Wednesday, November 9, 2011

Hati Yang Cedera

Bila jiwa kacau risau tentang masa depan,
Bila hati sesak dengan karenah manusia yang tidak memahami,
Bila jiwa sukar berlapang dada,
Bila hati disempitkan dengan sangkaan buruk terhadap saudara lain,
Bila hati sentiasa ingin marah,
Bila hati mula berjinak dengan nafsu yang Allah tidak redha.
Bila akal lupa tujuan asal hidup,
Bila diri terasa enak berlingkar dengan maksiat,
Bila hati puas melakukan perkara yang tidak berbuah amal,
Bila jasad duduk enak tanpa berbuat ma'aruf.
Bila air mata terlalu sukar untuk dititiskan untuk-Nya,
Bila hati mula mengeras,
Bila fikiran melayang untuk perkara sia-sia,
Bila hati mula berputus asa terhadap rahmat dan nikmat-Nya.
Bila diri mula meminta yang berlebihan,
Bila hati mula meminta untuk yang bukan haq,
Bila diri rasa sudah cukup,
Bila lidah terlalu keras untuk mengalunkan zikir.
Bila cemburu terhadap nikmat dan rezeki insan lain,
Bila diri berpura baik di hadapan manusia,
Bila hati merasa perbuatan dosa sebagai tidak apa,
Bila diri sentiasa mahu dipuji.
Bila hati tidak yakin dengan janji-Nya,
Bila diri menyesal dengan setiap taqdir-Nya,
Bila hati sentiasa mencari aib dan salah orang lain,
Bila diri sentiasa ingin memuaskan selain dari Allah.
Bila hati merasa bebas dari jagaan Allah,
Bila merasa diri milik mutlaq diri sendiri,
Bila hati merasa aman melanggar amanah,
Bila merasakan tiada yang lebih penting melainkan diri sendiri.
Bila diri terlalu banyak beralasan,
Bila setiap perbuatan tidak terniat untuk Allah,
Bila diri mula berasa berat untuk sembah dan sujud kepada-Nya,
Bila telinga lebih enak dilagukan dengan selain ayat-ayat suci-Nya.
Bila mulut lebih senang berbicara tentang dunia dari manisnya syurga,
Bila redha manusia lebih dicari daripada redha Allah,
Bila merasa cinta manusia lebih asyik daripada cinta Allah,
Bila hati tidak rindu untuk bertemu-Nya,
Bila hati mula disempitkan dengan dunia,
Bila diri sombong tidak mahu meminta kepada-Nya,
Bila setiap akal, jiwa dan jasad terikat dengan dunia.
Hati itu bukan hati aku lagi..
Heal my heart ya Allah..
Bless me with a new heart..

Wednesday, November 2, 2011

Mus’ab bin Umayr Pahlawan Islam yang Syahid

Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Mus'ab bin Umayr ditugaskan memegang bendera Islam. Pada awalnya kaum muslimin berjaya menguasai pertempuran, sehingga tentera musyrikin bertempiaran lari. Peringkat kedua peperangan, berlaku kelekaan dari kalangan pasukan yang mengawal bukit Uhud, yang telah membuka ruang kepada musyrikin untuk melakukan serangan balas kepada muslimin.
Kaum musyrikin melakukan serangan hebat dengan matlamat untuk membunuh Rasulullah SAW. Dalam saat getir itu, Mus'ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan teguh mempertahankan Rasulullah SAW.
Menyedari ancaman ke atas Baginda, beliau cuba untuk memberikan semangat serta mengalih perhatian musuh dengan mengangkat panji setinggi-tingginya sambil bertakbir dengan nyaring.
Sebelah tangan memegang bendera, sementara sebelah lagi menghunuskan pedang menangkis serangan musuh, sambil melaungkan: "Muhammad itu adalah Rasul, dan sebelumnya telah diutuskan rasul-rasul lain"
Menyedari kehadiran Mus'ab, sebahagian tentera-tentera musyrikin yang asalnya menghala serangan ke arah Rasulullah beralih arah dengan meluru ke arahnya. Antaranya, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah yang menyerbu ke arah Mus'ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam.
Mus'ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus'ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan lehernya dan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus'ab sebagai syuhada' Uhud.
Ibn Qamiah bersungguh-sungguh berusaha membunuh Mus'ab kerana menyangka bahawa Mus'ab itu adalah Rasulullah SAW, disebabkan wajah Mus'ab seiras dengan wajah Rasulullah SAW. Lantaran itu, sebaik sahaja dia membunuh Mus'ab, dia terus pergi kepada kawan-kawan musyrikin yang lain lalu menjerit-jerit mengatakan bahawa Muhammad telah dibunuh.
Ketika gugurnya Mus'ab, sahabat-sahabat Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Al-Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus'ab. Al-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya.
Apabila selesai pertempuran, Rasulullah meminta para sahabat meninjau tentera Islam yang cedera dan syahid. Para sahabat kemudiannya mengumpulkan jenazah-jenazah para syuhada' untuk dikebumikan.
Pengkebumian jenazah Mus'ab antara yang paling menyayat hati. Ketika jenazahnya yang syahid itu hendak dikafankan, didapati tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Apa yang ada hanyalah pakaiannya yang singkat dan tidak mencukupi untuk menutup jasadnya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah SAW tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda.
Para sahabat yang menguruskan jenazah tidak dapat menutup jasad Mus'ab yang syahid itu keseluruhannya. Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, Baginda Rasulullah SAW meminta agar kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun idhkhir.
Rasulullah SAW amat tersentuh dengan pemergian para syuhada Uhud termasuk Mus'ab dan bapa saudara Baginda Hamzah bin Abdul Muttalib, yang jasadnya dipotong dengan kejam. Sambil menghadap jenazah para syuhada Uhud, Rasulullah SAW membaca ayat yang bermaksud: "Daripada orang-orang yang beriman itu ada yang telah membenarkan janji mereka kepada Allah".
Kemudiannya, sambil bercucuran air mata, Rasulullah SAW bersabda kepada jenazah syuhada termasuk Mus'ab: Sesungguhnya Rasulullah menjadi saksi bahawa kalian semua adalah syuhada di sisi Allah di akhirat nanti"
Demikian kisah kekuatan peribadi Mus'ab Umayr, seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.
Mus'ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Mus'ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana berbanding darjat dan kehidupan serba mewah.
Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Seterusnya, dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan akhirat. Akhirnya beliau menemu Allah dengan penuh kemuliaan sebagai seorang syahid.

