Friday, November 1, 2013

Awas kandungan rokok haram

Bahan kimia beracun lebih tinggi, tak terkawal

Kuala Lumpur: Lebih murah, lebih bahaya! Itu kesimpulan kepada risiko dua kali ganda yang dihadapi perokok yang menghisap rokok tidak sah, termasuk yang diseludup, kerana kandungan bahan kimia beracun lebih tinggi, terutama arsenik dan kadmium. 
Arsenik, bahan kimia yang biasanya digunakan sebagai pengawet kayu, didapati tiga kali ganda lebih tinggi dalam rokok tidak sah berbanding yang biasa. 

Rokok itu bahaya, tetapi rokok tak sah yang diseludup lebih berbahaya kerana kandungan bahan kimia yang tidak dikawal dan ada juga yang tidak diketahui” Dr S Thiru, Naib Presiden Kelab Putera 1Malaysia

Kajian kesihatan juga mendapati arsenik juga boleh menyebabkan kanser selain merosakkan jantung dan saluran darah di dalamnya.

Lima kali ganda kadmium

Rokok tidak sah juga dilaporkan mempunyai lima kali ganda kandungan kadmium, bahan kimia yang digunakan untuk membuat bateri yang juga boleh menyebabkan kanser, merosakkan buah pinggang dan lapisan salur darah arteri.

Malah, akhbar The Telegraph sebelum ini juga melaporkan rokok tidak sah mengandungi bahan karsinogen yang dikaitkan dengan punca kanser lebih tinggi berbanding rokok biasa. 
Selain itu, rokok tidak sah juga mengandungi 160 peratus lebih tinggi kandungan tar, lebih 80 peratus nikotin dan 133 peratus karbon monoksida (CO).

Pengamal perubatan dari Selayang, Dr S Thiru, berkata ada kira-kira 4,000 bahan kimia dalam sebatang rokok dengan 200 darinya adalah bahan beracun berbahaya.

Katanya, sebagai perbandingan, risiko perokok yang menghisap rokok tidak sah adalah lebih tinggi kerana kandungan bahan beracun berlipat kali ganda.

Guna gred tembakau terbuang

“Rokok itu bahaya, tetapi rokok tak sah yang diseludup lebih berbahaya kerana kandungan bahan kimia yang tidak dikawal dan ada juga yang tidak diketahui.

“Rokok tidak sah ini juga dikatakan menggunakan gred tembakau rendah dan terbuang tetapi diguna balik untuk membuat rokok murah,” katanya kepada BH.

Kajian pada 2012 menunjukkan 34.5 peratus atau 7.9 bilion daripada 23 bilion rokok yang digunakan di negara ini adalah rokok tidak sah, membayangkan risiko kesihatan berganda dihadapi penggunanya

Kandungan tidak diketahui

Dr Thiru yang juga Naib Presiden Kelab Putera 1Malaysia berkata, risiko berbahaya kepada kesihatan itu semakin meningkat apabila kandungan bahan dalam rokok tidak sah yang tidak diketahui.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan mengurangkan kadar nikotin, tar dan karbon monoksida dalam rokok yang dijual di negara ini secara berperingkat.

Kadar nikotin 1.5 miligram (mg) bagi setiap rokok ketika ini dikurangkan kepada 1.25mg, kadar tar dikurangkan daripada 20mg kepada 15mg, manakala karbon monoksida kepada 15mg.

“Kawalan kandungan ini menunjukkan beza risiko antara rokok tidak sah yang meningkat permintaan kerana harganya murah tetapi lebih bahaya itu,” kata Dr Thiru.

Faktor lain yang meningkatkan risiko kepada pengguna ialah rokok tidak sah dikilangkan di dalam dan luar negara secara haram tanpa kawalan kualiti.

Minyak kitar semula dikhuatiri ada lemak babi

Mudah proses produk terpakai untuk masak daripada jadi bahan biodiesel

Kuala Lumpur: Proses menjernihkan minyak masak terpakai yang terlalu mudah dan murah mendorong pengusaha menukarkannya kepada minyak masak kitar semula berbanding biodiesel. 
Dengan hanya menggunakan asam keping atau asam jawa, minyak masak terpakai yang hitam pekat bertukar lebih jernih dengan tekstur lebih ringan dalam beberapa minit saja. 

Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai diproses semula termasuk alamat premis terbabit, supaya hubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat“ Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan

Pengeluar biodiesel berasaskan minyak masak terpakai, Jaafar Abdullah (gambar), berkata minyak masak terpakai terlebih dulu dimasak dengan asam keping selama beberapa saat pada suhu 60 hingga 70 darjah Celsius sehingga berbuih dan dibiarkan sejuk serta sisa di dalamnya mendap.

Katanya, bahagian permukaan minyak kemudian ditapis dengan sejenis karbon yang diaktifkan bagi mendapatkan minyak lebih jernih atau sekurang-kurangnya 60 peratus jernih. 

“Minyak sudah jernih itu kemudian dicampur dengan minyak masak baru sebanyak 20 peratus, bergantung kepada jumlah minyak yang ditapis tadi,” katanya.

Sukar kesan lemak babi 
Beliau juga mendakwa agak sukar untuk mengesan lemak babi atau nama saintifiknya, Trans C161 dalam minyak masak kitar semula berbanding lemak haiwan lain selepas ia bercampur dengan minyak baru.

“Proses menjernihkan minyak masak juga boleh dilakukan dengan menggunakan bahan lain seperti kulit telur atau cengkerang. Bagi industri lebih besar, ia dijernihkan menggunakan sejenis serbuk dikenali sebagai ‘bleaching earth’ yang diperoleh dari China atau Thailand,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiada bukti menunjukkan minyak masak dalam paket adalah minyak masak kitar semula seperti didakwa, berdasarkan pemeriksaan ke atas 149 premis yang membungkus semula minyak masak.

