Wednesday, March 19, 2014

Melamar & lamaran si dia

Mustahil kamu hanya ingin bercinta dan menikmati saat indah itu semata-mata tanpa memikirkan fasa seterusnya. Sudah tentu selepas beberapa ketika, soal berkahwin dan membina masa depan bersama harus difikirkan. Bercinta pun tak manis lama-lama kerana ia mengundang maksiat selain membuang duit saja.
Bagaimanapun, apa yang perlu kamu tahu sebelum mengambil langkah itu? Apa perlu kamu lakukan dan bagaimana pula untuk melamar si dia? Persoalan itu sudah tentu bermain pada fikiran terutama kamu si lelaki yang sudah bersedia menyuntik kekasih hati menjadi suri hidup ke akhir hayat. 
Tambahan pula kedua-dua keluarga sudah bertanya bilakah masa untuk kamu hidup berdua. Namun, pada masa sama, kamu mungkin belum bersedia berkahwin kerana merasakan masih ada perkara yang belum selesai. Bilakah masa sesuai untuk kamu melamar pasangan?

Ingat, lima perkara ini sangat penting untuk dipertimbangkan bagi memastikan semua rencana berjalan lancar.

Pertamanya, persediaan. Untuk hidup berumah tangga ia bukan semudah A, B dan C kerana kamu perlu mengetahui ilmu kekeluargaan sebagai persediaan hidup berumah tangga. Umum mengetahui perkahwinan adalah penyatuan hidup sehingga ke akhir hayat. Biarpun ada rumah tangga yang runtuh di tengah jalan, namun ia bukan alasan tidak memahami erti perkahwinan.

Jadi sebelum berkahwin, kamu perlu bersedia berubah. Maksud persediaan di sini ialah kamu harus bersedia mental dan fizikal kerana dengan adanya kekuatan diri, Insya-Allah kamu sudah bersedia untuk hidup berdua dengan pasangan. 

Kamu sebagai lelaki harus memastikan diri dan sikap dalaman sudah cukup sempurna dan lengkap untuk memimpin sebuah keluarga kerana tanggungjawab perkahwinan itu di atas bahu kamu. Jika gagal kamu berdua, silap itu adalah kamu dan tewaslah kamu memeliharanya. 

Keduanya, kewangan hendaklah kukuh. Jika perkahwinan tidak semudah membaca A, B dan C, justeru sebelum berkahwin juga kamu perlu mengukuhkan kewangan terlebih dulu. Ini kerana sebelum ini kamu mungkin biasa makan seorang diri, tapi apabila sudah berumah tangga, segala-galanya dalam kiraan untuk dua orang. 

Bercinta itu lain meskipun kamu adalah orang yang akan membayar setiap kali ‘dating’ kerana aktiviti itu tidak kamu lakukan setiap masa. Berbanding berkahwin, semuanya perlu dikira dari soal penyelenggaraan rumah, kereta hinggalah ke makan minum. 

Kalau rezeki murah, kamu mungkin bertiga, berempat dan sebagainya. Ada juga rumah tangga bercerai berai hanya kerana masalah duit. Ada kes suami berhenti kerja dan mengharapkan isteri menanggung segala-galanya. 

Jika isteri tidak selesa, pergaduhan pasti berlaku dan dari sinilah punca terjadinya perceraian. Tahukah kamu jika bergaji agak kecil, sebenarnya agak susah kamu berbelanja membeli keperluan rumah tangga. Jadi kamu perlu bersiap sedia dari aspek kewangan kerana ia asas utama dalam perkahwinan.

Tiada orang boleh hidup dengan cinta kerana pada zaman ini serba-serbi memerlukan duit.

Ketiga pula, kamu mesti bersedia melupakan bekas kekasih. Berkahwin, kamu perlu bersedia segala-galanya terutama untuk melupakan bekas kekasih yang mungkin hadir sebelum kedatangan si dia. Ini kerana ada pasangan yang sukar melupakan bekas kekasih dan lebih teruk lagi, kamu masih berhubungan dengan bekas kekasih.

Jangan ketawa atau hanya senyum sinis kerana banyak rekod perceraian menyebut ia berlaku kerana berpunca orang ketiga dan peratusan membuktikan bekas kekasih kembali mengharap cinta lama. 

Keempatnya, memberi keutamaan. Apabila kamu bersedia berkahwin, bermakna kamu bersedia memberi keutamaan kepada rumah tangga. Kamu tidak seharusnya memikirkan keseronokan bersama kawan-kawan sama seperti ketika kamu masih bujang di mana kamu bebas untuk keluar menonton wayang atau melepak di mamak dan sebagainya kerana kamu harus memberi 100 peratus komitmen kepada rumah tangga. 

