Saturday, March 1, 2014

Hilangkan penat

Penat itu datang apabila kerja kita banyak memerlukan tenaga dengan bergerak atau mengangkat beban. Eksekutif muda yang hariannya penuh dengan mesyuarat, menyiapkan kertas kerja dan pembentangan juga akan terasa penat kerana menggunakan otak dengan sepenuhnya siang hari.
Belum lagi mereka yang perlu melayan kerenah manusia seperti bekerja di meja khidmat pelanggan, restoran, guru atau hospital. Itu lebih memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang kuat bagi memastikan tekanan tidak berterusan hingga ke rumah.
Pastinya, waktu habis bekerja dan masa untuk pulang adalah hadiah paling istimewa bagi mereka yang begitu penat sepanjang hari bekerja. Tubuh mula lebih rehat apabila menjelang waktu untuk pulang. Otak pun sudah sibuk memikirkan semua perkara seronok selepas kerja.

Hakikatnya, tubuh masih belum rehat sepenuhnya untuk kembali bekerja keesokan harinya. Jangan amalkan pergi berurut kalau penat, sesekali tidak mengapa.

Apa kata untuk mencergaskan kembali tubuh sebelum terus tidur, anda amalkan dengan minum air limau. Dapatkan beberapa biji limau dan perahkan bersama secawan air putih. Sebaiknya air suam kerana ia akan lebih memberi keselesaan kepada tubuh apabila anda menikmatinya.

Jangan campurkan gula, hanya perahan air limau saja. Jika tidak suka dengan limau nipis atau limau kasturi, gunakan lemon sebagai alternatif. Amalkan setiap hari, ia bukan saja untuk menghilangkan penat badan bahkan untuk mengempiskan perut juga buat anda yang terasa di bahagian perut agak buncit.


Lancar aliran darah

Keduanya, apa kata kali ini anda mengamalkan mandi dengan air panas. Sediakan air panas suam untuk anda siramkan ke bahagian badan, tidak perlu kuantiti yang banyak. Tapi pastikan air itu tidak terlampau panas dan sesuai untuk kulit anda. 

Jika tidak mempunyai alat pemanas air hanya masak air dan campurkan bersama air siraman anda nanti. Selain itu, air panas juga sesuai untuk anda rendamkan ke kaki kerana rasa panasnya akan melegakan sakit kaki anda selepas seharian mengenakan kasut bertumit tinggi atau berdiri. 

Sedikit sebanyak ia akan melancarkan aliran darah anda ke kepala dan mengurangkan keletihan badan serta sakit kepala.

Ketiganya, kita lakukan senaman ringkas sebaik tiba di rumah. Luangkan sedikit masa untuk bersenam, jika tidak berkesempatan hanya lakukan aktiviti di rumah seperti mengemas dan juga menanam. Ini kerana pengeluaran peluh ketika melakukan aktiviti seperti ini membantu badan anda untuk berfungsi dengan lebih baik. 

Dalam masa yang sama memberi otak anda oksigen yang lebih banyak kerana aktiviti kerja di pejabat yang berhawa dingin, contohnya boleh mengurangkan penggunaan fungsi otak dengan baik. Jadi dengan cara ini, adalah satu latihan yang baik.

Keempat pula, minum air teh hijau. Minuman yang diamalkan oleh masyarakat Cina ini sebenarnya amat baik, air teh yang berwarna hijau dan tidak mempunyai gula. Terdapat banyak antioksida yang membantu untuk menyegarkan tubuh dan minda dalam masa yang sama. Ia juga dapat mengurangkan kadar gula di dalam darah.

Terakhir untuk memastikan tubuh berada dalam keadaan baik sebelum digunakan semula keesokan harinya, mengurut adalah sangat penting untuk tubuh anda. Tapi jangan amalkan urutan seluruh badan dengan kerap kerana akan terdapat kesan negatif terhadap aktiviti itu. 

Sebaiknya sebulan dua kali saja anda amalkan urutan untuk badan daripada bahagian kepala sehinggalah kepada urutan kaki. Selain melancarkan darah, ia juga menyegarkan tubuh anda.

Henti gigit kuku

Sebahagian orang mempunyai tabiat menggigit kuku. Sekiranya ditanya, jawapan seperti ‘tabiat sejak kecil’, ‘susah dihentikan’, ‘tak boleh dikawal’ antara penyebab mereka masih gigit kuku walaupun usia meningkat dewasa.
Kata mereka, menggigit kuku dapat menenangkan diri bila menghadapi tekanan ataupun perasaan bimbang. Pelbagai teknik dan petua ringkas boleh dicuba untuk mengurangkan tekanan sekali gus mengatasi dorongan untuk gigit kuku. Pilih terapi paling berkesan berkesan dalam mengurangkan tekanan yang mungkin menjadi akar masalah daripada kebiasaan menggigit kuku.
Biasanya golongan ini akan menyatakan rasa tidak selesa jika ia dihentikan. Namun tahukah anda, tabiat gigit kuku boleh menimbulkan masalah lain seperti kuku rosak hingga menyebabkan hujung jari berdarah. Gen Y kongsi cara berkesan untuk anda hentikan tabiat ini.
Kaji punca
Mungkin pada awalnya anda hanya menggigit kuku sekadar suka-suka. Rasa bosan dan tidak lakukan apa-apa ketika menunggu membuatkan anda tidak sedar sedang menggigit kuku dan kemudiannya ia menjadi kebiasaan dan dilakukan setiap hari.

