Friday, July 30, 2010

Menahan Diri Daripada Marah



Marah apabila tidak dibendung maka akan membawa kepada perkara di luar batasan. Maka, Islam mengajar kita cara-cara untuk menahan marah.

Pertama

Melatih diri untuk bersifat baik dan positif seperti lemah lembut, baik hati, sabar, tenang dalam menghadapi apa jua situasi. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan contoh terbaik kepada kita dalam hal ini.

Suatu hari seorang lelaki yang bernama Zaid bin Sa’nah (sebelum keIslamannya), datang berjumpa Nabi Muhamad s.a.w. untuk meminta hutang daripada Nabi s.a.w.. Namun, hutang tersebut belum masanya lagi untuk dibayar. Zaid datang dengan penuh kekerasan dan kekasaran. Nabi menyambut kedatangan Zaid dengan senyuman dan berlapang dada. Umar mengherdik Zaid atas kekasaran Zaid terhadap Rasulullah s.a.w.. Maka, Nabi pun berkata kepada Zaid dan Umar:



“Aku dan dia (Zaid), kami lebih memerlukan kepada sikap yang lain daripada apa yang kamu tunjukkan wahai Umar. Engkau sepatutnya menyuruh aku supaya membayar dengan baik dan menyuruh lelaki tadi (Zaid) meminta dengan cara yang baik.”

Nabi meminta sahabat untuk membayar hutang tersebut. Namun Nabi telah membayar lebih daripada hutang tersebut sebagai tanda memujuk Zaid atas sikap Umar. Dengan sikap dan akhlak yang ditunjukkan Nabi maka, akhirnya Zaid memeluk Islam.

(HR Ibnu Hibban al-Hakim dan at-Thabrani)

Kedua

Hendaklah seseorang itu menguatkan jiwanya ketika mana dia hendak marah, kemudian ingat tentang akibat buruk marah dan mengingati kelebihan orang yang menahan marah dan memaafkan kesalahan orang lain. Firman Allah S.W.T.:

“Orang-orang yang bertakwa ialah orang yang berinfaq baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”

(Surah Ali Imran : 134)

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di depan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari.”

(HR Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)

“Tidak ada seseorang hamba menahan marah kerana Allah Ta’ala melainkan Allah akan memenuhinya dengan keamanan dan keimanan.”

(HR Abu Daud)

Ketiga

Meminta perlindungan kepada Allah Ta’ala daripada syaitan yang direjam. Firman Allah Ta’ala:

”Dan jika syaitan datang menggodamu maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”

(Surah Al-A’raf : 200)

Dua orang lelaki bermaki-makian di depan Nabi. Salah seorang daripada mereka memaki seorang lagi dengan keadaan merah padam mukanya kerana kemarahan. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:

”Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah kalaulah kalimah tersebut diucapkan oleh orang yang marah itu nescaya akan hilang kemarahannya iaitu - aku berlindung dengan Allah Ta’ala daripada syaitan yang direjam (ta’awwuz).”

(HR Bukhari dan Muslim)

Keempat

Orang yang marah hendaklah mengubah kedudukannya dari berdiri kepada duduk, apabila kedudukan seseorang yang marah itu berdiri maka memudahkan dia untuk mengambil tindakan atas amarahnya.[Fakta Sains: Klik Di Sini]

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya :

”Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya hendaklah dia berbaring secara mengiring.”

(HR Ahmad dan Abu Daud)

Kelima

Diam kerana kata-kata boleh menambahkan kemarahan dan kata-kata yang telah dilafazkan membuatkan timbul rasa penyesalan ketika perasaan marah telah reda.

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:

”Apabila seseorang kamu marah hendaklah dia diam" - Nabi s.a.w. mengucapkannya 3 kali.

(HR Ahmad, Tarmizi dan Abu Daud)

Keenam

Berwudhuk. Di mana kemarahan datang daripada syaitan yang dicipta daripada api. Maka yang demikian, yang dapat memadamkn api adalah air yang dapat diperoleh daripada berwudhuk demikian dengan izin Allah dapat meredakan kemarahan.

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya kemarahan adalah daripada syaitan dan syaitan dicipta daripada api, apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah dia berwudhuk.”

(HR Ahmad dan Abu Daud)

“Ketahuilah sesungguhnya kemarahan adalah bara yang marak menyala di dalam hati anak adam.”

(HR Ahmad dan Tarmizi)
"

No comments:

Post a Comment