Monday, January 23, 2012

Tudung Labuh Itu Kolot?

Selepas UPSR, saya di hantar ke sekolah agama oleh ibu bapa. Bukan atas kehendak sendiri. Saya juga tidak membantah. Hanya kerana sepupu perempuan saya turut belajar di situ, saya tidak keberatan.
Saya juga pernah menghadiri temuduga untuk memasuki Kospint yakni Imtiaz sekarang. Hampa kerana tidak terpilih.
Seperti yang umum maklum, belajar di sekolah agama menuntut pelajar perempuan memakai tudung labuh. Saya ketika itu masih belum faham kenapa perlu memakai tudung labuh.
Adakah tudung segi tiga masih belum menutup aurat?
Tetapi, soalan itu hanya berlegar di fikiran. Tidak pernah diluahkan dan tidak pernah dikaji.
Timbul rasa jengkel juga di hati, '"selekehlah pakai tudung labuh", "nampak gemuk", "tak smart langsung".
Oleh sebab itu, apabila diadakan aktiviti sukan atau apa-apa aktiviti di luar waktu persekolahan, saya akan menyarung tudung segi tiga biasa menggantikan tudung besar itu. Saya kurang rasa bersalah kerana senior juga begitu.
Tiada lagi tudung labuh apabila menghadiri latihan kawat pada waktu petang, atau latihan untuk hari sukan kerana tiada seorang pun guru yang menegur. Kalau ada pun, bukan saya yang ditegurnya. Saya rasa selamat untuk memakai tudung segi tiga.
Begitu juga apabila keluar dari asrama, selain daripada outing pada waktu persekolahan, terutama apabila bersiar-siar dengan keluarga atau kawan-kawan, saya tidak pernah sekalipun memakai tudung labuh sekolah apatah lagi mahu mempunyai koleksi tudung labuh yang lain. Sungguh waktu itu, tudung labuh bagi saya adalah kolot. Ketinggalan zaman.
Bermula dari tingkatan satu hinggalah tingkatan tiga, tiada input yang saya dapati sama ada dalam waktu persekolahan atau selepas waktu persekolahan berkenaan kebaikan memakai tudung labuh. Tiada sesiapa pun yang menceritakan kepada kami mengapa para pelajar perempuan di sekolah ni diwajibkan pakai tudung labuh.
Yang ada hanya guru yang menyindir kami dengan kata-kata:
"Korang ni bila kaki dah langkah luar pagar sekolah, tudung labuh entah ke mana, baju ketat, seluar ketat, tudung kecik". Saya hanya mencebik. Apa salahnya tudung kecil!
Di mata saya tudung labuh hanya dipakai oleh ustazah. Tetapi, pemikiran itu berubah sedikit apabila guru Sains saya memakai tudung labuh juga. Tetapi, saya malas memikirkan tentang perihal tudung labuh ini.
"Yang penting aku dah tutup aurat sepenuhnya, ok lah".
Meskipun spotcheck tudung selalu dilakukan, kami tidak pernah serik. Undang-undang sekolah kami tidaklah seketat sekolah agama yang gah dan hebat yang lain. Tudung pelajar perempuan tidak boleh atas daripada paras siku.
Peraturan ini boleh diterima lagi kerana ada sekolah yang mewajibkan tudung pelajarnya mesti bawah pergelangan tangan. Tetapi, para pelajar yang "rimas" telah dididik oleh para senior supaya memendekkan tudung dalam erti kata yang lain, tudung yang labuh diubah suai agar ianya atas daripada siku.
Bagi kami, tudung sebegini nampak lebih kemas. Stok tudung labuh tetap ada untuk kecemasan yakni spotcheck. Hanya dipakai apabila tersebar khabar angin bahawa pagi itu akan dilakukan spotcheck.
Usai keputusan PMR diumumkan, saya mendapat tawaran ke sebuah MRSM di pantai timur. Alhamdulillah. Bolehlah keluar dari kongkongan sekolah agama ni. Mimpi saya ialah peraturan akan lebih longgar, pelajar boleh pakai apa-apa sahaja yang disukai, ber'couple' tidak akan jadi halangan, pendek kata moden.
Tetapi, impian itu bertukar 180 darjah. Kami diwajibkan solat Subuh, maghrib dan Isyak secara berjemaah, diwajibkan memakai stoking apabila keluar dari asrama, dilarang ber'couple', tidak boleh memakai scarf kepala yang menutup hanya separuh, track suit yang mencekik di bahagian bawah dilarang sama sekali, handsock diwajibkan.
Tambahan lagi, di dalam kelas pelajar perempuan mestilah duduk belakang pelajar lelaki menyerupai saf dalam solat, tudung yang jarang akan dihukum, tudung yang tidak melebihi bahu akan di denda, seakan-akan peraturan bertambah ketat berbanding sekolah agama saya dahulu.
Dan tentunya peraturan ini sebenarnya telah termaktub sebagai perintah Allah S.W.T sendiri. Cuma tidak diperincikan sahaja. Allah S.W.T menyuruh kita menutup seluruh anggota badan kecuali tangan dan muka. Maknanya, kaki juga aurat wahai diri. Peraturan ini dianggap mengongkong bagi pelajar yang jiwanya masih terbelenggu dengan dosa termasuk saya.
Tetapi, Alhamdulillah jauh di sudut hati saya, saya mengagumi peraturan ini. Seolah-olah Allah S.W.T  ingin menjaga kami para pelajar wanita daripada terjerumus dalam dosa. Allah S.W.T  ingin menjaga kami daripada pandangan jahat lelaki berhati kotor. Allah S.W.T  ingin mendidik kami ke arah lebih solehah.
Bermulanya detik saya mengenali Allah S.W.T lebih dekat. Majlis-majlis ilmu yang dihadiri mula membuka hati saya yang tepu dengan dosa. Selain itu, ada beberapa senior yang bertudung labuh yang membuatkan hati saya terdetik:
"Kenapa mereka memilih pakai tudung labuh sedangkan MRSM tidak mewajibkan pelajarnya bertudung labuh".
Kagum. Mereka satu dalam sejuta. Permata di celahan kaca.
