Tuesday, February 21, 2012

Mengintai Takdir



Hari ini
Sejumlah daripada takdir
Telah kita kunyah dan telan
Atau mungkin juga
Kita memilih untuk
Meluahkannya
Seperti kau
Aku bukan seorang
Yang mudah menelan
Apa-apa
Malah menyentuh juga
Aku berkira
Waktu tak pernah sedikit pun
Di belakang kita
Tapi selalunya kita suka
Berada di dulunya
Dulu yang terlalu lama
Antara sekarang yang wujud
Dan semalam yang lepas
Kitalah yang mematikan
Dan menghidupkannya semula

Jika tiada kita
Aku percaya
Tuhan dapat menjimatkan masa
Tanpa perlu
mengubah apa-apa.

Thursday, February 16, 2012

Kisah Nabi Sulaiman dan pemuda yang berbakti kepada ibu bapa

Nabi Sulaiman adalah anak kepada Nabi Daud A.S. Sejak kecil lagi Nabi Sulaiman sudah pandai memberi pendapat yang adil dalam satu-satu hal.

Setelah wafatnya Nabi Daud, Nabi Sulaiman membesarkan kerajaan di bawah pimpinannya.

Pada suatu hari, Nabi Sulaiman mengadakan perjalanan bersama rombongannya yang terdiri daripada manusia dan jin. Tujuannya adalah untuk melihat kebesaran Allah S.W.T.
Perjalanan mereka pun tiba di tepi laut, tiba-tiba Nabi Sulaiman terpandang suatu benda yang menakjubkan di dalam laut. Dia memerintahkan pada jin Ifrit, “Wahai Ifrit, cuba kamu lihat ke dalam laut, ada suatu benda yang menakjubkan aku, oleh itu kamu bawakan ia kemari”. 
Jin Ifrit yang sememangnya gagah tak banyak bercakap kerana takut akan murka Nabi Sulaiman dan terus menyelam ke dasar laut, namun dia tidak berjumpa apa-apa.
Kemudian Nabi Sulaiman menyuruh jin yang lain menyelam untuk mendapatkan benda terbabit, namun malangnya jin tersebut pun gagal berbuat demikian. 
Akhirnya Nabi Sulaiman pun berkata kepada Ashif bin Barkhiya, yakni orang yang mendapat ilmu terus dari Allah, “Sekarang aku perintahkan kepadamu agar pergi ke laut dan dapatkan benda ajaib yang aku maksudkan”. 
Ashif bin Barkhiya pun menyelam dan terlihat suatu benda yang menyerupai kubah yang diperbuat dari kapur putih.
Dengan kekuatan yang luar biasa, Ashif bin Barkhiya membawa naik kubah ajaib tersebut dari dasar laut dan mempersembahkan kepada Nabi Sulaiman. 

