Tuesday, October 4, 2011

Bergopoh-Gapah


Satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya dan boleh menjatuhkan manusia ke jurang maksiat dan boleh meluputkan pahala segala kebajikan ialah tindakan bergopoh-gapah (isti'jal).
Mengikut Imam al-Gazali, gopoh-gapah merupakan penyakit kalbu yang mendesak seseorang agar segera mengerjakan sesuatu urusan sebaik-baik sahaja terlintas di hati, tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dulu. Urusan itu lalu dikerjakan dengan terburu-buru nafsu. Khususnya dalam berbuat amal kebajikan, ada orang yang ingin segera mencapai martabat yang tinggi, lalu dengan tergopoh-gapah mengerjakan ibadat supaya segera mencapai hajatnya itu.
Orang yang bergopoh-gapah seperti itu hanya akan bersungguh-sungguh mengerjakan ibadatnya pada peringkat awalnya saja. Apabila hajatnya, matlamat ibadatnya, tidak tercapai dalam masa yang singkat, dia mudah menjadi lemah dan terus kecewa, lantas dia meninggalkan kesungguhannya itu.
Impak Sikap Gopoh
Kesungguhan dan kegopohannya itu menyebabkan dia kepenatan dan tidak terdaya lagi hendak meneruskan ibadatnya. Sudahnya, kerja ibadatnya terbengkalai dan cita-cita ingin mencapai martabat idamannya itu luput dengan begitu saja. Dalam keadaan bergopoh-gapah, kerapkali seseorang itu melakukan kesilapan sampai melakukan kerja di luar kebajikan pula atau menyeleweng dari syariat. 
Umpamanya, jika berbicara, akan tergelincirlah lidah menuturkan kata-kata yang keji atau sia-sia. Jika makan atau minum, akan termakan atau terminum secara berlebihan atau pun makanan dan minuman yang haram atau syubahat menjadi pilihan. Mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau untuk orang lain juga termasuk dalam penyakit bergopoh-gapah, sebagaimana firman Allah yang mafhumnya:
"Dan manusia mendoakan kejahatan sebagaimana dia mendoakan kebaikan dan adalah manusia itu bersifat gopoh-gapah" (al-Isra' : 11)
Dalam keadaan tertentu, memang ada orang yang mendoakan keburukan untuk orang lain. Umpamanya, seseorang yang dizalimi akan membanyakkan doa supaya penzalim yang berkenaan mendapat pembalasan segera daripada Allah. Jika doanya itu dimakbulkan, tentulah hatinya berasa senang dan puas, tetapi dia dikira telah melakukan kerja maksiat kerana tindakannya itu.
Lawan "gopoh-gapah" itu ialah "anaah", iaitu ciri kalbu yang membimbing seseorang supaya berlambatan dan tenang, penuh hemat atau berhati-hati mengerjakan sesuatu urusan, yakni terlebih dulu dikaji-selidik, dibuat perancangan dan pertimbangan yang saksama dan berpandangan jauh dengan membuat andaian-andaian tentang kemungkinan akan berlakunya keburukan atau risiko, lalu lebih dulu dirancang cara-cara mengatasinya.
Warak Pokok Kepada Ibadat
Keadaan yang demikian adalah merupakan ciri-ciri asas sifat warak. Sifat warak ini penting kerana pokok kepada ibadat itu ialah warak iaitu berhati-hati dan teliti dalam tindakan, penuh hemat dalam membuat pertimbangan terhadapa segala urusan. Jika sebaliknya, maka itulah yang dikatakan: Apabila berbicara, pembicaraannya akan tergelincir daripada kebenaran. Apabila makan, akan termakan makanan yang haram atau syubahat. Demikianlah juga dalam urusan yang lain. Dengan yang demikian, maka luputlah sifat waraknya. Amalan atau ibadat tanpa warak tidak akan menghasilkan kebajikan.
Menurut Imam al-Ghazali : Sifat anaah itu merangkumi dua prinsip, iaitu tawaqquf dan taanni. Maksud tawaqquf ialah terlebih dahulu menyelidiki sesuatu urusan sebelum memulakan pelaksaannya sehingga ternyata kebenaran dan kebaikannya, manakala taanni bermaksud, berhati-hati-hati pada permulaan dan semasa melaksana sesuatu urusan supaya berjalan dengan lancar dan sewajaranya, sehingga tercapai matlamat. Tindakan berhati-hati dalam beribadat dan menangani segala urusan (mengikut konsep anaah) itu amat dituntut, manakala tergesa-gesa atau tergopoh-gapah (al-'ajalah) itu ditegah.
Rasulullah bersabda, maksudnya: "Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan kecuali dalam lima perkara, iaitu mengahwinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan mayat, melayani tetamu dan bertaubat daripada dosa".