13 Tahun Mencari Cinta

Saya yakin ramai yang terkejut kerana tiba-tiba saja saya mengumumkan bahawa saya akan berkahwin. Hehe. Saya sendiri pun macam tak percaya bahawa saya akan berkahwin pada tahun ini. Dan bila sudah selesai akad nikah, rasa macam tak percaya saya sudah pun berkahwin. Dan yang paling kerap ditanya : Kenapa tiba-tiba nak kahwin dan macam mana bertemu dengan suami? Ish ish ish. Terlalu ramai yang bersemangat inkuiri yang tinggi ni.
Cerita Versi Sarah
Saya dan suami merupakan teman sekelas dari darjah 4 hingga 6. Kami kenal sejak sekolah rendah lagi. Dia pelajar yang baru berpindah masuk ke sekolah itu pada tahun 1995. Kami tidak rapat pada mulanya. Sehinggalah tahun 6, barulah kami bertegur sapa. Itupun kerana kami berdua diletakkan oleh ustazah di bilik guru untuk program gempur UPSR. Kawan-kawan yang lain semuanya belajar di dalam dewan. Seingat saya, sejak itu baru kami ada bertegur sapa dan tolong menolong dalam menyiapkan latih tubi UPSR.
Kali terakhir bertemu dengannya ialah pada hari keputusan UPSR diumumkan di penghujung bulan Disember 1997. Hanya kami berdua yang mendapat 5A di sekolah. Tapi, kami langsung tak sempat bertegur sapa selepas mengambil keputusan masing-masing. Memang sekadar di situ. Kemudian dia ke hilir dan saya ke hulu. Saya menyambung tingkatan 1 di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh dan saya sekadar mendengar berita bahawa dia kembali bersekolah di Kuala Lumpur. Sejak itu, kami langsung tidak bertemu lagi.
Saban tahun, saya memang tidak pernah melupakan dia sebagai kawan saya. Pelik juga. Saya ingat terlalu banyak fakta tentang dirinya. Saya ingat tarikh lahirnya, alamat rumahnya, nombor plat kereta ibunya, warna dan jenis kereta ayahnya, nama adik-adiknya juga habitnya ketika tekun menjawab soalan di dalam kelas. Huhu. Kelakar juga bila diingat.
I have no reason why I remember every single fact about him.
Yang saya ingat, ketika bersekolah di Al-Khairiah, setiap kali saya ada mengenali kawan-kawan baru yang kebetulan mempunyai latar belakang pernah bersekolah di Al-Amin Gombak, saya akan jadi tersentak. Dalam hati mesti berkata : 'Thaariq kemungkinan bersekolah di sini lagi agaknya.' Dan bila sudah agak serasi dengan kawan itu, saya akan bertanya kepada mereka berkemungkinan tak mereka mengenali pelajar bernama Ahmad Thaariq. Huhu. Sadis betul mengenang kembali kisah menjejak dirinya suatu ketika dahulu. Sayangnya, memang tetap tidak berjaya untuk mendapatkan berita terkini tentang dirinya.
Sebaik selepas tamat SPM, saya ditawarkan ke Rusia oleh JPA. Selepas seminggu orientasi, saya mula masuk ke kelas untuk mengikuti kelas Bahasa Rusia. Ketika sesi suaikenal, salah seorang pelajar dalam kelas itu ada menyebut dia dulu bersekolah di Al-Amin Gombak sebelum berpindah ke MRSM Pengkalan Chepa. Dalam hati saya terdetik: 'Oh, ni sebaya ni. Ada chance dia kenal Thaariq ni. Hehe.'
Dan apabila bertanya kepada kawan itu, menurutnya, Thaariq telah berpindah sekolah ke Johor selepas tingkatan 2 dan mereka juga sudah tidak berhubung sejak itu. Hati kembali kecewa. Sejujurnya, perasaan saya pada ketika itu ialah kecewa kerana seorang kawan yang baik dengan saya suatu ketika dulu terputus hubungan dengan saya dengan begitu saja. Langsung tidak dapat dikesan di mana dia berada sejak habis UPSR. Saya sungguh terkilan akan hal itu.
Ketika zaman Friendster sedang memuncak pada tahun 2004, saya cuba mencarinya. Tidak jumpa. Pernah meng-google namanya pada tahun 2005 dan 2006. Tidak juga jumpa. Memang tiada rezeki saya agaknya. Pada masa yang sama saya pernah terfikir, agaknya ingatkah dia pada saya, kawan baik yang sama-sama belajar semeja-guru dengannya dulu?
Sehinggalah ketika saya sedang dalam hiatus sebelum final exam menjelma ketika di tahun akhir di Moscow dulu. 4 Jun 2009. Itulah tarikhnya. Saya melihat capaian masuk ke blog saya pada waktu itu. Saya lihat, ada seseorang yang menjumpai blog saya dengan menggunakan kata carian 'Siti Sarah Al-Mukmin'. Langsung, ia membuatkan saya terfikir. Ini semestinya kawan-kawan Al-Mukmin yang meng-google nama saya dan membawanya ke blog saya. Dalam kepala saya ligat memikirkan nama-nama yang berkemungkinan mencari saya semula. Yang pertama saya fikirkan ialah dia, Ahmad Thaariq Bin Mohd Khairudin.
Walaupun ketika itu saya sedang studi untuk final exam yang tinggal beberapa hari saja lagi, saya sempat menekunkan diri saya meng-google namanya pula. PAP! Banyak senarai yang keluar. Aik. Pelik bin ajaib. Dulu bila saya google, tiada satu pun informasi yang ada mengenai dirinya. Tapi pada tahun 2009 itu, berlambak-lambak capaian berkaitan dengan dirinya. Antaranya ialah blog WordPress dan Fotopagesnya. Saya amati Fotopages itu. Pemiliknya seakan-akan Cina. Tapi inikah dia? Agak lain rupanya di dalam gambar di situ. Saya meneliti 1, 2 entri di blognya. Kisah seorang pelajar Master di UTM Skudai. Kursus apa, umur berapa, semuanya tidak saya tahu. Saya was-was itukah dia. Tapi apabila saya lihat ada capaian ke blog adiknya Rafiq yang kini sedang menuntut di Jerman, saya hampir 100% yakin itu adalah dia.  Saya cuba mencari emailnya untuk cuba menghubunginya secara personal. Tiada. Jadi saya meninggalkan komen di blognya saja:
Salam Thaariq.
I was googling around to look for an old friend of mine named exactly like you. I have this instinct that you are him but I doubt I was wrong. Is there any possibility that you attended primary school in Temerloh, Pahang? SRA Al-Mukmin to be exact (UPSR'97). Looking forward to hear some good news from you soon.
p/s: I've tried looking for your email to contact you personally but I couldn't find any. Sorry to disturb you in this comment box.
Sehari suntuk saya menunggu komen itu direspon. Kecewa saja. Huhu.