Bagi mereka yang tegar, banyak alasan khusus diberikan seperti kebosanan, ketakutan, tekanan, rasa cemas dan seumpamanya membuatkan mereka teruskan tabiat ini. Untuk berhenti, buatkan diri anda sentiasa sedar dan beritahu orang sekeliling supaya tegur anda jika melihat anda sedang gigit kuku.


Alih perhatian

Selepas menyedari kelakuan anda, sebolehnya cuba alih perhatian dengan buatkan tangan ‘sibuk’ dengan aktiviti lain seperti bermain ‘game’ di telefon bimbit, menconteng buku atau buat tugasan lain yang relevan.

Melakukan kebiasaan baru dapat membantu menghentikan tabiat ini. Tentunya kebiasaan baru yang dipilih adalah sesuatu yang baik, misalnya mengunyah gula-gula getah ataupun makan sesuatu yang ringan.


Rawatan

Sesiapa yang ekstrim dalam hal ini boleh mengakibatkan kecederaan. Jari berdarah, kuku nipis dan terkopek, kehilangan kuku selain mengalami kerosakan kekal antara kesannya. Jika ia berlaku, maka sudah tiba masanya anda mendapatkan rawatan. 

Kebiasaan menggigit kuku (onychophagia) sebenarnya adalah sebahagian daripada sekumpulan perilaku yang termasuk dalam diagnosis gangguan obsesif kompulsif (OCD). Untuk mengatasi masalah ini, cuba rujuk kepada pakar dan lama-kelamaan pastinya ia akan hilang.

Antara cara lain adalah dengan cara menjaga kuku secara rapi. Sentiasa ada alatan ‘manicure kit’. Cuba untuk melakukan ‘manicure’ seminggu sekali. Mulakan dengan memotong kuku jika perlu dan kemudian membersihkan, melicinkan dan mencantikkan kuku.


‘Cacatkan’ rasa

Krim, minyak ataupun pewarna kuku direka untuk menghentikan kebiasaan menggigit kuku. Perilaku ini biasanya dilakukan tanpa sedar dan boleh berhenti bila anda mendapati ada rasa atau aroma yang tidak enak dari kuku.

Dengan mengoles krim atau sanitizer di tangan dan jari anda, pastinya ia akan mencipta rasa aneh bahan kimia dan membuatkan kemahuan terbantut untuk terus meng­gigit. 

Selain itu, anda boleh atasi masalah ini dengan cara memakai kuku palsu untuk mencegah tabiat menggigit kuku. Jika anda berbelanja besar untuk kelihatan cantik mungkin buatkan anda fikir dua kali untuk merosakkannya.

Awek ‘kaki melancong’

‘Elakkan bercinta dengan gadis yang suka melancong’, mungkin ia kedengaran pelik, tetapi itu antara isu hangat dibincangkan jejaka jika lepak minum di kedai kopi atau sembang santai sesama mereka. Apabila ditanya kenapa, mereka tidak hanya membuat tanggapan begitu saja, tetapi beberapa konflik berlaku kepada rakan lain yang berpasangan dengan gadis kategori ini. Bermakna, tanggapan dibuat berdasarkan pengalaman.
Tidak semestinya tanggapan yang dibuat boleh diguna pakai untuk semua. Bagi si kaki jalan, mungkin melancong ke tempat baru, mengenali budaya unik dan berkenalan dengan orang serata pelusuk dunia mengajar mereka untuk lebih berdikari, sekali gus tidak dilabel seperti gadis kebanyakan yang manja.
Golongan jejaka yang resah untuk berpasangan dengan gadis seperti ini bukannya melarang dan menahan diri untuk jatuh cinta, tetapi lebih kepada berhati-hati dan siap sedia untuk menghadapi apa saja cabaran yang bakal dihadapi jika berkasih sayang dengan wanita yang memiliki hobi ini. Gadis ini bukannya berperwatakan asing, tetapi ada beberapa sifat diri menjadikan mereka berbeza daripada gadis yang sukakan kecantikan.
Tak romantik
Jangan salahkan golongan lelaki, ada benarnya ‘awek’ suka melancong tidak romantik. Penulis faham jejaka sememangnya mengidamkan teman wanita yang manja dan romantik kerana ia antara cara untuk menyatakan kasih sayang, tetapi lain caranya jika berpasangan dengan gadis kategori ini. Jika anda bersedia menerima teman wanita daripada kelompok ini, tabahkan hati kerana sudah diketahui mereka agak ‘kasar’ dan ala tomboy. 