Guna minyak masak jenama

Katanya, pemeriksaan ke atas 305 premis makanan pula didapati semua premis berkenaan menggunakan minyak masak yang mempunyai label atau jenama.

Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 iaitu mana-mana orang yang didapati mengimport, mengilang dan menjual minyak masak terpakai yang diproses semula boleh memudaratkan kesihatan.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai yang diproses semula termasuk alamat premis terbabit, supaya menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

Maklumat juga boleh disalurkan terus dengan menelefon 03-88833558 atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) iaitu http://fsq.moh.gov.my,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung minyak masak terpakai di pasaran yang memetik Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bahawa hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang sudah digunakan.

Wednesday, October 23, 2013

Kenal dulu betul-betul

Siapa mampu meneka karakter seseorang individu dengan tepat. Lain orang sudah tentu berlainan personaliti dan perwatakan diri. Justeru, sejauh mana kita kenal seseorang itu termasuk keluarga sendiri, ada juga terselit sekelumit jiwanya yang tidak mampu kita fahami dengan sempurna.
Kalau dilihat daripada prospek kawan dan sahabat, aspek keserasian dan persefahaman adalah kunci utama yang mengakrabkan lagi antara dua pihak. Kerana persamaan karakter dan minat, dua individu itu menjadi baik.
Tapi serapat mana sekalipun dua kawan itu, sudah tentu ada juga perbezaan baik dari sudut pendapat mahupun personaliti yang mungkin mengundang rasa kurang selesa kepada pihak satu lagi. 

Namun sebagai sahabat, sudah tentu kita berpegang pada prinsip menerima seadanya baik dan buruk seseorang itu.

Bagaimanapun jika kerap berlaku perselisihan faham dan pendapat, itu bermakna keserasian sudah mula pudar dan ia petanda negatif untuk sesebuah hubungan persahabatan.

Apa kata kita faham dengan sebaiknya sikap dan karakter sahabat kita agar perselisihan faham atau perbezaan pendapat itu dapat dikurangkan. Pertama sekali kita harus kenal siapa diri kawan kita. 

Hippocrates, seorang pakar ilmu dari Yunani membahagikan peribadi manusia kepada empat jenis iaitu Sanguine, Phlegmatic, Choleric, dan Melancholic. Setiap keperibadian ini mempunyai unsur-unsur perwatakan yang berbeza baik dari segi positif mahupun negatif. 

Gen Y melihat empat karakter asas manusia ini mampu memberi idea terbaik dalam kita mengenali siapa sebenarnya kawan baik kita itu. 


1. Sanguine

Ini adalah jenis manusia pertama yang dijelaskan menerusi teori bijak pandai Yunani ini. Individu jenis ini mempunyai ciri-ciri dan perwatakan diri seperti senang diajak berbual, ekspresif, bersemangat, emosional, mudah berkawan, periang, suka jadi pusat perhatian, yakin diri dan suka membantu.

Individu jenis Sanguine adalah serasi dengan Choleric dan kebiasaannya berbeza pendapat dengan Melancholic.

Kalau melihat pada karakter diri individu jenis ini, sudah tentu orangnya begitu bagus dan komited terhadap kerjanya selain punya perancangan besar dalam merencanakan masa depannya. 

Namun ada kalanya individu jenis ini lebih mudah terkesan jika diberi tekanan. Justeru, jika sahabat anda tergolong dalam perwatakan ini, apa yang patut anda lakukan adalah dengan memberi sokongan berterusan agar dia lebih bersemangat mengerjakan tugas yang di berikan sehingga siap.

Individu ini mudah tertekan jika terlalu lama melakukan sesuatu. Jadi sekiranya kamu nampak dia seakan tertekan sewaktu sedang membuat tugasan atau sesuatu kerja, apa kata ajak dia berehat sebentar untuk mengembalikan semangat itu.

Bila individu ini meminta pendapat atau pandangan, berikan yang terbaik padanya dan biarkan dia membuat keputusan sendiri kerana kebiasaannya individu jenis ini dia sudah punya jawapan dan penyelesaian namun menguji untuk melihat dirinya dihargai atau pun tidak.

Sanguine suka dipuji, jadi cuba sesekali kamu memuji kecantikan dan kebijaksanaan yang dia miliki.


2. Melancholic

Jenis individu kedua ini pula lebih menarik dengan memiliki ciri-ciri seperti tekun, serius, teratur, menyukai kesempurnaan, mudah terharu, tidak suka menjadi pusat perhatian, pemalu dan pasif.

Individu jenis ini sangat sepadan dengan Phlegmatic dan selalunya berbeza pendapat dengan Sanguine.

Harus diingat, individu ini sebenarnya sangat sensitif dan mudah tersinggung dengan sebarang reaksi yang kurang berpihak kepadanya. Jadi hati-hati sewaktu berkata-kata dan bergurau dengan individu ini.

Individu ini sering memandang sifat negatifnya berbanding positif. Jadi apa salahnya jika kamu sentiasa ingatkan mengenai kelebihan dirinya agar semangatnya tidak terus tenggelam. Malah sebagai sahabat, tindakan kamu dengan membantunya meyakinkan diri adalah sangat baik.

Kalau dia cuba meluahkan apa terbuku di hatinya, cuba kamu dengar dengan penuh fokus dan fahami perasaannya. Apa yang diluahkan adalah sesuatu yang penting memandangkan individu jenis ini begitu pendiam dan sukar mempercayai orang dengan mudah.

