Monday, December 26, 2011

Aku Juga Mampu

Sedar tidak sedar dunia semakin tua, masa semakin pantas berlalu. Rambut yang dahulunya hitam sudah kelihatan sedikit keputihan. Kudrat yang dahulunya gagah sudah semakin lemah.
Wajah yang dahulunya jambu sudah menjadi layu. Ini semua bukti kepesatan masa yang tidak mampu sesiapa pun mengawalnya.
Dalam keadaan sebegini kita sebenarnya memerlukan satu dahan untuk berpaut. Berpaut dari terus dihanyutkan arus dunia yang entah membawa kita ke arah mana. Kita perlukan dahan sebegitu teguh dan kuat kerana bukan hanya kita sahaja yang mahu memautnya tetapi juga ayah, ibu, rakan, teman dan semua mereka yang tidak mahu terus tenggelam oleh tsunami masa gila.
Usah terus dipermainkan oleh dunia tetapi kitalah yang harus mempermainkanya. Kata ustaz di masjid kelmarin, hanya jika benar kita faham apa makna dunia, maka tiada langsung niat mengejar kemewahan yang menggila ini akan terlintas.
Tidak terfikir nanti mahu memiliki kereta mewah skyline atau lancer. Tidak terfikir mahu memilik i-phone dan tidak berminat mengejar chikaro cantik berdahi lincin dan berdagu runcing. Ini semua permainan dunia.
Siapa kata tidak mahu bercinta?
Siapa kata tidak cemburu dan jeles melihat kalian berpegang tangan dan berpesta. Itu belum masuk bercumbu cendana di bawah pohon mangga. Cemburu dan jeles. Aku juga punya nafsu, aku juga punya cinta. Adakah kamu percaya?
Aku ada henset yang cukup kreditnya untuk sms setiap masa. Aku punya cukup wang mahu keluar berdating dan menonton wayang juga. Walaupun henset aku murah dan bukan i-phone tetapi aku mampu untuk bergayut berjam-jam bersama yang tercinta. Ya, aku mampu melakukanya seperti apa yang kau lakukan bersama si dia!
Cuma aku tidak mampu untuk menghina agama. Agamaku cantik, bersih, lengkap dan indah. Tuhan aku dan Rasul aku tidak pernah sesekali mengizinkan perhubungan anatara bukan mahram sebelum akad terlaksana. Cuma itu sahaja beza upaya kita.
Ini sahaja yang aku tidak mampu melawannya tetapi kau yang terlalu berani membuat langkahan sedemikian rupa. Cuma, aku berjanji dan bersumpah andai sudah terlaksana akad yang penuh makna suatu hari nanti, wanita itu akan menjadi permaisuri paling berharga kerana cintaku tidak pernah ternoda.
Pada Allah S.W.T tempat aku berpaut dan berdoa, semoga terus melindungiku dari tsunami dunia yang menggila. Semoga aku, kau dan mereka terus berpaut pada dahan yang sama.

Insan Datang Dan Pergi

Sepanjang hidup kita, tidak terkira insan-insan yang hadir dan yang pergi. Ada yang hadirnya hanya seketika seperti bayu. Dia datang dan pergi begitu sahaja tanpa terkesan apa-apa dan mungkin kita tidak perasan pun akan kehadirannya, begitu juga dengan dia.
Ada pula yang datang dan begitu setia dengan kita tetapi kita tidak rasa pun kepentingan dirinya untuk terus bersama kita. Malah kadangkala mungkin kita rasa lebih baik dia tidak wujud daripada dia tidak memberi apa-apa manfaat untuk kita sehinggalah dia pergi buat selama-lamanya.
Ketika itulah baru kita rasa betapa dia sangat penting untuk kita. Pada masa itu, baru kita perasan kebaikan yang dia pernah buat untuk kita atau untuk insan-lain lain di sekeliling kita.
Pada masa itu juga, sudah tidak guna kita menangis kekesalan kerana tidak menghargai kewujudannya. Hanya doa dapat kita hadiahkan agar dirinya dirahmati di alam sana.
Ada pula yang sentiasa di sisi kita. Di saat kita susah dan juga senang. Dia sanggup buat apa sahaja untuk kita. Namun bagi kita, dia tidak lebih daripada tempat untuk meluahkan perasaan, tempat yang kita cari apabila menghadapi masalah tetapi di saat kita bahagia atau berjaya, kita seakan-akan terlupa akan kewujudannya.
Namun dia masih setia. Bila-bila masa sahaja kita cari dia, dia pasti ada untuk kita tetapi kita perlu tahu, dia juga manusia. Mungkin dia pernah makan hati dengan sikap kita. Cuma di hadapan kita, dia mungkin cuba sembunyikan perasaan itu sebaik mungkin.
Seandainya kita masih dungu, tidak mustahil suatu hari nanti dia akan membawa diri meninggalkan kita. Oleh itu, hargailah kewujudannya selagi mana dia masih di sisi kita.
Ada pula yang hadirnya berbeza dengan apa yang kita duga. Mungkin kita rasa dekat sangat dengannya membuatkan kita rasa mahu sahaja selalu bersama dengannya tetapi kita tidak tahu dalam hati dia mungkin dia rimas dengan kita. Kadangkala kita dapat capai dan genggam tangannya, tetapi belum tentu hati dia, kita dapat selami.
Mungkin kadangkala kita dapat melihat dia ketawa, tetapi kita tidak tahu apa makna disebalik senyumannya. Mungkin dia memang tidak suka berkongsi duka dengan sesiapa atau dia sememangya dia tidak percayakan kita.
Apabila dia menangis, kita ingat kehadiran kita dapat memujuknya, walhal kehadiran kita langsung tidak disenangi dan mungkin juga secara tidak sedar kitalah sebenarnya yang membuatkan dia menangis. Dalam keadaan seperti ini, kita perlu sedar, sebenarnya kehadiran kita banyak menyusahkan hidupnya. Kita perlu faham dia mungkin tidak sampai hati untuk memberitahu kita supaya meninggalkannya dan jangan menyusahkan hidupnya.
Ada juga yang hadirnya memberikan sinar dalam hidup kita. Apabila berada bersamanya kita rasa begitu tenang dan kita rasa tidak mahu berpisah dengannya. Kita sanggup lakukan apa sahaja agar dapat bersamanya. Kita jaga hati dia agar dia tidak terluka. Kita sanggup jadi tempat dia meluahkan segala masalah dia.
Kadangkala kita sendiri tidak sedar yang kita telah menjadi seorang yang sangat baik apabila bersama dengannya tetapi akhirnya, tanpa sebarang sebab, tiba-tiba kita ditinggalkan. Kadangkala kita langsung tidak faham dan tertanya-tanya, kenapa kita ditinggalkan?
Kita rasa kita sudah lakukan yang terbaik untuknya tetapi masih ditinggalkan. Kesannya mungkin sangat mendalam kerana kehadirannya benar-benar bermakna dalam hidup kita. Dalam keadaan ini, kita mungkin akan berubah sepenuhnya. Hati kita cukup terluka sehingga tidak sanggup untuk membuka hati kita untuk kehadiran insan lain.  Kita juga tidak akan mendengar apa sahaja nasihat daripada insan-insan lain di sekeliling kita, hanya masa yang dapat menyembuhkannya.
Ada pula yang hadirnya menyembuhkan luka kita. Hadirnya banyak memberi sokongan dan dorongan kepada kita agar meneruskan kehidupan. Dia umpama pakar kaunseling untuk kita. Dia banyak mengingatkan kita, menyedarkan kekurangan kita dan mengubah tabiat buruk kita yang mungkin menjadi penyebab kenapa kita ditinggalkan.
Secara tidak sedar, kita sudah pulih daripada luka lama di atas nasihat dan sokongan darinya. Pada pandangannya, mungkin dia ingat kita sudah boleh berdiri sendiri dan mungkin dia rasa kita dah betul-betul pulih. Lalu dia meninggalkan kita.
Bagi kita pula, selama ini kita harapkannya akan terus bersama dengan kita. Kita hanya kuat apabila dia ada bersama kita, sedangkan dia tidak tahu sebenarnya segala kekuatan dan ketabahan itu ada bersamanya. Apabila dia pergi, maka hilanglah kekuatan itu dan kita terus mencari diri. Terasa sudah tidak percaya lagi kepada sesiapa pun, terasa ingin hidup sendiri, berdikari dan tidak mahu bergantung hidup pada sesiapa pun.
Tanpa kita duga atau tanpa kita harapkan ada pula insan yang sebelum ini pernah meninggalkan kita kembali semula ke pangkuan kita. Namun hati kita sukar kita fahami. Mungkin dengan senang hati kita dapat terima dia semula atau mungkin juga kita tidak dapat terima dia kerana sememangnya kita tidak pernah maafkannya kerana meninggalkan kita.
Dalam hati kita meraung dan bertanya, kenapa baru sekarang, bukan tiga atau empat tahun dahulu?
Mungkin juga hati kita dah tersangat keras atau sudah mati. Hati kita sudah tidak dapat terima dia lagi walaupun kita sudah memaafkannya lama duhulu. Mungkin juga dengan kehadirannya semula membuatkan hati kita yang masih berparut kembali terluka kerana dengan kehadirannya menjadikan kita ingat semula kedukaan lalu yang sebelum ini sudah terpadam dalam memori hidup kita.
Begitulah rencah dunia, kita tidak akan tahu siapa kawan dan siapa lawan sehinggalah sampai satu masa kita jatuh. Adakah tangan itu akan menghulurkan bantuan atau kita akan ditinggalkannya.
Kita tidak perlu risau memikirkan tangan mana yang akan menghulurkan bantuan dan tangan mana yang akan berpeluk tubuh dan seterusnya meninggalkan kita di saat kita sangat-sangat memerlukannya kerana apabila kita ikhlas menghulurkan tangan tidak kira kepada sesiapa pun, pasti akan ada tangan lain yang akan menghulur di saat kita memerlukan biarpun tangan tersebut bukanlah tangan yang pernah kita bantu dahulu.
Oleh itu, lebih baik kita bersifat ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada manusia. Berharaplah hanya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Kita juga perlu sentiasa ingat, hidup kita sentiasa berputar. Jika kita pernah meninggalkan seseorang atau melukakan hati seseorang, tidak mustahil kita juga akan dilukai dan ditinggalkan suatu hari nanti dan mungkin kita akan dapat yang lebih teruk daripada apa yang pernah kita lakukan pada orang lain.

