Wednesday, June 2, 2010

Tidak Cukup Dengan Hanya Menyatakan "I Am A Muslim"

Seorang pemuda yang berambut ala-ala karat mak saleh, berseluar gelebeh hingga meleret ketanah, bajunya bercorak salib, berspek hitam diselangi dengan tin Carlsberg singgah dimulutnya. Bergelak ketawa bersama kekasih yang berpakaian menjolok mata datang menemui anda lalu berkata:

"Saya orang islam. Lahir sebagai islam dan duduk pun di Negara islam (kalau boleh dikatakan Negara islam)."

Jika jawapan begitu yang diberikan kepada seorang pakcik mat saleh diluar sana, saya pasti dia akan berkata:

"Oh yeah? really? sambil tersenyum kelakar."

Tak salah apa yang diucapkan pemuda terbabit. Saya tak membicarakan pandangan manusia terhadapnya kerana siapa manusia untuk menilai tahap iman seseorang. Hanya Allah yang selayaknya menilai hambanya. Tapi setakat itu sahajakah buktinya sebagai seorang Muslim? Tidak cukup dengan mengatakan saya seorang Muslim. Dimana buktinya?

Saya ambil semula firman Allah:

"Apabila kamu berazam maka bertawakallah kepada Allah" - 3:159

Saya melihat bahawa tawakkal yang disarankan oleh Allah dalam ayat tersebut menunjukkan bukti daripada keazaman kita itu tadi. Tidak cukup hanya dengan sekadar berazam tanpa meminta pertolongan kepada Allah sebagai bukti bahawa benar-benar kita berazam.

Begitu juga umat Islam. Mengaku beriman perlulah disertai dengan tindakan susulan. Tidak sekadar mainan bibir. Sedar atau tidak, umat Islam itu sendiri yang menggambarkan Islam. Membawa imej Islam sekaligus memberi gambaran awal tentang ‘apa itu Islam’. Kemana sekalipun kita melangkah, disitulah umat Islam akan diberi perhatian. Bukan pada namanya, bukan juga pada gayanya tapi pada AGAMA Islam yang bersalut didalam hatinya sekaligus kehidupannya.

BUKAN MEMINTA KESEMPURNAAN

Lafaz sayang itu perlu tetapi buktikan sayang itu yang paling utama. Begitu juga dengan agama yang kita anuti ini. Tidak cukup dengan hanya mengatakan ‘I AM A MUSLIM!’ tapi rukun Islam yang lima tidak ditunaikan. Etika berpakaian Islam tidak dipatuhi lebih-lebih lagi akhlak sebagai umat islam. Itu sahajakan Islam? Hanya kata-kata. Jika satu masa dahulu ianya diajar oleh Ustazah Karimah dan Ustaz Osman lalu disuruh saya hafalnya, maka saat ini tibalah masa saya mempraktikkan hafalan itu. Bukan meminta kesempurnaan, tapi semua ini perlu dibayar dengan harga yang mahal. Itulah bukti.

Mengapa bukti yang diminta? Dengan bukti segalanya nampak sempurna. Jika sayang katakan sayang, jika benci katakan benci. Kata-kata itu bukti. Tapi sekadar kata-kata itu sahajakah? Jika anda disaman oleh polis atas kesalahan jalan raya, cukup sekadar anda katakana saya bernama ‘John’ dan seorang Islam serta beralamat sekian sekian? Saya yakin pihak polis tersebut akan meminta mycard anda untuk melihat kebenaran kata-kata anda. Dan sekali lagi, itulah bukti.


Dengan bukti juga ia menggambarkan dalaman kita iaitu ‘HATI’.
Dengan penghayatan dari hati itulah akan memuntahkan segala isi hati melalui ‘PERLAKUAN’.

Analoginya mudah, jika anda mempunyai sebiji gelas yang kosong. Lalu anda bawakan sebaldi air sungai lalu dituang kedalamnya hingga penuh. Apabila air itu penuh dan mengalir keluar, yang mengalir itu tetap air sungai yang dibawakan tadi. Bukan air sirap mahupun air laut yang dimuntahkan keluar.

Begitulah ibarat hati kita. Apa yang lebih penuh didalamnya, itulah yang akan dimuntahkan kembali. Jika iman yang kita semai, maka iman jugalah yang akan keluar tapi jika mazmumah yang kita bajai, maka mazmumah jugalah yang akan diperlakukan. Jadi benarkah jika seseorang mengaku baik tapi kehidupannya dipenuhi dengan perkara kemungkaran yang dilakukan oleh tangan sendiri?