Tapi itu tidak bermakna kamu tidak boleh langsung menghabiskan masa bersama teman, tapi harus bijak dalam mengurus masa.

Terakhir, hubungan itu hendaklah direstui keluarga. Tidak guna kamu menjalin hubungan jika tidak mendapat restu keluarga. Ini kerana perkahwinan akan bahagia jika direstui keluarga. Tentu kamu pernah mendengar cerita, rumah tangga tidak aman dan bahagia bila mana seorang anak membelakangkan keluarganya kerana cinta terhadap pasangan. 

Ada juga kes di mana pasangannya bercerai kerana pelbagai masalah dan bila disemak, ternyata perkahwinan tersebut tidak mendapat restu keluarga.

Jika kamu melepasi semua lima kriteria di atas, itu bermaksud yang kamu sudah bersedia untuk menjadi suami. Tunggu apa lagi? Lamar si dia. 


10 soalan sebelum melamar

Setiap pasangan berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai berjaya, namun tidak kurang pula kecewa. Tapi sebelum itu, adakah kamu benar-benar bersedia walaupun semua lima kriteria di atas sudah berjaya dengan cemerlang. 

Percintaan sebelum berkahwin seperti dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.

Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik saja di hadapan pasangannya. Tetapi selepas berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, apa kata kamu ajukan 10 soalan ‘maut’ ini kepada pasangan bagi mengukur tahap persediaan masing-masing sebelum berkahwin. 


1. Apakah wawasan hidupnya? 

Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah perlu kamu ketahui mengenai bakal pasangan hidup kamu. Sekiranya kamu dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup sama maka perselisihan dalam rumah tangga akan berkurangan.


2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan? 

Kefahaman serta tasawur atau gambaran jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadat, sudah semestinya rumah tangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.


3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya? 

Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan cita rasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.


4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan? 

Setiap orang mempunyai pandangan berbeza mengenai masa sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.


5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan? 

Masalah kesihatan kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit kronik atau kecacatan mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.


6. Adakah dia seorang yang suka bergaul? 

Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana kamu cari?


7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya? 

Perkahwinan bukan sekadar akad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan adalah hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?

Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.


9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan? 

Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia sempit dan mati sebagai insan kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.


10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumah tangga mereka? 

Setengah orang menganggap rumah tangga adalah masalah peribadi terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.

Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun sudah berkeluarga? Apabila kamu mendapat jawapan bersesuaian dengan apa dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. 

Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan kamu mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan ‘maut’ ini.

