Sunday, February 7, 2010

Migrain boleh diwarisi

Sakit kepala tiada penawar ini turut dialami kanak-kanak seawal 10 tahun

SEBUT saja migrain, ramai dapat membayangkan betapa azabnya berdepan masalah sakit kepala ini. Apa tidaknya, bukan sekadar kepala yang berdenyut, tetapi mata terasa perit untuk dibuka, pandangan kabur, sukar berdiri dan ada ketikanya seperti hendak pitam. Malah, sakit kepala ini juga boleh menyebabkan mood yang pada awalnya baik, boleh berubah menjadi marah dalam sekelip mata.

Hakikatnya, migrain bukan sekadar sakit kepala. Kerap kali ia dirujuk sebagai masalah neurologi yang biasa menyerang khususnya wanita. Serangan migrain selalunya berlaku pada sebelah bahagian kepala, rasa sakit yang seakan dicengkam, loya, muntah dan sensitif pada cahaya, bunyi, bau malah pergerakan.

Dari segi perubatan, migrain terjadi apabila kombinasi saluran darah yang mengembang dan membebaskan bahan kimia daripada saraf fiber yang melingkari sekitar saluran darah itu. Pembebasan bahan kimia itu menyebabkan radang, rasa sakit dan seterusnya arteri membengkak.

Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Pusrawi Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Dr Zainordin Md Noor, berkata migrain adalah masalah yang biasa ditemui dengan anggaran antara tiga hingga 29 peratus penduduk.

“Kerap kalinya migrain menyerang mereka yang berusia 16 tahun ke atas. Namun, kanak-kanak seawal usia 10 tahun boleh diserang migrain tetapi ia sedikit berbeza,” katanya.

Dr Zainordin berkata, migrain kanak-kanak ini mempunyai simptom seperti muntah atau loya. Ia bagaimanapun tidak membabitkan sakit kepala.

Migrain di kalangan dewasa pula biasanya menyerang pada sebelah kiri atau kanan kepala. Rasa sakitnya pula berbeza-beza bagi setiap pesakit. Ada yang berasa sedikit kesakitan dan tidak kurang yang mengalami rasa sakit keterlaluan.

Bagi sesetengah individu, rasa sakit yang menyerang itu boleh hilang dalam tempoh tiga jam tetapi ada yang perlu menanggung kesakitan sehingga tiga hari lamanya.

Berbanding lelaki, wanita lebih kerap mengalami migrain yang dipercayai berkaitan dengan perubahan hormon, terutama ketika waktu haid. Bagi seorang perempuan yang kerap diserang migrain, serangan itu akan berhenti apabila dia hamil. Namun, migrain kembali menyerang selepas melahirkan anak.

Ramai percaya migrain bukan penyakit yang diwarisi secara genetik. Bagaimanapun jika ada ahli keluarga anda mengalami migrain, anda berkemungkinan turut mengalaminya.

Migrain terbahagi kepada dua jenis

1) Migrain biasa (tanpa aura)

Rasa sakit yang mencengkam dan selalunya pada sebelah kepala saja. Ada kala diikuti dengan rasa sakit perut, hilang selera makan, loya, muntah, sembelit dan cirit birit. Biasanya terjadi pada sembilan daripada 10 pesakit. sensitif pada bau, cahaya dan kebisingan.

2) Migrain klasik (dengan aura)

Sebelum serangan, biasanya pandangan pesakit terganggu dengan gambaran bintang-bintang, cahaya atau garisan bengkang bengkok. Secara puratanya, serangan migrain jenis ini berlaku dalam tempoh 22 jam.

Punca

1) Tekanan - ada kala serangan migrain berlaku akibat komplikasi tekanan. Apabila tekanan hilang, pesakit diserang migrain.

2) Terdedah kepada sinaran lampu, bunyi bising atau kepanasan yang melampau.

3) Tidak cukup tidur atau terlebih tidur.

4) Perubahan hormon.

Pencetus migrain

Jelas Dr Zainordin, ada sesetengah makanan berpotensi menjadi pencetus migrain. Walaupun bukan pada semua orang, tetapi bagi sesetengah pesakit, mereka akan diserang migrain apabila mengambil coklat, keju, buah-buahan sitrus, ais krim atau minuman kafein.