Tapi keesokannya (5 Jun) adiknya membalas komen saya dengan jawapan yang positif dan tidak lama selepas itu, tuan blog itu pula menjawab segala persoalan saya dengan menghantar email peribadi kepada saya. Sah! itu adalah dia, Ahmad Thaariq, kawan yang telah 12 tahun terputus hubungan dengan saya. Sempatlah kami berbalas 2, 3 email. Kemudian saya menyepi semula kerana perlu studi. Keesokannya, saya pergi menjawab final exam dengan lapang dada dan gembira. Dan saya lulus dengan jayanya.
Yang saya tahu tentang dia, dia sedang menyambung Ijazah Sarjananya dalam bidang Remote Sensing di UTM Skudai, meminati bidang fotografi dan seorang computer geek! Tiga perkara ini betul-betul membuatkan saya tersenyum seorang pada waktu itu.
Apabila sudah kembali ke Malaysia, kami hanya kadang-kadang bertegur sapa di Facebook saja. Saya sangat sibuk pada waktu itu. Jadi saya tak berapa layan sangat Facebook. Lagi pula, dia pun bukanlah satu kepentingan pun dalam hidup saya. Sehinggalah seminggu sebelum hari lahir saya pada tahun 2010, ada seseorang datang meminang. Haha. Ini agak lucu.
Ustaz itu betul-betul buat saya berada dalam dilema. Saya tak mahu tapi apa alasan terbaik saya ya? Hehe. Istikharah punya istikharah, sehinggalah malam hari lahir saya itu, saya mendapat mesej daripada Thaariq. Dia mengucapkan selamat dan memberikan sekeping gambar hadiah buat saya. Gambar pemandangan bintang-bintang yang diambilnya ketika di Dubai. Dia buat saya terfikir. Thaariq itu maksudnya 'Yang Datang Di Malam Hari' dan antara lain maksudnya ialah 'Bintang'. Saya tenung gambar bintang-bintang itu lama-lama. Tiba-tiba hati terdetik. "Kenapa dia satu-satunya yang muncul mengucapkan selamat hari lahir di tengah malam sunyi ini? Apa kaitannya dengan istikharah saya?"
Tapi segalanya masih tidak jelas. Memang tiada apa-apa perubahan dalam hidup saya mahupun dia. Sehinggalah sekitar bulan Februari 2010, ada majlis di sekolah rendah saya dulu. Sebagai bekas pelajar, saya diberikan amanat oleh mudir (guru besar) saya untuk mengumpulkan bekas-bekas pelajar yang telah tamat belajar untuk datang ke sekolah untuk menjalankan program bersama-sama murid-murid di sana. Saya mengumpulkan beberapa nama dan menghubungi mereka secara peribadi. Saya turut menghubungi Thaariq untuk mendapatkan kata putus kehadirannya. Tapi sebaik berada di talian dengannya, saya jadi serba tak kena. Berderau darah nak bercakap dengannya. Sudahnya, saya bercakap seperti butir peluru yang laju. Haha.
Lebih kurang sebulan selepas itu, saya post-call pada petang itu, tiba-tiba saya menerima panggilan telefon daripadanya. Cuak saya untuk menjawab panggilan. Serba tak kena rasa. Puas berfikir kenapalah dia tiba-tiba menelefon ni. Rupa-rupanya dia menelefon untuk mendapatkan nasihat berkaitan kawan serumahnya yang patah tulang bahu. Kebetulan saya pada waktu itu berada dalam posting Orthopedic. Itu sebabnya dia menelefon saya. Hahaha. Gelabah tak memasal, kan. Tapi sejurus selepas itu saya lihat dia meng-update status baru di Facebooknya: I just called to say hello =)
And it really means something to me.
Sejak itu, saya lihat dia mula meletakkan status-status berbahasa Rusia di Facebooknya. Pelik juga. Mana dia tahu ayat-ayat ni semua. Ayat-ayat yang dipilihnya manis-manis belaka. Huhu. Kiranya, kalau kamu tidak faham bahasa itu, payahlah untuk kamu tangkap maksudnya. Dalam hati saya terfikir: Aik aik, dia tujukan kepada siapa ni? Cool down, Sarah. Dia main-main je ni. Haha. Waktu itu saya geram juga dengan dia ni. Saja nak memerangkap saya dalam kekeliruan. Sebab setakat yang saya tahu, mana ada siapa dalam rangkaian Facebooknya yang memahami Bahasa Rusia melainkan saya. Aishh. Memang nak kena cepuk dia ni, kan. Hehe.
Saya pula ketika itu kalau meng-update status di Facebook, saya lebih gemar meletakkan sebaris lirik lagu atau nasyid yang terkesan di hati saya. Tapi pendek kata, semuanya lagu atau nasyid lama yang tidak berapa orang ingat dah. Tapi dengan senangnya dia cam dan merespon di status itu dengan menyambung lirik tersebut. Ajaib juga. Mana dia tahu ni? Dia google ke apa? Huhu.
Pada masa yang sama, saya lihat dia acap kali meletakkan status yang berbaur tertekan dan sudah malas dengan program Master-nya. Sedih juga bila melihat seorang kawan yang seperti mengeluh hampir setiap hari tentang hal yang sama. Waktu itu saya tidak berani lagi untuk respon di status-statusnya. Saya kerap 'diserang' oleh kawan-kawan rapatnya. Hehe. Jadi saya menghantar SMS kepadanya supaya bertahan dan bersabar sikit lagi untuk menyudahkan apa yang sudah dia mulakan. Tahu sajalah saya ni macam mana, kan. Pantang orang berundur separuh jalan. Saya katakan padanya, pastinya sudah ramai yang menasihatinya dengan perkara yang sama tapi jawabnya: Nop, only you.
Ohoo~ Sampai ke hari ini saya masih menyimpan mesej tersebut.
Kemudian, kami berhubung seketika di Yahoo Messenger (YM) untuk mengelakkan cakap-cakap pelik daripada kawan-kawan di sekeliling kami. Kami hanya bercakap tentang perkembangan diri masing-masing selepas terpisah dulu, bidang fotografi (dia Canon, saya Nikon) dan juga tarbiah yang kami ikuti. Syukurnya saya. Telahan saya mengenainya memang tidak salah. Saya dapat 'membaca' siapa dan bagaimana orangnya pada waktu itu.
Tapi disebabkan saya ini memang tidak suka ber-YM, maka tidaklah lama dan sekerap mana kami online bersama. Saya sibuk. Sekalipun kami online bersama, tiba-tiba saja saya sudah tertidur di tepi laptop saya. Esoknya cuba untuk menebus kembali kesalahan, tetapi tertidur juga sekali lagi. Bukankah kasihan dirinya ditinggalkan begitu saja? Huhu. Memandangkan di penghujung Mei tahun lepas kakak saya bakal mendirikan rumah tangga, sebagai salah seorang junior kepada Kaklong, Thaariq turut dijemput hadir. 30 Mei 2010. Itulah tarikhnya. Dia menghadiri walimah Kaklong.
And I have no reason to say no to what I have seen.