Perkataan Syukur Yang Dilupai

Ya Allah..Alhamdulillah, aku seorang Muslim
Ya Allah..Alhamdulillah, aku hidup sekarang
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat bernafas sekarang
Ya Allah..Alhamdulillah, aku sihat sekarang
Ya Allah..Alhamdulillah, aku sempurna fizikal
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada rumah
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada ibu dan bapa
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat makan
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat minum
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat pakaian
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada kerja
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat bersekolah
Ya Allah..Alhamdulillah, aku hidup dalam keadaan aman
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat berhibur (cara yang terbatas)
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada sahabat
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat tidur dengan nyenyak
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat menikmati udara segar
Ya Allah..Alhamdulillah
Ya Allah..Alhamdulillah!
Fikirkan, ramai manusia yang mengakui dia Islam, tetapi, adakah dia sudah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam? Adakah hidupnya mengikut cara Islam? Solat 5 waktu? Puasa? Baca Al-Quran? Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?
Fikirkan, kita sedang bernafas sekarang, adakah kita gunakan hayat kita dengan sebaiknya? Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?
Fikirkan, kita sihat, tanpa penyakit buat masa sekarang, adakah kita gunakan masa sihat kita dengan sebaiknya? Dan adakah kita marah atau mengeluh dengan Allah jika kita ada penyakit? Ingat, penyakit merupakan tanda kasih Allah supaya kita ingat pada-Nya..SubhanAllah.. Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?
Fikirkan, kita ada rumah, makanan, minuman,pakaian dan pelbagai nikmat dari segi harta.. adakah kita makan dan minum, kita mulakan dengan Bismillah? Adakah kita menutup aurat ketika berpakaian dan kerana Allah Ta'ala? Adakah kita berhias mengikut cara Islam? Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?
Fikirkan, kita dapat berhibur (melalui cara terbatas), tetapi kadang-kadang kita terlupa, terlebih berhibur, lalai dan leka..
Fikirkan, kita hidup di Malaysia.. negara yang aman daripada peperangan (tidak termasuk perang politik). Kita dapat tidur dengan nyenyak, tiada bunyi bom, pistol dan segala jenis senjata. Tidak seperti di Iraq, Bosnia dan sebagainya. Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini? Seperti dalam Surah Ar-Rahman..Allah menekankan ayat ini sebanyak 31 kali.
"Maka nikmat Tuhan kamu yang mana satukah yang kamu dustakan?" (Surah Ar-Rahman)
Kerana manusia itu mudah lupa, lalai dan leka dengan nikmat Allah yang terlalu banyak ini sehingga tidak terkira. Kadang-kadang kita lupa nak ucapkan:
"Terima kasih ya Allah! Terima Kasih! Alhamdulillah, nikmat yang Engkau berikan kepada ku amat banyak! Syukran ya Allah!"
Kadang-kadang kita lupa nak berterima kasih kepada Allah dengan cara beribadah kepada-Nya..kita lupa...lalai..
Kadang-kadang kita terlalu banyak merungut, "Kenapa aku tak dapat yang ini? Kenapa Allah kasi aku yang ini?!"
Tetapi kita tidak sedar, kita tak tanamkan dalam diri bahawa Allah itu Maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.. Kadang-kadang kita tidak sedar, Allah hanya meminjamkan kekayaan Dia kepada kita, tetapi kita? Dengan kekayaan itulah kita gunakan untuk menentang Tuhan Yang menciptakan alam ini.. Na'uzubillah..
Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita muhasabah diri masing-masing..

6 Petua Untuk Berjaya

Apakah sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya dan berhemah tinggi? Mengapakah mereka terus menempa kejayaan demi kejayaan sedangkan dalam masa yang sama orang lain terus dilanda masalah?
Jawapannya ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi. Mereka mengendali setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka juga memahami enam prinsip yang berhubungkait dengan jenis masalah.
Penulis yang menemui jawapan ini dalam buku "Tough Times Never Last, But Tough People Do" oleh Dr. Robert H. Schuller ingin berkongsi dengan semua pembaca iluvislam.com tentang bagaimana untuk menuju kejayaan. 6 petua ini dipetik daripada buku tersebut.
1. Setiap Insan Yang Hidup Mempunyai Masalah
Apakah masalah anda? Anda tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin anda berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan semua masalah akan lenyap. Mereka yang mempunyai pekerjaan juga bermasalah. Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun pagi untuk ke tempat kerja setiap hari kerja. Dan ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai.
Sesetengah  orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai ketua yang menghadapai masalah, sama ada dari segi perhubungan atau pun pengurusan kakitangan.
Jadi bagaimanakah keadaan dengan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap kejayaan tidak menghapuskan masalah, ia melahirkan masalah yang baru. Terimalah ini sebagai satu hakikat hidup seharian.
2. Setiap Masalah Mempunyai Jangka Masa Yang Terhad
Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua.
Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh kebelakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kamanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju kemercu kejayaan secara perlahan-lahan.
3. Setiap Masalah Harus Mempunyai Pengaruh Positif
Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada untuk diri anda atau pun orang lain. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal perniagaan yang menguntungkan untuk orang lain. Contohnya, seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang panasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai muflis.
Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain.
4. Setiap Masalah Boleh Mengubah Sikap Anda
Sebagai contoh, kita kadang kala tersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi bila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya.
Sebenar ia dahulunya bekerja sebagai guru. Tetapi sebagai seorang guru yang menjemukan, ia telah menimbulkan banyak masalah kepada majikannya hingga ia diberhentikan kerja. Kerana marah disebabkan pemberhentian kerjanya, ia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa ia juga boleh berjaya dalam hidup.
Kini ia bersyukur kerana dibuang kerja kerana peristiwa itu membuat ia sangat marah hingga bertekad untuk terus berusaha hingga berjaya.
5.  Anda Boleh Buat Pilihan Untuk Mengawal Masalah
Anda mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi anda boleh merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya anda mengawal rancangan tindakan balas terhadap masalah hidup, bermakna anda telah dapat mengawal masalah yang melanda diri sendiri.
Masalah boleh membuat anda lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh membuat anda hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung kepada diri anda.
6. Setiap Masalah Mempunyai Tindak Balas Yang Negatif dan Positif
Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan yang menyulitkan. Kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia bukan satu perkara yang mudah.
Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini apakah tindakan positif yang harus diambil? Larikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum hingga mabuk atau sebagainya?
Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru.
Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang. Jika mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil secara undang-undang dan terhormat ialah menerima diisytiharkan sebagai muflis oleh mahkamah.
Pendek kata "Sekiranya anda tidak dapat selesaikan masalah, maka anda harus mengendalikannya".

Allah Ajarkan Tentang Menjaga Perasaan Ibu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani kita semua setiap saat dan setiap ketika.
Jika dikumpulkan semua kasih sayang ibu di dunia ini dari zaman Nabi Adam sehingga kiamat nanti tidak akan dapat menyamai kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya.
Bayangkan kasih seorang ibu, cubalah kita ukur kasihnya kepada anaknya, boleh diukur?
Sekiranya ada alat yang boleh mengukur kasih sayang ibu pastinya tak terbaca alat itu kasih dan sayangnya seorang ibu kepada anak-anaknya kerana setiap kali ia ingin mengukurnya, saya yakin bacaannya akan sentiasa melebihi had ukuran alat itu.
Cuba bayangkan ukuran kasih dan sayang Allah pada hamba-Nya.
Saya tidak dapat menceritakan peristiwa yang berlaku yang membuatkan saya faham kerana saya khuatir ia boleh menyinggung hati mereka yang terlibat di dalam peristiwa tersebut.
Namun di dalam peristiwa ini saya diajarkan Allah bahawa seorang ibu itu pastinya tidak sempurna kerana seorang ibu adalah manusia yang mempunyai banyak kelemahan seperti kita juga.
Saya perhatikan dan amati di dalam masyarakat kita banyak sifat ibu yang mungkin menyebabkan anak-anak tidak begitu gembira, contohnya suka berleter, lebih menyayangi anak yang lain (persepsi), suka menjerit (saya pernah mendengar seorang ibu yang asyik menjerit pada anak-anaknya dari mula saya datang kerumahnya sampai saya balik), suka membazir, suka menunjuk-nunjuk, suka mengumpat menantu, suka bersolek dan sebagainya.
Apapun kelemahan ibu, kita tidak boleh sama sekali mengecilkan hatinya baik dengan apa cara sekalipun.
Sebagai manusia biasa yang hatinya boleh terluka, saya yakin antara luka yang paling dalam adalah apabila dilukai oleh anaknya sendiri.
Anak yang disusuinya, anak yang membuatkan dia tidak tidur malam berhari-hari, anak yang dijaganya seperti menatang minyak yang penuh.Kita wajib menghormati ibu pada setiap waktu.
Ada seorang yang saya kenali yang suka bertanya kepada Allah di dalam urusan kehidupannya.
Pada suatu hari dia mengatakan bahawa dia sangat bersyukur dibimbing Allah, diberi hidayah oleh Allah sehingga dia dapat mengenali Allah dan mendapat nikmat ketenangan hidup di bawah lembayung rahmat kasih sayang Allah.
Satu hari ketika out-station di Perak, dia mengatakan bahawa dia mahu tahu kenapa Allah memilih dia dari kalangan keluarganya dan saudara-maranya untuk diberi hidayah, kerana kehidupan yang dilalui sama seperti mereka tetapi Allah memilihnya untuk diberi-Nya petunjuk. Maka dia pun bertanya kepada Allah.
Alhamdulillah menurutnya, tidak sampai beberapa saat dia bertanya Allah memberikan jawapannya.Mahu tahu apa jawapannya?
Allah terus mengingatkan kepadanya kisah ketika dia masih seorang pelajar.
Ketika di universiti, dia bekerja sambil belajar dan hampir semua wang yang diperolehinya ketika belajar itu diberikannya kepada ibunya. Hebatnya ganjaran Allah kepada seseorang yang menjaga ibunya.
Tiada ganjaran yang lebih bermakna dari ganjaran hidayah dan petunjuk Allah.
Namun balasan Allah juga pastinya hebat bagi seseorang yang menyakiti hati ibu.Ampuni kami Ya Allah.
Setelah diberi kefahaman ini, saya terbayangkan pengorbanan ibu saya yang membesarkan saya dan adik-adik sebagai ibu tunggal.
Setiap petang apabila ibu saya pulang dari kerja, walaupun keletihan, ibu akan terus ke dapur untuk memasakkan kami makanan.
Saya masih dapat melihat keletihan ibu ketika itu dan masih dapat membayangkan keletihannya menguruskan kami.
Pastinya kita tidak dapat membalas kasih dan pengorbanan ibu tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk menjaga perasaan dan tidak melukakan hatinya.
Semoga Allah mengampuni kita di atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan yang telah mengecilkan hati ibu.
Sekiranya ibu kita masih ada bersyukurlah kerana ibu akan mendoakan kita setiap hari.
Insya-Allah.sekiranya ibu kita sudah tiada, doakanlah keselamatan untuknya di alam sana sebagaimana dia sering mendoakan kita ketika hayatnya.

Dunia Atau Akhirat?

Pada zaman moden kini, ramai yang telah lupa tanggungjawab masing-masing sebagai manusia terutamanya remaja. Mereka terlalu lalai dengan duniawi sehingga melupakan tugas mereka di dunia ini sebagai pengembara sehingga lupa kepada pencipta mereka sendiri iaitu Allah S.W.T.
1) WAKTU
Manusia sentiasa menjaga atau lebih tepat lagi menepati waktu mereka sesama manusia.
Di mana mereka cepat menggelabah apabila tidak dapat menepati waktu yang di janjikan dengan orang sekeliling kerana khuatir di kenali sebagai seorang yang tidak menepati masa.
Sebaliknya, manusia tidak menjaga waktu mereka dengan Allah S.W.T.
Manusia tidak menjaga waktu solat. Di mana mereka sering melambatkan waktu solat. Kebanyakan manusia suka menunaikan solat di akhir waktu.

