Thursday, December 5, 2013

Fiqh Wanita: Persoalan nafkah isteri diperjelas secara terperinci

Di Malaysia, antara penyumbang terbesar terhadap ekonomi negara ialah wanita. Sudah menjadi keperluan untuk isteri bekerja membantu suami apatah lagi jika tinggal di kota besar dengan saraan hidup yang tinggi. 

Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi, harus hukumnya bagi wanita keluar bekerja, sama ada untuk membantu suami, keluarga atau kerana berkongsi manfaat kepada masyarakat. Namun, adakah wanita turut menanggung tanggungjawab nafkah seperti lelaki? 
Persoalan itu akan dijelaskan peguam syarie, Salwa Fadzil, bagi memberi kefahaman kepada wanita yang masih tidak jelas mengenai tuntutan nafkah bagi isteri yang bekerja. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu yang lebih banyak dari sebahagian yang lain. Kerana bagi seorang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah an-Nisa, ayat 32)

Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu yang lebih banyak dari sebahagian yang lain. Kerana bagi seorang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah an-Nisa, ayat 32) 

Tujuh jenis nafkah untuk isteri

Setiap wanita yang keluar bekerja wajib mendapat izin suami, tetapi mereka tetap berhak mendapat nafkah daripada suami walaupun mempunyai pendapatan sendiri. Ada tujuh jenis nafkah yang mesti diberikan suami dan semua itu boleh diketahui apabila menonton program Fiqh Wanita di TV3 esok.

Sebenarnya nafkah isteri bukan beban kepada suami jika kedua-duanya bertoleransi dalam berkongsi tanggungjawab menunaikan nafkah. Maksud toleransi perlu difahami supaya tidak berlaku penganiayaan kepada mana-mana pihak. 
Ahli panel turut membangkitkan isu isteri menyerahkan sepenuhnya gaji kepada suami kerana tindakan itu ada banyak buruk daripada baiknya. Hal ini mengundang kerosakan kepada tanggungjawab perkahwinan untuk jangka masa panjang.

Pada masa sama, wujud dilema kepada wanita antara mahu terus bekerja atau menjadi suri sepenuh masa demi menumpukan perhatian kepada anak dan suami. Banyak faktor antaranya suasana di tempat kerja, keperluan anak yang semakin membesar dan kelelahan melakukan dua tugas.

Tidak dinafikan juga, isu pengabaian nafkah oleh suami semakin meningkat dalam kalangan Muslim. Jika suami enggan menunaikan nafkah, isteri mesti mengetahui fasa-fasa tuntutan nafkah yang boleh dibuat berdasarkan undang-undang syariah. 

Memang ada suami yang perlu disedarkan mengenai tanggungjawab melalui pendekatan undang-undang. Islam memberikan tunjuk ajar yang jelas dalam sekecil-kecil perkara hinggalah kepada perkara yang besar seperti isu nafkah.

Monday, December 2, 2013

Gelojoh cair

Soalan klise kawan baik: “Eh apa cerita dengan lelaki tu? Kau dah ‘couple’ ke dengan dia?” Jawapannya mungkin lambat dengan senyuman sinis. “Serius aku tak tahu. Dia memang baik dan aku pun dah mula suka kat dia, cuma tiba-tiba aku rasa macam lain dengan dia.”
Sudah tentu si kawan pelik. “Kenapa pula? Bukan kau suka kat dia sampai nak teman aku makan pun tak boleh sebab asyik bercakap telefon dengan dia?” Dalam nada malu dan sedikit rasa menyesal, menjawab persoalan ‘maut’ itu.
“Entahlah, aku sebenarnya rasa yang dia sudah ada kekasih lain ataupun dia memang jenis ‘playboy’. Tapi salah aku sebab ‘feeling’ lebih.”

Macam mana tu? Parah bunyinya. Dua minggu pertama, langsung tak pernah terfikir soal untuk mengenali sedalam-dalamnya. Ketika itu sibuk melayan perasaan kerana setiap masa mulutnya tidak henti memuji, mengusik dan begitu ‘caring’ terhadap kamu.

Selepas makin hanyut dalam pujian dan kasih sayang yang ‘kononnya’, jiwa si gadis makin mudah menerima kehadirannya dan ketika itu semuanya ‘boleh’.