Jangan sesekali bermain dengan ‘moodnya’ kerana dia pasti akan ‘moody’ seharian.


3. Choleric

Individu jenis ketiga ini pula mempunyai karakter hebat khususnya jika dia adalah lelaki. Individu ini adalah mempunyai ciri-ciri pemimpin, aktif, bercita-cita tinggi, tegas, berdikari, berani, emosional dan berkeyakinan tinggi.

Individu ini jenis yang sangat sepadan dengan Sanguine dan selalu berbeza pendapat dengan Phlegmatic. 

Jika individu jenis ini adalah gadis, sifatnya seperti ibu-ibu yang ada kalanya kuat membebel. Sekiranya dia menegur kamu, pekakkan telinga saja, niatnya sebenarnya baik kerana dia mahukan yang terbaik untuk kamu.

Bila sedang berdebat dengan individu ini pastikan kamu bijak mengawal emosi kerana pandangan dan pendapatnya sangat tajam selari dengan pendiriannya yang ingin ideanya itu diterima semua pihak. 

Bila dia meminta pandangan kamu, terus terang saja. Jangan cuba putar-putarkan kata-kata atau berlapis-lapis kerana individu jenis ini mahukan pandangan yang tepat dan telus bukannya penuh teka-teki. 


4. Phlegmatic

Mungkin jenis yang paling mudah dibawa berkawan, individu yang tergolong pada perwatakan ini adalah mereka yang ‘cool’ dan tenang. Mereka begitu rendah diri dan tidak banyak bercakap.

Paling menariknya, individu ini juga jenis yang penyabar dan sukar dijangka. Tapi yang mungkin kurang ‘best’, individu ini jenis yang senang mengatakan ‘YA’ walaupun terpaksa memaksa diri. 

Phlegmatic sangat sepadan dengan Melancholic dan selalunya berbeza pendapat dengan Choleric. 

Kalau anda ingin memahami sahabat anda yang tergolong dalam jenis perwatakan ini, jangan terlalu tegas bila menasihatinya kerana mungkin sikapnya yang penyabar dan ‘cool’, dia hanya menelan saja walaupun nasihat itu menyinggung perasaannya.

Sentiasa bantu dirinya untuk membuat keputusan dan mencapai cita-cita. Sekiranya kamu memerlukan pendapat dan pandangan, individu Phegmatic sedia membantu kamu kerana mereka jenis yang ingin melihat orang lain tidak berada dalam kemelut atau masalah. 

Sentiasa mengajak sahabat kamu yang kebetulan tergolong dalam jenis Phlegmatic untuk dirinya melakukan aktiviti di dalam dan luar sekolah atau kerja. Jangan biarkan individu ini keseorangan.

Thursday, September 5, 2013

Boros tangkai jering

Berbicara berkaitan wang dan kemewahan, pasti ramai yang berminat dan bulat mata serta bertungkus-lumus berlumba untuk memilikinya. Ditambah pula wang gaji baru saja diambil dari bank lalu terus saja pandu kereta ke pusat membeli-belah. Itulah antara sebahagian sikap si boros.
Bak kata orang zaman sekarang ‘wang adalah segalanya’ dan tanpa wang manusia akan terpinggir oleh arus kemodenan. Namun tak semua boleh dibeli dengan menggunakan wang semata-mata seperti maruah dan harga diri. 
Lumrah bila setiap manusia akan ambil kesempatan apa saja untuk mencari rezeki agar dapat hidup dengan baik. Ada sebila­ngan pihak anggap, jika tak ada wang mereka akan dipandang hina dan dicemuh kerana tak bijak untuk mencari wang.

Dengan ‘sen’ itu dapat penuhi setiap impian dan kehendak diri. Bayangkan pelbagai keperluan perlu ada tapi segala bentuk dan jenis barang semakin mahal.

Pun begitu ada satu karakter manusia yang digelar boros terutama ketika berbelanja sehingga sanggup berhabis ribuan ringgit untuk ubah suai kenderaan, membeli perabot rumah dan membeli produk kecantikan.

Sikap si boros yang ingin bergaya itu menyebabkan mereka sanggup meminjam wang, tidak kira dari mana. Namun amat liat untuk bayar! 

Seterusnya mereka alpa untuk berjimat cermat lalu terus menerus boros ketika berbelanja. Apa saja di hadapan mata cepat saja tangan capai tanpa mempedulikan harga yang terpampang.

Rata-ratanya sikap boros ini amat sinonim dengan kaum wanita, di mana sukar untuk mengawal perasaan ketika berbelanja. Ada saja yang akan diborong hingga penuh bonet kereta.

Adakah pengaruh rakan membuatkan remaja kini boros berbelanja? Lihat saja kawan ada kereta baru, telefon bimbit canggih dan pakaian yang semakin moden mula timbul rasa kurang senang lalu terdetik untuk turut memiliki barang yang sama.

Berbelanja tidak salah dan Islam tak melarang perbuatan itu. Akan tetapi berbelanja lebih tak ikut kemampuan akan dianggap boros dan membazir. Sedangkan Islam menggalakkan kita bersederhana. 

Bayangkan lihat saja telefon bimbit yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, akan segera dibeli. Bahkan hampir setiap bulan menukar telefon yang baru, walhal telefon sedia ada masih baik dan boleh digunakan lagi. Memang boros! 


Siapa kedekut?

Bagaimanapun berbeza pula dengan mereka yang jenis berjimat cermat. Urus kewangan dengan baik hingga amat sukar untuk melihat mereka beli tanpa ada sebab, melainkan keperluan wajib yang harus ada. 