2) PATUH KEPADA PERINTAH
Manusia sentiasa patuh kepada perintah manusia.
Kekasih patuh kepada kepada pasangannya sehingga sanggup menyerahkan segala-galanya demi cinta.
Sebaliknya, manusia tidak patuh kepada Allah S.W.T.
Lelaki dan perempuan tidak patuh kepada perintah Allah S.W.T di mana Allah S.W.T mewajibkan supaya menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan sehingga ada yang terjerumus ke dalam maksiat dan mengakibatkan lahirnya anak di luar nikah.
"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya."(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

3) MENGHORMATI PENDAPAT/KEPUTUSAN
Manusia menghormati pendapat orang di sekeliling.
Rakan menghormati pendapat rakan yang lain kerana khuatir akan membuatkan rakan yang memberi pendapat akan berkecil hati.
Sebaliknya, manusia tidak menghormati keputusan Allah S.W.T.
Manusia mudah kecewa, sedih apabila tidak mendapat apa yang mereka inginkan. Mereka menganggap hidup tidak sempurna dan bernasib malang.
Sedangkan manusia tidak pernah tahu bahawa Allah S.W.T punya sejuta alasan di atas segala yang berlaku dalam kehidupan manusia. Tetapi manusia tidak sedar bahawa Allah S.W.T lebih berkecil hati dengan tindakan kita yang memperkecilkan kebesaran-Nya.
"Allah S.W.T tidak memberikan apa yang kita inginkan dalam hidup, tetapi Allah S.W.T memberikan apa yang kita perlukan dalam hidup."

4) SABAR
Manusia sentiasa sabar dengan manusia lain.
Manusia sabar dengan kerenah manusia lain sehingga sanggup bersabar semampu mungkin demi menjaga hubungan.
Sebaliknya, manusia tidak sabar dengan Allah S.W.T.
Manusia tidak bersabar sedikit pun akan ujian yang Allah S.W.T berikan. Manusia cepat berputus asa kerana merasakan penantian untuk memperoleh sesuatu terlalu lama.
Ingatlah bahawa ada hikmah di sebalik setiap dugaan dan cabaran yang kita hadapi. Sebenarnya Allah S.W.T hendakkan hamba-Nya kembali kepada-Nya. Mengadu kepada-Nya lantaran sebelum ini kita semakin jauh, lalai dan lupa kepada-Nya.

5) HUBUNGAN
Manusia sentiasa menjaga hubungan mereka sesama manusia.
Mereka menziarahi jiran tetangga, sanak saudara, menjaga hubungan dengan semua di dalam laman sosial seperti facebook, myspace, tagged dan juga twitter.
Sebaliknya, manusia tidak menjaga hubungan mereka dengan Allah S.W.T.
Manusia leka dengan duniawi untuk perkara yang tidak berfaedah seperti laman sosial (facebook, myspace, tagged dan juga twitter) sehingga mengabaikan solat lima waktu yang diwajibkan ke atas umat Islam.
Sedarkah kita bahawa hubungan dengan Allah S.W.T lebih penting berbanding hubungan dengan manusia?
Kerana manusia boleh meninggalkan manusia untuk manusia yang lain tetapi Allah S.W.T tidak akan pernah sesekali meninggalkan hamba-Nya walaupun sebesar mana dosa yang diperbuat oleh hamba-Nya.
Jadi, dimanakah kedudukan kita sebagai manusia?
Di kedudukan MANUSIA+MANUSIA ataupun MANUSIA+ALLAH?
Renungkanlah.

Jangan Tidur Lepas Subuh

Kepada sahabat-sahabat yang disayangi mari kita muhasabah diri. Di sebalik diri kita ini, ada sifat pemalas yang perlu diubah. Jika kita tidak ubah tabiat pemalas kita ini, maka bermacam-macam impak negatif bakal menghanyutkan diri ke arah kemudharatan yang lebih besar.
Jika tidak sekarang, bila lagi bukan?Takkan mahu tunggu usia sudah senja baru kita terhegeh-hegeh mengubah diri. Ketika itu, tabiat pemalas kita sudah sebati dengan diri dan amat degil untuk disental segala kekotorannya yang sudah lama melekat dan merosakkan hati kita.
TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAH
Cuba cek diri kita, mana 1 menjadi amalan seharian :
1. Bangun subuh lewat
2. Tidur selepas subuh
3. Melewatkan waktu subuh
4. Ala kadar je bangun subuh
5. Tak bangun pun solat subuh
Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah? Di waktu zaman berhingus dulu? Ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam selalu bertanya di dalam kelas,
"Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri"
Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat. Dan bila ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun suboh. Kenapa ya sahabat?
Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini? Diberi penekanan betapa pentingnya bangun subuh dan meraikan ke"subuh"an dengan cara tidak tidur semula seperti bebelan mak kita.
"Jangan tidur lepas subuh. Rezeki tak masuk nanti"
"Anak dara tak manis tidur banyak. Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun"
JIKA MAHU BERMUHASABAH
Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, "Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi." Untuk itu, para fuqaha' memakruhkan tidur selepas solat subuh.
Walaupun hakikatnya  tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.
Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar : "Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara' dan 'uruf) di sisi orang yang BERAQAL".
Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?
Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat?
Kadangkala kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah tiada kesannya?
Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya semata-mata nak "kulit bercahaya".
Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak menentu, jadi bermacamlah "ubat kuat" yang dipakainya.
Kita nak ke isteri macam ini? Nak ke suami yang sebegini?Masing-masing menggeleng tersengih sendirian. Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah. Bukan nanti, tetapi sekarang.
MASA UNTUK BERUBAH
Maka untuk itu tidak ada alasan lagi untuk menyeru kepada PERUBAHAN.
Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas subuh diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu keemasan di kala subuh.
Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk belajar. Gunakan masa sebaiknya.
Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.
"Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). - Surah Al-Jumuah (Ayat 10)

Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya. Takkan hilang seri rumahtangga kalau kehidupan bermula sebelum terbit fajar. Mak mertua pun tak bising lagi.
"Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua hanyut."
Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini "kalau tidur selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi 'gila'." Jangan salah pilih waktu untuk belajar atau menghafal.''
Ibnul Qayyim pernah berkata,"Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya."
Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.
Antara AKAL dan NAFSU. Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia bersandarkan IMAN. Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak menggunakan akal dengan betul. Pembaziran masa adalah perkara yang sangat merugikan. Dan hanya syaitan yang suka pembaziran. Masa itu ibadah. Semoga Allah memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut perintah-Nya.
Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda :

"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari." (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Hati-Hati Merisik

"Beruntung Haura'. Abi kata, siapa nak risik Haura' bila Haura' besar nanti, Abi akan  pastikan Abi pernah tamrin dan musafir sekali dengan si dia. Tak sangka, Abi dah ada 'standard' dia. 'Terer' Abi, kan Haura'?!"
Jika memilih tidak bercinta sebelum berkahwin seperti kehendak syarak, jangan sampai berkahwin dengan seseorang yang kita tidak jelas tentang agama dan akhlaknya. Jangan mudah terpesona dengan apa yang terpapar di mata. Perlu merisik dengan bijaksana dan penuh kreativiti.
Macam-macam cara merisik.
Ada orang yang menghantar 'spy'.
Ada yang  bertanya kepada keluarga dan jiran tetangga si dia.
Ada yang menilai melalui facebook dan blog si dia dalam diam,
Ada bermacam-macam  lagi bentuk risikan. Kreatif!
Merisik dengan cara berkawan-kawan dulu dengan si dia?Itu bukan merisik, tapi berpelesit. Ianya syubhat, kata Yusuf al-Qaradhawi. Tiada contoh begini yang ditunjukkan oleh golongan salafussoleh.
Lebih menarik, ada yang merisik melalui orang tengah yang amanah dan dihormati agama dan akhlaknya. Beruntunglah bagi mereka yang mengikuti mana-mana institusi usrah atau halaqah kerana mereka lebih mudah menemui orang tengah yang amanah.

Ikuti teladan  betapa berhati-hatinya Saidina Umar untuk mengenali peribadi seseorang. Saidina Umar semasa cuba menyingkapi keperibadian seseorang, beliau sudah meletakkan piawaian tertentu. Beliau tidak mudah tertipu melihat postur dan penampilan seseorang. Beliau meletakkan kayu ukur tertentu bagi menilai agama dan akhlak seseorang itu. Ketika datang seorang lelaki yang memberikan kesaksian untuk seseorang, Umar bertanya kepadanya:
Umar: Adakah kamu mengenal orang ini?
Sahabat: Ya.
Umar: Adakah kamu berjiran dengannya dan mengetahui saat dia keluar masuk?
Sahabat: Tidak.
Umar: Adakah kamu pernah menemaninya dalam satu perjalanan (musafir) dan mengenal kemuliaan akhlaknya?
Sahabat: Tidak.
Umar: Adakah kamu pernah berinteraksi dengannya yang melibatkan dinar dan  dirham (duit), sehingga kamu mengenal sifat hati-hatinya?
Sahabat: Tidak.
Umar: Mungkin kamu pernah melihatnya berdiri dan duduk solat di masjid, mengangkat kepalanya pada suatu ketika dan menundukkannya pada saat yang lain?
Sahabat: Ya.
Umar: Pergilah. Sungguh kamu tidak mengenalnya.

Penting Rehat Dalam Senaman

Isu rehat memang penting! Rehat merupakan satu perkara yang selalu dipandang rendah oleh ramai pengunjung gym.
Overtraining merupakan kesan kurang rehat seseorang. Contoh orang yang kurang perihatin kepada rehat dan adalah mereka yang:
  1. Melatih satu bahagian badan (seperti biceps) hampir setiap hari
  2. Melatih sepanjang tahun, tanpa rehat
  3. Berlatih beberapa jam di gym setiap hari.
  4. Sudah bosan meneruskan program latihan.
Saya bahagikan rehat kepada dua jenis, 1. rehat antara sessi senaman dan 2. Seasonal Rest atau rehat bermusim.

Rehat Antara Sessi

Betul atau tidak: Otot membesar sewaktu weight training di gym!? Tidak! Otot sebenarnya membesar sewaktu rehat. Sesi senaman di gym merupakan perangsang untuk pembesaran otot tetapi ia perlu direhatkan selepas itu. Latihan mengangkat berat menyebabkan koyakan microskopik kepada otot yang dilatih.
Otot itu perlu direhatkan untuk membolehkan badan membaiki dan sekaligus membesarkan (menguatkan) otot berkenaan. Proses ini mengambil masa lebih kurang 72 jam. Oleh kerana itu, anda digalakkan untuk menunggu paling kurang 72 jam sebelum melatih otot yang sama sekali lagi. Tanpa rehat antara sessi ini, usaha anda agak sia-sia.

