Wednesday, September 21, 2011

“Ku Ceritakan Kisah Ini..”

Pada pertengahan 2011, seorang Dato’ telah menghubungi saya meminta saya membantu satu perkara….

Seseorang atuk berumur 71 tahun, ditinggalkan oleh anak dan isterinya di hospital, tidak ada siapa yang ingin mengambilnya.

Saya berbincang dengan bahagian rumah HIV Darul Ukhwah. Pada permulaan, sahabat di rumah HIV agak berat untuk menerima kerana bebanan tugasan yang memang banyak, sedangkan atuk ini, seorang yang tidak mampu mengurus diri, kecing dan beraknya perlu di bantu dan seminggu 3 kali dia memerlukan rawatan buah pinggang.

Saya meminta sahabat saya ustaz Azmi mencarikan rumah orang tua bagi menempatkan atuk ini, kebanyakkannya dikendalikan oleh orang bukan Islam, yang ada juga bayarannya agak mahal. Tapi saya faham kerana penjagaan orang tua perlukan perhatian dan pekerja yang ramai, jadi kos penjagaan memang agak tinggi.
Apakan daya, kala itu kami tidak mempunyai kemampuan untuk membaiyai atuk jika diletakkan di rumah orang tua.
Tapi percaturan Allah itu maha luas kerana dia Maha Pembela setiap hambanya…
Seminggu sebelum Dato’ ini menghubungi saya, datang seorang meminta kerja pada saya. Pada permulaannya, saya ingin menempatkannya di pejabat saya di Shah Alam, tetapi oleh kerana Darul Ukhwah kekurangan staf, saya memintanya untuk bertugas di rumah HIV ini. Dia bersetuju dengan hati yang terbuka.
Siapa tahu, rupanya kedatangannya adalah untuk menjaga atuk yang sudah tidak upaya ini. Dia menjaga atuk ini seperti ayahnya, kecing berak di basuh hinggalah kepada memandikan dan meyediakan keperluan atuk ini.
Itulah percaturan Allah…
“Ustaz, boleh tak minta TV, sebab kadang kala atuk ini agak kesunyian” kata penjaga atuk. Isteri dan anak yang cuba dihubungi sama ada melalui telifon atau sms banyak tidak berjawab, barang kali sibuk dengan urusan harian…
25 Ramadhan 1432, satu suasana yang agak tegang, penghuni Darul Ukhwah akan pulang bercuti. Saya ketika itu berada di tanah suci bagi umrah Ramadhan
Bagaimana atuk? Kami cuba menghubungi keluarganya tetapi tidak ada yang mahu mengambilnya.
Keputusannya…
Penjaga atuk di Darul Ukhwah dengan lapang hati menerima atuk ini sebagainya ayahnya, dan membawanya bersama pulang untuk hari raya. Tetapi, beberap hari di kampung, atuk jatuh sakit dan terpaksa di masukkan ke dalam hospital, barang kali agak sedih berada di sisi keluarga orang lain..
Selepas hari raya, semua penghuni Darul Ukhwah telah kembali, rumah perlindunga ini kembali meriah tetapi si atuk akhir-akhir ini banyak menangis…
13 September 2011, saya bermesyuarat dengan beberapa staf Darul Ukhwah termasuk penjaga atuk ini. Saya mengajak penjaga atuk keluar dan berbual dalam kereta supaya tidak didengari oleh yang lain hal-hal kekeluargaan yang agak sensitif.
“Macam mana keluarga atuk? tanya saya.
“Masih tidak dapat dihubungi ustaz, tapi saya dah dapat tahu kisahnya…”
Sepanjang di dalam kereta dari Petaling Jaya ke Shah Alam, penjaga ini bercerita kepada saya mengenai kisah atuk dan keluarganya..
Saya hanya mendengar sambil sekali sekala memberikan pandangan untuk usaha selanjutnya….
16 September 2011, saya pulang ke Johor untuk menziarahi keluarga di Johor, maklumlah, baru-baru ini saya beraya di Mekah, jadi tidak sempat menziarahi keluarga di sana.
17 September 2011 jam 4.00 petang, saya bergerak pulang ke Selangor. Sampai di rumah jam 7.15 petang. Belum sempat mandi telifon saya berbunyi…
Saya memandang ke arah telifon saya…
“Dari Darul Ukhwah” bisik hati saya…
Saya mengangkat telifon, suara penjaga atuk tersekat-sekat menangis…
““Ustaz… atuk dah pergi..” kata penjaga ini.
