Saturday, May 17, 2014

Berani bela diri

Seni pertahanan diri layak dilabel sebagai kaedah terbaik bagi seseorang untuk membela diri daripada serangan musuh. Kebanyakan seni bela diri tradisional dilihat berlawan dengan atau tanpa menggunakan senjata. Seni ini sudah lama wujud sejak berkurun abad dulu dan menjadi amalan setiap individu terutama kaum lelaki.
Mungkin dulu golongan lelaki diharuskan mempelajari ilmu ini kerana wujud banyak anasir luar membuat kacau bilau hingga membahayakan nyawa, namun kini fenomena sudah berubah. Tidak ramai yang memandang ilmu ini sebagai satu keperluan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan, teknologi dan gajet lebih penting dalam kehidupan seharian. Bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi situasi ini boleh dilihat jelas terutama di kawasan bandar. Kenapa? Mungkin kurangnya pendedahan berkaitan isu ini membuatkan kita makin lupa.
Bukan Malaysia saja yang mempunyai seni pertahankan dirinya yang asli bahkan hampir setiap negara mempunyai seni bela diri hasil cetusan idea dan gabungan elemen luar dan hasilnya menjadi satu identiti baru buat mereka. Seni ini juga terbahagi kepada beberapa jenis daripada seni tempur bersenjata tajam, senjata tidak tajam seperti kayu, dan seni tempur tangan kosong. Percayalah, makin banyak kita kaji, makin banyak seni bela diri yang kita temui dalam setiap kelompok masyarakat dunia.
Bukan tunjuk kuat
Mempelajari ilmu pertahankan diri bukannya untuk ‘tunjuk kuat’ di depan orang tanpa sebab munasabah. Semakin dunia pesat membangun, semakin penting ilmu ini dalam menguruskan kehidupan seharian. Mungkin dilihat secara kasar, kita bukannya mahu bertumbuk atau diserang musuh setiap hari, tetapi hakikatnya bukan itu saja diajar dalam ilmu ini. 

Bagi sesiapa yang tergolong dalam pengamal seni pertahankan diri, mereka mungkin faham bahawa ilmu ini banyak memberi impak positif dalam kehidupan seperti jaga disiplin, fokus dalam melakukan sesuatu, aturan masa lebih cekap dan sebagainya.

Ketika usia masih muda, kita disaran menyertai menyelami keindahan seni mempertahankan diri seperti silat dan pelbagai cabang lain bagi mengelak daripada terjebak dengan gejala sosial. Silat antara seni bela diri yang popular dikaitkan dengan masyarakat negara ini khususnya orang Melayu, tetapi semakin dunia berkembang, makin banyak cabang pilihan lain yang ada untuk remaja teroka.

Selain silat, mungkin ramai yang berminat untuk belajar taekwondo, brazilian jiu-jitsu, judo, systema, aikido, karate, kendo, kyudo, eksrima ataupun sumo. Kenali minat dan ambil tahu tahap ‘kental’ diri sendiri, cuba pelajari salah satu seni bela diri ini. 

Isu ini turut disuarakan Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan elektrik dan Telekomunikasi) Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom yang percaya, acara sukan seperti pembabitan dalam pelbagai seni mempertahankan diri dilihat sebagai aktiviti berfaedah yang dapat dilakukan sebagai hobi mengisi masa lapang daripada membuang masa melepak tidak tentu hala.

Seni mempertahan diri seharusnya diperkenalkan dan diajar kepada kanak-kanak khususnya kepada kanak-kanak perempuan seawal usia lima tahun untuk membentuk sahsiah dan keyakinan diri. Bagi memberi semangat kepada kanak-kanak dan wanita untuk menyertainya, seni mempertahankan diri boleh dijadikan aktiviti bersama keluarga dengan seisi keluarga belajar bersama.


Nampak ganas

Bagi Mohd Azirul Amin, 28, berkata pada mulanya dia melihat sesiapa yang membabitkan diri dalam seni bela diri berperwatakan garang, namun tanggapannya meleset sama sekali selepas diri sendiri menyertai seni silat gayung.

Ditanya kenapa memilih silat gayung berbanding cabang lain, Azirul berkata, sejak kecil dia menaruh harapan untuk menjadi seorang pesilat seperti datuknya. 

“Tanggapan saya bahawa pesilat adalah seorang yang garang kerana datuk sendiri karakter tegas dan ganas ketika berlawan. Mungkin persepsi itu wujud berdasarkan pengalaman saya ketika kanak-kanak selalu melihat datuk dan ayah bersilat beramai-ramai di gelanggang di kampung. Tetapi apabila saya sendiri belajar silat, saya dah mula faham konsep ini.

“Silat mungkin tak nampak ganas berbanding judo atau brazilian jiu-jitsu, tetapi bagi saya, ia ada keunikan sendiri dan saya percaya, ilmu tinggalan nenek moyang kita adalah pilihan terbaik untuk dipelajari dan diteruskan sampai bila-bila,” katanya.

Azirul menaruh keyakinan tinggi bahawa mana-mana seni bela diri ini dapat membantu meningkatkan potensi dalam diri seseorang jika mendapat latihan betul dan pendedahan dari masa ke semasa. Walaupun lasak dan kelihatan ganas, dia tetap memilih bidang mempertahankan diri sebagai hobi utama. Baginya, jika tiada minat dan kesungguhan maka ia menjadi sukar dipelajari.


