Tuesday, September 6, 2011

Melihat Dengan Mata Allah


Allah Maha Melihat. Melihat seluruhnya. Apabila mata Allah melihat, pasti tidak akan ada satu pun yang terlepas dari pandangan Allah walau sekelumit zarah sekalipun yang zahir mahupun yang tersembunyi.
Subhanallah...
Tetapi ciptaan yang bernama "insan" itu seringkali melihat dengan pandangan hati.
Andai hati itu bersih, pasti yang tersembunyi akan kelihatan berseri.
Tetapi andai hati itu banyak tompok dosa yang berkelompok, maka hasilnya tunggu dan lihat.
Saya pernah mendengar satu tazkirah yang pengisiannya sangat bermakna.
"Di hati seorang insan yang penuh dengan kebergantungannya pada Allah S.W.T itu pasti keputusannya juga sepenuhnya bergantung pada keputusan Allah."
Pilihan Allah adalah pilihannya, tetapi bagaimana kita tahu pilihan itu adalah pilihan Allah terhadap kita? Pada saya jawapannya adalah istikharah. Istikharah memohon petunjuk Allah S.W.T.
Pandanglah dengan pandangan Allah. Pandangan kebaikan untuk setiap ketentuan.
Apabila kita memandang setiap ketentuan Allah, setiap ujian Allah dan setiap pemberian Allah ke atas diri kita dengan pandangan yang penuh hikmah, pasti yang akan kita temui bukan noktah.
Tetapi kelembutan dan kasih sayang yang tidak pernah renggang, sungguhpun yang DIA berikan itu adalah kesakitan yang kita rasakan tidak akan pernah hilang.
Masa yang berlalu berbekalkan kesabaran akan membuka mata yang bersengkang untuk meminta kebenaran hikmah luas terbentang dan ketika itu, adakah masih mahu menentang? Atau megeluh panjang di atas segala nasib yang dikatakan malang?
Jangan, Allah itu Maha penyayang. Apabila Allah memberikan pasti pemberian itu ada kebaikan yang kemudiannya akan membuat kita tenang. Andai kesabaran menjadi tunjang dan berbaik sangka pada Allah yang selalu kita ingatkan.
"Insan" itu kejadiannya banyak kelemahan ujian datang untuk mendidik hati untuk beriman lembut menerima setiap pengajaran berfikir tentang kekuasaan DIA yang menciptakan.
Manusia itu tidak terlepas dari ujian yang menjadikan rapuhnya Iman, tersungkur ke tanah bagai tiada kekuatan untnk bangkit bertahan. Menimbulkan banyak persoalan, kenapa dan mengapa Allah memberikan kesakitan.  
Namun apabila pertolongan Allah datang melalui teman, segala peringatan Allah disampaikan melalui peti suara insan, kembali kukuh, senyum menikmati hikmah kehidupan. Mengambil pelajaran dan pengajaran atas setiap pemberian.
Sesungguhnya ujian begini sangatlah ringan andai dibandingkan dengan mereka terdahulu yang berperang menegakkan kebenaran. Subhannallah.
Allah itu masih sayang dan sangat sayang kerana memberikan ujian. Ujian itu tandanya mata Allah, perhatian Allah masih pada kita, masih belum berpaling dari kita dan masih tidak jemu mahu mendidik kita agar sedar akan siapa diri kita, amal ibadah kita, dunia kita dan Akhirat kita kelak. Insya-Allah.
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (al-Ankabut, ayat 2-3)