SOLUSINYA

HATI --> KATA-KATA --> PERBUATAN = MUSLIM SEJATI INSYAALLAH


Berdoalah semoga kita semua tidak tersekat diantara nombor satu dan dua didalam carta aliran diatas. Jika kita orang Islam, umat nabi Muhammad tercinta, jadi,marilah kita tunjukkan bukti kasih sayang kita pada Allah dan Rasulnya. Bagaimana? Bertaqwalah pada Allah.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Bersegeralah engkau sekalian melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datangnya tujuh macam perkara. Apakah engkau sekalian menantikan, enggan melakukan dulu, melainkan setelah tibanya kefakiran yang melalaikan, atau tibanya kekayaan yang menyebabkan kecurangan, atau tibanya kesakitan yang merosakkan, atau tibanya usia tua yang menyebabkan ucapan-ucapan yang tidak keharuan lagi, atau tibanya kematian yang mempercepatkan - lenyapnya segala hal, atau tibanya Dajjal, maka ia adalah seburuk-buruk makhluk ghaib yang ditunggu, atau tibanya hari kiamat, maka hari kiamat itu adalah lebih besar bencananya serta lebih pahit penanggunggannya." - [Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.]

Tuesday, June 1, 2010

Remaja Dulu vs Remaja Kini

Remaja dahulu...

Abbas: Assalamualaikum!
Umair: Waalaikumussalam!
Abbas: Anta tengah buat ape tu?
Umair: Oh, ana tengah cube nak fahamkan satu ayat dari surah As Soff ni... Anta tahu tak sape2 yang lebih a'rif tentang ni...
Abbas: Ha!! Ape kate anta tanye Ustaz Hassan...


Remaja Kini...

Titt..titt..titt..
Amir: Wei.. Pick!! Ko tengah buat ape tu??!!
Syafiq: Haha... Ko ni buat tak tahu plak...
Amir: Tengah layan awek la tu...
Syafiq: Ha!! kau memang kawan sejati aku...
Amir: Wei... Pick!! Takkan kau seorang je ade awek... aku nak gak!! Tak 'cool' la muka 'handsome' tapi takde awek...
Syafiq: Ha.. takpe-takpe... Nanti aku suruh awek aku carikan untuk kau...



Remaja Dahulu...

Ammar: Assalamualaikum.. Tuan!! Saya nak daftar untuk sertai peperangan yang akan datang..
Tuan Khalid: Waalaikumsalam! Berapa umur anta??
Ammar: 15 tahun..
Tuan Khalid: Ana minta maaf sangat sebab anta masih belum cukup umur untuk sertai peperangan...
Ammar: Ala... Tolonglah Tuan... Ana merayu!!
Tuan Khalid: Maaf la dik... Ana tidak boleh terima anta...
[di tebing sungai]
Ammar: ......
Hussein: Salam, Ammar! Kenapa anta menangis ni??
Ammar: Ana tidak diterima untuk sertai perperangan...
Hussein: Takpe... Anta bersabarlah... Ana yakin sampai masanya nanti anta akan diterima, InsyaAllah....


Remaja Kini...

Arif: [menyanyi]
Juri: Maaf Arif anda tersingkir...
[di rumah]
Bang!!
Arif:.......
Akil: Ee... Apahal mengamuk tiba-tiba ni??
Arif:........
Akil: Ooo.. Kau tersingkir dalam uji bakat AF9 ye?!!
Arif:.......
Akil: Ala.. Takpe, tahun ni bukan rezeki kau, tahun depan cube la lagi...



Remaja Dahulu...


[Maghrib]
Allahuakbar!! Allahuakbar!!...
Ibrahim: Eh dah azan la!! Jom, cepat..nanti lambat... Kene masbuk pulak..
Hamzah: Eh ha'ah la... Kejap-kejap, tunggu ana...

[Sebelum Subuh]
Hafiz: Ahnaf! Bangun! Anta nak qiam tak??
Ahnaf: MUAAH!(menguap).. Sekarang pukul barape??
Hafiz: Pukul 5..
Ahnaf: Ha?!! Kan ana suruh kejut pukul 4, nape anta tak kejut ana..
Hafiz: Maafla Ahnaf... Ana pun baru je bangun ni.. Takpe, masih ade mase lagi..
Ahnaf: okey...
.


Remaja Kini...

[Maghrib]
Allahuakbar!! Allahuakbar!!
Alif: Eh dah azan la... Takpe la sikit je lagi cerita ni nak habis..
Ayah: Alif, ko nak ikut pergi surau tak??
Alif: Err... Kejap lagi la, ayah pergi la dulu...
Ayah: Hai engko ni... Takkan tiap-tiap hari nak masbuk, asyik dengan cerita kat TV tu..
Alif: Ye laa..

[Subuh]
Zzzzzzzzzz......
Mak Mah: akim!! Bangun!! Ko da solat subuh ke belum??
Hakim: MUAAH!!(menguap).. Ngantuknye!! Ala,mak baru pukul 6.. Subuh habis pukul 6.59..
Mak Mah: Pukul 6 ape bendenye?!!! Sekarang dah pukul 7.30 la.. Bangun!!!!
Hakim: MUAAH!!(menguap).. Ye laa...



