Sunday, April 11, 2010

Redha dan Ikhlas



1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

  • Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
  • Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :


" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia
bersabar
bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

Belajarlah untuk ikhlas.

Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya. ( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin )

Thursday, April 8, 2010

Jaga Adab, Bertambah Berkat

Semasa saya sedang memberikan kuliah pertama dalam kelas Fiqh Muamalat bagi pelajar tahun 3 di European Institute of Human Science. (www.eihs.org.uk) Tiba-tiba seorang pelajar dari Russia mengangkat tangan lalu bercakap dalam bahasa arab yang masih boleh saya fahami walaupun bunyinya agak sedikit kelam kabut.

"Ustaz, kami sebenarnya suka kuliah ini tetapi kami harap ustaz tidak mengambil hak kami, biasanya pensyarah memberikan kami 10 minit rehat dan tamat 10 minit lebih awal".Panas juga saya mendengarnya, namun disebabkan ini kelas pertama dan saya juga tidak maklum kebiasaan pengajaran di sini, saya hentikan kelas untuk 10 minit sebagaimana diminta dan menyambung kembali sejurus selepas itu.

Kelas ini dijadualkan pada hari Isnin bermula jam 11 pagi sehingga jam 1 petang. 2 jam kelas sememangnya berat kecuali bagi mereka yang benar-benar ghairah dengan ilmu.Saya teringat kelas Sarjana (MA) Fiqh ketika di Jordan yang berlangsung 3 jam tanpa henti. Namun demikian, inilah suasana kelas yang amat saya rindui sekarang, malah amat luar biasa apabila saya tidak dijengah perasaan mengantuk sama sekali walau 3 jam, berbeza sekali dengan kelas-kelas di ketika saya di peringkat Sarjana Muda (BA), mengantuk kerap menjengah.

Memang banyak alasan mempertahankan mengantuk itu, namun ia bukanlah sesuatu yang baik di hadapan guru.

Kelas kedua bermula.

Sebelum ia bermula, pihak pentadbir institut memaklumkan kepada para pensyarah agar memperlahankan sedikit penerangan kerana tahap kecekapan bahasa arab pelajar adalah berbeza-beza di antara satu dengan yang lain. Kami juga diberitahu agar jangan tergesa-gesa kerana mengejar silibus tetapi boleh berhenti di mana sahaja asalkan pelajar dapat faham.Ada bagusnya juga, fikir saya.Teringat saya di UIAM yang agak terkejar-kejar untuk menamatkan silibus yang disediakan. Topik-topik pula kebanyakannya bukan ringan untuk pelajar.

HAK ANDA ATAU SAYA?

Sedang khusyuk saya menjawab soalan pelajar dan menerangkan perihal pecahan aqad di dalam Fiqh Muamalat, tiba-tiba .

"Ustaz, maaf , hak kami adalah untuk berehat 10 minit" tegas pelajar yang sama dahulu.

Kali ini saya cukup terasa.

Saya merasakan biadapnya pelajar ini.

"Anda salah" kata saya

"Tiada hak anda untuk berehat 10 minit, jangan sesekali mendakwa ia HAK anda. Ia adalah hak saya sama ada untuk berikannya atau tidak"

"Malah ingin saya ingatkan, anda semua dengan adab menuntut ilmu, jika anda berfikir kelas ini adalah sebagai satu perniagaan, anda pelanggan kerana membayar yuran dan saya tukang jual, anda tersilap, mungkin anda boleh berfikiran sedemikian jika ini bukan pengajian Islam, namun dalam pengajian Islam unsur barakah sewaktu pengajian amat penting"

"Anda semua ini, merupakan bakal-bakal imam, qadhi dan mufti di negara anda, tiba-tiba sibuk dengan 10 minit rehat, mengabaikan adab majlis ilmu, adakah anda rasa anda boleh berjaya dengan sikap begini" Celoteh saya dengan separuh marah.

Saya marah dengan sikap bakal-bakal pendakwah ini, datang ke Institut untuk mempelajari ilmu Islam, namun dibawa sikap dan adab tidak Islam. Tidak hormati guru dan majlis ilmu.Seorang pensyarah dan pakar hadis di Universiti Al-Yarmouk dahulu sangat sensitif dengan adab dalam majlis ilmu, sehingga jika terdapat pelajar yang menyilangkan kaki sewaktu duduk (di dalam kelas) akan dimarahinya, paling tidak akan disindirnya secara tajam.

Ada pula guru yang membalingkan pen kepada pelajar yang tidur dan macam-macam lagi.

Malangnya, guru yang ingin mendidik ini berhadapan dengan karenah pelajar yang kurang adab.

Terhakis sungguh adab menuntut ilmu, tiada lagi penghormatan kepada guru, saya sering teringat bagaimana para pensyarah Islam di pelbagai institusi pengajian dicemuh dan dikutuk oleh pelajarnya tanpa sebab yang haq.

Cara berinteraksi dengan guru juga semakin jauh dari adab murid dan penuntut ilmu.

Sebaliknya pensyarah yang memberikan soalan bocor, bermudah-mudah, selalu memberi waktu rehat, mungkin dianggap hero dan favourite. Tidak ketinggalan sebahagian rakan-rakan sepengajian saya ketika di Jordan yang suka mengutuk pensyarah di luar kelas. Malah ada yang dituduhnya sebagai zalim hanya kerana tidak memberikan soalan-soalan jangkaan.

