Monday, August 30, 2010

AL-MUKHATAB ITU SAYA -SA'ID NURSI


Di dalam mukadimah kutaib "Zahirat ad-Dha'f an-Nafsi wa Subulu 'Ilajiha" karangan Dr.Majdi al-Hilali, sebuah kitab yang mengulas tentang gejala keruntuhan jiwa yang melanda umat Islam, beliau menyebut;

"Di penghujung mukadimah ini aku berharap setiap orang yang membaca helaian-helaian kertas ini agar tidak menyangka bahawa dirinya jauh daripada gejala ini, dan yang dimaksudkan dengan kata-kata dalam kutaib ini ialah individu lain, selainnya. Bahkan kita mestilah membaca bersama dan menganggap bahawa kitalah yang dimaksudkan dengankata-kata ini, al-Mukhatabun (yang ditujukan percakapan) di dalam kata-kata ini. Mudah-mudahan kita dapat memeriksa penyakit kita, mengetahui ubat kita, dan itu tidaklah sukar bagi Allah."




Saya telah dihadiahkan sebuah kitab yang bertajuk "Lamahat min Hayat wa Aatha Badi'izzaman Sa'id an-Nursi" ketika berkunjung ke pameran kitab di Kaherah. Seorang pemuda Turki yang menjaga kedainya menyerahkan kepada saya kutaib yang mempunyai 32 halaman itu. Kitab ini menceritakan sejarah hidup Imam Sa'id Nursi, seorang sufi besar yang dikupas secara ringkas tapi padat. Kini karyanya "Risale-I Nur" sudah tersebar ke seluruh pelosok dunia dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuklah Bahasa Melayu. Di antara intelektual yang banyak mempengaruhi dan membentuk idea serta pemikiran Fethullah Gülen ialah seorang ulama Turki yang semakin mengharum namanya di barat ialah Sa'id Nursi.


Walaupun mereka tidak pernah bersua muka, Adnan Oktar atau
lebih terkenal dengan nama penanya Harun Yahya yang cukup hebat mengkritik Darwinisme juga mengakui bahawa dirinya ialah pengikut Nursi. Katanya lagi;

"Saya menganggap beliau sebagai seorang yang
istimewa, dan juga antara muslim paling kuat dan paling tulus di abad ini."


Imam Badiuzzaman Sa'id Nursi rahimahullah dianggap sebagai seorang
mujaddid. Di dalam tulisannya, beliau bercerita tentang kisah hidupnya yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tibulasi yang tidak henti-henti. Beliau banyak bercerita tentang titik perubahan dan titik pemisah antara dirinya yang lama dengan dirinya yang baru. Sebelum berlaku revolusi dalam pemikirannya, beliau menggelar dirinya sebagai Sa'id al-Qadim(lama) dan setelah itu pula sebagai Sa'id al-Jadid (baru). Sa'id al-Jadid memikul yang berat dia atas bahunya demi menyelamatkan roh ummah setelah penyakit dan wabak yang membunuh iman merebak dengan dahsyat ketika itu.


Ketika itu, Sa'id al-Qadim berada dalam keadaan yg sungguh membingungkan. Jalan manakah yang harus ditempuhinya? Jalan-jalan yang ada terlalu banyak di
hadapannya. Akhirnya, beliau mengambil kitab "Futuh al-Ghaib" karangan alim besar, Syeikh Abdul Qadir al-Kailani rahimahullah. Beliau membuka kitab itu dengan penuh optimis dan tiba-tiba berlaku satu keajaiban! Beliau mendapati ayat-ayat berikut terbentang di hadapannya:


"Kamu di Dar al-Hikmah, maka carilah tabib untuk merawat hatimu."


Sa'id menceritakan kisahnya yang penuh makna itu, "Sungguh mengagumkan!
Sesungguhnya di saat itu aku ialah salah seorang anggota di Dar al-Hikmah al-Islamiyah, seolah-olah aku telah datang ke situ untuk merawat luka-luka umat Islam, sedang sekarang aku pula yang paling sakit
dan tersangat berhajat kepada rawatan berbanding orang lain. Maka terlebih utama bagi pesakit untuk merawat dirinya sendiri sebelum merawat pesakit yang lain. Ya, beginilah Syeikh berbicara denganku; "Kamu sakit, carilah tabib yang dapat merawatmu!" Aku berkata; "Jadilah kamu tabibku wahai Syeikh!"