Persoalannya, adakah lelaki yang begitu mengambil berat itu jujur dan ikhlas atau dia hanya jenis kebiasaan lelaki yang suka mengambil berat terhadap perempuan, ‘womanizer’ dan ayat manis?

Justeru, jangan terlalu cepat menyambut kata cintanya kerana mungkin dia sengaja ingin menguji atau dia memang jenis yang suka ‘pasang banyak’. Perlu diingat, faktanya, lelaki suka perempuan yang susah untuk ditangkap.

Kalau kamu mudah menerima cintanya, dia segera nampak kelemahan kamu dan meninggalkan persepsi yang kamu memang wanita yang ‘gatal’.

Apa kata kamu si gadis belajar beberapa rahsia dan strategi sebelum terus menerima lamarannya untuk menjadikan kamu kekasihnya.


Mudah diayat

Pertamanya, perhatikan gerak-geri si lelaki itu. Tidak perlu mengendap ataupun mengintip. Cukuplah sekadar kamu ‘pasang mata’ apabila bersamanya. Perhatikan gerak-gerinya apabila berinteraksi dengan perempuan lain.

Adakah si dia jenis suka ‘mengurat’ dan bagaimana dia tangani situasi jika dia sendiri ‘diayat’ oleh perempuan lain. Ini memang berkesan dan strategi paling berharga kerana sikap dan personalitinya boleh dilihat dengan jelas.

Jika dia memberi reaksi positif atau begitu peramah melayan, itu bermakna dia memang berada di dalam ‘open relationship’ dan tidak terikat dengan mana-mana hubungan. Dia memang lelaki yang bebas daripada mana-mana komitmen dan sememangnya menganggap kamu di sebelahnya pun sebagai kawan biasa.

Jangan marah atau menunjukkan sikap cemburu jika dia melayan terhadap usikan gadis lain kerana lelaki akan terus menganggap kamu jenis yang kuat cemburu dan ‘over acting’.

Baru keluar beberapa kali, sudah menunjukkan sikap marah kerana dia melayan gadis lain. Buat ‘cool’ dan tidak perlu melenting. Ini akan membuatkan lelaki itu terfikir yang kamu juga menganggapnya sebagai teman biasa.

Jika dia cuba elakkan diri ketika ada perempuan lain datang mengusiknya, itu bermakna dia sebenarnya sudah berpunya dan sudah meletakkan fokusnya untuk memiliki kamu. Dia cuba menghalang dan menjauhkan diri daripada ‘minat’ individu lain.

Keduanya, apa kata kamu mengendap dengan gaya moden. Tiada salahnya ‘stalk’ dulu media sosial milik dia sebelum menerima lamarannya. Penting untuk kamu ketahui siapakah dan apakah statusnya di sebalik pengetahuan kamu.

Dari situ juga kamu dapat mengenali rakan-rakan dan lihat sendiri bagaimana pergaulannya. Adakah dia jenis yang boleh dipercayai atau tidak.

Seperkara yang mungkin boleh dijadikan panduan adalah jika dia mempunyai bilangan kawan perempuan yang ramai, itu bermakna kamu perlu berhati-hati kerana dalam ramai itu pasti ada salah seorang yang dia pernah mencuba.

Jika sebaliknya, kamu boleh menarik nafas lega sedikit kerana besar kemungkinan kamu satu-satunya gadis yang bertuah memilikinya.


Ekor mata

Ketiga, lihat bahasa tubuhnya. Jika sepanjang bersama kamu matanya mudah tertarik dengan gadis lain yang asyik lalu-lalang di depan atau sebelahnya, itu menunjukkan yang dia seorang yang tidak berpuas hati dengan apa yang dia ada.

Kemungkinan besar juga dia sebenarnya memang sudah berpunya, cuma dia mahu mencari dan meneroka sesuatu yang terbaik. Maka tidak hairanlah me­ngapa dia keluar dan mula mendekati kamu. Betul tak?

Lelaki mudah tertarik dengan benda yang cantik dan menarik. Jika kamu lihat ‘ekor mata’ asyik mengikut pergerakan gadis lain, itu bermakna kamu bukanlah gadis terakhir dalam hidupnya. Jadi berhati-hatilah dengan lelaki seperti ini.