Sikap ini amat dipuji kerana secara tak langsung mereka mampu kawal perasaan ketika berbelanja tanpa ikut kehendak hati ­semata-mata. 

Bila sikap ini terlalu menonjol, ada juga sebilangan pihak yang kurang senang dengan sikap jimat cermat mereka hingga ‘payah’ nak keluarkan duit lalu digelar tangkai jering dan Haji Bakhil. 

Si kedekut akan guna pelbagai helah untuk elak diri daripada mengeluarkan wang. Jika sudah bekerja, mereka sanggup guna kenderaan awam untuk ke tempat kerja daripada menggunakan wang untuk beli kereta baru. Jika ada sekalipun kenderaan sendiri, hanya disimpan di rumah dan dijadikan sebagai hiasan. Guna jika ada urusan penting. 

Berbicara berkaitan ‘belanja’ golongan mereka paling bimbang untuk keluarkan duit malah ada saja alasan yang bakal diberikan untuk mengelak. Termasuk juga soal menderma, si kedekut amat payah berbuat begitu.

Di atas sikap buruk itu, menyebabkan dirinya hidup keseorangan dengan kemewahan yang ada kerana tak ada siapa pun yang mahu berkawan.

Kemudian akan wujudnya elemen buruk dalam diri, di mana mereka akan memandang hina dan keji kepada golongan miskin yang tak berharta. Walhal sikap ini seharusnya dijauhkan daripada semua masyarakat khususnya golongan muda yang harus menanam sikap perikemanusiaan dalam diri. 

Fahamlah bahawa tak akan berkurangnya rezeki itu seandainya menderma kepada golongan yang memerlukan, bahkan rezeki akan semakin bertambah kerana Allah merestui apa yang dilakukan itu. 

Justeru boros dan kedekut ini ada kelebihan dan kekurangannya dan ia penentu kepada hati seseorang itu. Gunalah wang sebaiknya dan rencanakan kewangan secara teratur. 


7 ciri orang yang terlalu berkira

1. Makan bersendiri


Mereka yang dikategorikan kedekut ini akan selalu makan bersendirian dan tak kisah seandainya tak ada teman untuk berbual semasa makan demi mengelak daripada membelanja orang lain. 


2. Terus bayar

Selepas memilih makanan akan terus ambil dan membuat bayaran di kaunter agar selamat daripada bayar makanan orang lain. Ada sesetengah tauke kedai makan akan menyuruh kita makan dulu, tapi bagi si kedekut ini cara itu akan undang risiko di mana dia akan diminta untuk bayarkan bagi pihak lain. 


3. Makan dengan cepat

Si kedekut akan makan dengan cepat dan minta diri daripada rakan-rakan dengan memberi alasan ada kerja lain yang harus disiapkan atau ingin ke tandas. 


4. Pilih makanan murah

Bila makan secara beramai-ramai, kemudian tentu duduk semeja dengan rakan lain. Si kedekut akan pasang strategi di mana hanya akan pilih makanan yang paling murah. Misalnya makan sepotong buah tembikai saja dan berlakon kononnya sudah kenyang. Sedangkan kawan-kawan lain makan dengan pelbagai jenis lauk-pauk. Ketika itu sudah tentu rakan lain mudah bersimpati dengannya dan tak akan minta dia untuk bayarkan makanan mereka. 


5. Berpura-pura

Si tangkai jering ini akan buat-buat membalas mesej seseorang dan sibuk dengan telefon bimbitnya terutama bila tauke sedang mengira makanan di meja atau berpura bercakap di telefon hingga ada kawan yang tolong bayarkan lebih awal makanan yang dipesan itu . 


6. Kawan suka bayar

Antara taktik yang sering dilakukan juga adalah dengan cara mendiamkan diri. Kemudian mengajak kawan-kawan yang pemurah untuk keluar makan bersama sudah tentu mereka yang akan tolong bayarkan nanti. Selamatkan wang sendiri! 


7. Berebut untuk bayar

Dalam situasi ini mereka berlakon keluarkan dompet dari belakang seluar. Tapi entah mengapa dompet itu seolah melekat pula mungkin tebal dan sukar ditarik keluar dari poket seluar. Ketika itu ada kawan yang sudah tolong bayarkan dan si kedekut akan tekan semula dompet itu masuk ke dalam poket seluar.

Tuesday, September 3, 2013

Sawan tangis

Bukan penyakit dan puncanya masih samar, tidak diketahui 

Hannah Zarith baru berusia tiga minggu dan menangis tidak berhenti-henti kecuali ketika tidur, menjadikan ibunya tidak tahu mahu buat apa. 
Lebih pelik, doktor memberitahu, bayi yang dilahirkan seberat 3.36 kilogram itu sihat dan normal. Malah, beratnya juga semakin bertambah dan tiada tanda menghidapi penyakit. 


Ada mencadangkan, berjumpa bomoh atau perubatan tradisional, mungkin diganggu makhluk halus. Malah, ada menyarankan beri anak nama timangan kononnya, nama diberi tidak serasi. 

Pernah juga diberi air jampi dan air zam-zam serta tangkal diperbuat daripada ubi kunyit dan akar kayu selain bertemu ustaz, dipercayai, dapat menolak bayi daripada terkena gangguan makhluk halus, namun masih buntu. 

Tiada yang lebih menggusarkan ibu bapa selain bayi yang baru lahir menangis tidak henti-henti, walaupun hakikatnya bayi akan menangis. 