“Ada bezanya antara migrain dengan sakit kepala biasa. Serangan sakit kepala setiap hari adalah sakit kepala biasa. Migrain sebaliknya membabitkan serangan seminggu sekali atau sebulan sekali. Migrain ini biasanya berdenyut dan kesakitannya pada sebelah bahagian kepala saja,” katanya.

Walaupun ada kes pesakit migrain yang mengalami kesakitan pada kedua-dua belah kepala, tetapi ia jarang berlaku.

Migrain tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dielak dengan mengurangkan tekanan, mengelak makanan yang boleh menjadi mencetus serangan. Selain itu jika anda menyedari tanda-tanda awal migrain, ia boleh dicegah dengan mengambil ubat tahan sakit seperti aspirin, paracetemol atau ubat khusus untuk migrain.

Namun, mengambil ubat terlalu kerap tanpa nasihat doktor akan menyebabkan komplikasi penyakit lain seperti gastrik.

Rawatan

Berdasarkan keadaan anda, doktor akan memberi ubat-ubatan yang bersesuaian. Ada pelbagai jenama ubat yang boleh anda beli di pasaran. Bagaimanapun, berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis yang tepat adalah cara paling baik.

Memandangkan ia adalah masalah yang sehingga kini belum dapat ditangani, anda perlu bijak menguruskan migrain, termasuk menjauhi makanan-makanan yang boleh mencetuskan masalah itu selain mengawal tekanan dengan baik.

INFO: Makanan pencetus migrain

  • coklat
  • keju
  • buah-buahan sitrus
  • ais krim
  • minuman kafein

Sibuknya Kamu



Rasulullah s.a.w pernah bersabda,
"Beribadah disaat-saat huru hara, dunia kacau bilau adalah seperti hijrah kepadaku."
(Hadis riwayat Imam Muslim).

Muslim yang mampu beribadah dan menunaikan kewajipan agamanya disaat-saat yang penuh dengan huru-hara dan gangguan daripada segenap penjuru dan mampu mengingati Allah s.w.t disaat-saat orang lain lupa dan disibukkan dengan perkara yang melalaikan.Mereka akan diberikan pahala seperti pahala hijrah yang telah dilalui oleh kaum muhajirin dizaman Rasulullah s.a.w.Inilah hikmah perbezaan zaman.Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang mampu beribadah walaupun dalam keadaan dan suasana yang sangat menyibukkan dan mudah- mudahan kita mendapatkan pahala besar yang telah dijanjikan Allah seperti yan dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w.Hadis ini termasuk dalam kitab yang menerangkan tentang hadis-hadis akhir zaman sedangkan tiada disebut dalam lafaz dan mantan hadis peristiwa tentang akhir zaman ataupun tanda-tanda kiamat.Tetapi pada maknanya inilah kejadian akhir zaman.Kita duduk pada zaman yang terakhir.

Tanda hari kiamat sudah mendekati dunia islam ialah Kelahiran Nabi Muhammad S.a.w itu sendiri.Nabi telah meninggalkan kita sudah 1430 tahun dan kita ini sudah berada di penghujung.Dunia sudah terlalu tua.Dalam keadaan yang penuh dengan huru-hara.Ini terbukti dengan macam-macam kisah jahil dengan niat mengejar dunia,cari makan,cari harta dan sebagainya.Sibuk dengan pemerintahnya,sibuk dengan hal masing-masing ataupun huru- hara dengan makna berlakunya pelbagai maksiat yang tak pernah berlaku dan maksiat yang sudah berlaku semakin bertambah banyak.

Maka dalam keadaan masyarakat hari ini.Masing-masing lupa kepada beribadah kepada Allah.Barangsiapa yang masih lagi sempat meluangkan masa beribadah kepada Allah maka pahala-pahala hijrah.iaitu pahala yang telah didapat oleh golongan muhajirin iaitu sahabat yang telah berpindah dari Mekah ke Madinah.Walaupun tidak sama seperti pahala orang orang muhajirin tetapi pahala hijrah itu maksudnya pahala yang sangat besar disisi Allah s.w.t.