Satu kejutan apabila melihat seorang sahabat yang baru dikenali ketika orientasi yang pada awalnya bertudung segi tiga secara drastik bertukar kepada tudung labuh. Lalu, saya bertanya mengapa. Beliau dahulu bersekolah agama, ceritanya lebih kurang seperti saya.
Katanya, hatinya terdetik untuk berubah apabila menghadiri satu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zolkolnain Singah, ustaz yang kami kagumi, berkenaan mayat seorang lelaki yang berusia 18 tahun di Timur Tengah yang digali semula selepas tiga jam untuk dibedah siasat. Meskipun hanya tiga jam berada dalam liang lahad, mayatnya hampir tidak dikenali.
Rambutnya beruban, mulutnya dipenuhi darah, riak wajahnya ketakutan seolah-olah baru melihat sesuatu yang dahsyat, matanya tersembul keluar, tulang rusuknya patah seolah-olah dipukul oleh sesuatu, badannya dipenuhi darah dan lebam kesan paluan! La haulawala quwwata illa billlah.
Ayahnya memaklumkan apabila ditanya bahawa anaknya itu sepanjang hidupnya tidak pernah solat, minum arak, dan berzina. Lalu terdetik dalam hati sahabat saya andai kata beliau mati, apakah sudah bersedia dengan amalan yang dilakukan?
Adakah auratnya sudah sempurna ditutup?
Perubahan yang dirasakan agak payah tetap dilaksanakan demi kematian yang bakal menjelma. Ya, sahabat sekeliling memandangnya dengan kehairanan. Tetapi, semangatnya utuh.
Di awal tahun tingkatan lima, kami diwajibkan menyertai Kem Jati Diri yang menuntut kami beraksi lasak. Memanjat, berkayak, berenang dalam lumpur, berlari, mengangkat beban, denda kami adalah push up.
Saya terfikir bagaimana sahabat saya yang bertudung labuh itu menghadapi semua ini. Bayangkan dalam lumpur, dengan tudung labuhnya, dia masih kental beraksi. Saya kagum.
Lalu, saya mula mencari sebab kenapa perlu bertudung labuh. Allah S.W.T telah mengilhamkan. Meskipun saya bertudung seperti kebanyakan orang lain, yakni tudung segi tiga yang bagi saya sudah menutup aurat, tetapi saya berasa rimas dan takut untuk berada di hadapan lelaki.
Tudung saya tidak menutup sepenuhnya bahagian belakang. Seolah-olah mereka nampak apa yang sepatutnya mereka tidak nampak. Iaitu tali baju dalam. Maaf kerana agak peribadi. Tetapi ya, saya langsung tidak selamat. Apatah lagi jika memakai baju yang jarang dan nipis.
Satu lagi sebab, meskipun tudung saya melepasi dada, tetapi andai kata angin bertiup kencang, tudung akan terselak lalu dengan mudahnya dada kelihatan. Lalu saya meneliti kakak-kakak yang bertudung labuh, apabila tudung mereka ditiup angin, ia masih tidak menampakkan dada mereka. Kerana tudung itu labuh lalu ia menutupi bahagian sisi dada mereka. Subhanallah.
Ditakdirkan kami sekelas ketika tingkatan lima. Waktu itu saya mula mengubah cara pemakaian tudung sedikit demi sedikit. Daripada tudung bawal ke arah tudung cotton yang tebal.
Kemudian beralih ke tudung bidang 60. Terdetik juga mahu memakai shawl. Pendek kata saya masih mencari identiti. Tetapi di sekolah, saya tetap bertudung segi tiga kecil. Masih belum berani untuk konsisten.
Sehinggalah suatu ketika, entah kenapa, saya tiba-tiba teringatkan tudung labuh saya yang dipakai sewaktu sekolah agama dahulu yang kini hanya terperuk dalam almari. Lalu, saya meminta ibu mengirimkan tudung tersebut kerana saya mahu menjahit tudung labuh saya sendiri.
Bermakna saya mahu memakai tudung labuh. Keinginan itu disuarakan kepada ibu dan kepada sahabat saya tadi. Mereka gembira. Saya mendapat semangat. Lalu proses menjahit siap cuma tinggal mahu memakai ataupun tidak.
Tiba waktu prep, saya meminta roommate menemani saya menuju ke kelas. Alhamdulillah, kami tidak bertembung dengan sesiapa pun waktu itu. Saya selamat tiba ke kelas. Pandangan pertama sahabat sekelas tidak akan dilupakan.
Rasa malu menyelubungi lalu saya menyendiri di satu sudut untuk seketika. Tetapi sahabat sekelas saya ibarat adik-beradik sendiri, mereka berpura-pura tidak perasan akan perubahan itu demi menjaga hati saya. Lalu, prep pun berjalan seperti biasa. Saya tidak rasa janggal lagi.
Bermula dari hari itu, beberapa sahabat juga telah mula bertudung labuh, tetapi kami masih golongan minoriti. Beberapa pelajar lelaki yang mungkin tidak tahu kerap mengusik dengan kata-kata yang lebih kurang, "kaya betul lah korang, banyak duit nak beli kain!", "boleh buat sapu lantai lah kalau macam ni", "wei, ustazah, ustazah!".
Ketika kami masih "diusik", Allah S.W.T telah menenangkan hati kami melalui tulisan Fatimah Syarha dalam kolum beliau menerusi majalah Solusi. Masih saya ingat tajuknya "Corat-coret Kisah Tudung Labuh".
Pengalaman Fatimah Syarha bertudung labuh menaikkan lagi semangat kami untuk istiqomah. Lalu, saya dan sahabat terus menfotostat kolum itu dan ditampal ke semua kelas. Sebagai usaha kami membela wanita yang bertudung labuh.
Kelegaan yang amat. Bermula dari hari itu, kami kurang menerima usikan-usikan mereka.
Terima kasih Allah S.W.T kerana memberi ilham kepada Fatimah Syarha untuk menulis tentang tudung labuh. Hebatkan Allah S.W.T!
Kuncinya hanya satu, jika kita berubah kerana manusia, perubahan itu tidak akan kekal. Jika berubah kerana Allah S.W.T, tidak kira banyaknya dugaan, kita akan tetap konsisten. Insya-Allah.
Semoga pengalaman yang biasa ini dapat membantu.