Sebenarnya, keadaan dialami Hannah Zarith, dalam masyarakat biasa kerap digelar sawan tangis. Umumnya, sebanyak 20 peratus bayi yang baru lahir, mencecah usia empat bulan akan menghadapi masalah seumpama itu. 
Sawan tangis boleh dianggap perkara yang biasa berlaku pada bayi. Tangisan yang lama dan kerap ini bukan penyakit tetapi setiap kali berlaku, ia cukup menggusarkan ibu bapa, lebih-lebih lagi jika berlaku melebihi tiga jam hampir setiap hari. 

Sawan tangis, colic atau kembung perut adalah istilah yang sama, iaitu merujuk kepada tangisan yang lama atau kerap. Bagaimanapun, maksud ini sangat subjektif dan toleransi ibu bapa terhadap tangisan bayi juga berbeza. Sehingga kini, puncanya masih samar dan tidak diketahui. 

Punca samar 

Hakikatnya, tangisan adalah satu-satunya cara untuk bayi berkomunikasi dengan kita. Oleh itu, tangisan membawa pelbagai erti dan sebab berbeza. Kadangkala, bayi menangis kerana dahaga atau lapar. Mungkin juga mengantuk, ingin lebih perhatian, bosan dan mahu dibelai atau tidak mahu diganggu. Tangisan juga mungkin tanda bayi tidak sihat atau berasa tidak tenteram tanpa sebarang sebab yang pasti. 

Untuk mententeramkan bayi yang menangis, ibu bapa perlu belajar memahami keperluan bayi, gerak-geri dan tindak balasnya. Tidak semua bayi boleh ditenteramkan dengan cara yang sama. Ada bayi mudah ditenteramkan, ada bayi yang sukar berhenti menangis. 

Justeru, ibu bapa perlu tahu kebanyakan bayi akan berhenti menangis selepas dibelai beberapa ketika. Namun, ada segelintir bayi yang akan menangis terlalu lama dan sukar untuk ditenteramkan. 

Kerap kentut dan sendawa 

Bayi colic juga kerap membuang angin sama ada kentut atau sendawa selepas menangis. Bagaimanapun, ada kajian menunjukkan, kekerapan membuang angin itu disebabkan bayi banyak menelan udara ketika menangis. 

Ada bayi yang tidur nyenyak pada siang hari, tetapi mula menangis pada masa tertentu terutama di tengah malam tanpa sebab yang jelas. Apa yang pasti, menangis bagi bayi adalah satu perkara biasa, bukan semestinya kerana kelalaian ibu. 

Ada juga berpendapat, usus bayi kurang matang dan belum berfungsi dengan baik menyebabkan colic kerap berlaku di bawah usia bayi enam bulan. Colic dikatakan, berasal daripada sistem saraf kurang matang. Justeru, bayi lebih mudah teruja dan tidak berupaya meleraikan tangisannya setelah mula menangis. 

Banyak gangguan 

Bayi colic dikatakan akan lebih terganggu dengan bunyi bising seperti televisyen, telefon atau suasana dan bunyi bunyian asing yang didengar. 

Pemakanan ibu yang menyusu badan juga kerap dikaitkan dengan punca situasi ini. Sebagai contoh, sesetengah jenis makanan menyebabkan pengeluaran gas atau angin menyebabkan kembung atau colic. 

Bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang mampu merungkai pandangan ini kerana tiada makanan khusus menyebabkan colic. 

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, berkata sawan tangis biasanya diistilahkan kepada bayi yang menangis secara berpanjangan terutama pada waktu senja. 

“Sama ada sawan tangis dan baby colic, sukar diperkatakan kerana kedua terminologi mempunyai asas berlainan. Bagaimanapun, tanda dan manifestasi kedua-dua adalah sangat serupa,” katanya. 

Beliau berkata, ibu perlu pastikan apa sebab anak menangis adakah disebabkan lampin basah, suasana persekitaran terlalu panas atau sejuk, lapar, gigitan serangga, atau berpunca daripada faktor lain. 

Ada yang menyatakan, sawan tangis kerap berlaku kepada bayi sulung dan bongsu, namun Dr Yong berkata, tiada bukti yang menyokong kepercayaan ini. Dalam sesetengah kes, ada keluarga semua anak mengalami sawan tangis ketika bayi. 

Sabar tenangkan bayi 

Sawan tangis atau colic memerlukan tahap kesabaran tinggi dari ibu bapa. Dr Yong berkata, jika bayi menangis secara berpanjangan, perlu memastikan lampinnya tidak basah atau kotor. 

“Sekiranya bayi anda belum minum, berikan susu dan pastikan dia sendawa selepas menyusu. Pastikan juga bayi tidak terlalu sejuk atau panas serta tiada kesan gigitan nyamuk atau semut. Sekiranya tiada tanda-tanda ini dan dia masih menangis, cuba peluk dan dodoikan bayi anda dengan perlahan sementara urut perutnya dengan perlahan. Sawan tangis ini biasanya tidak berlanjutan selepas umur bayi enam bulan,” katanya. 

Beliau berkata, rawatan moden terdiri dari penggunaan probiotik untuk menambahkan bilangan bakteria sihat dalam usus. 

Katanya, antara penawar yang boleh mengurangkan gejala ini biasanya adalah Gripe Water dan Dimethicone bagi memecahkan angin tetapi tidak begitu berkesan terutama dalam kes lebih serius. 

Berkenaan rawatan tradisional beliau berpendapat, sukar untuk diperkatakan kerana masalah ini akan berhenti secara sendiri paling lewat pada usia bayi anak enam bulan. Walaupun begitu, urut sudah dikenal pasti sebagai salah satu kaedah untuk menenangkan bayi dan mungkin membantu dalam menangani masalah sawan tangis. 