Kenapa pahala yang begitu besar diberi kepada kita oleh Allah s.w.t ?
Kerana pada akhir zaman maksudnya orang semakin lupa untuk beribadah.Ketika orang ramai sibuk beribadah sepertimana zaman Nabi s.a.w.,zaman para sahabat,zaman tabi'in dan zaman solafus soleh.Pada masa ini pahala yang didapati tidak sebanyak pada zaman kita.Apa jua pekerjaan pun kalau ramai orang boleh melakukannya maka bayarannya sedikit sahaja.tetapi bila pekerjaan itu tidak ramai yang boleh melakukannya maka bayarannya akan banyak.

Zaman kita ini ramai yang tidak mencari akhirat tapi bila kita masih lagi mencari maka banyak pahala yang akan diperolehinya.Itulah kelebihannya kerana orang ramai tidak memerlukannya.Terbuktinya sekarang ini masing-masing sibuk.Sibuk sampai tidak sempat pergi ke masjid.Hanya mampu sekali seminggu saja pergi ke masjid iaitu pada hari Jumaat.Kalau tidak hanya pada Solat sunat hari raya sahaja.Sibuk sampai tidak sempat menadah kitab.Orang mengajar hadis ,tidak boleh hadir,orang mengajar tafsir ,tidak boleh mari,orang mengajar feqah ,tidak ada masa,orang mengajar akidah ,ada mesyuarat,Orang mengajar Al-Quran biar jadi lembut lidah,biar jadi sah sembahyang ,ada hal kat pejabat,orang nak beritahu bab taharah,haid,nifas,tayamum,wudhu.tidak diperbolehkan juga.Kenapa? nak sambut menantu an menimang cucu.

Maknanya kita sangat sibuk.Maka zaman orang sibuk ini, barangsiapa yang sempat maka kitalah orang yang terpilih.Manusia hamba Tuhan yan berakal yang diberikan taufik beserta dengan hidayah.Dalam keadaan ramai orang yang lalai maka janganlah kita menjadi lalai.
Dalam surah Al-Ara'f , Allah berfirman ,
"Jangan ada kamu tergolong dalam golongan orang- orang yang lalai".

Kita kena beribadah dalam keadaan ikhlas kepada Allah.Segala perkara yang baik kita niat kerana Allah s.w.t akan menjadi satu ibadah.Memasak kerana Allah, membasuh kereta kerana Allah dan jadikanlah setiap detik dalam ibadah.Hati yang paling utama dalam memimpin manusia itu kepada beribadah kepada Allah.Rasulullah s.a.w bersabda
"Dalam tubuh anak adam itu ada seketul daging,kalau baik daging yang seketul ini maka baiklah keseluruhan tubuhnya,jika buruk seketul daging itu maka buruklah keseluruhannya,ketahuilah olehmu itu ialah hati".

Beruntung kita yang membersihkan hati !

Bagaimana BidadariMu?








“Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah.”


Wanita Ananah:

Wanita yang banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau berpura-pura sakit.

Wanita Mananah:

Wanita yang suka mengungkit-ngungkit terhadap suaminya. Wanita ini sering menyatakan seperti; “Aku membuat itu keranamu”

Wanita Hananah:


Wanita yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

Wanita Hadaqah:


Wanita yang melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah:

1) Wanita yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya.
2) Wanita yang marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Wanita Syadaqah:


Wanita yang banyak bercakap perkara yang lagha dan lagi membisingkan.



Glosari:
1. Lagha : sia-sia

Nota:
*Penghantar artikel ini menyatakan bahawa artikel ini bersumberkan perkara yang dicatatkan oleh Imam Al-Ghazali.

Saturday, February 6, 2010

Seerat Genggaman





“Sampai hati?” Dua patah hanya terungkap.


Renunganku tidak berbalasnya. Kutahu, dia telah membuat keputusan bernoktah. Tiada pujukan dan rayu mampuku sulami perasaan terbitan hati ini. Kini, karangan diariku akan tertulis tarikh tanpa amaran ini. Dia yang kumaksudkan adalah sahabat karibku, Saiful. Ef kebiasaannya.


Malam itu, pertemuan kami berakhir dengan ucapan salamnya tanpa berbalas. Terkilan rasanya jiwa, diri ini kubiarkan melakukan apa hendaknya. Menangis, menjerit, mencaci. Namun tidaklah terduga, sunyi benar perlakuanku. Ibarat pokok yang meraung tatkala dikhianati peribumi, raungan beralaskan sepi.


“Janji eh? Kita sama-sama masuk V”.