Padahal yang memberikan soalan bocor itulah yang zalim dan mengkhianati amanah.

Allah swt pernah menggambarkan bagaimana adab penuntut ilmu di hadapan gurunya :-

قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِى فَلاَ تَسْأَلْنى عَن شَىءٍ حَتَّى أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْراً

Ertinya : Berkata Khidr (selaku guru), jika kamu ingin ikutiku maka jangan kamu bertanya apa-apa sehinggalah aku menceritakannya kepadamu " ( Al-Kahfi, 70)

Imam az-Zamakhshari berkata ertinya : Inilah sebahagian dari adab penuntut ilmu bersama gurunya, pengikut dengan yang diikutinya" ( Al-Kasyyaf, 2/686). Namun ini tidaklah bermakna, anda tidak boleh bertanya apa jua semasa guru mengajar, apa yang perlu adalah ‘minta izin' dan menunggu guru menamatkan percakapannya.

Adab-adab penuntut ini sangat ditekankan oleh ulama silam sehingga Imam Al-Ghazzali menyebut ertinya : Apapun yang diterangkan oleh guru semasa pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan sang guru lebih bermanfaat dari apa yang mungkin benarnya apa yang datang dari dirinya (penuntut)" ( Ihya 'Ulumiddin, 1/50)

Tidak dinafikan kita boleh berhujjah, berdiskusi dan mengkritik pendapat Imam Al-Ghazzali di atas, namun sefaham saya ia dibuat dalam konteks penekanan keperluan menghormati guru, meyakini ilmunya dan adab-adab penuntut ilmu di hadapan guru.

Sebagai murid atau penuntut, jika anda tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat guru, anda boleh berbincang dengan guru secara tertutup, mengemukakan hujjah anda dalam bentuk yang beradab dan tenang serta menjaga air muka serta menghormati tarjihan sang guru.

Ramai saya temui, penuntut yang menampilkan hujah seolah-olah si guru tersebut tidak tahu. Ramai penuntut yang baru khatam dua tiga buah kitab, merasakan diri lebih bijak dari gurunya. Jika ada yang mengatakan, "memang hakikatnya murid itu lebih bijak dari gurunya" atau "murid tidak yakin guru itu lebih tahu dari dirinya",

Nescaya ketika itu, murid itulah yang KURANG BIJAK, salah dan kurang berilmu, iaitu kerana dia perlu memilih guru, lalu kenapakah memilih guru yang diyakini kurang ilmu berbanding dirinya ?. Malah sebenarnya, individu yang merasakan dirinya berilmu adalah tanda dia belum cukup berilmu. Ya, sepatutnya, walau siapapun guru, walau terbukti sang guru 'kurang ilmu', namun anak murid yang pandai tetap akan beroleh manfaat dan ilmu baru dari guru tersebut, banyak cara dan bentuknya.

Imam Malik Bin Anas dan Muhammad Ibn Sirin berkata 'Ilmu itu agama, maka telitilah dari siapa kamu ambil ilmu agamamu" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)

Lihatlah contoh anak murid Imam Syafie Rabi yang berkata, 'Berkata Rabi', murid dan rakan SYafie, aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Syafie sedang memandang ke arahku, merasakan kehebatannya" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)

Malah penuntut ilmu Islam di zaman silam amat menghargai gurunya sehingga mereka sering berdoa :-

اللهم استر عيب معلمي عني ولا تذهب بركة علمه مني


Ertinya : "Ya Allah, tutuplah aib guruku dari penglihatanku dan janganlah hilangkan berkat ilmunya dariku"


Perlu saya tegaskan, para ustaz termasuk saya adalah manusia biasa, tidak maksum dan jika ada yang biadap, tidak ramai ustaz yang masih ingin melayani soalan dan hujahnya.Terdapat juga yang amat cetek ilmunya, tetapi bila membantah seolah terlalu bijak, sedangkan dari soalan yang diutarakan, kita sudah boleh menjangka sejauh mana ilmunya, kerana soalan itu sebahagian dari ilmu.

KESIMPULAN


Berusahalah mencari guru yang dipercayai, doakan agar tidak terlihat aibnya, dan jangan mencari kelemahannya, ambil kebaikannya, diskusi dengannya dengan adab dan masuki majlisnya dengan hormat agar berkat ilmu mampu sampai dan memberikanmanfaat di dunia dan akhirat.

Ingatlah, berkat itu amat perlu dalam pengajian ilmu Islam, dengan wujud keberkatan, kefahaman mudah diperoleh, ingatan lambat luput, amalan menjadi mudah, hati menjadi tenang.

Tanpa adab, berkat hilang dan susut, kefahaman tidak menjelang tiba, lupa adalah sindrom biasa dan fikiran sentiasa merasa serabut, hati gersang dan kering.





Solat Seorang Asing; Bersediakah Kita Menentang Kebiasaan?

Setelah dikira-kira, sudah tahun kelima penulis berada di bumi Cork ini. Jauh dari keluarga, jauh dari bumi Malaysia. Sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke sini, hati dah mula gusar tentang penjagaan diri dan iman, al maklumlah Islam dikatakan asing di bumi Eropah ini.