Tidak hanya daripada segi berpakaian, sikap ini boleh dikenal pasti jika anda berkenalan rapat dengan mereka. Kasar merangkumi semua termasuk cara bergurau senda, berbicara dan sebagainya. Namun perlu diingat, tidak semuanya begini kerana ada banyak jenis cara melancong. Jika mereka melancong gaya Paris Hilton, mungkin ciri kewanitaan terserlah, tetapi jika meneroka gaya ‘backpacker’, pastinya aura kejantanan boleh dikenal pasti pada tingkah lakunya.

Makan malam romantik atau menonton filem di panggung wayang kedengaran menarik, tetapi bukan bagi mereka (gadis suka melancong). Ini kerana mereka merasakan hal ini ‘jauh’ daripada cara hidup dan mentaliti yang sudah dibentuk dalam diri. Pengalaman baru ketika meneroka negara orang mengajar mereka untuk lari daripada aktiviti biasa.

Untuk jejaka, kamu tidak akan memperoleh kata-kata manis daripada mereka kerana yang akan selalu kamu dengar adalah tutur kata telus tanpa ada aura manja. Tapi awas! Sekiranya ini alasan untuk kamu bangkitkan dengan meminta dia menjadi lebih manja perlu diluahkan dengan berhati-hati kerana jika salah budi bicara, pasti si dia akan hilang lagi pergi melancong ke mana-mana. 


Cakap lantang

Gadis seperti ini mungkin tidak akan menghabiskan wang si jejaka dengan meminta untuk dibelikan tas tangan, emas ataupun alat solekan ‘fashionista’ yang sedang popular di pasaran, tetapi dia akan meminta kamu sesuatu yang ada waktunya lebih mahal! Jika bukan tiket penerbangan ke beberapa destinasi menarik di seluruh dunia, dia pasti meminta anda membawanya melihat keindahan pemandangan alam ataupun tempat menarik yang tinggi nilai sejarah dan budaya. 

Lebih memeritkan jika anda tidak punya masa untuk semua itu, hanya perlu tabah melepaskannya dia pergi kerana dia pastinya meminta kebebasan untuk melancong seorang diri atau bersama kawannya.

Berbeza dengan yang lain, gadis ini lebih gemar bercakap ‘lepas’ iaitu meluahkan pendapat tanpa terlalu memikirkan perasaan orang lain, yang pastinya mesej hendak disampaikan itu jelas. Jejaka yang lembut hati sudah tentu ‘makan hati’ dengan sikap sebegini yang memungkinkan mereka mencari pengganti teman wanita baru. Bagi gadis ini, perspektif cara komunikasi adalah elemen penting tanpa perlu ada dolak-dalik atau bahasa kiasan kerana ia lebih mudah difahami. 

Mereka ini juga dikatakan aktif berbicara. Kita pasti beranggapan mereka mudah mesra dengan sesiapa saja, tetapi jangan salah sangka, ada di antaranya memilih bersikap ‘berat mulut’ di negara sendiri berbanding ketika meneroka tempat orang. Walaupun usia masih muda, mereka tidak takut untuk berdebat khususnya mengenai isu berkaitan sosial, budaya dan spiritual.


Cakap lantang

Sifat lelaki mahukan wanita atau pasangan menganggap mereka sebagai pelindung, tetapi tidak jika berpasangan dengan gadis ‘kaki jalan’. Dia tidak memerlukan kamu sepanjang masa kerana boleh melakukan bermacam-macam hal dengan sendiri. Dalam keadaan sedih, dia tidak terlalu mengharap anda untuk merangkul dan mendengar rintihannya kerana dia memiliki alam semesta dengannya. 

Jangan terlalu berlagak hero di depannya. Anda akan dipandang jelek atau dianggap menjengkelkan. Perasaan bosan akan timbul jika si jejaka seorang yang suka mengikutnya ke mana saja dan selalu berusaha menjadi pemandu arah atau bertindak seperti ibu bapanya. Elakkan menyuruh dia itu ini mengikut telunjuk anda kerana pasti hubungan kalian tidak akan bertahan lama. 

Ada berpendapat, gadis ini tidak terlalu memandang tinggi perihal pendidikan kerana baginya pengalaman melancong lebih berpengaruh dalam kehidupan. Tetapi tidak semuanya begitu, ada juga mereka yang seimbangkan pendidikan dan hobi ini kerana menganggap ia sebagai terapi diri. 


Tak kisah tak cantik

Jarang sekali kita dapat lihat perempuan seperti ini berdandan rapi, rupa paras berseri dengan solekan kerana kita hanya akan melihat mereka dengan rambut tidak bersikat, tona kulit tidak sekata dan beberapa bekas luka di tangan dan kaki. Keinginan untuk menonjolkan diri kurang kerana mereka lebih gemar berada bersama alam semula jadi berbanding perempuan yang hobinya memanjakan diri di salun.

Rambut tidak bersikat tidak bermakna mereka selekeh, tetapi setiap inci watak daripada tubuhnya menceritakan seribu satu kisah di sebaliknya. Kecantikan luaran bukan isu utama, tetapi bagaimana cara mereka ‘membawa’ diri dalam masyarakat dan orang sekeliling adalah yang terpenting membuatkan gadis ini berlainan ciri fizikal dan mentalnya kerana ia tidak dimiliki oleh perempuan lain yang luar daripada kelasnya. 