Apabila Nabi Sulaiman melihat kubah itu dan berkata, “Wah, alangkah indahnya benda ini, tapi mengapakah aku tidak dapat melihat isi kandungan dalam benda ini padahal Allah telah memberikan mukjizat yang mana penglihatanku dapat menembusi segala sesuatu”.
Nabi Sulaiman pun berdoa kepada Allah supaya dia dapat melihat isi di dalam kubah berkenaan dan Allah memperkenankan doanya. Sejurus selepas berdoa, maka terbukalah kubah tersebut dan Nabi Sulaiman melihat ada seorang pemuda yang sedang sujud dan bertasbih memuji Allah. 
Nabi Sulaiman lalu berkata, “Maha suci Allah lagi Maha Besar”. Mendengar seruan Nabi Sulaiman, maka pemuda itu pun bangun dari sujud lalu memberi salam.
Nabi Sulaiman menjawab salam dan memulakan pertanyaan, “Siapakah kamu wahai pemuda! Adakah kamu malaikat, jin atau pu manusia?” Jawab pemuda itu, “Aku hanyalah seorang manusia biasa”. 
Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Apakah yang membuat kamu memperolehi kemuliaan sedemikian rupa? Apakah amal yang pernah engkau kamu lakukan sehingga Allah menurunkan rahmat dan berkah yang tidak ternilai ini kepada kamu?” Pemuda itu berkata, “Saya berbakti kepada kedua ayah dan ibuku”.
Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Bagaimanakah kamu berbakti kepada orang tuamu?” 
Jawab pemuda itu, “Saya memelihara mereka berdua sehingga mereka lanjut usia. Kedua ayah dan ibuku adalah orang yang soleh, mereka sangat takut dan taat kepada Allah. Sejak saya kecil hingga dewasa, mereka memelihara saya dengan baik sekali, mereka juga selalu mendoakan saya agar saya menjadi seorang yang soleh. Bapa saya meninggal dunia dalam usia lanjut dalam pemeliharaan saya dan yang tinggal hanya ibu saya yang sudah tua, lemah dan sakit serta matanya buta dan kakinya lumpuh”.
Sambung pemuda itu lagi, “Saya satu-satunya orang yang merawat dan menguruskan keperluannya. Saya selalu mengangkatnya untuk mandi dan saya memandikannya. Segala urusan makan dan minum saya uruskan dan saylah yang menyuap makanan padanya. Ibu saya selalu mendoakan supaya saya dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidup serta memberikan saya setelah wafatnya sebuah tempat yang bukan di dunia atau pun di langit. Setelah ibu saya wafat, saya berjalan-jalan di tepi laut dan saya lihat ada suatu kubah dari mutiara. Saya mendekati kubat tersebut dan pintu kubah terbuka. Apabila saya masuk ke dalam, pintu kubah ini tertutup, maka tidaklah saya ketahui sama ada saya berada di bumi atau langit”.
Nabi Sulaiman bertanya, “Kamu hidup di zaman mana?” Pemuda itu menjawab, “Saya hidup di zaman Nabi Ibrahim A.S”. 
Nabi Sulaiman mengirakan umur pemuda tersebut dan dalam kiraannya umur pemuda itu telah mencapai 14,000 tahun, tetapi tiada satu uban pun pada rambutnya. 
Nabi Sulaiman lalu bertanya, “Apakah tuan merasakan nikmat Allah? Bagaimana Allah memberikan rezeki padamu dalam kubah ini?” Pemuda itu berkata, “Setelah saya berada di dalam kubah ini, maka tahulah saya bahawa Allah telah menciptakan syurga khusus buat saya”.
Nabi Sulaiman teringin sangat melihat syurga yang pemuda itu katakan. Kemudian pemuda itu pun berdoa kepada Allah lalu suasana di dalam kubah yang gelap tiba-tiba bertukar menjadi terang-benderang. 
Terkejut Nabi Sulaiman sambil berkata, “Maha suci Allah seru sekian alam”. Satu pemandangan yang tak ada di dunia ini terpampang di hadapan Nabi Sulaiman dan rombongannya di mana terdapat pokok-pokok, kebun yang indah, kolam air susu dan madu serta suara-suara yang merdu di dalamnya.
Pemuda itu berkata, “Jika saya lapar, saya makan bermacam-macam buah-buahan yang pelbagai macam cita rasa, semua makanan yang saya ingin akan tersedia dan kalau saya haus, akan tersedia pula bermacam-macam jenis minuman yang paling lazat”. 
Nabi Sulaiman bertanya lagi, “bagaimana kamu dapat mengetahui siang atau malam?” Jawab pemuda itu, “Apabila terbit fajar maka kubah ini akan menjadi putih dan apabila matahi terbenam kubah ini akan menjadi gelap”. 
Kata pemuda itu lagi, “Cukuplah, sebab saat ini saya harus mengadap kembali pada Allah untuk solat dan zikir, bertasbih dan mengsucikan serta memuji kebesaranNya”.
Nabi Sulaiman dan rombongannya segera keluar dari kubah tersebut  dan pemuda itu berdoa kepada Allah, lalu tertutuplah kembali kubah itu. Nabi Sulaiman termenung sejenak memikirkan peristiwa yang dilihatnya sebentar tadi dan mengarahkan Ashif bin Barkhiya untuk membawa kubah tersebut kembali ke dalam laut di tempat asalnya. 
Setelah itu Nabi Sulaiman berkata kepada rombongannya, “Untuk pertama kali aku menjumpai tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah, aku bersyukur kepada Allah dan semoga bertambah iman dalam sanubariku. Maha suci Allah dan segala puji bagi Allah dan aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya dan kekuatan apa pun di dunia ini melainkan dengan kehendak Allah S.W.T”.
Kepada semua pembaca, kasihlah kepada ibu bapa kita sementara mereka masih ada di dunia dan kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihani kita sewaktu kecil. 
Fikirlah sejenak, apakah sumbangan kita terhadap keduanya? Apakah sudah cukup kasih sayang dan perhatian kita untuk mereka? Sudah cukupkah bakti yang kita lakukan semasa usia mereka lanjut dimamah usia? 
Adakah kita ini tergolong dari golongan yang berbakti kepada ibu bapa? Bersama kita renungkan dan kita amalkan, insyaAllah. Ingatlah, doa ibu bapa terhadap anaknya adalah mujarab dan tiada hijab antaranya dengan Allah.
Sumber: Himpunan kisah-kisah teladan