Usamah bin Zaid, panglima perang termuda kesayangan Rasulullah

ada tahun ketujuh sebelum hijrah, ketika itu Rasulullah saw. sedang dalam kesusahan kerana tindakan kaum Qurasy yang menyakiti beliau dan para sahabat. Kesulitan dan kesusahan berdakwah menyebabkan beliau sentiasa perlu bersabar.

Dalam suasana seperti itu, tiba-tiba terpercik cahaya memancar memberikan hiburan yang menggembirakan. Seorang pembawa berita memberitahu kepada beliau, “Ummu Aiman melahirkan seorang bayi laki-laki.

Wajah Rasulullah berseri-seri kerana gembira menyambut berita tersebut.
Siapakah bayi itu? Sehingga, kelahirannya dapat mengubati hati Rasulullah yang sedang duka, berubah menjadi gembira ? Itulah dia, Usamah bin Zaid.
Orang tua Usamah
Para sahabat tidak merasa aneh bila Rasulullah bersuka-cita dengan kelahiran bayi yang baru itu. Kerana, mereka mengetahui kedudukan kedua orang tuanya di sisi Rasulullah. 
Ibu bayi tersebut seorang wanita Habsyi yang diberkati, terkenal dengan panggilan “Ummu Aiman”. Sesungguhnya Ummu Aiman adalah bekas sahaya ibunda Rasulullah Aminah binti Wahab. 
Dialah yang mengasuh Rasulullah waktu kecil, selagi ibundanya masih hidup. Dia pulalah yang merawat sesudah ibunda wafat. Kerana itu, dalam kehidupan Rasulullah, beliau hampir tidak mengenal ibunda yang mulia, selain Ummu Aiman
Rasulullah menyayangi Ummu Aiman, sebagaimana layaknya sayangnya seroang anak kepada ibunya. Beliau sering berucap, “Ummu Aiman adalah ibuku satu-satunya sesudah ibunda yang mulia wafat, dan satu-satunya keluargaku yang masih ada.” Itulah ibu bayi yang beruntung ini.
Adapun bapanya adalah kesayangan ) Rasulullah, Zaid bin Haritsah. Rasulullah pernah mengangkat Zaid sebagai anak angkatnya sebelum ia memeluk Islam. 
Dia menjadi sahabat beliau dan tempat mempercayakan segala rahsia. Dia menjadi salah seorang anggota keluarga dalam rumah tangga beliau dan orang yang sangat dikasihi dalam Islam.
Kegembiraan Kaum Muslimin dan Sayangnya Rasulullah SAW kepada Usamah
Kaum muslimin turut bergembira dengan kelahiran Usamah bin Zaid, melebihi kegembiraan meraka atas kelahiran bayi-bayi lainnya. Hal itu boleh terjadi kerana tiap-tiap sesuatu yang disukai Rasulullah juga mereka sukai. 
Bila beliau bergembira mereka pun turut bergembira. Bayi yang sangat beruntung itu mereka panggil “Al-Hibb wa Ibnil Hibb” (kesayangan anak kesayangan).
Kaum muslimin tidak berlebih-lebihan memanggil Usamah yang masih bayi itu dengap panggilan tersebut. Kerana, Rasulullah memang sangat menyayangi Usamah sehingga dunia seluruhnya agaknya iri hati. 
Usamah sebaya dengan cucu Rasulullah, Hasan bin Fatimah az-Zahra. Hasan berkulit putih tampan bagaikan bunga yang mengagumkan. Dia sangat mirip dengan datuknya, Rasulullah saw. 
Usamah kulitnya hitam, hidungnya penyek, sangat mirip dengan ibunya wanita Habsyi. Namun, kasih sayang Rasulullah kepada keduanya tiada berbeza. 
Beliau sering mengambil Usamah, lalu meletakkan di salah satu pahanya. Kemudian, diambilnya pula Hasan, dan diletakkannya di paha yang satunya lagi. 
Kemudian, kedua anak itu dirangkul bersama-sama ke dadanya, lalu berkata, “Wahai Allah, saya menyayangi kedua anak ini, maka sayangi pulalah mereka!”
Begitu sayangnya Rasulullah kepada Usamah, pada suatu hari Usamah tersandung pintu sehingga keningnya luka dan berdarah. Rasulullah menyuruh Aisyah membersihkan darah dari luka Usamah, tetapi tidak mampu melakukannya. 
Kerana itu, beliau berdiri mendapatkan Usamah, lalu beliau hisap darah yang keluar dari lukanya dan ludahkan. Sesudah itu, beliau pujuk Usamah dengan kata-kata manis yang menyenangkan hingga hatinya merasa tenteram kembali.
Sebagaimana Rasulullah menyayangi Usamah waktu kecil, tatkala sudah besar beliau juga tetap menyayanginya. Hakim bin Hazam, seorang pemimpin Qurasy, pernah menghadiahkan pakaian mahal kepada Rasulullah. 
Hakam membeli pakaian itu di Yaman dengan harga lima puluh dinar emas dari Yazan, seorang pembesar Yaman. Rasulullah enggan menerima hadiah dari Hakam, sebab ketika itu dia masih musyrik. 
Lalu, pakaian itu dibeli oleh beliau dan hanya dipakainya sekali ketika hari Jumat. Pakaian itu kemudian diberikan kepada Usamah. Usamah sentiasa memakainya pagi dan petang di tengah-tengah para pemuda Muhajirin dan Ansar sebayanya.
Sejak Usamah meningkat remaja, sifat-sifat dan pekerti yang mulia sudah kelihatan pada dirinya, yang memang pantas menjadikannya sebagai kesayangan Rasulullah. 
Dia cerdik dan pintar, bijaksana dan pandai, takwa dan wara. Ia sentiasa menjauhkan diri dari perbuatan tercela.
Dikisahkan bahawasanya pada suatu hari, terjadilah pencurian dimana pelakunya adalah seorang wanita ternama dari bangsa Quraisy, maka kaum Quraisy pun terlena, apa yang semestinya diputuskan terhadap wanita tersebut sedangkan hukuman untuk pencuri adalah potong tangan.
kemudian mereka ingin bertanyakan hal ini kepada Rasulullah SAW namun ketidak beranian yang mereka miliki membuat mereka mundur langkah dan maju langkah. Hingga terbitlah dihati salah seorang diantara mereka bahawasanya orang yang paling berani untuk menanyakan hal ini adalah Usama, kerana dia adalah orang yang paling dekat dan paling dikasihi oleh Rasulullah saw.

Dengan segera mereka menemuinya dan memintanya agar meminta keringanan kepada Rasulullah saw terhadap wanita terseut. ketika Usama menceritakan hal ini kepada Rasulullah saw, maka Rasulullah bersabda:
Janganlah engkau meminta keringanan dalam masalah hukum agama, sesungguhnya bangsa-bangsa terdahulu binasa kerana hal itu, bila diantara mereka orang bangsawan mencuri maka mereka mengampuninya dan bila orang miskin yang mencuri maka ditegakkan hukum sebaik-baiknya dan sesungguhnya bila Fatimah Binti Muhammad mencuri niscaya saya akan memotong tangannya.
Usamah Dalam Perang Uhud
Waktu terjadi Perang Uhud, Usamah bin Zaid datang ke hadapan Rasulullah saw. beserta serombongan anak-anak sebayanya, putera-putera para sahabat. Mereka ingin turut jihad fi sabilillah. 
Sebahagian mereka diterima Rasulullah dan sebahagian lagi ditolak kerana usianya masih sangat muda. Usamah bin Zaid teramasuk kelompok anak-anak yang tidak diterima. 
Kerana itu, Usama pulang sambil menangis. Dia sangat sedih kerana tidak diperkenankan turut berperang di bawah bendera Rasulullah.
Usamah Dalam Perang Khandaq
Dalam Perang Khandaq, Usamah bin Zaid datang pula bersama kawan-kawan remaja, putera para sahabat. Usamah berdiri tegap di hadapan Rasulullah supaya kelihatan lebih tinggi, agar beliau memperkenankannya turut berperang. 
Rasulullah kasihan melihat Usamah yang keras hati ingin turut berperang. Kerana itu, beliau mengizinkannya, Usamah pergi berperang menyandang pedang, jihad fi sabilillah. Ketika itu dia baru berusia lima belas tahun.
Usamah Dalam Perang Hunain
Ketika terjadi Perang Hunain, tentera muslimin terdesak sehingga barisannya menjadi kacau balau. Tetapi, Usamah bin Zaid tetap bertahan bersama-sama denga ‘Abbas (bapa saudara Rasulullah), Sufyan bin Harits (anak saudara Usamah), dan enam orang lainnya dari para sahabat yang mulia. 
Dengah kelompok kecil ini, Rasulullah berhasil mengembalikan kekalahan para sahabatnya menjadi kemenangan. Beliau berjaya menyelamatkan kaum muslimin yang lari dari dikejar kaum musyrikin.
 
