Sunday, May 30, 2010

Nikmati Proses

Sebenarnya yang harus kita nikmati dalam hidup ini adalah proses. Mengapa? Kerana yang bernilai dalam hidup ini ternyata adalah proses dan bukan hasil. Hasil sesuatu perkerjaan kita telah ditetapkan oleh Allah swt dan kita mempunyai kewajipan untuk menikmati dua perkara iaitu selalu menjaga setiap niat dari apapun yang kita lakukan dan selalu berusaha menyempurnakan niat yang dibuat.

Syahid atau kemenangan

Seperti para mujahidin yang berjuang membela bangsa dan agamanya, sebenarnya bukan kemenangan yang terpenting bagi mereka, kerana menang atau kalah itu akan selalu digilirkan kepada sesiapa pun. Namun yang paling penting baginya adalah niatnya perlu benar kerana Allah swt dan selama berjuang itu akhlaknya tetap terjaga. Tidak akan rugi orang yang seperti ini, sebab ketika dapat mengalahkan lawan bererti dia akan mendapat pahala, kalaupun terbunuh bererti boleh menjadi syuhada.

Untung atau rugi


Walhasil yang terpenting dari perniagaan dan ikhtiar yang dilakukan adalah prosesnya. Bagaimana selama berniaga itu kita selalu menjaga niat agar tidak pernah ada satu miligram pun hak orang lain yang diambil oleh kita, bagaimana ketika berniaga itu kita tampil dengan penuh keramahan dan penuh kemuliaan akhlak, bagaimana ketika sedang berniaga kita sungguh-sungguh menjaga kejujuran kita, menepati waktu dan janji yang diberikan. Keuntungan bagi kita dalam proses mencari nafkah adalah dengan menjaga nilai perilaku kita. Perkara duit sebenarya tidak usah terlalu difikirkan, kerana Allah Maha Mengetahui keperluan kita. Kita sama sekali tidak akan tersanjung oleh keuntungan yang kita dapatkan, tapi kita akan tersanjung oleh proses mulia yang kita jalani.Ini perlu difahami bagi siapa pun yang sedang berniaga bahawa yang berharga adalah nilai-nilai yang selalu kita jaga dalam proses mendapatkan keuntungan.

Buat para pelajar


Begitu juga bagi para pelajar, sekiranya kuliah hanya untuk menikmati hasil ataupun untuk mendapat gelaran mahasiswa, bagaimana kalau meninggal sebelum berjaya mendapatkan segulung ijazah? Apalagi kita tidak tahu bila kita akan meninggal. Maka kita harus bertanya pada diri sendiri, apa yang kita mahukan dari kuliah ini? Kalau hanya untuk mencari isi perut, kata Imam Ali, "Orang yang fikirannya hanya pada isi perut, maka darjat dia tidak akan jauh beza dengan yang keluar dari perutnya". Kalau hanya ingin cari duit, hanya duit saja yang difikirkan, jadi, samalah dengan penjahat yang juga fikirannya hanyalah mengenai duit.


Kuliah seharusnya menjadi sebagai suatu usaha agar nilai kemanfaatan hidup kita meningkat. Salah satu tujuannya juga adalah untuk manfaat orang lain. Kita juga mencari nafkah sebanyak mungkin untuk mensejahterakan orang lain. Dalam mencari rezeki ada dua perkara yang perlu selalu kita jaga, ketika sedang mencari kita sangat jaga nilai-nilainya, dan ketika dapat hasilnya kita infakkan semahu-mahunya. Inilah yang sangat penting.

Kalau kita selama ini pergi kuliah, selama ini pergi sekolah, selama ini berkursus kita jaga sekuat-kuatnya mutu kehormatan, nilai kejujuran, etika, dan tidak mahu berlaku khianat lalu kita meninggal sebelum mendapat hasilnya? Tidak ada masalah, kerana apa yang kita lakukan sudah jadi amal kebaikan. Kerana itu janganlah terlalu terpukau dengan hasil.

Jodoh itu ketentuan Tuhan


Saat kita mahu melamar seseorang, kita harus bersedia menerima kenyataan bahawa yang dilamar itu belum tentu jodoh kita. Walaupun kita sudah berjumpa dengan bakal mertua, sudah berbincang baik-baik, sudah menentukan tarikh, wujud kemungkinan ketika menjelang hari pernikahan pengantin perempuan mengundurkan diri atau ingin menikah dengan yang lain. Sakit hati memang wajar dalam diri manusia, tapi ingatlah bahawa kita tidak pernah rugi kalau niatnya sudah baik, caranya sudah benar, walaupun pernikahan tidak berlangsung. Siapa tahu Allah telah menyiapkan calon isteri yang lebih baik.


Haji Mabrur?

Begitu juga sekiranya kita telah mendaftar mahu menunaikan haji. Telah siap berkursus dan bersiap untuk berangkat, tiba-tiba kita menderita sakit sehingga batal untuk berangkat. Apakah ini suatu kerugian? Belum tentu! Siapa tahu ini merupakan nikmat dan pertolongan dari Allah, kerana kalau kita pergi haji juga tahun itu belum tentu mabrur, mungkin Allah tahu, ah, bukan tapi memang Allah Maha Mengetahui tentang kapasiti atau tingkat keimanan dan kapasiti atau tingkat keilmuan kita yang masih belum cukup, jadi Allah tangguhkan dulu perjalanan kita agar kita mempelajari dengan lebih lagi untuk mendapatkan haji yang mabrur.

Oleh sebab itu, sekali lagi janganlah terpukau oleh hasil, kerana hasil yang bagus menurut kita belum tentu bagus menurut perhitungan Allah swt. Kalau misalnya kekuatan mental kita hanya duit RM50 ribu yang mampu kita uruskan. Suatu saat Allah memberikan untung RM50 juta, nah untung ini justeru boleh menjadi musibah buat kita kerana setiap datangnya rezeki akan diberkati kalau tingkat iman dan ilmu kita bagus. Kalau tidak, datangnya duit, status, pangkat, kedudukan tetapi tidak diimbangi kualiti peribadi kita yang bermutu ia boleh menjadi musibah pada diri.