Namun, setelah masa berlalu, kehidupan yang dilalui tidaklah seperti yang digambarkan sebelum ini. Banyak perkara yang mematangkan kita sebagai seorang Muslim terutama dari segi pengukuhan akidah, pengamalan ibadah dan cerminan akhlak, lebih-lebih lagi kitalah duta Islam di sini.

Kadang-kala, terdetik di hati bahawa
lebih senang untuk mempraktikkan Islam di siniberbanding di tanah air sana. Paling kurang, dari segi ibadah, kita lebih mudah mempelajari, memahami dan mengamalkan rukhsah yang diberikan oleh Allah swt. Pendek kata, Islam itu Mudah!! Siapa kata Islam itu remeh dan menyusahkan?

“Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu” (2:185)

Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Allah suka (redha) supaya rukhsah-rukhsah yang diberikannya diamalkan sebagaimana ia tidak suka perkara-perkara maksiat dilakukan.” (Ahmad)

Biasa tak kita dengan situasi di bawah? Situasi di bawah bukanlah menunjukkan contoh pengamalan rukhsah, tapi cukup untuk kita memahami bahawa Islam itu mudah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Bila dah hidup di negara yang minoriti Muslim ini, barulah kita berusaha lebih sedikit menuntut tentang perlaksanaan ibadah itu sendiri seperti yang digariskan oleh Islam; oleh 4 Imam Mazhab & Ulama-ulama Muktabar yang menghuraikan berdasarkan rujukan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita tidak lagi menjadi Muslim yang pasif, yang beramal ibadah mengikut adat kebiasaan kita.

Situasi 1

Siah: “Jom korang, kita pergi solat. Waktu Maghrib dah nak habis nih. Lepas solat nanti, kita pergi laa cari kedai makan tu.”

Minah: “Alaa, korang je laa gi solat, aku tak bawak telekung la..terlupa. Nanti balik aku qada’ ah!”

Situasi 2

Seorang muslimah menunaikan solat di surau KL Central ketika dalam perjalanan untuk Program Pre-Departure Kolej Mara Banting (KMB). Bagi menjaga penampilan dan usaha untuk mendapatkan thiqah (kepercayaan) daripada peserta-peserta, muslimah ini memakai jubah labuh dan tudung batu permata.

Bisik-bisik seorang penghuni surau itu: “Aish, doh bakpe hok pelek sangak pompuang tuh semayang dok paka telekung tuh? Mane soh semayang die? Beso jalo pong dok reti-reti agi!”

Lirik-lirik pula beberapa penghuni surau yang lain. Lirikan tajam itu seolah-olah macam tengok orang buat maksiat kat dalam rumah ibadah lagaknya.

Situasi 3


Seorang anak yang merupakan penuntut University College Cork pulang untuk bercuti musim panas. Setelah bersiap-siap untuk ke usrah dengan sepasang baju kurung ‘pokka dot’, kedengaran laungan azan. Lalu, si anak terus mengangkat takbir untuk solat.“Allahuakbar…”

Tiba-tiba, debuk!! Adush, belakang si anak ditepuk orang! Si ibu rupanya!

“Nak semayang guane tak pakai telekung tuh? Aurat tutup tak sempurna.. Mana sah semayang! Ustaz mak masa dulu-dulu kata kita kena pakai telekung. Gi pakai telekung nung. Belajar tinggi-tinggi, makin tak paham agama mak tengok”

“Ala mak, tutup aurat laa ni. Dah tutup semua dah kecuali tapak tangan ngan muka. Tak semestinya kena pakai telekung. Kang tutup muka tak nampak plak kat mana sejadah.”


“Amboi, pandai pulak dia nak menjawab. Kita yang dulu-dulu ajar dia semayang, sekarang dia nak melawan kita plak. Pegi pakai telekung nung”

Kerana taatkan si ibu, maka si anak pun memakai telekung dan memulakan solat.

Gambar hiasan: Realiti di bumi asing melihatkan cara pemakaian ketika solat, cara menunaikan solat adalah sangat berbeza di kalangan wanita Muslim yang datang daripada mazhab yang pelbagai!

3 situasi yang dinyatakan di atas rasanya turut dialami oleh ramai di kalangan kita yang sudah lama tinggal di bumi asing. Iyalah, budaya orang Malaysia, bila nak solat kena pakai telekung! Tidak boleh kalau tiada telekung sembahyang. Setiap orang pasti sekurang-kurangnya mempunyai satu set telekung solat.

Dan setiap ibubapa pasti menyiapkan sekurang-kurang satu set telekung sembahyang untuk kegunaan anak-anak mereka.

Jadi, satu soalan yang penting untuk dijawab oleh setiap daripada kita; Muslimah yang bertanggungjawab untuk menjaga ibadahnya, dan juga Muslimin yang bakal menjadi pemimpin keluarga dan ummah.

Pemakaian telekung itu suatu syarat sah ataupun satu budaya dalam mengamalkan ibadah solat?

Saya sendiri sejak menuntut di luar negara, telekung bukan lagi satu keperluan apabila bermusafir. Jika di sini, kompas dan jaket labuh la lebih utama.