Usamah Dalam Perang Mu’tah
Dalam Perang Mu’tah, Usamah turut berperang di bawah komando ayahnya, Zaid bin Haritsah. Ketika itu umurnya kira-kira lapan belas tahun. Usamah menyaksikan dengan mata kepala sendiri tatkala ayahnya syahid di medan tempur sebagai syuhada. 
Tetapi, Usamah tidak takut dan tidak pula mundur. Bahkan, dia terus bertempur dengan gigih di bawah komando Ja’far bin Abi Thalib hingga Ja’far syahid di hadapan matanya pula.
Usamah menyerbu di bawah komando Abdullah bin Rawahah hingga pahlawan ini gugur pula menyusul kedua sahabatnya yang telah syahid. Kemudian, komando dipegang oleh Khalid bin Walid. 
Usamah bertempur di bawah komando Khalid. Dengan jumlah tentara yang tinggal sedikit, kaum muslimin akhirnya melepaskan diri dari cengkeraman tentara Rum.
Selesai peperangan, Usamah kembali ke Madinah dengan menyerahkan kematian ayahnya kepada Allah SWT. Jasad ayahnya ditinggalkan di bumi Syam (Syria) dengan mengenang segala kebaikan almarhum.
Pengangkatan Usamah dalam Perang Melawan Rom
Ketika Islam berjaya pada masa Rasulullah di Arab. Dengan suka rela, setiap insan yang mendengar seruan kalimat laa ilaha illallalah Muhammadur Rasulullah berbondong-bondong menyambutnya. 
Wajah-wajah kusut yang semula diselimuti kabut kemusyrikan menjadi cerah disinari pancaran cahaya Ilahi. Tidak ketinggalan juga Farwah bin Umar Al-Judzami, ketua daerah Ma’an dan sekitarnya yang diangkat Kaisar Rom. 
Mengetahui hal itu, para penguasa Rom marah dan mereka segera menangkap Farwah dan menyumbatnya ke penjara. Seterusnya, ia dibunuh dan kepalanya dipancung, lalu diletakkan di sebuah mata air bernama Arfa’ di Palestin. Mayatnya disalib untuk menakut-nakuti para penduduk agar tidak mengikuti jejaknya.
Mendengar desas-desus yang seolah menyindir kemampuan Usamah itu, Umar bin Khatthab segera menemui Rasulullah. Beliau sangat marah, lalu bergegas mengambil serbannya dan keluar menemui para sahabat yang tengah berkumpul di Masjid Nabawi. Setelah memuji Allah dan mengucapkan syukur, beliau bersabda,
“Wahai sekalian manusia, saya mendengar pembicaraan mengenai pengangkatan Usamah, demi Allah, seandainya kalian menyangsikan kepemimpinannya, berarti kalian menyangsikan juga kepemimpinan ayahnya, Zaid bin Haritsah. Demi Allah, Zaid sangat pantas memegang kepemimpinan, begitu juga dengan puteranya, Usamah. Kalau ayahnya sangat saya kasihi, maka puteranya pun demikian. Mereka adalah orang yang baik. Hendaklah kalian memandang baik mereka berdua. Mereka juga adalah sebaik-baik manusia di antara kalian.”
Pada tahun kesebelas hijriah Rasulullah menurunkan perintah agar menyiapkan bala tentara untuk memerangi pasukan Rum. Dalam pasukan itu terdapat antara lain Abu Bakar Shidiq, Umar bin Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Abu Ubaidah bin Jarrah, dan lain-lain sahabat yang tua-tua.
Rasulullah mengangkat Usamah bin Zaid yang muda remaja menjadi panglima seluruh pasukan yang akan diberangkatkan. Ketika itu usia Usamah belum melebihi dua puluh tahun. Beliau memerintahkan Usamah supaya berhenti di Balqa’ dan Qal’atut Daarum dekat Gazzah, termasuk wilayah kekuasaan Rum.
Setelah itu, beliau turun dari mimbar dan masuk ke rumahnya. Kaum muslimin pun beradatangan hendak berangkat bersama pasukan Usamah.
Mereka menemui Rasulullah yang saat itu dalam keadaan sakit. Diantara mereka terdapat Ummu Aiman, ibu Usamah. “Wahai Rasulullah bukankah lebih baik, jika engkau biarkan Usamah menunggu sebentar di perkemahannya sampai engkau merasa sihat. Jika dipaksa berangkat sekarang, tentu dia tidak akan merasa tenang dalam perjalanannya,” ujarnya. 
Namun Rasulullah Shalallahu Alaihi wa Sallam menjawab, ‘Biarkan Usamah berangkat sekarang juga.”
Kata Usamah, “Tatkala sakit Rasulullah bertambah berat, saya datang menghadap beliau diikuti orang banyak, setelah saya masuk, saya dapati beliau sedang diam tidak berkata-kata kerana kuatnya sakit beliau. Tiba-tiba beliau mengangkat tangan dan meletakkannya ke tubuh saya. Saya tahu beliau memanggilku.”
Ketika Usamah mencium wajahnya, beliau tidak mengatakan apa-apa selain mengangkat kedua belah tanganya ke langit serta mengusap kepala Usamah, mendoakannya.
Sikap Khalifah Abu Bakar bila ada cadangan penggantian Usamah
Usamah segera kembali ke pasukannya yang masih menunggu. Setelah semuanya lengkap, mereka mulai bergerak. Belum jauh pasukan itu meninggalkan Juraf, tempat markas perkemahan, datanglah utusan dari Ummu Aiman memberitahukan bahwa Rasulullah Shalallahu Alaihi wa Sallam telah wafat. 
Usamah segera memberhentikan pasukannya. Bersama Umar bin Khatthab dan Abu Ubaidah bin Jarraf, ia segera menuju rumah Rasulullah. Sementara itu, tentera kaum muslimin yang bermarkas di Juraf membatalkan pemergian dan kembali juga ke madinah.
Abu Bakar Shidiq terpilih dan dilantik menjadi khalifah. Khalifah Abu Bakar meneruskan pengiriman tentera di bawah pimpinan Usamah bin Zaid, sesuai dengan rancangan yang telah digariskan Rasulullah. 
Tetapi, sekelompok kaum Anshar menghendaki supaya menangguhkan keberangkatan pasukan. Mereka meminta Umar bin Khattab membicarakannya dengan Khalifah Abu Bakar. 
Abu Bakar segera memanggil Usamah untuk kembali memimpin pasukan, sebagaimana yang diperintahkan Rasulullah sebelumnya. Tindakan Khalifah tentu sahaja mendapat reaksi dari beberapa sahabat. Tambahan pada masa  itu beberapa kelompok kaum muslimin murtad dari agama Islam. Kota Madinah memerlukan penjagaan ketat.
Kata mereka, “Jika khalifah tetap berkeras hendak meneruskan pengiriman pasukan sebagaimana dikehendakinya, kami mengusulkan panglima pasukan (Usamah) yang masih muda remaja ditukar dengan tokoh yang lebih tua dan berpengalaman.”
Mendengar ucapan Umar yang menyampaikan usul dari kaum Ansar itu, Abu Bakar bangun menghampiri Umar lalu berkata dengan marah, “Hai putera Khattab! Rasulullah telah mengangkat Usamah. Engkau tahu itu. Kini engkau menyuruhku membatalkan keputusan Rasululllah. Demi Allah, tidak ada cara begitu!”
Abu Bakar juga berkata, “Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, seandainya aku tahu akan dimakan binatang buas sekalipun, niscaya aku akan tetap mengutus pasukan ini ketujuannya. Aku yakin, mereka akan kembali dengan selamat. Bukankah Rasulullah Shalallahu Alaihi wa Sallam yang diberikan wahyu dari langit telah bersabda, “Berangkatkan segera pasukan Usamah!’
Tatkala Umar kembali kepada orang ramai, mereka menanyakan bagaimana hasil pembicaraannya dengan khalifah tentang usulnya. Kata Umar, “Setelah saya sampaikan usul kalian kepada Khalifah, beliau menolak dan malahan saya kena marah. Saya dikatakan berani membatalkan keputusan Rasulullah.
Maka, pasukan tentara muslimin berangkat di bawah pimpinan panglima yang masih muda remaja, Usamah bin Zaid. Khalifah Abu Bakar turut menghantarkannya berjalan kaki, sedangkan Usamah menunggang kendaraan.
Kata Usamah, “Wahai Khalifah Rasulullah! Silakan anda naik kendaraan. Biarlah saya turun dan berjalan kaki. “