Kata yang terkata semasa kita berazam. Hendak belajar bersama agar keputusan PMR mendatang mampu mengulit harapan.


“Tapi kau kenalah tolong aku.. Ye lar.. Aku ni budak kelas keempat. Kau tu top-10 je selalu..” pinta Ef kepadaku.


Dengan senang hati aku setuju dan memberi galakan kepadanya. Bersyukur pada Rabb, ada juga sahabat yang percayakanku. Mungkin hal ini tidaklah sebesar manapun, tetapi Ef menaruh harapan kepadaku. Aku harus menjaga pandangan sahabatku ini. Kerana dialah orang yang pertama mempercayai setiap kebolehanku. Dan juga punca motivasi diri ini untuk terus mendaki gunung-ganang kehidupan merentasi duri fatamorgana dunia.


Perkenalan kita pada tahun lepas telah mengajarku erti persahabtan yang sebenar. Dialah juga yang mengajarku erti kasih palsu yang tidak setaraf meski bayangan cintaNYA. Kubersyukur sungguh pada masa itu. Cebisan paras peribadiku kau mampu ubah. Melarangku memakai gelang dan rantai. Menegahku berseluar pendek dan berT-shirtkan ketat ala indie.


Tidak pernahku jumpa remaja sepelikmu Ef! Hampir setiap pergantian siang kita bersama, mempelajari ilmu bahasa. Memahami ilmu peradaban. Menghayati erti perjuangan terdahulu. Menyokong bahu bersama sepanjang pelayaran selama sebentar itu.


Dipendekkan memori, kau lebih beruntung daripadaku. Kejayaan maksimummu, 8A dan berlatarkan kecemerlangan kokurikulum telah menempa nama di sekolah V. Namun, yang terjadi ke atasku lain seperti apa yang kita impikan. 7A yang kukecapi mengundang sedih berkacakan kesal dan kecewa.


Hari tetap berlalu tanpa membawa tawaran yang dinantikan. Engkau yang bingung hendak berpujangga berusaha menemui diriku selepas pasti aku tidak ditawari apa yang ternanti sedangkan engkau sudah melengkapkan keperluan di asrama nanti. Kuelakkan daripada bersua denganmu. Sedih dan pilu yang menemaniku menghasut diri agar melahirkan perasaan benci padamu kerana telah mungkiri janji kita, “Kita sama-sama masuk V”. Walhal, ianya menekan perasaan jiwaku, kuterus melayani rasa cemburu yang terbit menawan fikiran ini. Panggilan sahutanmu kuendahkan. Deringan di telefon tidak kujawab.


Hakikatnya, aku malu dengan diri sendiri dan daripadamu, aku berusaha menyorokkan diri. Meski hati yang mengenali erti sahabat meronta dan merayu agar ego diri tertunduk, tubuhku yang lain kuat memberontak.







Pada malamnya gemerlipan menasihatiku agar menghargai hubungan kita. Aku pasrah sujud pada Yang Mendengar. Memohon secebis kekuatan untuk memahami hikmahNYA yang tersembunyi. Entah mengapa, semenjak belaian syaitan berkala nafsu berjaya menembusi benteng imanku yang kian lemah, solatku tidak dapat kurasakan kehadiran ini diterimaNYA.


Namun, pada malam ini, linangan air mata syahdu tidak mampuku pujuk lagi. PadaNYA aku meluahkan segala di dalam kesunyian. Tangisan dan rintihanku biasanya akan disambuti Ef dengan tulusnya sebelum ini. Pada saat yang berlalu, barulah aku sedar. Sepanjang langkahku adalah untuk menunjuk-nunjuk kepada mata yang melihat. Ikhlas di hati semestinya telah lama pudar. Kesalahanku sejak nawaitu tidak betul. Dan untuk mengubati hati yang tertewas, kau aku salahkan. Astaghfirullahal ‘Azim! Mahalnya harga kesedaran itu. Ya Allah!!


Selesai sahaja solat ‘Isya’ itu, aku terus meminta izin kedua-dua insan yang kukasihi, untuk menemui Ef yang bakal bertolak lagi seminggu. Sebaknya hatiku sepanjang perjalanan ke rumahnya. Ayah yang dari tadi hanya mengingatkanku akan kasih Ilahi. Tak putus-putus menjaga diriku. Terima kasih ayah!