Perempuan tak terkecuali

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CPP Training and Services (CPPTS), Mahathir Manan berkata, bukan hanya wanita yang terdedah kepada bahaya jenayah, malah kanak-kanak khususnya menjadi mangsa culik. Justeru, beliau melihat seni bela diri sebagai satu elemen utama yang perlu dipelajari bukan saja lelaki bahkan wanita dan kanak-kanak. 

Mahathir berkata, peningkatan kes jenayah membabitkan gadis dan kanak-kanak yang semakin meningkat saban tahun tidak boleh dipandang remeh. Katanya, prihatin terhadap isu ini membuatkan dia mengkaji teknik paling ringkas untuk mempertahankan diri berdasarkan 36 jenis ilmu bela diri yang dipelajarinya.

“Adakalanya pakaian, posisi dan keadaan kawasan kejadian dijadikan alasan tidak mampu mempertahankan diri walaupun mangsa pernah mempelajari seni bela diri. Namun, ia bukanlah alasan kukuh,” katanya yang pernah mengajar kira-kira 3,000 peserta program anjurannya.

Penulis percaya, kebiasaannya golongan lelaki adalah majoriti yang mempelajari amalan ini dan hanya segelintir saja golongan wanita turut serta. Faktor kekangan masa dan tidak mendapat kebenaran ibu bapa khususnya golongan remaja wanita antara punca utama bilangan kaum perempuan sedikit.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa Januari hingga Julai tahun lalu sebanyak 1,962 kes rogol dilaporkan. Adakah anda ingin menjadi mangsa yang seterusnya? Sudah tentu anda tidak ingin perkara sedemikian berlaku dan yang jelas, jika kita mempunyai ilmu mempertahankan diri, perkara sebegini pasti dapat dielakkan! Ketepikan soal tak cukup masa, buang alasan badan letih, yang penting keselamatan diri paling utama untuk kehidupan mendatang.


Pakej kurangkan berat badan

Bagi Jihan, 24, dia yang sudah dua tahun mempelajari muay thai berkata keunikan muay thai berjaya menarik minatnya, “Jika dulu saya menjalani latihan taekwondo di sekolah dan mendapati ia seni bela diri yang sangat menyeronokkan, namun selepas mengenali muay thai beberapa tahun lalu saya mulai tertarik untuk mendalami asas seni bela diri ini kerana ia mempunyai banyak keistimewaan yang tiada dalam seni mempertahankan diri yang lain.

“Antaranya, ia menekankan pergerakan lasak serta memerlukan daya tumpu yang sangat tinggi. Selain mampu mengurangkan berat badan, ia menjadikan otot terbina cantik dan bertenaga,” katanya.

Buktinya dulu, Amil mempunyai masalah berat badan sehingga mencecah 92 kilogram, tetapi sejak menjalani latihan muay thai selama dua bulan, Amil mampu menurunkan berat badan kepada 82 kilogram. Kini dengan sesi latihan pada setiap Sabtu, Ahad dan Isnin, dia berharap mampu menurunkan 12 kilogram lagi untuk mendapatkan berat ideal.

“Di sini saya bukan didedahkan dengan sesi latihan yang sangat mencabar dan menguji ketahanan badan, tetapi turut diberikan nasihat mengenai makanan seimbang serta diet dalam pengambilan makanan harian. Bukan itu saja jika dulu saya gemar melatah apabila diusik rakan sekelas, tetapi sejak menyertai muay thai, saya lebih fokus dan mampu mengawal diri daripada melatah,” katanya gembira dengan perubahan positif itu.

Facebook & kami

Dalam dunia era globalisasi yang semakin pesat membangun ini, penggunaan internet menjadi semakin penting. Internet sudah menjadi suatu keperluan yang mesti ada dalam kehidupan sehari-harian. Pada hari ini, penggunaan Internet bukan saja dalam kalangan orang dewasa atau yang berkerjaya, bahkan ia telah menjadi kegunaan bagi semua lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, remaja, pelajar sekolah, dan ibu bapa.
Penggunaan Internet adalah pelbagai dan antaranya ialah untuk pencarian maklumat, menambahkan pengetahuan, hiburan, serta untuk berbual. Penggunaan teknologi yang semakin canggih membantu manusia dalam mendapatkan maklumat dengan kadar yang begitu pantas. John Naisbitt (1990), meramalkan salah satu daripada sepuluh kecenderungan manusia di awal abad kedua puluh satu ialah maklumat. 
Perkembangan media sosial yang semakin banyak saat ini membolehkan individu berinteraksi serta bertukar maklumat melangkaui sempadan dunia. Antara media yang popular dan sering kali digunakan adalah Facebook. Pada zaman teknologi ini siapa yang tidak mengetahui apakah itu Facebook? 

Hampir semua lapisan masyarakat bermula dari kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah golongan tua mempunyai akaun Facebook. Facebook adalah satu utiliti sosial terkini membantu individu berkongsi maklumat dan berkomunikasi secara efisien dengan sahabat, keluarga dan rakan sekerja.

Penggunaan Facebook ini juga menjadi bahan perdebatan dalam kalangan ahli akademik, agama mahupun ahli politik berhubung kebaikan dan keburukan kepada penggunaannya. Namun begitu, penggunaan Facebook secara positif dapat menjadikannya sebagai satu medium untuk menghubungkan masyarakat di seluruh dunia melalui komunikasi di alam maya.