Saya kekok pada mulanya. Nasib baik ketika saya dipanggil oleh sahabat baik saya, Mahfuuzah, bahawa dia telah sampai, dia sedang berada bersama-sama kelompok kawan-kawan Al-Mukmin yang lain. Saya menghampiri mereka dan di situlah saat kami bertemu semula selepas 13 tahun terpisah tanpa khabar berita. Tangan terasa seram sejuk. Aik aik. Kenapakah? Dia pula berpeluh-peluh. Ok, bawah khemah tu memang panas pun. Huhu. Selepas kami semua ex-Al-Mukmin bergambar beramai-ramai bersama pengantin, kebanyakan daripada mereka beransur pulang. Kebetulan waktu itu tetamu sudah pun berkurangan. Sudah mencecah 4 petang. Saya membawa Thaariq duduk di bawah khemah berhampiran kipas.
Kami berbual-bual berkaitan diri masing-masing dan perkembangan terkini. Sangat jelas, pada waktu itu saya langsung tidak mengangkat muka kerana takut dan malu untuk menatap mukanya. Kalau boleh, rasa nak pakai purdah sorok muka sendiri. Saya tidak tahu apa yang bermain di fikirannya pada waktu itu. Saya memberitahu emak dan ayah akan kehadiran Thaariq ke majlis itu. Emak dan ayah masih cam akan dirinya. Dalam ingatan ayah, dia diingati sebagai 'anak Khairudin'. Hehe.
Melihatkan reaksi emak dan ayah, hilang sedikit kecuakan saya berada dengannya di situ. Hampir jam 4.30 petang, saya menghantarnya menuju ke keretanya yang diletakkan di bawah bukit rumah saya. Sebelum berlalu pergi, dia menyerahkan satu token kepada saya. Keychain daripada Dubai tempat gambar bintang-bintang yang dihadiahkan kepada saya dulu.
Malam itu saya sangat penat. Saya terbayang-bayang kejadian di petang kenduri itu. Saya ingat setiap apa yang kami bualkan. Saya ingat riak wajahnya yang tenang. Saya ingat saat-saat saya menemaninya turun bukit untuk menghantarnya ke kereta. Tiba-tiba, telefon saya berbunyi. Saya melihat tiga orang sepupu lagi yang bermalam di bilik saya. Semua sudah tidur. Barulah saya menjawab panggilan tersebut. Iya. Thaariq yang menelefon. Ucapnya satu.
"Saya nak kita bukan sekadar kawan. Tapi dengan syarat..."
Syaratnya membuatkan saya terdiam seketika. Saya pohonkan masa untuk berfikir. Semuanya bagaikan renjatan elektrik. Terkejut saya dibuatnya. Semuanya sekelip mata. Saya terlalu penat ketika itu. Tidak boleh berfikir dengan rasional. Jadi saya tinggalkannya dengan soalan yang tidak berjawab. Keesokannya saya sibuk di majlis bertandang di rumah Abang Hashim. Keesokannya pula saya sudah mula oncall dan kembali sibuk di hospital. Dalam pada sibuk-sibuk itulah, saya bawa berbincang dengan sepupu terapat saya, Nisa. Kebetulan kami bekerja di wad yang sama pada waktu itu. Syaratnya itu munasabah. Dan jika ikhlas niat, semuanya adalah tidak mustahil. Apa syaratnya? Ehem. Biarlah kami saja yang tahu.
Untuk seketika, kami sering juga berbalas mesej. Sehinggalah pertengahan bulan Julai itu, saya rasa serba tidak kena. Saya rasa ini bukan diri saya. Tambahan pula, dia masih lagi terikat dengan program Master-nya dan saya terikat dengan housemanship saya. Kami pernah berbincang serba ringkas tentang hala tuju masa depan. Yang saya lihat, paling cepat satu kata putus dapat dicapai mengambil masa hampir 2 tahun lagi. Langsung saya menghantar mesej kepadanya. Pinta saya hanya satu : Jangan contact saya kalau rasa belum sampai masa untuk kawin. Kalau dah sedia, baru cari saya semula.
Saya nekad berbuat begitu. Saya tidak mahu berhubung secara sia-sia tanpa arah tuju yang betul-betul nyata. Saya tidak mahu maksiat menjadi penambah rasa. Dia bersetuju. Kami sepakat untuk tidak berhubungan. Dan dalam tempoh itu, betapa hanya Allah yang tahu kuatnya mujahadah yang perlu dilalui. Baik saya mahupun dia. Remuk redam jugalah rasa hati ni. Tapi bertahan. Bertahan. Bertahan. Hehe. Dia juga bergitu. Status-status separa pilu kelihatan di Facebook tapi tiada siapa yang tahu apa yang terjadi sebenarnya. Saya pula lebih banyak berkias dalam entri-entri saya di sepanjang bulan Julai dan Ogos tahun lalu. Dan dalam tempoh itu jugalah ada 3 lamaran datang dalam hidup. Aduhai. Penambah perisa betullah. Tapi saya sudah nekad. Saya hanya menunggu dia. Dulu 13 tahun saya boleh menunggu, takkanlah sekadar 2 tahun lagi saya sudah tidak sanggup, kan.
Siapa sangka, sebenarnya apa yang saya nekadkan itu menjadi batu loncatan untuk segalanya. Saya masih ingat, hari itu hari Sabtu, minggu pertama di bulan Septembar, minggu terakhir kita berpuasa. Saya oncall di wad kanak-kanak. Ayah datang sekitar jam 10 malam membawa makanan berbuka untuk saya. Iya. Saya masih belum berbuka dengan makanan berat pada waktu itu. Sekadar minum air dan mengunyah gula-gula Mentos sebiji. Ayah datang bukan sekadar membawa makanan. Tetapi juga sebuah bungkasan pos yang baru tiba pagi tadi di rumah. Di alamatkan kepada saya. Sambil makan saya terus membukanya. Dan kandungan bungkusan kecil itu buat saya berdebar-debar apatah lagi pengirimnya ialah dia.
Apabila ayah sudah balik, saya menghubunginya. Saya memaklumkan bahawa saya sudah menerima bungkusan tersebut. Tiba-tiba dia terus menghubungi saya. Dalam teragak-agak, dia memaklumkan bahawa pada Hari Raya ketiga insya Allah dia dan keluarga hendak berziarah ke rumah saya. Saya terdiam di situ. Dalam hati ada dua tanda tanya: Ziarah raya atau ziarah bermakna? Tapi mulut saya tak terluah hendak bertanya. Saya memaklumkan kepada emak dan ayah.
Dipendekkan cerita, pada hari raya ketiga itu, tibalah mereka sekeluarga ke rumah saya. Tahu apa perkara pertama yang diraikan?
Pertemuan semula dua kawan lama; ayah saya dan juga ayahnya. Subhanallah. Bagaikan telah berjanji, tujuan utama ziarah keluarganya yang agak samar bagi pihak saya bertukar kepada perbincangan tentang pernikahan kami berdua pula. Saya yang turut berada di situ terasa panas muka secara tiba-tiba. Memang sangat terkejut. Ditambah pula dengan usulan supaya kami bertunang dalam masa dua bulan saja, menambahkan keseriauan yang saya rasa. Saya mencuri pandang wajahnya pada waktu itu. Tenang saja. Dalam hati saya berkata: Ish, dia ni. Dia tak ajak pun kawin lagi, tak tanya pun kita lagi, tup tup mak ayah masing-masing dah bincang pasal tunang-nikah.