Remaja Kini...

Remaja...
Dimanakah mereka??
Dimanakah mereka ketika ini??
Yang dimana pada suatu hari nanti,
Kan mentadbir dunia ini,
Suatu hari nanti...

Remaja kita,
Telah ditipu dunia yang fana,
Lalai dan leka,
Dari mengingatiNya...

Hancurlah dunia!!
Hancurlah Islam!!
Jika dirimu sebegini rupa,
Remaja Islam kini,
Hubbu dunia bermaharajalela,
Hubbu akhirat kau palingkan,
Dihanyut ombak penipuan,
Oleh manusia bertopengkan syaitan...

Duhai remaja...
Bangunlah,
Bangunlah remaja,
Dari tidurmu yang lagha,
Ayuh bangunlah,
Ayuh kembalilah,
Ke pangkal jalanNya,
Ayuh!!
Lahirkanlah generasi dahulu..

Insaflah!!
Ayuh bangkitlah!!
Engkau harapan dunia,
Tegakkanlah sinar harapan..

AYUH!!
Bangkitlah remaja harapan dunia,
Buktikanlah keluhuranmu,
Buktikanlah,
Generasi dahulu,
Telah kembali,
Bebaskanlah dirimu,
Dari kejahilan yang membelenggu,
Ayuhlah remaja!!
Kita berjihad di medan ujian,
Sanjunglah panji-panji keimanan,
Kerana disana menanti syurga idaman,
Duhai Remaja Harapan.




Glosari:
1) Hubbu = Cinta
2) lagha = Lalai

Erti Kejayaan

Kejayaan?

"Saya ingin bertanya, pada pendapat abang, sepanjang abang berada di Rusia, apakah kejayaan terbesar yang pernah abang capai?"

Soalan dari seorang pelajar tingkatan lima di MRSM PDRM Kulim tersebut membuat saya terpaku seketika.

Kejayaan?

Saya kira, beliau bertanyakan soalan tersebut memandangkan sejarah saya selaku seorang pelajar yang aktif ketika di zaman persekolahan dahulu. Mewakili maktab, menjadi wakil pelajar, bergiat aktif dalam pertandingan itu dan ini, Olimpiad itu dan ini dan bermacam-macam lagi. Itu agaknya takrifan kejayaan yang dimaksudkan oleh beliau.

Saya terimbau seketika, apakah pencapaian-pencapaian itu yang dijadikan ukuran kejayaan? Di manakah standard kejayaan itu, yang sebenarnya?


"Kejayaan saya yang terbesar, pada pandangan saya, adalah saya berjaya memasuki tahun keempat sepanjang pengajian di sekolah perubatan di Rusia ini"

Jawapan yang saya kira, mungkin di luar sangkaan beliau. Mungkin beliau menyangkakan saya kini menerajui persatuan-persatuan, tergolong di dalam dean’s list, mewakili fakulti perubatan dalam mana-mana konferens perubatan, atau mengetuai kumpulan kajian (research) di topik tertentu dan sebagainya.

Maafkan saya, jika jawapan saya tersebut mungkin mengecewakan anda kerana takrifan kejayaan kita, adalah berbeza.

"Kejayaan itu, berkadar terus dengan pengorbanan"

Saya menyambung penceritaan. Ratusan pasang mata calon-calon SPM itu merenung saya.

"Kejayaan itu, berkadar terus dengan pengorbanan. Seorang pelajar yang acapkali mendapat gred A, di peperiksaan akhir tahun beliau mendapat gred A juga, maka mungkin keputusan itu bukanlah satu kejayaan yang manis baginya".

"Tapi bagi seseorang yang selama ini asyik mendapat gred C, lalu beliau berusaha bersungguh-sungguh lantas mendapat gred B dalam peperiksaan akhir tahunnya – mungkin kejayaan itulah lebih terasa manisnya".



You hold the key of success



Sunnatullah Kejayaan


"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri"
(Ar-Ra’d, Ayat 11)

Sungguh, Allah telah pun memberikan prasyarat kepada manusia dalam mencapai apa yang diingankan oleh manusia. Prasyaratnya: manusia itu hendaklah terlebih dahulu berusaha mencapainya.

Dan sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Sesuatu kejayaan yang bernilai itu tidak akan mudah diperolehi. Ia memerlukan pengorbanan. Pengorbanan dari segi usaha, kudrat, tenaga, masa, harta dan sebagainya.

Tahun 1453, pusat dunia ketika itu, Constantinople, berjaya ditawan oleh Muhammad al-Fateh. Hampir seribu tahun selepas janji Rasulullah mengenainya. Tetapi, kejayaan umat Islam ketika itu, tidak akan tercapai melainkan dengan pengorbanan belasan cubaan sebelumnya. Hanya setelah beberapa kali percubaan dilakukan, barulah kota tersebut dapat ditawan.