Hakikat Persiapan Perkahwinan


Saya merasakan kita perlu wujudkan post mortemdengan apa kita lakukan dan apa yang berlaku di sekeliling kita. Namun, kita perlu mengelak dari menjadi kebiasaan diri kita yang selalunya mencari alasan untuk membenarkan cara, walhal kita perlu mencari kebenaran untuk mengetahui cara.
Di musim perkahwinan yang lalu, rata-rata seronok sekali berkenduri kendara dengan pelbagai tema dan mengharungi pelbagai rintangan dalam persiapan. Rata-rata majalah dan ceramah agama menyentuh aspek larangan dalam kebiasaan menganjurkan walimatulurus seperti pakaian, kelalaian masa, pertembungan antara budaya dan agama, dan pembaziran wang. Namun, aspek persiapan dicanang-canang seawal 3 hingga 4 bulan, sehingga dianjurkan Wedding Festival dan Pameran Kerja Kahwin.
Secara umumnya, kita melihat bahawa kaum hawa lebih fokus dan komited dalam melakukan persiapan perkahwinan, dari persiapan jemputan, ketibaan, hiburan, bersanding dan makan beradap serta fotografi. Di pihak lelaki, rata-rata kita menyaksikan lelaki lebih cenderung bersiap sedia menghadapi saat akad nikah. Terutamanya berkenaan soalan-soalan cepu emas.
Tidak terlepas pandang, dikalangan lelaki yang mempersiapkan diri untuk malam pertama. Baju bersanding, keadaan dewan, jemputan dan berbagai lagi kebiasaannya menjadi pak turut sahaja. Kerenah manusia, ada juga lelaki begitu cerewet berkenaan persediaan begitu, kadang lebih cerewet dari perempuan pula.
Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini, sekali pandang telah mula nampak kesedaran di kalangan bakal pengantin kerana ada mula membuat persiapan yang hakiki, persiapan untuk menjadi seorang pemimpin keluarga, pendidik keluarga dan seorang yang melengkapi imannya.
Begitulah perkahwinan yang mengubah dengan mengangkat martabat seseorang. Alangkah ruginya jika kita tiada kesedaran ini dan beranggapan bahawa perkahwinan adalah semata-mata untuk berumah tangga dan untuk menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan.
Menyedari hakikat perkahwinan ini mengangkat martabat seseorang, maka persiapan perlu dibuat. Bagaikan kita akan ditabal menjadi seorang raja. Kita tidak mahu menjadi seorang raja yang bodoh dan dibonekakan. Oleh itu, ilmu itu perlu.
Bagi seorang lelaki, perlu dia mempelajari sebanyak mungkin ilmu agama terutamanya fiqh dantasawuf. Tidak hanya ilmu itu berkaitan perkahwinan, ini kerana, dia akan menjadi ketua keluarga bagaikan kapten kapal yang akan mengarah arah tuju kemudi kapal. Seorang kapten kapal tidak hanya perlu tahu perihal kapalnya, tetapi juga berkenaan geografi, petunjuk bintang, lautan, pemakanan serta pertahanan.
Jika kamu pembaca ini adalah seorang wanita, mintalah dia bawa kamu atau dia menghadiri kuliah-kuliah agama atau kelas pengajian dewasa di masjid-masjid berdekatan. Insya-Allah dengan usaha yang sedikit, akan membawa keberkatan dan ilmu itu datang kepada kita tanpa kita duga.
Ilmu berumahtangga, terutamanya kaedah-kaedah menghadapi konflik juga penting. Perkahwinan akan menggabungkan 2 keluarga dan seorang suami itu mengetuai jalingan antara dua keluarga ini. Tidak semudah dijangka, konflik dalaman yakni di dalam rumah kita sendiri juga boleh berlaku. Memadai jika bersenang-senang membaca buku-buku motivasi dan hadir ke perbincangan mengenai isu ini.
Ilmu ekonomi rumahtangga antara yang penting dan memainkan peranan besar dalam mengemudi kapal perkahwinan. Sebagai seorang ketua, kita menetapkan bajet dan memastikan anak-anak dan isteri berada dalam keadaan terbaik dalam mencari hala tuju masa hadapan mereka. Buatlah bajet untuk perbelanjaan harian, perbelanjaan ke arah ibadah, zakat dan nafkah.
Ilmu terakhir adalah ilmu menghadapi masalah. Meskipun kita miliki ilmu berumahtangga, ekonomi dan agama sekalipun tetapi kita kurang arif dalam menghadapi masalah, kemungkinan besar kita akan terjerumus ke dalam permasalahan yang lebih besar. Sabar dan bertolak ansur serta menyiasat sebelum bertindak antara kaedah-kaedah dalam menghadapi masalah.
Suka saya menyingkap kata-kata Imam Al-Ghazali, "ilmu semata-mata tidak akan dapat menyelamatkan orang", yang bermaksud, ilmu yang disimpan tetapi tidak diguna pakai akan menjadi sia-sia. Dan orang yang tiada ilmu pula ibarat kapal yang terapung, selamat, tetapi tidak dikemudikan kemana-mana dan mengikut sahaja kemana air membawanya.Carilah ilmu yang bermanfaat.
Dahulunya kita mampu memperlajari ilmu-ilmu di universiti, melepasi segala peperiksaan dan menggenggam ijazah, tidak mustahil untuk kita mempelajari ilmu agama pula. Yang penting, langkah pertama! Mencari ilmu tidak kenal usia, apa dimalukan untuk belajar meskipun usia sudah lanjut, sedangkan doktor-doktor falsafah umurnya menjangkau 40-50an masih belajar mencari PhD?
Saya amat menyeru agar bakal-bakal suami, juga mereka begelar suami kini dan saya sendiri melukis langkah-langkah untuk menjadi suami yang baik dan pemimpin keluarga yang cemerlang dengan merangka langkah-langkah yang bijak. Terimalah hakikat bahawa persiapan perkahwinan bukan hanya persiapan majlis perkahwinan tetapi persiapan menghadapi seakhir hayat usia gelombang perkahwinan. Apa yang lebih penting adalah hari-hari selepas majlis perkahwinan. Sedangkan majlis perkahwinan hanyalah bertujuan mewar-warkan pernikahan yang telah sah untuk mengelak fitnah dan sekadar memori indah untuk kita kenang-kenangkan ketika cabaran mendatang.