Jika di Malaysia pula, cukup sekadar pemakaian yang menepati syarat menutup aurat kerana masjid dan surau insyaAllah bertaburan di bumi tempat Islam berkembang. Apabila tiba waktu solat, maka tunaikanlah solat itu di tempat yang sesuai dalam uniform yang dipakai pada ketika itu. Adik-beradik dan ibu juga begitu. Alhamdulillah adik-adik merupakan orang yang mengikuti usrah, dan mak juga sedia belajar dari kami.

Namun, pertanyaan ayah sewaktu dalam kereta suatu hari membuatkan saya sedikit tidak berpuas hati kerana tidak dapat membalas hujah beliau.

“Eh, awak semua semayang ni, tengok-tengok sikit sah tak sah. Mak Ton suruh pesan hari tuh, dia dah bising sebab awak semua sembahyang tak tutup tapak tangan”

“Tapi ayah, aurat kita perempuan ni kan semua anggota tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Dan aurat kita dalam sembahyang adalah sebagaimana aurat kita sekarang laa kan? So, bolehlah nak solat dengan sebarang pakaian yang kita pakai, selagi mana kita pakai pakaian yang menutup aurat?”

“Tu aurat bila di luar, aurat masa sembahyang kena tutup belaka”


Sudah, saya dah pening dan ketandusan idea nak melawan hujah ayah. Jadi, baik diamkan sahaja. Tetapi sesuatu mesti dibuat. Kebetulan Milah (bukan nama sebenar) ada beli satu buku Fiqh Wanita. Jadi tepat sekali untuk dijadikan rujukan saya.

Alhamdulillah ada satu bab tentang ‘Aurat Wanita dalam Solat’.

Ada sesiapa yang nak teka atau berikan jawapan tentang aurat wanita dalam menunaikan solat?

Aurat Wanita dalam Solat


Maksud hadith:

Dari ummul mukminin Ummu Salamah r.a katanya: aku bertanya kepada Nabi saw, “Bolehkah wanita solat memakai dira’ (gaun panjang), dan khimar (tudung) tanpa izar (sarung)?. Baginda menjawab, “Boleh, apabila gaunnya cukup menutupi aurat sehingga ke hujung kaki”. (Riwayat Abu Daud)

Bila saya baca hadith ini, saya tahu mesti nanti ayah tanya apa yang dimaksudkan dira’, khimar dan izar tuh? Pelik-pelik istilah ini.

Dira’ = baju wanita yang dikenakan melalui leher sehingga ke badan (blouse, baju kurung, gaun)
Khimar = kain penutup kepala wanita dan tidak diwajibkan untuk menutup muka seperti telekung, kerudung
Izar= Pakaian yang menutupi tubuh separuh sehingga ke kaki (kain sarung, kain baju kurung)


Oh, jadi pemakaian telekung itu memenuhi tuntutan hadith sebenarnya (khimar + izar). Tetapi
tidaklah jatuh hukum wajib memakai telekung.

Dalam riwayat lain,

Ummul Mukminin Aisyah r.a pernah ditanya orang: “Bagaimana seharusnya pakaian wanita dalam solat? Berapa macam?” Jawab Aisyah, ” Tanyakan kepada Saidina Ali b Abi Talib, kemudian kembalilah kepada saya dan khabarkan kepadaku jawapannya.” Penanya tersebut mendatangi Ali dan bertanya kepadanya. Jawab Ali,”Khimar dan Dira’ yang cukup panjang.”

Tetapi kena juga diingat kawan-kawan, kerudung/tudung itu apa syaratnya? Mesti ingat apa yang Allah swt dah sampaikan kepada kita tentang syarat tudung ini. Kalau lupa mari kita tengok sama-sama;

“Dan hendaklah mereka menutupkan khumur (jama’ bagi khimar) mereka sampai ke dadanya.” (An-Nur;31)

Aurat wanita menurut Mazhab Syafi’i dalam solat adalah sekujur tubuh kecuali muka, bahagian belakang tapak tangan dan telapaknya. Apabila auratnya terbuka dalam solat dalam keadaan dia mampu menutupnya, maka batal solatnya. Bila aurat terbuka kerana tiupan angin, lalu ditutup tanpa banyak gerakan, maka tidak membatalkan solat.

Tetapi sekiranya terbuka kerana sebab-sebab lain umpama dilanggar binatang atau anak-anak kecil, maka solatnya batal.

Kesimpulan

Jadi, saya rasa saya sudah memahami sedikit sebanyak aurat wanita dalam solat mengikut mazhab Syafi’i. Bolehlah telefon ayah sekarang. Hmm, atau mungkin boleh saja tinggalkan mesej di Facebook ayah, lagipun lebih senang nak terangkan.

Oh, sebelum berhenti, sebenarnya ada sambungan untuk situasi yang ketiga tadi.

Si anak yang taat itu lalu bersedia untuk keluar bagi menghadiri usrah setelah usai solat.

“Eh, nak pegi mana tuh? Menonong dengan telekung tak bukak?” kata si Ibu.

“Nak gi usrah. Dan lambat dah ni.”

“Bukak laa telekung tuh dulu. Tak ke pelik nak pakai telekung berjalan keluar.”

