Tuesday, September 3, 2013

Syarat mak ayah

“Sudah masuk empat kali lelaki datang meminang tapi semuanya ditolak mentah-mentah oleh mak. Alasannya kerana lelaki itu tidak mempunyai kerjaya kukuh seperti pegawai tinggi dan belum memiliki rumah. Sepanjang itu juga saya cuba mencari pasangan kerana timbul pula rasa risau melihat kawan-kawan yang sudah bahagia dengan keluarga dan anak-anak.
“Tapi sayangnya, rasa fobia dan trauma untuk mengenali lelaki pula wujud dalam jiwa. Mana tidaknya, kalau sudah terlanjur sayang dan tiba-tiba mak masih tidak menerimanya, boleh jadi gila nanti,” kata seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Azura yang kini menginjak usia 30 tahun.
Sejak usia remajanya lagi, Azura berdepan masalah dengan mak dan ayahnya yang terlalu memilih dan cerewet untuk merestui pasangan hidupnya. Ada saja syarat dan kriteria yang ditetapkan, kononnya demi kebahagiaan dan jaminan masa depan.

Ketika di usia 18 tahun hingga tamat universiti, alasan mak masih relevan dan boleh diterima akal kerana ingin melihatnya menamatkan pengajian dulu dan tidak mahu soal cinta mengganggu pelajaran.

Mengenali seorang lelaki ketika mula bekerja masih juga ditolak kerana mak berpendapat biarlah dirinya merasa puas mencari duit poket sendiri dan memberi laluan kepada mana-mana lelaki untuk mengukuhkan kewangan diri sebelum berkahwin.

Tapi hingga usianya kian meningkat ini, mak Azura masih ada saja alasan kononnya tidak yakin lelaki yang datang mendekatinya mampu membahagiakan anak gadisnya ini dengan sempurna. 

Jelas Azura, selepas lama tersepit dengan kemelut tiada penyelesaian ini dan berkali-kali perasaannya seakan dipermainkan, hatinya tertutup dan takut untuk mendekati lelaki. 

“Bayangkan, banyak kali rasanya saya menangis kerana kecewa. Sudah sayang dan yakin dengan teman lelaki, tiba-tiba mak tak izinkan dan menolak sekeras-kerasnya. Tak mungkin saya sanggup melawan kehendak mak yang membesarkan saya selama ini. 

“Ada saja alasan mak untuk tidak membenarkan saya berkahwin dengan mana-mana lelaki yang dilihat kurang sesuai di matanya. Masalahnya, semua lelaki itu tidaklah teruk mana dan masing-masing sudah pun mempunyai kerjaya stabil dan mampu menjamin sara diri. 

“Tindakan mak membuatkan saya menjadi takut untuk bercinta atau membuka ruang kepada mana-mana lelaki. Kalau mak tak setuju nanti, saya yang merana kerana terpaksa memutuskan hubungan. 

“Lebih baik saya serahkan pada takdir dan sebolehnya menjauhkan diri dari lelaki kerana bimbang akan membuatkan mereka pula kecewa,” katanya. 


Bimbang ‘lepaskan’ anak

Ada juga alasan lain yang acap kali diberikan oleh mak dan ayah termasuk berlainan negeri dan berbeza budaya. Contohnya mak menghalang jika anak gadisnya bercinta dengan lelaki kelahiran Kelantan atau pun Kedah kerana bimbang nanti anaknya akan susah untuk pulang beraya.

Malah ada juga lelaki yang berdepan masalah ini kerana mak dan ayah terlalu sayangkan mereka dan tidak mahu anaknya berkongsi kasih dengan individu lain. Kebiasaannya ‘anak mak’ akan lebih cenderung menghadapi kemelut ini.

Ada juga anak lelaki yang terikat dengan tanggungjawab membantu keluarga dulu dan selalunya mereka yang berasal dari pedalaman atau dibesarkan oleh ibu tunggal. Mak akan mengharapkan anak lelakinya itu memikirkan soal keluarga dan adik-beradik terlebih dulu sebelum sibuk memikirkan soal cinta dan teman wanita.