Keempat adalah nasihat klise yang ramai kawan kamu berikan iaitu jadilah kawannya dulu. Jangan terburu-buru dan terlalu gopoh untuk memulakan cinta. Minta dia sedikit masa untuk kamu lebih mengenali dirinya.

Menerima lamarannya untuk jadi pasangan bukanlah sesuatu yang ‘suka-suka’ sebaliknya kamu harus mengenali dengan lebih mendalam dengan siapa kamu selalu bersama. Percayalah, makin kamu rapat, makin kamu mengenali siapa dirinya yang sebenar.

Dari situ kamu bukan saja dapat mengenalinya de­ngan lebih rapat, malah kamu juga boleh melihat segala tindak-tanduknya adakah dia benar-benar ‘single’ atau sudahpun berpunya.


Gigit jari

Kelima, kenali kawan-kawannya. Kamu boleh menilai di manakah tahap status ‘bakal kekasih’ kamu daripada rakan-rakannya. Jika kehadiran kamu disambut baik oleh rakan-rakannya dan dapat merasakan ada keserasian, itu menunjukkan kamu satu-satunya kekasihnya.

Tapi kalau rakan-rakannya memberi reaksi biasa atau sedikit pelik, itu perlu berhati-hati. Besar kemungkinan kamu bukanlah orang pertama yang pernah berjumpa dengan rakan-rakannya.

Peringatan, kalau seorang lelaki berani dan sanggup memperkenalkan kamu sebagai kekasihnya, itu bermakna kamu dialu-alukan untuk masuk ke dalam dunianya.

Terakhirnya yang mungkin sedikit peribadi namun memerlukan kamu untuk mengesan sejauh mana kejujurannya adalah dengan bersembang mengenai hubu­ngan lampau. Perlu diingatkan, jangan cepat melenting atau menunjukkan reaksi kurang selesa.

Cuba tanya mengapa dan apa punca utama bekas kekasihnya meninggalkan dirinya. Dari situ kamu pasti dapat mengagak dia seorang yang macam mana dan adakah dia benar-benar masih ‘single’.

Lihat terus ke matanya kerana lelaki tidak dapat menipu bila seseorang memandang tepat ke matanya apabila dia sedang bercakap. Jadi kamu boleh lihat kebenaran adakah orang itu benar-benar sudah menjadi bekas kekasih ataupun masih bergelar kekasih.

Baca dengan perlahan semula semua strategi ini dan analisis sendiri. Kamu perlu bertindak sebelum gigit jari pada akhir hubungan.

Ada baiknya obses

Setiap individu berbeza-beza begitu juga keinginan, kemahuan, minat dan idolanya. Ada yang fanatik kepada artis, taksub sesuatu barang, obses kepada makanan, taksub kepada hiburan, politik, Internet, agama dan sebagainya.
Seperti diketahui, perasaan suka tahap melampau ini membawa maksud tegar terhadap sesuatu yang boleh memberi impak kepada kita sama ada kebaikan atau keburukan. Diri sendiri perlu berusaha dan paksa otak berfikir untuk mengubah kesan sikap itu ke arah positif dan bukannya negatif semata-mata.

Tahu beza
Perkataan fanatik mengikut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995: 476) bermaksud taasub, tegar hati, kuat pegangan, kuat keyakinan dan kuat kepercayaan. Fanatisme pula ialah kepercayaan yang sangat kuat, terlampau kuat atau kepercayaan yang kuat. Walau apapun maksudnya, persoalan di sini, apakah ia beri kesan positif atau negatif dalam kehidupan anda?
Sikap ini boleh terbahagi kepada dua elemen iaitu baik dan buruk. Ia bergantung kepada diri sendiri. Taasub boleh membawa maksud keterlaluan, ekstrim atau terlampau. Ia masih positif jika apa yang dikejar itu adalah perkara berfaedah dilakukan dengan cara betul. Jika perasaan taasub cuma dijadikan motivasi dan pemangkin untuk capai apa yang anda mahukan, itu baik.

Bergantung kepada apa yang anda taasub. Kalau setakat memuja seseorang contohnya artis, penulis berpendapat ia tidak berbaloi kerana artis tetap popular dan dapat duit, kita cuma dapat tengok dan tumpang gembira. Tapi jika anda mengambil sisi positif seperti pencapaian atau kejayaan seorang artis itu sebagai pendorong, ia akan berubah kepada kebaikan. Obsesi dalam hidup tak salah dengan syarat, pastikan apa yang dikejar adalah bermanfaat, berfaedah dan bernilai.