Taubat vs Maksiat


Assalamualaikum. Jika dibenarkan saya mahu bertanya tentang dosa ber'couple'. Kawan saya ramai yang terjebak dengan budaya ini.
Apakah memeluk dan melakukan 'ringan- ringan' tetapi tidak pernah meninggalkan solat itu salah?
Dia bertaubat tetapi tetap melakukan maksiat?
Saya keliru.
Saya diajukan soalan di atas. Alhamdulillah, penyoal seorang yang mengambil berat kepada rakannya. Dia berfikir, mengapa bertaubat tetapi tetap melakukan maksiat?
Saya terpanggil untuk menjawab permasalahan ini. Berhenti daripada perbuatan dosa bukan semudah mencuci debu di jendela. Lebih-lebih lagi dosa yang sudah sebati dalam kehidupan kita. Dosa yang apabila dibuat, langsung tidak rasa gentar kepada Allah S.W.T. Dosa yang direlakan atas bisikan Syaitan yang mengatakan tidak mengapa, Allah Maha Pengampun.
Itu dosa yang sebati dengan kehidupan. Belum lagi dosa yang kita tidak sedar, dosa yang tidak ternampak dari pandangan mata. Alangkah banyaknya dosa kita. Astaghfirullah.
Hidup = Gelas Kosong
Cuba anda perhatikan gelas. Gelas yang kosong. Bayangkan itu waktu hidup seharian kita. Kita mempunyai 24 jam. Dalam tempoh 24 jam, hal kebaikan dan hal keburukan akan berperang untuk mengisi gelas yang kosong tadi.
Jika air jernih kebaikan yang terisi dalam gelas tersebut, alangkah cantiknya. Jika sebaliknya, air hitam pekat busuk yang mengisi gelas tersebut, alangkah jijiknya.
Justeru, kita perlu isi kehidupan kita sebanyak-banyaknya dengan kebaikan. Sentiasa melakukan amal soleh. Isi kehidupan dengan membuat kebaikan sebanyak-banyaknya.
Apabila menyebarkan kebaikan, kita akan rasa lega. Kita akan rasa tenang.
Kita juga rasa bahagia kerana membahagiakan orang. Pernahkah anda merasakan sedemikian? Jika belum, cuba anda memberikan pertolongan kepada orang lain, anda akan rasa gembira dan puas. Insya-Allah.
Bertaubat dan berdoa hanya salah satu dari banyak usaha.
Ada orang menyangka, untuk berhenti daripada melakukan dosa, hanya sekadar berdoa dan solat taubat.
Tidak! Sekali-kali tidak!
Usah menoktahkan usaha setakat berdoa dan solat taubat. Anda perlu melakukan lebih daripada itu.
Kerana apa?
Kerana Syaitan tidak pernah sesaat pun berhenti daripada menyesatkan manusia. Dan ketahuilah, Syaitan itu musuh kamu yang nyata!
Meskipun Syaitan mengalir dalam pembuluh darah manusia, ingatlah, Allah itu lebih dekat daripada urat leher kita. Allah sentiasa ada. Dia ada untuk melindungi hamba-hamba-Nya daripada godaan syaitan.
Hamba manakah yang akan bebas daripada godaan Syaitan?
Hanyalah hamba-hamba Allah yang ikhlas.
Maka, sama-sama melatih diri untuk ikhlas dalam melakukan sesuatu. Semua yang kita lakukan harus bermatlamatkan Allah.
Redha-Nya. Rahmat-Nya.
Akhirnya, selain doa dan solat taubat, isilah dan sibukkanlah kehidupan anda dengan sebanyak-banyaknya amalan kebaikan. Jauhkan diri anda daripada pintu-pintu dan amalan-amalan kejahatan.
Contoh amalan kebaikan ialah solat berjemaah, menghadiri ceramah, kuliah, solat-solat sunat rawatib, bacaan al-Quran, zikir kepada Allah, usrah, bangun qiamullail, bacaan al-Mathurat dan sentiasa mendampingi orang-orang soleh dan alim.