Jika kita hanya sekali cuba dan terus berjaya, maka kejayaan tersebut takkan sebegitu manis lagi, bukan?

Maka itulah jawapan saya kepada pelajar tersebut. Sepanjang 4 tahun pengajian di sini, sudah terlalu banyak pengorbanan yang saya taburkan. Pengorbanan wang ringgit, seperti yang dilakukan oleh ayah saya. Pengorbanan masa, apabila saya hanya pulang ke kampung halaman beberapa kali. Tiap kali pulang, sudah banyak perubahan.

Anak saudara saya sendiri enggan didukung oleh saya, kerana tidak mengenali saya.
Pengorbanankah itu? Ya, ianya satu pengorbanan.

Saya terlepas beberapa kali reunion bersama rakan-rakan sekolah lama, yang amat saya rindui.
Pengorbanankah itu? Ya, ianya satu pengorbanan.

Saya terlepas majlis perkahwinan abang sulung saya, yang mana ketika itu saya di tahun kedua.
Pengorbanankah itu? Ya, ianya satu pengorbanan.

Saya terlepas majlis pengkebumian nenek saudara saya, yang sangat disayangi kerana beliau rapat dengan saya.
Pengorbanankah itu? Ya, ianya satu pengorbanan.

Pengorbanan untuk study, itu biasalah. Belajar jurusan apa pun, kita akan berusaha bersungguh-sungguh dan berkorban seadanya.

Dan pengorbanan-pengorbanan yang saya lakukan tersebut, membolehkan saya melangkah ke tahun keempat di fakulti perubatan ini. Kerana jika saya tidak mampu melakukan pengorbanan sedemikian, pasti saya tidak akan berada di sini sekarang ini. Justeru, inilah kejayaan saya yang terbesar.

Dan sesungguhnya, segala pengorbanan yang saya lakukan tersebut, hanya membolehkan saya mencapai tahun keempat. Seandainya ingin menamatkan pengajian dan menjadi seorang doktor yang baik, maka ada kemungkinan saya perlu mengorbankan lebih daripada itu.

Kerana


"Jika kamu mendambakan kejayaan yang besar, maka kamu harus bersedia mengorbankan sesuatu yang setimpal nilainya"

Melatih Diri Menahan Nafsu dan Syahwat


Allah swt swt telah memberikan wahyu kepada Nabi Musa as:

"Wahai Musa, jika engkau ingin Aku lebih dekat kepadamu daripada ucapanmu kepada lisanmu, daripada keraguan hatimu kepada hatimu, daripada rohmu kepada badanmu,daripada cahaya penglihatanmu kepada matamu dan daripada pendengaranmukepada telingamu, maka perbanyakkanlahmembaca selawat ke atas Muhammad saw"

Allah swt swt telah berfirman:

Ertinya: "Hendaklah tiap-tiap orang memerhatikan apa yang diusahakannya untuk hari esok (hari Kiamat)"

(Q.S. al Hasyr: 18)

Ketahuilah wahai manusia! Sesungguhnya nafsu yang memerintahkan kejahatan itu lebih memusuhimu daripada Iblis. Syaitan hanyalah memperalat nafsu syahwat untuk menguasaimu. Janganlah engkau tertipu oleh nafsumu dengan segala angan-angan dan kepalsuan.

Watak nafsu adalah merasa aman, suka berlengah-lengah, bersuka-suka dan malas.Setiap rayuannya adalah batil dan palsu belaka. Jika engkau rela menuruti rayuannya, hancurlah engkau. Jika engkau lambat memperhitungkannya tentu akan tenggelam. Jika engkau lemah melawannya, lalu mengikuti keinginannya, tentulah dia akan melemparmu ke Neraka. Nafsu tidak akan pernah menuju kepada kebaikan. Ia sumber bencana. Dialah markas Iblis serta tempat segala keburukan yang hanya diketahui oleh Allah swt. Sesungguhnya Allah swt mengetahui segala apa yang engkau perbuat, baik mahupun buruk.

Jika seorang hamba mahu merenungi umurnya yang telah lanjut untuk mencari Akhirat, maka sesungguhnya ia menyucikan hati. Seperti disebutkan oleh Rasulullah saw:

"Berfikir sesaat itu lebih baik daripada ibadah setahun."

Demikian dalam tafsir Abu Laits. Maka sayugianya bagi orang yang berakal segera bertaubat atas dosa yang telah lalu, dan memikirkan akan bekal mencapai keselamatan di Akhirat. Dia memutuskan angan-angan keduniaan, segera bertaubat, mengingat Allah swt, meninggalkan larangan-larangan-Nya, sabar menahan nafsu dan tidak memperturutkan keininan syahwat. Ingat! NAFSU ADALAH BERHALA. Barangsiapa menuruti nafsu bererti menyembah berhala. Orang yang menyembah Allah swt, dialah yang mampu menahan nafsunya.