Negatif

Dikuasai sikap obses menyebabkan pemikiran seseorang tertutup, cetek, terkongkong, keras kepala dan tidak berfikiran jauh. Biasanya golongan ini tidak akan mendengar pandangan orang lain walaupun pandangan itu benar. Mereka akan tetap dengan kepercayaannya walaupun ia salah. Mengambil contoh ketaasuban seseorang terhadap seseorang yang diminatinya. Walaupun orang yang diminati itu melakukan kesalahan, pada pandangan matanya orang itu tetap benar. Sikap ini dalam masyarakat dipanggil ‘bodoh sombong’. Kalau dulu ada isu suami isteri bertengkar disebabkan fahaman politik yang berbeza. Ini adalah satu tindakan yang kurang bijak.

Contoh, seorang kawan taasub kepada perangainya sendiri. Dia sentiasa mengatakan dia yang terbaik dan dia saja yang betul. Jika orang sekeliling cakap A, dia boleh meng­angguk tetapi secara terangan luahan rasa tak setuju. Akhirnya dia cuma mempunyai seorang kawan iaitu dirinya sendiri. 


Positif

Dari segi kebaikan, ia memberi kekuatan kepada seseorang untuk melakukan sebarang tindakan. Mereka sanggup melakukan apa saja asalkan mencapai matlamat. Jika dilihat, bagi sesiapa yang fanatik sesuatu genre muzik, walaupun pelbagai genre baru wujud tetapi dia tetap setia dengan pilihannya walaupun genre itu diperkenalkan pada tahun 60-an. Memandangkan negara kita kecoh dengan isu-isu politik, penulis mengambil ia sebagai contoh. Kebiasaannya golongan ini tidak mengharapkan balasan. Mereka melakukan dengan rela hati.

Contoh, seorang kawan yang taasub dengan mainan komputer sejak kecil sehinggalah sekarang, akhirnya dia membuka bisnes komputer mempunyai kafe siber kendaliannya sendiri walaupun usianya baru di pertengahan 20-an.

Lepak bergaya

Kalau dulu, budaya lepak mudah diterjemah. Ia adalah amalan berkumpul tanpa arah tujuan, matlamat, objektif, hala tuju, misi dan visi, biasanya oleh golongan remaja. Mereka memerhati orang ramai yang lalu-lalang di situ, kadang-kadang sambil bermain lagu atau menghisap rokok.
Adakalanya mereka mengusik gadis-gadis yang lalu dengan bersiul atau gelak ketawa yang berlebihan dengan keadaan yang tidak menentu. Budaya yang tidak sihat ini juga sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah.
Namun jika melihat pada perspektif hari ini, lepak bukan lagi pada kegiatan merokok atau berkumpul tanpa objektif kerana mereka yang berjawatan tinggi pun ada kalanya gemar melepak atau membuang masa terutamanya ketika hujung minggu.

Lepak yang pernah menyerang anak muda pada akhir 90-an acap kali dikaitkan dengan kurangnya perhatian ibu bapa. Mereka tidak mengambil perhatian berat dalam pendidikan anak-anak. Sikap ibu bapa yang mementingkan diri sendiri, sering bertengkar dan berselisih faham menimbulkan ketakutan dan kebosanan dalam kalangan anak-anak.

Mana yang sudah besar remaja, mereka mengambil keputusan untuk lepak di luar bersama kawan bagi membunuh rasa bosan itu.

Keduanya, kerana ajakan rakan sebaya yang mana remaja mudah terikut dengan rakan-rakan untuk mencuba sesuatu perkara baru selain pengaruh media massa.


Berpeleseran

Namun kalau sudah punya kerja bagus dan jawatan tinggi, masih kelihatan duduk bersembang berjam-jam di kedai mamak atau duduk berpeleseran di pusat membeli-belah, adakah itu turut dikategorikan sebagai melepak?

Gen Y meneliti senario ‘lepak’ dalam kalangan remaja berkerjaya, ia jauh berbeza dengan istilah lepak yang acap kali dikaitkan dengan budak sekolah yang berpeleseran tanpa tujuan.