Ada orang yang menjadi hina gara-gara dia mendapatkan kedudukan, kerana kedudukannya tidak diimbangi dengan kemampuan mental yang bagus dan akhlak yang mulia. Dia menjadi takbur, sombong dan berlagak pandai, maka dia menjadi nista dan hina kerana kedudukannya di hadapan Allah swt.

Ada orang yang terjerumus dan bergelumang dengan maksiat gara-gara mendapat untung. Hal ini kerana, ketika belum mendapat untung dan duit yang banyak dia susah untuk ke tempat maksiat tapi ketika duit datang melimpah ruah tiba-tiba dia begitu mudahnya menyalurkan hasilnya ke tempat-tempat maksiat.

Proses itu suatu nikmat


Begitulah sahabat, selalulah kita menikmati proses dalam berbuat sesuatu perkara. Seperti saat seorang ibu membuat kuih hari raya, ternyata kuih yang dihasikannya begitu enak dan kuih yang enak itu telah melewati proses yang begitu panjang dan lama. Mulai dari mencari bahan-bahannya, memilih-milihnya, menyediakan peralatan yang bagus, hingga memadukannya dengan bahan-bahan yang tepat, dan sampai menunggu kuih itu di depan oven. Dan lihatlah ketika siap, baru dihidangkan beberapa minit saja, sudah habis. Apalagi biasanya kuih itu tidak dimakan sendirian oleh yang membuatnya malah dimakan ramai-ramai. Bayangkan kalau orang membuat kuih tadi tidak menikmati proses membuatnya, dia akan rugi kerana mendapat penat saja, kerana hasil proses membuat kuihnya pun habis dengan seketika oleh orang lain. Ertinya, ternyata yang kita nikmati itu bukan sekadar hasil, tapi proses.

Begitu juga ketika seorang ibu membesarkan seorang anak, lihatlah prosesnya. Hamilnya sembilan bulan, sungguh begitu berat, tidur susah, baring pun susah, berdiri berat, jalan juga tidak stabil, MasyaAllah. Kemudian ketika bersalin pun berat dan sakitnya juga setengah mati. Padahal setelah si anak lahir belum tentu akan membalas budi. Sudah berjuang sekuat tenaga melahirkan, sewaktu kecil kadang kala membuang hadas merata-rata, pergi dan balik sekolah dihantar dan diambil, manjanya luar biasa, di sekolah rendah tidak mahu belajar (bahkan yang belajar, yang mengerjakan kerja sekolah justeru malah ibunya) dan si anak malah pergi bermain saja, saat masuk sekolah menengah sudah mula ponteng kelas, ponteng sekolah dan sudah mula bermain cinta.

Bayangkanlah kalau semua proses mendidik dan mengurus anak itu tidak menggunakan keikhlasan langsung kerana tidak sebanding antara perbuatan anak dengan pengorbanan ibu bapanya. Bayangkan pula kalau saat bersalinkan anaknya, prosesnya sudah lelah dan sakit setengah mati seperti itu, tiba-tiba anaknya meninggal, naudzhubillah, apa yang telah kita dapatkan ketika itu?

Oleh sebab itu, bagi para wanita, nikmatilah proses hamil sebagai ladang amal. Nikmatilah proses mengurus anak, peningnya, kerenahnya, dan cerewetnya anak sebagai ladang amal. Jangan difikirkan apakah anak itu mahu membalas budi atau tidak, kerana jika kita ikhlas menjalani proses ini, InsyaAllah kita tidak akan pernah rugi. Pastinya amal di sisiNya bukan apa yang kita usahakan, tapi apa yang kita lakukan dengan ikhlas dan sebaik mungkin.

Sumber: Dipetik dari KCB Yahoo groups, K.H. Abdullah Gymnastiar

MANUSIA TAK MENGENANG BUDI

Pernahkah kita terfikir apakah tujuan sebenar kita diciptakan ke dunia ini. Sedangkan dari sebesar-besar gunung hingga ke sekecil-kecil semut pun ada tujuannya tersendiri, inikan kita yang sempurna dan indah ciptaan-Nya. Maha Suci Allah yang tidak lengah(lalai) pada ciptaan-Nya.

Tidak pernah terdetikkah untuk apa kita dijadikan? Adakah manusia sekadar penghias dunia semata-mata. Atau lebih kepada PEROSAK DUNIA?

Maka apakah kamu mengira bahwa kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?.

(Al-Mu'minun:115).

Jelas bahawa setiap satu ciptaan itu ada tujuannya. Seorang tuan rumah pun akan memarahi pembantu rumahnya, (bibik) jika dia tidak tahu tujuan dia diambil bekerja. Apatah lagi kita manusia ciptaan Allah yang menikmati pelbagai nikmat kurniaanNya.

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku.

(az-Zariyat: 51)

Allah s.w.t telah berfirman dengan jelas tentang tujuan ini di dalam ayat Al-Quran. Sedarkah kita dengan tugas kita ini???

Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku ingin menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata " Apakah kau hendak menjadikan orang yang merusak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?" Dia berfirman, " Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

(Al-Baqarah:30)

Maha suci Allah menjadikan kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Betapa berat dan besar amanah, tugas yang perlu kita pikul. Khalifah berperanan mengurus dan mentadbir bumi mengikut hukum Allah yang telah ditetapkan . Adakah kerja keras kita selama ini hanyalah berusaha untuk mencari kejayaan demi kesenangan sendiri menepati kehendak TUAN KITA INI?.

Adakah Pengarah sebuah syarikat pembinaan akan merasa gembira dengan kerja-kerja pekerjanya yang membina HOTEL walaupun ditugaskan membina deretan rumah kedai?.

Katakanlah (Muhammad), "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik."

(Yusuf:12)

Kita juga berperanan untuk menyambung jejak langkah Rasulullah S.A.W menyeru manusia mencari keredhaan Allah S.W.T. Malulah kita kepada sang semut yang kerdil andai mereka lebih cekap dan effisyen dalam menjalankan tanggungjawabnya. Setelah beraneka rahmat dikurniakan kepada kita dari sihat tubuh badan hingga kepada kebijaksaan dalam pembelajaran, adakah kita masih mahu lari dari tanggungjawab kita ini?.