Menentang Hasutan Syaitan


Dalam Al-Quran, jelas sekali Allah mendedahkan bahawa musuh manusia bukanlah manusia tetapi Iblis yang ingkar akan perintah-Nya untuk sujud kepada Adam.
Oleh kerana disingkirkan dari syurga, Iblis berjanji untuk membinasakan Adam dan anak cucunya hingga ke hari akhirat. Allah telah mengizinkannya.
Allah mengingatkan agar kita sentiasa berwaspada daripada pengaruh syaitan. Ia melihat dan hidup bersama kita tetapi kita tidak dapat melihatnya. Dia selalu mengacau sekalipun dalam solat. Ia menghiaskan kita dengan pelbagai maksiat.
Bagaimana kita dapat mengatasi, menolak segala rupa ancaman serta bisikannya yang mendorong kepada kesesatan?
Pertama, hendaklah kita menganggapnya sebagai musuh utama di dunia ini. Bahaya syaitan yang paling kita khuatiri ialah bahawa ia mengetahui kelemahan jiwa manusia.
Ulama telah memberikan pandangannya tentang dunia syaitan. Syaitan mempunyai zuriat sama seperti manusia sebagaimana yang difirmankan Allah yang bermaksud:
"Patutkah kamu mengambil ia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu?" (Surah Al-Kahf: 50)
Jika syaitan itu bukan daripada unsur malaikat tetapi serba sedikit ada menyerupainya. Tatkala Allah memerintah malaikat sujud kepada Nabi Adam, iblis terus menyampuk sambil berkata: "Patutkah aku tunduk dan sujud kepada makhluk yang dijadikan daripada tanah?'' Apabila iblis enggan melaksanakan perintah Allah swt, maka ia terus disingkir daripada rahmat-Nya. Allah berfirman:
"Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya." (Surah Al-Kahf: 50)
Iblis bukan sahaja menderhakai Allah malah bersumpah dengan kekuasaan Allah bahawa ia akan tetap menggoda segala makhluk Allah melainkan hamba-Nya yang ikhlas dan taat. Al-Quran menyebut:
"Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka (orang-orang yang telah diberi taufik untuk mentaati segala petunjuk dan perintah Allah)." (Surah Shaad: 82,83)
Justeru itu, Allah selalu mengingatkan kita akan godaan syaitan. Setiap insan ada syaitannya yang sering menggoda, menyesat dan menghiaskan baginya pelbagai maksiat.
Dalam hal ini, para ulama telah mengemukakan beberapa dalil. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, yang berkata:
"Rasulullah telah keluar pada satu malam dari kamarku. Secara sepontan, aku berasa cemburu padanya. Apabila Rasulullah datang melihat keadaanku, maka Baginda pun bertanya: Apa yang telah terjadi padamu ya Aisyah? Adakah kamu cemburu padaku? Aku menjawab: Adakah aku pernah cemburu seperti yang aku hadapi sekarang? Rasulullah saw berkata: Adakah syaitanmu telah menguasaimu? Aku menjawab: Wahai
Rasulullah! Adakah syaitan bersamaku juga? Jawab Rasulullah: Ya.
"Aku teruskan pertanyaanku. Adakah syaitan juga bersamamu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ya, Tetapi Tuhanku telah melindungiku hinggalah aku terselamat daripadanya."
Ada juga sepotong hadis yang maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu masuk lari ke dalam tubuh anak Adam melalui saluran darahnya."
Syaitan mempunyai pelbagai cara perangkap dan komplot. Syaitan sangat suka menyesatkan orang-orang yang jahil atau kurang ilmu.
Ia menghiaskan mereka dengan amalan telek-menelek dan kepercayaan karut sehingga dapat menyakinkan manusia dengan ilmu ghaib.
Ia juga memperdaya orang-orang jahil supaya memberi fatwa tanpa pegangan ilmu yang sahih dan juga menyebarkan perkara bidaah serta memesongkan manusia dengan ajaran-ajaran sesat yang bertentangan dengan Islam.
Kita dapat mempertahankan hasutan dan tipu-daya syaitan dengan memohon perlindungan daripada Allah. Allah menyifatkan orang-orang yang bertakwa sahajalah yang dapat menentang ancaman syaitan daripada menembusi hatinya seperti firman-Nya:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa wasangka daripada syaitan mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka." (Surah Al-A'raaf: 201)
Tipu-daya syaitan itu lemah jika dinisbahkan dengan seorang Mukmin yang teguh imannya.
Apabila syaitan mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, dirinya menjadi kecil seperti ukuran lalat dan apabila mendengar seruan azan pula, ia lari lintang-pukang dek ketakutan. Allah telah mengajar kita bagaimana kita dapat menolak syaitan sehingga ia mengundurkan dirinya. Allah berfirman:
"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
(Surah Al-A'raaf: 200)
Rasulullah juga telah mewasiatkan umatnya supaya membaca ayat al-Kursi sebelum tidur, seperti sabdanya yang bermaksud:
"Apabila salah seorang daripada kamu hendak tidur, maka bacalah ayat al-Kursi. Sesungguhnya dia sentiasa dalam jagaan Allah dan syaitan tidak akan mengganggunya sehinggalah waktu fajar."
Terdapat juga doa-doa menentang godaan syaitan iaitu seperti doa Rasulullah yang berbunyi: "Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kemarahan-Nya, seksaanNya, kejahatan hamba-Nya dan juga daripada bisikan-bisikan syaitan."