Tenang Yang Dicari


Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.
Mereka yang pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah, masalah baru akan menjelma. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!
Itu bukan sikap seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita. Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!
Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat. Justeru, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia sebagai jambatan kebahagiaan akhirat.  Hukama ada berpesan, dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat. Soalnya, bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk akhirat? Apakah yang perlu kita cari dan perjuangan dalam kehidupan yang sementara ini?
CARILAH HATI YANG SEJAHTERA
Dalam hidup yang sementara ini kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbun salim). Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah 'syurga dunia' sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa. Siang malam, manusia bertungkus-lumus menumpuk harta tanpa memperdulikan kesucian jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin sempit. Harta semakin melimpah tetapi hati semakin sakit.
Kualiti jiwa yang rendah menyebabkan timbulnya sifat mazmumah. Ini akan menimbulkan masalah kepada pemiliknya dan orang lain. Sifat marah, dendam, sombong, iri hati, hasad dengki dan sebagainya membunuh ketenangan dalam diri. Ini menyebabkan penyakit-penyakit lahiriah seperti darah tinggi, lemah jantung, ulser, kanser, diabetes dan lain-lain. Hubungan antara kesihatan hati (psikologi) dengan fisiologi ini telah lama diakui oleh pakar-pakar perubatan.
Tanpa ketenangan tidak ada gunanya kesenangan. Harta, wang, kuasa dan pangkat tidak boleh ditukar ganti dengan ketenangan jiwa. Sebaliknya kekurangan harta, rendahnya jawatan atau pangkat, dapat ditampung oleh ketenangan jiwa.
Orang miskin yang sabar masih boleh menikmati kehidupan yang tidak boleh dinikmati oleh orang kaya yang ego. Sebaliknya, tanpa sifat qanaah, sihartawan sekalipun akan terus tersiksa oleh kemiskinan jiwanya. Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw melalui sabdanya bahawa kaya sebenar ialah kayanya jiwa.
IMAN MAMPU MENAMPUNG KEKURANGAN
Ada enam perkara yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam perkara itu stabil maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu adalah kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan. Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.
Sungguhpun begitu, dalam realiti kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam semua perkara itu. Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya.  Ada yang kaya tetapi kesihatan terganggu. Ada pula kesihatannya baik tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota masyarakat.
Begitulah lumrah dunia, tidak ada seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika demikian, apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup? Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung kekurangan dalam perkara-perkara yang lain. Jika seorang itu miskin, sakit, berpangkat rendah dan lain-lain kekurangan maka iman akan menampung kekurangan-kekurangan itu dengan sifat sabar, redha, qanaah, lapang dada dan tawakal.
Namun, tanpa iman segala kelebihan yang dimiliki akan tidak berguna. Tanpa iman, sikaya akan tamak dan tidak akan merasa cukup dengan kekayaannya, yang berkuasa akan menindas dan menzalimi, yang sihat akan lupa diri dan membuat kejahatan, yang banyak ilmu akan angkuh dan menghina orang lain.
Semua ini akan mengundang kebencian, ketidak puas hatian, kemarahan, kedengkian sesama manusia yang akhirnya akan menimbulkan krisis antara yang simiskin dengan yang sikaya, yang berkuasa dengan rakyat jelata, buruh dengan majikan dan lain-lain. Tegasnya, kualiti jiwa yang rendah (tanpa iman) itulah yang mencetuskan kemusnahan dalam hidup manusia. Dan untuk mengatasinya, tidak ada jalan lain kecuali dengan meningkatkan kualiti hati!
KUALITI HATI
Mengapa soal hati sangat penting? Hati adalah kuasa penggerak di dalam diri manusia. Jika hati dikuasai kebenaran, nescaya ia menjana kebaikan. Sebaliknya jika hati dipenuhi kebatilan, ia akan melahirkan kejahatan. Hati yang dipenuhi kebaikan dan kebenaran adalah hati yang berkualiti. Ia mampu menghadapi apa juga cabaran atau masalah dalam hidup. Manakala hati yang dikuasai kejahatan dan kebatilan, adalah hati yang lemah. Ia akan goyah menghadapi masalah dan cabaran dalam hidup.
Bila hati tidak berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan, keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka ini umpama meminum air laut, makin diminum semakin haus. Atau memburu fata morgana – bahang yang sangat panas disangka air.
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Sumber Text: Gentar Rasa
إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: ""Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita."" Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah At-Taubah 9:  Ayat ke 40)