Jawab Abu Bakar, “Demi Allah! jangan turun! Demi Allah! saya tidak hendak naik kendaraan! Biarlah kaki saya kotor, sementara menghantar engkau berjuang fisabilillah! Saya titipkan engkau, agama engkau, kesetiaan engkau, dan kesudahan perjuangan engkau kepada Allah. Saya berwasiat kepada engkau, laksanakan sebaik-baiknya segala perintah Rasulullah kepadamu!”
Kemudian dibalas oleh Usamah dengan jawaban yang penuh makna, “Aku menitipkan kepada Allah agamamu, amanatmu juga penghujung amalmu dan aku berwasiat kepadamu untuk melaksanakan apa yang diperintahkan Rasulullah.”
Kemudian, Khalifah Abu Bakar lebih menghampiri kepada Usamah. Katanya, “Jika engkau setuju biarlah Umar tinggal bersama saya. Izinkanlah dia tinggal untuk membantu saya. Usamah kemudian mengizinkannya.
Kemenangan Usamah 
Usamah dan pasukannya terus bergerak dengan cepat meninggalkan Madinah. Setelah melewati beberapa daerah yang masih tetap memeluk Islam, akhirnya mereka tiba di Wadilqura. 
Usamah mengutus seorang perisik dari suku Hani Adzrah bernama Huraits. Ia maju meninggalkan pasukan hingga tiba di Ubna, tempat yang mereka tuju. 
Setelah berjaya mendapatkan berita tentang keadaan daerah itu, dengan cepat ia kembali menemui Usamah. Huraits menyampaikan informasi bahawa penduduk Ubna belum mengetahui kedatangan mereka dan tidak bersiap-sedia. 
Ia mencadangkan agar pasukan sepantasnya bergerak untuk melancarkan serangan sebelum mereka mempersiapkan diri. Usamah setuju. Dengan cepat mereka bergerak. 
Seperti yang dirancangkan, pasukan Usamah berjaya mengalahkan lawannya. Hanya selama empat puluh hari, kemudian mereka kembali ke Madinah dengan sejumlah harta rampasan perang yang besar, dan tanpa korban seorang pun.
Usamah berhasil kembali dari medan perang dengan kemenangan gemilang. Mereka membawa harta rampasan yang banyak, melebihi perkiraan yang diduga orang. 
Sehingga, orang mengatakan, “Belum pernah terjadi suatu pasukan bertempur kembali dari medan tempur dengan selamat dan utuh dan berhasil membawa harta rampasan sebanyak yang dibawa pasukan Usamah bin Zaid.”
Kecintaan Kaum Muslimin Kepada Usamah
Usamah bin Zaid sepanjang hidupnya berada di tempat terhormat dan dicintai kaum muslimin. Kerana, dia sentiasa mengikuti sunah Rasulullah dengan sempurna dan memuliakan peribadi Rasul.
Khalifah Umar bin Khattab pernah diprotes oleh puteranya, Abdullah bin Umar, kerana melebihkan pemberian kepada Usamah dari  Abdullah sebagai putera Khalifah. 
Kata Abdullah bin Umar, “Wahai Bapa! Bapa memberi untuk Usamah empat ribu dinar, sedangkan kepada saya hanya tiga ribu dinar. Padahal, jasa bapanya agaknya tidak akan lebih banyak daripada jasa Bapa sendiri. Begitu pula peribadi Usamah, agaknya tidak ada keistimewaannya daripada saya. 
Jawab Khalifah Umar, “Wah?! jauh sekali?! Bapanya lebih disayangi Rasulullah daripada bapa kamu. Dan, peribadi Usamah lebih disayangi Rasulullah daripada dirimu.” 
Mendengar keterangan ayahnya, Abdullah bin Umar rela pemberian untuk Usamah lebih banyak daripada pemberian yang diterimanya.
Apabila bertemu dengan Usamah, Umar menyapa dengan ucapan, “Marhaban bi amiri!” (Selamat, wahai komandanku?!). Jika ada orang yang hairan dengan sapaan tersebut, Umar menjelaskan, “Rasulullah pernah mengangkat Usamah menjadi komandan saya.”
Setelah menjalani hidupnya bersama para sahabat, Usamah bin Zaid wafat tahun 53 H / 673 M pada masa pemerintahan khalifah Mu’awiyah.
Itulah nukilan dari kisah seorang pemuda yang berani dalam membela agama Allah tanpa mempedulikan sesuatu yang mengancam jiwanya, dari sinilah kita sebagai pemuda penerus bangsa dan agama alangkah patutlah meniru  seorang sahabat yang berani seperti Usamah bin Zaid.
Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada para sahabat yang memiliki jiwa dan keperibadian agung seperti mereka ini. Wallahu a’lam.

Saturday, January 21, 2012

Seorang Daiekah Aku?

Diriku ini tersangat tidak sempurna,
Rasanya baru tersekian diriku terasa,
Kerana tingkah hambamu disana,
Seorang daie kah aku?
Mencari pahala mentarbiyah manusia.
Begitu mudah hati ni merasa,
Tersentuh tatkala kemahuan diri tidak dituruti sama,
Bukankah menjadi seorang da'ie itu perlu bermujahadah,
Itsar sebagai senjata utama kekuatan ukhuwah.
Namun diriku bukan begitu,
Masih ada karat jahiliyah yang bersisa dalam jiwa,
Belum! Belum cukup hebat diriku,
Hati ku belum mampu ku sucikan seperti sesucinya hati kekasihMu.
Sukar sekali menerima ketentuanNya terhadapku,
Mungkin belum cukup tarbiyah pada diri,
Sehingga perasaan cinta dunia masih menebal dalam diri,
Di manakah silapnya pentarbiyahanku?

Memang aku bukan rijal hebat atau lelaki luar biasa,
Memacu kuda dimedan dakwahNya,
Apalagi untuk digelarkan mujahid,
Yang amat jauh untuk aku mengapainya!
Akan dengan secebis ilmu,
Ku ingin berkongsi akan indahnya keagunganMu.
Mengenang murabbi kita mendidik kita,
Dengan kesungguhan dan kebijaksanaan mereka,
Aku bangga, biar syukur sahaja datang bertamu,
Dan kekuatan muncul untuk meneruskan pentarbiyahanku,
Disisi Allah aku pasrah akan segalanya,
Dan syurga itu adalah ganjaran RahmatNya buat pejuangNya.

Perasaan Yang Mengancam!!