Rehat Bermusim

Bagi atlit dan pengunjung kerap gym; sendi, tulang dan otot anda banyak melalui wear & tear yang tidak dapat dibaiki dalam sehari-dua. The only way to allow your body to fully recuperate, adalah dengan menjadualkan rehat bermusim setiap 3-5 bulan. Berapa lama anda harus rehat? Saya syorkan 1-2 minggu.
Dalam period tersebut, anda harus rehat sepenuhnya untuk membolehkan badan anda 'recover' sepenuhnya. Rehat bermusim ini juga bertujuan untuk refuel your mental enthusiasm. Lama-kelamaan, semua orang jemu melatih week in and week out, jadi rehat bermusin ini sesuai untuk rehatkan diri anda dari segi fizikal & rohani.
Takut rehat akan merosotkan perkembangan anda? Mungkin anda akan kehilangan sedikit performance atau kekuatan sewaktu rehat bermusim, tetapi ia hanya sementara dan cepat kembali apabila anda mulakan training semula. Ia umpama stock market yang mempunyai kitaran atas & bawah (up & down cycle).
Ingat : It's not the quantity but the quality of your workouts that matter! Pentingkan rehat untuk mengelakkan daripada overtraining.

Allah Ajarkan Siapa Aku

Kita sebenarnya bukanlah jasad ini, kita bukanlah tangan ini, bukan mata ini, fizikal kita hanyalah alat yang diberikan Allah untuk kita melakukan aktiviti memenuhi tugas dan amanah kita di muka bumi ini.
Bayangkan seorang Eksekutif yang baru memulakan tugas, apakah antara kemudahan yang mula-mula diberikan kepadanya? Sebuah komputer bukan? Dengan komputer itu si Eksekutif tadi akan mudah melakukan tugasannya.
Allah juga memberikan komputer ini kepada wakil-Nya untuk menjalankan tugasan yang diamanahkan. Itulah fizikal kita yang lengkap dengan sistem otaknya yang begitu hebat, sistem perjalanan darah, sistem penghadaman dan berbagai-bagai sistem yang ada di dalam diri kita.
Mana hebat komputer Allah ini berbanding PC kita di pejabat? Tak terbandingnya bukan? Bukan sahaja Allah bekalkan kita dengan sebuah "komputer" yang begitu hebat sistemnya tapi Allah bekalkan juga kita akal fikiran, nafsu dan Ruh yang masing-masingnya punya potensi yang amat luar biasa sekali. Segala yang diberikan Allah ini menjadikan kita makhluk Allah yang paling sempurna dan dengan kesempurnaan itu dibandingkan dengan makhluk-Nya yang lain maka kita dilantik menjadi wakil-Nya di muka bumi ini.
Malangnya selama ini kesedaran ini tidak ada. Kita merasakan diri kita ini adalah fizikal berserta nafsu dan akal. Maka bila kita pandai membuat sesuatu, kita dengan cepatnya merasakan kitalah yang pandai itu. Betulkan?
Saya diberi peluang diajar Allah untuk MERASAKAN diri saya yang sebenarnya. Ketika kita tidur, diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad kita. Badan dan fizikal kita semuanya lemah dan ibarat sebuah komputer yang di off kan suis ke sumber elektrik maka komputer itu tidak mampu menjalankan apa juga aktiviti yang biasanya boleh dijalankan sebelumnya.
Sama dengan fizikal kita, apabila kita tidur, ia hanya sebuah fizikal kosong, tidak mampu melihat, tidak mampu berfikir, tidak mampu berjalan.Benarkan? Diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad itu. Allah ada menerangkan hal ini di dalam Al-Qur'an bahawa Allah mengenggam jiwa kita saat kita tidur dan sekiranya kita diberi umur lagi maka Allah akan mengembalikan jiwa kita dan kita hidup sehari lagi dan begitulah yang berlakunya setiap hari.
Petang semalam saya dan suami tertidur di dalam kereta sementara menantikan appointment kami dengan seorang sahabat. Kami tertidur kerana terlalu amat keletihan. Badan saya begitu amat lemah dan terus saya tertidur. Lebih kurang dua jam selepas ini, saya sedar tetapi saya tidak dapat bergerak, saya tidak dapat menggerakkan tubuh saya.
Saya sangat sedar ketika itu, ingin sahaja saya panggil suami saya di sebelah agar dapat menggerakkan tubuh saya yang kaku tapi tidak berdaya. Saya sempat berkata di dalam hati saya, adakah tiba masanya saya pulang pada Allah?Saya cuba lagi menggerakkan tubuh saya namun tidak mampu.
Saya katakan pada diri saya ketika itu, siapkan saja untuk menghadap Allah.Saya hampir tidak mahu mencuba lagi dan ingin saja terus menyerahkan diri kepada Allah.Kemudian timbul satu kekuatan untuk terus berusaha kerana di hati masih ingin terus hidup. Maka saya kuatkan sepenuh tenaga untuk menggerakkan tubuh saya dan tiba-tiba saya terjaga.

Sebenarnya saya pernah mengalami keadaan seperti ini. Saya rasa sahabat semua pernah mengalaminya bukan? Kita tersedar dari tidur tapi badan tidak dapat digerakkan.
Macam-macam penjelasan kita pernah dengar, ada yang kata kena himpit dengan hantu, ada yang kata badan letih sangat. Semalam saya mendapat satu paradigma yang baru.
Saya terus menyedari bahawa ITULAH AKU YANG SEBENARNYA.
Aku yang pada hakikatnya terpisah dari jasad ini, aku yang sebenarnya bukan jasad ini. Alhamdulillah, sudah berapa lama perkara ini terjadi tetapi kita tidak menyedari bahawa Allah memberikan kita pengalaman MERASAKAN diri kita yang sebenarnya.
Terima kasih Allah.
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Rehatkan Hati

Mengapa setelah berzikir, solat atau berdoa hati belum tenang? Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian rumah tangga mengapa hati kita masih resah, kacau dan galau walaupun sudah berbuih mulut meluahkan kalimah zikir? Justeru, ramai isteri atau suami mengadu, mengapa hati mereka tidak tenang walaupun telah berzikir ketika menghadapi krisis, ujian dan kesusahan dalam hidup berumah tangga?
Mengapa kita belum mendapat ketenangan sepertimana yang dimiliki oleh pasangan Sayidina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar',sama seperti yang pernah diamalkan oleh mereka? Apa yang tidak kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya sama?
Tidak syak lagi kita tidak dapat menghayati maksud tersirat daripada kalimah-kalimah zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat di sebaliknya, umpama burung kakak tua yang pandai bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati perlukan ilmu, amalan dan latihan. Marilah kita sama-sama kita fahami apakah kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai oleh hati apabila kita mengingati Allah (berzikir).  Antara rasa-rasa itu ialah:
1. Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan kerenah pasangan, kekurangan harta, anak-anak sakit dan sebagainya, seorang suami atau isteri yang memiliki rasa kehambaan akan sedar bahawa semua itu hakikatnya datang daripada Allah.
Firman Allah: 
"Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.'' - (Surah At-Taubah 9: 51)."
Bila menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, "Bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini." Hatinya tidak akan berkata, "kenapa aku, bukan orang lain?" Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Sebaliknya jika kita 'memberontak', hati akan bertambah kacau. Let go, let God – maksudnya lepaskan dan pasrahlah kepada Allah.
Apakah tanda-tanda kita memberontak apabila diuji?
Kata Imam Ghazali rahimahullah,"Cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah 'memberontak' kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya!"
Misalnya, seseorang suami atau isteri itu tidak mahu lagi untuk makan dan minum secara teratur, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan rumah atau menjaga anak-anaknya lagi.
Marilah sama-sama kita ingat, apabila ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja', "Inna lillah wa inna ilaihi raji'un."
Firman Allah:  
"Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. - (Surah Al-Baqarah 2:156)
Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan. Bahawa kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan dapat menurunkan rasa marah kepada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua.
2. Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, itu mesti di imbangi oleh rasa bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada Yang Maha Kuat. Apabila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada Yang Maha Sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri atau anak-anak.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah. Sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah dalam rumah tangga. Seorang suami yang paling kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah suami yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya.
Firman Allah: 
"Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.''- (Surah Taubah 9:40)
 Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan rasul sanggup berdepan dengan kerenah isteri mereka. Nabi Luth, Nabi Ayub, Nabi Nuh misalnya, mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam rumah tangga mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.
Firman Allah: 
"Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat.''-(Surah al-Baqarah 2:45)
Dalam apa jua keadaan,positif mahupun negatif, hati suami atau isteri tetap tenang.
Firman Allah: 
"Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.''- (Surah al-Fath 48:4)
Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang dilaporkan oleh Sa'ad bin Abi Waqqas: "Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan, maka dia akan memuji Allah dan bersyukur, dan sekiranya dia mendapat musibah dia akan memuji Allah dan bersabar. Dan setiap mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehingalah diberi pahala pada setiap suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya."
3. Memahami maksud takdir Allah
Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can't direct the wind but we can adjust our sail kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam bahtera rumah tangga kita ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya akan tenang apabila kita meyakini sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kadang-kala kita belum nampak kebaikannya,percayalah kebaikannya pasti ada.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baiklah kepada Allah, berdasarkan
Firman Allah: 
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.- (Surah Al-Baqarah 2: 216)"
Siapa tidak inginkan keharmonian, kasih sayang dan kemakmuran dalam berumah-tangga. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, krisis masih berlaku jua, maka bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.  Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Dengan ini kita tidak akan merungut, stres dan tertekan. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: "Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik."
Jagalah rumah tangga kita dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai sehabis daya.  Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah "kalau" atau "jika". Hayati sabda Rasulullah saw ini: "Oleh itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: "Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: "Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,' kerana perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan." (Hadis riwayat Muslim)
4. Mendapat hikmah apabila diuji.
Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin Azhar bahawa Ra­sul­ullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja."
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah. Rumah tangga adalah medan 'perjuangan' melawan nafsu marah, putus asa, buruk sangka, dendam dan lain-lain sifat mazmumah yang mungkin timbul hasil interaksi dan komunikasi antara suami isteri, ibu-bapa dengan anak-anak, mertua dengan menantu.
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Justeru, hayatilah kata-kata hikmah ini: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah."

Ya, inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dalam berumah-tangga. Bawalah hati kita berehat.Rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar adalah solat. Oleh kerana itulah Rasulullah saw sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, "Rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!"