Monday, March 17, 2014

All Is Well – Hari ini Allah Uji Sebab DIA mahu Berikan Yang Terbaik

Hari ini
Hari ini Allah uji kita dengan pelbagai ujian
Saya buntu.
Kereta kepunyaan ibu ayah saya hilang beberapa minggu lalu. Setelah berita kehilangan itu diwawarkan kepada ibu ayah, mereka sedih dan sedikit bising di astro kiri kanan saya.
Tetapi, sebelum kejadian itu berlaku, saya menggunakannya dengan sebaik mungkin. Dari permulaan memandu, sehinggalah diletakkan di kawasan letak kenderaan, semuanya berada dalam kondisi baik.
Hendak dikatakan tidak mengunci, saya telahpun menguncinya. Kira, keadaan sebelum kejadian itu berlaku memang berada pada paras yang baik dan amat baik. InsyaAllah, saya yakin.
Tetapi, keyakinan itu dijentik dengan misteri kehilangan kereta.
.
Hari ini, berita kehilangan pesawat MH370 sudah merata.
Yang hilang, pesawat dan insan-insan yang berada di dalamnya. Bukan sehari dua kehilangannya. Ia berlarutan hampir satu minggu sudah.
Dan kita tahu, ini adalah sebahagian daripada ujian yang diberikan daripada Tuhan Yang Maha Berkuasa buat diri kita. Walhal, proses kerja dan penerbangan tersebut dilakukan dengan baik.
Namun, ujian ini hadir pada sesiapa dan tidak mengenal erti siapa. Semua orang akan merasainya dan laluinya.
Begitulah dua cerita ringkas di atas.
Saya merumuskan kedua-duanya baik dek kerana pelaksanaannya dilakukan dengan cara yang baik.
Dan bilamana proses yang kita laksanakan itu dengan baik, sudah pasti sedikit sebanyak kita menginginkan hasil yang terbaik. Sebaliknya, hasil yang kita perolehi berlainan dengan sangkaan serta jangkaan kita.
Secara tiba-tiba, tanpa kita duga, ujian bersemuka. Allah ~
Komen saya.
Jujur, kita belum lagi baik. Walhal, kita telahpun mengimani bahawa Tuhan Maha Baik. Kerana kita masih lagi meragui dengan Tuhan.
Masih lagi mempersoalkan itu ini tentang kerja Tuhan. Masih lagi menjadi Tuhan dengan mengeluarkan berbagai-bagai andaian dan tafsiran mengikut acuan akal dan nafsu sendiri.
Masih lagi melakukan kerja-kerja serta tindakan yang kurang wajar. Masih lagi sibuk dengan sesuatu perkara yang kurang penting sehingga kita terlupa serta mengabaikan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba.
Begitulah kita.
Pada saya secara peribadi, Allah swt Maha Baik. Mustahil DIA memberikan yang tidak baik buat para hamba-hambaNya.
Hari ini Allah swt uji sebab DIA mahu memberikan yang terbaik dan menginginkan yang terbaik dari kita semua. Sama ada aspek dalaman dan luaran, perlu kita seiringnya ke arah yang lebih baik.
Kekadang, secara zahir kita akui tentang keEsaan Tuhan. Tetapi di dalam hati masih lagi samar-samar. Meskipun kita ini orang yang solat.
Meskipun kita ini seorang yang menjaga aurat. Meskipun kita ini orang yang belajar agama dan bercakap-cakap tentang agama.
Belajarlah sangka baik, fikir baik, pandang baik, dan rasa baik terlebih dahulu terhadap sesuatu ujian.
Lihat, hari ini hampir beberapa buah negara bertungkus lumus berusaha mencari para mangsa yang hilang. Hari ini, berapa ramai para insani meratapi, berdoa dan bermohon kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh.
Perhatikan, hari ini sedikit sebanyak kita cuba bersatu di dalam mengatasi ujian dan cabaran ini.
Semua ini dengan suatu ujian yang Allah swt angkat dengan kebijaksanaanNya, seribu satu kebaikan menjelma yang kekadang kita ini terlalu sibuk cungkil satu persatu keburukan berbanding kebaikan, walaupun keburukan itu ada dan kita tidak boleh nafikannya.
Subhanallah ~
Harapan saya.
Usah kita lupa untuk meminta dan berdoa pada Allah swt. Kerana Allah swt suka dan cinta akan hambaNya yang berdoa. Tetapi DIA murka pada hambaNya yang tidak berkeinginan dan tidak suka berdoa kepadaNya.
Sebab, hamba itu lemah, fakir, dan tiada daya upaya dalam menguruskan urusannya sendiri. Pintalah kepadaNya dengan bersungguh-sungguh.
Seandainya mampu mengeluarkan air mata, silakan. Boleh jadi, air mata yang gugur itu akan memadamkan segala dosa-dosa kita.
Tetapi, doa sudah dilakukan, Allah swt masih lagi tidak memperlihatkan pesawat serta membantu menyelesaikan ujian ini. Bagaimana..?
Doa tidak semestinya dibayar secara terus. Boleh jadi, doa itu Allah swt menundakannya untuk generasi serta umat yang akan datang.
Boleh jadi juga, doa itu Allah swt gantikan ia dengan sesuatu yang lebih baik yang kita tidak ketahuinya. Juga, boleh jadi Allah swt mengurniakan doa kita di akhirat kelak sana.
Percayalah dan bersabarlah serta yakinlah bahawa Allah Maha Baik.

Kegagalan Sebagai Yuran Kejayaan!

kejayaan
Kejayaan mustahil tanpa usaha | Still not good enough by Iamno-Scientist

Kegagalan sebagai yuran kejayaan?