Andai satu hari nanti segala jenis pinjaman yang kita miliki seperti kekayaan, kesihatan dan kebijaksaan ditarik adakah kita tidak malu merayu meminta agar ianya dikembalikan?. Sedangkan sebelum ini kita tidak pernah peduli tentang TUJUAN ia dipinjamkan kepada kita.

Malangnya kita jika mengabaikan tanggungjawab kita ini. Pastikah kita dimana tempat kita diakhirat kelak? Dunia hanyalah satu OASIS yang perlu kita tinggalkan setelah menjalankan tanggungjawab dan tugas yang diberi. Berilah apa saja alasan kerana sesungguhnya hanya DIA yang mengetahui bila saat kita akan kembali padaNYA.

Lelaki Pelindung Wanita

Saban hari permasalahan sosial sekarang seperti isu buang bayi, pelacuran, bohsia dan sebagainya semakin meruncing. Masyarakat terus menyalahkan pihak wanita yang kononnya lemah, mudah terpedaya dan sebagainya. Namun, kita sering melupakan bahawa isu ini bukan hanya berpunca dari satu pihak sahaja. 'Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi'. Kita alpa bahawa kelahiran yang sepatutnya suci murni itu turut dicemarkan oleh "ayah" yang tidak bertanggungjawab. Maka, seeloknya kita merenung kembali peranan lelaki terhadap wanita seperti yang dianjurkan oleh Allah dalam Al-Quran:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka..." (al-Nisa', 4:34)

Jika kita sama-sama hayati ayat ini, terdetikkah di hati kita betapa besar dan beratnya amanah yang telah Allah berikan kepada kaum lelaki untuk menjadi pemimpin pada wanita. Betapa Allah telah memberi kepercayaan pada lelaki untuk memikul amanah itu kerana beberapa kelebihan yang Allah berikan pada lelaki dan tidak ada pada wanita.

Namun, hari ini, adakah lelaki telah berperanan sebagai pemimpin dan adakah wanita juga telah menjalankan peranan sebagai orang yang dipimpin? Ayuh kita muhasabah diri!




Lelaki itu sepatutnya pemimpin, bukan diktator!

Allah telah memuliakan lelaki sebagai pemimpin kepada wanita. Islam telah meletakkan garis panduan yang lengkap seharusnya bagaimana peranan pemimpin yang dimainkan oleh lelaki. Peranan lelaki sebagai suami, ayah, abang dan anak itu adalah sebagai pelindung kepada wanita-wanita di bawah tanggungjawabnya. Antara peranan lelaki dalam melindungi wanita dan keluarganya adalah:

  • Memastikan prinsip Islam terlaksana dalam keluarga.
  • Menjadi teladan yang baik.
  • Memastikan komunikasi yang baik dalam keluarga.
  • Memastikan keluarga terhindar dari azab neraka.

"Hai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.."
(At-Tahrim, 66:6)


Wahai lelaki, jika anda tahu betapa pentingnya peranan anda dalam kehidupan wanita, pasti anda sebagai lelaki tidak akan sanggup membiarkan kekasih-kekasih anda membuang 'benih' yang telah anda semai. Pasti anda tidak sanggup membiarkan ibu anda meniti hari-hari tua tanpa kasih sayang dari anda, dan pasti jua anda tidak tegar untuk menjadi dayus dengan membiarkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan anda dipukul, dan dibiarkan tanpa pembelaan dan nafkah.

Namun, bagaimana seharusnya lelaki sebagai pemimpin, adakah umpama diktator yang hanya memberi arahan? Tidak sama sekali! Islam tidak pernah memuliakan lelaki sebagai pemimpin dengan tujuan supaya ia dapat menindas kaum perempuan. Malah Islam telah menganjurkan lelaki supaya berlemah lembut dengan wanita.

Misalnya, suami diangkat sebagai ketua keluarga, namun Islam tidak menidakkan hak isteri untuk berbincang dan memberi idea atau pendapatnya. Islam meletakkan hak pada suami untuk memukul isteri, namun ia adalah jalan terakhir dan dilakukan dengan penuh hikmah. Bahkan Rasulullah sendiri menganjurkan supaya berbuat baik dengan isteri.


Sesungguhnya, wanita itu satu amanah dari Allah, maka lindungilah ia kerana ia jua sebahagian dari lelaki.

"Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak" (Surah Al- A'raf:189)




Wahai wanita, binalah perisai pelindung dirimu!

Hakikatnya, kita mengakui bahawa wanita dan lelaki itu saling melengkapi. Jika lelaki itu memang menjadi pelindung, namun apakah kita sebagai wanita sendiri hanya bergantung pada pelindung itu tanpa mahu berusaha membina perisai pelindung diri sendiri?

Hakikatnya, perlu ada gabungan lelaki yang menjadi pelindung dan jua wanita yang utuh menghijab diri untuk melindungi dirinya. 'It takes two to tango'. Salah menyalahkan tidak akan menyelesaikan isu gejala sosial pada hari ini, malah akan menyebabkan kita hilang fokus untuk menyelesaikan masalah itu.


Lalu, bagaimana untuk wanita membina perisai pelindung?

Pertama sekali, berani untuk katakan "TIDAK" pada mana-mana lelaki yang mempergunakan, memperalatkan wanita untuk mencapai apa yang mereka ingini. Bentengkan diri kita dengan hijab kerana wanita itu umpama permata yang menjadi rebutan setiap kaum adam. Biar kita tak 'glamour' dek nama yang sentiasa meniti di bibir lelaki kerana keseksian kita, tapi akhirnya menjadi mangsa mereka. Biar kita dikatakan kolot sebab tidak bergaul dengan lelaki, tapi yang penting kita pertahankan maruah kita.

Kedua, jangan biarkan diri ditindas lelaki yang durjana! Lembut biar bertempat, malu biar kena gayanya. Bersuara bila perlu, bangkit bila hak kita dan maruah kita dicabul. Islam tidak pernah menafikan hak dan kepentingan wanita, malah membela wanita dan menyanjung tinggi wanita.