“Innalillah wa Innailahi Rojiun..” spontan saya menyebut.
“Tak apa, tenang… saya sembahyang kejap, nanti saya terus ke Darul Ukhwah..” kata saya.
Dalam perjalanan saya menghubungi kawan-kawan atuk yang saya kenal termasuk Datuk yang meminta saya mengambilnya pada awal-awal dahulu…
Sesampainya di Darul Ukhwah, saya melihat sekujur tubuh terbaring, diselimutkan dengan kain pelikat.
Saya melihat wajah atuk, air mata yang ingin jatuh saya cuba tahan. Baju lusuh berwarna biru yang sering atuk pakai menjadi pakaian terakhirnya.
Atuk baru sahaja lepas makan malam petang tadi. Dia banyak menangis. Selepas makan malam, biasanya dia akan mengiring ke arah dinding, merenung jauh. Hatinya pilu tapi apakan daya…
Penjaga atuk memegang atuk bagi persiapan maghrib. Atuk tidak menyahut. Badan atuk digoyangkan, tetapi atuk tidak juga bergerak.
Doktor yang dihubungi telah datang dan mengesahkan bahawa atuk sudah kembali kerahmatullah…
Ramai orang yang datang, saya tidak tahu dari mana. Badan mereka agak tegap. Ada yang masih berpakaian seragam. Mereka adalah anggota polis.
Dari yang berpangkat Tan Sri hingga pada Sarjan biasa, memenuhi ruangan rumah Darul Ukhwah…
Siapa Atuk sebenarnya? bisik hati saya…
Saya cuba menghubungi ahli keluarga Atuk. Barangkali cubaan terakhir, panggilan kali ini diangkat dan makluman pemergian Atuk sampai pada ahli keluarganya..
Jam 12 malam, ahli keluarga atuk sampai. Mudah-mudahan anak atuk menjadi anak yang soleh yang sentiasa mengirimkan pahala untuk atuk sekalipun waktu hayatnya, atuk sering tertunggu-tunggu mereka.
Tidak sedikit orang yang menjadi anak soleh ketika kedua ibu dan ayahnya sudah tiada.
Atuk akan dimandikan di masjid berdekatan.
18 September 2011 jam 9.00 pagi, masjid ini dipenuhi dengan anggota polis. Rupanya atuk seorang yang hebat ketika hidupnya.
Saya dimaklumkan dari anggota polis, bahawa, dia dan sahabatnya pernah bertempur dengan komunis di Jalan Kroh-Betong, Perak pada 17 Jun 1968 dan 17 anggota yang bersamanya gugur akibat pertempuran itu.
Dia dan kawannya yang gugur patut diberi penghargaan..
Atuk selesai dikafankan. Saya mengimamkan jenazah atuk. Inilah khidmat terakhir saya untuk atuk. Tidak sangka, pertemuan di hospital beberapa bulan lalu berakhir dengan pemergian untuk selamanya.
Motor trafik polis menghidupkan serennya. Puluhan kereta mengiringi atuk ke pusara, kebanyakkannya anggota polis, seakan mengiringi orang VIP di jalan raya.
Atuk diletakkan ke lahad. Perlahan-lahan saya mengepalkan tanah untuk diletakkan di sisi atuk. Saya mempersilakan bahagian agama Polis Diraja Malaysia membacakan talkin dan tahlil di pusara atuk.
Langit hari ini mendung, hujan gerimis turun mengakhiri penghormatan buat atuk. Untuk ahli kelurga, takziah saya ucapkan…
Bagi kami di Darul Ukhwah, kami sayang atuk, sesungguhnya beberapa bulan bersama kami di sini menjadikan atuk sebahagian dari keluarga kami.
Selamat bersemadi dengan tenang, semoga Allah terus merahmati atuk.. al-Fatihah…
“al-Ijabah, bersama kita berbakti”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
22 Syawal 1432/ 20 September 2011
IMG_4912
saat akhir atuk di Darul Ukhwah
IMG_4913
Ramai anggota polis yang datang malam ini
IMG_4915
Barulah saya tahu bahawa atuk adalah orang yang pernah berjasa untuk tanah air
IMG_4917
Kereta peronda dan polis trafik mengiringi atuk ke pusara
IMG_4918
atuk diiring ditempat persemadian
IMG_4919
Selamat berehat atuk, semoga atuk digolongkan dengan golongan orang soleh dan solehah
IMG_4920
19 September selepas Isyak, ahli masjid di jemput untuk membacakan tahlil buat atuk..