Wednesday, December 21, 2011

Bagaimana Menambah Nikmat Allah

Nikmat itu terbahagi tiga:
1. Nikmat yang dikecapi dan disedari oleh hamba
2. Nikmat mendatang yang diidamkan oleh hamba
3. Nikmat yang dikecapi oleh hamba tetapi tidak disedarinya
Apabila Allah ingin menyempurnakan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya, Dia akan mengenalkan (kepada hamba tersebut) nikmat yang dikecapinya sekarang kepada hamba tersebut dan mengurniakan kepadanya sifat syukur.
Syukur itu akan mengikat nikmat tersebut agar tidak hilang. Sesungguhnya nikmat hilang dengan perlakuan maksiat dan diikat dengan ketaatan.
Kemudian Allah akan menunjukkannya jalan amal agar dia mendapat nikmat yang dinantikan.
Kemudian Allah akan menunjukkan kepadanya  jalan mati (yang tidak bersambung kepada amal) dan menjauhkannya dari jalan itu. Allah akan menunjukkannya cara agar dia menjauhi jalan itu.
Apabila dia menyempurnakan semua itu, Allah akan memperkenalkannya terhadap nikmat yang dikecapinya sekarang tetapi tidak beliau menyedarinya.
Diceritakan bahawa seorang Badwi masuk menemui Harun ar-Rasyid lalu berkata:
"Wahai Amirul Mu'minin. Moga-moga Allah mengekalkan nikmatmu sekarang dengan kamu sentiasa mensyukurinya. Moga-moga Allah mengurniakan nikmat yang kamu harapkan dengan kamu bersangka baik terhadap-Nya dan sentiasa mentaati-Nya. Moga-moga Allah akan mengenalkanmu kepada nikmat yang kamu kecapi sekarang tetapi kamu tidak mengetahuinya agar kamu mensyukurinya." 
-Ibnul Qayyim al-Jauzi

Kisah Mualaf Dan Daging Babi

Aliya bersama dengan keluarganya

Pengalaman Dan Coretan Aliya (Mualaf)

Babi sedapkah?Apa rasanya?Mengapa orang Cina suka makan daging babi?

Apabila saya menceritakan kepada suami cara memasak 'Tao-Yu Bak' (Daging Babi masak kicap), resipi yang diwarisi daripada nenek saya, wajahnya akan berubah, geli gelaman dan loya. Biasalah orang Melayu, dibesarkan dari kecil untuk membenci babi. Tapi bagi saya yang hidup makan daging babi selama lebih 3 dekad, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sudah tahu tekstur daging itu, dan sudah boleh bezakannya daripada daging ayam serta lembu.
Setiap kali juga, apabila ditujukan soalan tentang pemakanan daging ini oleh mereka yang baru memeluk Islam kepada mereka yang lahir Islam, kebiasaannya akan disuruh elak. Haram makan makanan tidak halal. Dosa besar.
Tapi bagaimana nak elak makan sekiranya mualaf itu masih tinggal dan bergantung kepada keluarganya yang bukan Islam, serta sudah menjadi kebiasaan makan bersama? Nak makan daging? Daging bagi keluarga Cina dan Hindu adalah daging babi, bukan daging lembu. Mana boleh makan, haram. Nak makan ayam yang tidak disembelih cara Islam, haram juga. 
Habis nak makan apa? Ikan? Tapi.. kata ustaz kalau makanan dimasak dalam periuk atau kuali yang tidak disamak tetap haram hukumnya. Tidak boleh dimakan.
Tao-Yu Bak


Habis, nak makan apa? 
Ahhh, dilema yang dihadapi ramai mualaf yang masih belum mengkhabarkan pengislaman mereka kepada keluarga masing-masing. 
Mengapa belum?
Kerana kebanyakan mereka golongan pelajar sekolah dan kolej, mahasiswa, atau yang tidak ada pendapatan tetap atau kediaman lain. Mereka yang bergantung kepada keluarga untuk sara hidup, pendidikan dan tempat perlindungan.
Bila mereka nak beritahu keluarga bahawa mereka dah Islam?
Entah, mereka masih mencari jalan. Masih berikhtiar untuk menyampaikan berita tersebut dengan lembut. Kerana tahu bahawa kelaurga tidak akan merestui pengislaman mereka.
Perlu mengambil masa, agar tidak terputus hubungan kekeluargaan. Agar ibu bapa yang sudah tua dan uzur tidak diserang sakit tenat akibat terkejut dan sakit hati dengan berita tergempar itu. 
Tapi bagaimana mereka nak hidup sebagai orang Islam kalau belum beritahu keluarga? Kalau sudah peluk Islam, kenalah beritahu. Haram makan makanan tidak halal. Wajib mengerjakan solat. Kena puasa pada bulan Ramadhan. Yang wanita, perlu jaga aurat. Apa status mereka?
Itulah masalahnya. Anda dilahirkan sebagai sebagai orang Islam, anda tak alami sendiri masalah mereka yang baru memeluk Islam. Mereka yang kita gelar 'closet Muslim' atau 'mualaf sembunyi' kerana belum mengisytiharkan pengislaman mereka. Ramai yang muda belia. Mereka berani kerana memeluk Islam setelah belajar Islam dan benar-benar yakin bahawa Islam agama benar, dan walaupun mereka mungkin menghadapi amcaman dihalau oleh keluarga masing-masing dan ditamatkan pembiayaan pengajian kolej atau universiti sekiranya keluarga mereka mengetahuinya.
Mereka ini semakin ramai tetapi kerana ada yang belum mendaftarkan diri sebagai orang Islam di jabatan agama Islam, kita tiada data. Tak dapat dikesan kecuali mereka sendiri memberitahu.
Makanan? Terpaksalah mereka pandai-pandai pilih makanan yang halal. Berusaha mengelak daripada makan daging babi bila bersama keluarga. Kita boleh dengan mudahnya berkata bahawa berdosa makan makanan yang tidak halal tetapi ingatlah bahawa mereka yang baru berstatus mualaf "sembunyi" tidak ada banyak pilihan, terutama bagi mereka yang keluarganya kuat beragama atau berpegang pada adat resam. Mengaku orang Islam bermakna bakal dihalau dari rumah, terputus hubungan kekeluargaan untuk sementara waktu, dan akan mengakibatkan keluarga sendiri dipulaukan dan dikecam hebat oleh jiran dan saudara mara yang juga bukan Islam.
Solat? Yang sudah belajar akan cuba lakukan secara sembunyi-sembunyi. Satu risiko. Yang muslimah, mungkin terpaksa solat dengan skaf panjang dan kain batik menggantikan telekong kerana kain telekong bukti nyata bahawa mereka sudah Islam. Yang belum pandai solat dan berisiko tinggi, hanya mampu berzikir dan berselawat. 
Puasa? Sama juga, yang dapat berpuasa akan berusaha untuk puasa. Yang sudah menjadi kelaziman makan tengah hari dengan keluarga, tahu-tahu sahaja. Sudah tentu mereka sedih kerana tidak mampu berpuasa seperti muslim yang lain. InsyaAllah, mereka akan bayar fidyah apabila berjaya hidup bebas nanti.
Sampai bila nak diamkan diri? Hidup dalam kepuraan? Mereka kena beritahu keluarga!
Sampai mereka bersedia untuk memberitahu. Atau sehingga Allah swt tentukan sendiri bahawa masanya sudah tiba untuk keluarga mengetahuinya. Kalau anda anggap hidup dengan membohongi keluarga tersayang sebagai satu kesalahan dan satu dosa yang tidak patut dilakukan oleh Muslim, bayangkan pula tekanan batin mereka yang melaluinya.
Kena pilih antara cara hidup Islam dan keluarga yang masih kafir. Menghitung hari sehingga mereka dapat berdikari dan bebas hidup sebagai orang Islam.
Saya pernah tujukan permasalahan ini kepada beberapa orang kawan dan ustaz yang saya kenali, yang lahir Islam. Jawapan mereka adalah perlu beritahu keluarga. Tak ada jalan lain.
Jawapan saya kepada mereka yang bertanya (pendapat saya), berusahalah hidup sebagai orang Islam setakat mana yang termampu. Sentiasa berdoa dan memohon ampun daripada Allah. Elakkan makanan yang tidak halal atau sekurang-kurangnya kurangkan pengambilan. Dapatkan sokongan moral dan nasihat mereka yang memahami agar diri tidak terlalu tekanan dengan kehidupan dua identiti ini. Sambil-sambil itu, berikhtiar juga agar dapat memberitahu keluarga tentang pengislaman masing-masing dengan cara terbaik. 
Kita yang sudah Islam selalu beranggapan bahawa tugas membantu golongan mualaf dan mereka yang berminat pada Islam adalah tugas dan tanggungjawab NGO dan agensi Islam. Tanggapan itu perlu dikikis kerana kerap kali, (maafkan saya) pertubuhan begitulah yang sering merosakkan nama baik Islam. Ada segolongan pegawai yang cepat membuat andaian (peluk Islam mesti nak kawin, mudah menghukum halal-haram, tak boleh itu dan ini, kena buat begini kalau tidak tak sah solat bla3), cakap tak serupa bikin (mewakili nama Islam tetapi bercakap kasar, acuh tak acuh dan tidak sabar).
Mualaf 'sembunyi' lebih memerlukan sokongan moral dan bantuan kewangan (bagi yang masih menuntut) supaya mereka lebih bersedia dan berani mengisytiharkan pengislaman mereka dengan lebih awal. Mereka tidak perlukan tekanan lagi dengan kita memberitahu bahawa tindakan mereka terus makan babi bersama keluarga dan meninggalkan amalan lain adalah berdosa.
Kita sering menganggap permasalahan mereka sebagai perkara lekeh dan kecil, yang dibesar-besarkan. Selalu kita tegaskan, kalau dah Islam kenalah buat cara Islam. Tak alami maka tak ketahui, seterusnya tak fahami, tak dapat berempati.
Ia sama seperti seorang yang tidak pernah dibedah, tentu sekali tidak akan tahu bagaimana sakit anggota badan setelah ubat bius habis, betapa susahnya menjaga luka agar tidak dijangkiti kuman. Hanya boleh membuat teori dan andaian. Mudah menyalahkan pihak lain dengan tuduhan sengaja mengada-ngada.
Janganlah kita golongan seperti itu. Letakkan diri kita di tempat mualaf 'sembunyi'. Sekurang-kurang yang boleh kita lakukan adalah mendoakan mereka agar Allah perkuatkan iman mereka. 
Sekurang-kurangnya mereka ini walaupun belum dapat mengisytiharkan diri sebagai orang Islam, mereka sudah beriman pada Allah swt. Mereka berusaha untuk mendalami Islam, makan makanan halal, mendirikan solat dan puasa. Tidak seperti golongan tertentu yang beridentitikan Muslim tetapi dengan rela dan sukacitanya menghirup arak, makan daging babi, meninggalkan solat dan berpesta makan pada siang Ramadhan.
Nabi s.a.w mengambil masa bertahun tahun lamanya uantuk membina keimanan dan akidah. Sedangkan pada waktu itu para sahabat masih lagi meminum minuman yang mengharamkan dan memakan makanan yang mengharamkan. Contohnya ada sahabat yang bersolat dalam keadaan mabuk tetapi Nabi s.a.w. tidak menegur sehingga Allah s.w.t. menurunkan ayat mengharamkannya.
Ramai penda'ii mengislamkan yang bukan Islam terus mengharap si Mualaf fi Qulub itu meninggalkan segala yang diharamkan dan terus pandai bersolat. Mereka ingin si-mualaf terus menjadi seperti orang orang Melayu disekeliling mereka. Masyarakat berterusan memberikan tekanan emosi dan mental keatas mualaf dan saudara baru. Masyarakat menjadikan saudara baru itu Melayu lebih dari Islam dari segi berpakaian, pemakanan, percakapan, tingkah laku dan sebagainya.