Marah?
Ada apa dengan marah?
Adakah ia merupakan satu perasaan?
Marah adalah perasaan yang paling dibenci oleh Allah swt.Perasaan marah ini juga dibenci oleh semua orang.Jikalau anda seorang yang pemarah, perbanyaklah berzikir mengingati Allah swt.Perbanyakkan muhasabah diri.
 "Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam".
Lihat diri sendiri dan bertanya: adakah anda seorang yang sempurna adni tidak melakukan kesilapan dan kesalahan dalam kehidupan seharian?Kita semua adalah manusia yang begitu banyak dosa lagi tidak sempurna.

Oleh itu, Jikalau kita ingin memarahi seseorang, fikir dahulu sebelum melakukannya.Jika kemarahan itu berterusan,elakanlah ia dengan mengambil wuduk,membaca Al-quran, beristighfar, berzikir dan berdoa supaya hati kita sentiasa tenang.
Abu Dzar al-Ghifari berkata: Rasulullah pernah berkata kepada kami:
"Apabila marah seorang kamu yang sedang berdiri maka hendaklah ia duduk supaya hilang kemarahannya. Kalau masih belum juga hilang maka hendaklah ia berbaring".
Always remember..
Always be positive thinking and positive atitude insyAllah you will be the greatest of ummah.. InsyAllah :)

Pengorbanan Seorang Ibu

Pada zaman dahulu, di sebuah perkampungan yang kecil, tinggallah seorang perempuan bernama Solehah dan anaknya, Amru yang baru berusia 5 tahun. Suaminya telah meninggal dunia ketika di medan perang. Maka tinggallah Solehah dan anaknya sehelai sepinggan meneruskan kehidupan di sebuah rumah kecil peninggalan suaminya.
Kerja solehah sebagai penenun kain menjadikan hidup mereka serba sedikit senang. Dia dan anaknya masih boleh mengisi perut dan menjalani kehidupan walaupun tidak semewah orang lain. Sekurang-kurang mereka tidak perlu mengemis untuk mendapatkan sesuap nasi.
Jika ramai orang yang mengupah solehah untuk menenun kain, maka berisi lah perut mereka hari itu, tetapi jika tiada pelanggan, maka mereka terpaksa makan makanan simpanan sebelum ini yang sedikit untuk mengalas perut. Begitulah kerja Solehah yang tidak menentu setiap hari.
Pada suatu hari, tidak ada seorang pun yang datang ke rumah Solehah untuk mengupahnya menenun kain. Nasib baiklah, dia telah menyimpan sedikit roti untuk anaknya.
"Amru sayang, Umi minta maaf sebab hari ini hanya ada sedikit roti untuk amru makan, tapi Umi janji, esok kita makan nasi ya," Solehah berkata kepada sambil menghulurkan beberapa keping roti untuk Amru.