“Ef”!! “Ef!!!” jeritku sesudah kujejak hadapan rumahnya.


Kelihatan tubuh yang aku kenali, seorang insan bergelar sahabat membuka pintu. Wajahnya kunampak mengukir senyuman yang lama tidakku saksi. Tanpa sebarang kata, kami terus berlari mendapatkan kembali persahabatan yang hampir kuhancurkan. Pada malam itu, kami berpeluk erat sambil dilinangi air mata.


“Maafkan aku Ef.. Maafkan aku.. Aku telahpun mungkiri persahabatan kita.. Aku lupa..”


Ef mengangguk tanda kemaafannya seorang sahabat. Rasa syukur tak terhingga kepada hadrat Ilahi lahir di sudut hati. Alhamdulillah..


Seminggu yang tinggal kami banyak menghabiskan bersama. Nasihat dan peringatan sering diucapkan, bergilir-gilir. Aku telahpun membuat keputusan menerima tawaran sekolah K. Meski kami akan berpisah di mata, di hati tidak akan kami biarkan. Cabaran moral kami terima supaya berusaha untuk ibu bapa dan diri sendiri demi Allah.


Satu perjanjian dibuat lagi, “Tidak pernah berputus asa”!


Friday, February 5, 2010

Kamus Kebahagiaan

{Aku Hanya Akan Hidup Hari Ini, Hari Ini adalah Kepunyaan Saya}


Inilah harinya aku masih berpeluang untuk mengatakan yang baik-baik sahaja, menghindari bercakap perkara yang dilarang, mengherdik, dan juga memperkatakan keburukan orang lain.


Hanya hari ini aku berpeluang untuk memerhatikan kebersihan tubuhku, kekemasan penampilanku, kehalusan tuturkataku dan perilakuku.


Aku akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Allah, mengerjakan sembahyang yang sesempurna mungkin, membekali diri dengan sembahyang sunat, berpegang teguh pada ajaran Al-Quran, mencatat segala yang mendatangkan manfaat buatku.


Aku hanya mempunyai hidup yang pasti hari ini, sebab itu aku akan menanamkan dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan serta ranting-rantingnya yang berduri tidak kira sifat takbur, ujub, riya’, buruk sangka dan lain-lain.


Hanya hari ini aku akan menghirup udara kehidupan maka aku akan berbuat baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada sesiapa pun. Aku akan menziarahi mereka yang sakit, menghantar jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi yang tersesat, memberi makan kepada orang yang lapar, menolong orang yang sedang kesusahan, membantu orang yang dizalimi, meringankan penderitaan orang yang lemah, mengasihi mereka yang menderita, menghormati orang-orang alim, menyayangi kanak-kanak dan berbakti kepada ibubapa.


Aku hanya akan hidup hari ini maka aku akan mengucapkan:-

”Wahai masa lalu yang sudah berlalu dan selesai, tenggelamlah kamu seperti tenggelamnya mataharimu. Aku tidak akan menangisi pemergianmu, dan kamu tidak akan melihatku termenung sebentar pun untuk mengingatimu. Kamu sudah meninggalkan kami samua, pergilah dan jangan kembali lagi”

”Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban. Maka aku tidak akan bermain dangan khayalan dan memperjudikan nasib dangan hanya satu agakan. Aku juga tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, sebab esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan”.

Apa Yang Kau Panggil Cinta

Apa yang kau panggil cinta
Bukanlah seindah mimpi yang indah
Kerana ia cumalah bayangan ilusi
Cumalah mainan tidur yang berpanjangan
Apa yang kau panggil cinta
Bukanlah satu kebahagiaan yang kau harapkan
Kerana ia cumalah patung permainan
Yang berselerakan di hati dia
Apa yang kau panggil cinta
Bukanlah permata yang seutuh berlian
Ia cumalah kaca nan terang
Cuba menyilaukan pandangan mu di tengah sahara
Apa yang kau panggil cinta
Barangkali cuma bunga di mata
Dihati seperti duri yang bisa
Apa yang kau panggil cinta
Cuma logamaya di tengah gurun
Nampaknya indah umpama penyelamat
Sedang ia cuma di kejauhan pandangan
Apa yang kau panggil cinta
Adalah keindahan yang berseni
Namun lekok-lekok garisannya
Membuatkan ia menjadi jalan panjang yang menakutkan
Apa yang kau panggil cinta
Cuma indah apabila kau membawa Tuhanmu menyertainya!