Selepas selesai kata putus dicapai, mereka sekeluarga meneruskan perjalanan pulang ke Batu Pahat. Waktu itu baru saya menghubunginya. Mesej saya berbunyi: Betul ke kita dah nak tunang ni? Tak lama lepas tu terus kawin? Awak tak pernah pun ajak saya kawin? Balasnya: Insya Allah ni yang terbaik untuk kita.
Subuh 1 Oktober 2010, dia melamar saya untuk menjadi isterinya.
Pada mulanya majlis pertunangan dirancang dilaksanakan lebih awal tapi disebabkan dia terpaksa menghadiri konferens di Hanoi, majlis dibawa ke bulan November. Pada 13 November 2010, majlis pertunangan yang sederhana telah berlangsung di rumah saya. Hanya saudara mara rapat saja yang menghadirinya. Tarikh dan majlis perkahwinan turut ditetapkan pada hari itu. Tempohnya 4 bulan saja. Dan apabila sudah bertunang inilah baru kami mula berhubungan semula untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan kami. Jika perlukan perbincangan panjang, kami hanya berhubung melalui email saja. Lebih banyak yang boleh dibincangkan di situ. Dan sejak kami bertemu semula di dunia maya pada 4 Jun 2009 yang lalu sehinggalah kami bernikah pada 12 Mac 2011 yang lalu, kami hanya pernah bertemu muka sebanyak 7 kali, dan semuanya ditemani oleh keluarga atau adik beradik kami.
Cerita Versi Thaariq
Selepas tamat UPSR, dia bersekolah di Al-Amin Gombak. Sejak itu, dia hanya pulang ke Temerloh bila cuti tiba saja. Dia juga mencari-cari saya. Dia tahu di mana letaknya kedai fotostat milik ayah saya dulu. Pernah dia terfikir, hendak pergi mencari saya di sana. Bila dia ke sana, saya tiada pula. Kecewa dia, katanya. Pernah juga dia berangan, ketika berjalan-jalan mencari barang di Pekan Sehari Ahad (lebih dikenali dengan nama Pekan Sari di sini), dia hendak terjumpa dengan saya. Katanya, antara ramai-ramai rakan sekelas dulu, saya yang paling terkesan dalam memorinya. Pernah saja dia terserempak dengan kawan sekelas kami yang lain, tetapi tidak saya.
Ketika zaman Friendster sedang memuncak, rupa-rupanya dia juga pernah mencari saya. Tapi tidak menjumpai apa-apa. Dia juga pernah meng-google nama saya. Tapi tidak jumpa barang satu informasi pun mengenai saya. Kemudian dia pun sudah tidak meneruskan usaha sehinggalah saat saya meninggalkan komen di blognya itu. Saya masih menyimpan email yang dikirimnya. Subhanallah. Tajuknya saja sudah menunjukkan betapa terujanya dia. Hehe. Belum lagi membaca kandungan email-email tersebut.
Sejak berhubung semula di Facebook, dia suka melihat gambar-gambar saya sepanjang di Moscow dulu. Katanya, saya comel. Huhu. Macam kelakar saja bunyinya. Apa yang buat dia tertarik ialah gambar saya berbaju kurung serba biru ketika menghadiri majlis di Al-Mukmin yang tidak dapat dihadirinya dulu. Dan dari situ dia mula menggunakan Bahasa Rusia di Facebooknya yang ditirunya bulat-bulat daripada sebuah lawan web. Huhu. Berusaha keras sungguh dia.  Jika saya membalas dengan ayat yang panjang sedikit, mulalah dia tak tahu di mana hendak mencari maksudnya. Comel betul! Yang mendekatkan kami ialah ayatnya: Mnye by khatelos uznat o tebye po bolshe. Ada yang faham maksudnya?
Sewaktu hendak menghadiri walimah Kaklong, rupa-rupanya dia sudah memberitahu uminya bahawa dia hendak melihat saya. Ohoo~ Yang ini saya pun baru sangat tahu. Dan apabila sudah berjumpa sendiri dengan saya, katanya, dia sudah tiada ragu dalam hatinya. Dan apabila melihatkan perbincangan emak ayah dengan umi baba sangat lancar, dia jadi bertambah yakin. Katanya, dia takkan membiarkan 13 tahun menjadi lebih lama.
Dan selepas 13 tahun mencari cinta, di sinilah kami ditemukan semula. Dalam ikatan sebagai suami isteri yang sah, Alhamdulillah.
Cerita Versi Kami
Selepas berkahwin, saya menunjukkan kepadanya sebuah diari lama. Tahun 1997. Sebenarnya bukanlah sebuah diari. Itu buku yang saya kumpul biodata kawan-kawan. Tapi bila sudah tidak digunakan, saya jadikannya untuk mencoret aktiviti harian pula di mukasurat yang masih kosong. Sebenarnya saya pun baru terjumpa semula diari lama ini. Dan saya kongsikan kandungannya dengan suami. Diari itu penuh dengan catatan harian saya bermula daripada 20 November 1997 sehinggalah penghujung Disember 1997. Kisah bagaimana saya takut kehilangan seorang kawan bernama ATMK. Kisah bagaimana saya tercari-cari di mana ATMK.
Dan sejujurnya, selepas tamat SPM, saya ada menulis sebuah buku catatan baru. Dalam buku itu saya ada menyenaraikan 10 wishlists saya untuk masa depan. Tertera dengan jelas di situ, hajat saya yang ke-10 dalam senarai ialah INGIN MENCARI ATMK SEMULA.
Selepas saya bacakan padanya beberapa keratan daripada catatan-catatan yang ada, tiba-tiba muncullah satu kata-kata yang paling tak tahan untuk dibaca, yang telah saya tulis ketika berusia 12 tahun. Tabah adalah akhlak yang mulia.
Selepas membaca coretan-coretan itu, dia berkata: Ada hikmah Allah temukan kita semula selepas terpisah 13 tahun. Sebab bila kita berjumpa semula, kita sudah bersedia untuk bernikah, bukan setakat berkawan saja. Siapa sangka, Abang akan berkahwin dengan kawan baik Abang sendiri.
Ya. Saya juga tidak menyangka 13 tahun saya mencari cinta saya, rupanya dia ialah kawan baik saya sendiri yang terpisah lamanya.
Terima kasih Ya Allah atas anugerah ini!
  • Nota #1 : Jangan couple sebelum kahwin. Tak best. :)
  • Nota #2 : Dapatkan restu ibu bapa. Insya Allah semuanya dipermudahkan. Dan ingat, yang paling utama ialah mengutamakan Allah dalam segala yang kita rancang. Insya Allah segalanya akan dipermudahkan.
  • Nota #3 : Bersama kita doakan pasangan ini bahagia hingga ke syurga!