Sebabkan angin pasang 

Mengulas berkenaan kebenaran sawan tangis boleh menyebabkan masalah angin pasang pada alat kelamin bayi lelaki, beliau berkata bayi yang menangis atau batuk berpanjangan boleh mendapat hernia atau angin pasang, tidak kira lelaki atau perempuan. Ini disebabkan tekanan pada bahagian abdomen meningkat. Tetapi kemungkinan ia berpotensi berlaku adalah lebih dalam kalangan bayi pramatang. 

“Tiada bukti yang menunjukkan kesan buruk atau baik sawan tangis terhadap bay. Bagaimanapun, secara tidak langsung, bayi yang kerap menangis akan menimbulkan tekanan terhadap ibu bapa dan ini mungkin menyebabkan kemurungan pada ibu, terutama sekali sekiranya tiada sokongan dari suami atau keluarga. 

“Sekiranya, bayi mengalami masalah sawan tangis atau colic, adalah penting suami serta keluarga tidak menuding jari kepada ibu dan menuduh beliau tidak pandai menguruskan anak. Sebaliknya, ibu sepatutnya diberi sokongan dan bantuan untuk menangani masalah ini,” katanya. 

Bagaimana jika sawan tangis itu simptom masalah lain yang lebih serius? Dr Yong menasihatikan, dalam keadaan ini, jika tiada sebab yang boleh dikaitkan, bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. 

INFO: Panduan mententeramkan bayi colic: 
1. Dukung bayi apabila menangis berpanjangan. 
2. Pastikan dukung bayi dalam bentuk meniarap kerana dikatakan perut bayi colic akan lebih selesa dan buai tubuhnya dengan perlahan. 
3. Urut dan usap bahagian tubuh bayi dengan lembut. 
4. Kerap peluk bayi anda bagi menunjukkan anda sentiasa berada di sisinya. 
5. Lakukan pelbagai bunyi bayi menarik perhatian bayi seketika. 
6. Elakkan dari menekan kuat perut bayi. 
7. Sapukan perut dan belakang bayi dengan sedikit minyak bayi. 
8. Elakkan beri bayi minum susu sejuk (bagi bayi yang minum susu formula) 
9. Anda perlu tenang dan jangan terlalu emosi ketika mahu menenangkan bayi. 
10. Elak keadaan kelam kabut atau bunyi bising. 
11. Baca selawat dan zikir dan tepuk bahagian peha bayi dengan lembut. 
12. Cuba bedung bayi anda. 
13. Bunyi getaran seperti peti sejuk atau mesin basuh mahupun pengering pakaian kadangkala mampu mententeramkan bayi. 
14. Boleh mencuba membawa bayi keluar bersiar-siar menaiki kereta atau di luar rumah. 
15. Guna air suam untuk mandikan bayi anda. 
16. Cuba gunakan puting untuk bayi anda lebih tenteram dan khayal. 

Kepercayaan tradisi menangani colic 
1. Minum air zam-zam dan selawat dan suapkan beberapa titis kepada mulut bayi. 
2. Mandikan dengan air yang dibaca dengan surah Al Fatihah. 
3. Letakkan bayi di atas meja dan ketuk keliling meja menggunakan lesung batu. 
4. Calitkan kening bayi dengan daun berbau busuk seperti daun geruda. 
5. Ada yang menganggap anak dan ibu tidak serasi dan pura-pura menjual bayi. Bayi dijual dengan harga tertentu dan perlu dibeli oleh ibu yang bukan ada kaitan darah. Lebih baik ‘dijual’ kepada ibu yang tidak memiliki anak. 
6. Beri nama timangan kepada bayi. Contoh Awang dan Solehah.

Kasih anak sulung

Biasanya anak pertama dalam keluarga menerima kasih sayang melimpah daripada ibu bapa. Tambahan pula kehadirannya dinantikan bertahun-tahun lamanya.
Kini anak itu sudah semakin membesar dalam usia remaja. Sebagai kakak atau abang sulung, tanggungjawabnya bukan saja sebagai seorang anak, lebih berat lagi perlu menjaga tingkah laku adik-adik yang lain. 
Dalam konteks ini, anak sulung adalah ketua dalam susunan adik beradik, walaupun bapa sebagai ketua keluarga. Oleh demikian, anak sulung mempunyai hak untuk untuk mengawasi pergerakan adik-adik.

Difahamkan, kebanyakan ibu bapa inginkan anak sulung lelaki kerana boleh bertindak menjaga adik-adik di bawahnya nanti, malah boleh menjadi ‘wali’ bagi adik beradik perempuan sebagai ganti jika ayah tiada nanti.

Sebagai anak sulung, segala keinginan dan impian ada ketikanya mereka sanggup abaikan demi menjaga perasan adik dan mendahulukan mereka dalam setiap hal.

Pengorbanan yang dicurahkan adalah semata-mata untuk melihat adik-adiknya menggapai impian, seterusnya membanggakan ibu bapa. 

Sebahagian kes yang berlaku dalam keluarga kurang berkemampuan di mana anak sulung berhenti sekolah untuk keluar bekerja bagi mencari sesuap nasi buat adik-adik. 

Meskipun nampak mereka mampu menggalas tanggungjawab itu, pasti akan terasa ‘beban’ terutama ketika usia yang masih mentah. Ketika ini mereka seharusnya menyambung pelajaran bukan bersengkang mata mencari wang. 


Terkena tempias

Secara zahirnya, dalam satu tandan pisang pasti ada yang busuk. Begitu juga dalam keluarga, sebagai anak sulung tentu ada rasa tekanan dengan kenakalan sikap adik yang tak mahu mendengar kata. 