Yahudi Dan Masjid

Bani Israel adalah satu kaum yang mempercayai Allah sebagai tuhan. Mereka tidak mengiktiraf Nabi Isa dan Muhammad sebagai Nabi. Mereka disebut sebagai ahli kitab.

Ada juga Bani Israel yang Islam setelah melihat kebenaran Islam itu.

Dari Bani Israel yang ingkar, itulah disebut sebagai Yahudi oleh al-Quran. Jadi, Bani Israel lebih luas, satu bangsa, ada yang Islam dan ada yang tidak, tapi yang ingkar itulah disebut sebagai Yahudi.

Di dalam syariat, orang lelaki muslim boleh menikahi ahli kitab dan   sembelihan ahli kitab juga boleh kita makan.
Ini kerana mereka menyembelih dengan cara yang sama iaitu mesti putus urat merih dan membaca Nabi Allah juga.
Kalau kita sembelih dengan menyebut “Bismillah” mereka menyembelih dengan menyebut “Shem Ha Shem..”
Dalam Islam ada Asmaul Husna, dalam Yahudi pun ada.
Dalam Asmaul Husna nama Allah ada Ar-Rahman, Ar-Rahim, al-Qudus dan sebagainya dalam Hebrew nama Allah mereka sebut sebagai Ilah, Shado, Shem dan sebagainya,
5 September 2011, ketika kami sampai di Masjid Khalil al-Rahman, masjid yang terletak makam Nabi Ibrahim, tiba-tiba terdapat sekumpulan askar Yahudi masuk ke masjid.
“Saya bertanya Walid, kenapa ada askar Yahudi?”
“Ada orang besar Yahudi ziarah Makam Nabi Ibrahim sekarang dan berdoa dalam masjid ini?” kata Walid.
“Dia berdoa dalam masjid?” tanya saya ingin tahu.
“Ya, sebab,dari sudut ibadah dan cara hidup, orang Yahudi lebih menghormati Islam dari Kristian, dia tahu masjid orang Islam suci dan bersih sebab itu dia boleh berdoa dalam masjid tapi tidak sekali-kali dalam gereja” terang Walid.
“Orang Yahudi tak makan babi,tak seperti kristian, orang yahudi bersunat, tidak seperti kristian dan dia juga ada soal kesucian dalam makanan, dia boleh makan makanan orang Islam tapi tidak orang kristian” terang Walid lagi.
Saya melihat askar Yahudi siap dengan senapang, dia memakai kasut di dalam masjid tetapi dibentangkan tikar plastik kerana dia tahu masjid itu suci dan bersih.
Kadang kala, orang Islam sendiri tidak tahu hormat masjid, ketika saya berada di Mekah, saya melihat pergolakan di Libya dan Syria di dalam berita, pasukan keselamatan masuk ke masjid dengan kasut dan tanpa alas.
IMG_4748
Hari ini, ada orang Yahudi menziarahi makam Nabi Ibrahim dan dia berdoa dalam masjid ini.
IMG_4749 
IMG_4750
Tentera mereka membentangkan tikar sebagai alas untuk tidak mengotori masjid ini.
Tapi ini dalam keadaan biasa dan aman, kalau sedang pertentangan hebat, sudah tidak ada lagi perasaan menghormati ini…
Bagi kita yang belum melihat perbahasan saya mengenai “Beriman dengan Rasul di al-Aqsa ini, boleh lihat di dalam program Usrah ini..

Sejukkan Dengan Wuduk

"Rasulullah altSAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada satu keadaan yang lebih baik.

Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan berdiri, adalah lebih baik dia duduk.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk,pertamanya membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.
Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud:“Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)
Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah, sifat pemaaf meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi.