Berkhatan Elak Kanser Serviks

Lelaki bukan Islam digalakkan untuk berkhatan bagi mengelakkan risiko pasangan mereka dijangkiti kanser serviks. Amalan itu terbukti berkesan melalui satu kajian terhadap lelaki Yahudi yang berkhatan.

Kajian tersebut mendapati pasangan lelaki Yahudi tidak dijangkiti kanser berkenaan. Selain aktiviti sosial, faktor lain yang menyumbang terhadap kanser tersebut ialah merokok dan jangkitan virus Human Papilloma (HPV).

Virus Human Papilloma (HPV)
Bagi mengelakkannya, pelalian HPV boleh dilakukan kepada lelaki terutama bagi yang terdedah dengan aktiviti seks seawal 15 tahun. Bagaimanapun, mereka disaran untuk berkhatan bukan sahaja mengelakkan jangkitan kanser serviks malah mengekalkan faktor kesihatan yang lain.
Kajian juga menunjukkan remaja berusia 10 hingga 15 tahun kurang terdedah kepada ancaman penyakit itu selain berada pada tahap imunisasi yang tinggi. Pada usia tersebut remaja perempuan masih lagi dianggap belum terdedah dengan hubungan seksual dan risiko jangkitan HPV.
Penyelidik dari Universiti Johns Hopkins juga membuat kajian dan mendapati pasangan lelaki berkhatan mempunyai kadar jangkitan human papillomavirus (HPV) 28 peratus lebih rendah daripada biasa.
Dalam laporan disiarkan di jurnal perubatan Lancet, seorang daripada penyelidik terbabit, Dr Maria Wawer, berkata amalan berkhatan sepatutnya diterima umum sebagai langkah mengawal penyebaran HPV di kalangan wanita.
Dr Maria Wawer
“Bagaimanapun, ia hanyalah sebahagian daripada langkah perlindungan."
Mereka juga mengumpulkan maklumat mengenai hampir 1,000 wanita dijangkiti HPV yang dikenal pasti sebagai pasangan seks suami masing-masing.
Selepas dua tahun, hanya 27.8 peratus daripada pasangan lelaki berkhatan dijangkiti virus berkenaan berbanding 38.7 peratus di kalangan lelaki tidak berkhatan.
Jangkitan HPV dikenali sebagai punca utama seseorang wanita mendapat kanser serviks. Bagaimanapun, ia juga boleh menyebabkan masalah sama pada dubur, zakar, kepala dan leher.
Berkhatan Dalam Islam
Perkataan berkhatan berasal dari perkataan 'khitan' iaitu potong. Dalam Malayalam ianya juga disebut sebagai Maarkham. Kebiasanya ianya juga disebut sebagai 'sunat'. Ini digunakan untuk menunjukkan bahawa ianya dilakukan sebagai 'kebiasaan' pada zaman Nabi Ibrahim A.S.
Yahudi juga mengamalkan berkhatan
Menurut kitab Fathul Mueen, berkhatan adalah wajib bagi lelaki dan perempuan. Walaubagaimanapun ada juga sebilangan besar ulama berpendapat bahawa berkhatan untuk wanita hanyalah sunat. Ini mungkin sebabnya mengapa berkhatan dikalangan wanita tidak diamalkan sepenuhnya. Selain dari itu, berkhatan untuk lelaki adalah sunat dihebahkan sementara untuk wanita pula ianya adalah sebaliknya. Sekiranya bersunat itu akan dalam apa-apa cara membahayakan diri kanak-kanak tersebut, maka ianya patut di tangguhkan ke suatu masa yang lebih selamat.
Berkhatan adalah sebaik-baiknya sebaik-baiknya dilakukan pada hari ke 7 atau hari ke 40 bayi dilahirkan. Satu lagi masa yang baik adalah semasa umurnya mencapai 7 tahun, ia itu umur apabila mereka perlu dinasihatkan untuk sembahyang. Berkhatan menjadi wajib untuk dilakukan apaila seseorang mencapai akil baligh.
Berkhatan untuk lelaki dilakukan dengan membuang 'foreskin', kulit yang menutupi kepala zakar (glans penis) sehingga nampak keseluruhan glans penis keluar. Ianya boleh dilakukan dengan berbagai cara.
Untuk kanak- kanak perempuan pula ianya dilakukan untuk memenuhi syarat berkhatan pada namanya. Ini bermaksud memotong pada sebahagian kecil di 'daging berbentuk balung ayam di atas saluran kencing' (yakni kelentit atau klitoris). Ini patut dilakukan sesedikit yang mungkin dan tidak mencacatkan.
Mencegah lebih diutamakan di dalam Islam berbanding merawat. Indahnya Islam.

Cinta Itu Nikmat Tetapi Awas

Cinta itu suci. Namun kita sebagai remaja yang baru setahun jagung terjebak ke kancah percintaan yang memberi nikmat seketika tetapi ibarat duri dalam daging yang akhirnya memakan diri sendiri.
Ya, memang benar cinta itu buta, tetapi hakikatnya kita yang buta dan tuli mengenal apa itu erti cinta. Natijahnya kini, cinta yang dicanang sebagai sesuatu yang suci dinodai dengan titik-titk hitam kemungkaran dan kerendahan maruah segelintir kita yang bersifat bodoh sombong mendefinisikan cinta sebagai sebuah ikatan yang menghalalkan yang haram.
Siapa yang harus dipersalahkan?
Tepuk dada tanya Iman.
Sudah terang lagi bersuluh, lebih separuh daripada kita pernah terjerat dengan kenikmatan cinta itu sendiri. Tidak kiralah yang terpaksa, yang rela atau suka-suka.
Tanya diri kita sendiri, adakah kita menghormati cinta suci itu atau perasaan cinta yang menjalar dalam segenap inci tubuh badan kita ini menjadikan lesen untuk kita merendahkan maruah kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada agama yang suci.
Remaja kini sudah tidak segan silu lagi melakukan perkara sumbang di hadapan khalayak ramai, dipaparkan dan dijadikan sorotan setiap hari.
Ternyata maruah kita seperti diperkotak-katikkan dengan kerakusan nafsu yang menjadi tuan dan raja sehingga kita diibaratkan seperti mengikut kehendak sendiri.
Keghairahan kita mengejar nikmat cinta sebenarnya menongkah arus tujuan kita diberi nikmat untuk menjadi dewasa. Matangnya kita bukan bererti kita matang untuk mengawal nafsu yang semakin beraja memerintah akal fikiran yang waras.
Buktinya, ramai antara kita yang semaki terdedah dengan gejala-gejala sosial. Maruah hilang entah ke mana, malu sudah tidak bertandang, takut kepada-Nya jauh sekali. Yang perempuan menggoda, yang lelaki tergoda.
Lemah sungguh kita sebagai manusia yang menjadi ciptaan Allah S.W.T yang paling mulia. Lebih parah pula apabila lelaki bersikap habis madu sepah dibuang. Yang perempuan pula bersikap pendek akal dengan cubaan membunuh diri. Padahal sikap mereka yang sebenarnya yang mendorong mereka menghancurkan hidup mereka sendiri.
Hakikatnya kini, bercinta itu sudah menjadi satu "trend" dalam kehidupan kita. Kita lebih cenderung mengelaskan mereka yang kononnya yang tidak bercinta atau 'couple' itu kolot, ketinggalan zaman atau mungkin juga tidak laku. Hal ini menyebabkan kita berasa malu dan mula ketagih untuk bercinta.
Realitinya, mereka yang berjaya mempertahankan perasaan mereka daripada dinodai 'cinta monyet' merupakan mereka yang teguh pendirian dan berhati mulia kerana tidak bertindak untuk dinodai cinta suci itu.
Apakah kita tidak malu berpeleseran dengan pasangan kita?
Ditayang-tayang, ditunjuk-tunjuk ibarat 'show case' lagaknya. Kononnya mereka sahaja yang mempunyai pasangan. Padahal, tindakan kita ini ibarat meletakkan muka dipunggung sendiri. Maruah pula jatuh tergolek-golek.
Siapa yang suka apabila 24 jam asyik muka kita sahaja yang berkepit seperti suami isteri ke sana ke sini tanpa segan silu?
Hakikatnya, perasaan malu, mual, menyampah seperti menunjah-nunjah melihat perlakuan mereka yang sudah dibutakan dan ditulikan oleh nikmat cinta. Ibu bapa pula seperti sudah tidak mampu melarang keghairahan anak mereka daripada terus hanyut dalam dunia mereka sendiri.
Yang peliknya, ibu bapa buat-buat pejam mata sahaja apabila anak-anak mereka pergi dan balik menaiki satu kenderaan yang sama dengan lelaki-lelaki yang entah siapa-siapa.
Perbuatan kita ini bukan sahaja menodai cinta itu sendiri tetapi juga menconteng arang ke muka kedua-dua ibu bapa kita. Usah mencipta kenikmatan seketika, kelak bias meruntuhkan maruah sendiri.
Allah S.W.T telah menentukan jodoh kita sejak lahir lagi. Tidak perlulah kita berfikiran kolot dengan mengejar 'cinta monyet' yang bakal mengundang seribu satu masalah dan kedukaan yang tiada akhirnya. Tiada manusia yang mati andai cinta itu tidak hadir dalam hati.
Jika kita memang benar-benar ingin merasai nikmat cinta palsu itu, letakkanlah nafsu dan Iman kita di atas neraca timbang. Pastinya nafsu lebih berat daripada Iman kita.
Mahukah kita menggadaikan maruah kita yang tidak ternilai harganya ini hanya untuk menikmati perasaan ghairah bercinta yang bertindak hanya seketika?
Yang menanggungnya pastilah perempuan. Seronok dan nikmat sama dirasai, kenapa derita dipikul sendiri?
Lelaki juga harus bertanggungjawab kerana 'bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi'. Sebenarnya dua-dua bersalah, kenapa yang harus menanggung malu perempuan seorang. Jadilah anak jantan sejati 'berani buat, berani tanggung' bukannya mahu buat selepas itu lari tidak cukup tanah. Buat apa jadi lelaki kalau hanya sekadar lempar batu sembunyi tangan, lebih baik jadi lelaki lembut tetapi bertanggungjawab. Ini semua gara-gara cinta.
Cinta itu menghayalkan. Cinta itu membuat kita alpa tentang segalanya. Lupa dunia, lupa Akhirat. Begitulah cinta itu. Kadang-kadang cinta itu sesuatu yang nikmat tetapi awas. Disebabkan cinta, kita sebagai manusia hilang maruah diri dan pengangan agama entah ke mana. Yang menanggungnya kita. Bukan oang lain.
Tidak salah bercinta andai kita mampu mengawal nafsu serakah daripada menjadi tuan dan juga tidak berkelakuan jelek di hadapan orang ramai. Bagi mereka yang belum merasa nikmat cinta itu, berbanggalah kerana anda mempunyai harga diri yang tinggi. Jaga diri jangan terlalu dibuai perasaan hingga tergadai maruah.