Cintai Allah Sebelum Cintai Dia

Cinta adalah kekuatan,
Yang mampu mengubah duri jadi mawar,
Mengubah cuka jadi anggur,
Mengubah sedih jadi riang,
Mengubah amarah jadi ramah,
Mengubah musibah jadi muhibbah,
Itulah cinta..
Namun,
Cinta itu kan jadi kekuatan,
Jika disandarkan pada Allah,
Cinta itu kan jadi muhibbah,
Jika disalurkan pada jalan yang benar,
Cinta itu kan jadi riang,
Jika tak bertentang Buat para muslimah di luar sana,
Usah gusar jika belum berpunya,
Usah risau jika belum dipetik sesiapa,
Usah malu jika tiada lelaki yang bertakhta,
Yakinlah dengan qada\' qadar Allah,
Bila mana keluarnya kita dari rahim sang ibu,
Tercatat sudah di luh mahfuz,
Siapa jodoh kita,
Bila akhir hayat hidup kita,
Di mana nafas terakhir kita,
Yakinlah,
Allah lah sebaik2 pengatur hidup,
Berdoalah tiap kali lepas solat,
Wa la takilna ila anfusina torfata \'ain..
Ya Allah, jangan kau biarkan masa depan kami ditentukan oleh diri kami sendiri,
Walaupun cuma sekelip mata

"Serahkan hatimu pada Allah, pasti DIA temukan dengan pemilik terbaik"
Islam mengiktiraf cinta. Buktinya, dalam Al Quran sendiri, Allah ada berfirman dalam kalamNya, surah At Taubah ayat 24.  Dalam ayat ni, Allah gambarkan ada 3 peringkat cinta dalam Islam
1) CINTA AGUNG: Cintakan Allah, Rasulullah dan berjihad di jalanNya.
2) CINTA PERTENGAHAN: Cinta pada ibu bapa, anak-anak, suami isteri, saudara mara dan kaum kerabat.
3) CINTA RENDAH: cintakan kaum kerabat dan harta benda melebihi cinta pada Allah , Rasulullah dan cintakan jihad di jalanNYA.
Mana satukah pilihan cinta kita??? Cinta pertama atau kedua atau ketiga?? Seperti mana kata ustazah Fatimah Syarha, pengarang novel Tautan Hati, cinta kekasih pacaran (yang belum halal) itu adalah cinta keji, kerana apa? Allah langsung tidak mengiktiraf nya dalam Al Quran
Tapi, kalau yang memang dah ada taman dalam hati macam mana? "Mak ayah tak bagi kahwin lagi sebab tengah belajar. Tak kan haram jugak kot. Rasa suka ni tak boleh nak sekat!".. Hmm, sebenarnya begini..

"Cinta ini memang fitrah, tapi jangan kita jadikan ia fitnah.  Sebagai contoh, bila kita sedang berpuasa, kita disuruh agar tidak  mendekati makanan kerana boleh jadi ia membawa fitnah yang boleh membawa kita berbuka puasa. Maka begitu juga CINTA, rasa suka itu fitrah. Jadi, kita dilarang mendekati maksiat seperti zina hati, dating dan bergayut dengannya di telefon agar fitrah itu tidak menjadi fitnah. Sehari tak bercakap dengan si dia jadi gundah, tapi sehari tak bangun qiamullail, tak pulak rasa begitu. Kalau penyakit ini ada dalam hati kita, hati-hati. Jangan sampai cinta yang kononnya suci ini jatuh martabat menjadi cinta rendah, iaitu bila mana cinta manusia lebih daripada cinta Allah..
"kami tidak akan ucapkan perkataan 'CINTA' kepada mana-mana lelaki ajnabi kerana.. kami simpan perkataan itu untuk diucapkan kepada bakal suami selepas akad nikah" -blog kunfayakun
"Aku menyintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu." [Imam Nawawi]dengan syariatNya