Ketiga, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin. Dengan ilmu nasib terbela. Dengan ilmu, kita tahu mana hak-hak kita bila kita tertindas. Jangan tewas pada orang yang sewenang-wenangnya menggunakan nama agama untuk menafikan hak wanita, sedangkan Islam itu sendiri memberikan hak yang seadil-adilnya kepada wanita sebagai isteri, ibu dan anak.




Wahai Adam,


Sedarlah dirimu itu pemimpin. Maka persiapkanlah dirimu itu selayaknya untuk memegang amanah Allah itu.

Wahai wanita,

Ketahuilah, dirimu disanjung dan dimuliakan oleh Allah. Letakkanlah dirimu selayaknya supaya maruah dan kemuliaanmu tidak tercemar. Dirimu begitu berharga, jika Adam itu sudah tidak mampu menjadi pelindungmu, maka binalah perisai pelindung dirimu.

Memo Buat Si Belangkas

Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana sini. Gadis hilang harga diri. Pemuda meratah dara sesuka hati. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak! Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya.

Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta!

Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah sahaja? Boleh khalwat lama-lama.

"Ingat nikah tu senang?!" Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Sama ada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat yang bersih berperanan mengawal diri agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuab asing hanya boleh dinikmati selepas berumah tangga. Ingat tu!

Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda-mudi, dalam urusan jodoh, apa pun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang). Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis.

Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syarak yang menghampiri zina lagi tidak diredhaiNya.




Khusus buat pemuda-pemudi yang sedang dilamun cinta,

Penulis ingin berbicara dengan muda-mudi yang sedang lemas dalam lautan cinta. Teristimewa buat mereka yang tidak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, demi untuk meneruskan belajar atau mengejar cita-cita.

Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap.

Sedangkan ada hadis yang mana Nabi berpesan agar menyegerakan nikah bagi yang sudah bertemu calonnya. Pemuda selalu bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bakal bidadari dan seluruh isi rumahnya nanti. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betulkan ya syabab?

Kerisauan ini lumrah... ia lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggungjawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang memerlukan biaya RM1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiri pun sukar dibiaya apatah lagi membiayai hidup orang lain.

Faktor ini membuatkan sang pemuda takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan ukuran materialisme dalam menjalani hidup.

Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin :

"Dan nikahkanlah orang yang sendirian antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia_Nya, dan Allah maha luas pemberian_Nya lagi maha mengetahui."
(An-Nur : 32)

Nah, itu jaminan Allah. Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai?


Umar al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari al-Qurtubhi: " Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya."

Nabi Muhammad s.a.w juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a : "Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak hairanlah Ibnu Mas'ud pernah berkata, "Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan," kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah An-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.

Buat kaum Hawa,

Yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walauapapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Sama ada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya.

Buat syabab,

Rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda : "Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik." (Riwayat Ahmad, Baihaqi dan lain-lain)

Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak. Percayalah!

Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah (pertunangan).

Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina.

Laksanakanlah ikatan dengan mana paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a menjelaskan, "Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah memudahkan peminangan dan kemudahan maharnya". (Riwayat Ahmad)

Oh, kaum Hawa!

Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama!

Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoalah pada_Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.

"Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu berpuasalah." (Riwayat Bukhari)

MUSLIMAT PENCETUS MUSLIMIN BERTAQWA?




"Wanita yang secekal Asiyah dan Mariam selayaknya diangkat darjatnya diakhirat. Bayangkan apa yang berlaku dengan kecekalan dan sikap kuat beribadat yang ada pada Mariam? Akhirnya dari perutnya lahirlah seorang Nabi yang bakal meneruskan mata rantai perjuangan dakwah di bumi Allah."
Imtiazsofea, jun 09.


Beberapa orang bertanya pada saya, "Apa yang imtiaz maksudkan dengan Muslimat pencetus muslimin bertaqwa?" Ada yang tertanya-tanya. Tapi semuanya hakikat. Wanita itu punya kelembutan yang dikurniakan oleh Allah SWT.Oleh itu, pilihlah jalan berdasarkan akal untuk menggunakan kelembutan dan kasih sayang yang ada. Sama ada untuk melentur buluh mahupun mengeraskan besi sedia ada.Percaya atau tidak, wanita lebih berkuasa dalam mendidik?

WANITA punya kuasa besar dalam memupuk sifat positif dalam diri kanak-kanak mahupun dewasa. Tapi sejauh manakah mereka menggunakan kuasa dan kelebihan ini kearah mardhatillah. Asiyah zaujah Firaun, isteri Firaun.Rata-rata sudah mengenal Asiyah isteri si kejam yang berperangai syaitan iaitu firaun. Walaupun Asiyah bukanlah orang yang berjaya melentur firaun supaya menjadi manusia yang beriman dan taat pada Allah.

Tetapi atas kuasa wanitanya beliau mampu memujuk Firaun supaya menerima Nabi Musa sebagai anak angkat.Sedangkan semua tahu pada waktu itu, semua kanak-kanak lelaki akan dibunuh sebaik sahaja dilahirkan kerana salah seorang ahli nujumnya bermimpi kerajaan gah Firaun akan jatuh ditangan seorang lelaki pada masa hadapan.(Dengan izinAllah) Mariam ibu nabi Isa, sejarah menyaksikan bagaimana kecekalan seorang wanita menerima takdir Allah yang meniupkan roh seorang nabi ke dalam rahimnya walaupun beliau tidak pernah disentuh mana-mana lelaki sekalipun.Tapi apakah yang berlaku ketika Malaikat Jibril turun kebumi menemuinya di Mihrab tempat beliau beribadat? Beliau terima seadanya akan ujian dan takdir Allah buat kehidupannya.Anda fikir sejenak..bagaimana beliau mendapat kekuatan untuk menerima takdir itu? Tidak lain dan tidak bukan hasil dan kesan kepercayaan penuh yang diberikan dirinya kepada Allah!