Namun, perkara yang membimbangkan sekarang adalah pengaruh penggunaan Facebook terhadap kehidupan remaja kini. Kemudahan internet yang banyak dan mudah didapati di mana-mana saja menjadi faktor mendorong keinginan remaja untuk lebih kerap melayari Facebook. 

Kebiasaannya remaja melayari Internet untuk membaca status terbaru yang dikemaskini oleh rakan. Jika mereka menyukai status atau pautan yang dikongsi di Facebook mereka boleh menekan butang ‘like’ atau meninggalkan komen di ruangan komen. 

Melalui maklumat yang dikongsi dalam Facebook, ternyata membuatkan remaja peka dengan pelbagai isu yang berlaku di sekeliling bahkan isu luar negara sekalipun. Pengguna Facebook juga sentiasa mengemaskini status mereka dan berkongsi perkara yang sedang mereka lakukan. 

Jadi, tidak hairanlah jika terdapat sesetengah remaja yang akan ketagih mengemaskini Facebook mereka kerana perbuatan itu sudah dianggap sebagai rutin dalam kehidupannya. Ketagihan remaja dalam melayari Facebook disebabkan adanya permainan atas talian yang kini menjadi semakin popular dan menggalakkan lagi remaja menghabiskan banyak masa di hadapan komputer mahupun telefon mudah alih yang boleh mengakses Internet. 

Di England, seorang wanita Lucy Barkley berusia 44 tahun yang ditemubual oleh sebuah agensi berita di sana memberitahu bahawa beliau boleh menghabiskan masa 10 jam untuk bermain permainan atas talian tanpa memikirkan perkara lain. 

Dalam permainan ini, pemain akan diuji tahap pemikiran mereka dan mesti menyelesaikan permainan mengikut tahap. Selesai satu tahap, mereka akan naik kepada tahap yang seterusnya dan perkara inilah yang menyebabkan ketagihan kepada pemain. Mereka akan merasa lebih tercabar jika mendapati rakan di sekelilingnya yang bermain permainan sama berada pada tahap yang lebih tinggi.

Mereka akan bertanding untuk mendapat kedudukan yang paling tinggi dalam kalangan mereka. Permainan ini bukan saja dipelopori oleh pelajar sekolah, malahan orang dewasa bekerjaya dan suri rumah juga turut bermain permainan tersebut bagi mengisi masa lapang.

Ternyata Facebook banyak memberi impak dalam kehidupan masyarakat pada hari ini. Hal ini terbukti dalam kajian yang dikeluarkan oleh Nokia pada Oktober 2010 yang menunjukkan rakyat negara ini mempunyai rangkaian sahabat online terbesar di dunia dengan purata 233 rakan dimiliki dari pelbagai laman sosial. 

Malahan mereka memperuntukkan masa kira-kira sembilan jam seminggu untuk melayari laman sosial. Tidak hairanlah jika pengguna merasa seronok melayari laman rangkaian sosial disamping dapat berhibur dan merehatkan diri dari tekanan urusan seharian. 

Namun, timbul pula persoalan sejauh manakah remaja ketagih apabila melayari Facebook? Ketagihan terhadap Facebook telah menembusi semua lapisan masyarakat terutamanya remaja. Hasil Kajian Norton Online Family Report mendapati 72 peratus kanak-kanak mendapat permintaan daripada orang yang tidak dikenali untuk menjadi kawan di laman rangkaian sosial dan 27 peratus memberitahu orang tidak dikenali itu mengajak untuk berjumpa di alam nyata.

Satu kumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (PPMK) mendapati Facebook adalah di antara laman sosial yang paling di kerap dilawati pengguna Internet. Sehingga Mei 2011, jumlah penggunanya mencecah 666 juta orang termasuk 10.6 juta dari Malaysia di mana 3.5 juta darinya berusia 18 tahun hingga 24 tahun. 

Penyelidikan tersebut adalah untuk mengetahui apakah Facebook adalah suatu kemudahan keperluan atau ketagihan dalam kalangan remaja. Hasil kajian mendapati yang remaja Malaysia hanya menghabiskan masa selama satu hingga tiga jam sehari untuk Facebook. 

Pengalaman mereka menggunakan Facebook ini adalah masih pada tahap permulaan dan tergolong dalam golongan majoriti akhir iaitu berhati-hati terhadap perubahan tidak selesa dengan sesuatu yang tidak pasti. Tujuan utama mereka melayari laman ini adalah untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya dan juga berhubung semula dengan rakan lama. 

Pengaruh rakan sebaya adalah faktor utama remaja menggunakan kemudahan laman sosial itu. Facebook juga didapati sudah menjadi suatu keperluan dan bukan lagi kerana ketagihan. Penggunaan Facebook tidak harus dipandang dari dimensi buruk saja, tetapi juga harus dilihat dari dimensi yang baik seperti pengguna dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana terbukti hubungan anak dengan ibu bapa makin erat jika anak perlukan ibu bapa mereka sebagai ‘rakan’. 