Betul ke?
Sebelum ke arah jawapan, saya timbulkan lagi persoalan…pernah rasa kegagalan?
Jawapan untuk kedua-dua soalan..”Ya, setiap orang PASTI pernah rasa kegagalan dan kegagalan itulah yang menjadi yuran kejayaan!”
Namun, ada juga kegagalan yang menjadi HUTANG kejayaan.
Hutang? kejayaan pun ada liabiliti?
Ya, hanya putus asa akan memberi liabiliti kepada kejayaan.
Bagaimana?
Jika kita sudah mengalah sebelum berjuang, kita akan terpaksa berkerja lebih! Lebih masa dan lebih tenaga kerana banyak masa kita terbuang kerana berhenti separuh jalan.
Akibatnya, kita jauh ketinggalan dalam mendaki gunung kejayaan.
 ”Aku dah berusaha tapi..kenapa masih gagal?”
Kata bijak pandai, bukan kita merancang untuk gagal tapi kita yang gagal merancang.
Allah beri kita kegagalan bukan bererti Allah buang kita ke pulau kegagalan untuk selamanya. Selami ibrah yang Allah beri.
Jangan kita terus hidup di pulau kegagalan namun kita cuba bangkit dan pulaukan kegagalan itu. Sampai bila kita ingin terus di dalam selimut kekecewaan?
Di bantalkan dengan keluhan?
Kita ambil iktibar dari kisah kejayaan Col. Harland Sanders iaitu pengasas KFC.
kejayaanBeliau telah gagal lebih dari 1000 kali untuk mendapatkan platform untuk memperkenalkan ayam hebatnya yang sangat terkenal kini.
Apa ikhtibarnya disini?
Bak kata pujangga, hari yang mendatang tidak akan memberikan sebarang makna jika kegagalan semalam tidak dijadikan teladan.
Contohi kegagalan? Nak ulang kegagalan? karutlah!
Bukan mengulang tapi mengkaji!
Kaji dari mana PUNCA kegagalan dan PENGHALANG kejayaan.
Jika dahulu kita gagal mengurus masa, mulakan dengan sifat menghargai masa. Secara logiknya, benda yang berharga tidak akan mungkin kita sia-siakan.
Bagaimana menghargai masa?  Hargai masa dengan mengisi masa. Bagaimana mengisi masa?
Ini jawapannya..
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Surah Al-Asr, 103:1-3)
Hargai masa kerana ia seperti air yang deras hanya berhenti bila sampai ke hujung.
Jika dahulu kita gagal dalam merancang, mulakan dengan menentukan matlamat. Tiada gunanya perancangan jika tiadanya matlamat.
Tentukan keutamaan daripada kemahuan. Buat analisis untuk menentukan prioriti. Dengan cara ini mudah melihat kelancaran perancangan yang dirancang.
Kita sering gagal untuk menguasai kata kerja faham dan hafal. Kita mudah hafal tapi mudah lupa.
Kunci dalam hafalan adalah memahami. Kita mungkin saja mudah menghafal beribu perkataan namun kita sukar memahami satu perkataan.
“Aku faham cuma tak ingat”
Jika ini yang kita alami, ertinya kita belum faham. Mengapa? jika kita faham sudah tentu kita ingat. Jika kita ingat tidak semestinya kita faham.
“Bingung..Tak perlulah berbelit-belit!”
Tak perlu bingung. Kuasai teknik memahami. Bagaimana?
Caranya mudah. Untuk memahami perlu mengetahui dahulu. Kita perlu tahu apa yang kita baca.
Contohnya,
“Kekurangan Vitamin A akan menyebabkan terbantutnya pembesaran ”
fahami ayat ini dengan bermain dengan imaginasi dan timbulkan persoalan dan jawab persoalan itu dengan cara mencari maklumat lebih tentang itu.
Apa kaitannya pembesaran dengan vitamin A? dan jika kita kembali kepada fungsi vitamin A, vitamin A adalah elemen penting untuk menghasilkan sel-sel baru.
Jika tiadanya vitamin A, sel-sel baru tidak akan dapat dihasilkan dan dengan mudah kita dapat kesimpulan yang sudah tentu pembesaran terbantut kerana tiadanya sel-sel yang baru.
Disini kita dapat memahami dengan menyeluruh tanpa menghafal bulat-bulat contoh fakta tadi iaitu “Kekurangan Vitamin A akan menyebabkan terbantutnya pembesaran”.
kejayaanApabila kita dapat memahami dengan baik, sudah tentu kita dapat menerangkan kepada rakan-rakan kita dengan lebih mudah tanpa mengunakan ayat didalam nota yang di beri.
Akhir sekali, jangan masuk lubang yang pernah kita jatuh dahulu.
Jika tersungkur lekas bangun. Selagi Allah dalam hati kita kekuatan pasti ada ketika kegagalan bertandang.
Tekadkan dalam hati , kegagalan ini pasti akan ku guna untuk mencapai kejayaan. FAILURE IS SUCCESS FEE!!
“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan” (Surah Al-Inshirah 94:5-6)