“Dah tuh tadi kata pakai baju kurung tak tutup aurat, tak sah sembahyang. Jadi, kenalah pakai telekung kalau nak berjalan keluar. Baru tutup aurat betul. Nanti berdosa pulak kalau orang nampak aurat kita”

P/s: Muslimat, bersedia untuk menentang arus budaya Malaysia? Dan bersedia untuk memahamkan masyarakat Malaysia tentang perincian perlaksanaan solat? Hmm..
‘Dare to be a Stranger’

Wednesday, April 7, 2010

Diatas Sejadah Cinta

Saat pertama kali aku melihat isi kandungannya, aku tertarik namun kesibukan kuliah dan masa yang senantiasa mengejarku membuatkan aku leka untuk mendekati ruangan ini. Namun hatiku telah terdetik untuk menulis kisah hidupku pada masa lalu. Ianya bukan untuk kepentingan diri sendiri apatah lagi hendak memalukan sesiapa tapi cukuplah dijadikan sebagai pengajaran hidup kepada hamba Allah yang berada di luar sana.

Satu perkara lagi, dorongan mama telah menguatkan lagi semangatku untuk menulis sedikit sebanyak tentang perjalanan hidupku yang penuh dengan noda seterusnya mudah-mudahan ianya akan memberi iktibar kepada insan lain, insyaAllah.

Aku dibesarkan dalam keluarga yang berada telah menyebabkan aku leka. Aku terlalu hanyut dengan duniaku sehinggalah aku telah melupakan perintah Allah. Tambahan pula, aku merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan kesemuanya belajar di luar negara. Dalam keluargaku hanya terdapat seorang saja perempuan iaitu kakakku manakala empat lagi merupakan kaum adam.

Aku mempunyai saudara kembar lelaki yang sekarang sedang belajar di Russia dalam bidang perubatan manakala dua lagi abangku telah bergelar doktor. Kakakku seorang engineer manakala mama dan papa merupakan specialist doctor.

Alhamdullilah, Allah juga telah mengurniakan nikmatnya kepadaku dengan memberi kecerdasan dalam bidang akademik dan disaat aku menulis luahan ini, aku sebenarnya berada di bumi anbia’ (Jordan). Walaupun bidang perubatan bukan cita-citaku namun aku akur dengan impian mama dan papa untuk melihat anak bongsunya bergelar seorang doktor walaupun pada hakikatnya cita-citaku ingin bergelar seorang pilot.

Sebagai seorang anak bongsu aku diberi segala kemewahan hatta dari segi wang ringgit atau harta benda. Percaya atau tidak, seawal umurku 17 tahun aku dah mempunyai kereta waja milikku sendiri, hasil penat lelah berusaha dalam menempuh SPM dan ianya merupakan hadiah daripada papa sebagai ganjaran untuk anak-anaknya yang berjaya dalam akademik.

Namun, semua itu telah membuatkan diriku hanyut dan lalai akan tanggungjawabku kepada Allah. Tambahan pula, hobiku yang suka berlumba kereta secara haram dan minat yang mendalam dalam equestrian telah memberi peluang kepadaku untuk bergaul dengan semua jenis lapisan masyarakat.

Papa dan mama tidak kisah dengan kehidupanku yang terlalu sosial tapi apa yang penting pelajaran mesti diutamakan. Lagipun, aku jarang sekali pulang ke rumah memandangkan aku bersekolah berasrama penuh dan tatkala aku pulang ke rumah aku akan menghabiskan masaku dengan lepak dan berlumba kereta.

Kadang-kadang, aku tidak balik ke rumah langsung kerana bagi aku, rumah hanya tempat tinggalku sementara lagipun mama dan papa menyewa di tempat lain memandangkan jarak perjalanan ke tempat kerja terlalu jauh. Ini menyebabkan hanya aku dan orang gaji sahaja yang tinggal melainkan Abang Longku yang akan pulang seminggu sekali.

Dipendekkan cerita, aku berkenalan dengan seorang perempuan. Cantik orangnya dan aku percaya setiap mata yang memandangnya akan berusaha untuk mendapatkannya untuk dijadikan teman tidur. Tetapi tidak bagi aku, pada mulanya aku tidak layan perempuan ini kerana bagi aku perempuan terlalu murah harga dirinya. Hanya dengan sejumlah wang mereka sanggup menggadai maruah mereka lagipun aku dibesarkan dalam sebuah keluarga yang professional dan dihormati malahan papaku merupakan seorang hamba Allah yang berpangkat Dato’.

Namun akhirnya aku kalah dengan sifatnya yang sentiasa menarik perhatianku dan sentiasa mengekori aku kemana sahaja aku pergi serta ditambah pula dengan sifatnya yang suka menggoda. Mungkin kerana latar belakang keluarga dan penampilanku yang membuatkan diriku sentiasa menjadi perhatian perempuan.

Setelah seminggu berkenalan, akhirnya kami tidur bersama. Semua perkara kami lakukan kecuali seks kerana sebagai seorang lelaki, aku tidak sesekali melakukan hubungan itu dengan seorang perempuan yang aku tidak cinta apatah lagi perempuan liar macam dia. Kadang-kadang hampir dua minggu perempuan itu tidur bersama aku.



Hari demi hari aku semakin hanyut bersama-sama perempuan itu dan buat pertama kalinya aku telah menjejakkan kakiku ke pusat hiburan dan di situlah juga aku telah mengambil arak. Hatta sebelum ini aku tidak pernah terfikir untuk menjejakkan kaki ke tempat sebegitu apatah lagi untuk menjamah air haram. Begitulah besarnya pengaruh seorang Hawa kepada seorang Adam.