Ibu Bapa Terlalu Sibuk, Anak Terabai

Menurut Abdullah Nasih Ulwan, antara faktor terbesar yang menyebabkan anak-anak terpesong haluannya ialah kerana ibu bapa tidak melakukan kerja pendidikan. Mereka fikir bahawa tugas mereka selesai dengan memberikan makanan dan pakaian yang cukup. Selebihnya mereka serahkan kepada sekolah, atau Pasti.
Malang sungguh tanggapan begini. Binatang seperti harimau pun tahu tanggungjawabnya mendidik. Harimau tidak membiarkan anak-anaknya membesar tanpa dia mendidik dan melatih mereka terlebih dahulu. Harimau mendidik anak tentang bagaimana memburu binatang. Apabila si ibu memburu, dia sengaja tidak terus membunuh buruannya untuk dijadikan santapan.
Sebaliknya, dia hanya mencederakan buruan itu. Maka binatang buruan itu terus cuba melepaskan diri sambil lari terhencot-hencot kerana kakinya sudah cedera. Pada waktu inilah, si anak-anak harimau tadi berlatih mengejar dan menangkap buruan. Binatang buruan yang cedera itu menjadi alat pendidikan secara praktikal. Si ibu pula hanya memerhatikan bagaimana anak-anaknya berlatih. Selepas beberapa siri latihan, dan anak-anak harimau tadi sudah cekap, barulah mereka dibiarkan berdikari mencari rezekinya sendiri.
Jika harimau pun tahu tanggungjawab mereka, bagaimana pula ada ibu bapa sanggup mengabaikan pendidikan anak-anak. Harimau mahu anaknya mampu menangkap buruan, maka dia rela menghabiskan masanya melatih anak itu. Yang peliknya, manusia pula mahu anaknya cemerlang, berjaya dan soleh, namun tidak berusaha ke arah itu. Mereka langsung tidak perasan bahawa diri mereka adalah sebenarnya seorang 'pendidik'.
Mendidik Bukan Menternak!
Ibu bapa perlu ingat bahawa mereka berperanan untuk mendidik anak, bukan sekadar 'menternak' anak-anak. Allah menjadikan anak-anak itu sebagai amanah yang amat berharga. Jangan sia-siakan mereka. Mereka bukannya makhluk yang boleh membesar hanya dengan makan dan pakai yang cukup. Mereka punya jiwa dan hati, juga punya nafsu dan perasaan. Kantung kalbu mereka tidak boleh dibiarkan kosong. Jika ibu dan bapa tidak berusaha untuk mengisi kantung kalbu itu dengan iman dan ihsan, nescaya virus-virus perosak akan menyelinap masuk dan merosakkan pekerti anak-anak. Jiwa mereka punya potensi untuk menjadi manusia sebaik malaikat. Namun, nafsu mereka juga ada potensi menjadikan mereka sejahat syaitan.
 
Kita sering dengar Hassan Al-Banna sebagai seorang pendakwah hebat. Buku Cinta di Rumah Hassan Al-Banna s
Maka 'sibuk' itu bukan alasannya. Kita memang dilahirkan di dunia ini untuk menjadi orang sibuk. Orang yang tidak sibuk ialah orang yang cuai, lalai dan mundur. Maka semua kita perlulah sibuk. Maknanya, orang-orang yang pernah berjaya melahirkan anak-anak yang hebat juga dulunya sibuk, seperti kita. Soalnya kita sibuk dengan apa? Bukankah 'mendidik anak' itu salah satu tugas kita dalam senarai fungsi-fungsi kita sebagai seorang 'bapa' dan 'ibu'?
Orang sibuk dan bijak akan menyenaraikan fungsinya. Fungsi kita bukan sekadar 'pengarah syarikat', 'pegawai kewangan', 'jurutera kanan', 'pakar perbidanan', 'setiausaha persatuan' atau seumpamanya. Fungsi kita juga perlu senaraikan fungsi-fungsi kita sebagai 'anak kepada ibu bapa', 'suami', 'isteri', 'bapa', dan 'ibu'. Selepas fungsi disenaraikan, kita perlu pula mencatatkan tugas-tugas kita bagi setiap fungsi itu. Maka tugas 'mendidik anak' itu satu tugas besar, dan sangat penting – walau pun biasanya tidak 'urgent' – yang perlukan ruangan masa yang panjang.

Tuesday, December 13, 2011

Bersatu Semula Di Syurga..

Desir pantai mengalun ombak, tiupan angin yang menyapa mengurai jilbab hijauku. Kanak-kanak kecil riang berkejaran. Sesekali mengelak ombak yang memikul pantai tanpa diundang.
 Tiba-tiba tangisan sang anak menjerit meminta simpati rakannya,"Istana kita runtuh. Ombak buat" seraya itu, tangannya ditarik sang rakan mengajaknya membuat istana ditempat baru. Jauh sedikit dari gigi pantai. Bendera kecil bewarna merah akhirnya diletakkan di puncak istana . Mereka gembira melompat-lompat bertepuk tangan. Hasil dari usaha tanpa jemu.
Terus merenung ditengah lautan yang luas, Aku mengamati bot nelayan yang menuju ke sisir pantai, dialihkan pada air yang tenang ditengahnya.
"Masih memikirkan apa lagi Nurul?" Sapaan lembut sahabat kesayanganku Insyirah yang memiliki wajah manis anak melayu kacukan jawa dan banjar yang dikenalinya dahulu sejak terlanggar alam tarbiyyah di  universitinya setahun yang lalu.
"Syira , damaikah Syira bercuti di sini? Tenangkah hatimu Syira?" Tanyaku kepada Insyirah dengan tiba-tiba.
"Pasti Nurul, segenap waktu ku selain menikmati keindahan alam dan makan, Syira akan habiskan masa untuk bersama Dia dan membaca. Kenapa Nurul Tanya begitu? Nurul tak tenangkah? Atau ada lagi yang membelenggu dirimu sahabatku?" Tanya Syira kepada ku kembali.
"Syira, Nurul rindukan dia Syira" Terkeluar juga lafaz yang cuba disimpan selama ini.
"Rindu siapa Nurul? Tunang Nurul kah?" Tanya Insyirah lagi cuba untuk menyelami perasaan ku.
"Nurul tahu tidak selayaknya Nurul rasa begitu, tapi ini naluri Syira. Nurul simpan dan Nurul luah hanya pada Dia selama ini." Air mata yang ditahan-tahan tidak mampu disimpan.
"Subhanallah. Sabar Nurul. Jika ada jodoh kau tetap akan bersama dia juga. Perlihara dirimu, lengkapkan dirimu agar Nurul lebih bersedia menjadi pembantu mujahidmu Nurul. Berbincanglah dengannya dan dengan keluarga Nurul untuk percepatkan urusan kalian"Nasihat Insyirah cuba untuk menenangkan.
"Tidak, tidak semudah bicaramu Syira."
" Apa lagi yang kalian fikirkan? Bukankah mempercepatkan ibadah itu lebih mudah urusan dakwah kalian? Lebih terjaga daripada kau terus bermain perasaan? Mengelak fitnah dan masalah hatimu. Syira rasakan walau sesibuk mana Nurul, pasti sukar juga nak melawan fitrah. Kau akan merindui yang tidak halal bagimu Nurul. Maaf jika kasar teguranku"
" Kau takkan faham Syira"
"Ya , aku memang tidak akan faham jika tidak difahamkan Nurul. Aku bukan bomoh atau pawang yang boleh meneka-neka isi hati kau Nurul. Malah aku bukan Tuhan yang Maha mengetahui. "

"Syira, aku cuma pinta kau doakan kami akan bersama" Seraya itu aku meninggalkan Insyirah menuju ke jeti pantai.
Sujud malam itu berbeza sekali. Nurul berasa amat tenang walau air mata laju terus mengalir dipipinya. Kalam Al-Furqan ditatapi namun hanya dibaca ayat yang indah dalam surah Ar-Rad pada ayat yang ke 28.

"Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram".
Dibuka lembaran lain ‎"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya'' Al-Fajr :27-28.
___________________________________________________________________________________
" Esok hari bahagiaku Syira. Terima kasih atas segalanya Insyirah. Kau sahabatku dunia dan akhirat." kataku kepada Insyirah semasa sama-sama menghiaskan kamar pengantinku.
" Aku terima nikahnya Nurul Iman Bt Muhammad Abid dengan mas kahwin RM 77.70" Seuntai doa dibacakan sendiri oleh Muhammad Irsyad, suami Nurul Iman. Solat sunat dan sujud syukur dilaksanakan bersama. Kucupan restu di umbut-umbut Nurul diterima dengan tenang sekali.

"Abang akan merahmatimu sayang dan kita akan sama-sama bina keluarga ini sehingga ke syurga, InsyaAllah. Terima kasih kerana sudi menerima abang sebagai suamimu. Bantu abang ke syurga ya" Ujar Irsyad lembut kepada Nurul.
"InsyaAllah abang. Terima kasih juga sebab memilih sayang dalam hidup abang, bimbing sayang juga untuk teman abang di syurga. Redhailah setiap amalan sayang. Sayang akan usaha lahirkan mujahid dan mujahidah impian kita. Nurul sayang abang" itulah kali pertama lafaz sayang yang diluahkan pada seorang muslimin pilihannya yang dipilih atas agama yang dimiliki suaminya sejak awal perkenalan mereka.
Janji mereka yang sentiasa menjadi motivasi tatkala muhasabah bersama untuk meneruskan hidup di alam rumah tangga. Hanya kerana rindu pada Cinta dan syurga Allah. Masing-masing berusaha memainkan peranan sebagai suami isteri yang soleh dan berkerjaya.
                                                                                                   ***
" Walid, Mus'ab lapar. Lama sangat walid tengok kubur ummi. Ummi tak nak keluar pun. Jom balik, Mus'ab nak makan rendang nenek"
 Air matanya disapu
"Sayang, ummi bukan tak nak keluar, Cuma ummi sedang berseronok disana. Nanti walid pun akan ikut ummi, Mus'ab pun akan ikut ummi sayang"
"Ummi ajak Mus'ab sekali ke walid? Wah, Mus'ab mestilah nak jumpa ummi. Nak tenang macam ummi juga. Mus'ab rindu ummi, teringin nak jumpa Ummi nak tengok muka Ummi sama tak macam gambar yang walid tunjuk setiap hari tu"
Untuk yang keberapa juta kalinya entah Irsyad membaca warkah cinta buatnya yang dikirim bersama bayi yang diwariskan untuknya semasa kelahiran Mus'ab.
"Untuk mujahidku sayang, Mohammdad Irsyad,
Abang, tidak ada pujianku selepas Allah dan rasul terhadap makhluk selepasNya dariku padamu. Atas kurniaan Tuhan, sayang miliki suami yang soleh macam abang. Yang adil pada kehidupan dunia dan akhirat.
Zauj ku yang teristimewa, sepanjang bersamamu, begitu bahagianya sayang. Sayang dilimpahi kasih sayang yang luas, sayang tenang dengan perjuangan-perjuangan abang. Kita terlalu banyak merancang kehidupan untuk kita dan anak-anak, malah abang selalu mengingatkan sayang matlamat pernikahan kita yang sebenarnya hanya mengharap Cinta Allah.
Cintaku, sayang ingin memberitahu abang, abanglah manusia paling hebat yang menawan hati sayang sejak sayang terima abang untuk menjadi tunang sayang. sayang simpan dan sayang hanya luah hanya pada Dia selama ini. sayang cemburu dengan gerak kerja abang yang teratur, sayang cemburu pada perjuangan abang. Sayang tekad untuk setia menanti abang.

