Monday, November 14, 2011

Sedap atau Sihat : Pilihan di Tangan Anda

Gaya hidup rakyat Malaysia kini telah menjejaskan gaya pemakanan mereka. Bilangan wanita bekerjaya pula semakin meningkat menyebabkan semakin kurang makanan yang dimasak sendiri disediakan di rumah.
Oleh itu, ramai yang memilih membeli makanan segera kerana cepat dan mudah disediakan. Ini jelas menunjukkan kewujudan restoran makanan segera seperti KFC, Pizza Hut, McDonald dan sebagainya yang tumbuh melata bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.  Namun, adakah ini menunjukkan gaya pemakanan tersebut sihat untuk kesihatan kita?
Makanan yang sedap tidak semestinya sihat. Hal ini kerana kebanyakan makanan yang sedap mengandungi penambah perasa dan bahan pengawet. Kandungan Monosodium Glutamat (MSG) amat berbahaya untuk kesihatan kita. Golongan yang menggunakan MSG sebagai penambah perisa dalam makanan mereka lebih berisiko tinggi berdepan masalah berat badan berlebihan atau obes berbanding mereka yang tidak mengambilnya walaupun melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan kalori sama. Oh.. sungguh ngeri kan?
Kenapa dengan makanan segera? Makanan segera menggunakan bahan pengawet dalam kuantiti yang tinggi kerana ia diproses dan diawet untuk memastikannya tahan lama. Selain itu, kandungan lemak dalam makanan segera juga lebih tinggi berbanding bahan mentah biasa.
Memakan makanan segera dalam kuantiti tidak terkawal akan mendedahkan kita kepadapelbagai jenis risiko seperti kerosakan gigi, sembelit, tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, obesiti dan kenaikan tahap kolesterol.
Orang kata 'kita adalah apa yang kita makan'. Kalau kita orang yang jenis lesu, lemah dan gemuk, kita tengok balik apa yang kita makan sepanjang kita hidup. Berbanding kalau kita jenis orang yang cergas, aktif dan ceria, kita tengok apa yang kita makan semalam dan kelmarin.
Ini dibuktikan apabila kira-kira 90 peratus masalah kesihatan berpunca daripada makanan yang mengakibatkan sistem pertahanan badan menjadi lemah. Badan kita membabitkan kira-kira 60 trilion sel kecil termasuk sel darah, lemak, otot dan kulit. Pengumpulan toksik menyebabkan sel 'demam' dan akhirnya berlaku pelbagai masalah kesihatan. Antara sumber bahan toksik ini ialah makanan berasid, terlalu banyak mengambil ubat moden, terlalu banyak lemak kolesterol.
Bagaimana pula yang dikatakan dengan makanan tidak sedap tetapi sihat? Kita ambil contoh ulaman-ulaman, adakah ulam itu sedap seperti Burger di McD atau ayam KFC? Rasa ulam sangatlah pahit sampaikan ada yang tidak dapat memakannya.
Terdapat lebih daripada 120 jenis ulam tradisional telah dikenal pasti di Malaysia sehingga kini (Muharyani 1987). Antaranya ialah rebung, ulam raja, cekur manis, selom, pegaga, paku rawan, kesom, putat, kacang kelisa dan banyak lagi.
Kita boleh tengok orang-orang tua pada zaman dahulu kebanyakannya hidup dalam tempoh yang lama. Hal ini kerana mereka mengamalkan makan ulam-ulaman. Kebanyakan ulam mengandungi mineral-mineral utama seperti kalsium, fosforus, besi, natrium dan juga mengandungi vitamin-vitamin utama seperti karotena, vitamin A, B dan C. Tidak hairanlah jika ulam-ulaman ini digunakan dalam perubatan tradisional Melayu.
Makanan harian sebenarnya boleh menjadi ubat atau pelindung daripada pelbagai penyakit. Sepertimana Bapa Pakar Perubatan Moden, Hippocrates pernah berkata 'makanan sihat adalah ubat paling baik'. Untuk sihat, pemakanan kita harus mengandungi 80 peratus makanan bersifat alkali dan 20 peratus lagi makanan bersifat asid bagi meningkatkan daya ketahanan badan.
Komposisi makanan yang disarankan untuk kesihatan yang sempurna ialah 60 peratus sayur-sayuran, 20 peratus buah-buahan, 10 peratus sumber karbohidrat dan 10 peratus lagi protein (lebih baik jika protein tumbuh-tumbuhan). Alamak! Rasanya kita jarang mengambil sayur dalam makanan harian kita! Tetapi kita selalu ambil makanan yang mengandungi banyak karbohidrat dan lemak dalam tak sedar kan?.
Sebenarnya, makanan mempunyai dua ciri iaitu positif (menyihatkan badan dan memulihkan penyakit) atau negatif (menyebabkan penyakit). Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), didapati bahawa pembunuh utama manusia bukannya aids, malaria, kebuluran, kereta atau merokok, tetapi tabiat pemakanan manusia sendiri. Oh, lagilah ngeri!
Jadi, marilah kita sama-sama mengubah tabiat pemakanan harian kita supaya kita menjadi muslim dan muslimah yang lebih cemerlang. Oleh itu, kita yang berkuasa membuat pilihan yang terbaik, jangan salahkan makanan. Ingat... 'You Are What You Ate'.

No comments:

Post a Comment