Monday, September 19, 2011

Hijab Saya Jenama Saya


Enam tahun yang lepas wartawan Lauren Booth ke Palestin membawa bersamanya, seperti yang diakuinya sendiri, sikap memandang rendah orang lain.
Beliau beranggapan orang Arab adalah penakut, dan bersimpati dengan wanita yang memakai hijab, niqab dan burqa. Beliau menganggap golongan ini kurang senang dengan tradisi sendiri.
Tetapi hari ini Booth, yang juga merupakan penyiar dan aktivis hak asasi manusia, memperjuang secara aktif nasib orang Palestin – dengan berhijab.
"Saya ke Palestin dengan tanggapan bahawa wanita berhijab perlu diselamatkan daripada nasib malang mereka, suami dan penindasan. Saya bukan berniat merendahkan sesiapa tetapi inilah yang kami diajar di Barat."
Bagaimanapun, pengalaman beliau di Palestin membuktikan sebaliknya. Sikap besar hati serta kemuliaan yang ditunjukkan kepadanya oleh orang Palestin, walaupun mereka hidup serba daif, menyangkal apa yang dipercayainya selama ini – yang rantau mereka adalah paling ganas di dunia.
"Ia sesuatu yang mengejutkan bagi saya," katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif semasa lawatanya ke Malaysia, baru-baru ini.
"Di sebalik hijab dan burqa, terdapat perkara-perkara yang saya tidak jangka - kemesraan, kelucuan dan sikap berdikari."
Selepas bekerja dengan masyarakat Islam di Asia Barat selama lima tahun, beliau muncul sebagai penyokong kuat perjuangan rakyat Palestin.
Beliau berada di Malaysia sebagai penceramah undangan bagi Viva Palestina Malaysia, satu daripada cabang Viva Palestina di UK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha untuk mewujudkan dengan cepat sebuah negara Palestin yang bebas.
Booth memeluk Islam pada September 2010, dan mengumumkannya sebulan kemudian.
Warga Britain berusia 43 tahun ini berkata beliau memeluk Islam kerana pengalaman spiritual yang dialaminya semasa mengunjungi pusat ibadah  Fatima al-Masumeh di bandar raya Qom, Iran.
"Saya sebenarnya tidak memikirkan untuk memeluk Islam. Pengalaman spiritual yang saya alami ini tidak dapat dijelaskan dan memberikan saya kebahagiaan dan ketenangan jiwa," kata beliau dalam satu temu bual bersama rangkaian berita Iran - Press TV – di mana beliau sedang bertugas sekarang ini.
Reaksi Media Kerana Memeluk Islam
Booth berkata langkah beliau memeluk Islam bukan satu kejutan kepada ramai. Selama bertahun-tahun beliau lantang menyuarakan isu berkaitan dengan rakyat Palestin dan rakan-rakan Islam semakin dekat dengan hatinya. Bagaimanapun, katanya tersenyum, ada yang 'berpura-pura terkejut' di dalam media.
Beliau percaya pihak tertentu dalam media Britain terbabit dengan kempen untuk mencemarkan nama baiknya selepas sahaja mengumumkan yang beliau kini beragama Islam.
Sebagai ipar kepada bekas perdana menteri Britain Tony Blair tindakan beliau itu dengan mudah mengundang kritikan.
"Adalah menarik untuk melihat betapa cepat media Britain mempersenda segala yang saya telah buat (sebelum memeluk Islam). Ia menunjukkan jurang besar dan rasa takut akan apa yang dilihat tidak diketahui wujud pada masyarakat Barat.
"Seorang wanita berpendidikan, seorang ibu, seorang petugas media selama 20 tahun terus dikecam selepas sahaja melafazkan syahadah dan memakai hijab di khalayak umum, dengan dakwaan sinis yang beliau mengalami kemurungan, krisis pertengahan hayat atau terdesak untuk sesuatu," katanya.
Booth berkata sekularisme begitu kuat dalam kalangan masyarakat Barat yang tidak dapat menerima kewujudan Tuhan yang maha esa.
Malangnya, kata Booth, pihak tertentu di dalam dunia media "melakukan tugas yang begitu baik" sehingga ramai warga Britain tidak akan membacanya tanpa rasa kasihan, meluat atau keraguan.
Reaksi Bercampur Daripada Rakan dan Keluarga
Sementara itu, rakan-rakannya pula lebih bersimpati.
"Tetapi saya rasa ada juga yang kecewa kerana kehilangan seorang rakan minum arak. Mereka tidak tahu untuk bersosial dengan minum teh kerana kita telah kehilangan kemahiran itu di dunia Barat," katanya berseloroh.
Reaksi daripada keluarganya pula bercampur.
Sementara beliau tidak banyak mengulas akan reaksi bapanya berhubung tindakan beliau memeluk Islam, kerana beliau tidak banyak berhubung dengan enam orang anak perempuannya, laporan media UK menunjukkan dengan jelas reaksi ayahnya, seorang pelakon Tony Booth.
Beliau memberi reaksi negatif kepada tindakan anaknya memeluk Islam dengan berkata anaknya itu langsung tidak berminat dengan agama dan meragui keikhlasannya dalam memeluk Islam.
Sebaliknya ibunya sebak gembira apabila mendapat tahu yang anaknya mengalami ketenangan jiwa.
Walaupun segala keraguan yang timbul dalam kalangan keluarga, beliau berkata keluarganya memahami keputusannya itu. Adik bongsunya menyediakan ayam belanda halal bagi Krismas.
Dua orang anak perempuannya, sementara itu, sentiasa melihat Islam dari sudut positif.
"Apabila saya memaklumkan kepada mereka yang saya kini beragama Islam, mereka ajukan tiga soalan : sama ada saya akan melupakan alkohol, rokok dan menutup lurah dada? Apabila saya berkata ya kepada ketiga-tiganya, mereka mengisytiharkan: Yay! Kami cintakan Islam," katanya tertawa.
Timbul juga persoalan, bagaimana beliau menunjukkan reaksi kepada fitnah, ulasan negatif dan kritikan? Booth berkata tidak banyak yang beliau dapat lakukan kecuali menerima segala—galanya dan teruskan dengan kehidupan.
Hijab Adalah Jenama
Berhijab biru, dan memakai blaus bertalipinggang serta seluar yang longgar, Booth mendedahkan pengalamnan pahit-manisnya dalam memeluk Islam dengan senyuman, satu aksesori yang dianggapnya penting bagi setiap wanita berhijab.
"Orang ramai berpendapat wanita Islam berhijab dirundung masalah hidup kerana apabila anda melihat mereka di stesen kereta api bawah tanah London, mereka sentiasa kelihatan berwajah 'perang'. Inilah wajah yang mereka tampilkan dalam berdepan dengan apa sahaja diskriminasi yang mereka takuti.
"Tetapi di Barat, hijab adalah jenama anda. Jika anda tidak senang hati di khalayak umum orang ramai mungkin berpendapat anda dipukul oleh suami atau ayah anda membenci anda. Jadi, sentiasa senyum ," katanya.
Ramai wanita berhijab di London telah tampil bertemu Booth selepas menyaksikan kisah beliau melalui YouTube.
Gadis-gadis, seawal 12 tahun, memberitahunya akan masalah yang mereka alami setiap hari kerana menutup aurat mereka.
"Mereka memberitahu saya yang budak lelaki melihat mereka sebagai pengganas dan gadis lain pula beranggapan mereka ini bodoh tetapi selepas melihat saya begitu yakin dalam hijab, mereka juga berasa bangga tentang diri mereka," kata Booth.
Keluhan gadis-gadis ini membawa inspirasi kepada Booth untuk mencari idea bagi "hijab flashmob" wanita. "Saya mahu menyertai wanita muda berbakat dan mencari cara-cara imaginatif untuk memaklumkan kepada bukan Islam yang kami bukan sahaja mahu diterima; kami berada di sini, kami hidup dalam masyarakat madani, terimalah kami dan biarlah kami menjadi sebahagian daripada komuniti bersama."
Beliau menyambut baik idea-idea melalui e-mel di lauren.toirac@gmail.com.
Ciri asas di UK ialah tolak ansur, katanya. Tetapi sebagai wanita Islam, Booth berkata beliau bukan hanya mahu diterima atas dasar toleransi.
"Anda boleh menahan rasa sakit kepala. Anda boleh tahan bau busuk. Saya tidak mahu menjadi punca sakit kepala dan bau busuk kepada pihak lain. Jadi apa yang kita perlukan ialah penerimaan dan kesaksamaan."