Diceritakan bahawa Malik bin Dinar berjalan di pasar Basrah. Dia melihat buah tin hingga tumbuh keinginannya terhadap buah itu. Dia membuka kasutnya dan dia memberikan kepada penjual buah itu, seraya berkata,

"Berilah aku buah itu." dan si penjual melihat sandalnya, seraya berkata,

"Oh ini tidak cukup!"

Kemudian Malik berlalu. Maka dikatakan kepada penjual itu,

"Apakah engkau tidak mengetahui siapakah dia?"

Penjual itu menjawab, "Tidak."

Dikatakan kepadanya,"Dialah Malik bin Dinar."

Dengan segera penjual itu meletakkan bakul di bahu pelayannya seraya berkata,

"Jika dia menerima buah ini daripadamu, maka engkau merdeka!"

Kemudian pelayan itu pergi mengikut Malik bin Dinar lalu berkata padanya,

"Terimalah buah ini daripadaku."

Tetapi Malik menolak.

"Terimalah sebab di sinilah kemerdekaanku." kata pelayan itu. Kemudian Malik menjawab,

"Jika di sini kemerdekaan bagimu, di sini pulalah seksaan bagiku."

Namun pelayan itu tetap juga mendesak-desak. Sehingga Malik bin Dinar berkata,"Aku bersumpah tidak akan menjual agama dengan buah tin dan aku tidak mahu makan buah tin itu sampai hari Kiamat!"

Diceritakan pula bahawa Malik bin Dinar sedang sakit menghadapi mautnya. Dia ingin segelas madu dan susu untuk dimakan dengan roti panas. Pelayan segera menyediakannya. Kemudian Malik mengambil dan memandangnya sejenak seraya berkata,

”Wahai nafsu, engkau telah bersabar selama tiga puluh tahun, padahal umurmu tinggal sesaat lagi.”

Maka dia membuang gelas itu daripada tangannya, dia menahan nafsunya hingga dia meninggal. Demikianlah sifat para anbiya’, aulia’, siddiqin dan zahidin serta orang-orang yang merindukan Allah swt.

Telah berkata Nabi Sulaiman bin Daud as:

”Sesungguhnya mengekang nafsu itu lebih sulit daripada membuka sebuah kota bersendirian.”

Ali bin Abi Talib ra juga berkata:

”Aku dan nafsuku bagaikan gembala dengan kambingnya. Jika aku menahannya dari satu sisi, dia melompat dari sisi lain. Barangsiapa dapat menjinakkan nafsunya, dia akan dibungkus dengan kafan rahmat dan dikubur dalam bumi karomah. Tetapi barangsiapa yang membunuh hatinya, terbungkuslah dia dalam kafan laknat serta terkubur alam bumi azab!”

Zahya bin Muaz Ar Razi berkata:

”Perangilah nafsumu dengan taat dan riadah (latihan rohani). Riadah adalah mengurangi tidur, makan mahupun bercakap;menahan kepedihan daripada makhluk. Sedikit tidur akan menyucikan kehendak, sedikit berkata akan terselamat daripada bencana.Dan menahan pedih dapat menghantarkan sampai ke puncak. Bahkan sedikit makan dapat menundukkan syahwat. Sesungguhnya banyak makan dapat mengeraskan hati dan menghilangkan cahayanya. Dan cahaya hikmah adalah lapar. Serta kenyang dapat menjauhkan seseorang daripada Allah swt.

Sebagaimana Rasulullah saw telah bersabda:

”Terangilah hatimu dengan lapar. Perangilah nafsumu dengan lapar dan haus. Serta sentiasalah mengetuk pintu Syurga dengan lapar. Sesungguhnya pahala demikian itu bagaikan pahala pahlawan membela agama Allah swt. Dan sesungguhnya tidak ada amal yang lebih disukai oleh Allah swt daripada lapar dan haus. Tidak akan ke kerajaan langit seseorang yang memenuhi perutnya dan kehilangan lazatnya beribadah.”



Telah berkata Abu Bakar as-Siddiq ra:

”Aku tidak pernah kenyang semenjak aku masuk Islam agar kutemukan lazatnya beribadah kepada Tuhanku. Dan aku tidak pernah minum puas semenjak masuk Islam kerana rindu berjumpa dengan Tuhanku. Ini kerana jika banyak makan akan sedikit beribadah. Sesungguhnya jika orang banyak makan beratlah badannya, mengantuk dan lemahlah anggota badannya sehingga tidak membuahkan sesuatu. Dia tidur melulu bagaikan bangkai terbuang.”

Demikianlah dalam kitab `Minhajul Abidin’.

Daripada Luqman Al Hakim, dia berkata kepada puteranya:

”Janganlah engkau banyak tidur dan makan. Barangsiapa memperbanyak keduanya, pada hari Kiamat dia miskin amal soleh.” Ini tersebut dalam kitab ’Maniyyatul Mufti’.