"Umi, kalau Amru makan roti ni, Umi nak makan apa?" Amru menyoal ibunya yang masih tidak berhenti membelai rambutnya itu.
"Umi tak penting pun Amru. Amru makan kenyang-kenyang ya. Umi tengok Amru kenyang pun Umi rasa dah kenyang. Amru jangan risaukan Umi," Solehah menjawab soalan Amru yang kelihatan masih setahun jagung itu. Bagi Solehah, dia tidak kisah untuk berlapar. Melihat anaknya ceria dan tersenyum setiap hari, itu sudah cukup membuat hatinya gembira.
"Umi, Amru janji, bila Amru besar nanti, Amru nak bekerja rajin-rajin. Amru nak bagi Umi makan enak-enak," kata Amru pandai menjaga hati ibunya. Kemudian, dia menyuap sedikit roti ke mulut ibunya itu. Solehah hanya tersenyum dengan gelagat anak kecilnya itu.
Sejak kecil, Amru dididik dan dijaga oleh Solehah sepenuh kasih sayang. Dia diberi didikan agama yang sempurna dan diasuh bagai menatang minyak yang penuh, seekor nyamuk pun tidak dibiarkan hinggap di badan Amru. Baginya, Amru merupakan satu-satunya harta peninggalannya.
Setelah beberapa tahun berlalu, Amru telah membesar menjadi seorang pemuda yang segak dan tampan. Solehah pula semakin lama, semakin tua tetapi keringatnya terus jatuh ke bumi mencari nafkah buat keluarganya.
Perubahan mendadak ditunjukkan pada sikap Amru. Dia sering keluar untuk bersukaria bersama kawan-kawannya. Dia juga semakin degil dan selalu melawan cakap ibunya. Walaupun disuruh oleh ibunya untuk mencari kerja, tetapi nasihat ibunya yang tua itu langsung tidak diendahkan. Malah Amru sering menengking dan berkasar sehingga membuat ibunya itu terguris.
Solehah tidak tahu mengapa Amru bersikap sedemikian terhadapnya. Dia tidak pernah mengajar anaknya untuk berkasar. Setiap hari, dia berdoa agar Tuhan sentiasa melindungi Amru daripada sebarang perkara yang tidak baik.
Amru pula, langsung tidak berubah, selalu keluar berfoya-foya dengan kawan-kawannya. Dia akan ke pekan untuk menghabiskan wang yang diberi oleh ibunya untuk melakukan perkara yang tidak senonoh. Duit itu banyak dihabiskannya untuk berjudi. Disebabkan berjudi itu juga, dia selalu dipukul kerana tidak dapat membayar wang yang sepatutnya.
Begitulah rutin harian Amru. Dia tidak serik untuk berjudi walaupun tahu akibatnya. Apabila balik ke rumah, badan Amru akan cedera dan luka di sana-sini akibat dipukul. Solehah jugalah orang yang akan merawatnya. Dia menyapu ubat di badan Amru sambil menitiskan air mata melihat anaknya itu. Semahunya, dia tidak ingin perkara itu berlaku pada anak kesayangannya itu.
"Sakitkah anakku? Umi sapu perlahan-lahan ya.Kamu sudah besar Amru. Umi, sudah beberapa kali pesan jangan berkawan dengan orang yang tidak elok akhlaknya. Kamu juga yang susah nanti," ujar solehah memberi nasihat kepada anaknya itu. Begitulah kata-kata yang sama keluar dari mulut solehah tiap kali merawat Amru. Amru hanya membisu seribu bahasa. Kesakitan yang dialami menutup mulutnya.
Namun Amru tetap tidak berubah. Perangainya masih sama seperti dahulu. Kerap kali keluar ke pekan bersama kawan-kawanya untuk berjudi. Tiap kali dia berjudi tiap kali itu jugalah dia kalah. Nasib langsung tidak menyebelahinya. Dan tiap kali dia kalah tiap kali itu jugalah badannya akan menerima padahnya. Begitulah nasib Amru setiap hari. Nasib baiklah dia mempunyai seorang ibu penyayang yang masih mengambil berat akannya.
Setiap hari seperti biasa Amru akan meminta wang daripada ibunya sebelum keluar.
"Umi!! Amru nak wang lagi!! Cepatlah Umi, kawan-kawan amru tunggu Amru tu!!" Tengking Amru kepada ibunya yang telah tua itu.
"Semua wang Umi sudah habis Amru. Wang semalam ialah wang terakhir dari simpanan Umi. Umi sudah tiada wang untuk diberi kepada Amru," jawab Solehah pilu. Semua wangnya telah diberi kepada Amru tanpa sempat pun dia membeli sedikit makanan.
"Umi tipu!!! Umi masih ada wang tapi Umi tidak mahu beri pada Amru kan??!!" Tengking Amru.
Jawapan ibunya itu membuatkannya marah. Kemudian dia terus menggeledah seluruh isi rumah untuk mencari wang. Namun usahanya itu tidak berhasil kerana sekeping wang pun tidak berjaya dijumpai.
"Perempuan tua tak guna!!" Jerit Amru. Dia kemudian menolak ibunya sehingga rebah dan keluar dari rumah dengan perasan yang hampa. Amru benar-benar tertekan kerana jika tiada wang maka tiadalah keseronokan dalam hidupnya.
Di pertengahan jalan, Amru diberhentikan oleh seorang pemuda yang langsung tidak dikenalinya. Pemuda itu kelihatan kaya dengan pakaiannya yang mahal. Amru tidak sedar bahawa pemuda itu sebenarnya adalah syaitan yang menyamar sebagai manusia. Syaitan itu hanya ingin memerangkap Amru. Bagi syaitan itu, Amru adalah orang yang sangat mudah diperdaya dengan harta dan wang.
"Apa sebenarnya yang kamu mahu?" tanya Amru kepada pemuda segak yang berdiri di hadapannya.
"Aku hanya mahu menolong kamu. Bukankah kamu kesempitan wang sekarang? Aku mahu memberi kamu wang yang banyak," jawab syaitan itu memperdaya Amru.
"Memberi aku wang yang banyak?!" Amru terperanjat dan gembira.
"Ya. Wang yang banyak. Tapi dengan satu syarat," ujar syaitan bijak bermain dengan kata.
"Apakah syarat tersebut? Cakaplah apa yang Tuan mahu? Segera juga aku penuhinya."
"Syaratnya, bawa hati ibu kamu kepada aku dan wang yang banyak akan menjadi milik kamu."
Tanpa banyak berfikir, Amru terus berlari ke rumahnya. Tanpa belas kasihan Amru membunuh dan mengambil hati ibunya; ibu yang selama ini menjaga dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang, ibu yang sanggup berlapar demi anaknya, ibu yang sanggup bekerja demi mencari sesuap nasi untuk anaknya, ibu yang selalu merawatnya semasa sakit. Malah, ketika Amru pulang, ibunya sedang menyiapkan masakan kegemaran Amru tanpa terasa sedikit pun akan perbuatan Amru sebelum ini.
Amru sangat gembira kerana dengan hati ibunya itu, dia akan mendapat wang yang banyak. Dia terus berlari untuk mendapatkan pemuda yang berjanji dengannya tadi sambil membawa hati ibunya itu. Semasa berlari keseronokan membayangkan dia akan mendapat wang yang banyak, tanpa disedari Amru tersepak batu lalu terjelopok ke tanah.
"Sakitkah anakku?" dengan izin Allah, hati itu bercakap apabila melihat anak kesayangannya sakit akibat jatuh tersungkur. Dengan penuh kasih sayang hati itu terus bertanya. Soalan tersebut ditanya berulang-ulang kali sehingga membuatkan Amru terperanjat.
Tanpa mempedulikan kata-kata hati itu, Amru terus mengambil dan membawanya kepada pemuda yang menyamar tadi. Syaitan itu berasa amat gembira sekali kerana misinya berjaya. Sebagai balasan Amru diberikan wang yang banyak sebagaimana yang telah dijanjikan.
Dengan wang yang banyak itu, Amru meneruskan kehidupannya dengan berjudi. Akhirnya sekelip mata sahaja wang banyak yang diberikan oleh syaitan tadi habis digunakan. Seperti biasa Amru akan dipukul. Apabila balik ke rumah, tiada lagi kedengaran suara bimbangan ibunya.
Tiada lagi ibunya untuk merawat segala luka-luka di badannya. Tiada lagi ibunya untuk memasak makanan kegemarannya. Tiada lagi ibunya untuk membelai-belai menidurkannya. Akibat sikap Amru yang suka berjudi, rumahnya dijual. Akhirnya Amru menjadi pengemis dan mati di tepi jalan akibat kelaparan.
Begitulah kisah menyayat hati seorang ibu dan anaknya. Kisah kasih sayang ibu kepada anaknya yang tidak berbelah bagi. Kisah pengorbanan seorang ibu. Betapa sayangnya seorang ibu kepada anaknya itu sehingga hati masih mampu berkata-kata, risau melihat anaknya sakit.
Kita pula bagaimana? Sayangkah kita pada ibu kita? Pernahkah kita membuat ibu kita menangis? Pernahkah kita bayangkan kanak-kanak yatim piatu yang tidak mempunyai ibu? Bagaimanakah nasib mereka? Kita ni sememangnya bertuah kerana mempunyai ibu. Jadi hargailah ibu anda sebaik-baiknya.