Sunday, September 18, 2011

Kebenaran al-Quran : Gunung berjalan seperti jalannya awan

Dalam satu ayat al-Quran, kita diberitahu bahawa gunung-gunung tidaklah tetap sebagaimana yang nampak, akan tetapi terus-menerus bergerak.

"Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka dia tetap di tempatnya, padahal dia berjalan seperti jalannya awan. (Begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al Qur'an, 27:88)

Gerakan gunung-gunung ini disebabkan oleh gerakan kerak bumi tempat gunung-gunung berada. Kerak bumi ini seperti mengapung di atas lapisan magma yang lebih rapat. 
 
Pada awal abad ke-20, untuk pertama kalinya dalam sejarah, seorang ilmuwan Jerman bernama Alfred Wegener mengemukakan bahawa benua-benua pada permukaan bumi menyatu pada masa-masa awal bumi, namun kemudian bergeser ke arah yang berbeza-beza sehingga terpisah ketika bergerak saling menjauhi.

Para ahli geologi memahami kebenaran pernyataan Wegener baru hanya pada tahun 1980, iaitu 50 tahun setelah kematiannya. Sebagaimana pernah dikemukakan oleh Wegener dalam sebuah tulisan yang terbit tahun 1915, sekitar 500 juta tahun lalu seluruh tanah daratan yang ada di permukaan bumi awalnya adalah satu kesatuan yang dinamakan Pangaea. Daratan ini terletak di kutub selatan.
 