Dan ini membolehkan anak yang tidak dapat berbincang secara bersemuka dengan ibu bapa dapat melakukannya melalui Facebook. Disebabkan Facebook juga, pelbagai persepsi akan timbul. Rakan yang pendiam, rupanya celupar, rakan yang celupar, rupanya beriman, rakan yang suka membebel rupanya rasional bila berbicara sesuatu, rakan yang nampak sombong, rupanya suka kepada kehidupan ‘low profile’, rakan yang pendiam, rupanya sombong dan suka menunjuk-nunjuk. Itulah antara dunia realiti dan alam maya yang boleh mengubah persepsi terhadap seseorang melalui alam maya. 

Benar Facebook boleh menyatukan kawan lama yang terpisah, Tetapi Facebook juga menonjolkan seseorang dari pelbagai aspek dan kadangkala boleh mempengaruhi anda untuk menyukai atau membenci orang itu. Di samping itu, ketagihan remaja terhadap Facebook juga boleh mengundang penyakit seperti obesiti. 

Ini disebabkan pengguna tidak lagi suka bergerak atau bersenam sebaliknya sanggup makan di depan komputer. Lebih memburukkan keadaan, waktu makan juga tidak diendahkan. Saraf dalam otak yang selama ini digerakkan untuk aktiviti membaca serta menganalisis kandungan bahan bacaan itu boleh terjejas apabila lebih ramai yang memilih untuk melayari Facebook. 

Mereka tidak lagi berminat untuk menganalisis fakta yang diterima bulat-bulat menerusi enjin carian. Berikutan itu, mereka tidak lagi mengajar otak untuk berfikir secara mendalam yang boleh menjejaskan fungsi otak apabila keadaan berlarutan. 

Jika itulah yang dilakukan dari peringkat awal kehidupan remaja, bagaimana keadaannya apabila mereka dewasa kelak. Ia tidak hanya menjejaskan kehidupan seharian, tetapi bagaimana mereka dapat menjadi pekerja yang cekap dan berdaya saing. 

Perkara yang lebih membimbangkan lagi terutama kepada ibu bapa ialah anak mereka sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk pergi ke siber kafe jika di rumah mereka tidak terdapat komputer. Jika duit poket tidak cukup, mereka sanggup mencuri, asalkan dapat mengunjungi siber kafe. 

Melayari Internet kini menjadi sebahagian kehidupan harian mereka dan sering berasakan seolah-olah hidup sunyi jika tidak berinteraksi dengan rakan Facebook. Mereka berasa lebih selesa dan selamat untuk berkomunikasi melalui Facebook sekali gus membantutkan perkembangan interaksi terus sesama manusia. 

Tidak dapat dinafikan lagi golongan ketagih Facebook ini seperti ketagihan dadah yang sukar untuk diubati kerana ia satu cara membantu mereka bersosial. Istilah ketagihan Facebook ini diguna pakai daripada istilah ketagihan Internet ataupun ketagihan teknologi. 

Rice (2005) mendefinisikan ketagihan Internet sebagai kecenderungan kompulsif terhadap penggunaan Internet yang mengganggu kemampuan seseorang untuk menjalani hidup normal. Masalah penggunaan Internet dicirikan sebagai ketidakmampuan individu untuk mengawal kebergantungan mereka terhadap internet yang menyebabkan tekanan perasaan dan penurunan fungsional aktiviti harian (Shapira, Goldsmith, Keck, Koshla & McElroy, 2000). 

Justeru, ketagihan Facebook akan berlaku sekiranya penggunanya menghabiskan terlampau banyak masa bersosial melalui laman Facebook. Sekiranya ketagihan Facebook ini tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial. 

Menurut pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Zain, berkata ketagihan melayari laman sosial boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental yang melampau. Perkara tersebut akan turut mengganggu jam biologi pelajar sehingga menyebabkan hormon terganggu, sistem ketahanan badan kurang selain memberi kesan kepada mental. 

Apabila masa yang sepatutnya untuk rehat digunakan melayari internet, ia menyebabkan pelajar itu letih fizikal dan mental sekali gus tumpuan belajar berkurangan. Kajian berkaitan penggunaan Facebook dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah juga dijalankan oleh beberapa penyelidik. 

Mohd Effendi (2010), dalam kajian yang dijalankan di sebuah sekolah di Tanjong Malim melaporkan bahawa 54 peratus pelajar mempunyai tahap ketagihan yang tinggi terhadap Facebook dengan pelajar lelaki mempunyai tahap ketagihan yang lebih tinggi berbanding pelajar perempuan. 

Dapatan kajian beliau juga menunjukkan 38 peratus pelajar secara konsisten menggunakan Facebook dua jam sehari, 56 peratus berpengalaman menggunakan facebook selama tiga tahun. Selain itu, 36% responden juga mempunyai jumlah rakan Facebook secara purata adalah 201 hingga 300 orang rakan. 

Umumnya penggunaan Facebook adalah sangat berpengaruh terhadap sikap penggunanya dan boleh mendatangkan kesan negatif. Bagaimanapun, Facebook dapat membantu pengguna untuk terus berhubung dengan rakan baharu dan lama dalam dunia yang semakin kompleks dan dihambat dengan kekangan masa. 

Namun begitu, pengguna yang dikategorikan ­sebagai ketagih dalam Facebook akan menyebabkan berlaku penurunan produktiviti kerja, prestasi ­pendidikan, dan kepincangan dalam kehidupan bersosial. Manakala dalam konteks akademik, pelajar yang melayari laman Facebook secara berlebihan akan meluangkan masa melayari laman sosial tersebut berbanding dengan menumpukan masa dalam pelajaran. 