Monday, October 3, 2011

10 pintu syaitan di alam nyata

Pintu-pintu tersebut tidak boleh terbuka kecuali jika seseorang mengetahui pintu-pintu tadi. Syaitan tidak boleh terusir dari pintu tersebut kecuali jika seseorang mengetahui cara syaitan memasukinya.

Cara syaitan untuk masuk dan apa saja pintu-pintu tadi adalah sifat seorang hamba dan jumlahnya amatlah banyak.

Pada masa ini kami akan menunjukkan pintu-pintu tersebut yang merupakan pintu terbesar yang setan biasa memasukinya. Semoga Allah memberikan kita pemahaman dalam permasalah ini.

Pintu pertama:
Ini adalah pintu terbesar yang akan dimasuki syaitan iaitu hasad (dengki) dan tamak. Jika seseorang begitu tamak pada sesuatu, ketamakan tersebut akan membutakan, membuat tuli dan menggelapkan cahaya kebenaran, sehingga orang seperti ini tidak lagi mengenal jalan baik atau buruk.

Begitu pula jika seseorang memiliki sifat hasad, syaitan akan menghias-hiasi sesuatu seolah-olah menjadi baik sehingga disukai oleh syahwat padahal hal tersebut adalah sesuatu yang mungkar.

Pintu kedua:
Iaitu marah. Ketahuilah, marah dapat merosak akal. Jika akal lemah, pada masa itulah tentara syaitan akan melakukan serangan. Mereka akan mentertawakan manusia jika manusia terbawa amarah. Pada keadaan kita seperti ini, segeralah berwudhu kerana marah terjadi akibat hembusan api jahanam, padamkan dengan air wudhu.
Pintu ketiga:
Iaitu sangat suka menghias-hiasi tempat tinggal, pakaian dan segala perabot yang ada. Orang seperti ini sungguh akan sangat rugi kerana umurnya hanya dihabiskan untuk tujuan ini.

Pintu keempat:
Iaitu kenyang kerana telah makan banyak makanan. Keadaan seperti ini akan menguatkan syahwat dan melemahkan untuk melakukan ketaatan pada Allah. Kerugian lainnya akan dia dapatkan nanti di akhirat.

Pintu kelima:
Iaitu tamak pada orang lain. Jika seseorang memiliki sifat seperti ini, maka dia akan berlebih-lebihan memuji orang tersebut padahal orang itu tidak memiliki sifat seperti yang ada pada pujiannya.