Zulaikha yang menggoda Nabi Yusuf. Masih ingat akan kisah yang diangkat darjatnya disisi Allah ini sehingga dinukilkan didalam Al-Quran kalamullah supaya menjadi pengajaran buat umat manusia? Ya benar, Zulaikha isteri perdana menteri Mesir satu ketika dahulu nan cantik rupawan yang jatuh hati pada Nabi Yusuf yang mempunyai pakej lengkap seorang pemuda yang tampan lagi beriman.Sehinggalah satu hari Zulaikha telah merayu Yusuf untuk melakukan perkara yang terkutuk disisi Allah. Yusuf yang mempunyai tingkat darjat taqwa yang tinggi disisi Allah telah menolak ajakan keji itu.

Baiklah , jadi untuk apa saya nukikan kembali kisah diatas disini? Adakah saya mahu memberitahu anda bahawa wanita-wanita diatas merupakan mereka-mereka yang ditulis namanya didalam AL Quran?Tentu tidak! Lihat kembali kisah di atas. Dua kisah wanita beriman yang takutkan Allah dan 1 wanita yang berani membelakangi Allah dan berniat melakukan perkara yang hina disisi Allah.Analisisnya mudah, semua wanita diberi kuasa dalam menilai samada perkara tersebut baik atau buruk buat dirinya.

Tetapi, apa yang ingin saya simpulkan berdasarkan kisah-kisah diatas adalah berkenaan wanita mempunyai kuasa yang hebat dalam melakukan sesuatu perkara tidak kira perkara positif atau negatif.Wanita yang secekal Asiyah dan Mariam selayaknya diangkat darjatnya diakhirat.

Bayangkan apa yang berlaku dengan kecekalan dan sikap kuat beribadat yang dilakukan Mariam? Akhirnya dari perutnya lahirlah seorang Nabi yang bakal meneruskan mata rantai perjuangan dakwah di bumi Allah. Sangat perlu untuk kita lihat perkara ini sebagai satu penghormatan buat Mariam yakni wanita yang hidupnya hanya untuk Allah!

Kembali kepada Zulaikha isteri perdana menteri mesir satu ketika dahulu yang telah nekad melakukan perbuatan terkutuk bersama Yusuf tapi ditolak mentah-mentah oleh si pemuda berpakej iman dan akhlak itu. Ya, masih lagi berkisarkan seorang wanita. Tapi bukan pada jalan kebaikan bahkan kejahatan.Adakah pada waktu itu Zulaikha tidak dikurniakan aqal untuk berfikir? Tentu tidak! Tetapi atas dorongan nafsu beiau terpedaya dengan ajakan syaitan yang dilaknat Allah.


Nah, terang bukan bahawa wanita itu merupakan pencetus kepada muslimin bertaqwa mahupun bukan. Jika si Ibu merupakan seorang pejuang, maka tak lain zuriat yang dilahirkan bakal menjadi seoang pejuang juga.Tetapi jika siibu memilih jalan terkutuk untuk meneruskan kehidupan maka belum tentu anak yang dilahirkan itu bakal menjadi manusia yang berakhlak mulia ( dengan izin Allah).Oleh itu wanita diluar sana… pilihlah jalan hidup anda secara berhati-hati! Jalan dan terhantuk baru nak terngadah.

Bentuklah akhlakmu semulia Mariam dan Asiyah sebelum kamu memberi pelajaran kepada orang lain.

Seindah Dulu

Aku suka perasaan ketika di sekolah. Hening, ketika petang menyinsing, akan terasa damainya ketika senja menyapa.

Nurul Aiman. Sedap namanya, apatah lagi akhlaknya. Gadis yang sering aku kagumi dan pandang tinggi. Bukan gadis, muslimah sebetulnya. Aku selalu memerhati sikap dan perwatakan yang ada pada dirinya, dari jauh sudut di hati. Sikapnya yang tenang, tapi tegas dan berhikmah terhadap lelaki.

Wajahnya ayu lembut bertudung labuh menyentuh, menyerlah iman di dada. Sopan, terlalu sopan. Malah, tenang. Melihatnya kadang membuatkan aku terasa suka. Dalam hati, aku selalu menyimpan seribu perasaan.

Di hujung waktu persekolahan, aku beranikan diri. Aku tinggalkan secebis pesanan. Memercikkan warna perasaan bersama segunung harapan.

Balasnya,

"Majdi, cinta itu ungkapan yang penuh hikmah. Alangkah ruginya jika ia hanya layu di janji lemah. InsyaAllah, janji Allah senantiasa untukmu. Berharaplah, berdoalah.

Yang solehah itu untuk yang soleh.

Bersabarlah, tahan atas semua yang berpura-pura. Atas semua yang sementara. Jika itu yang terbaik, maka Allah akan bantu. Sampai sini, tinggalkan semua yang tak perlu. Terus, terus kejar demi yang satu. InsyaAllah, sampai jumpa lagi ya."

Hingga satu saat, yang pasti akan sentiasa aku ingat. Waktu anugerah Allah diberi untuk dapat aku bertemu. Tanpa sengaja, tanpa diduga. Bersama temannya. Dia membicara perlahan.

"Majdi, insyaAllah.Nurul akan ke Amerika. Mengambil bidang ekonomi di sana. InsyaAllah, mengembangkan islam di sana. Doakanlah ya." Dia menutur perlahan.

"Kenapa Amerika? Kenapa tidak belajar sahaja di Timur Tengah? Atau berbakti mengkaji di bumi kita sendiri. Bukankah Amerika itu tempatnya, kata mereka seakan neraka? Kenapa perlu menyinggah di sana?" Aku tertanya, hairan menerpa. Ingin tahu, amat ingin tahu.

Dia tersenyum.

"Tak mengapa. Di sana, ilmunya banyak. Di sana ilmunya hebat. Biarlah. InsyaAllah. Iman, Nurul akan cuba menjaga sebaiknya."

Waktu itu yang memang akan aku ingat. Sampai bila-bila.

*****************

Petang itu damai. Sedamai bunga yang asyik melambai. Sehingga aku kadang-kadang lalai melihat. Sungguh, Allah Maha Hebat.

Aku baru selesai membaca al-mathurat bersama rakan sepejabatku, Rahman di surau office. Dialah rakan seusrahku, dan dialah sahabat baikku. Alhamdulillah, bersamanya aku mudah untuk terus istiqamah membaca al-mathurat setiap hari.