Jelas, jika anda jenis lelaki yang gemarkan wanita suka berdandan, bersolek cantik, gadis seperti ini bukan untuk anda. Jangan sesekali mencuba kerana ia kemungkinan besar tidak membuahkan hasil kecuali jika kamu boleh menilai kecantikan hatinya, memahami minatnya dan sanggup berkongsi kasih sayang dengan alam semesta, pasti ia menjadikan perjalanan hidup kalian lebih menarik daripada biasa.

Wednesday, February 19, 2014

Kelu berbual

Kalau dengan kenalan baru, isu susah nak bergaul atau memulakan perbualan bukanlah perkara baru, sebaliknya ia normal kepada kebanyakan orang kerana sikap peramah bukannya karakter ‘wajib’ kepada seseorang individu.
Contohnya apabila kita hadir di sesebuah majlis yang tiada kawan atau kenalan, masuk ke universiti atau sekolah baru ataupun memulakan pekerjaan di pejabat baru, tidak berbual dan ada rasa malu adalah normal.
Namun kalau dengan kawan sekelas, jiran tetangga, adik-beradik dan ibu bapa sendiri pun susah nak berinteraksi ataupun rasa janggal untuk bersembang, itu memang satu masalah yang harus dipandang serius.

Selalunya sikap orang yang susah nak berbual dan rasa segan untuk menegur kita gelar mereka sebagai pemalu. Sikap ini bagaimanapun semakin berkurangan pada zaman sekarang kerana anak muda hari ini sememangnya jenis yang suka berkawan.

Tetapi tidak mustahil dan memang banyak direkodkan ada juga anak muda bersikap ‘pemalu melampau’ sehingga dalam kalangan teman sendiri pun jarang sekali berbual, apatah lagi sembang bergelak ketawa.

Lebih parah, ada juga beberapa teman yang mengadu mereka ada masalah untuk berbual dan bersembang bersama adik-beradik dan ahli keluarga sendiri. Kebanyakan mereka rasa janggal dan pelik untuk bersembang mesra.

Apabila ditanya sepatah, jawapan diberikan juga sepatah. Jika usia kecil atau zaman kanak-kanak mungkin kita boleh kategorikan tidak pandai beramah mesra, tapi apabila masalah ini berlanjutan sehingga besar panjang, itu perlukan penyelesaian.

Mengapa ia berlaku dan bagaimana pula untuk menyelesaikan masalah ini?


Membina hubungan

Memetik laporan psikologi dan berdasarkan pemerhatian kebanyakan jurnal karakter anak muda, personaliti seseorang berbeza dan unik. Ahli psikologi menjelaskan terdapat personaliti jenis ekstrovert dan introvert.

Sesuatu yang normal apabila individu sukar untuk membina hubungan dengan orang yang baru dikenali mahupun sanak-saudara dan rakan-rakan berdasarkan faktor personaliti dan faktor lain.

Masalah tidak pandai berbual boleh cuba diatasi melalui beberapa petua termasuklah pertamanya, perlu sedar yang kebanyakan rasa ketakutan hanya berada dalam diri. Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu membentuk satu imej pemikiran yang sihat apabila bertemu dengan orang.

Ada individu yang melihatnya sebagai satu peristiwa yang menakutkan kerana bimbang perlu membuat satu ekspresi yang baik apabila bertemu orang lain. Semakin banyak kita memikirkan perkara ini, semakin menakutkan. Rasa malu kepada orang lain lahir hasil daripada ketakutan ini.

Dalam usaha untuk memudahkan perbualan, perkara lain ialah baik jika kita dapat mulakan perbualan yang kecil dengan orang yang kita ingin berbicara. Seterusnya, biasakan dengan menyertai kumpulan atau persatuan yang diminati.

Mungkin boleh memulakan perbualan dengan bertanya mengenai waktu jika kebetulan anda tidak memakai jam tangan. Boleh juga kalau anda sudah ada sedikit keyakinan, puji saja pakaian, kasut ataupun imej yang digayakan seseorang itu.

Banyak kumpulan pertemuan atau persatuan yang ada. Kita juga boleh menghadiri kursus atau bengkel yang menjadi tempat berhimpun individu yang mempunyai masalah sama seperti kita.

Dalam membina persahabatan, anda juga boleh membabitkan diri dengan kerja kebajikan. Rasanya itu adalah salah satu langkah terbaik untuk anda yang begitu pemalu untuk memulakan perbualan.

Menyertai persatuan dan melakukan sesuatu kerja adalah bonus untuk anda berbual dengan sesiapa saja kerana topik perbualan lebih fokus mengenai kerja atau tugasan yang sedang dilakukan.


Jadi diri sendiri

Berhubung melalui Internet adalah satu usaha baik untuk memulakan sesuatu persahabatan sekiranya anda jenis yang begitu pemalu untuk berinteraksi secara berdepan. Ramai yang mendapat pasangan hidup bermula dengannya.