Friday, January 20, 2012

Indahnya Cinta Selepas Pernikahan

Setelah sekian lama hidup dibelenggu rasa cinta nafsu, hidup sebagai remaja yang tidak ada hala tuju matlamat kehidupan. Saya disedarkan oleh Allah S.W.T dengan hidayah dan limpahan kasih-Nya.
Syukur kehadrat Allah Taala yang selalu mencintai kita dan mengasihi kita. Indahnya juga hidup yang penuh dengan syariat dan landasan hukum dan garisan keimanan. Entah bagaimana lagaknya hidup ini jika terus dilimpahi nafsu yang tidak berkesudahan.
Lumrah kehidupan ingin berkasih sayang. Lumrah sebagai remaja ingin ada pendamping. Tanyalah kepada siapapun, remaja utamanya, apa erti cinta?
Bagi mereka, cinta itu indah. Cinta itu lazat. Pelbagai tafsiran tentang cinta jika ditanya kepada para remaja di luar sana. Begitu da'if pendapat mereka tentang cinta. Saya, salah seorang daripada pencinta yang suatu ketika dahulu hanya memikirkan tentang keseronokan, kesunyian, hiburan dan teman-teman. Tidak ada cinta bersandarkan agama dalam jiwa. Jauh sekali mengingati dengan Dia yang memberikan rasa cinta itu.
Bukan mudah menerima tamparan dalam hidup bagi remaja yang putus cinta. Rasa mahu bunuh diri, menjauhkan diri dari kelompok manusia lain, sehingga terfikir mahu membunuh seseorang!
Inilah penyakit nafsu dan derita hati. Hati dan nafsu tidak bersandarkan akal. Allah S.W.T telah memberikan kita akal, iaitu salah satu kelebihan yang tidak ada pada hidupan lain. Sebagai manusia, kita sepatutnya menggunakan akal 100% dalam kehidupan. Allah S.W.T berfirman :
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal." [Surah Ali 'Imran 3 : 190]
Saya sudah bernikah dengan seorang lelaki yang tidak saya kenali. Setelah putus cinta dengan lelaki yang dahulunya amat saya cintai (cinta yang tidak berlandaskan agama Allah). Saya membuat keputusan untuk bernikah kerana akal. Setelah berfikir dan menganalisis segala dosa dan kesalahan yang pernah saya lakukan, saya menunaikan umrah pada usia yang muda (25 tahun) dan pada waktu itu, tidak ada lain melainkan saya mencari reda Allah S.W.T dalam cinta yang terlalu saya inginkan. Setelah menunaikan solat hajat beberapa malam berturut-turut dan saya membaca Surah Yaasin beberapa malam berturut-turut (atas nasihat seorang ustaz di kampung halaman, imam masjid yang juga sahabat baik ayahanda tercinta).
Hakikatnya, segala yang kita inginkan dalam dunia ciptaan-Nya ini perlu kita mohon daripada-Nya. Tidak ada kuasa lain yang Maha Memberi kecuali Dia. Saya berdoa bersungguh-sungguh, memohon sebuah cinta yang suci dan tidak berlandaskan nafsu. Kuasa Allah Taala tidak siapa yang tahu.
Saya berkenalan dengan seorang lelaki yang sedang menyambung pelajaran di Australia. Setelah tiga hari berbalas mesej, mesej yang hanya bertanya khabar dan bertanya tentang kerja-kerja dan pelajaran, timbul persoalan tentang perkahwinan. Jawab saya, hanya bonda dan ayahanda bisa menjawab tentang pernikahan. Lalu, dihantar kedua ibu dan bapanya merisik pada Jun 2010. Maka termetrailah ikatan janji pernikahan Disember 2010.
Sekelip mata, zat Yang Esa sangat saya kagumi. Tidak pernah terlintas dalam hati ingin bernikah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Dalam hati berniat, biarlah jalinan cinta terukir setelah ijab dan qabul diucap dan dibalas.
Tidak terkata betapa cerianya saya ketika hari berlangsungnya pernikahan. Tidak sedikitpun hati berdetak ragu dengan cinta dan kasih pemberian Allah Taala ini. Hakikatnya, cinta suci dan halal ini lebih indah untuk kita kecapi.
Saya sebagai insan yang lemah, pernah melakukan dosa dan diri masih dihinggapi noda silam. Saya ingin menyeru kepada semua remaja yang masih belum ada pasangan halal, ketahuilah, cinta sebelum bernikah, yang melanggar prinsip Allah S.W.T, merupakan jalan hidup yang sia-sia.
Tidak ada konsep cinta kekasih dalam Islam. Jika sahabat-sahabat sekalian seorang yang sangat beriman, dan dapat menjaga batas dalam pergaulan cinta lelaki dan perempuan, tahniah saya ucapkan! Jangan sekali-kali mendekati zina! Biarpun zina hati!
Jika tidak mampu mengikut sunnah dan ajaran Islam dalam memupuk cinta, berhentilah daripada menjalin cinta yang membawa dosa dan noda. Katahuilah, jodoh itu ada dalam tangan Allah S.W.T. Berdoalah, kerana doa itu senjata terakhir untuk mengubah takdir dan haluan hidup kecuali satu, iaitu mati.
Percayalah, cinta suci yang sepatutnya kita agungkan selain cinta Allah dan Rasul adalah cinta suami. Ia merupakan cinta agung buat semua wanita dan gadis. Tidak ada dosa, tidak ada haram dalam cinta itu selagi menjadi isteri yang solehah.
Sentuhlah tangannya, Pahala. Ciumlah pipinya, Pahala. Layani kehendaknya, Pahala. Ucapkan kata rindu dan kasih diiringi senyuman mesra, Pahala. Berlembut suara bermanja, Pahala!  Apa lagi yang ingin kita cari dalam dunia yang semakin uzur ini, wahai sahabatku, para solehah di luar sana? Bukankah pahala yang kita kejar? Bukankah Syurga matlamat kita?
Tidak ada lain melainkan menjadi isteri yang sangat bahagia, itu idaman setiap insan. Bagi teruna soleh, gadis impian yang bakal menjadi suri hidup mereka, menjadi bidadari dalam setiap hembusan nafas zikrullah, subhanallah!
Carilah cinta suci dan cinta agung. Jauhilah cinta nafsu, sesungguhnya cinta nafsu itu melahirkan penzina. Ketahuilah, balasan Allah sangat dahsyat bagi dosa penzina.
"Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan(harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah(pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan(alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni)akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina." (Surah al-Furqaan : 66-69).
Dan kini, saya bahagia bercinta kali pertama setelah menjadi isteri kepada suami yang sangat memahami. Cinta suci yang kami bina bermatlamatkan Syurga. Indahnya bercinta selepas pernikahan. Segala yang dilakukan menjadi halal bagi kami dan pahala buat bekalan di 'sana' nanti. Syukur, sujud dan doa telah Allah kabulkan. Kuasa Allah S.W.T tidak dapat dilawan. Bercintalah, bercintalah, bercintalah! Bercintalah kerana Allah!

Indahnya Berbudi

Setiap kejadian ada sebabnya. Jika dipermudahkan, ia adalah nikmat Allah yang tidak pernah bernokhtah.
Barangkali – seingat saya – setahun lebih yang lalu saya pernah membuat catatan. Kisah penyewa rumah di Kondo Kemuncak. Ahmad dan Isteri merupakan pelajar pasca-siswazah di UiTM berasal dari Arab Saudi. Mereka menyewa rumah kami.
Setelah hampir setahun menyewa, mereka memberi notis mahu mengosongkan rumah tersebut.
"Ahmad, sudah tamat pengajian?" saya bertanya sambil mata memerhati kotak-kotak yang sudah tersusun kemas di tepi dinding.
"Belum tetapi kami bercuti enam bulan. Isteri saya mahu bersalin di Saudi"
"Habis barang-barang ini?"
"Kami tumpang di rumah kawan. Kami tidak mampu untuk membayar sewa untuk enam bulan semasa kami balik ke Saudi."
Saya mengerti kesukaran yang bakal dialami mereka. Saya juga pernah belajar di luar negara.
"Begini... kamu teruskan menyewa rumah saya. Sewa untuk enam bulan RM0.00. Satu syarat, kunci saya pegang dan izinkan saya untuk tidur di sini bila saya berada di Shah Alam."
Muka mereka merah padam barangkali tidak menyangka yang saya akan memberi tawaran yang sangat luar biasa. Ia telah menyelesaikan masalah besar buat mereka.
Kini mereka sudah berpindah rumah apabila Sara memulakan pengajian di Shah Alam. Isteri Ahmad pula dijangka melanjutkan pengajian di peringkat PhD.
Hujung minggu yang lepas saya berselisih dengan Ahmad di Kondo Kemuncak.
"Ahmad, saya akan meninggalkan Malaysia. Saya akan ke Madinah," ringan mulut saya bercerita.
"Berapa lama Prof?"
"Lama, saya tidak mahu balik. Saya bekerja di Universiti Taibah."
Matanya bulat memandang saya dan terus berkata, "Prof, ayah saya bekerja di sana, Universiti Taibah. Ambil nombor telefon beliau. Saya akan bagi tahu yang prof akan ke sana."
Beliau kelihatan sangat teruja. Kemudian beliau terus berkata dengan penuh perasaan, "Prof, sebenarnya kaum keluarga saya ramai di sana. Saya akan calling-calling mereka seorang-seorang dan akan meminta mereka membantu prof. Saya akan pastikan prof 'OK' di sana. Kalau prof hendak bantuan carilah mereka."
Apa lagi yang hendak saya katakan. Kita berbudi bukan mengharapkan balasan. Namun bila sampai masanya, kita mengerti kenapa Allah temukan saya dengan Ahmad dan keluarga.
Ia bersebab.