Kesimpulannya, kewujudan laman sosial Facebook telah merubah pemikiran pengguna internet mengenai tujuan penggunaan Internet. Pelajar yang akses laman Facebook secara berlebihan memberi implikasi lain terutamanya sekiranya pengguna terlalu obses mengaksesnya. 

Menurut seorang pensyarah di Universiti Oxford, Dr. Susan Greenfield menekankan yang mereka yang terlalu obses melayari laman sosial boleh menjejaskan fungsi otak. Pelbagai berita negatif juga boleh dibaca melalui media cetak dan elektronik berkaitan dengan penggunaan Facebook. 

Sering kali terbaca remaja perempuan lari dari rumah mengikut kenalan yang baru dikenali di Facebook sehingga mereka dirogol dan remaja bunuh diri dan membunuh akibat ketidakpuasan hati berkaitan penggunaannya. Justeru, penggunaan laman Facebook ini perlu dikawal supaya pengguna tidak terlalu terpengaruh dan seterusnya terjerumus kepada aktiviti tidak sihat. 

Sebagai ibu bapa, langkah untuk mengehadkan dan mengawasi anak mereka semasa melayari laman Facebook adalah satu langkah bijak bagi mengelakkan mereka dalam aktiviti kurang sihat. Ibu bapa perlu mengambil berat dan peka tentang sikap dan perubahan fizikal anak yang terlalu gemar menghadap komputer yang boleh menyebabkan mereka hilang fokus dalam pelajaran. 

Akhir sekali, ibu bapa perlu mengingatkan mereka tentang soal keselamatan, rahsia maklumat peribadi dan etika penggunaan internet ketika bersosial di laman Facebook.

Elak jadi ‘bossy’

Banyak berlaku di kalangan remaja, sikap suka mengarah kadangkala membuatkan orang lain meluat dan tidak senang berada dengan mereka. Lebih teruk lagi, sikap ini kerap berlaku dalam perbincangan idea. Mereka yang bersikap sedemikian sukar menerima idea orang lain dan pentingkan diri sendiri. Gen Y ingin kamu elakkan sikap itu dengan segera.
Duduk dan dengar 
Apabila sedang berbincang, elakkan dari menunjukkan sikap kamu yang tahu semua perkara. Fikirkan bahawa orang lain juga ada perasaan dan yang penting mereka ada idea yang mungkin lebih bernas dari kamu. Oleh itu, jangan sesekali memotong cakap mereka, tapi dengar dulu cadangan mereka dan kemudian baru kamu berikan maklum balas. 
Jangan terburu-buru 
Sesudah selesai perbincangan dan luahan idea oleh mereka, cuba berikan pendapat tapi jangan tunjukkan sikap kamu yang tahu semua jawapan. Jika sebelum ini kamu asyik memberikan jawapan saja, cuba latih diri kamu untuk bertanyakan soalan pula. Tanya soalan yang berkaitan dengan perbincangan itu. Tunjukkan bahawa kamu menghormati keputusan mereka. 


Terima seadanya 

Jika jawapan yang mereka berikan ternyata berlainan dengan skop jawapan yang kamu berikan, janganlah memaksa mereka untuk bersetuju dengan jawapan kamu. Fikir kembali, pernahkah kamu rasa jawapan yang kamu berikan itu salah? Mungkin kamu tidak pernah sedar kerana mereka hanya menurut kata kamu disebabkan personaliti kamu yang tegas. Tapi kali ini cuba tanyakan pendapat mereka mengenai idea kamu. 


Jadi diri sendiri 

Penting untuk kamu menjadi diri sendiri tanpa perlu berpura-pura mengubah daya pemikiran kerana ingin menghormati keputusan orang lain. Yakin dengan diri sendiri bahawa kamu mempunyai perspektif sendiri dan tidak memberikan idea menurut majoriti. Jika kamu sudah yakin, selepas ini kamu akan kurang menjadi mementingkan diri dan berfikiran lebih terbuka. 


Terima kelainan 

Walaupun pendapat mereka berbeza dengan kamu, terima kenyataan itu dengan hati terbuka. Kamu harus melihat ia dari sudut positif. Misalnya, percanggahan idea membentuk banyak idea baru dan kamu dan rakan kerja boleh memilih mana yang positif berbanding kesemua idea hanya datang dari kamu saja. Ini penting kerana ia boleh membunuh sikap buruk kamu yang menganggap diri kamu tidak mempunyai kelemahan.

Bahana makanan ringan

Tidak dinafikan, golongan remaja terutamanya sangat gemarkan makanan ringan atau lebih popular dengan gelaran ‘junk food’. Pernahkah anda terfikir mengapa ia dinamakan sedemikian? istilah ‘junk’ itu sendiri sebenarnya membawa maksud ‘lebihan’ dan ‘tidak berguna’.
Hakikatnya, makanan ringan seperti kerepek, cip kentang, gula-gula dan lain lain makanan ringan yang dibungkus dalam plastik tidak bagus untuk kesihatan lebih-lebih di usia anda yang masih muda.
Memang benar, makanan ringan ini sebenarnya memberikan ketagihan pada remaja kerana rasanya yang enak, mudah didapati dan murah. Tapi realitinya, kebanyakan produk ini tidak memberikan apa-apa manfaat dan juga khasiat penting untuk badan. 