Akhirnya, dia akan mencari muka di hadapannya, tidak mahu memerintahkan orang yang disanjung tadi pada kebajikan dan tidak mahu melarangnya dari kemungkaran.
Pinta keenam:
Iaitu sifat selalu tergesa-gesa dan tidak mahu bersabar untuk perlahan-lahan. Padahal terdapat sebuah hadits dari Anas, di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Sifat perlahan-lahan (sabar) berasal dari Allah. Sedangkan sifat ingin tergesa-gesa itu berasal dari syaitan.” (Hadits ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dalam musnadnya dan Baihaqi dalam Sunanul Qubro. Syaikh Al Albani dalam Al Jami’ Ash Shoghir mengatakan bahwa hadits ini hasan)

Pintu ketujuh:
Iaitu cinta harta. Sifat seperti ini akan membuat berusaha mencari harta bagaimana pun caranya. Sifat ini akan membuat seseorang menjadi bakhil (kedekut), takut miskin dan tidak mahu melakukan kewajiban yang berkaitan dengan harta.

Pintu kelapan:
Iaitu mengajak orang awam supaya ta’ashub (fanatik) pada madzhab atau golongan tertentu, tidak mahu beramal selain dari yang diajarkan dalam madzhab atau golongannya.

Pintu kesembilan:
Iaitu mengajak orang awam untuk memikirkan hakIkat (kaifiyah) dzat dan sifat Allah yang sukar dicapai oleh akal mereka sehingga menjadikan mereka menjadi ragu dalam masalah paling penting dalam agama ini iaitu masalah aqidah.

Pintu kesepuluh:
Iaitu selalu berburuk sangka terhadap muslim lainnya. Jika seseorang selalu berburuk sangka (bersu’uzhon) pada muslim lainnya, pasti dia akan selalu merendahkannya dan selalu merasa lebih baik darinya.

Seharusnya seorang mukmin selalu mencari udzur dari saudaranya. Berbeza dengan orang munafik yang selalu mencari-cari ‘aib orang lain.

Semoga kita dapat mengetahui pintu-pintu ini dan semoga kita diberi taufik oleh Allah untuk menjauhinya.
 

Redha vs Terpaksa


Setiap perjalanan hidup ini ada dugaan yang datang menghampiri. Tidak kira sama ada kita rela atau tidak ia pasti menjengah hidup dan kehidupan. Semua hambaNya pasti merasa dengan cubaan dan dugaan yang dihulurkan agar kita sebagai hambaNya yang hina tidak pernah lupa dan alpa bahawa Dia adalah pentadbir alam yang sebenar-benarnya.
Itu apa yang dikata, namun sunnnatullah kita lah hamba yang paling hampir dengan sifat lupa dan alpa walau terkadang hidup dan diri di uji tetapi masih terus hanyut entah ke mana. Kerana kita tidak redha dengan ujian yang di beri, tidak terima dengan cubaan yang menguji, tidak ingin mengambil pengajaran dari dugaan yang Allah S.W.T hantar  dalam hidup ini.
Apalah erti nya hidup andai hati kita tidak pernah redha dengan segala pemberiannya apatah lagi dugaan. Orang yang tidak faham, mesti berkata ujian dan dugaan itu adalah bala dan musibah. Ya! nampak betul pada pandangan mata kasar, tetapi pada zahirnya ia adalah nikmat dan punya hikmah yang kita sendiri tidak ketahui.
Ujian dan dugaan adalah nikmat - kenapa saya kata nikmat? Nikmat kerana ia adalah sesuatu peringatan buat kita yang sering lupa dan alpa dengan dunia. Sebagai contoh, tanda lampu merah, ibarat berhenti di traffic light, kerana asyik sangat memandu satu masa kita akan jumpa lampu merah sebagai peringatan agar kita berhenti daripada meneruskan perjalanan dan berfikir ke mana harus kita tujui seterusnya, betul ke?
Terpulang pada pandangan masing-masing untuk menilai sejauh mana nikmat dugaan itu perlu kita syukuri dan hati redha dengan ujian Ilahi. Dugaan itu untuk menguji sejauh mana iman dan setebal apakah iman kita? Bila ujian datang kita akan tersedar betapa sebenarnya kita tidak sekuat apa pun, betapa diri kita tidak sehebat mana pun, betapa kita ini bukan lah the champion in the world.
Jangan sombong dengan Dia. Jangan kita lupa bahawa Dia lah champion yang sebenarnya. Kaya itu nikmat tetapi kaya itu juga dugaan. Sihat itu nikmat tetapi sihat itu juga dugaan. Rezeki itu nikmat tetapi rezeki itu juga dugaan. Ilmu itu nikmat tetapi ilmu itu juga dugaan buat kita.
Kalau nak di hitung nikmat yang diberi Allah S.W.T yang Maha Pemurah memang tidak akan terhitung. Maka sedar lah kita jangan hati kita tidak redha dengan ujian dan dugaan yang mendatang. Redhakerana itulah tanda kebahagiaan yang hampir dengan kita. Ya, cakap memang senang tetapi hidup ini perlukan mujahadah untuk kita redha dengan istiqomah agar hati kita tenang dan yang paling penting sentiasa ingat Dia walau apa pun sekali keadaannya. Baik masa susah atau masa senang, waktu kita tersungkur menerima ujian dariNya atau apa sahaja. InsyaAllah hati yang redha pasti tenang.
Jangan kita jadikan hati kita, hati yang sakit saat terima ujian dan dugaan dan merasakan tiada peluang dan ruang untuk kita terus berjuang. Kita diberi ujian sebagai ingatan agar kita tak terus alpa, agar kita ingat itu adalah balasan dunia untuk ringankan azab di akhirat sana. Sedarlah kita sebagai hambaNya hanya meminjam apa yang ada, dan Dia berhak memberi apa sahaja yang dia mahukan agar kita tahu Dia masih menyayangi kita masih memandang kita sebelum Dia palingkan wajahNya dari kita.
" Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya, dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorang pun yang sanggup untuk melepaskan nya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Fathir: 2)
Hati yang sakit dan tidak redha tidak akan mudah dan tidak akan berlapang dada dalam menerima dugaan dan ujianNya, kerana apa? Kerana hatinya telah jauh dari AsmaNya. Ubati lah hati itu agar kita tidak semakin jauh dan menjauh, terima lah ujian Nya agar kita tidak mengikuti jalan yang salah. Sesungguhnya " Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah: 286)
Terima seadanya apa yang ada kerana setiap apa pun yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Dalam perjalanan hidup ini kita mesti terus berjalan namun sesekali kita harus berhenti untuk muhasabah diri sebelum terus meneruskan perjalanan hidup ini. Semoga menjadi ingatan bersama kerana saya juga hambaNya yang masih mencari sesuatu di antara waktu.