Seronoknya Sedekah

Mesut Ozil atau nama manjanya Mat Ozil merupakan seorang remaja yang kental. Dia seorang lepasan SPM 2010 dan dia juga bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Dia mendapat tajaan penuh untuk melanjutkan pelajaran ke sana kerana dia telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPMnya.
Dia sangat bersyukur dengan nikmat yang telah diperoleh olehnya itu. Dalam kesyukurannya itu terselit satu bebanan untuknya. Ya, bebanannya untuk berjuang di medan pembelajaran dan alam pekerjaan yang amat getir di rasakan.
" Tak apa, ini semua buat ummah, ini semua buat Islam dan inilah medan juangku untuk Islam. Sumbangan apa lagi daripadaku yang boleh ku beri buat Islam. Ini sahajalah yang ku mampu juangkan". Dengus hati Mat Ozil.
Ramadan tiba
Mat Ozil bukanlah berasal daripada keluarga yang 'berada' tetapi hanyalah sederhana. Namun begitu, ayahnya sering mengajarnya hidup seperti cara hidup orang susah. Didikan itu telah sebati baginya sehingga kini.
Malam itu, selepas pulang solat terawih, dia menghidupkan suis televisyen dan menontonnya. Sejak masuk ke dalam bulan Ramadan, inilah kali pertama dia menonton televisyen. Katanya, mahu menjaga pandangan. Bukan sahaja televisyen, bazar Ramadan pun belum dia kunjungi.
"Biarlah ruh Ramadan kali ini benar-benar menyelinap kekal dalam jasadku walaupun terpaksa bermujahadah. Mujahadah itukan sememangnya pahit, pasti ganjarannya nanti manis!" Jerit batinnya untuk memujuk diri.
Tanpa berlengah, dia membuka channel TV 99. Ya, dia gemar menonton di saluran itu. Banyak program ilmiah yang disiarkan berbanding channel lain yang banyak melalaikan.
Kebetulan ketika itu, program 'Tanyalah Ustaz Ini ' berlangsung. Dia amat meminati program itu. Sementelahan, Ustaz Nicholas Anelka pula yang sedang berceramah pada waktu itu. Ramai yang kata Ustaz Nicholas Anelka tu tak handsome sebab kulitnya hitam. Bagi Mat Ozil, biarlah kulitnya hitam sekali pun, tetapi ilmunya yang tebal itu mampu memutih bahkan mensucikan hati insan lain.
Tajuk malam tu ialah berkenaan dengan Sedekah. Dalam program tu, Ustaz Nicholas Anelka ada menyebut satu ayat daripada al-Quran dan menghuraikan dengan baik dan lunak sekali.
Ini ayatnya :
"Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan pada setiap tangkai pula ada 100 biji. Allah melipatgandakan ganjaran sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Setelah menghurai ayat itu, dia jadi tertarik sekali dengan amalan sedekah. Sebelum ini amalan sedekah dia taklah berapa 'menjadi', hanya suam-suam suku sahaja.
Ustaz Nicholas Anelka juga menceritakan satu kisah seorang pemimpin Islam yang A'lim pada suatu masa dahulu. Pemimpin Islam itu memegang jawatan sebagai seorang qadi di sebuah negara Islam yang kaya raya ketika itu. Gajinya juga tersangatlah lumayan, lagi lumayan dari gaji seorang Perdana Menteri sekarang ini. Namun apa yang special, gaji yang banyak itu, dia langsung tidak gunakannya. Bahkan, beliau menghabiskan semuanya melalui sedekah kepada golongan-golongan yang memerlukan.
Beliau berbuat demikian kerana beliau sangat yakin Allah akan membalas kepadanya dengan ganjaran yang lebih besar buatnya. Apa yang diyakinkan beliau tu, sememangnya terjadi. Setelah beliau solat malam ( qiamullail ) , terdapat banyak duit yang berada di bawah sejadahnya. Orang lain yang tahu cerita mengenai beliau, cuba meniru beliau, namun tidak menjadi, gara-gara mereka tidak yakin sepenuhnya kepada Allah dan masih ada sisa-sisa keraguan kepada kuasa Allah.
Mendengar kisah itu, Mat Ozil tambah bermotivasi. Dia tekad untuk banyakkan amalan sedekahnya. Tak lama kemudian, dia pergi pula mengadap laptop ayahnya. Seperti biasa, mahu lihat-lihat apa yang terbaharu di Facebook. Dia gemar meneliti status-status ilmuan Malaysia yang telah dia 'like' fan page mereka sebelum ini. Kebanyakan status facebook para ilmuan ini penuh ilmiah, tak kiralah pandangan mereka atau perkongsian ayat al-Quran atau hadis.
Setelah diteliti, satu status telah menarik perhatiannya. Perkongsian mengenai satu hadis Rasulullah S.A.W. Satu hadis berkaitan dengan sedekah telah di kongsi di status facebook Ustazah Aminah Gomez. Bunyinya begini :
"Sedekah yang paling afdhal (baik) adalah sedekah yang dikeluarkan dalam bulan Ramadan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Jika tadi sudah bermotivasi untuk bersedekah, kini betambah-tambah motivasi lagilah dia setelah membaca hadis sahih daripada Rasulullah S.A.W itu.
Pagi itu dia bercadang untuk pergi ke Pasar Tani di pekan. Dia mahu membeli barangan-barangan keperluan lain yang masih tersisa untuk dibawa bekalan ke Mesir nanti. Sambil dia membeli, dia juga sebenarnya mendengar Kuliah Agama yang dilangsungkan di tengah kesibukan orang berniaga. Kuliah Agama itu telah beberapa tahun bertapak di situ sejak kerajaan negeri bertukar tangan. Itu satu usaha yang baik daripada pihak kerajaan dalam mengilmukan rakyatnya. Bukan hanya membiarkan rakyat dungu dan jahil dalam ilmu agama.
Kelihatan ramai sungguh peniaga pada hari itu. Maklumlah, dah nak raya. Dalam lamunan mendengar Kuliah Agama itu, dia kaget. Terkesima sebentar.
" Ish, selama aku datang ke pasar ni, tak pernah pulak aku beri sedekah kepada peminta-peminta sedekah dekat pasar ni. Rasanya, kini tibalah masanya untuk aku hulurkan sedikit duit setakat yang termampu. Mana tahu, dengan duit aku itu, mereka boleh beli juadah untuk berbuka. Kan besar pahalanya tu" Rungut hati Mat Ozil setelah melihat beberapa orang peminta sedekah dan beberapa buah tabung besar di Pasar Tani itu.
Dia sengaja memecahkan duitnya untuk diberi sedekah kepada semua peminta sedekah itu. Saat itu, dia sungguh yakin bahawa Allah akan membalas amalan sedekahnya itu dengan sesuatu yang lebih baik. Dia berazam untuk berikan RM 1 kepada setiap peminta sedekah dan setiap tabung yang diletakkan di Pasar Tanii itu.
Segalanya berjalan dengan baik. RM 1 di masukkan dari satu tabung ke satu tabung dan daripada seorang peminta sedekah ke seorang peminta sedekah. Namun, ada sesuatu yang tak dirancang berlaku. Ianya berlaku dibawah sedar. Memang tidak sedari langsung. Tersangatlah tidak sengaja.
Dalam kelancaran Mat Ozil menghulurkan sedekahnya, tiba-tiba apabila datang kepada seorang peminta sedekah yang cacat, dia 'ter'masukkan duit RM10 ke dalam balang coklat yang digunakan peminta sedekah itu untuk meminta sedekah.
Pada mulanya dia langsung tak sedar bahawa duit yang dia masukkan itu duit RM10. Namun setelah melangkah selangkah daripada peminta sedekah itu, dia terpana. Tersedar.
" Aduh, macam mana pulak boleh masuk duit RM10 pulak ni. " Sambil menggaru kepalanya yang tak gatal.
Budget Mat Ozil untuk membeli barangan lain terus tersasar jauh kerana dia bukanlah seorang yang punya banyak wang. Hanya bawa sekadar 'cukup-cukup' sahaja.
" Ish, takkan nak ambil balik,nanti tak pasal sahaja kena pukul dengan orang ramai sebab kata aku ni pencuri. Huh, bahaya" Fikir Mat Ozil.
Tanpa menunggu lama, dia beredar dari Pasar Tani itu dek kehabisan wangnya.
" Tak apalah, mungkin itu rezeki dia. Semuanya sudah ditentukan oleh Allah. Dalam rezeki kita, tak semestinya semua itu habuan kita, mungkin juga dalam rezeki kita tu, ada rezeki orang lain. Ah, redha saja. Ikhlaskan hati, yakin sahaja ada balasan lain yang lebih besar yang menanti di hadapan. Ya, yakin! "
Dia terus menunggang motosikal ayahnya itu pulang ke rumah. Dalam hatinya asyik teringatkan kisah yang terjadi di Pasar Tani tadi. Kerap benar menyinggah di mindanya.
Segalanya daripada Allah
Selang sehari selepas itu, permohonannya untuk mendapatkan sedikit bantuan, berupa sedikit wang daripada satu badan kebajikan ditolak. Wang itu mahu digunakannya untuk membeli barangan keperluannya untuk berangkat ke bumi Mesir nanti. Namun, dia redha. Mungkin ada orang yang lebih berhak terhadap wang itu.
Dia tidak menyepi memasrah diri. Dia usaha dan terus berusaha. Membuat surat itu dan ini. Memanjat pelbagai syarikat untuk meminta sedikit dana. Dia tahu dia dah banyak susahkan ibu bapanya dan dia mahu berusaha sendiri kali ini.
Teringat dia dengan ayat 1000 dinar yang selalu dia amalkan selepas solat. Dia sedar, dia harus yakin sungguh dengan Allah!
"Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar( dari perkara yang menyusahkannya). Serta memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan( ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepadaAllah, maka Allah cukuplah baginya ( untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." ( Surah At-Talaaq, ayat 2-3 )
Keyakinan berbuah
Sesungguhnya, tidak lama selepas itu, rezeki dia melimpah ruah. Bukan sahaja cukup, bahkan lebih! Syukur, alhamdulillah!
Dana yang terkumpul dulunya dari kosong sekarang melopong melihatnya. Macam tidak percaya pula di rasakan. Hebat !
Bukan itu saja, rezeki dia bertambah lagi apabila dia menang pula pelbagai hadiah setelah memenangi pertandingan " Jangan Lupa Ayat al-Quran " di Radio ibnuddin.fm . Subhnallah, memang tak terkata. Terkesima entah bagaimana.
Yakinlah!
"Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Ali 'Imran: 180)
"Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?" ( Surah al-Munafiqun : 10 )
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
"Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya." (HR. Muslim)
Jangan bakhil. Yakinlah dengan balasan Allah! Sesungguhnya Allah tidaklah menyalahi janji. Percayalah. Jangan takut untuk sedekah saudara-saudaraku.
Seronoknya sedekah!