Anda tidak perlu berdepan dengan seseorang individu itu, tidak kenal personalitinya dan penting antara anda dan si dia masih tidak mengenali atau pernah berjumpa. Itu lebih senang untuk katakan ‘hello’ kepadanya.

Memulakan perbualan memerlukan kita membuat langkah pertama. Jangan tunggu untuk orang lain menegur atau memulakan perbualan. Anda kena ambil inisiatif untuk bertegur sapa.

Mulakan perbualan anda dengan yang mudah dan kecil. Memberi salam atau bertanya khabar adalah contoh yang baik. Sikap tidak menghukum orang lain juga dapat membantu dalam merancakkan perbualan dan membina persahabatan. Jangan terlalu mendesak untuk membina sesuatu persahabatan.

Berikan persahabatan ruang untuk berkembang. Anda juga perlu berhubung secara ikhlas. Apa yang sering berlaku ialah kita terlalu memikirkan mengenai diri sendiri sehingga terlupa mengenai keperluan orang lain.

Apa yang selalu kita fikirkan ialah apa yang orang lain akan fikirkan terhadap kita, apa yang perlu kita cakap dan juga apa langkah yang perlu kita ambil seterusnya. Perkara ini menghalang kepada pembinaan sebuah perhubungan yang baik.

Apa yang lebih penting ialah jadilah diri sendiri. Jangan ubah diri semata-mata untuk mencari kawan.

Jika ada dalam kalangan kita anak muda berdepan masalah untuk berinteraksi sesama ahli keluarga pula, anda boleh cuba mengatasinya dengan menerangkan personaliti anda sebenar kepada ahli keluarga agar mereka tidak fikir negatif terhadap karakter anda.

Beritahu dan berkongsilah dengan keluarga anda atau salah seorang adik-beradik yang paling akrab dengan anda mengenai masalah diri. Secara psikologinya, individu akan dapat berbicara dengan baik dan rancak apabila berasa selesa dengan personaliti individu.

Tidak hairan apabila dengan kelompok yang disukai, anda tidak menghadapi sebarang masalah berkomunikasi.

Thursday, February 13, 2014

Senaman dari dalam

Jarang benar kita mendengar lelaki aktif melakukan aktiviti yoga seperti wanita. Kebanyakan lelaki lebih gemar bersenam di dalam gimnasium dan beranggapan yoga adalah senaman yang tidak mencabar.
Apa itu yoga?
Perkataan yoga berasal daripada bahasa Sansekerta bermaksud satu aktiviti di mana seseorang memusatkan seluruh fikiran untuk mengawal pancaindera dan tubuhnya secara keseluruhan yang bererti mengendalikan, mengatur, fokus dan berfungsi menyelaraskan tubuh, jiwa dan fikiran. Selain itu, yoga dapat melancarkan aliran oksigen di dalam tubuh sehingga tubuh sihat termasuk wajah.

Setiap orang memiliki tenaga atau aliran panas yang berasal dari dalam tubuh. Dengan yoga, kita dapat mengarahkan tenaga tadi pada sesuatu yang bersifat konstruktif dan disalurkan kepada satu aliran yang betul.

Yoga berasal dari India dan dilakukan sejak 4,000 tahun lalu. Sejak 1960-an senaman yoga mula tersebar ke seluruh dunia. Meskipun di Mesir aktiviti yoga dilarang, namun di Malaysia dan Indonesia yoga kini banyak diamalkan.

Yoga adalah induk daripada senaman serta pelbagai jenis bela diri, tari, muzik, nyanyian, bahkan seni bercinta dan penyembuhan. Sebagai seni olah jiwa dan raga, yoga sebenarnya menggabungkan pengendalian fikiran, pernafasan dan latihan fizik.

Gerakannya cenderung halus dan tidak terburu-buru. Dalam latihan yoga, setiap postur yang diperagakan memiliki erti berbeza baik untuk tubuh mahupun fikiran. Duduk misalnya untuk rehat. Sementara berdiri untuk membangkitkan tenaga. Manfaat yoga diyakini meliputi segala usia.

Tidak seperti aerobik atau rutin senaman dalam gimnasium, yoga memberikan dua disiplin praktikal iaitu gerak dan diam. Disiplin gerak bermanfaat untuk menguatkan fizik, menghilangkan kekakuan sendi dan otot serta mengawal kesihatan saraf dan kelenjar tubuh.

Mungkin kerana geraknya perlahan dan lembut, golongan lelaki tidak gemar dan menganggapnya satu jenis senaman untuk wanita.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan lelaki di luar sana, anda perlu untuk mengetahui kebaikan dan rahsia di sebalik rutin senaman yoga ini. Antaranya termasuk:


Bukan seksa

Senaman adalah rawatan, bukan penyeksaan. Kebanyakan masyarakat menganggap senaman adalah satu aktiviti yang menyeksakan kerana perlu mengangkat berat, berlari sehingga kaki kejang, berpeluh sehingga baju basah dan sebagainya.

Anda lebih memilih berlari di atas ‘treadmill’ hanya kerana anda makan terlampau banyak dan mahu membakar kalori. Yoga adalah jalan terbaik untuk bersenam kerana ia merawat tubuh anda dan bukan menyeksa tubuh anda.