Satu Bicara Tentang Wanita


Hujan lebat sedang membasahi bumi. Membersihkan kekotoran dan debu pada dedaunan yang menghijau. Menyuburkan tanah yang kekeringan dan tandus. Kelihatan beberapa mahasiswa dalam keadaan basah, sedang berlari-lari meredah hujan tersebut.
Aku dengan Stacy sedang duduk di salah sebuah meja dalam kafeteria sambil melayari internet. Pada masa yang sama, sambil menunggu hujan redha sebelum kembali ke asrama pelajar. Aku menekan papan kekunci komputer. Melayari laman sosial Facebook.
Kelihatan beberapa komen yang berkaitan isu poligami sedang tercatat di dinding catatan salah seorang kenalanku di laman sosial Facebook. Ku amati apa yang ditulisnya, cuba mengambil manfaat daripadanya.
Stacy yang sedang duduk begitu rapat disebelahku pula memerhati, sambil menikmati minuman coklat panas dan beberapa keping biskut Chipsmore.
"Tidakkah kamu fikir bahawa Islam itu menzalimi wanita?" Soal Stacy secara tiba-tiba. Aku terkejut mendengar soalan itu. Mungkin dia terlihat tulisan rakanku di Facebook itu. Aku diam seketika mendengar soalan itu. Soalan yang menguji iman. Bagi sesetengah orang yang kurang pengetahuan, soalan tersebut mungkin boleh membuatnya gelabah.
"Tidaklah. Saya tidak rasa dizalimi pun." Aku menafikan dengan tenang tanggapan disebalik soalan Stacy. Sebagai seorang wanita muslimah, bagiku Islam bukanlah agama yang menindas wanita. Islam adalah agama yang membela dan memuliakan darjat kaum wanita. Aku merasa selamat memilih Islam sebagai agamaku.
"Okeylah." Kata Stacy mengiyakan pandanganku. Tapi aku dapat rasakan disebalik kata-kata ini, masih tersembunyi ketidak puasan hati. Akan ada soalan seterusnya yang menyusul.
"Mengapa dalam Islam, lelaki dibenarkan untuk berpoligami, sedangkan perempuan tidak dibenarkan untuk berbuat demikian? Bukankah ini sesuatu tidak adil ke atas wanita?"
Jangkaan ku tepat. Soalan tadi tidak berhenti di situ, Stacy masih menyoal soalan yang menduga keyakinanku terhadap Islam. Stacy adalah seorang gadis non-muslim yang berfikiran terbuka. Meskipun dia seorang yang beragama Kristian, tetapi sekiranya dilihat daripada segi pemikirannya, dia sebenarnya sudah semakin jauh dari ajaran Kristian itu sendiri. Aku mengenalinya ketika pensyarah mengarahkan kami untuk menyiapkan satu kertas kerja bersama-sama. Daripada perkenalan yang singkat itu, aku dapat fahami fikirannya kelihatan dipengaruhi dan cenderung kepada fahaman feminisme.
Gerakan fahaman feminisme bukanlah sesuatu yang baru pada masa kini. Ianya sudah wujud bertahun yang lama. Gerakan ini berhasrat untuk memperjuangkan hak wanita dan menuntut kesamaan status sosial, politik dan ekonomi antara lelaki dan wanita dengan cara yang tidak sepatutnya. Apa yang diperjuangkan oleh mereka adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Sesungguhnya tanpa feminisme sekali pun, kedudukan orang wanita sudah cukup terbela dengan Islam. Islam telah mengangkat martabat wanita dan menjaga wanita dengan sebaiknya.
"Jadi, maksud kamu, yang adilnya adalah apabila lelaki hanya dibenarkan berkahwin satu sahaja, atau pun perempuan juga dibenarkan melakukan poliandri, begitu?" Aku cuba mengagak tujuan disebalik soalan Stacy tadi. Poliandri adalah lawan kepada poligami, iaitu seorang isteri yang mempunyai lebih daripada seorang suami.
"Ya!" Stacy tersenyum mendengar soalan balas yang ku ajukan kepadanya.