Duitku banyak ku habiskan untuk perempuan itu sampaikan kadang-kadang memcecah tiga ribu ringgit apabila kami keluar bersama untuk membeli-belah. Langit tidak selalunya cerah, Allah telah memperlihatkan kekuasaanNYA kepadaku. Sewaktu aku dan keluarga sedang membeli –belah untuk membuat persiapan untukku ke matrikulasi, aku telah terserempak dengan perempuan tadi yang sedang berkepit dengan seorang lelaki yang layak dipanggil ayahnya. Aku tidak dapat menahan perasaan geramku lantas ku menampar perempuan itu di hadapan lelaki tadi. Mama dan papa terkejut tapi aku tak menitiskan setitik pun air mataku kerana perempuan tersebut malah aku bangga dapat melepaskan perempuan sial itu.

Kini kehidupanku di matrikulasi telah bermula. Biarpun pada mulanya berat untuk aku melangkah ke tempat ini namun aku akur akan kehendak mama dan papa. Sebenarnya, sebelum ini aku mendapat tawaran belajar dalam bidang perubatan di united kingdom dan Russia tapi aku terpaksa menolak hanya kerana kehendak keluarga. Abang kembarku telah lama berangkat ke luar negara. Keputusan mama telah banyak mengecewakan aku. Aku ditempatkan di bawah program satu tahun dan demi mama juga aku terpaksa mengambil sains hayat di matrikulasi.

Masa berlalu terlalu pantas, sedar atau tidak, dua hari lagi pelajar-pelajar Program Dua Tahun (PDT) akan mendaftarkan diri. Aku tidak tahu kenapa aku tertunggu-tunggu saat itu. Hari dan waktu telah pun tiba, aku ditugaskan untuk menguruskan hal-hal pendaftaran pelajar-pelajar berkenaan. Letih hanya Allah sahaja yang tahu namun aku seronok melakukannya. Sewaktu aku sedang menguruskan seorang pelajar, aku terpandang akan seorang pelajar perempuan ni, manis orangnya dan sentiasa tersenyum, dan yang paling aku suka sifatnya yang lemah lembut. Entah kenapa hatiku berdebar apabila aku terpandang wajah dia.

Namun, aku tetap dengan egoku. Dari dulu lagi, aku memang tidak berminat dengan perempuan yang berkulit hitam manis. Namun sebagai lelaki aku tidak dapat menipu diriku sendiri, rupa-rupanya aku sudah terjatuh cinta kepada pelajar perempuan tadi. Sampaikan satu tahap aku terfikir kenapa aku terlalu berdebar bila melihat wajahnya dan kenapa aku menjadi tidak tentu arah bila aku melihat dirinya.

Isi hatiku aku luahkan kepada kawan sebilikku. Kami dah nekad untuk mengenakan perempuan itu, di satu kedai dalam kawasan matrikulasi kawanku telah menegur perempuan tadi. Nak tahu apa reaksi perempuan itu? Dia hanya terkebil-kebil lalu kawanku memperkenalkan dirinya tetapi perempuan itu hanya berdiam diri, memandang tepat ke wajah kawanku itu. Barulah kawanku tahu yang rupanya perempuan itu bisu.

Kawanku bergegas pulang ke bilik kami sambil ketawa dan berkata: "oi Tg Mohd Yusuf Hafizi, kau punyelah handsome, anak orang kaya, pandai dan muka Chinese look tiba-tiba terjatuh cinta kat perempuan bisu dah ke pulak? Tak ada perempuan lain ke dalam dunia ni kau nak buat makwe?"

Aku terkejut akan penjelasan kawanku tadi. Sebenarnya mamaku merupakan seorang mualaf dan kesemua adik-beradikku kelihatan seperti Chinese. Namun jauh disudut hatiku, aku ingin mengenali dan akan menerima dirinya seadanya kerana aku terlalu cintakan dia. Hari demi hari aku sering mengekori dia tanpa dia sedar, sehinggalah aku terserempak denganya di perpustaan dan untuk kali pertamanya air mataku menitis apabila aku terpandang dirinya menggunakan bahasa isyarat apabila bercakap. Hancur hatiku hanya Allah saja yang tahu.

Bermula dari saat itu, perwatakan ku mula berubah dari terlalu sosial kepada lebih berdiam diri. Kehadiran perempuan ini telah mengganggu hidupku. Dalam diam sudah hampir sebulan aku mengekori perempuan ini. Takdir telah menentukan segala-galanya apabila buat kali pertamanya aku bertentang mata dengan dia sewaktu di pejabat Hal Ehwal Pelajar. Tambahan pula, tujuan kami ke sana sama iaitu ingin mendapatkan tandatangan untuk keluar daripada matrikulasi.

Namun, pada waktu itu dia terpaksa menghadiri kelas lantas ku hulurkan bantuanku untuk menolongnya mendapatkan tandatangan. Tanpa sepatah kata, dia terus menghulurkan borang miliknya sambil tersenyum. Sebelum dia keluar daripada pejabat tersebut, aku telah meminta nombor telefonnya dan bermula pada saat inilah aku mengetahui bahawa si dia sebenarnya tidak bisu.