Lepak zaman ini dalam kalangan mereka yang punya status tinggi hanyalah sesi menghilangkan tekanan kerja dan lebih kepada sembang dengan kawan mengenai masa depan, merencana hidup dan berbual kosong mengenai pelbagai cerita. 

Berbanding ‘lepak’ yang menjadi budaya negatif adalah mereka (anak muda) yang menghabiskan masa kerana ingin lari daripada ibu bapa atau rumah akibat tekanan seperti kehidupan susah, mak dan ayah sering bertengkar dan ingin kebebasan. 

Lepak mereka itu jenis yang merbahaya memandangkan ia boleh menjurus kepada pelbagai unsur negatif lain termasuk merokok di awal usia, hubungan sosial lelaki dan perempuan, pengambilan dadah termasuk menghidu gam dan ganja serta jenayah rompak, ragut dan gaduh.

Tapi kalau sudah dewasa, kerja bagus dengan pendapatan pun lumayan, lepak yang dikaitkan dengan mereka bukanlah merbahaya cuma ia lebih kepada senario tidak baik kerana membuang masa, melakukan perkara tidak berfaedah dan membazir. 

Lepak anak muda hari ini pun bukan lagi di longkang hujung kampung bermain gitar tapi lebih kepada kafe mewah seperti Starbucks dan masing-masing sibuk bermain dengan telefon canggih atau gajet berteknologi tinggi. 

Senang cakap, penulis pun macam tu!

Pengakhiran, sayangku

Setiap baris bimbingan abah, aku tiada lupa. Sampai kini pun aku ingat setiap apa yang dia lentur padaku. Begitu juga ibu. Setiap teguran aku simpan rapi di dalam kotak hati. Kini, sudah menjelang tiba pula saat di mana aku dan Nasuha berbuat benda yang sama terhadap keluarga kami, bilamana kami mendirikan rumah tangga nanti.
Aku ingin meneladani abah. Ingin seperti dia, menguruskan sebuah rumah tangga yang berjaya. Abah dijadikan ku contoh untuk pembelajaran masa hadapan, sebagai ‘role model’ yang teragung. Aku memilihnya kerana aku percaya, darah yang mengalir dalam tubuhku adalah darah miliknya. 
Dialah lelaki sanjungan hati ini. Dia terpilih sebagai guru dalam hidup ini. Aku percaya, dalam galur perjalanan, sememangnya hidup penuh cabaran. Dalam rentak perjuangan yang tiada penghujung, sesungguhnya laluannya penuh getir. 

Dalam menongkah sekelumit kemenangan, tidak dapat tidak diri ini diuji, hati diduga, emosi dicarik rabak. Lantaran aku sedar diri hanya manusia biasa. Memandangkan aku hamba Allah yang kerdil cuma.

Kadang-kadang tewas mendepani kemelut. Sering kali goyah mengharung onak dan duri. Namun, Tuhan begitu baik. Membantu aku senantiasa. Mengurniakan aku abah, ibu, juga keluarga yang sempurna daripada kasih dan sayangnya.

Kerana merekalah jiwa aku perkasa seperti hari ini. Sebagaimana ombak yang menghempas pantai, sebagaimana karang laut di gelodak badai, hendaknya aku kini gagah melawan ombak, hendaknya hati ini gigih menerjang badai. 

Aku ingat kata-kata yang abah petik daripada al-Quran padaku: “Dan sesungguhnya akan Aku berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah: 155) 

Kesabaran itu berjaya aku semai dalam diri dengan adanya keluarga berserta orang tua yang begitu memahami. Walaupun sedikit gentar pada dunia namun pertalian erat bersama mereka membuat diri ini teguh. 


Menilik kembara 

Terima kasih Tuhan kerana Engkau mengurniakan aku seorang abah yang baik. Kerana dia, aku menjadi insan berjiwa besar. Kerana dia juga aku berubah kepada manusia berhati waja. Terima kasih juga kerana Engkau banyak membantu aku. 

Setiap doa yang aku ucap tak kira masa, kau menyahut. Ternyata betul, apa juga kemungkinan yang datang, terselit hikmah di sebaliknya. Kerana Engkau dan juga abah, aku berjaya meniti tiap-tiap anak tangga kehidupan. 