"Kalau begitulah pandangan kamu, sebenarnya kamu telah berlaku zalim." Aku cuba menyanggah pandangan Stacy.
"Eh, mengapa pula?" Stacy terkesima. "Adakah kamu ingin beralasan bahawa nisbah lelaki lebih sedikit daripada perempuan?"
"Itu salah satunya." Jawabku ringkas.
"Kalau kamu gunakan itu sebagai alasan semata-mata, maka hujah kamu adalah tidak kukuh. Ini kerana, tidak semua tempat di dunia ini jumlah lelaki lebih sedikit daripada wanita." Jelas Stacy dengan bangga. Dia kelihatan begitu yakin dapat melemahkan peganganku. "Berdasarkan statistik yang dinyatakan oleh Jabatan Perangkaan dalam Utusan Malaysia tahun lalu, jumlah lelaki adalah lebih ramai daripada perempuan dengan nisbah 105:100!"
"Ya, itu saya tahu. Saya pernah membacanya di laman web Utusan Malaysia." Jawabku bersahaja. Kata-kata Stacy itu, sedikit pun tidak membuatkan aku berasa, kerana aku mempunyai alasan yang lain.
"Stacy, kamu kena faham satu perkara." Aku mula membantah apa yang diutarakan oleh Stacy. "Walaupun jumlah lelaki di Malaysia lebih ramai, itu tidak memberi makna apa-apa sebenarnya. Realiti menunjukkan, tidak semua lelaki yang berjumlah ramai itu, boleh bertanggungjawab kepada wanita dan keluarga apabila mereka berkahwin."
"Okey, teruskan kata-kata kamu. Ianya kelihatan menarik." Stacy tersenyum. Dahinya berkerut sedikit, dia cuba memberikan tumpuan terhadap apa yang aku sampaikan.
"Berdasarkan statistik yang bersumber daripada Agensi Anti-Dadah Kebangsaan, daripada tahun 2000 hingga 2008, jumlah penagih perempuan dan lelaki adalah pada nisbah 1:55." Aku menunjukkan statistik yang terpapar di skrin komputer.
"Itu belum termasuk lagi jumlah lelaki yang terlibat dengan gejala tidak sihat, dadah, lumba haram, seks bebas, arak dan sebagainya. Yang pastinya ramai wanita yang tidak ingin bersuamikan lelaki sedemikan rupa. Apabila semua itu ditolak, maka akan tinggal sedikitlah lelaki yang layak dan sesuai untuk dijadikan suami."
"Pada pandangan kamu, adakah ketika itu sistem lelaki berkahwin satu sahaja sesuai untuk diamalkan? Adakah kamu sanggup membiarkan perempuan-perempuan tidak berkahwin terus membujang sehingga lewat usia, atau pun lebih teruk terjatuh ke dalam gejala tidak sihat seperti lesbian?" Aku mengajukan soalan bertubi-tubi. "Pada pandangan saya, amalan monogami sebenarnya zalim, kerana mementingkan diri sendiri."
Melihat Stacy hanya diam tidak bersuara. Aku terus menyambung kata-kataku berkenaan amalan poliandri bagi wanita.
"Manakala tentang amalan poliandri pula, ianya adalah sesuatu yang amat tidak sesuai sekali. Sistem biologi wanita adalah berbeza dengan orang lelaki. Apabila seseorang wanita itu hamil dan dia mempunyai lebih daripada seorang suami, akan timbul persoalan yang membingungkan. Anak siapakah yang dikandungkannya? Adakah anak daripada benih suami yang pertama, kedua atau pun ketiga? Ini pastinya membingungkan keadaan. Walaupun pada masa kini, kita boleh mengetahui siapakah ayah yang sebenar kepada kandungan tersebut, tapi tidak semua orang boleh melakukan pemeriksaan DNA, tidak semua tempat di dunia ini memiliki teknologi DNA."
"Berbeza dengan lelaki, meskipun mereka mempunyai ramai isteri, apabila salah seorang daripada isterinya hamil, kita dapat memastikan bahawa ianya adalah anak daripada lelaki tersebut. Oleh itu, menyamakan wanita dan lelaki dalam hal berkahwin lebih daripada satu, adalah sesuatu yang keliru sama sekali."
