Apa komen anda mengenai akal dan otak?
Bagi penulis, AKAL merupakan sesuatu yang maknawi dan abstrak manakala OTAK pula sesuatu yang material. Ada pendapat yang mentakrifkan akal itu sesuatu jauhar yang mudah dan pendapat mengatakan akal itu adalah jiwa atau pemikiran.
Satu kaedah menyebut, “Banyaknya nama bagi musamma' (yang dinamakan) menunjukkan mulia atau jeleknya musamma' itu”.
Di mana letaknya akal dan otak? Ada yang mengatakan akal itu letaknya di kepala dan ada juga yang mengatakan letaknya di hati. Manakala otak pula letaknya di kepala. Kalau kita lihat dan renung, Allah Ta’ala memberikan otak kepada makhluknya yang bernyawa tetapi tidak semua yang berotak itu berakal. Sebagai contoh: ayam, ada otak tapi tidak berakal, tidak ada perhintungan dosa pahala, halal haram sesuatu perkara.
Tetapi bagi makhluk yang bernama manusia, Allah Ta’ala kurniakan kepada kita akal sebagai ‘penapis’ untuk memastikan sesuatu perkara itu bertentangan ataupun tidak dengan syariat dan fitrah. Sebab itu pentaklifan hukum syara’ mementingkan akal dan bukannya otak sebagai misalan; solat, antara syarat sah solat ialah berakal dan begitulah seterusnya ibadat-ibadat lain.
Otak hanya berfungsi untuk merealisasikan apa yang ‘ditapis’ oleh akal. Akal yang sihat akan melakukan perkara yang baik manakala akal yang tidak sihat akan melakukan perkara yang sebaliknya. Suatu elemen yang mampu mempengaruhi akal adalah nafsu. Nafsu jika ditemukan dengan akal yang sihat maka akan memberikan impak yang positif kepada manusia. Tetapi, nafsu jika ditemukan dengan akal yang sakit maka akan memberikan impak yang negatif kepada tuannya.
Apakah formula untuk membina akal yang sihat? Setakat yang penulis tahu, terdapat ramai pakar motivasi memberikan tips untuk membina otak yang sihat dan jarang yang memberikan tips untuk membentuk akal yang sihat.
Di sini penulis ingin berkongsi formula untuk membina akal yang sihat:
- Keimanan yang benar kepada Allah Ta’ala.
- Melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.
- Mendengar peringatan.
- Mengingati kematian.
Sebenarnya banyak lagi formula untuk membina akal yang sihat dan apa yang dinyatakan di atas cuma sebahagiannya sahaja.
Sebagai kesimpulannya, jaga dan peliharalah akal kita daripada perkara yang merosakkan. Akal mestilah mendahului nafsu dengan berpaksikan kepada petunjuk Ilahi dan bukan sebaliknya.
Wallahu ‘alam.
No comments:
Post a Comment