Ujian : Surat Cinta dari Allah Supaya Kembali Bertawakkal Kepada Allah

kepada Allah
kembalilah kepada Allah :’)
Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang.
Tiada daya upaya kami hambaMu yang lemah melainkan dengan izinMu ya Allah.
Dugaan dan ujian takkan pernah jauh dari kita, sebagai tanda peringatan dan kasih sayang Allah buat hambaNya.
Kita dibobok dan dimomokkan dengan teori, spekulasi dan berita yang kita tak tahu sama ada benar atau tidak, betul atau palsu yang kadangnya (biasa selalu) akan buat hati ini berdegup kencang, seram dan tak semena mena menjadi pendiam lalu runsing.
Dan mahu tak mahu apa yang dihadapkan itu punya kebenaran, fakta dan bukan perkara biasa yang harus ditolak mentah mentah. Allahurabbi.
Di sini, ujian itu terlalu besar, kerana setiap kebergantungan itu kita perlu letakkan sepenuhnya kepada Pencipta kita, Allah Azza wa jalla.
Telah dijelaskan dalam Al Quran.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” (Surah al-Baqarah 155-157).
La Hawla Wala Quwata Illah Billah.

Kembalilah Bertawakkal kepada Allah

Benarlah ayat ini “dunia itu penjara bagi orang mukmin”.
Terlalu banyak tipu daya dunia,fitnah, lagha dan perkara yang menjauhkan kita dari Pencipta kita. Allahu  sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri ya Allah.
Maaf atas setiap salah tutur perbuatan saya. Wallahi saya hanyalah insan kerdil yang jauh dari kesempurnaan.
Tapi marilah kita sama sama berubah dan berjuang.
Demi Islam, demi tanggungjawab kita sebagai hambaNya.
Pintu taubat Allah terbuka luas, tanda sayang dan kasihnya Allah pada kita

Tajdid niat kita.

Biarlah semuanya kerana Allah Taa’la. Jadikan Al Quran dan sunnah pegangan hidup kita. Dan bertawakallah hanya pada Dia.
“..sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya” (Surah al-Talaq, 3).
Semoga kita semua dilindungi, dipelihara iman dan diberi kebaikan dunia dan akhirat. Letak kebergantungan kita hanya pada Allah Ta’ala.
Yang memiliki setiap lapisan langit dan bumi, yang mengetahui apa yang kita tidak ketahui.
Dan Allah tidak akan menduga kita luar batas kemampuan kita dan tanpa izinNya tiada apa yang akan berlaku.
Percaya, sabar dan Redha.
Allahu Musta’an. Moga ketemu di syurga.
Fi Hifzillah.

Saturday, March 1, 2014

Hilangkan penat

Penat itu datang apabila kerja kita banyak memerlukan tenaga dengan bergerak atau mengangkat beban. Eksekutif muda yang hariannya penuh dengan mesyuarat, menyiapkan kertas kerja dan pembentangan juga akan terasa penat kerana menggunakan otak dengan sepenuhnya siang hari.
Belum lagi mereka yang perlu melayan kerenah manusia seperti bekerja di meja khidmat pelanggan, restoran, guru atau hospital. Itu lebih memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang kuat bagi memastikan tekanan tidak berterusan hingga ke rumah.
Pastinya, waktu habis bekerja dan masa untuk pulang adalah hadiah paling istimewa bagi mereka yang begitu penat sepanjang hari bekerja. Tubuh mula lebih rehat apabila menjelang waktu untuk pulang. Otak pun sudah sibuk memikirkan semua perkara seronok selepas kerja.

Hakikatnya, tubuh masih belum rehat sepenuhnya untuk kembali bekerja keesokan harinya. Jangan amalkan pergi berurut kalau penat, sesekali tidak mengapa.

Apa kata untuk mencergaskan kembali tubuh sebelum terus tidur, anda amalkan dengan minum air limau. Dapatkan beberapa biji limau dan perahkan bersama secawan air putih. Sebaiknya air suam kerana ia akan lebih memberi keselesaan kepada tubuh apabila anda menikmatinya.

Jangan campurkan gula, hanya perahan air limau saja. Jika tidak suka dengan limau nipis atau limau kasturi, gunakan lemon sebagai alternatif. Amalkan setiap hari, ia bukan saja untuk menghilangkan penat badan bahkan untuk mengempiskan perut juga buat anda yang terasa di bahagian perut agak buncit.


Lancar aliran darah

Keduanya, apa kata kali ini anda mengamalkan mandi dengan air panas. Sediakan air panas suam untuk anda siramkan ke bahagian badan, tidak perlu kuantiti yang banyak. Tapi pastikan air itu tidak terlampau panas dan sesuai untuk kulit anda. 