Thursday, February 4, 2010

Apa Guna Iman Sekiranya Tidak Diuji

Dalam hidup ini kita terpaksa berdepan dengan dua situasi atau keadaan yang mana keadaan pertama dipanggil sebagai “hasanat” dan keadaan kedua dipanggil “as-Syiddah”.

Kedua-dua keadaan ini pasti akan dihadapi oleh setiap manusia.

Hasanat ialah segala kebaikan dan kesenangan yang menyenangkan hati manusia seperti diberikan tubuh badan yang sihat, mempunyai harta kekayaan yang banyak, mempunyai jawatan dan pangkat yang tinggi dan sebagainya. Hasanat inilah yang telah banyak menghancurkan iman manusia sejak zaman berzaman apabila ia tidak berjaya diolah dengan baik berdasarkan keimanan yang ada.

Sebagai contoh kita dapat lihat ialah bagaimana firaun yang telah diberikan kekuasaan dan kekayaan oleh Allah Taala lalu dengan kekayaan dan kekuasaan tersebut ia telah menderhakai Allah sehingga akhirnya dia telah dibinasakan oleh Allah akibat daripada sifat lupa kepada diri apabila memperoleh hasanat (kebaikan yang banyak).

Hasanat ini menjadi idaman setiap diri manusia akan tetapi apabila hasanat ini diberikan oleh Allah kepada manusia tidak ramai yang mampu mengolahnya dengan baik dan kebanyakan manusia tidak reti untuk bersyukur.

As-Syiddah pula adalah setiap kesukaran, kesempitan dan kesusahan yang menyebabkan hati manusia merasa berat untuk memikulnya dan merasakan tidak sanggup untuk berdepan dengannya seperti kemiskinan, ditimpa sakit, hilang harta benda, kematian ahli keluarga dan sebagainya.

As-Syyidah ini walaupun kita lihat ia sesuatu yang cukup berat untuk ditanggung tetapi sebenarnya ia lebih sedikit mendatangkan risiko terhadap iman manusia kerana kebiasaannya apabila ditimpa kesukaran dan kesempitan manusia menjadi mudah untuk mengingati Allah dan mengadu hal kepadaNya.

As-Syiddah ini tetap mendatangkan risiko kepada iman manusia sebenarnya kalau ia tidak berjaya diolah dengan baik namun risikonya kepada iman adalah lebih kurang sedikit jika hendak dibandingkan dengan hasanat yang sering kali menjadikan manusia lupa dan lalai kepada Allah. Lantaran itu, apabila kita meneliti sirah perjuangan Nabi s.a.w kita dapat melihat bahawa perjuangan Nabi adalah perjuangan yang dikelilingi oleh kesusahan demi kesusahan dan para sahabat yang mengikuti Nabi ketika itu bertambah secara mendadak iman mereka disebabkan As-Syiddah yang mereka hadapi.

Setiap kali ditimpa as-Syiddah pergantungan Nabi dan para sahabat kepada Allah semakin kuat serta mereka menyerahkan diri secara total kepada Allah Taala sebagaimana Firman Allah Taala dalam surah surah al-ahzab ayat 22 :


Maksudnya :

Dan pada masa orang-orang Yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah Yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada Kami dan benarlah (Apa Yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". dan (angkatan tentera musuh Yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. ( 33 : 22)

Selagi mana nyawa di kandung badan maka selagi itu kita akan berdepan dengan dua keadaan ini yang menuntut kita untuk mengolah setiap ujian ini dengan baik berdasarkan iman yang ada. Sama ada kita berdepan dengan hasanat mahupun as-Syiddah maka gunalah iman untuk mengolahnya. Iman itu sangat berguna apabila kita diuji oleh Allah Taala kerana dengan imanlah kita mampu membawa diri menjadi individu yang sentiasa bersyukur dan mengharapkan RahmatNya.

Lebih baik kita diuji sewaktu hidup di atas muka bumi ini berbanding ujian yang di akhirat kerana seberat mana ujian di dunia ia akan berakhir akan tetapi jika diuji dengan kesusahan di akhirat ia terlalu dahsyat untuk ditanggung.