Tuesday, November 1, 2011

Dengarlah Cerita Isterimu

Kita biasanya balik ke rumah selepas kesibukan kerja di pejabat dengan niat untuk berehat melepaskan penat jerih.
Ada juga dikalangan kita yang berniat balik ke rumah sekejap untuk mengambil pakaian sukan dan kemudian terus ke gelanggang permainan bersama-sama dengan rakan-rakan sepejabat atau sepersatuan.
Tidak kurang pula yang sampai di rumah terus mengerjakan solat 'Asar dan kemudian ke halaman rumah meneruskan kerja-kerja menanam pokok bunga kesayangan kita itu.
Apabila sampai ke rumah, hanya anak-anak kita sahaja yang menyambut di pintu. Isteri kita yang "full-time-house-wife" tu, meneruskan pekerjaan biasanya seperti melipat kain, gosok baju atau menyapu halaman rumah petang-petang.
Kita pun mencium anak-anak dan terus ke bilik tidur dan membuat kerja-kerja seperti di atas tadi. Tidak ada senerio drama tv seperti isteri menyambut dan menyediakan minuman untuk suaminya, sambil suaminya pula merebahkan badannya di sofa empuk "italian set" nya itu.
Bagi isteri yang balik bersama-sama kita satu kereta pula, sepanjang perjalanan dia lelapkan matanya menghala keluar hinggalah sampai ke rumah. Tiba di rumah, masing-masing dengan urusan sendirian, sibuk macam di pejabat tadi.
Alangkah ruginya kita menpunyai pasangan yang halal tetapi hubungan kita seperti "bukan muhrim". Sudahlah kita berpisah lebih lapan jam sehari dengannya kerana bertugas di pejabat, ditambah pula dengan hubungan yang hambar apabila bersama di rumah. Dengan ini, ramailah dikalangan kita yang tidak dapat menikmati cogan kata yang popular masa kini, "Rumahku Syurgaku".
Mengapa boleh terjadi demikian? Mari kita analisis sketsa di atas. Semasa baru-baru kahwin, biasanya isteri kita tu lah yang menyambut kita di pintu dengan senyum manisnya dan memimpin kita ke kerusi atau ke dalam bilik tidur. Dan di situ jugalah dia akan bercerita mengadu hal peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang ketiadaan kita di rumah.
Macam-macamlah tajuknya hingga kadang-kadang naik meluat mendengarnya. Tetapi, kita pada masa itu memang pendengar yang amat baik sekali dan bersungguh-sungguh melayan cerita dan emosinya. Baru kahwinlah katakan. Tetapi sekarang semuanya itu hanya tinggal kenangan.
Wahai suami-suami yang dimuliakan,
Memang kita lebih sibuk dari dia. Memang kita lebih banyak memikirkan masalah masyarakat dan negara. Memang minat kita berbeza. Memang kita malas mendengar cakap dia. Tetapi, pernah tak kita fikirkan hasilnya jika kita mendengar sekejap ceritanya bila sampai di rumah setiap petang?
Jika kita boleh meneruskan tabiat seperti baru-baru kahwin dulu tu; menjadi pendengar yang baik, meluangkan masa dalam lima minit mendengar ceritanya sebaik sahaja kita tiba di rumah, mengangguk-anggukkan kepala dan bersetuju dengan pandangan-pandangannya, menegur ceritanya apabila dia mula nak mengumpat dengan cara yang baik - yakinlah, hasilnya nanti, dia akan rasa terhibur dan merasakan dialah orang yang paling gembira sekali pada hari itu.
Cintanya rasa berbalas apabila aduannya itu dilayan dengan belaian kasih mesra. Kusut masai semasa dia memerahkan otaknya membersih, mengindahkan rumah kita dan memasak masakan kegemaran kita, akan terurai kerana kesanggupan kita mendengarnya sembangnya itu. Tak lama wahai suami-suami, hanya lima minit sahaja yang perlu kita luangkan untuknya. Tetapi kesan boleh menceriakannya selama 24 jam untuk hari yang berikutnya.
Niatkan di hati kita untuk mendengar ceritanya sama ada dirumah atau di dalam kereta sebaik sahaja kita melangkah keluar dari pejabat. Jangan amalkan singgah dulu di kafetaria untuk minum petang dengan rakan-rakan sepejabat, ini akan menyebabkan kita merasakan isteri tidak perlu lagi melayan kita di rumah nanti. Sebab kita sudah kenyang.
Sampai di rumah mulakan dengan soalan, "Ada berita baik hari ini ke?" atau yang serupa dengannya. Yakinlah, sebulan kita amalkan, pasti isteri kita akan bersama-sama dengan anak-anak kita menyambut di muka pintu dengan senyuman meleret hingga ke telinganya. Kita juga yang akan terhibur.
Amalkanlah wahai suami!