Wednesday, February 15, 2012

Jangan Risau Apa Orang Kata…

Senario A
Anda baru berpindah ke lokasi yang baru. Persekitarannya sangat berbeza kerana majoriti adalah komuniti Melayu yang agak 'westernised' tetapi rata-ratanya akrab di antara satu sama lain. Anda perlu bergaul dengan mereka kerana tugasan yang ada menyebabkan masing-masing sangat memerlukan di antara satu sama lain. Tudung ataupun hijab adalah suatu yang sangat janggal dan mereka semua memandang serong dengan anda yang berpakaian sedemikian. Apa rasa hati anda ?
Senario B
Sebagaimana teman sejawatan yang lain di pejabat, anda telah diwajibkan untuk menghadiri mesyuarat penting jabatan yang dikendalikan oleh bos anda. Dia adalah seorang  Muslim dan merupakan seorang ketua yang tegas dan serius. Mesyuarat yang bermula sejak jam 3 petang nampaknya belum nampak tanda akan berakhir walaupun jam telah menunjukkan pukul jam 6.30 petang. Agenda yang paling penting untuk mesyuarat ini kini mencapai kemuncaknya dan terus dibincangkan dengan penuh penumpuan oleh rakan-rakan sejawatan. Anda gelisah kerana belum lagi bersolat asar sedangkan waktu maghrib semakin hampir. Apa mereka akan kata kalau anda keluar untuk bersolat pada ketika ini?
Senario C
Anda menyertai rakan-rakan mahasiswa yang menginsafi bahawa anak bangsa anda adalah mereka yang perlu disedarkan. Ramai teman-teman sebaya anda yang terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti lepak, berpeleseran antara siswa dan siswi, kurang bermotivasi dan memang jelas tidak berwawasan. Namun mereka pula menganggap anda sebagai ketinggalan zaman, anti-sosial, ber-IQ rendah, pemecah-belah dan pelbagai ejekan dan tohmahan yang lain. Anda rasa tertekan dengan kata-kata mereka. Apa yang akan anda lakukan ?
Janganlah risau dengan apa yang orang kata...
Sebenarnya kita tidak perlu untuk menyebabkan diri kita sangat risau bagaimana orang lain memandang kita tetapi kita harus memberikan fokus bagaimana kita melihat dan menilai diri kita sendiri.
Kalau kita benar-benar meyakini bahawa apa yang kita buat adalah berdasarkan prinsip yang betul, maka kita harus bertegas dengannya. Namun elokkan sekiranya kita cuba untuk menjelaskan kenapa kita membuat sesuatu keputusan atau tindakan kepada mereka yang terlibat sekiranya mereka mahu mendengar atau berbincang dengan cara yang terbuka.
Kalau mereka menolak cara hidup atau amal kebaikan kita yang berlandaskan syariat ini, maka itu pilihan mereka. Kita hanya perlu menyampaikan dengan cara yang terbaik mungkin disamping berdoa supaya Allah membuka hati-hati mereka agar mereka jua diberikan petunjuk.
Jangan pula kita berkompromi dengan meninggalkan sesuatu yang benar ini kerana takut kehilangan kawan atau pun takut digelar sebagai kolot, ekstrimis, anti-sosial dan sebagainya. Kita perlu meletakkan fokus dan mengambil berat terhadap persiapan kita sebelum bertemu Allah swt.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata:
Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang. (Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin).
Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:
Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak). (Riwayat al-Tarmizi).
Seorang pecinta kebaikan seharusnya beristiqamah dengan akhlak dan amalan yang baik sehingga kemurnian peribadinya terserlah kepada persekitarannya. Perilakunya yang tegas dengan kebenaran boleh menjadi pintu kepada hidayah Allah swt walaupun beliau mungkin berhadapan dengan rintangan daripada persekitarannya. Kita hanyanya berusaha yang terbaik sedangkan hasilnya adalah ketentuan yang bakal diberikan Allah di satu masa kelak.
Adalah menjadi resam dalam perjuangan hidup bahawa setiap amalan dan seruan kebaikan pasti mendapat tentangan sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:
"Dan seperti itulah telah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Rabbmu menjadi pemberi petunjuk dan penolong". (Surah al-Furqan: ayat 31).
Jadi, kita perlu bersama dengn istiqamah mendidik diri bagi merasai bahawa kita menitik-beratkan pandangan Allah tetapi bukan apa yang orang lain kata terhadap diri kita.
Saudaraku...
Teruskanlah perjuangan di mana jua anda berada dan sibukkanlah dirimu dengan amalan yang bermanfaat buat umat ini.
Janganlah risau dengan apa yang orang kata tetapi kita harus risau dengan apa yang Allah kata.

