai bila pun pak cik tidak akan tahu," jawab saya untuk pertama kalinya.
"Berapa kali pak cik mahu katakan, kamu tidak pernah bersalah ke atas kematian ayah kamu. Kamu tidak pernah bersalah sedikit pun. Tetapi sekiranya kamu berasa begitu, apa yang kamu buat ini tidak akan menyembuhkan luka hati kamu. Biar seribu bilah parang pun kamu siapkan, luka hati kamu tidak akan sembuh, dan tidak akan pernah sembuh!" bidas lelaki tua itu.
Atas kerana hormat, biarpun hati saya sudah diserang rasa tidak senang pada kata-kata dan perlakuan lelaki tua itu, saya tetap mencuba tenang dan diam.
"Kamu mahu memberontak kepada Tuhan?" soalnya, dan soalan itu membuatkan saya berpaling buat pertama kali kepada dia.
"Kata Imam Ghazali, "Cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah 'memberontak' kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Dan kamu ini sudah melakukan lebih daripada kebiasaan hidup. Kamu berhenti kerja, kamu berhenti tersenyum, muram, diam, dan malah sudah jarang betul saya melihat kamu solat."
"Saya yang diuji, bukan pak cik. Sekiranya pak cik berada di tempat saya, tidak mungkin pak cik akan berkata begitu," bidas saya geram dengan suara yang ditahan-tahan agar terdengar masih hormat kepada dia..
"Itu memang benar, tetapi apa yang berlaku ke atas diri kita itu adalah perkara kecil, perkara yang lebih besar adalah apa yang terjadi kepada hati kita? Jadi kematian ayah kamu itu bukan soalnya kerana setiap manusia akan mati, tetapi apa yang terjadi kepada hati kamu. Apa yang terjadi? Apa yang jelas, kamu seperti tidak redha dan hati kamu seperti gagal dalam ujian Tuhan. Jangan sesekali hati kamu gagal pada ujian. Kamu mungkin boleh berkali-kali gagal di luar. Gagal pada pelajaran, gagal pada cinta, gagal pada usaha, gagal pada pekerjaan, tetapi jangan... jangan sesekali gagal pada hati. Kerana pada ketika kamu gagal pada hati, kamu akan hanyut pada kesempitan hidup, dan hanyut pada kegagalan," terang lelaki tua itu.
"Gagal saya, tidak akan membawa pak cik iku sama gagal," hujah saya.
"Kamu adalah anak abang saya, dan kamu sudah saya anggap sebagai anak saya sendiri. Jadi, adakah seorang 'ayah' sanggup melihat anaknya 'gagal'? Tidak, saya tidak sesekali sanggup melihat kamu gagal kerana walaupun saya cuma bapa saudara yang miskin, yang belajar tidak tinggi, tetapi sayang saya kepada kamu, tidak kurang daripada sayangnya ayah kamu kepada kamu!"
Entah bagaimana, seketika kata-kata lelaki tua itu seperti air yang disimbah pada hati saya. Seketika, hati saya seperti lumpur keras yang terkena air, dan mula melembut. Saya diam tetapi diam saya kali ini berbeza, diam yang saya tidak tahu entah apa perasaannya.
"Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?" soal dia lagi.
"Senyum itu tidak perlu dikira. Sekiranya dikira juga, kita hanya akan berjumpa dengan lebih banyak tangisan," balas saya lalu tersenyum sinis.
"Kamu hanya akan berjumpa tangisan, apabila kamu tidak berjumpa dengan senyuman pada tempat itu. Sekiranya kamu berjaya senyum pada tempat itu, saya yakin kamu tidak akan lagi begini," jelas dia.
Kata-katanya itu membuatkan saya tertarik untuk lebih tahu, namun saya memilih diam kerana hanya itu perkara terbaik yang mampu saya buat. Pada ketika itu juga, lelaki tua itu mengambil bilah parang yang sudah merah dan menukulnya dengan sekuat-kuat hati. Terbit asap dan percik api, dan ia membuatkan saya semakin tertanya-tanya.
"Rasulullah pernah bersabda, "Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!" Seperti besi yang kamu tempa ini. Adakah besi yang kamu tempa ini sudah sedia bersih? Pasti ia adalah besi hitam, kotor dan penuh karat. Adakah membasuhnya dengan air akan menjadikan besi itu bersih? Tidak mungkin dan hanya dengan api yang mampu membuatkannya bersih, suci dan lembut bagi ditempa menjadi sesuatu yang berguna."
"Apa kena-mengena dengan saya?" soal saya pantas kerana sudah terlalu jauh dia membawa saya.
"Allah 'mendidik' kita secara langsung dengan ujian-ujianNya. Ujian Allah itu bolehlah dikatakan seperti relau yang berisi api itu, dan besi itu adalah diri kita. Besi yang dibersihkan dan dilembutkan oleh api. Itulah ujian Allah bagi mendidik hati kita supaya tahu maknanya syukur, sabar, redha, merendah diri, ikhlas, dan semua perkara-perkara baik. Itulah diri kamu, kamu sekarang sedang berada di dalam relau, tetapi kamu hanya melihat panasnya api, mengapa tidak melihat apa yang akan kamu peroleh sekiranya kamu sudah siap 'ditempa'? Itulah hikmah, tetapi kamu tetap tidak 'siap' kerana kamu enggan melihat hikmahnya."
Saya pantas berkata, "Bagaimana saya mahu melihat diri saya siap ditempa?"
"Dengan tersenyum kepada ujian-ujian Allah. Senyum bukan kerana putus asa, tetapi senyum kerana reda dengan ujian-ujian Allah. Kamu senyum kerana kamu berbaik sangka kepada Allah, dan kamu senyum kerana kamu tahu ujian-ujian Allah hadir kerana kasih sayang-Nya melebih murka-Nya, dan kamu sedar kamu masih ada peluang bagi kembali ke jalan yang benar, jalan yang diredai Allah."
Saya terdiam dan dia menyambung lagi,
"Itulah tempat, yang apabila kamu mampu tersenyum di situ, kamu akan senang untuk tersenyum di mana-manapun. Kamu tidak akan temukan diri kamu menangis selain tangisan kerana taubat kepada Allah. Walaupun saya tahu, saya tidak mungkin menggantikan ayah kamu dalam hati kamu, saya boleh pastikan, saya juga seperti ayah kamu, mendoakan kamu pada setiap kesempatan.  Jadi, saya mohon untuk kali kamu dengarlah kata saya. Kata seorang lelaki tua yang miskin dan bodoh ini."
Dan seperti biasa lelaki tua itu pergi, tetapi kali ini, perasaan saya sudah tidak seperti biasa kerana ada sesuatu yang tersisa pada hati saya, sesuatu yang saya hanya mampu luahkan menjadi tangisan yang panjang.