Pengambilan makanan ini secara berterusan boleh menjejaskan kesihatan anda dan juga menghalang anda untuk mencapai matlamat dalam diet harian. Penulis percaya ketagihan produk ini sukar dihentikan tapi jika anda perhatikan kesannya pada kesihatan, fikir sekali lagi.

1. Punca badan letih - Walaupun makanan ringan dan makanan segera boleh mengenyangkan perut, tapi produk ini kekurangan nutrien yang diperlukan seperti protein dan karbohidrat yang berfungsi menjadikan tubuh anda bertenaga dan sihat. Jika anda mengambil produk ini setiap kali kelaparan, anda boleh menjadi letih. Makanan ini mengurangkan tenaga dalam badan dan pada sampai satu tahap menghalang anda melakukan tugas harian dengan berkesan.

2. Kemurungan - Fasa tumbesaran remaja menyebabkan badan mereka mengalami banyak perubahan hormon. Contohnya, mereka mudah terdedah kepada perubahan mood dan tingkah laku. Diet seimbang memainkan peranan penting untuk menstabilkan perubahan hormon itu. Kerana kekurangan nutrien dalam makanan ringan, kemungkinan remaja mengalami kemurungan akan meningkat 58 peratus. 

3. Ganggu penghadaman - Remaja yang ketagih makanan ringan berlemak akan hadapi masalah penghadaman seperti penyakit sindrom usus. Ini kerana makanan ringan kebanyakannya digoreng dan minyak yang terdapat dalam produk itu berkumpul dalam perut menyebabkan ‘keasidan’. Hal ini menyebabkan hakisan pada lapisan perut kerana kandungannya yang terlalu pedas dan kekurangan serat penting untuk pencernaan yang betul.

4. Ketidakstabilan tahap gula dalam darah - Makanan ringan sebenarnya tinggi kandungan gula yang menyebabkan metabolisme anda di tahap bahaya. Gula menyebabkan pankreas merembeskan lebih jumlah insulin untuk mengelakkan kenaikan drastik tahap gula dalam darah. Oleh kerana makanan ringan tidak mempunyai nutrien mencukupi, paras gula dalam darah akan menurun secara tiba-tiba selepas makan. Ini menyebabkan anda cepat marah dan meningkatkan ketagihan anda pada makanan ringan.

5. Membahayakan jantung - Produk bergula ini meningkatkan tahap kolesterol iaitu faktor utama yang menyumbang pada penyakit jantung. Selain itu, lemak yang terkumpul dalam badan menyebabkan anda menjadi lebih gemuk. Lebih banyak berat badan bertambah, lebih tinggi risiko penyakit jantung. 

6. Risiko penyakit buah pinggang - Percaya atau tidak, kentang goreng dan kerepek yang biasa didapati di restoran francais mengandungi jumlah garam yang tinggi berfungsi meningkatkan air liur dan rembesan enzim yang meningkatkan ketagihan anda. Kandungan tinggi lemak yang tidak baik dan natrium dari garam meningkatkan tekanan darah dan memberi kesan kepada fungsi buah pinggang.

7. Menghalang diet seimbang - Ketagihan pada makanan ringan boleh menghalang anda melakukan diet seimbang. Diet yang berkesan memerlukan pengambilan makanan yang tinggi kandungan protein dan karbohidrat, tapi ketagihan pada produk tinggi gula itu boleh mengganggu proses diet anda.

Tuesday, May 13, 2014

Serius betul!

Di saat globalisasi dunia yang berkembang pesat dan peredaran zaman yang memerlukan kudrat berterusan, ramai orang beranggapan bahawa menjadi seorang yang serius itu penting kerana ia melambangkan keperibadian, kematangan dan mendefinisikan tahap profesional kita.
Tapi, sentiasa mempunyai mentaliti yang serius pada setiap masa juga boleh membawa padah. Benar, kadangkala dengan cabaran hidup yang melanda dan juga suasana pekerjaan yang menambahkan tekanan, kita menjadi serius tanpa disedari. Hakikatnya, kita perlu bijak mengawal mentaliti dan perlu jadi serius mengikut situasi dan bukannya pada setiap masa hingga orang enggan mendekati kita.
Jika kamu seorang yang sudah biasa bersikap serius dan profesional, ketahui bahawa tidak perlu berbuat demikian setiap masa. Ada masa kita perlukan hiburan dan juga lawak yang boleh mengurangkan tekanan. Jika raut wajah sukar sekali untuk senyum, mustahil kamu akan dapat menghilangkan stres ketika habis bekerja.

Diri sendiri yang terlalu bersikap serius boleh memberikan kesan buruk pada orang sekeliling dan juga insan tersayang. Kita perlu memanfaatkan masa yang ada untuk dipenuhi dengan hiburan juga. Kadangkala kita tidak perlu bersikap terlalu serius kerana orang akan menganggap kita tiada humor dan seorang yang tidak boleh diajak bergurau.

Ketahui bahawa sifat ini boleh menjejaskan prestasi kerja kamu dan juga merosakkan hubungan persahabatan dan juga kekeluargaan. Gen Y ingin mencungkil akibat yang terjadi apabila seseorang remaja menjadi terlalu serius dalam semua perkara.