Satu kebetulan yang amat hebat apabila Sa'id mulai membaca kitab itu. Beliau
berasa seolah-olah Syeikh Abdul Qadir al-Kailani benar-benar bercakap dengannya. Beliau menganggap pengarang kitab menujukan segala tulisan itu kepada dirinya. Begitulah cara Sa'id membaca kitab itu. Sa'id terus meletakkan dirinya sebagai orang yang sedang dibicarakan oleh pengarang kitab sehingga hampir separuh kitab itu dibacanya. Bahasakitab itu benar-benar tajam, menusuk dan menikam hatinya. Sa'id seolah-olah sedang menjalani satu pembedahan yang sukar dan menderitakan.


Kata Sa'id, "Aku tidak mampu lagi meneruskannya. Aku letakkan kitab di tempatnya. Kemudian setelah beberapa ketika, aku dapat merasakan bahawa kesakitan pembedahan tadi telah pun hilang dan yang menggantikannya ialah kelazatan spiritual yang mengagumkan."




Lalu Sa'id kembali meneruskan pembacaannya dan menghabiskannya. Kemudian, beliau mengambil pula kitab Maktubat yang dikarang oleh Imam Ahmad al-Faruqi as-Sirhindi rahimahullah, Mujaddid Kurun ke-12. Dengan penuh optimis, beliau membukanya. Sekali lagi keajaiban berlaku! Di dalam kitab itu, pengarang menyertakan tulisan dua pucuk surat yang tertulis padanya nama 'Mirza Badi'uzzaman'. Maka beliau dapat merasakan penulis surat itu sedang berbicara dengannya bahkan dengan menggunakan namanya.


Kata Said, "Kerana nama bapaku Mirza dan kedua-dua pucuk surat itu
ditujukan kepada Mirza Badiuzzaman." Kebetulan itu tidak dibiarkan sekadar itu sahaja bahkan Sa'id seolah-olah mencari kebetulan demi kebetulan dan membayangkan dirinya sedang berinteraksi dengan pengarang, menganggap dirinya sebagai al-mukhatab.


Sa'id al-Qadim akhirnya menghilang dan muncul kembali sebagai Sa'id
al-Jadid yang telah berjaya menghasilkan karya tersohornya, Risale-I Nur (Rasail an-Nur - yang bermaksud Risalah-risalah Cahaya). Kehebatan dan keberkatan Risale-I Nur terserlah apabila sebanyak 70 000 naskhah kitab itu telah disalin dengan hanya menggunakan tangan-tangan Tullab an-Nur (gelaran pengikut Sa'id Nursi), gara-gara sekatan untuk mencetak sebarang bahan berunsur Islam atas arahan rejim Attartuk ketika itu.


Beliau kembali ke rahmatullah dengan meninggalkan jasa yang cukup besar kepada kebangkitan u
mat, pada tanggal 25 Ramadhan 1379 Hijrah bersamaan 23 Mac 1960 Masihi. beliau telah dikebumikan di Urfa, Turki. Tetapi setelah empat bulan kematiannya, pihak kerajaan telah membongkar semula kuburnya lalu memindahkan jasadnya menaiki pesawatmenuju ke tempat yang tidak diketahui sehingga kini. Pengaruh Sa'id Nursi cukup besar terhadap masyarakat Islam Turki. Oleh sebab itu, beliau telah dibuang negeri, ketika hidup dan juga ketika matinya.


Ayuhlah kita menjadi al-Mukhatab! Bukan sahaja ketika mendengar bahkan juga
ketika membaca, sebagaimana perihal Imam Badiu'zzaman Sa'id Nursi rahimahullah. Al-Fatihah untuk beliau. Wallahu'alam.






Glosari:

Al-Mukhatab= Orang yang mendengar/yang diajak bicara

Kutaib= Kitab

Al-Mukhatabun= Yang ditujukan percakapan

Mujaddid= Orang yang membawa pembaharuan

Tibulasi= Cabaran

Al-Qadim= Lama

Al-Jadid= Baru

No comments:

Post a Comment