Monday, September 5, 2011

Elak Kesilapan Menjelang Pernikahan


"Berapa hantarannya?"
"Kenduri bila?"
"Honey moon di mana?"
Demikian antara persoalan yang sering timbul apabila hari pernikahan semakin hampir. Menjelang kenduri kahwin, semakin sibuk ibu bapa, keluarga serta bakal pengantin sendiri menghabiskan masa untuk memastikan persediaan sempurna dan tiada apa yang kurang.
Malah hari ini sudah menjadi perkara biasa untuk kaum keluarga dan adik-beradik memakai pakaian sedondon, sesuai dengan warna tema sesebuah majlis kenduri kahwin. Andaikata warna temanya biru, semua adik-beradik dan kaum keluarga akan berpakaian seragam biru. Khemah pun disusun rapi dan bereben biru sehinggakan door gift untuk tetamu pun mesti bertema serupa!
Namun adalah satu kesilapan bagi bakal pengantin lelaki dan wanita untuk terlalu fokus dengan persediaan fizikal di atas. Terlalu banyak tenaga, wang ringgit dan masa dicurahkan untuk persediaan kenduri, wang hantaran dan sebagainya.
Adalah lebih wajar 80 peratus daripada tenaga dan masa digunakan untuk meningkatkankemahiran mengatasi konflik yang pasti menanti anda sebaik saja bergelar suami/ isteri. Sebaik-baiknya anda yang bakal mendirikan rumahtangga melengkapkan diri untuk menghadapi realiti alam perkahwinan jangka panjang.
LARI DARI MASALAH
Ada lelaki/ wanita memikirkan, perkahwinan menyelesaikan masalah hidup. Sesetengah lelaki/ wanita menyangka, sesudah berkahwin sudah tentu akan bahagia selamanya.
Umpamanya wanita yang terasa dikongkong oleh ibu bapa, mungkin menyangka dengan berkahwin, akan menjadi bebas. Atau ada lelaki menyangka bila sudah kahwin, makanan, pakaian dan kediaman akan terurus.
Mereka kurang memahami bahawa perkahwinan adalah suatu alam istimewa dan amat mencabar di mana kemahiran tertentu amat perlu untuk mengendalikan khususnya tiga perkara : JANGKAAN & HARAPAN, KOMUNIKASI dan PENYELESAIAN KONFLIK.
Inilah antara punca banyaknya berlaku perceraian tidak kira apa juga bangsa dan agama sekalipun.
JANGKAAN & HARAPAN
Sebenarnya, perkahwinan hanya akan berpotensi untuk berjaya jika kita benar-benar berusaha ke arah itu. Jika jangkaan kita tidak realistik, inilah salah satu sebab berlakunya ketegangan serius yang mengakibatkan perceraian.
Renung dan insaf diri sendiri. Setiap kita ada banyak kelemahan dan kekuatan. Banyak yang perlu diperbaiki. Begitu juga bakal suami/ isteri. Jangan harapkan pasangan yang sempurna kerana hanya Allah sahaja yang sempurna.
Walau sesuci manapun niat kita dalam mendirikan rumah tangga, pastinya ada kekurangan di pihak kita dan suami/ isteri kita.
Apa kata kalau calon suami/ isteri ada sesuatu tabiat yang kita tidak suka umpamanya merokok atau kaki perempuan atau kaki judi? Di sinilah silapnya sesetengah wanita mengandaikan: kerana dia cintakan aku, dia akan berubah.
Kita tidak boleh mengubah diri seseorang. Kalau dia berubah kerana kita sekalipun, kemungkinan itu hanya bersifat sementara dan selang beberapa lama, tabiat itu akan diulangi. Lainlah ceritanya jika dia berubah kerana benar-benar taubat dan insaf.
KOMUNIKASI & PENYELESAIAN KONFLIK
Dua isu ini berkait rapat jadi eloklah dikupas bersama di sini.
Tanya diri sendiri: Adakah aku ada kemahiran komunikasi yang baik? Umpamanya jika berselisih faham dengan kawan atau adik-beradik, tidak puas hati dengan rakan sepejabat, bagaimanakah anda menyelesaikannya?
Adakah anda pandai menyampaikan ketidakpuasan hati anda ini dengan cara yang efektif? Atau anda lebih suka memendam rasa?
Kalau marah, adakah kebiasaan anda untuk tunggu dan tunggu sampai tidak tahan sehingga ia meledak keluar? Adakah anda seorang pendengar yang baik?
Ini penting kerana dalam perkahwinan, seringkali akan timbul perselisihan pendapat. Jika anda tidak cekap berkomunikasi, lambat laun perasaan ini akan terkumpul sehingga suatu hari nanti menjadi punca pergaduhan yang besar.
Pokoknya, jika tahu anda kurang cekap berkomunikasi, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memperbaiki keadaan ini. Maknanya WAJIB anda belajar mengatasi keadaan ini.