1. Sukar berkomunikasi - Ketahui bahawa seseorang yang terlalu serius boleh menjadikan orang lain meluat dan membuat keputusan untuk menjauhkan diri dari kamu. Mana tidaknya, apabila mereka sedang bersuka ria, kamu pula hanya diam dan enggan mengikut rentak. Selain itu, mereka juga akan beranggapan bahawa kamu tidak boleh berkomunikasi dengan baik. Mereka juga risaukan kamu akan marah jika diajak bergurau.

2. Rosakkan reputasi - Memang betul kamu ingin menumpukan perhatian dan fokus pada kerja, tapi akibat terlalu komited melakukan kerja, kamu akan mengalami tekanan kerana terlalu mengambil serius pada hasil kerja. Misalnya, kamu enggan bergaul dan tidak berkomunikasi dengan rakan kerja kerana terlalu sibuk ingin menyiapkan kerja. Ini boleh merosakkan reputasi kamu di tempat kerja jika dibiarkan secara berterusan.

3. Selalu risau - Percaya atau tidak, seseorang yang terlalu serius boleh meninggalkan impak negatif kepada kamu seperti kerap risau. Kadangkala, kamu akan mengambil serius terhadap sesuatu perkara meskipun ia hanya hal kecil. Kerana tidak dapat fikirkan jalan penyelesaian, kamu akan risau dan seterusnya tidak dapat berfikir dengan baik.

4. Cepat rasa bosan - Remaja yang serius banyak mengalami tahap kebosanan yang tinggi. Ini berlaku kerana mereka hanya lakukan kerja yang lebih penting dan menyelesaikan masalah saja. Kerja ringan akan dipandang remeh dan biasanya kamu akan cepat bosan kerana tiada cabaran dalam tugasan itu.

5. Tertekan - Menjadi serius pada setiap masa boleh meningkatkan tahap tekanan. Misalnya kamu terlalu komited dan rasa tanggungjawab yang diberikan terlalu berat seterusnya membuatkan kamu menjadi terlalu serius. Hakikatnya, setiap tanggungjawab itu perlu diuruskan dengan baik dan bukannya dengan menjadi serius sehingga boleh memberikan impak negatif pada orang lain.

6. Murung - Terlalu banyak memikirkan banyak perkara dalam suatu masa melambangkan sikap remaja yang serius. Sebetulnya, kita tidak boleh meletakkan terlalu banyak perkara dalam minda. Justeru, berfikir dengan terlalu mendalam boleh membawa kepada masalah kemurungan yang biasanya dialami oleh pelajar. Kadangkala mereka memikirkan pasal kahwin, hiburan dan sebagainya walaupun ia tidaklah terlalu penting.

7. Tidak tenang - Ketahui bahawa sikap kamu yang terlalu serius tidak memberikan impak positif pada diri. Ini kerana kamu hanya bersikap serius dan jarang sekali bergaul atau berhibur. Hidup akan menjadi bosan dan kamu tidak akan gembira seperti orang lain.

Buang sikap pentingkan diri sendiri

Pentingkan diri dan menganggap diri kita sebagai perhatian akan melukakan hati orang lain terutama mereka di sekeliling kita. Perasaan ini sebenarnya berpunca kerana kita inginkan perhatian dari orang sekeliling ataupun ia adalah sikap kita yang memang tidak menghargai orang lain.
Kebiasaannya sikap pentingkan diri sendiri akan lebih serius apabila orang sekeliling sudah mula perasan dan mengambil langkah untuk menjauhkan diri. Tidak semua orang boleh menerima kita sepenuhnya dan mengambil baik dan buruk sikap kita sebagai satu pertimbangan. 
Kalau kekasih pun sanggup meninggalkan pasangannya hanya kerana sikap pentingkan diri sendiri, apatah lagi di kalangan kawan-kawan yang mungkin menganggap sikap kamu itu terlalu melampau dan sepatutnya dijauhkan saja. Bukankah kita yang rugi?

Hilang kawan dan lama-kelamaan kita akan duduk sendirian atas sikap buruk yang terlalu pentingkan diri dan tidak langsung mengendahkan perasaan orang lain.

Justeru apa kata kita cari jalan untuk sekurang-kurangnya mengubah sikap ini perlahan-lahan dan kalau boleh buang untuk tidak terus dihimpit kebencian orang sekeliling.

Pertama sekali, apa kata kita letakkan diri di tempat dan situasi mereka. Sikap kamu yang pentingkan diri itu kadangkala menyebabkan orang lain tersinggung. Mungkin ada sesetengah tidak perasan, tapi mengikut kajian dan pemerhatian, lebih 90 peratus dari sikap pentingkan diri itu sudah tentu akan mengundang rasa tidak selesa kepada pihak lain.

Justeru, apa kata cuba letakkan diri kamu di tempat dan situasi mereka. Pasti kamu merasai apa yang mereka berdepan dengan sikap buruk kamu. Setidak-tidaknya kamu boleh memahami perasaan mereka kerana sanggup menghadapi sikap mementingkan diri kamu.

Contohnya apabila sebelum ini kita sering meninggalkan semua orang di sekeliling dengan satu keputusan yang kita buat sendiri tanpa bertanya bagaimana perasaan mereka. Tempat makan, restoran pilihan, destinasi percutian atau apa saja, semuanya hanya kamu saja yang membuat keputusan. 

Bagaimana dengan keputusan kawan lain? 