Jika tidak mempunyai alat pemanas air hanya masak air dan campurkan bersama air siraman anda nanti. Selain itu, air panas juga sesuai untuk anda rendamkan ke kaki kerana rasa panasnya akan melegakan sakit kaki anda selepas seharian mengenakan kasut bertumit tinggi atau berdiri. 

Sedikit sebanyak ia akan melancarkan aliran darah anda ke kepala dan mengurangkan keletihan badan serta sakit kepala.

Ketiganya, kita lakukan senaman ringkas sebaik tiba di rumah. Luangkan sedikit masa untuk bersenam, jika tidak berkesempatan hanya lakukan aktiviti di rumah seperti mengemas dan juga menanam. Ini kerana pengeluaran peluh ketika melakukan aktiviti seperti ini membantu badan anda untuk berfungsi dengan lebih baik. 

Dalam masa yang sama memberi otak anda oksigen yang lebih banyak kerana aktiviti kerja di pejabat yang berhawa dingin, contohnya boleh mengurangkan penggunaan fungsi otak dengan baik. Jadi dengan cara ini, adalah satu latihan yang baik.

Keempat pula, minum air teh hijau. Minuman yang diamalkan oleh masyarakat Cina ini sebenarnya amat baik, air teh yang berwarna hijau dan tidak mempunyai gula. Terdapat banyak antioksida yang membantu untuk menyegarkan tubuh dan minda dalam masa yang sama. Ia juga dapat mengurangkan kadar gula di dalam darah.

Terakhir untuk memastikan tubuh berada dalam keadaan baik sebelum digunakan semula keesokan harinya, mengurut adalah sangat penting untuk tubuh anda. Tapi jangan amalkan urutan seluruh badan dengan kerap kerana akan terdapat kesan negatif terhadap aktiviti itu. 

Sebaiknya sebulan dua kali saja anda amalkan urutan untuk badan daripada bahagian kepala sehinggalah kepada urutan kaki. Selain melancarkan darah, ia juga menyegarkan tubuh anda.

Henti gigit kuku

Sebahagian orang mempunyai tabiat menggigit kuku. Sekiranya ditanya, jawapan seperti ‘tabiat sejak kecil’, ‘susah dihentikan’, ‘tak boleh dikawal’ antara penyebab mereka masih gigit kuku walaupun usia meningkat dewasa.
Kata mereka, menggigit kuku dapat menenangkan diri bila menghadapi tekanan ataupun perasaan bimbang. Pelbagai teknik dan petua ringkas boleh dicuba untuk mengurangkan tekanan sekali gus mengatasi dorongan untuk gigit kuku. Pilih terapi paling berkesan berkesan dalam mengurangkan tekanan yang mungkin menjadi akar masalah daripada kebiasaan menggigit kuku.
Biasanya golongan ini akan menyatakan rasa tidak selesa jika ia dihentikan. Namun tahukah anda, tabiat gigit kuku boleh menimbulkan masalah lain seperti kuku rosak hingga menyebabkan hujung jari berdarah. Gen Y kongsi cara berkesan untuk anda hentikan tabiat ini.
Kaji punca
Mungkin pada awalnya anda hanya menggigit kuku sekadar suka-suka. Rasa bosan dan tidak lakukan apa-apa ketika menunggu membuatkan anda tidak sedar sedang menggigit kuku dan kemudiannya ia menjadi kebiasaan dan dilakukan setiap hari.

Bagi mereka yang tegar, banyak alasan khusus diberikan seperti kebosanan, ketakutan, tekanan, rasa cemas dan seumpamanya membuatkan mereka teruskan tabiat ini. Untuk berhenti, buatkan diri anda sentiasa sedar dan beritahu orang sekeliling supaya tegur anda jika melihat anda sedang gigit kuku.


Alih perhatian

Selepas menyedari kelakuan anda, sebolehnya cuba alih perhatian dengan buatkan tangan ‘sibuk’ dengan aktiviti lain seperti bermain ‘game’ di telefon bimbit, menconteng buku atau buat tugasan lain yang relevan.

Melakukan kebiasaan baru dapat membantu menghentikan tabiat ini. Tentunya kebiasaan baru yang dipilih adalah sesuatu yang baik, misalnya mengunyah gula-gula getah ataupun makan sesuatu yang ringan.


Rawatan

Sesiapa yang ekstrim dalam hal ini boleh mengakibatkan kecederaan. Jari berdarah, kuku nipis dan terkopek, kehilangan kuku selain mengalami kerosakan kekal antara kesannya. Jika ia berlaku, maka sudah tiba masanya anda mendapatkan rawatan. 