Sekitar 180 juta tahun lalu, Pangaea terbelah menjadi dua bahagian yang masing-masingnya bergerak ke arah yang berbeza. Salah satu daratan atau benua raksasa ini adalah Gondwana, yang meliputi Afrika, Australia, Antartika dan India. 
 
Benua raksasa kedua adalah Laurasia, yang terdiri dari Eropah, Amerika Utara dan Asia, kecuali India. Selama 150 tahun setelah pemisahan ini, Gondwana dan Laurasia terbahagi menjadi daratan-daratan yang lebih kecil.

Benua-benua yang terbentuk menyusul terbelahnya Pangaea telah bergerak pada permukaan Bumi secara terus-menerus sejauh beberapa sentimeter per tahun. Peristiwa ini juga menyebabkan perubahan perbandingan luas antara wilayah daratan dan lautan di Bumi.

Pergerakan kerak Bumi ini ditemui setelah penyelidikan geologi yang dilakukan di awal abad ke-20. Para ilmuwan menjelaskan peristiwa ini sebagaimana berikut:

Kerak dan bahagian terluar dari magma, dengan ketebalan sekitar 100 km, terbahagi atas lapisan-lapisan yang disebut plat. Terdapat enam plat utama, dan beberapa plat kecil. 
 
Menurut teori yang disebut plat tektonik, plat-plat ini bergerak pada permukaan bumi, membawa benua dan dasar lautan bersamanya. 
 
Pergerakan benua telah diukur dan berkecepatan 1 hingga 5 cm per tahun. plat-plat tersebut terus-menerus bergerak, dan menghasilkan perubahan pada geografi bumi secara perlahan. 
 
Setiap tahun, misalnya, Samudera Atlantic menjadi sedikit lebih lebar. (Carolyn Sheets, Robert Gardner, Samuel F. Howe; General Science, Allyn and Bacon Inc. Newton, Massachusetts, 1985, s. 30)

Ada perkara sangat penting yang perlu dikemukakan di sini: dalam ayat tersebut Allah telah menyebut tentang gerakan gunung sebagaimana mengapungnya perjalanan awan. (Kini, Ilmuwan modern juga menggunakan istilah "continental drift" atau "gerakan mengapung dari benua" untuk gerakan ini. (National Geographic Society, Powers of Nature, Washington D.C., 1978, s.12-13)

Tidak dipersoalkan lagi, adalah salah satu kejaiban Al Qur’an bahawa fakta ilmiah ini, yang baru sahaja ditemui oleh para ilmuwan, telah dinyatakan dalam Al Qur’an.

Mulut Firaun disumbat Malaikat sebelum tenggelam

Dari Sa’id bin Jubeir dari Ibnu ‘Abbas radhiya’l-lahu ‘anhuma meriwayatkan: “dua orang Sahabat menghadap Rasulullah (menanyakan tentang Fir’aun). Sabda Nabi s.a.w: “Malaikat Jibril menyumbat mulut Fir’aun dengan pasir, khuatir kalau-kalau akan mengucapkan: la ‘ilaha illa’l-lah”[1]

Hadits di atas umumnya dapat kita temui pada perbahasan ayat tenggelamnya Fir’aun, surah Yunus ayat 90, di mana Allah berfirman: “Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Fir’aun dan bala tentaranya, kerana hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga bila Fir’aun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia: Saya percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” (Qs. 10:90) .

Pada detik-detik naza‘nya, malaikat Jibril melihat gelagat Fir’aun akan mempergunakan kesempatan dalam kesempitan. Allah Ta’ala memerintahkan malaikat Jibril untuk mengambil nyawa Fir’aun dengan cara menyumbat mulutnya dengan pasir, supaya tidak boleh mengucapkan keimanan dan pertaubatannya. Akhirnya Fir’aun mati dengan mulut disumbat dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.(Tafsir Al-Kasyaf, 21 202). Kerana iman dan taubat pada pada masa ini, tiada guna sama sekali.
Mengutip Tafsir Syeikh Sa’di, ada dua keadaan di mana iman tidak berguna pada masa itu iaitu beriman di hujung sakaratul maut danberiman menjelang hari Qiamat, sesuai firman Allah dalam surah Al-Mu’min:85.
 