Ku Pinangmu Dengan Bismillah

Assalamualaikum..
Buat Nisa yang berjaya
Membuka kunci di hati ana
Untuk ana jadikan dirimu sebagai zaujah..
Penyeri hidup yang akan sentiasa
Mendukung perjuangan ana
Yang akan menjadi teman dalam
Perjalanan kehidupan..
Semoga kasih kita sampai syurga
Rentak Bahasa dan perilaku dirimu
Santun bahasa dan lembut pekertimu
Membuatkan jiwaku
Seorang insan..
Dalam dua persimpangan
Antara cinta Allah
Yang aku dambakan
Yang aku rindukan
Ditakdirkan Tuhan
Bertemu cinta seorang insan
Buat menemani perjalanan
Kembara kehidupan..

Ya Allah..
Kuhimpun doaku
Dalam sujudku padamu
Kutebarkan rasa dihatiku
Dengan titisan airmataku..
Ya Allah..
Jika dia kau ciptakan
Sebagai pasangan hidupku
Tautkanlah hatinya dengan hatiku
Dalam kasih dan cinta
Demi mencari redha darimu Ya Ilahi
Dengan lafaz Bismillah
Kupinang dirimu
Menjadi Zaujah di hatiku
Semoga mendapat keberkatan
Dari yang esa..
Wassalam

Tip Gembira Sepanjang Masa

Kesegaran dan minda positif hari mampu menambahkan semangat bagi melakukan tugasan seharian. Indahnya Islam membawakan nilai dan motivasi positif bagi umatnya sentiasa ceria dan gembira dalam tugasan seharian.
Perkara terbaik yang boleh dilakukan selepas membuka mata di pagi hari adalah:
1. BersyukurBersyukur kerana anda masih diberi nafas pagi ini bagi melihat matahari dan menghirup segarnya udara kurniaan Allah. Bersyukur juga kerana anda masih diberi kesempatan bagi melakukan dan menjadi yang terbaik dan pastinya lebih baik daripada yang semalam.
2. Tekad Bermotivasi.
Ucapkan dalam hati dan kepada diri yang anda mahu bersemangat sepenuhnya. Dengarkan dan baca bahan bermotivasi sebelum memulakan tugas. Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.
3. Tingkatkan motivasi diri dengan mencari motivasi terbaik. Motivasi harus dijaga. Motivasi sekiranya tidak dipelihara akan menjadikan kita tidak bersemangat.4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.Mulakan setiap tugasan yang ingin dilakukan dengan bismillah. Bismillah dapat menjauhkan kita daripada bisikan syaitan dan perasaan was-was.

5. Mulakan hari dengan ubah sikap. Tetapkan apa yang mahu dicapai.
6. Maafkan semua orangSebelum dan selepas bangun daripada tidur, maafkan insan di sekeliling kita. Memaafkan dapat menghilangkan segala kerungsingan dan keresahan hidup. Hati juga akan menjadi tenang dan tenteram apabila kita memaafkan insan lain.
7. Berani dan bersedia untuk berubah dan berhijrah bagi Kecemerlangan Hidup. Sentiasa yakin Allah sebagai pelindung kita. Hakikatnya kita sendiri yang dapat mengubah kehidupan kita.