Rasulullah saw telah bersabda:

” Janganlah engkau membunuh hati dengan banyak makan dan tidur. Sesungguhnya hati akan mati bagaikan tanaman jika tergenang air.”

Orang-orang soleh menafsirkan perut ibarat kuali di bawah hati. Jika terisi banyak akan menggenangi hati sehingga menjadi kotor dan hitam. Di samping itu banyak makan dapat mengurangi kecerdasan dalam mencari ilmu.

Diceritakan daripada Zakaria bin Yahya as. Dia melihat Iblis membawa beberapa tali. Kemudian dia bertanya,

”Apa itu?”

Iblis menjawab: “Inilah ‘syahwat’. Dengan ini akan aku akan ikat anak cucu Adam.”

Yahya bertanya lagi, ”Apakah kau pernah mengikatku dengan itu?”

Iblis menjawab, ”Tidak. Hanya pada suatu malam engkau makan sampai kenyang kerananya aku beratkan engkau melakukan solat.”

Kemudian Yahya berkata,

”Sesungguhnya telah kejadian itu aku tidak akan makan sampai kenyang selamanya.”

Iblis juga berkata, ”Sesungguhnya aku tidak akan melepaskan seseorang selamanya.”

Demikianlah orang yang tidak pernah kenyang selama hidupnya kecuali satu malam.Bagaimana orang yang tidak pernah lapar kecuali satu malam lalu mengharapkan lazatnya ibadah?

Diceritakan juga daripada Yahya bin Zakaria as. Pernah satu kali dia kekenyangan makan gandum. Pada malam itu dia tertidur ketika berwirid. Kemudian Allah swt memberi wahyu kepadanya seraya berfirman,

”Apakah engkau menemukan rumah untukmu yang lebih bagus daripada rumah-Ku? Apakah engkau menemukan teman yang lebih baik daripada berteman denganku? Demi kemuliaan dan keagungan-Ku jika engkau melihat syurga Firdaus lalu melihat neraka Jahanam, pastilah engkau akan menangis mengeluarkan nanah sebagai ganti air mata dan engkau akan memakai besi bagi menggantikan kain”.

Generasi Ulul Albab





Usia tahun ini sudah mencecah 15, 18, 20, atau 25 tahun. Usia remaja setahun jagung ini menandakan tempoh permulaan buat semua pejuang-pejuang agama bagi mematangkan fikiran supaya Islam tidak layak dipijak dan dihina oleh Yahudi dan Nasrani.Takbir ! Maka, tibalah tahap yang amat mencabar, di mana di sinilah permulaannya, iman kita akan dibentuk dengan akidah dan akhlak digauli dengan ramuan ibadah beserta bi'ah yang solehah.

Wahai remaja ,
bukan ini masanya untuk kita mencari teman hidup yang difikirkan sesuai.Asyik diifikirkan, difikirkan dan difikirkan lagi. Waktu ini syaitan dan iblis menyolek muka dan mata kita supaya tertarik kepada anugerah kecantikan dan kecomelan makhluk ciptaan Tuhan. Masa ini nafsu menyuruh kita supaya melakukan sesuatu perkara yang membolehkan kita mendapat perhatian dan pujian.Terampil mengoda bergaya!

Sedang Yusuf yang digoda oleh Zulaikha yang menggoda pun tidak langsung tertarik hatinya untuk melakukan zina. Inikan kita yang bertaraf hamba yang hina. Rata-rata melakukan ibadah untuk mengharapkan pujian dan perhatian, mahu dianggap baik, sopan dan soleh, bukan mengharapkan pahala dan perhatian Tuhan. Rata-rata melakukan kebaikan supaya dipandang bagus bukannya mencari redha Allah.



Syaitan dan Nafsu bergembira atas tindakan kita yang mengacau puteri-puteri islam yang manis dan mengurat putera-putera islam yang segak. Syaitan dan Nafsu juga tentu sedang bergembira atas kejayaan mereka menyelimuti kita supaya tidak bangun menunaikan solat Subuh berjemaah apatahlag bangun bertahajud di hamparan sejadah Qiamulail. Syaitan dan Nafsu juga amat gembira apabila melihat Rumah Allah dibunyikan di dalamnya rancak nada dering telefon bimbit, umpatan-umpatan serta perkataan-perkataan komunikasi yang merugikan masa dan membuang erti kata sebenar iktikaf .

Wahai remaja ,
kita mesti menyedari bahawasanya kita sebenarnya sedang menempuh lautan yang berombak dan bergelora saat ini. Sudah tiba masanya untuk menaikkan layar supaya kita tidak tenggelam hanyut dibawa oleh fitnah dunia. Sudah tiba masanya untuk berlayar lebih jauh dengan kapal TAKWA dan layar IMAN untuk mencari pelabuhan REDHA (Mardhatillah). Sudah tiba masanya merebut dan menjala ikan-ikan PAHALA bukannya merelakan diri ditelan dengan jerung DOSA dan badai NERAKA. Sedarkah kita ?