Abang, sayang ingat lagi, abang berjanji mahu anak dalam kandungan sayang ini menjadi pejuang agama dan negara. Sayang ingat lagi abang dan sayang sama-sama merangka pendidikan anak kita yang akan lahir. Sayang terbayang buku simpanan anak kita yang abang baru daftarkan. Abang seorang suami dan ayah yang hebat.
Abang, sayang masih ingat sayang mengangkat tangan berjanji dengan abang untuk sayang setia membantu abang dan membesarkan mujahid kecil kita yang akan lahir. Sayang akan pastikan dia menjadi seorang hafiz yang cemerlang akedemiknya. Sayang masih ingat janji kita untuk membina sebuah keluarga sakinah mawaddah warahmah. Sayang berjanji dengan abang untuk sama-sama menikmati ibadah di tanah suci. Sayang pegang janji untuk sayang jadi yang solehah untuk abang.
Namun sayangku, ustaz Irsyad yang dicintai. Maafkan sayang kerana sayang bukanlah penjanji yang setia. Kerana janji sayang pada Dia lebih sayang utamakan. Abang, kalau ditakdirkan izrail menjemput sayang, abang janganlah terlalu bersedih hati kerana sayang akan bertemu cinta agung kita yang sering kita idamkan di tahajud kita bersama. Cuma mungkin sayang pergi dulu.
Sayang tinggalkan mujahid kecil ini untuk abang. Sayang mohon abang teruskan perancangan-perancangan kita dahulu. Didik dia menjadi pembantu sayang menuju syuga ya suamiku.
Jika abang dan si mujahid ini memerlukan sang bidadari untuk membantu, sayang sudah sedia merestuinya abang. Halalkan segalanya abang dan sayang mohon maaf sekali lagi kerana sayang bukanlah yang terbaik tapi sayang cuba sedaya upaya untuk jadi yang terbaik buat abang dan keluarga.Sekian dahulu dari zaujahmu ,Nurul Iman binti Muhammad Abid. Cintaku padamu selamanya. Semoga bertemu disyurga."
"Walid, nenek panggil makan" laungan mujahid kecil mematikan sedu Muhammad Irsyad.
Isteriku yang solehah, bidadariku disana. Kau syahid kerana mujahid kecil ini sayang. Semoga abadi mu di syurga sana.

Bila Kita Berbicara Soal Hati

Bila kita berbicara soal hati, hati itu ada pelbagai rasa yang mana kadang-kala sukar untuk ditafsirkan dan sukar untuk dimengertikan. Manusia selalunya tertipu dengan apa yang ada dalam hati dan perasaan. Perasaan itu kadangkala akan menipu akal dan fikiran. Kadangkala kita merasakan sesuatu yang ada di depan mata kita itu adalah yang terbaik. Dan kita juga sering berprasangka apa yang kita ada itu tidak cukup dan tidak baik. Namun, hanya Allah saja yang lebih mengetahui apa yang terbaik sedangkan kita tidak. Perasaan di hati kita itu juga adakalanya membuat kita kebingungan, kegelisahan, kerisauan, kegusaran dan sebagainya yang membuatkan kita resah dan tidak senang duduk. Sehinggakan kita terduduk menangis memikirkan kegundahan perasaan yang wujud itu.
Hati dan perasaan memang ada dalam setiap diri manusia. Cuma yang membezakan ialah bagaimana kita semua menjaga hati itu supaya ia selari dengan akal dan fikiran kita. Jika terlalu mengikut perasaan dan kata hati, kita juga bisa mati. Akal fikiran dan pertimbangan yang baik sahaja dapat memandu kita kepada satu jalan yang betul. Kadangkala kita semua ini suka berprasangka kepada orang di sekeliling. Orang yang berbuat baik dengan kita, kita akan berprasangka kononnya ada udang di sebalik batu. Ya, prasangka boleh jadi membantu hidup kita dan juga boleh membantutkan hidup kita. Kita sememangnya memerlukan prasangka tapi bukan prasangka  yang membantutkan hidup kita. Tapi, biarlah prasangka yang berpada-pada..Kita cuma perlu berhati-hati dan jangan terlalu mengikut kata hati.
Ada pendapat mengatakan wujudnya hati yang busuk, dan hati yang baik. Bagaimana hati yang busuk itu dan apa pula hati yang baik itu? Bolehkah kita sebagai hamba Allah yang lemah ini membaca apa yang terbuku di dalam hati insan ataupun individu lain? Hebat sangatkah kita meneka? Hebat sangatkah diri kita ini bila kita dengan yakin dan megahnya berkata "Aku tahu niat dia tu memang tak elok...niat dia saje nak tarik perhatian...niat dia itu...niat dia ini......niat dia memang nak mengenakan orang lain...niat dia nak menunjuk-nunjuk..." Padahal diri kita sendiri pun kadang-kadang tidak dapat mengenal pasti niat dalam hati kita.. Mulut bicara lain, tapi di selubuk hati berkata lain. Bagaimana diri kita ini boleh yakin dan sangat pasti dengan niat orang di sekeliling kita? Sedangkan sesungguh-Nya Allah jualah yang lebih mengetahui.

Oleh itu, marilah kita muhasabah diri kita sendiri.Terlalu banyak kekhilafan diri.Saya juga selalu berteka-teka dengan hati, perasaan, akal dan fikiran sendiri.Kadang-kadang kita juga menjadi bingung hanya kerana perasaan sendiri.Kita juga sering berasa tidak pasti dengan diri sendiri.Semuanya kerana diri ini sendiri.

Dosa Yang Terpaksa

Percaya atau tidak,dalam dunia ini ramai orang yang 'terpaksa' melakukan dosa. Bukan dosa darurat kerana dia sememangnya punyai pilihan samada untuk meninggalkan atau bergelumang dengan dosa itu. Sebaliknya, dia 'terpaksa' dalam erti kata lain, dia tidak mampu menghalang dirinya daripada meninggakan terus maksiat itu.
Inilah masalah yang seringkali terlepas pandang oleh para pendakwah muda khususnya. Orang muda, sifatnya lebih mudah menghukum. Kurang rasionalnya, kurang timbang rasanya.

Bayangkanlah, seseorang yang sudah bertahun-tahun berenak-enak dengan suatu dosa, pasti teramat sukar baginya untuk meninggalkan dosa itu.
Sebagai contoh, seseorang anak muda yang sejak usianya belasan sudah pandai clubbing dan kini sudah 30-an, pasti sukar baginya untuk menghentikan tabiat buruk itu. Makanya, kita tidak boleh menghukum terus sebaliknya kita boleh 'meringankan' dosanya.
Bagaimana?
Jika kita buka surah Yusuf ayat 9 dan 10, kita lihat bagaimana anak-anak Nabi Ya'akob merancang untuk membunuh adik mereka (Nabi Yusuf). Lalu timbul persoalan, anak-anak seorang rasul pun mahu membunuh saudara kandungnya? Ayahnya tidak mendidik merekakah?
Maka jika kita lihat sekali lagi, jelas rancangan asal mereka ialah untuk membunuh tapi bangun seorang yang paling tua dalam kalangan mereka mencadangkan agar Yusuf tidak dibunuh, sebaliknya sekadar dibiarkan di dalam perigi, moga-moga ada orang musafir yang mengutipnya.
Di sini kita memerhatikan dua pengajaran.
Pertama,hasad dan dengki akan membuatkan kita sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan musuh. Demikianlah yang terjadi kepada adik-beradik Nabi Yusuf a.s yang jealous dan cemburu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh bapa mereka, Nabi Yaakub kepada Nabi Yusuf a.s berbanding dengan orang lain.
Kedua, orang yang ditarbiyyah, jika dia 'terpaksa' melakukan sesuatu dosa kerana sudah dikuasai nafsu dan syaitan dia pasti akan melakukan dosa itu dengan mengambil dosa yang paling sedikit kesannya.
Dalam keadaan masyarakat masa kini,untuk kita lari dan tinggalkan 100% dosa silam, itu adalah sesuatu yang sukar melainkan jika Allah mengkehendakinya begitu. Yang pasti, ramai dalam kalangan kita sudah punya hidayah tapi belum dikurniakan taufik. Ramai yang sudah diberi kesedaran (hidayah) tapi tak ramai yang diberi kekuatan (taufik) untuk melakukan kebaikan seperti yang hati kecilnya mahu.
Ini dibuktikan dengan firman Allah dalam surah al-hujurat ayat 7 bahawa fitrah manusia, tidak kisah sejahat manapun dia, dia cenderung kepada keimanan dan membenci kepada kekufuran dan dosa. Kita boleh tipu orang lain, tapi kita takkan boleh tipu diri kita. Kita mahu mengenal Allah. Kita mahu menjadi pemuda yang dekat dengan masjid. Kita mahu jadi orang yang baik. Tapi kadangkala kita terlalu ego untuk mengaku bahawa kita mahu berubah.
Maka,di situ lah peranan da'ei sebagai penyeru dan bukannya penghukum. Apa yang terjadi, jika kita mudah menghukum orang lain ,maka hati kecil yang nak berubah ini terus tertutup dek kecewa dengan sikap orang-orang berkopiah ini. Apakah ini yang dinamakan jenayah kopiah putih?
Saya faham...
Maka,saya sama sekali tidak pernah menyalahkan mana-mana orang yang bermaksiat. Cuma yang saya marahkan ialah maksiat itu,bukan pelakunya. Saya tahu, untuk mengelakkan maksiat itu bukannya mudah. Kerana itu, para ulama dalam menafsirkan bentuk-bentuk sabar, mereka meletakkan sabar dalam meninggalkan maksiat sebagai sabar yang paling tinggi tarafnya.
Susah nak tinggal kebiasaan jahat kita,tapi ia boleh. Apa yang perlu, ialah azam dan keinginan yang kuat untuk berubah. Jika hari ini kita buat maksiat 5 kali, mungkin minggu depan kita buat 4 kali. Sedikit demi sedikit, kita kurangkan. Terus menerus kita kurangkan dan insyaAllah kita boleh tinggalkan terus! Yakinlah! Dan, jadilah manusia yang bijak yang mengurangkan impak dosa.
Kesimpulan
Saya mahu mengajak anda supaya memasang niat untuk meninggalkan terus maksiat. Saya pasti anda bukan malaikat, tak boleh lari daripada melakukan dosa sama seperti saya juga. Maka kerana itulah, jika tak tahan juga nak buat dosa, pilihlah dosa yang kecil dan bertaubatlah selepas itu. Taubat, moga-moga timbul kesal dan insaf. Dan paling penting, jangan sesekali kita berbangga-bangga (heboh-hebohkan) dengan perbuatan dosa itudan jangan pula kita mengajak orang lain untuk turut sama melakukan dosa.