Korban Dunia Untuk Akhirat

Melalui ibadah korban terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

"Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati".
(at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Korban adalah salah satu ibadat yang paling disukai Allah S.W.T. yang dilakukan oleh hambanya semata-mata kerana Allah, dan mengharapkan keredhaanNya. Binatang-binatang korban akan datang pada hari kiamat nanti kepada orang yang melakukannya dengan keadaan seperti asalnya. Darah korban itu terlebih dahulu jatuh ketempat yang disediakan oleh Allah S.W.T. sebelum ianya jatuh ke tanah. Darah yang menitis jatuh menjadi keampunan bagi dosa yang telah lalu. Islam menggalakkan umatnya agar berkorban dengan binatang yang disayangi dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.
Ibadah korban memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah SWT setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan, menjauhkan diri daripada Allah serta mengerjakan larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.

Amalan berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan hubungan manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Sementara amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhan) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Menurut Imam As-Syafiie, hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan umat Islam yang berada di kampung halaman sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama menyatakan ia wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Kautsar ayat 2 yang bermaksud: Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu)dan berkorbanlah.

وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِ‌ۚ فَإِنۡ أُحۡصِرۡتُمۡ فَمَا ٱسۡتَيۡسَرَ مِنَ ٱلۡهَدۡىِ‌ۖ وَلَا تَحۡلِقُواْ رُءُوسَكُمۡ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ ٱلۡهَدۡىُ مَحِلَّهُ ۥ‌ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ بِهِۦۤ أَذً۬ى مِّن رَّأۡسِهِۦ فَفِدۡيَةٌ۬ مِّن صِيَامٍ أَوۡ صَدَقَةٍ أَوۡ نُسُكٍ۬‌ۚ فَإِذَآ أَمِنتُمۡ فَمَن تَمَتَّعَ بِٱلۡعُمۡرَةِ إِلَى ٱلۡحَجِّ فَمَا ٱسۡتَيۡسَرَ مِنَ ٱلۡهَدۡىِ‌ۚ فَمَن لَّمۡ يَجِدۡ فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍ۬ فِى ٱلۡحَجِّ وَسَبۡعَةٍ إِذَا رَجَعۡتُمۡ‌ۗ تِلۡكَ عَشَرَةٌ۬ كَامِلَةٌ۬‌ۗ ذَٲلِكَ لِمَن لَّمۡ يَكُنۡ أَهۡلُهُ ۥ حَاضِرِى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah iaitu berpuasa atau bersedekah atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjidilharam (Mekah). Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).
(Surah Al-Baqrah 2: Ayat 196)

Bibit Pertama Seruan Azan

Setiap hari kita mendengar lima kali seruan azan daripada masjid tetapi adakah kita mengetahui tentang sejarahnya. Tahukah kamu dari mana asalnya perkataan yang diucapkan semasa azan dilaungkan?
Jika tidak, sama-samalah kita baca dan hayati sejarah seruan azan.
Azan mula disyariatkan di Madinah tahun pertama hijrah. Asal-usul azan terkandung dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin Umar r.a. dengan katanya yang bermaksud:
"Semasa sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkirakan waktu solat dan tidak ada seorang pun yang menyeru untuk solat. Pada suatu hari mereka berbincang tentang hal itu. Berkata sebahagian daripada sahabat: 'Ambillah naqush (loceng) seperti naqush orang Nasrani (Kristian).' Berkata sebahagian yang lain pula: '(ambillah) trompet seperti trompet orang Yahudi."
Lalu berkata Umar:
"Tidakkah kamu boleh melantik seorang lelaki untuk menyeru kepada sembahyang?"
Bersabda Rasulullah S.A.W:
"Wahai Bilal, berdirilah dan serulah untuk solat."
Hasil perbincangan tersebut terdapat beberapa cadangan seperti membunyikan loceng seperti yang dilakukan oleh orang Nasrani, meniup trompet seperti penganut agama Yahudi, mengibarkan bendera sebagai tanda masuk waktu solat atau menyalakan api diatas bukit di mana orang yang melihat api akan hadir ke masjid untuk solat berjemaah.
Namun semua usul itu ditolak oleh Rasulullah S.A.W. Kemudian Umar al-Khattab mencadangkan supaya diteriakkan kuat-kuat.
"Telah datang waktu solat."
Cadangan Umar ini diterima oleh Baginda S.A.W tetapi dengan sedikit modifikasi kepada "Assolatu jami'ah" yang bermaksud "Marilah solat berjemaah."
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abdullah bin Zaid r.a, beliau bermimpi berjumpa dengan seorang lelaki.
Abdullah: "Wahai hamba Allah S.W.T, adakah kamu jual naqush itu?"
Pembawa loceng: "Apa yang engkau buat dengannya?"
Abdullah: "Dengan naqush itu, kami menyeru kepada solat."
Pembawa loceng: "Mahukah kamu aku tunjukkan yang lebih baik daripada itu?"
Abdullah: "Ya."
Pembawa loceng: "Kumandangkanlah Allahuakbar...(hingga akhir azan)."
Keesokannya, Abdullah bin Zaid menceritakan kepada Rasulullah S.A.W mengenai mimpinya. Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya mimpi itu benar insya-Allah. Berdirilah engkau bersama Bilal dan ajarkan kepadanya apa yang engkau mimpikan itu. Hendaklah Bilal azan dengan apa yang diajarkan kepadanya kerana suaranya lebih bagus dan tinggi daripada engkau."
Kemudian Abdullah bin Zaid berdiri bersama Bilal lalu mengajarkannya lafaz azan tersebut.
Ketika Bilal hendak melaungkan azan, Umar bin al-Khattab berkata:
"Demi yang telah mengutusmu dengan benar wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya aku bermimpi seperti mana yang dimimpikan olehnya (Abdullah bin Zaid)."
Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Segala puji bagi Allah S.W.T."
Walaupun azan disyariatkan hasil mimpi Abdullah bin Zaid yang kebetulan sama dengan mimpi Umar al-Khattab, azan bukanlah ciptaan atau cadangan manusia. Sebaliknya ia diperkuatkan lagi dengan wahyu.
Al-Bazzar berkata:
"Nabi Muhammad S.A.W telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya diatas langit yang ketujuh ketika berlakunya Israk Mikraj. Kemudian malaikat Jibril mendatanginya, lalu Baginda S.A.W menjadi Imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s, Allah S.W.T menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi."
Akhir kalam, semoga dengan pembacaan sejarah azan ini dapat menyedarkan kita betapa tingginya darjat azan kerana di akhir zaman ini rata-rata umat Islam lansung tidak menghormati seruan azan ini malah menganggap azan itu sebagai bunyi cengkerik di tengah malam.
Tidak malukah kita sebagai hamba Allah S.W.T dapat menghormati lagu Negaraku dengan berdiri sebagai menghormatinya tetapi seruan azan langsung tidak dijawab dan dipedulikan walaupun seruan itu dikumandangkan di langit ketujuh.