Pada Ketika Nama Perempuan Itu Bererti


Ingat lagi pada ketika kamu mahu memberitahu apa yang terpendam dalam hati kamu, kepada seorang perempuan? Inilah kisahnya yang saya mahu kongsikan. Kisah bagaimana saya yang bekerja bersebelahan dengan seorang perempuan yang baik, dan hari itu hati saya sudah tidak tahan-tahan lagi. Walaupun hati saya gagap, tetapi tidaklah selalu dan hari itu pada ketika hati saya tidak gagap, saya sudah tidak kuat melindungi hasrat hati dan daripada situlah kisah ini terjadi.
Kisahnya.....
"Maksudnya, 'cintakan hikmah'."
Itu jawapan dia, pada saat saya bertanya, apa maksud namanya. Saya mengangguk-angguk khas orang yang baru tahu. Yalah, sudah sifatnya orang yang tidak tahu berbahasa Arab seperti saya, akan mengangguk seperti itu.
"Mengapa bertanya? Rasanya sudah hampir setahun, tetapi mengapa baru hari ini bertanya?"
Itu soalan pertamanya kepada saya. Saya menelan liur sambil hati mengutuk olah diri yang tidak punya strategi. Saya hanya mampu tersenyum sambil berharap dia lupa soalannya itu walaupun sangat tidak logik dia lupa soalan yang belum seminit. Sedangkan kisah lima tahun dahulu pun perempuan jarang lupa, apatah lagi yang ini.
Lalu selepas yakin dia itu teguh dengan soalannya terpaksa juga saya menjawab, "Mungkin hari ini, saya kurang pekerjaan sehingga terpaksa mencari kerja bagi bertanya maksud nama kamu."
"Jadi, bekerjalah," kata dia lalu kembali menatap skrin komputer yang penuh huruf. Saya pula kembali menyandarkan tubuh dan meregangkan otot-otot tangan ke atas, menghilangkan lelah. Pada masa yang sama, saya otak saya terus berputar bagi mencari kata-kata yang sesuai bagi menyampaikan maksud hati saya.