Stacy menghela nafas panjang. Badannya perlahan-lahan disandarkan dikerusi yang didudukinya. Dia hanya mengangguk kecil tanda mengalah terhadap apa yang ku katakan.
"Kamu tak kisahkah kalau suatu hari nanti suami kamu berpoligami?" Stacy cuba mendugaku.
"Insya' Allah, saya sedia menerimanya." Kataku tanpa ragu-ragu. Aku sememangnya sudah bersedia daripada awal sekiranya suatu hari nanti aku berkahwin, lalu suamiku bercadang untuk berpoligami. Sesungguhnya poligami itu adalah perkara yang halal dan diredhai Allah s.w.t. Maka apakah patut aku marah terhadap perkara yang Allah s.w.t redhai?
Tidak dinafikan mungkin suatu ketika perasaan sedih dan kecewa itu akan ada, kerana aku juga manusia biasa yang mempunyai perasaan dan fitrah. Insya' Allah, aku akan mampu menghadapi semua itu. Aku ingin mencontohi para isteri Rasululallh s.a.w yang mulia dan tabah. Apa yang penting bagiku, adalah suamiku nanti mampu untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya.
"Sebenarnya di dalam Islam, poligami bukanlah semudah yang disangka." Aku cuba menjelaskan kepada Stacy. Ini kerana, biasanya orang bukan Islam menolak ajaran Islam adalah disebabkan kefahaman mereka yang salah terhadap Islam itu sendiri.
"Maksud kamu?" Tanya Stacy dengan nada ingin tahu.
"Meskipun orang lelaki diharuskan untuk berpoligami dalam ajaran Islam, tetapi ianya bukan sesuatu perkara boleh dilakukan secara mudah dan suka-suka. Ianya mempunyai syarat dan garis panduan tanggungjawab yang perlu dipatuhi."
"Contohnya kemampuan dalam memberikan nafkah kepada isteri dan kemampuan untuk bersikap adil kepada isteri-isterinya. Apabila seseorang lelaki itu dapat mematuhi syarat-syarat tersebut, maka dia tidak ada masalah baginya untuk berpoligami. Silakan." Ucapku dengan tenang. Perlahan-lahan aku menghirup minuman coklat panas yang tersedia di atas meja.
"Kalau seorang lelaki itu tidak dapat mematuhi tanggungjawab sebagai seorang yang berpoligami, contohnya tidak bersikap adil kepada isterinya bagaimana?" Stacy bertanya lagi.
"Sekiranya seorang lelaki itu menzalimi isterinya dengan tidak berlaku adil atau sebagainya, maka Allah s.w.t akan murka kepadanya serta menyediakan azab yang berat baginya pada hari akhirat kelak!"
"Owh, macam tu..." Kata Stacy dengan nada yang baru tahu. "Saya minta maaf ya tanya soalan macam tu tadi."
"Tak apa, saya faham." Aku tersenyum lega mendengar kata-katanya. Stacy turut senyum sama.
"Kalau saya ada persoalan tentang Islam, boleh tak saya tanya dengan kamu lagi?" Pinta Stacy.
"Insya' Allah, tak ada masalah. Saya akan cuba jawab semampu saya. Kalau saya tidak tahu, saya akan tanya dengan orang yang lebih arif pula!" Hatiku gembira mendengar pertanyaan Stacy. Ini adalah sesuatu yang amat baik, kerana ianya aku peluang untuk aku memperkenalkan Islam kepada Stacy dengan lebih dekat dan seterusnya menarik minatnya untuk memilih Islam sebagai agamanya.
Masa terus berlalu. Semenjak itu kami sering berbual tentang Islam, dan semakin lama aku dapat melihat Stacy semakin tertarik dengan Islam. Suatu hari setelah lama berpisah, aku mendapat tahu daripada seorang sahabat lama bahawa Stacy telah memeluk agama Islam. Alhamdulillah, aku amat bersyukur pada Allah s.w.t mendengar khabar tersebut.