Jika ada kesalahan yang dilakukan si adik, mereka turut terkena tempiasnya dan dianggap tak pandai jaga adik walaupun kesalahan itu bukan berpunca daripadanya. 

Sudut positifnya, anak pertama menjadi contoh kepada adik-adik dengan keperibadian yang baik. Selain menjadi kebanggaan buat adik-adik untuk mengikut jejak langkah abang dan kakak yang sudah berjaya. 

Penulis sempat bertemu seorang anak sulung perempuan, berumur 22 tahun, yang masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi di ibu negara. Biarpun meminta untuk merahsiakan identiti dirinya daripada tatapan pembaca lain, namun kisahnya dapat dijadikan teladan. 

“Saya anak sulung daripada enam orang adik beradik. Oleh itu, saya harus menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik yang lain terutama mereka yang masih bersekolah. 

“Disebabkan saya dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, saya tekad untuk tekun belajar semasa di bangku sekolah sehingga berjaya melangkah ke universiti tempatan. 

“Namun ada ketikanya diri rasa tertekan dengan kenakalan adik-adik terutama mereka yang tak minat untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi. 

“Banyak masa mereka habiskan dengan benda yang tak mendatangkan kebaikan seperti melepak, ponteng sekolah dan cuba untuk menghisap rokok, walaupun masih bersekolah. 


Melawan kata-kata

“Sebagai anak sulung, saya berperanan menjalankan tanggungjawab menjaga perilaku adik-adik. Bila ada saja barang yang mereka perlukan, saya ambil tahu.

“Pernah suatu ketika, adik bongsu curi-curi hantar mesej kepada teman lelakinya. Jadi saya rasa aneh dan syak sesuatu yang tak baik. Ketika dia leka keluar dengan kawan-kawan sehingga tertinggal telefon di rumah, saya ambil untuk teliti gajet itu. 

“Saya sedih dan terkejut bila membaca setiap baris ayat yang dihantar kepada teman lelaki menggunakan perkataan yang kurang baik lebih-lebih lagi datangnya daripada gadis remaja yang masih bersekolah. 

“Jadi sebagai kakak sulung, saya menasihati dia agar sentiasa menjaga maruah diri dan tak sesekali melakukan perbuatan buruk terutama bila berkawan dengan mereka yang hanya nak ambil kesempatan semata-mata. 

“Namun nasihat itu tak diendahkan malah melawan kata-kata saya. Katanya, saya tak harus campur urusan peribadinya sedangkan saya beri nasihat yang berguna. Bimbang dia menyesal kemudian hari.

“Saya hanya manusia biasa dan kesabaran saya ada hadnya. Bila ditengking dengan adik sendiri, kesabaran saya hilang sehingga tangan saya melayang ke pipinya dan akibatnya, dia tak mahu bertegur sapa dengan saya sampai sekarang. 

“Begitu juga adik-adik yang lain menganggap saya perasan bagus dan melempar tuduhan bahawa saya dengki dengan kehidupan mereka. Sebagai anak sulung, memang saya sedih dengan sikap adik-adik yang begitu. 

“Kini saya jarang lagi menegur adik-adik, cuma memantau dari jauh agar mereka tak terus hanyut dalam landasan kehidupan. Bagi remaja luar yang dilahirkan sebagai anak sulung curahkan kasih sayang anda itu dalam pelbagai cara agar dirasai oleh adik-adik bahawa pengorbanan seorang anak sulung tak ada batasnya,” katanya.

Syarat mak ayah

“Sudah masuk empat kali lelaki datang meminang tapi semuanya ditolak mentah-mentah oleh mak. Alasannya kerana lelaki itu tidak mempunyai kerjaya kukuh seperti pegawai tinggi dan belum memiliki rumah. Sepanjang itu juga saya cuba mencari pasangan kerana timbul pula rasa risau melihat kawan-kawan yang sudah bahagia dengan keluarga dan anak-anak.
“Tapi sayangnya, rasa fobia dan trauma untuk mengenali lelaki pula wujud dalam jiwa. Mana tidaknya, kalau sudah terlanjur sayang dan tiba-tiba mak masih tidak menerimanya, boleh jadi gila nanti,” kata seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Azura yang kini menginjak usia 30 tahun.
Sejak usia remajanya lagi, Azura berdepan masalah dengan mak dan ayahnya yang terlalu memilih dan cerewet untuk merestui pasangan hidupnya. Ada saja syarat dan kriteria yang ditetapkan, kononnya demi kebahagiaan dan jaminan masa depan.

Ketika di usia 18 tahun hingga tamat universiti, alasan mak masih relevan dan boleh diterima akal kerana ingin melihatnya menamatkan pengajian dulu dan tidak mahu soal cinta mengganggu pelajaran.

Mengenali seorang lelaki ketika mula bekerja masih juga ditolak kerana mak berpendapat biarlah dirinya merasa puas mencari duit poket sendiri dan memberi laluan kepada mana-mana lelaki untuk mengukuhkan kewangan diri sebelum berkahwin.

Tapi hingga usianya kian meningkat ini, mak Azura masih ada saja alasan kononnya tidak yakin lelaki yang datang mendekatinya mampu membahagiakan anak gadisnya ini dengan sempurna. 

Jelas Azura, selepas lama tersepit dengan kemelut tiada penyelesaian ini dan berkali-kali perasaannya seakan dipermainkan, hatinya tertutup dan takut untuk mendekati lelaki. 

“Bayangkan, banyak kali rasanya saya menangis kerana kecewa. Sudah sayang dan yakin dengan teman lelaki, tiba-tiba mak tak izinkan dan menolak sekeras-kerasnya. Tak mungkin saya sanggup melawan kehendak mak yang membesarkan saya selama ini. 