Adakah 'buaya-friend' dan 'gila-friend' wajib menjadi sesuatu yang dominan dalam kehidupan setiap yang bergelar remaja ? Bagaimana dengan status remaja islam ? Sememangnya wajib memilikinya seorang sat atau maksimun 4 atau bersilih ganti ? atau status mencari pengalaman di alam remaja ? Jawapannya sudah tentu sekali TIDAK !

Mengapa ? Salahkah bercinta ? Cuma setakat hendak berkenalan dengan lebih intim ? Bukannya sampai berpegangan tangan ataupun bercium-ciuman pun ? Kita dah besarlah, bukan budak-budak , semuanya BOLEH !



Bukan begitu wahai remaja,
Islam tidak menghalang benih-benih cinta ditanam di setiap hati insan bergelar muslim. Namun sekarang kita adalah MASIH REMAJA. Amanah yang diberikan bukannya disuruh menghampiri zina. Tetapi berusaha, belajar, berdakwah dan beribadah sehingga berjaya. Fokus matlamat kehidupan sebenar di alam akhirat nanti. Kenapa mengizinkan diri terus hanyut dalam noda dunia yang penuh sengketa dan pura-pura ?

Masanya sudah tiba, ayuh kita bangkit wahai remaja-remaja islam, kita berjuang sehingga Masjidil Aqsa dibebaskan. Kita berjuang sehingga fitnah Dajjal dapat kita tewaskan. Kita memerdekakan jiwa kita yang dibelenggu musuh nyata. Kita melawan hawa nafsu dengan penuh kesabaran, hingga dapat menjadi penghuni syurga yang penuh dengan kenikmatan. Janji Allah itu pasti !

Bukannya kita perlu mencari publisiti murahan. Dengan mengacau dan mengorat makhluk comel dan kacak ciptaan Tuhan. Menjaja perasaan indah gelora Uda dan Dara. Bukannya dengan meninggalkan sunnah yang nabi wariskan. Bukan dengan membiarkan alasan murahan terus menghasut ; diri masih belum dapat hidayah, diri tidak bersedia ataupun sebenarnya diri MALAS melakukannya. Bukan dengan mengambil remeh dan memandang enteng kepada ibadat dan amalan yang dilakukan.
Bukan dengan meninggalkan Al-Quran, Kitab suci yang dipelihara kesucian zaman-berzaman.Acuh tidak acuh mentaati Tuhan ? Macamlah yakin dan pasti sangat dapat ke syurga seperti Saidina Uthman bin Affan !

Wahai remaja,
kita seringkali mengeluh dan marah apabila kita diaibkan di khalayak ramai. Tidakkah kita terfikir, kita sedang dan akan malu mengaibkan diri sendiri di depan Allah dan di tepi malaikat. Ayuh celiklah, sedarlah dan bangunlah memperjuangkan Islam. Teruskan perjuangan sehingga nyawa bercerai dengan badan.



Carilah ilmu dan perangi godaan hawa nafsu.
Kata mahu Islam maju tetapi masih malas baca buku !

Wahai remaja,
Ini bukan hanya peringatan. Ambil jadikan pedoman. Jadilah remaja cemerlang yang beriman. Bukan sampah masyarakat yang tidur di laluan najis buangan.



Ayuh berjuang demi maruah remaja ISLAM dan generasi MUSLIM sedunia !


"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam,supaya kamu jangan menyembah Syaitan! Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu.Dan(Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka)maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf ? " Yaasin : 60-62

Mavi Marmara : Bertaqwa dan Berjihadlah Saudaraku

Semalam, dunia dikejutkan dengan serangan askar Israel terhadap konvoi kemanusiaan yang membawa ratusan aktivis pro-Palestin dari pelbagai negara. Seluruh dunia bersedih,pilu dan berdukacita dengan berita serangan dan pembunuhan yang berlaku.

Pastinya, serangan askar Israel terhadap kapal Mavi Marmara adalah satu tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Misi murni 'Flotila Kebebasan' untuk menghantar bantuan kepada rakyat Gaza mungkin tidak mampu dicapai, namun sebenarnya mereka telah berjaya. Mereka sukses memberikan mesej kepada seluruh dunia bahawa Israel adalah jahat dan kejahatan mereka semakin menjadi-jadi.

Firman Allah SWT :

"Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani." Yang demikian itu disebabkan karena di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) karena sesungguhnya mereka tidak menymbongkan diri."
(Surah Al-Maidah, 82)

Alhamdulillah, saya dapat menghubungi seorang rakyat Palestin yang pakar dalam 'Jureselem Studies', Dr. Abdullah Maarof sebentar tadi untuk membincangkan isu ini. Beliau kini merupakan
'senior visiting lecturer' di Universiti Malaya. Menurutnya, serangan semalam menyebabkan banyak negara mengutuk keras tindakan mereka termasuk negara-negara yang pro-Israel. Selain itu, hampir semua media menyiarkan apa yang telah berlaku. Sudah pasti berita-berita tersebut mampu mengubah persepsi sebahagian masyarakat dunia yang masih menyokong Israel atau yang masih kabur tentang kezaliman Israel.