Guna dengan ekor matalah saya memandang dia, sesaat, mencuba mencari ilham pada wajahnya. Wajah yang akan memberikan lintasan hati kepada lelaki, tidak rugi sekiranya jatuh hati kepada dia. Namun tetap juga hati lelaki akan sungkan kerana ada sesuatu yang membuatkan hormat kepada dia meninggi. Entah apa, saya sendiri kurang pasti.Selepas berfikir-fikir, akhirnya datang juga ilham ke kepala saya. Bukanlah ilham itu datang kerana mencuri pandang wajahnya, melainkan pada ketika saya melihat jam tangan saya, dan terus kembali saya berpaling ke arahnya dan berkata, "Dalam sehari, semua manusia diberikan sesuatu yang sangat berharga, dengan sama rata dan adil. Namun entah mengapa ada juga yang merasakan tidak cukup."
Dia yang sedang asyik membuat kerja berpaling dengan kening terangkat ke atas, dan membuat debar saya meninggi.
"Maksud kamu, masa?" soalnya, cerdas.
Saya angguk.
"Jadi, apa kaitannya dengan saya? Bukankah itu memang sudah perkara biasa. Ada yang merasakan masa terlalu pendek, dan ada juga yang merasakan masa terlalu panjang," sambungnya lagi, dan terus kembali menyambung pekerjaannya tanpa menunggu saya menjawab.
"Apa yang manusia rasa itu bukan soalnya. Tindakan yang mereka buat semasa mereka merasakan hal itu yang menjadi masalah." Hati saya sudah semakin lega. Maksud hati yang saya mahu beritahu kepada dia, sudah nampak jalan dan caranya.
"Maksud kamu?" Dia sekali lagi memandang saya dengan wajah tidak peduli. Mungkin sahaja kerana dia sedang cuba konsentrasi dengan kerjanya yang menggunung.
"Cuba kamu lihat meja kamu. Betapa tingginya fail yang menggunung, sedangkan kamu tahu, itu bukan kerja kamu. Itu kerja orang yang merasa 24 jam itu tidak cukup. Mengapa perlu susahkan diri sendiri untuk membuat kerja orang lain?"
Akhirnya, terluah jugalah hasrat hati saya. Entah mengapa saya berasa perlu memberitahu perkara itu kepada dia. Mungkin... entahlah. Anggap sahajalah saya ini prihatin.
Mendengarkan sahaja kata-kata saya itu terus dia berpaling dan berkata, "Kamu fikir saya sedang teraniaya?"
Saya angguk.
Dia tersenyum dan berkata, "Terima kasih kerana prihatin dan saya gembira. Namun biarlah saya memberitahu kamu bahawa saya menerima pekerjaan itu bukan kerana saya takut dan jadi teraniaya. Malah saya menerimanya dengan sedar dan dengan rela hati. Bukan juga saya bodoh mahu menyusahkan diri sendiri melainkan saya yang menawarkan diri, kerana saya mahu sesuatu daripada pekerjaan itu."
"Pahala?" teka saya. Yakin betul saya dengan tekaan itu kerana untuk perempuan seperti itu, pasti pahala juga yang dia cuba raih.
"Betul tetapi bukan sekadar itu," tingkahnya dengan yakin.
"Pengalaman kerja?" Itu yang saya teka kerana kerja seperti kami ini, bukan sekadar kerani yang kerjayanya rutin, tetapi kerja yang sentiasa memberi pengalaman baru, memerlukan otak kiri dan kanan sentiasa berpusing-pusing,
"Itu betul juga, tetapi itu bukan yang utama." Suaranya datar dan dia terus sahaja memandang ke skrin komputer sambil jemarinya bersemangat mengetuk keyboard.
Tidak mampu lagi saya meneka. Atas alasan apa lagi dia mahu menawarkan diri membuat kerja orang lain. Lalu saya diam seminit sebelum dengan tiba-tiba berkata, "Apa?"
"Saya mahu memberi," jawabnya ringkas dan membuatkan saya terhairan-hairan.
Memang mudah melihat wajah hairan saya itu, dan tanpa disuruh perempuan itu kembali berkata, "Kamu sendiri kata, Allah sudah membahagi-bahagikan 24 jam itu sama rata kepada semua manusia. Namun, mungkin kamu terlupa, ujian Allah itu berbeza-beza kepada setiap manusia. Allah menguji hamba-Nya mengikut kemampuan mereka. Jangan pula kamu melihat itu tanda tidak adil kerana maksud adil dalam Islam itu adalah meletakkan sesuatu pada haknya. Jadi, pada ketika kita menerima ujian daripada Allah, itulah ujian yang berhak ke atas diri kita, ujian yang paling adil."
Otak saya semakin berpusing memikirkan kata-kata dia. Bagaimana seorang perempuan seperti dia mempunyai fikir begitu sehingga saya langsung tidak mampu mengerti fikirnya. Apa kaitan semua itu?
"Maaf, mohon jelaskan lagi." Itu pinta saya kerana, tidak menyangka sehingga begitu sekali dia berkata.
"Ujian Allah itu bukan sekadar ujian pada apa yang kita lihat, bukan hanya pada harta, dan bukan hanya pada keluarga. Malah ujiannya yang sukar adalah ujian pada apa yang kita ada....."
Pantas saya mengerti sesuatu dan mengangkat, tangan terus menyambung, "Maksudnya, kamu mempunyai lebih masa, jadi kamu mahu memberi masa yang kamu lebih itu?"
"Ia lebih daripada itu." Dia kembali mengulang jawapannya.
"Apa?" soal saya kembali dengan hati yang tetap cuba bertahan sabar.
Dia tersenyum baik. Bukan senyuman yang mahu menggoda, tetapi senyuman yang melegakan hati orang yang melihat. Kemudiannya dia berkata, "Kamu tahu maksud nama saya, bukan?"
"Cintakan hikmah?" jawab saya dengan yakin dan tersenyum juga yakin.
"Itulah yang sebenarnya saya usahakan, mencintai hikmah dengan mencarinya." Dia menjawab dengan nada yang teduh, namun kesannya pada hati saya semakin kacau. Semakin jauh dia membawa hati saya.
"Boleh terus kepada maksud kamu?" Akhirnya, hilang jugalah sabar saya.
Dia tetap tersenyum baik sebelum menjawab, "Hikmah itu bukan sekadar kebaikan luaran yang kita peroleh, tetapi yang paling penting adalah kebaikan dalaman. Lalu pada ketika saya memberikan masa saya kepada orang yang memerlukan, saya sebenarnya sedang mencari hikmah. Bagaimana kamu mahu memperoleh hikmahnya ikhlas dan sabar, sekiranya kamu tidak pernah memberi?"
Saya diam, dan kembali menatap skrin komputer dengan kepala yang pusing, terus berfikir. Ternyata dia bukan sekadar wajahnya yang membuatkan lintasan hati, tidak rugi untuk jatuh hati. Pada kata-katanya juga, memang perlu untuk saya jatuh hati. Ternyata, namanya itu memberi erti bukan hanya untuk dirinya, tetapi juga untuk diri saya. Itulah perempuan yang bernama Fila Sufia.