Hapuskan tekanan

Bertindak sebagai penghapus tekanan. Menurut penemuan yang dilakukan di Universiti Press Oxford, yoga berkesan dalam mengurangkan tekanan dan sakit belakang ketika bekerja.

Kajian dilakukan ke atas peserta yang dibahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan melakukan yoga manakala satu lagi kumpulan tidak melakukan yoga. Ternyata kumpulan yang melakukan yoga dilaporkan kurang tekanan, kurang sakit belakang dan kurang murung serta lebih tenang berbanding kumpulan lain.


Motivasi fokus

Meningkatkan motivasi dan fokus. Kajian dilakukan oleh Universiti of Illinois dan diterbitkan di dalam Jurnal Kesihatan dan Aktiviti Fizikal di mana yoga mampu meningkatkan konsentrasi atau fokus dan fungsi otak.

Seramai 30 peserta yang melakukan yoga mempunyai tahap kecekapan, pembelajaran dan fokus yang tinggi berbanding peserta yang melakukan senaman aerobik dan berjalan di atas ‘treadmill’.


Kualiti tidur

Tidur yang berkualiti. Yoga membantu memulihkan pesakit insomnia meskipun hanya melakukan yoga sebanyak 45 minit seperti bermeditasi dan bernafas secara mendalam setiap malam selama lapan minggu.

Pesakit insomnia kini mempunyai tidur yang lebih berkualiti, mudah bangun pagi dan bertenaga sepanjang hari tanpa rasa mengantuk.


Bentuk sempurna

Postur yang sempurna. Menghabiskan masa dengan duduk menghadap komputer boleh mengundang postur tubuh badan yang tidak baik sehingga mendatangkan risiko sakit tulang belakang. Apabila anda melakukan yoga, otot dan urat di dalam badan anda menjadi kendur dan ia membantu anda mempunyai satu postur yang sempurna dan membantu anda berjalan dengan penuh bergaya dan yakin.


Seimbang

Tubuh badan lebih lembut dan seimbang. Sebuah laporan kesihatan sebelum ini pernah menemui yang yoga memperbaiki fungsi tubuh badan dan keseimbangan pesakit yang menghidap strok. Pesakit yang mengamalkan yoga dikatakan berjaya berdikari daripada terus terjatuh dan ia adalah khabar baik buat penderita strok.

Tolak ketepi tanggapan yang yoga ini sukar untuk dilakukan dan boleh mendatangkan kecederaan buat anda yang mempunyai tubuh badan ‘keras’. Sebenarnya, anda boleh mencuba posisi yoga khusus untuk orang yang baru belajar.

Percayalah, yoga tidak langsung mencacatkan reputasi anda sebagai lelaki, sebaliknya ia akan memberikan kesihatan yang jauh lebih baik untuk dalaman seseorang lelaki itu. Jom kita cuba daftar hari ini.

Tuesday, February 4, 2014

Muda nampak tua

Sanggup menghadap cermin berjam-jam semata-mata untuk kelihatan cantik tapi akhirnya ditegur nampak tua oleh rakan mungkin boleh beri tekanan kepada kita. Itu belum lagi isu salah teka umur kerana kelihatan tua.
Remaja khususnya si gadis suka mencuba. Tak salah untuk mengenakan mekap berbeza-beza setiap masa tetapi asalkan tahu kesesuaian dan tidak berlebihan, pasti tidak akan jadi masalah. Isu salah bersolek ibarat perkara biasa tetapi sampai bila nak biarkan ia berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian.
Si gadis, percayalah, banyak teknik solekan yang betul untuk buatkan diri nampak lebih segar dan muda berbanding usia. Penulis berkongsi beberapa kesalahan yang sering kita lakukan termasuklah tip solekan yang betul bagi mengembalikan usia sebenar.
Terlebih bedak asas
Lapisan krim asas yang terlalu tebal pastinya boleh menutup garis halus dan kilauan pada kulit, pun begitu kita tidak perlu memakainya di setiap inci muka. Jika ingin membeli bedak asas, elakkan produk ‘matte’, ‘velvet’ dan ‘tahan lama’ tetapi carilah produk formula yang lebih ringan. Jika anda mempunyai kulit kering, lapisan bedak asas ini boleh menyerlahkan perubahan warna kulit tetapi berpada-pada kerana ia juga boleh membuatkan wajah kelihatan bertompok.


Sembunyi ‘eyebag’

Sesiapa pun pastinya perlu menghadapi masalah ini. Lingkaran bawah mata akibat tidak cukup tidur, letih dan sebagainya boleh mencacatkan seri wajah. Jalan penyelesaiannya cuma satu, sembunyi dengan ‘concealer’. Tapi ingat! Menyembunyikan lingkaran gelap bawah mata dengan ‘concealer’ tebal tidak sesuai kerana ia juga akan menarik perhatian kepada garis dan lebam yang biasanya muncul di kawasan itu (kerana kulit paling nipis adalah di bawah mata). Dan jika tona tidak sekata, ‘concealer’ itu pastinya akan memburukkan lagi solekan anda.