Fir’aun mati di Laut Merah atau laut Qalzum atau sebelumnya popular dengan nama FAM AL-HAIRUTS, dekat terusan Suez, pada tanggal 10 Muharram dan kerana itulah ada syari’at shaum ‘Asyura, setelah sebelumnya menyatakan taubat dan yakin akan Tuhan Allah s.w.t. Dan inilah taubat yang tertolak (Qs. 10:90)

Fir’aun kafir sejak bayi

Di antara perkara yang aneh dalam din Fir’aun adalah fitrah kejadiannya. Umum-nya bayi diciptakan oleh Allah dalam keadaan fitrah, tapi nampaknya hadits ini dikecualikan terhadap bayi Fir’aun. Kerana sejak bayi sudah kafir di dalam perut ibunya.

Bunyi hadits “wa khalaqa fir’aun fi bathni ummihi kafiran,” dan Fir’aun dijadikan (oleh Allah) dalam perut ibunya dalam keadaan kafir. (HR. Ibnu ‘Adi dalam Al-Kamil dan Imam Thabarani dalam Al-Ausath). Semasa menyampaikan hadits ini Rasulullah s.aw sedang berkhutbah di hadapan para sahabat pada petang hari.

Ahli sejarah terpecah dua; ada yang mengatakan Fir’aun itu nama orang (ismul ‘ajam), yang lain dan terbanyak mengatakan Fir’aun itu gelaran bagi raja yang lupa daratan. Tapi yang jelas, nama ini pertama kali dipakai oleh Walid bin Mush’ab bin Rayyan, keturunan Lois bin Sam bin Nuh.

Fir’aun Di Zaman Nabi Musa naik takhta pada 1311 SM adalah firaun yang Allah di binasakan bersama 700.000 pasukannya di Laut Merah, mayatnya Allah selamatkan, pada waktu syuruq (matahari terbit), menurut Tafsir Muqatil (Qs. 10:90).  
 
Lalu siapa Firaun Tutankhamun yang sering dikatakan sebagai Firaun yang Tenggelam di Laut Merah? 
 
Mayatnya diawetkan dengan pembalseman dalam bentuk mumi yang kini disimpan di museum Mesir di Kaherah dengan berbagai macam hikmah sejarah. Mumi ini ditemui pertama kali oleh ahli kaji purba Perancis, Loret, di Wadi al-Muluk (lembah raja-raja) Thaba Luxor Mesir pada tahun 1896 M. Pembalutnya dibuka oleh Eliot Smith, seorang ahli kaji purba Inggeris pada  8 Julai 1907.

Satu gelaran yang mengarah pada penghormatan. Pada masa inilah gelaran boleh makan tuan. Gelaran menyeret pemiliknya pada kesombongan, sehingga boleh lupa daratan. Fitnah ghuluw (penghormatan, fanatik) muncul dari pemujaan gelaran yang melewati batasan.

Perhatikanlah pesanan indah dari Imam as-Syafi’i rahimahullah berikut ini: Berkata Imam as-Syafi’i: “aku benci orang yang terlalu mengagungkan makhluk, hingga menjadikan kuburnya (di/sebagai) masjid. Aku khuatir terjadi fitnah atasnya dan fitnah atas orang sesudahnya.”

:::[ Aku beramal kerana aku tidak tahu ]:::


Ada orang bertanya, perkara berkaitan qada’ dan qadar.
Katanya, ALLAH telah menetapkan segala sesuatu semenjak azali lagi.
Telah ditetapkan sama ada orang itu kafir atau tidak.
Sudah ditetapkan akhirnya manusia itu di syurga atau di neraka.

Jadi, kalau sudah ditetapkan di mana tempat pengakhiran, apa gunanya kita beramal?
Kalau anda disuakan persoalan ini, apakah jawapan anda?
Semasa menjalani bab Beriman kepada Qada’ dan Qadar dalam pembelajaran Madkhal Ila Aqidah di University of Yarmouk,
pensyarah yang mengajar mata pelajaran ini, Dr Samirah Tohir telah disoal dengan soalan yang sama.
Dia senyap, memberikan ruang pelajar-pelajar lain memberikan pandangan mereka.
Ramai yang cuba menjawab dengan teori dan akal fikiran masing-masing.
Tidak kurang juga yang cuba membangkitkan perbahasan ulama’ berkenaan tajuk Qada’ dan qadar ini.

Apabila semua pelajar sudah menyuarakan pendapat masing-masing,
Dr Samirah Tohir mengambil marker pen, dan bergerak ke papan putih,
seterusnya menulis kalimah arab yang bermaksud:
“ Aku beramal kerana aku tidak mengetahui”
Ya. Kita beramal, kerana kita sebenarnya tidak tahu di mana ALLAH tetapkan kita.
Di neraka kah? Di syurga kah? Kita ini mati dalam keadaan kufurkah?
Kita ini mati di dalam imankah? Kita ini hidup dalam kemiskinan kah?