Kebiasaan menggigit kuku (onychophagia) sebenarnya adalah sebahagian daripada sekumpulan perilaku yang termasuk dalam diagnosis gangguan obsesif kompulsif (OCD). Untuk mengatasi masalah ini, cuba rujuk kepada pakar dan lama-kelamaan pastinya ia akan hilang.

Antara cara lain adalah dengan cara menjaga kuku secara rapi. Sentiasa ada alatan ‘manicure kit’. Cuba untuk melakukan ‘manicure’ seminggu sekali. Mulakan dengan memotong kuku jika perlu dan kemudian membersihkan, melicinkan dan mencantikkan kuku.


‘Cacatkan’ rasa

Krim, minyak ataupun pewarna kuku direka untuk menghentikan kebiasaan menggigit kuku. Perilaku ini biasanya dilakukan tanpa sedar dan boleh berhenti bila anda mendapati ada rasa atau aroma yang tidak enak dari kuku.

Dengan mengoles krim atau sanitizer di tangan dan jari anda, pastinya ia akan mencipta rasa aneh bahan kimia dan membuatkan kemahuan terbantut untuk terus meng­gigit. 

Selain itu, anda boleh atasi masalah ini dengan cara memakai kuku palsu untuk mencegah tabiat menggigit kuku. Jika anda berbelanja besar untuk kelihatan cantik mungkin buatkan anda fikir dua kali untuk merosakkannya.

Awek ‘kaki melancong’

‘Elakkan bercinta dengan gadis yang suka melancong’, mungkin ia kedengaran pelik, tetapi itu antara isu hangat dibincangkan jejaka jika lepak minum di kedai kopi atau sembang santai sesama mereka. Apabila ditanya kenapa, mereka tidak hanya membuat tanggapan begitu saja, tetapi beberapa konflik berlaku kepada rakan lain yang berpasangan dengan gadis kategori ini. Bermakna, tanggapan dibuat berdasarkan pengalaman.
Tidak semestinya tanggapan yang dibuat boleh diguna pakai untuk semua. Bagi si kaki jalan, mungkin melancong ke tempat baru, mengenali budaya unik dan berkenalan dengan orang serata pelusuk dunia mengajar mereka untuk lebih berdikari, sekali gus tidak dilabel seperti gadis kebanyakan yang manja.
Golongan jejaka yang resah untuk berpasangan dengan gadis seperti ini bukannya melarang dan menahan diri untuk jatuh cinta, tetapi lebih kepada berhati-hati dan siap sedia untuk menghadapi apa saja cabaran yang bakal dihadapi jika berkasih sayang dengan wanita yang memiliki hobi ini. Gadis ini bukannya berperwatakan asing, tetapi ada beberapa sifat diri menjadikan mereka berbeza daripada gadis yang sukakan kecantikan.
Tak romantik
Jangan salahkan golongan lelaki, ada benarnya ‘awek’ suka melancong tidak romantik. Penulis faham jejaka sememangnya mengidamkan teman wanita yang manja dan romantik kerana ia antara cara untuk menyatakan kasih sayang, tetapi lain caranya jika berpasangan dengan gadis kategori ini. Jika anda bersedia menerima teman wanita daripada kelompok ini, tabahkan hati kerana sudah diketahui mereka agak ‘kasar’ dan ala tomboy. 

Tidak hanya daripada segi berpakaian, sikap ini boleh dikenal pasti jika anda berkenalan rapat dengan mereka. Kasar merangkumi semua termasuk cara bergurau senda, berbicara dan sebagainya. Namun perlu diingat, tidak semuanya begini kerana ada banyak jenis cara melancong. Jika mereka melancong gaya Paris Hilton, mungkin ciri kewanitaan terserlah, tetapi jika meneroka gaya ‘backpacker’, pastinya aura kejantanan boleh dikenal pasti pada tingkah lakunya.

Makan malam romantik atau menonton filem di panggung wayang kedengaran menarik, tetapi bukan bagi mereka (gadis suka melancong). Ini kerana mereka merasakan hal ini ‘jauh’ daripada cara hidup dan mentaliti yang sudah dibentuk dalam diri. Pengalaman baru ketika meneroka negara orang mengajar mereka untuk lari daripada aktiviti biasa.

Untuk jejaka, kamu tidak akan memperoleh kata-kata manis daripada mereka kerana yang akan selalu kamu dengar adalah tutur kata telus tanpa ada aura manja. Tapi awas! Sekiranya ini alasan untuk kamu bangkitkan dengan meminta dia menjadi lebih manja perlu diluahkan dengan berhati-hati kerana jika salah budi bicara, pasti si dia akan hilang lagi pergi melancong ke mana-mana. 