Keduanya, apa kata kita pertimbangkan kehendak orang lain pula. Kebiasaannya, individu yang mementingkan diri ini biasanya meletakkan diri mereka di tempat pertama. Tanpa memikirkan perasaan dan keadaan seseorang yang lain, mereka hanya menjadikan diri mereka sendiri sebagai keutamaan.

Jadi kali ini cuba letakkan kehendak orang lain di hadapan. Contohnya, selama ini hanya kamu yang meminta dibelanja macam-macam. Kali ini tanya pula apa mereka mahu dan cuba balas jasa mereka pada kamu selama ini. Jika dia asyik mengikut telunjuk kamu, cuba pula ikut apa yang dia mahukan.

Percayalah, persahabatan dan hubungan kamu dengan kawan-kawan atau sesiapa saja akan menjadi lebih sihat dan dihormati kerana kamu tidak jenis hanya meletak fokus pada diri kamu sebaliknya menjadikan semua orang penting dan mempunyai peranan untuk membuat keputusan.

Paling seronok sebelum kamu dan teman-teman membuat keputusan untuk menonton wayang atau memilih restoran untuk makan, apa kata bersembang dan berkongsi pendapat daripada hanya satu pihak saja yang membuat keputusan.

Ketiga pula, apa kata kita berhenti ambil kesempatan kerana individu yang mementingkan diri biasanya kerap menggunakan perkhidmatan atau jasa baik orang lain untuk kegunaan peribadi. Contohnya, kamu selalu meminta kawan belanja, selalu mengharapkan bantuan orang lain tapi apabila mereka memerlukan bantuan, kamu tidak hirau dan berlagak seperti tiada apa berlaku. 

Ini adalah sifat dan sikap kebiasaan mereka yang mementingkan diri sendiri. Kalau mereka susah, bukan main kata-kata dan pujukannya, tapi kalau orang lain baru sekali meminta bantuan atau memberi 'hint' untuk meminta bantuan, macam-macam alasan yang diberikan untuk mengelak. 

Seboleh-bolehnya mereka akan cuba mengelak dan memberi alasan untuk tidak membantu. Paling tidak faham, bagaimana mereka boleh mempunyai perasaan kering dan keras seperti itu untuk tidak menghulurkan sebarang bantuan. 

Situasi kebiasaan, orang yang pentingkan diri sendiri adalah mereka yang langsung tidak membawa hadiah atau cenderahati kepada teman-teman di majlis hari jadi atau apa saja majlis yang diraikan bersama. 

Malah mereka juga adalah jenis yang tidak akan mengeluarkan duit ketika makan bersama dan gemar memberikan pelbagai alasan seperti duit belum keluar dari bank, beg duit atau dompet tertinggal dan macam-macam lagi. 

Itulah sikap paling perlu dihindari dan jangan kerana sikap remeh ini akan memberikan kamu seribu satu persepsi negatif di kalangan kawan-kawan. 

Mungkin selepas ini kamu perlu pertimbangkan persahabatan dua hala kerana lambat laun mereka akan meninggalkan kamu.

Keempat, kali ini kita cuba pula untuk menjadi pendengar yang baik. Remaja yang pentingkan diri biasanya memiliki kemahiran mendengar yang kurang. Kamu bercadang untuk berhenti dan ubah sikap buruk itu. Oleh itu, perkara yang perlu dilakukan ialah mendengar apa kata atau luahan orang lain kepada kamu.

Mendengar bermaksud menganalisa, memahami dan berupaya memberikan pendapat mengenai topik itu.

Individu yang pentingkan diri sendiri selalunya hanya ingin orang sekeliling saja mendengar ceritanya. Kalau bersembang bersama atau duduk melepak, hanya dia saja yang tidak henti bercerita mengenai pengalamannya, kisah sedih dan gembiranya dan macam-macam lagi. Tapi bila orang lain punya cerita, langsung tidak diendahkan.

Kalau si pentingkan diri berdepan masalah, baik cinta mahupun konflik diri di tempat kerja, keluarga ataupun peribadi, mulalah semua kawan-kawan digesa untuk memberikan pendapat.

Tapi bayangkan apabila kawan lain pula berdepan masalah, banyak sangat alasannya untuk tidak membantu atau memberi motivasi kepada kawan. 

Kalau ada pun nasihat yang diberikan, semuanya seperti menjatuhkan semangat dan keyakinan kawan yang bermasalah itu. Bukan membantu sebaliknya lagi menjatuhkan seseorang itu.

Terakhir sekali, apa kata kita cuba untuk membiarkan mereka pula putuskan sesuatu keputusan. Sebelum ini mungkin kamu yang selalu membuat keputusan untuk pergi ke mana mana atau membuat pelan bagi aktiviti hujung minggu. Apa kata kali ini biarkan mereka pula yang bagi cadangan. Mungkin kamu dapat melakukan aktiviti baru yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Seperti Gen Y sarankan pada langkah pertama dan kedua tadi, kali ini kamu perlu lebih peka dan prihatin terhadap nasihat kawan-kawan kamu dan tidak hanya mengikut diri sendiri saja. Ini paling perlu diambil serius bagi memastikan kamu tidak lagi seperti dulu. 

Gen Y percaya jika kamu cuba lakukan setiap satu langkah ini, penulis sendiri yakin masalah kamu dapat diselesaikan. Paling tidak, orang sekeliling nampak perubahan yang ada pada kamu. Cubalah!