Azura menjadikan teman-teman baiknya sebagai alternatif melepaskan tekanan yang bersarang dalam jiwanya. Pelbagai nasihat yang diterima namun semuanya tidak boleh diguna selagi mak dan ayah berkeras dengan pendirian mereka. 

“Kalau pergi ke rumah kawan-kawan universiti atau rakan sekerja, memang saya akan terasa hati kerana melihat kebahagiaan mereka bersama keluarga dan anak-anak. Teringin sangat rasanya untuk mempunyai keluarga sendiri.

“Semuanya sudah ada, baik harta dan kewangan, fizikal dan kesihatan juga sudah membenarkan saya mendirikan rumah tangga. Tapi sayang mak dan ayah pula cerewet dan tidak mudah mengizinkan saya berkahwin,” katanya lagi. 

Ada benarnya juga kata Azura. Ada saja nasihat atau langkah penyelesaian tidak boleh diguna pakai kerana masalahnya ini bergantung kepada budi bicara si mak dan ayah. Mungkin orang tua pula perlu dinasihatkan oleh rakan sebaya mereka agar sedikit sebanyak boleh juga diterima pakai. 

Tapi kemelut ini bukanlah berakhir dengan jalan buntu sebaliknya sesiapa saja yang berdepan masalah sama seperti Azura masih boleh berusaha mencari jalan terbaik untuk berkomunikasi dengan mak dan ayah.

Semuanya kini bergantung kepada bagaimana cara dan gaya untuk anda bersemuka dengan mak dan ayah menjelaskan perasaan di hati.


Halangan si cerewet

Isu kahwin lari dan membelakangkan keluarga sudah biasa kita dengar. Lebih 80% daripada punca masalah itu adalah desakan ibu bapa yang terlalu cerewet dan tidak merestui hubungan mereka. 

Adakah mak dan ayah mahu melihat anak mereka berkahwin dengan cara yang salah?

Itu adalah alasan terbaik yang boleh digunakan. Soal jodoh dan tuntutan batin adalah sesuatu yang normal bagi manusia dan kejadian itu tidak sepatutnya disekat atas alasan yang tidak munasabah. 

Jika sudah lengkap dengan aspek fizikal dan mental, sempurna pada soal kewangan dan harta, maka itu bermakna seseorang sudah sedia untuk mendirikan rumah tangga. Ia digalakkan untuk mengelakkan maksiat dan dosa lain. 

Justeru mengapa ada lagi unsur lain yang cuba menghalang? 

Tapi apabila ia dihalang oleh ibu bapa yang cerewet seperti ini, masih ada cara lain yang boleh dilakukan bagi menyelesaikannya dengan cara baik. Seperti kata orang tua, tarik rambut dalam tepung, rambut dapat dan tepung juga tidak berselerak. 

Perlu ada komunikasi yang baik, pujuk dan merayu dengan alasan yang kukuh bagi meyakinkan orang tua kita akan masa depan dan kepentingan untuk mendirikan rumah tangga. 

Jangan sampai wujud pula rasa trauma dan fobia seperti mana Azura kerana tidak mahu lagi dikecewakan atau mengecewakan mana-mana lelaki yang bergantung harap. Itu sudah kronik dan fasa yang membahayakan. 

Mana tahu, ia boleh mendorong kepada sakit jiwa dan otak pula. Ia bukan mustahil kerana sudah banyak kes direkodkan membabitkan pasangan kekasih yang kecewa hingga melarat menjadi masalah mental. 

Doa dan sembahyang jangan sekali putus kerana Tuhan mendengar dan sangat memahami. Insya-Allah jika benar tujuan dan permintaan itu, ada jalan cuba dibuka. Mohon agar hati mak dan ayah dilembutkan dan berikan sedikit keyakinan kepada mereka yang masa depan anda terjamin.

No comments:

Post a Comment