Kalian adalah pria pilihanku. Terima kasih atas segala-galanya. Untuk keluarga ini, Abang Afie, abah, ibu, juga tak ketinggalan Nasuha, yang kini bergelar seorang pensyarah di sebuah universiti terkemuka. 

Sekarang baru aku berhasil menilai hidup. Baru aku berkebolehan menilik kembara ini. Baru aku mempunyai sakti merenung tajam dunia fana ini. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih yang tak terhingga, Ya Tuhan kerana Engkau juga aku mampu berjawatan sebagai seorang pengurus kilang papan. 

Meskipun gelaran ini tiadalah megah, namun rencana-Mu begitu sempurna. Tiada cacat celanya. Aku begitu bersyukur. Terima kasih juga untuk kasih dan sayang yang Engkau wujudkan dalam keluarga kami. Segala-galanya amatlah bermakna. Cernalah ayat-ayat ini dalam kehidupan seharianmu. 

Rasa kasih dan rasa sayang sebenarnya satu perasaan indah, kurniaan Tuhan. Tiada tanding nilainya, sebagai bekal dalam mengharungi badai dan gelombang hidup. Bohong andai manusia tidak memiliki rasa kasih dan rasa sayang sesama makhluk. 

Tidak benar jika manusia tidak memerlukan rasa kasih dan rasa sayang dalam perjalanan kehidupan. Satu kepelikan sekiranya manusia tidak memahami rasa kasih dan rasa sayang yang wujud dalam sanubari setiap insan. Hargailah rasa itu, yang dihadirkan dalam diri masing-masing. 

Sesungguhnya ‘kasih sayang manusia pudar menjelang hari, tetapi kasih sayang Allah SWT tetap kekal abadi’. Carilah sayang-Nya!

Akhlak golongan muda, remaja makin parah

Kuala Lumpur: Masalah sosial membabitkan golongan muda khusus remaja menjadi semakin serius dan berada di tahap membimbangkan malah ada yang tidak takut untuk bersekedudukan.
Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, sudah sampai masanya Majlis Pembangunan Remaja Negara (MPRN) ditubuhkan dalam menangani masalah ini dan mencari pendekatan sesuai sebagai jalan penyelesaian. 
“Merujuk pada elemen usia aktif seksual, sebelum ini ia bermula pada usia 25 tahun. Namun pada masa kini menunjukkan usia 15 tahun sudah mencapai tahap usia aktif seksual,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Menurutnya, usaha menangani masalah sosial remaja perlu dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

“Sepatutnya jawatankuasa khusus diwujudkan atau MPRN ditubuhkan manakala modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh dimasukkan bersama. Kita tidak mahu melihat remaja yang mempunyai tenaga positif menjadi negatif,” katanya.

Dr Mohamed Fadzil mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai bekas pasangan kekasih yang juga penuntut sebuah kolej di ibu negara yang terlanjur sehingga wanita itu melahirkan anak tak sah taraf. 

Laporan itu menyatakan lelaki terbabit berketurunan Syed tidak dapat mengahwini kekasihnya itu kerana halangan keluarga, tetapi masih bertanggungjawab membesarkan zuriatnya itu bersama kedua-dua ibu bapanya. 

Lelaki yang dikenali sebagai Syed Haiqal, 22, berusaha merahsiakan identiti sebenar anaknya dengan panggilan abang dan adik manakala ibu bapanya memberitahu jiran bayi itu adalah anak angkat diambil daripada keluarga daif. 

Katanya, sikap remaja terjebak dalam masalah sosial berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya keinginan tinggi terhadap melakukan kesalahan, kurang input sosial, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan cabaran media sosial.

Wednesday, November 27, 2013

Hari ini OK, esok terlebih garam

Baru-baru ini, sewaktu dalam perjalanan ke Kota Bharu, saya melihat begitu banyak sekali gerai menjual jagung di sepanjang kiri kanan jalan, terutamanya di negeri Terengganu. Jagung segar berkenaan dijual di gerai-gerai sementara yang dibina berhampiran antara satu sama lain. Gerai-gerai itu juga dibina secara ala kadar, tidak menarik malah ada yang tidak berbumbung pun.
Saya tidak dapat mengira dengan tepat berapa jumlah gerai yang menjual tongkol-tongkol jagung berkenaan, tetapi pasti melebihi 50 gerai. Bagaimanapun saya mendapati boleh dikatakan hampir semua gerai berkenaan tiada pelanggan. Nampaknya, gerai jagung lebih ramai daripada pembeli jagung! 
Kebanyakan gerai pula hanya dijaga oleh kanak-kanak, malah banyak juga yang ditinggalkan begitu saja tanpa ada penjualnya. Saya juga begitu pasti bahawa semua penjaja atau peniaga di gerai-gerai ini adalah orang Melayu. 

