Wednesday, February 19, 2014

Kelu berbual

Kalau dengan kenalan baru, isu susah nak bergaul atau memulakan perbualan bukanlah perkara baru, sebaliknya ia normal kepada kebanyakan orang kerana sikap peramah bukannya karakter ‘wajib’ kepada seseorang individu.
Contohnya apabila kita hadir di sesebuah majlis yang tiada kawan atau kenalan, masuk ke universiti atau sekolah baru ataupun memulakan pekerjaan di pejabat baru, tidak berbual dan ada rasa malu adalah normal.
Namun kalau dengan kawan sekelas, jiran tetangga, adik-beradik dan ibu bapa sendiri pun susah nak berinteraksi ataupun rasa janggal untuk bersembang, itu memang satu masalah yang harus dipandang serius.

Selalunya sikap orang yang susah nak berbual dan rasa segan untuk menegur kita gelar mereka sebagai pemalu. Sikap ini bagaimanapun semakin berkurangan pada zaman sekarang kerana anak muda hari ini sememangnya jenis yang suka berkawan.

Tetapi tidak mustahil dan memang banyak direkodkan ada juga anak muda bersikap ‘pemalu melampau’ sehingga dalam kalangan teman sendiri pun jarang sekali berbual, apatah lagi sembang bergelak ketawa.

Lebih parah, ada juga beberapa teman yang mengadu mereka ada masalah untuk berbual dan bersembang bersama adik-beradik dan ahli keluarga sendiri. Kebanyakan mereka rasa janggal dan pelik untuk bersembang mesra.

Apabila ditanya sepatah, jawapan diberikan juga sepatah. Jika usia kecil atau zaman kanak-kanak mungkin kita boleh kategorikan tidak pandai beramah mesra, tapi apabila masalah ini berlanjutan sehingga besar panjang, itu perlukan penyelesaian.

Mengapa ia berlaku dan bagaimana pula untuk menyelesaikan masalah ini?


Membina hubungan

Memetik laporan psikologi dan berdasarkan pemerhatian kebanyakan jurnal karakter anak muda, personaliti seseorang berbeza dan unik. Ahli psikologi menjelaskan terdapat personaliti jenis ekstrovert dan introvert.

Sesuatu yang normal apabila individu sukar untuk membina hubungan dengan orang yang baru dikenali mahupun sanak-saudara dan rakan-rakan berdasarkan faktor personaliti dan faktor lain.

Masalah tidak pandai berbual boleh cuba diatasi melalui beberapa petua termasuklah pertamanya, perlu sedar yang kebanyakan rasa ketakutan hanya berada dalam diri. Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu membentuk satu imej pemikiran yang sihat apabila bertemu dengan orang.

Ada individu yang melihatnya sebagai satu peristiwa yang menakutkan kerana bimbang perlu membuat satu ekspresi yang baik apabila bertemu orang lain. Semakin banyak kita memikirkan perkara ini, semakin menakutkan. Rasa malu kepada orang lain lahir hasil daripada ketakutan ini.

Dalam usaha untuk memudahkan perbualan, perkara lain ialah baik jika kita dapat mulakan perbualan yang kecil dengan orang yang kita ingin berbicara. Seterusnya, biasakan dengan menyertai kumpulan atau persatuan yang diminati.

Mungkin boleh memulakan perbualan dengan bertanya mengenai waktu jika kebetulan anda tidak memakai jam tangan. Boleh juga kalau anda sudah ada sedikit keyakinan, puji saja pakaian, kasut ataupun imej yang digayakan seseorang itu.

Banyak kumpulan pertemuan atau persatuan yang ada. Kita juga boleh menghadiri kursus atau bengkel yang menjadi tempat berhimpun individu yang mempunyai masalah sama seperti kita.

Dalam membina persahabatan, anda juga boleh membabitkan diri dengan kerja kebajikan. Rasanya itu adalah salah satu langkah terbaik untuk anda yang begitu pemalu untuk memulakan perbualan.

Menyertai persatuan dan melakukan sesuatu kerja adalah bonus untuk anda berbual dengan sesiapa saja kerana topik perbualan lebih fokus mengenai kerja atau tugasan yang sedang dilakukan.


Jadi diri sendiri

Berhubung melalui Internet adalah satu usaha baik untuk memulakan sesuatu persahabatan sekiranya anda jenis yang begitu pemalu untuk berinteraksi secara berdepan. Ramai yang mendapat pasangan hidup bermula dengannya.

Anda tidak perlu berdepan dengan seseorang individu itu, tidak kenal personalitinya dan penting antara anda dan si dia masih tidak mengenali atau pernah berjumpa. Itu lebih senang untuk katakan ‘hello’ kepadanya.

Memulakan perbualan memerlukan kita membuat langkah pertama. Jangan tunggu untuk orang lain menegur atau memulakan perbualan. Anda kena ambil inisiatif untuk bertegur sapa.

Mulakan perbualan anda dengan yang mudah dan kecil. Memberi salam atau bertanya khabar adalah contoh yang baik. Sikap tidak menghukum orang lain juga dapat membantu dalam merancakkan perbualan dan membina persahabatan. Jangan terlalu mendesak untuk membina sesuatu persahabatan.

Berikan persahabatan ruang untuk berkembang. Anda juga perlu berhubung secara ikhlas. Apa yang sering berlaku ialah kita terlalu memikirkan mengenai diri sendiri sehingga terlupa mengenai keperluan orang lain.

Apa yang selalu kita fikirkan ialah apa yang orang lain akan fikirkan terhadap kita, apa yang perlu kita cakap dan juga apa langkah yang perlu kita ambil seterusnya. Perkara ini menghalang kepada pembinaan sebuah perhubungan yang baik.

Apa yang lebih penting ialah jadilah diri sendiri. Jangan ubah diri semata-mata untuk mencari kawan.

Jika ada dalam kalangan kita anak muda berdepan masalah untuk berinteraksi sesama ahli keluarga pula, anda boleh cuba mengatasinya dengan menerangkan personaliti anda sebenar kepada ahli keluarga agar mereka tidak fikir negatif terhadap karakter anda.

Beritahu dan berkongsilah dengan keluarga anda atau salah seorang adik-beradik yang paling akrab dengan anda mengenai masalah diri. Secara psikologinya, individu akan dapat berbicara dengan baik dan rancak apabila berasa selesa dengan personaliti individu.

Tidak hairan apabila dengan kelompok yang disukai, anda tidak menghadapi sebarang masalah berkomunikasi.

No comments:

Post a Comment