“Ada saja alasan mak untuk tidak membenarkan saya berkahwin dengan mana-mana lelaki yang dilihat kurang sesuai di matanya. Masalahnya, semua lelaki itu tidaklah teruk mana dan masing-masing sudah pun mempunyai kerjaya stabil dan mampu menjamin sara diri. 

“Tindakan mak membuatkan saya menjadi takut untuk bercinta atau membuka ruang kepada mana-mana lelaki. Kalau mak tak setuju nanti, saya yang merana kerana terpaksa memutuskan hubungan. 

“Lebih baik saya serahkan pada takdir dan sebolehnya menjauhkan diri dari lelaki kerana bimbang akan membuatkan mereka pula kecewa,” katanya. 


Bimbang ‘lepaskan’ anak

Ada juga alasan lain yang acap kali diberikan oleh mak dan ayah termasuk berlainan negeri dan berbeza budaya. Contohnya mak menghalang jika anak gadisnya bercinta dengan lelaki kelahiran Kelantan atau pun Kedah kerana bimbang nanti anaknya akan susah untuk pulang beraya.

Malah ada juga lelaki yang berdepan masalah ini kerana mak dan ayah terlalu sayangkan mereka dan tidak mahu anaknya berkongsi kasih dengan individu lain. Kebiasaannya ‘anak mak’ akan lebih cenderung menghadapi kemelut ini.

Ada juga anak lelaki yang terikat dengan tanggungjawab membantu keluarga dulu dan selalunya mereka yang berasal dari pedalaman atau dibesarkan oleh ibu tunggal. Mak akan mengharapkan anak lelakinya itu memikirkan soal keluarga dan adik-beradik terlebih dulu sebelum sibuk memikirkan soal cinta dan teman wanita.

Azura menjadikan teman-teman baiknya sebagai alternatif melepaskan tekanan yang bersarang dalam jiwanya. Pelbagai nasihat yang diterima namun semuanya tidak boleh diguna selagi mak dan ayah berkeras dengan pendirian mereka. 

“Kalau pergi ke rumah kawan-kawan universiti atau rakan sekerja, memang saya akan terasa hati kerana melihat kebahagiaan mereka bersama keluarga dan anak-anak. Teringin sangat rasanya untuk mempunyai keluarga sendiri.

“Semuanya sudah ada, baik harta dan kewangan, fizikal dan kesihatan juga sudah membenarkan saya mendirikan rumah tangga. Tapi sayang mak dan ayah pula cerewet dan tidak mudah mengizinkan saya berkahwin,” katanya lagi. 

Ada benarnya juga kata Azura. Ada saja nasihat atau langkah penyelesaian tidak boleh diguna pakai kerana masalahnya ini bergantung kepada budi bicara si mak dan ayah. Mungkin orang tua pula perlu dinasihatkan oleh rakan sebaya mereka agar sedikit sebanyak boleh juga diterima pakai. 

Tapi kemelut ini bukanlah berakhir dengan jalan buntu sebaliknya sesiapa saja yang berdepan masalah sama seperti Azura masih boleh berusaha mencari jalan terbaik untuk berkomunikasi dengan mak dan ayah.

Semuanya kini bergantung kepada bagaimana cara dan gaya untuk anda bersemuka dengan mak dan ayah menjelaskan perasaan di hati.


Halangan si cerewet

Isu kahwin lari dan membelakangkan keluarga sudah biasa kita dengar. Lebih 80% daripada punca masalah itu adalah desakan ibu bapa yang terlalu cerewet dan tidak merestui hubungan mereka. 

Adakah mak dan ayah mahu melihat anak mereka berkahwin dengan cara yang salah?

Itu adalah alasan terbaik yang boleh digunakan. Soal jodoh dan tuntutan batin adalah sesuatu yang normal bagi manusia dan kejadian itu tidak sepatutnya disekat atas alasan yang tidak munasabah. 

Jika sudah lengkap dengan aspek fizikal dan mental, sempurna pada soal kewangan dan harta, maka itu bermakna seseorang sudah sedia untuk mendirikan rumah tangga. Ia digalakkan untuk mengelakkan maksiat dan dosa lain. 

Justeru mengapa ada lagi unsur lain yang cuba menghalang? 

Tapi apabila ia dihalang oleh ibu bapa yang cerewet seperti ini, masih ada cara lain yang boleh dilakukan bagi menyelesaikannya dengan cara baik. Seperti kata orang tua, tarik rambut dalam tepung, rambut dapat dan tepung juga tidak berselerak. 

Perlu ada komunikasi yang baik, pujuk dan merayu dengan alasan yang kukuh bagi meyakinkan orang tua kita akan masa depan dan kepentingan untuk mendirikan rumah tangga. 

Jangan sampai wujud pula rasa trauma dan fobia seperti mana Azura kerana tidak mahu lagi dikecewakan atau mengecewakan mana-mana lelaki yang bergantung harap. Itu sudah kronik dan fasa yang membahayakan. 

Mana tahu, ia boleh mendorong kepada sakit jiwa dan otak pula. Ia bukan mustahil kerana sudah banyak kes direkodkan membabitkan pasangan kekasih yang kecewa hingga melarat menjadi masalah mental. 

Doa dan sembahyang jangan sekali putus kerana Tuhan mendengar dan sangat memahami. Insya-Allah jika benar tujuan dan permintaan itu, ada jalan cuba dibuka. Mohon agar hati mak dan ayah dilembutkan dan berikan sedikit keyakinan kepada mereka yang masa depan anda terjamin.