"Majdi, jom makan!" Rahman mengajak.

"Isk, kamu ni. Asyik makan saja.." Aku menyakat. Ketawa sambil membetulkan blazer hitamku yang sedikit terkeluar. Blazer itu aku gandingkan dengan kopiah hitamku yang selalu aku pakai, sengaja cuba menampilkan imej muslim profesional.

"Haha. Nak buat macamana? Kan perlukan tenaga juga nanti nak buat kerja." Katanya sambil ketawa kecil.

Aku ketawa. Sudah sampai di sini rupanya perjalanan hidupku. Dari bertatih, hingga kini, di alam pekerjaan yang menuntutku berusaha gigih. Tak mengapa, umurku masih terlalu muda, kata orang, masih segak bila dipandang mata. Jika tidak kata orang, aku yang berkata begitu.

Village Muslim Cafe menjadi pilihan. Kopinya di situ memang enak. Terlalu enak malahan aku selalu terbuai, didodoi haruman baunya.

Aku melamunkan fikiran, berfikir tentang pelbagai perkara. Masa dulu, dan masa akan datang. Malah tanggungjawab yang semakin menebal. Biarlah, aku bahagia dengan semua ni. Cuma, kadang-kadang aku teringatkan seseuatu. Seseorang.

"Majdi.."

Sebuah suara yang amat ku kenal.

Amat-amat ku kenal.

Aku berpaling.

Tersenyum. Berdiri seorang wanita. Ayu, lembut perwatakannya. Dengan baju yang seakan gaun putih yang kembang di bawahnya, serta lipatan kain yang membentuk bunga yang amat kemas hingga ke hujung lengan, dia benar-benar kelihatan anggun bersama pakaian begitu.

Pakaian yang seakan-akan buatan Inggeris. Di tangannya tersemat beg bimbit berbunga merah berjalur putih krim, dia memegangnya dengan tangan ke hadapan.

Rambut lurusnya lembut menutupi telinga dan sebahagian muka. Kadang-kadang ditarik sedikit ke telinga saat disapa dan dibelai angin. Ayu.

Dia tersenyum manis. Amat manis.

Aku mengamati.

Dan rasa terus menerpa, meresap menjadi sendu.

Seakan tak percaya.

"Nurul.. Nurul Aiman..?"

"Ya, saya..." Dia membalas lembut.

Nurul tersenyum. Senyumannya bergula. Sama macam senyuman dia waktu aku kenal dahulu, sewaktu dia di sekolah 8 tahun lepas. Tapi kali ni lain. Senyuman dia berteman, ditemani dengan mahkota lurus rambutnya yang dirapikan. Seakan watak Apple dalam cerita 'Le Gardenie' yang pernah aku baca.

Aku berdiri, bangun dan menghadapnya, meraikan seorang yang sudah amat lama aku tidak jumpa. Sudah 8 tahun. Yang amat aku rindu sebenarnya.

Masing-masing terdiam.

"Ermm.. Awak apa khabar?" Nurul membuka bicara. Membuka ruang mesra.

"Err.. Alhamdulillah, saya baik. Awak?"

"Baik, Sihat alhamdulillah. Lama tak jumpa kan? Saya baru sampai ke Malaysia semalam.."

"Erm.." Aku mengangguk, tersenyum leret sedikit.

Terdiam lagi. Masing-masing kembali melayan perasaan. Aku pun tak tahu apa perasaan aku sebenarnya saat ini. Aku gembira sangat bila dapat bertemu, tapi aku juga seperti mahu mengalirkan air mata. Aku seperti terbayang wajahnya yang dahulu, dan dia yang di depan aku sekarang.

Nurul melihat jamnya.

"Majdi, saya minta diri dulu ya. Ada yang perlu diuruskan.." Dia berkata perlahan sambil menunduk, mengambil secebis kertas dan pen.

Menarik kembali rambut yang jatuh tersusun ke telinga.

"Ambil ni. Kita jumpa ya?" Dia menghulurkan.

"Minta diri, assalamu'alaikum..." Nurul menghadiahkan senyuman harapan, dan berpaling pergi.

"Restoran Zahrah

0.900 pm "

Aku melihatnya pergi. Berjalan penuh sopan dan berhati-hati. Aku terasa seperti mahu menghalangi waktu dari terus berjalan.

"Majdi?" Rahman memanggil, mematikan lamunan.

"Siapa tadi?"

"Owh, tak ada siapalah. Kawan lama je.. Nanti aku cerita ya.." Aku membalas, kemudian menghirup nafas dalam-dalam. Amat dalam.

Nurul Aiman...

**********



Pen Parker berwarna silver itu dipusing-pusingkan di atas buku kerja hitamnya. Membentuk alur tulisan yang kadang dia sendiri tak faham. Ntah apa yang dituliskan, Majdi pun tak tahu.

Dia sekarang berada di pantai Teluk Cempedak. Duduk melayan perasaan di atas kerusi kayu yang disediakan, di bawah pokok ru yang melindungi lembut. Menghadap laut yang berombak damai.

Majdi duduk termenung. Dia seakan ingin menangis, terlalu sebak dan sedih hatinya. Dia masih teringat Nurul yang satu ketika dahulu sopan manis dalam tudung labuhnya, langsung berubah kepada yang kini tetap anggun dan sopan, tapi dalam keadaan yang amat berbeza.

Dia masih tergamam, terkedu dengan apa yang berlaku hari ini. Hati nuraninya benar-benar sedih.

"Apakah yang menyebabkan dia berubah? Apakah pendirian dia yang dulu, aku amat kagum, sudah benar-benar bertukar..?" Fikirnya dalam hati.

Dia diam. Sengaja biarkan angin menderu, sekurang-kurangnya menghiburkan apa yang ada di jiwa.

"Kadang-kadang tak semua perkara yang kita suka, kita akan dapat Majdi.. " Rahman menyentuh bahunya perlahan, tersenyum.

Majdi mendongak.

"Rahman.." Majdi tersenyum. Rahman selalu begitu, hadir ketika sahabatnya berduka.