Aku bersyukur ke hadrat Allah. Keesokan paginya, kakak dan abangku telah tiba di matrikulasi untuk membawa ku pulang. Sedih hati hanya Allah saja yang tahu. Namun, jauh didalam hatiku yang aku akan sentiasa akan mengingati perempuan ini sampai ke akhir hayatku. Dia tiba dari asrama dengan berbaju kurung dan bertudung labuh. Sungguh tenang hatiku melihat perwatakan dan penampilannya dan pada waktu itulah aku teringat akan kebesaran Allah.

Sejujurnya aku sendiri tidak sedar sejak bila aku mula menyukai perempuan yang bertudung litup apatah lagi berbaju kurung. Dia telah menciptakan seorang lelaki untuk seorang perempuan dan seorang laki-laki yang baik untuk seorang perempuan yang baik sahaja.

Sesuaikah aku dengannya? Dulu aku seorang yang sosial, minum arak, tidur bersama perempuan dan tidak pernah menunaikan tanggungjawabku sebagai seorang muslim, persoalannya layakkah aku dengannya?

Aku perkenalkan dia kepada kakak dan abangku, kakak hanya tersenyum manis saja. Sebenarnya dari dulu lagi aku telah memberitahu kakak akan hal ini. Kini, aku sedang membuat persiapan untuk pergi ke Jordan. Perasaan aku bercelaru antara rindu dan sayangkan perempuan tu. Kadang-kadang aku rasa aku ni dah gila, mana mungkin perempuan yang aku tak pernah kenal dan tidak pernah bercakap boleh mengambil hatiku? Mama dan papa mula bertanya akan kehadiran perempuan itu dalam hidupku. Aku hanya tersenyum sebab aku tidak tahu nak bagitahu apa mengenai perempuan itu.

Allah telah menentukan segalanya, rupa-rupanya dia adalah kawan sepupu aku sewaktu berada di matrikulasi. Gembira hatiku hanya Allah saja yang mengetahui. Hari demi hari berlalu, aku telah meluahkan isi hatiku kepadanya dan dia terima dengan hati yang terbuka. Tapi kami tidak couple kerana baginya antara aku dan dia tidak sekufu. Pada mulanya aku tidak memberitahu latar belakang keluarga dan aku tapi mama telah memberitahu si dia akan kisah silamku. Menurut mama, muslimah itu hanya menangis sewaktu mendengar pengakuan jujur daripada mama. Tapi alhamdullillah muslimah itu telah dapat menerima diriku seadanya. Sampai ke saat aku menulis luahan ini, (05/11/09)hubungan yang terjalin hampir mencecah tiga tahun. Insya Allah bulan lima tahun depan(2010), dia akan menamatkan pengajiannya di UDM dan aku pula insyaAllah akan menghabiskan pengajianku dalam bidang perubatan dalam masa tiga tahun lagi.

Perhubungan kami sudah diketahui keluarga. Cuma antara kami masih ada penghalangnya. Untukmu wahai muslimahku, aku tidak akan sesekali melupakanmu walaupun sesaat kerana setiap kata-katamu telah menyedarkanku akan kebesaran dan tanggungjawab kita sebagai hambaNya. Allah telah mengurniakan kamu kepadaku agar menyedarkan diriku yang dulunya terlalu hanyut akan keseronokkan dunia. Sejak aku mengenali dirimu aku aku telah belajar bagaimana cara untuk solat, aku telah belajar berpuasa dan satu lagi kenangan manis yang aku tidak akan lupakan apabila dirimu memujukku untuk mendalami kalam Allah iaitu sesuatu yang telah lama aku tinggalkan dan selama itu juga aku tidak pernah sentuh kalam itu.

Alhamdulillah pada saat ni aku telah berjaya menghabiskan 14 juzuk al-Quran hanya tinggal 16 juzuk saja lagi untuk khatam. Hadirnya dirimu telah membawa nur Islam yang selama ini aku dan keluarga tercari-cari di dalam gelap. Seperkara lagi wahai muslimahku, namamu bukan sahaja berada didalam hatiku tetapi didalam hati seluruh ahli keluargaku. Wahai muslimahku, samada kau percaya atau tidak, kakakku sekarang telah memakai tudung setelah pertama kali melihat dirimu. Setiap kali solat aku tidak pernah lupa untuk berdoa kepada Allah agar disatukan hatimu dengan hatiku pada suatu hari nanti.

Alhamdulillah, baru-baru ini aku telah mengerjakan umrahku buat kali pertama dalam hidupku bersama-sama keluarga. Di hadapan kaabah aku berdoa sambil menangis kepada Allah agar menghadiahkan dirimu untukku. Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan salah satu daripada kekuasaan Engkau kepadaku yang telah membawa sinar baru dalam kehidupan kami yang selama ini masih tercari-cari akan redhaMu.

Buat muslimah yang berada di luar sana, hargailah dirimu seadanya. Sesungguhnya segala pintu kebaikan dan keburukan berada di tanganmu. Kamu berupaya mengubah kaum adam daripada negatif kepada positif malah lebih dari itu lagi. Seorang lelaki tidak memandangmu hanya kerana kecantikanmu walaupun kadang-kadang kaum adam tertarik memandangnya tetapi suburilah akan dirimu dengan sifat ketakwaan dan kelembutan yang bertempat dan jangan sesekali engkau mencampakkan dirimu kelembah hina, walaupun untuk sesaat kerana sebaik-baik perhiasan di dunia adalah wanita solehah.