Cakap lantang

Gadis seperti ini mungkin tidak akan menghabiskan wang si jejaka dengan meminta untuk dibelikan tas tangan, emas ataupun alat solekan ‘fashionista’ yang sedang popular di pasaran, tetapi dia akan meminta kamu sesuatu yang ada waktunya lebih mahal! Jika bukan tiket penerbangan ke beberapa destinasi menarik di seluruh dunia, dia pasti meminta anda membawanya melihat keindahan pemandangan alam ataupun tempat menarik yang tinggi nilai sejarah dan budaya. 

Lebih memeritkan jika anda tidak punya masa untuk semua itu, hanya perlu tabah melepaskannya dia pergi kerana dia pastinya meminta kebebasan untuk melancong seorang diri atau bersama kawannya.

Berbeza dengan yang lain, gadis ini lebih gemar bercakap ‘lepas’ iaitu meluahkan pendapat tanpa terlalu memikirkan perasaan orang lain, yang pastinya mesej hendak disampaikan itu jelas. Jejaka yang lembut hati sudah tentu ‘makan hati’ dengan sikap sebegini yang memungkinkan mereka mencari pengganti teman wanita baru. Bagi gadis ini, perspektif cara komunikasi adalah elemen penting tanpa perlu ada dolak-dalik atau bahasa kiasan kerana ia lebih mudah difahami. 

Mereka ini juga dikatakan aktif berbicara. Kita pasti beranggapan mereka mudah mesra dengan sesiapa saja, tetapi jangan salah sangka, ada di antaranya memilih bersikap ‘berat mulut’ di negara sendiri berbanding ketika meneroka tempat orang. Walaupun usia masih muda, mereka tidak takut untuk berdebat khususnya mengenai isu berkaitan sosial, budaya dan spiritual.


Cakap lantang

Sifat lelaki mahukan wanita atau pasangan menganggap mereka sebagai pelindung, tetapi tidak jika berpasangan dengan gadis ‘kaki jalan’. Dia tidak memerlukan kamu sepanjang masa kerana boleh melakukan bermacam-macam hal dengan sendiri. Dalam keadaan sedih, dia tidak terlalu mengharap anda untuk merangkul dan mendengar rintihannya kerana dia memiliki alam semesta dengannya. 

Jangan terlalu berlagak hero di depannya. Anda akan dipandang jelek atau dianggap menjengkelkan. Perasaan bosan akan timbul jika si jejaka seorang yang suka mengikutnya ke mana saja dan selalu berusaha menjadi pemandu arah atau bertindak seperti ibu bapanya. Elakkan menyuruh dia itu ini mengikut telunjuk anda kerana pasti hubungan kalian tidak akan bertahan lama. 

Ada berpendapat, gadis ini tidak terlalu memandang tinggi perihal pendidikan kerana baginya pengalaman melancong lebih berpengaruh dalam kehidupan. Tetapi tidak semuanya begitu, ada juga mereka yang seimbangkan pendidikan dan hobi ini kerana menganggap ia sebagai terapi diri. 


Tak kisah tak cantik

Jarang sekali kita dapat lihat perempuan seperti ini berdandan rapi, rupa paras berseri dengan solekan kerana kita hanya akan melihat mereka dengan rambut tidak bersikat, tona kulit tidak sekata dan beberapa bekas luka di tangan dan kaki. Keinginan untuk menonjolkan diri kurang kerana mereka lebih gemar berada bersama alam semula jadi berbanding perempuan yang hobinya memanjakan diri di salun.

Rambut tidak bersikat tidak bermakna mereka selekeh, tetapi setiap inci watak daripada tubuhnya menceritakan seribu satu kisah di sebaliknya. Kecantikan luaran bukan isu utama, tetapi bagaimana cara mereka ‘membawa’ diri dalam masyarakat dan orang sekeliling adalah yang terpenting membuatkan gadis ini berlainan ciri fizikal dan mentalnya kerana ia tidak dimiliki oleh perempuan lain yang luar daripada kelasnya. 

Jelas, jika anda jenis lelaki yang gemarkan wanita suka berdandan, bersolek cantik, gadis seperti ini bukan untuk anda. Jangan sesekali mencuba kerana ia kemungkinan besar tidak membuahkan hasil kecuali jika kamu boleh menilai kecantikan hatinya, memahami minatnya dan sanggup berkongsi kasih sayang dengan alam semesta, pasti ia menjadikan perjalanan hidup kalian lebih menarik daripada biasa.