"Kerana itu kita tak boleh melepaskan ikatan kita bersama jemaah, bersama rakan-rakan, bersama ukhuwwah, bersama iman. Kadang-kadang, kita rasa diri kita kuat. Mampu untuk berdiri dengan sendiri. Tapi bila berseorangan, kita tak pernah mampu sebenarnya.."

Majdi tahu, Rahman merujuk kepada apa yang berlaku pada Nurul Aiman.

"Tapi, tak semestinya kita perlu berubah kan?" Majdi bertanya. Bertanya dalam hampa sebenarnya.

"Tak apa, bertanyalah, orang seperti mereka selalu rasa tak difahami. Dan kita selalunya tak mengetahui apa yang berlaku.. moga kita tak tak diuji seperti mereka.."

"Allah.. Tak pernah menguji hambaNya.. Melainkan mereka benar-benar mampu. Untuk kamu, dia, dan aku juga.." Perlahan Rahman mengulas lembut, memberikan satu keyakinan.

"Ya.." Majdi mengangguk faham, kemudian mengukir senyum perlahan. Dan malam ini, dia akan cuba sampaikan. Dari hatinya.

*********

Restoran Zahrah. Restoran tepi laut yang amat terkenal di Pahang. Bukan sahaja masakannya yang enak, malah susunan dan rekaan dalaman yang berjaya didekorasikan dengan amat baik sekali.

Meja-meja berwarna coklat keperangan di dalam restoran itu dihiaskan lagi dengan bekas kaca yang diletakkan di atasnya. Di dalam bekas kaca itu, terdapat coklat Forrero Rocher yang amat terkenal. Menambahkan lagi suasana dan rasa yang sedia ada.

Dan di hujung penjuru, kelihatan seorang wanita duduk menunggu. Dia mengenakan kemeja putih berlengan panjang berjenama Vincci, berlipat bunga di bahu dan leher. Dipadankan dengan skirt labuh hitam hingga ke bawah kaki. Wajahnya redup ditiup angin laut yang lalu dari tingkap yang sengaja dibuka.

Majdi masuk. Mencari-cari wajah yang dinantikannya. Nurul mengangkat tangannya yang gemalai, melambai perlahan.

"Silalah.." Nurul mempelawa mesra. Di sebelahnya di temani kakaknya. Juga berwajah hampir sepertinya, cuma kening lebih kecil dan dagu yang lebih runcing. Bertudung dan mengenakan kebaya berwarna krim cair.

Aku duduk, menghadap Nurul. Juga di sebelah tingkap yang terbuka. Di kejauhan, kelihatan bot-bot nelayan dan kapal-kapal yang berlabuh di perlabuhan.

"Erm, akak pergi ambil angin di luar kejap ya.." Kakaknya bangun, menunduk meminta diri dan berjalan keluar.

Masing-masing diam.

"Dah lama kita tak jumpa kan? Dah 8 tahun? Macamana kehidupan awak? Ok?.." Dia membuka perbualan sambil tersenyum.

"Alhamdulillah, beginilah.. Banyak benda yang dah berubah kan?"

Dia tertawa kecil.

" Everything is changed Majdi.."

"Tapi.."

"Tapi? "

"Tapi awak berubah terlalu banyak Nurul.."

"Erm.."

Nurul diam. Memalingkan wajah ke tingkap, melemparkan pandangan jauh ke laut. Amat jauh.

*********

"What are you doing with your frankly veil in this 'cold' class Nurul?"

Hahahaha!

Bederai satu kelas ketawa. Wajah Nurul menjadi merah menahan malu. Malu yang amat. Dan itulah dia di hari pertama kuliahnya di Universiti Califonia, Amerika Syarikat.

Begitu juga hari-hari berikutnya. Dia rasa semakin dipulaukan. Hanya kerana tudung yang dipakai. Pernah, dia cuba mencari teman meluahkan perasaan. Tapi apalah sangat yang dapat diluahkan jika semua kawan sepengajiannya dari Malaysia tidak ada yang bertudung.

"Ala, kau buka je lah. Mesti diorang senyap.."

"Erm, kau pun cantik. Kalau tak pakai tudung mesti lagi cantik.."

"Kita kat negara orang, bukan di Malaysia lagi.. Kena ikut cara orang lah.."

Dia menangis. Terasa berat keadaan yang menekan. Dengan kehidupan, dan perasaan yang tidak stabil. Pelajaran juga entah ke mana. Dia terngiang-ngiang kata-kata sahabatnya dulu.

"Kenapa Amerika? Kenapa tidak belajar sahaja di Timur Tengah? Atau berbakti mengkaji di bumi kita sendiri. Bukankah Amerika itu tempatnya, kata mereka seakan neraka? Kenapa perlu menyinggah di sana?"

Dia seakan-akan masih terdengar persoalan itu di benaknya.Pernah dia berhasrat untuk berpindah universiti. Tapi mengenangkan ibu bapanya yang bersusah payah semasa dia memohon ke sini, dia cuba menabahkan diri.

Sendiri. Terasing.

Hingga satu hari, pernah dia berjumpa dengan seorang pensyarah di situ. Dengan tujuan ingin membuat rundingan atas subjek yang amat kurang difahaminya.

Tanpa memandang wajahnya, lecturernya berkata. Kasar.

"As long as you still with your veil.. I don't wanna speak with u.."

Nurul terkedu. Tak sangka hingga tahap ini dia diperlakukan. Tak tahu apa yang dibenci sangat hingga jadi diskriminasi sebegini.

Dia jadi lemah. Dia seakan sudah hilang arah. Dia menangis semahu-mahunya. Dia benar-benar tertekan.

Amat-amat tertekan.

Dan esoknya..

Hadir seorang wanita, berambut lurus dan tersisir kemas. Memasuki kelas sambil melangkah malu..

***********

"Kembalilah kepada Nurul yang pernah saya kenal dahulu.."

Nurul berpaling, tersenyum lesu, memandang aku dalam-dalam, penuh makna.

"Ia tak semudah yang difikirkan Majdi.."

"Seandainya, saya dapat memutar masa kembali..."

Nurul mengeluh lesu.

"Awak masih ada masa, Nurul.." Aku tersenyum.

"Awak tahu Nurul. Wanita, ibarat coklat."