Inilah antara masalah atau kelemahan peniaga Melayu di negara ini. Setiap orang mahu menjual produk yang sama di lokasi serupa kepada pelanggan yang mungkin tidak berbeza. Premis jualan juga tidak menarik dan dibina ala kadar. Malah ada yang seperti reban ayam saja. Dalam kata lain, peniaga Melayu kita tidak kreatif di dalam memasarkan produk mereka.

Bersaing sesama sendiri 

Fenomena ketidakkreatifan peniaga Melayu ini dapat juga dilihat di pasar-pasar malam di seluruh negara. Contohnya, jika ada 30 peniaga Melayu di sesuatu pasar malam itu, 20 daripada mereka pasti menjual barangan yang hampir sama, baik pakaian, makanan atau buah-buahan. Akibatnya, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri manakala peniaga bangsa lain, terutamanya Cina, akan menjual produk tertentu yang tidak sama dengan peniaga Cina lain dan pasti tidak akan menjual pakaian atau makanan seperti peniaga Melayu. 

Bukan saja faktor persaingan sebegini yang menjadi hambatan atau kekangan kepada peniaga atau penjaja Melayu, tetapi mereka juga tewas teruk dalam hal persembahan, bungkusan atau pakej produk mereka. Lebih malang, peniaga Melayu juga didapati kurang peramah dan tidak mesra pelanggan. 

Gerai penjaja Melayu biasanya juga kurang menarik, gelap selain susun atur barangan tidak dibuat dengan strategik dan kurang praktikal. Lampu yang digunakan juga malap, berbanding gerai peniaga bangsa lain yang cerah dan terang-benderang, selain barangan jualan dipamer dengan baik, tersusun hingga mampu menaikkan nafsu pelanggan untuk datang membeli. 

Saya masih ingat pada bulan Ramadan lalu ramai peniaga Melayu yang menjual songkok, capal dan kain samping mengeluh kerana jualan mereka terjejas teruk akibat kemasukan produk serupa dari negara Indonesia dan India yang dijual pada harga jauh lebih murah, tetapi mempunyai kualiti dan reka bentuk yang lebih menarik. 

Justeru, untuk produk seperti songkok, capal dan kain samping pun kita tidak mampu bersaing, bagaimana pula untuk barangan lain yang lebih canggih dan perlukan modal besar seperti jentera dan peralatan elektronik? 

Tidak perlu pergi jauh sebenarnya untuk melihat betapa teruk orang Melayu kita ketinggalan di dalam bidang niaga kecil-kecilan ini. Pengusaha restoran kita begitu jauh tercicir jika dibandingkan dengan peniaga restoran Mamak. Restoran Mamak membuka perniagaannya mulai awal pagi hinggalah tengah malam, malah banyak yang membukanya 24 jam sehari. Mereka beroperasi tujuh hari seminggu, 31 hari sebulan. 

Restoran Melayu pula hanya menjual makanan pada waktu tengah hari dan paling lewat hingga jam 9 malam. Banyak pula yang tutup pada kedua-dua hari hujung minggu. Pada Aidilfitri dan Aidiladha pula banyak restoran Melayu tidak membuka perniagaan sehingga lebih seminggu. 

Dalam hal kualiti hidangan juga restoran Melayu masih jauh ketinggalan. Hari ini nasi goreng yang dihidang OK, esok terlebih garam, lusa pula tawar hebeh hingga pelanggan pun tidak tergamak mahu menelannya. Semuanya gara-gara tukang masak yang sering bertukar. 

Kritikan saya ini tidak bertujuan mahu melemahkan semangat peniaga Melayu. Untuk maju dan mampu bersaing dengan peniaga bangsa lain, mereka perlu meningkatkan kemahiran, disiplin dan ilmu dalam perniagaan. Yang penting, produk mestilah bermutu, menarik dan mampu dibeli oleh pengguna.