Elak ‘gothic’

Pastinya pelik jika terserempak dengan si gadis yang memakai gincu berwarna gelap, mungkin peminat ‘gothic’ atau si dia seorang yang misteri. Memakai pakaian warna gelap untuk menampakkan diri lebih kecil dengan ilusi coraknya sesuai jika dikenakan pada warna pakaian tetapi tidak pada bibir. 

Sebagai gadis normal, pilihlah pilih gincu cerah dan kenakan pengilat bibir berwarna terang seperti pic, merah jambu atau merah terang (pic, pink, merah bertenaga) berbanding warna dalam (burgundy, merah wain, coklat) untuk membuat mulut kelihatan seksi dan menarik. Bukannya menjadi kesalahan jika mengenakan gincu warna gelap, cuma biarkan kena pada tempatnya seperti menghadiri ‘custome party’ atau seumpamanya.


Kehebatan bedak serbuk

Penggunaan serbuk nipis mengelakkan pantulan cahaya adalah jalan terbaik untuk elakkan kulit nampak berminyak. Jika gemar memakai bedak serbuk sebagai langkah terakhir rutin solekan , ia pastinya boleh menjadi perkara sukar untuk ditinggalkan. 

Berikut adalah program tiga langkah yang boleh dicuba: Pertama, beralih kepada ‘sheer translucent powder’, kemudian, mula gunakan hanya pada hidung dan dagu. Akhir sekali, gantikan bedak serbuk dengan ‘blotter’ ( tisu serap minyak ) hanya pada T-zon (hidung, dagu, dan dahi).


Memakai celak hitam

Solekan mata mampu menampakkan seseorang itu lebih tua dari usia sebenar. Sesiapa yang bermata ‘sepet’ atau alis mata nipis pastinya bergantung kepada celak hitam. Memakai celak adalah satu cara terbaik untuk membuat mata kelihatan lebih besar tetapi realitinya, pilih warna coklat berbanding warna hitam. 

Ini kerana, warna coklat menampakkan mata kelihatan lebih besar dengan cara yang lembut dan tidak terlalu kasar seperti satu garis hitam yang lurus. Jika mengenakan celak dengan adunan warna bundar, mata akan nampak lebih besar secara asli.


Terlebih menggaris bibir

Gaya menggunakan pembaris bibir lebih terang berbanding gincu boleh dilihat sekitar era 60-an tetapi bukan sekarang! Jangan salah pilih idola. Pensil bibir atau penggaris bibir digunakan supaya gincu kelihatan terletak pada bibir dan tidak comot. Jika memakai penggaris bibir dengan terlalu banyak atau dengan warna gelap, ia akan membuatkan bibir kelihatan seperti robot dan ‘ketat’. 

Untuk kesan semula jadi, warna pensil bibir perlu sepadan dengan warna bibir anda, bukan warna gincu! Pilih formula berkrim yang tidak akan menonjolkan mana-mana tompok kering dan jangan lupa, perlu dipakai secara sekata. Jika berjaya, pasti anda akan kelihatan lebih muda remaja.


Pipi ‘pucat’

Tahukah anda dengan sedikit sapuan pemerah pipi boleh merubah penampilan wajah. Jika digunakan dengan betul pemerah pipi boleh memberi kesegaran dan menampakkan keremajaan wajah. Gunakan berus berbulu besar, dan sapukan pada pipi secara membulat, bukan hanya dalam satu garisan menaik kerana ia akan ‘membunuh’ keseluruhan solekan anda.


Gincu tanpa berus

Mengenakan gincu di bibir tanpa sapuan berus akan menjadi tidak sekata dan jika warna gincu terang, pasti kelihatan bertompok di atas bibir. 

Untuk mengelakkan warna berlebihan pada bibir, gunakan jari atau berus gincu supaya pigmen warna daripada gincu disapu terlalu banyak. Oleskan gincu di tengah bibir dan ratakan keluar hingga ke hujung bibir dengan jari. Selain itu, penggunaan balsam pelembap atau pengilat bibir juga digalakkan apatah lagi untuk remaja. 


Kening tebal dan gelap

Warna bulu kening pudar selari dengan umur tetapi kita boleh mengubah penampilan dengan solekan. Pensil kening yang anda gunakan pada umur 25 tahun akan nampak terlalu terang jika digunakan pada umur 50 tahun. Itu perumpamaan tepat untuk elakkan anda dikritik tanpa sedar. Pilih warna yang lebih ringan dan terang daripada warna kening semula jadi anda. Pastinya jangan pilih warna hitam gelap kerana ia akan membuatkan anda kelihatan 15 tahun lebih berusia!


Jaga wajah nampak awet muda

Solekan boleh membuatkan wajah nampak muda tetapi wajah juga perlu dijaga untuk kelihatan awet muda. Enam faktor utama perlu dititik beratkan iaitu pertamanya membabitkan tahap stres kerana ia terbukti menurunkan perlindungan tubuh dan membuat sel kulit menua lebih cepat. Keduanya, kurangkan minuman beralkohol kerana ia dapat memperbesar pembuluh darah menyebabkan jaringan kulit merosot hingga kedut. 