Kita ini hidup di dalam kekayaan kah? Kita tidak tahu apa-apa berkenaan penghujung hidup kita.
Jangan kata penghujung hidup, sesaat pada hari esok pun kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada kita.
Jadi, kita berusaha, memberikan yang terbaik untuk kehidupan kita.
Kita sendiri tidak tahu, bagaimana penetapan ALLAH itu, hal qada’ qadar ALLAH ini tersimpan
kemas dari pengetahuan sesiapa, hatta para malaikat sendiri pun tidak mengetahuinya.
Tersimpan kemas di dalam ilmu ALLAH sahaja. Dan tiadalah kita ini dikurniakan ALLAH ilmu, melainkan sedikit sahaja.

Kita tidak tahu banyak perkara, tambahan, perkara-perkara ghaib seperti penetapan qada’ qadar ALLAH SWT ini.
Kenapa mesti kita risau dengan perkara yang memang kita tidak akan dapat mengetahuinya?
Bukankah lebih baik kita jalani kehidupan kita dengan baik dan melorongkan kehidupan kita ke arah apa yang ALLAH redha?
Berbanding risau kita ini sudah ditetapkan mati dalam beriman atau tidak, dimasukkan ke dalam syurga atau tidak,
bukankah lebih baik kita mencari apa yang ALLAH redha dan tidak, seterusnya menghidupkan kehidupan kita dengan kehidupan yang terbaik di bawah redhaNya?
Tambahan, banyak dalil ALLAH SWT menyatakan bahawa iman atau kufur itu adalah pilihan manusia sendiri.

“ Tiada paksaan di dalam agama, sesungguhnya telah jelas antara yang benar dan jalan yang sesat. Barangsiapa yang mengingkari taghut(kejahatan) dan beriman kepada ALLAH, maka sungguh, dia telah berpegang teguh dengan tali yang sangat kuat dan tidak putus. Dan ALLAH itu Maha mendengar lagi Maha Mengetahui”
 Surah Al-Baqarah ayat 256.

“ Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu terlebih dahulu mengubah apa yang ada pada diri mereka”
Surah Ar-Ra’d ayat 11.

“ Maha Suci ALLAH yang menguasi segala kerajaan, dan DIA Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yanng Menciptakan Mati dan Hidup untuk menguji siapa antara kamu yang terbaik amalannya, dan DIAlah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”
Surah Al-Mulk ayat 1-2. 

“ Apakah manusia itu mengira mereka akan dibiarkan berkata ‘ kami beriman’ sedangkan mereka masih belum diuji?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Lihat. Hidup kita ini ada pilihannya.
ALLAH memang mengetahui apa pengakhiran kita. Tetapi apakah sama pengetahuan ALLAH dengan pengetahuan kita?
Di tangan ALLAH jugalah segala keputusanNya. Kita hanya berusaha, bergerak mencari redhaNya.
Jadi jangan kita risau apa yang akan terjadi pada masa hadapan.
Masa hadapan yang kita tidak jelas dengannya. Masa hadapan yang kita tiada ilmu mengenainya.
Maka, risaulah dengan apa yang tersedia di hadapan kita masa ini, kehidupan yang sedang berjalan untuk kita isi,
dan perintah-perintah ALLAH untuk kita laksanakan tanda ketaatan kepada ILAHI.
InsyaALLAH, ALLAH tidak zalim kepada hamba-hambaNya. Yang beramal soleh dijanjikan kebaikan. Yang beramal kejahatan dijanjikan pembalasan atas keburukan.

“ Dan barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung, dan barangsiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung”
Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.

Dan ALLAH itu tidak memungkiri janjiNya.
Syukur kepada ALLAH yang menggerakkan hambaNya bernama Samirah Tohir itu mengungkap kalimah
sedemikian besar maknanya kepada saya. Ya, kita beramal, kerana kita tidak tahu berkenaan pengakhiran kita.
Kita tidak tahu bagaimanakah ALLAH menetapkan kehidupan kita.

Maka, kehidupan yang sedang berjalan inilah kita isi dengan kebaikan-kebaikan,
usaha-usaha untuk masa hadapan yang kita suka.
Dengan sangka baik kepada ALLAH, insyaALLAH kita akan mendapat kebaikan.
Semoga perkongsian ini, memberikan manfaat yang besar kepada kita semua.