Menurut Dr. Abdullah Maarof, Israel dapat menguasai Palestin kerana mereka menguasai ekonomi dan media. Mereka menggunakan media untuk meraih simpati masyarakat dunia dan melobi kuasa ekonomi antarabangsa. Namun, peranan media dalam menghebahkan peristiwa semalam pasti mampu menyuntik semangat dan kesedaran di kalangan masyarakat dunia terutamanya Muslim untuk terus membantu membebaskan Palestin.

"Kemungkinan kerajaan Israel tidak menjangka untuk membunuh ramai orang dalam kapal Mavi Marmara. Namun pembunuhan yang berlaku (dan ramai yang dibunuh) pasti ada kesannya akan datang," kata Dr. Abdullah Maarof.



Jika kita membaca forum-forum internet seluruh dunia, bukan sahaja ahli forum Islamik yang mengutuk tindakan ganas itu, malah banyak forum lain yang hangat menyatakan kebencian mereka seperti muselive.com dan macam-macam lagi.

Apabila ditanya tentang kemungkinan akan berlaku peperangan besar sekali lagi di Gaza, pakar 'Juruselem Studies' itu memberitahu bahawa ia mungkin berlaku. Selain itu, Hamas telah mengisytiharkan 'intifada' untuk menentang kezaliman Israel.


Firman Allah SWT :

"Dan kamu akan melihat kebanyakan dari mereka (orang-orang Yahudi) bersegera membuat dosa, permusuhan dan memakan yang haram. Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka telah kerjakan itu."
(Surah Al-Maidah, 62)


Peristiwa semalam sepatutnya membuatkan kita sedih dan simpati. Kesedihan itu mestilah kesedihan yang memberikan kita inspirasi untuk terus berusaha (mengikut kemampuan masing-masing) membebaskan Al-Quds; tanah suci kita.

"Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan soat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah)."
(Surah Al-Maidah : 55)


Allah SWT menjanjikan kemenangan untuk umat Islam. Adakah kita ingin menjadi sebahagian daripada mereka yang berjuang untuk kemenangan itu? Fikir-fikirkan.

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan."
(Surah Al-Maidah : 35)


Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dan berjihad di jalan-Nya.

12 Rakyat M'sia di Kapal Yang diSerang Israel

Dua belas rakyat Malaysia disahkan berada di kapal Mavi Marmara - kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

Mereka termasuk dua wartawan sebuah televisyen berbayar di Malaysia.

Mereka adalah sebahagian daripada misi 11 anggota yang dinamakan Lifeline4Gaza, yang mengambil bahagian dalam 'Flotila Kebebasan' bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza.

Adalah dipercayai Lifeline bukan badan kemanusian tunggal dari Malaysia yang terbabit, kerana ada beberapa kumpulan yang bergerak secara berasingan dengan kapal yang lain.

Jurucakap Lifeline4Gaza, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata sembilan daripada mereka adalah sukarelawan dari enam NGO dari Malaysia.

Mereka termasuk Haluan, Aqsa Syarif, Yayasan Amal, Muslim Care, Palestine Centre of Excellence (Pace) dan Jemaah Islamiah Malaysia (JIM).

Dr Hafidzi berkata dia gagal menghubungi kumpulannya itu apabila serangan bermula dan mereka belum dapat mengenal-pasti identiti ke-12 rakyat Malaysia berkenaan.

Sementara itu, menurut ADUN Meri, Dr Abd Rani Osman ang kini di Instanbul juga mengesahkan penahanan rakyat Malaysia itu.

Dr Abd Rani melalui SMS kepada Malaysiakini juga memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 16 aktivis pro-Palestin dibunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan itu.

Kapal Mavi Marmara yang dimiliki Turki itu kini dilaporkan dibawa ke Haifa, manakala semua penumpangnya akan dipenjarakan.

Dua wartawan Astro Awani itu dikenalpasti sebagai Ashwad Ismail dan jurugambar dan Samsul Kamal Abdul Latip. Usaha Malaysiakini menghubungi Ashwad setakat ini tidak berhasil.

Manakala dalam laman Twitter-nya, Ashwad hanya mengemaskinikan statusnya kira-kira 14 jam lalu.

"Mavi Marmara on alert. Semua berada pada tahap tertinggi. Dua pesawat pemantau Drone dipercayai milik Israel kelihatan," coretan terakhirnya sebelum tragedi itu dipetik.

Terdahulu, menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, laporan awal mengesahkan dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

12 rakyat M'sia di kapal yang diserang Israel