Contoh: Sesetengah wanita kuat merajuk, suka bermasam muka dan membatu apabila marah. Sebab sudah terbiasa dari kecil berkelakuan begini, tiada sesiapa yang cuba memperbetulkannya.
Apabila sudah berkahwin, marah dengan suami, dia akan bermasam muka dan mendiamkan diri berhari-hari. Suami pula menjadi serba salah, terpinga-pinga, tidak tahu apa silapnya.
Apabila sudah sering berlaku begini, tentunya akan mencetuskan rasa kurang senang antara kedua belah pihak.
Perlu diingat, sebaik-baik perkahwinan adalah di mana suami dan isteri saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Namun tanpa kemahiran komunikasi yang efektif, sukar untuk mencapai keadaan ini.
REALITI KONFLIK
Sebenarnya konflik boleh menjadi sesuatu yang positif atau negatif, bergantung pada reaksi anda terhadap konflik tersebut. Ia positif bila anda menggunakannya sebagai suatu batu loncatan untuk lebih memahami suami/ isteri anda.
Beberapa punca konflik rumahtangga termasuk:
  1. Cara kita dibesarkan berbeza antara satu sama lain. Ada wanita dididik bahawa Rasulullah S.A.W menjahit baju sendiri, buat kerja rumah. Bermakna menyumbang bukan sahaja wang ringgit, tapi masa dan tenaga. Kahwin pula dengan lelaki yang tak pernah buat kerja-kerja ini; tak pernah tengok bapanya buat kerja-kerja begini. Perkara sebegini pun boleh menimbulkan konflik juga.
  2. Pengendalian wang – belajar untuk bajet.
  3. Mertua (termasuk ipar duai) – beri masa untuk mereka menyesuaikan diri dengan kehadiran anda. Untuk ibu dan bapa mertua khususnya, sukar untuk 'let go' atau melepaskan anak.
  4. Seimbangkan keperluan anda dengan mertua dan keluarganya.
  5. Luangkan masa untuk mengenali lebih dekat mertua dan ipar duai tapi jangan masuk campur perkara yang tidak membabitkan anda.
  6. Ada sesetengah suami mewajibkan isteri untuk menziarahi keluarganya setiap minggu. Adakah ini wajar? Jika sudah tahu demikian, sudahkah diberitahu sebelum berkahwin?
TIPS BONUS
  1. Banyak lagi syarat-syarat yang diperlukan untuk menjayakan sesebuah mahligai perkahwinan selain kasih sayang – sokongan, toleransi, kesabaran, kejujuran, hormat-menghormati, merendah diri, humour (maknanya mudah berjenaka dan jangan terlalu serius sentiasa).
  2. Bayangkan bila sudah berkahwin. Bangun tidur orang pertama yang kita nampak ialah suami/ isteri. Jika ada masalah, dialah yang menjadi tempat kita mengadu. Pendek kata suami atau isteri adalah orang paling rapat dalam hidup kita. Itulah sebabnya seelok-eloknya kita persiapkan diri kita untuk menghadapi alam perkahwinan sesempurna yang boleh.
  3. Perkahwinan ibarat menanam pokok. Selagi kita siram air, cukup cahaya matahari, baja, sihatlah dia. Jika diabaikan dan tersilap baja, pastinya layu dan suram tidak bermaya.
  4. Berhati-hati apabila berkata-kata. Jadilah kawan yang paling istimewa untuk suami/ isteri anda. Terlalu ramai suami/ isteri yang tinggal sebumbung tetapi tidak berkongsi lebih dari itu. Cuba cari sekurang-kurangnya satu hobi atau projek yang boleh diusahakan bersama. Umpamanya kalau suka membantu anak yatim, usahakan ke arah itu. Atau minat kelas agama, mungkin boleh sama-sama aturkan satu program untuk surau berdekatan.
  5. Mudah meminta maaf jika timbul ketegangan. Meskipun kita rasa bukan salah kita. Minta maaf dulu sebab seringkali kita tak nampak apa kesilapan kita (kecuali keadaan tertentu yang sudah nyata seperti suami mendera isteri).
  6. Menghargai suami/ isteri. Jangan 'take for granted' perkara-perkara yang dibuat oleh pasangan anda, meskipun ia kecil.
  7. Memahami lelaki dan wanita berbeza. Umpamanya lelaki, cari mentega dalam peti sejuk pun tak jumpa. Wanita pula sering sesat di jalanraya dan sukar membaca peta. Ini perkara biasa dan tak perlulah diperbesarkan!
  8. Berilah masa untuk suami/ isteri masa bersendirian. Ada kala dia perlu masa untuk berehat, memikirkan masalah di luar yang tiada kena mengena dengan kita.
  9. Jangan tidur dengan perasaan marah antara satu sama lain. Perlu diselesaikan segera.
Mudah-mudahan tips di atas menjadi sumber ilham kepada anda untuk lebih bersedia melangkah ke alam perkahwinan dan memilih cara-cara terbaik demi perkahwinan yang bahagia dan berjaya yang diberkati oleh Allah. Wallahua'lam.