Merokok punca seterusnya kerana ia dapat membuat kulit wajah lebih cepat berkedut dan muncul garis halus pada wajah yang tak sedap dipandang mata. Merokok juga dapat memudarkan warna gigi sehingga nampak kuning. Kurangkan jemur di bawah sinaran matahari apatah lagi tanpa krim ‘sun block’ kerana membuat kulit kering dan lebih berisiko kanser kulit.

Tuesday, January 28, 2014

Ambil hati mentua

Hormati, elak konflik boleh jejas hubungan 

Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sebelum ini mendapati, selain tiada persefahaman, pasangan tidak bertanggungjawab, masalah kewangan, curang dan pasangan enggan dimadukan, punca lain pasangan bercerai adalah disebabkan campur tangan mentua. 
Hakikatnya, konflik antara menantu dan mentua, memang lazim berlaku. Hubungan kurang mesra antara menantu dan mentua seolah-olah menjadi rempah ratus yang perlu dihadapi dalam kehidupan berumah tangga. Selagi tidak memutuskan silaturahim, konflik kecil dianggap sebagai lumrah hidup yang mesti dilalui dengan tenang, banyak bersabar dan tidak perlu merungut untuk hal remeh-temeh. 


Hormat dan hargai 

Hakikatnya, perkahwinan tidak hanya menyatukan dua insan iaitu suami dan isteri tetapi turut menggabungkan dua keluarga. Ikatan perkahwinan tidak boleh hanya menyayangi pasangan, tetapi juga mentua dan keluarganya. Jika mampu bersikap baik, mereka juga akan menyayangi anda. 

Apatah lagi, mentua sebenarnya sudah seperti ibu bapa sendiri. Mereka adalah insan yang harus dihormati dan dihargai, walaupun ada kala tercetus beberapa konflik dan tidak dinafikan sehingga boleh hilang pertimbangan untuk mengatasinya. 

Untuk itu, anda perlukan kebijaksanaan dan pengertian supaya tidak terjadi konflik yang boleh merosakkan terus hubungan antara menantu dengan mentua. Bagi menghindarkan berlaku kejadian tidak diingini, hubungan sudah baik harus dijaga. 
Berikut beberapa panduan untuk menjaga hubungan anda dan mentua. 

Menghormati 
* Tanamkan dalam diri mentua adalah insan yang sama dengan ibu bapa kandung anda. Justeru, anda harus menghormati dan menghargai mentua. Jangan bersikap sewenangnya atau melawan. Hal ini sangat penting untuk dilakukan supaya anda boleh memahami kedudukan mereka. 

Jaga keluarga dengan baik 
* Anda harus ingat, memang amat wajar jika mentua selalu menginginkan hal yang terbaik untuk anak cucu mereka. Lalu, apabila ada yang tidak berkenan di hatinya, ada kala tindakan dibuat hingga mencampuri urusan rumah tangga. Jangan tersinggung atau marah jika ia berlaku, sebaliknya anggap mentua mahu memberi nasihat. 

Fahami perilaku 
* Cuba fahami perilaku dan karektor mentua dan anggap kerenahnya sebagai asam garam kehidupan berkeluarga. Perangai atau perilaku kurang menyenangkan bukan sebagai penghalang atau masalah besar, sebaliknya anggap ia sebagai sebahagian tanggung jawab dalam rumah tangga. Anda dan suami mesti bekerjasama. 

Dekatkan diri 
* Bagi menjaga hubungan baik dengan mentua, jaga kekerapan untuk mengunjungi mereka. Jika tiada waktu atau kesempatan, cuba ikhtiar menziarahinya meskipun cuma sebentar. Meskipun sekejap pertemuan itu sangat mempengaruhi hubungan anda dengan mentua. 

Jika terlalu sibuk sehingga langsung tiada masa menjenguknya atau jauh, anda mungkin boleh menggunakan kecanggihan teknologi seperti telefon dan sebagainya untuk mendekatkan jarak antara anda dan mentua. 

Tidak perlu berlebihan 
* Bersopan-santun ketika berinteraksi dengan mentua. Ingat, mereka adalah orang yang harus dihormati. Anda tidak perlu bersikap terlalu berlebih dan tidak perlu terlalu memaksa diri kerana ia akan memburukkan situasi. Bersahaja yang sebaik-baiknya untuk menjaga hubungan baik dengan mentua. 

Hati perlu tulus 
* Sayangi dengan hati yang tulus. Situasi itu tidak akan membuatkan terlalu kekok atau kaku apabila berhubungan dengan mentua. 

Hargai 
* Apabila ingin berkunjung ke rumah mentua, jangan lupa membawa buah tangan. Tidak perlu terlalu mahal sekadar dapat menggembirakan hati dan menarik perhatiannya. Sesuaikan pemberian cendera hati mengikut cita rasa dan usianya. Jangan lupa untuk memastikan, barang yang anda beri memang bermanfaat dan tidak terlalu murah.