Majdi mengambil Ferrero Rocher di dalam bekas kaca di atas meja. Mengambil dua. Membuka satu. Plastik kuning keemasannya di buka sebaiknya.

"Coklat?"

"Ya, coklat. Coklat yang disimpan rapi. Terjaga. Yang senantiasa indah dan cantik dalam balutannya. Campaklah walau ia di manapun. Dan pasti, semua orang mengagumi dan menginginkannya..."

Majdi kemudiannya menjatuhkan keduanya ke lantai.

"Semakin ia berbalut, semakin ia terjaga. Dan seandainya diberi pilihan antara coklat yang sedia berbalut dengan coklat yang terbuka dan terjatuh. Pasti orang akan memilih.."

"Pasti orang memilih yang berbalut kan? Kerana yang terbuka itu sudah dicemari, sudah kotor, sudah tak berharga. Kan?" Nurul menjawab. Terus menunduk.

Riak wajahnya bertukar mendung.

"Dan saya adalah coklat yang kotor itu.." Wajahnya hampir menangis.

Aku tersenyum.

"Ya, mungkin orang akan pilih yang berbalut."

Aku kemudiannya mengambil coklat yang jatuh lalu kuletakkan di atas meja.

Aku tersenyum lagi.

"Tapi saya lain. Saya akan mengambil coklat yang lagi satu. Saya akan ambil dan saya akan basuh balik sebersih-bersihnya. Saya akan balut semula sekemas dan secantiknya. Dan selagi masih hidup, selagi punya masa. Saya akan menjaganya sebaik-baiknya sampai bila-bila.."

Nurul mengangkat kepala. Seakan tidak percaya.

Dan air mata pun mengalir..



Mataku Milikmu

" You have beautiful eyes "

Perasaan cemas menghantui apabila mendengar sapaan berbaur 'flirting' nada melankolik daripada pemuda Arab tersebut. Kulihat keadaan sekeliling sambil mempercepat langkah, menoleh ke belakang setiap satu minit bagi memastikan diriku selamat dan tidak dikejar
pemuda Arab itu tadi. Sungguh menakutkan.

Maha Suci Allah yang menciptakan segala sesuatu dengan penuh kesempurnaan, keindahan
dan keajaiban. Teringat sebuah doa yang diajar Nabi untuk dibacakan apabila mendengar
pujian daripada insan bergelar manusia.

اللهم لا تؤاخذني بما يقولون ، واغفر لي مالا يعلمون واجعلني خيراً مما يظنون

" Ya Allah janganlah kamu mengapa-apakanku kerana apa yang disebut oleh mereka, dan ampunkankan daku berkaitan perkara yang mereka tidak ketahui (dan jadikanlah daku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan. "
(Riwayat Abi Syaibah, no 35703, 7/242 ; At-Tarikh Al-Kabir, 2/58)

Bersyukur sungguh kerana Allah mengingatkan manusia untuk mengembalikan segala pujian dan kehormatan yang dikurniakan kepada manusia kembali kepada kuasa yang Maha Pemberi Kurnia iaitu Allah. Pada hakikatnya segala-galanya yang diciptakan adalah milik Allah. Manusia tidak mempunyai daya dan kuasa untuk mencipta dan mengusai sesuatu perkara tanpa izinNya.

Teringatku pada seloroh guruku ketika menerangkan hakikat ini. Katanya;

" Manusia ni tak hebat langsung. Nak cipta tahi hidung sendiri pun tak boleh! "

Bahkan, anggota dan deria pada diri kita sendiri tertakluk kepada kekuasaannya.

" Tahukah anda 'beautiful eyes' yang kita miliki sekarang terdiri daripada apa? "

Cuma air, lemak(lipid), gula (glucose), 'receptor' yang diperbuat daripada 'protein' dan saraf yang diperbuat daripada serat. Semua bahan-bahan ini boleh didapati dari dapur rumah masing-masing. Subhanallah.

" Bagaimana dengan bahan-bahan asas sebegini mampu menghasilkan fungsi yang menakjubkan? "

Daripada bahan yang sama juga mampu menghasilkan 'Beautiful eyes' yang 'bervariasi' warnanya. Terdapat manusia yang bermata biru, coklat, coklat pekat, coklat cair, kelabu, hijau dan lain-lain. Rahsia sebenarnya terletak pada struktur bernama 'iris' yang mempunyai ketebalan melanin yang berbeza. Contohnya, manusia yang mempunyai lapisan melanin yang nipis akan menzahirkan warna mata sebagai biru, iaitu warna 'salur darah vena' yang membawa 'deoxygenated blood' yang terdapat di belakang 'iris' .

Kadang-kadang 'beautiful eyes' kita akan memberi gambaran yang salah terhadap sesuatu perspektif. Pada hakikatnya ialah x, mata memberi gambaran y, dan kita pula membuat kesimpulan z.

Cuba perhatikan garisan biru dalam gambar berikut :


Nampak seperti senget bukan? Pada hakikatnya, garisan tersebut lurus! Tidak percaya? Anda boleh mengukurnya sendiri.


Terbukti melalui ujian mudah ini bahawa kita sendiri tidak mampu mengawal deria yang ada pada diri kita kerana segala-galanya adalah dibawah kawalan Allah. Sebagai tanda kesyukuran dikurniakan 'beautiful eyes' dan nikmat yang pelbagai maka menjadi tanggungjawab kita untuk menzahirkan kesyukuran kita dengan mentawajuhkan atau menghalakan kiblat kehidupan kita dalam jalan yang diredhaiNya .

Begitulah juga kehidupan ini, dihiasi dengan 'ilusi optik' yang mengelirukan lagi menyesatkan. Perkara yang jahiliyah dan buruk dilihat cantik dan mempesonakan manakala yang baik dan wangi dijauhi dan ditolak ke tepi. Sepatutnya, semuanya perlu dilihat melalui kaca mata dan hati yang suci mengikut neraca Ilahi. Moga-moga hidup diberkati dan diredhai. Semoga 'beautiful eyes' kita ditemukan dengan Penciptanya di syurga nanti.

" Wahai Tuhan kami,tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka. "