Cinta Illahi






Tidurku tanpa teman,
Malamku tak berbintang,
Lena mengusik kedamaian malam,
Keheningan, kedamaian
kurniaan dariMu Ya Allah,
Bukti KebesaranMu Ya Rabbi,
Tunduk tafakurku hanya untukMu,

Tidurku kini bteman,
Dengan nikmati cintaMu YaRABBI,
Terasa kerdil dihati ini,
Mendambakan cintaMu,Ya Rahman



Cinta sejati
CintaMu YaAllah,
Cinta suci
CintaMu YaRahim,
CintaMu takkan ku sia-siakan,
Bahkan hanya itu yang ku perlukan…
Semoga hambamu ini,
Sentiasa berada dibawah naunganMu,
Tuhan yang mentadbir sekalian alam…

TANDA-TANDA ORANG BERBOHONG

Bagaimana nak mengenali samada anda sedang dibohong? Tidak kira lelaki atau wanita, kalau dah kaki pembohong tu kawan baik pun digulainya hidup-hidup. Di bawah adalah tip-tip cara mengenali seseorang itu sedang berbohong.

Menyentuh hidung - Apabila seseorang itu berbohong, tisu-tisu erektil pada hidungnya akan dipenuhi darah menyebabkan ianya membesar. Fenomena ini juga dikenali sebagai kesan pinocchio. Jadi, apabila seseorang bercakap dengan anda dan kerap menyentuh hidung yang tidak gatal, sebenarnya ada sesuatu yang diselindungkannya.

Menutup mulut - Ada sesetengah orang meletakkan tangan di atas mulut mereka apabila berbohong. Ini merupakan satu tindak balas automatik yang lahir dari segi psikologi kerana dari kecil lagi sudah dididik untuk tidak berbohong. Apabila mulut mengeluarkan kata-kata dusta, tangan cuba menghalangnya.

Gagap - Apabila seseorang yang bercakap lancar dan licin tiba-tiba gagap merupakan tanda-tanda sedang mengalami tekanan emosi. Sekiranya tiada apa-apa petunjuk bahawa tekanan ini disebabkan perkara lain seperti sedih, pilu, marah dan sebagainya, kemungkinan besar orang tersebut berbohong.

Pergerakan mata - Orang yang berbohong akan cuba meyakinkan pendengarnya dengan memandang tepat pada mata mangsa. Oleh itu,sekiranya kelipan mata berkurangan dari kadar biasa, ini mungkin tanda berbohong. Sebaliknya, ada juga keadaan dimana sekiranya mata seseorang itu tiba-tiba berkedip dengan banyaknya, ini merupakan tanda-tanda tekanan perasaan yang berkemungkinan disebabkan berbohong juga. Kerlipan mata yang normal sahaja menunjukkan dirinya tidak berbohong.

Melengah-lengahkan jawapan - Orang yang berbohong perlu berfikir sebentar untuk mereka cipta pembohongannya. Berfikir terlalu lama, berdehem, batuk dan sebagainya merupakan tanda-tanda bahawa orang tersebut mungkin berdusta.

Resah - Orang yang berdusta kerap gelisah dan mengubah-ubah posturnya. Apabila seseorang yang dalam keadaan tenang tiba-tiba sahaja menjadi resah dan tidak senang duduk apabila berhadapan dengan sesuatu soalan, ini berkemungkinan merupakan bahawa seseorang itu sedang berbohong.

Kesimpulannya, Sekiranya kita ingin mengesan sama ada seseorang itu berbohong, kita perlu sentiasa memerhatikan air muka dan gerak badannya dengan teliti. Body language sudah boleh menunjukkan sama ada dirinya berbohong atau tidak. Sebarang perubahan dari keadaan normal mungkin merupakan tanda orang tersebut berbohong.

Sunday, April 4, 2010

Perangkap Tikus

Sepasang suami dan isteri petani pulang ke rumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam
"hmmm...makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar ?".

Ternyata yang dibeli oleh petani hari adalah rerangkap tikus. Sang tikus naik panik bukan kepalang. Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik,
" Ada perangkap tikus di rumah....di rumah. Sekarang ada perangkap tikus...."



Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak,
" Ada perangkat tikus !"

Sang Ayam berkata,
" Tuan Tikus ! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku."

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor Kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba,
"Aku pun turut bersimpati...tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku. "

Tikus lalu menemui Sapi. Ia mendapat jawaban sama.
" Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Tak kanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus. "

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui Ular. Sang ular berkata
" Eleh engkau ni...Perangkap Tikus yang sekecil tak kan la nak membahayakan aku."

Akhirnya Sang Tikus kembali kerumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri. Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena.

Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Buntut ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah. Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya kerumah sakit.

Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun tetap sahaja demam. Isterinya lalu minta dibuatkan sup cakar ayam oleh suaminya kerana percaya sup cakar ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapat cakar buat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya.Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.

Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih sapinya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan...
Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan.
Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

Doa Ketika ditimpa Musibah

Maksudnya: "Allah sudah mentakdirkan (menentukan) sesuatu yang dikehendakinya."


SUATU HARI NANTI....
KETIKA ANDA MENDENGAR SESEORANG DALAM KESUSAHAN DAN
MENGIRA ITU BUKAN URUSAN ANDA...
PIKIRKANLAH SEKALI LAGI !