"MENGINSAFI bahawa sifat zaman berubah dan berdaya maju, ilmuwan dan ulama Islam sepanjang zaman membina tradisi ilmu, berfikir dan intelektual. Mereka merujuk al-Quran dan sunnah sebagai landasan mengembangkan prinsip asas yang Qurani. Begitu juga melakukan ijtihad dan pengembangan berasaskan fatwa dan kesepakatan ulama, ilmuwan dan profesional dalam kepakaran masing-masing. Ia faktor maju dan membangun tidak ditolak, tetapi tetap berlaku dalam acuan yang Islami
Gambaran dunia Islam hari ini berlainan berbanding pada zaman Rasulullah SAW, sahabat, tabieen dan yang mencetuskan tamadun besar. Pada waktu itu, prinsip murni Islam tidak saja dihayati dan dikembangkan dalam tradisi ilmu dan sistem pengurusan. Malah, sifatnya amat bersepadu. Keadaan itu menyebabkan ulama dan ilmuwan tidak saja amat ahli dalam ilmu mengurus diri, malah berkembang dalam ilmu mengurus sistem. Akhirnya, mencetuskan tamadun besar yang membolehkan Islam dilihat hebat dari sudut pengembangan ajarannya. Hebat juga dalam keupayaan ulama ilmuwan dan penganutnya dengan menampilkan peribadi besar untuk menjana kemajuan dan menggerakkan perubahan.
Pada hari ini wujud kebekuan ilmu dan tradisi berfikir yang amat ketara. Keadaan itu hingga menyebabkan umat Islam menjadi pengguna kepada kekuatan tamadun Barat. Mereka belum mampu melepasi diri untuk menyumbang ke arah pembangunan tamadun umat manusia. Namun, ia tidak bermakna ajaran Islam itu lemah atau tidak lengkap bagi mengatasi cabaran sezaman dan kerenah lingkungan. Namun, ia akibat suburnya dualisme dan sekularisasi ilmu serta pendidikan yang menyebabkan ajaran Islam sebenar atau sepatutnya terpinggir.Tradisi ‘turath’ atau bercorak tradisi tidak dapat dikembangkan bagi menghubungi metodologi berfikir kini yang lebih banyak menumpu kepada tradisi kajian dan fakta yang terputus dengan nilai tauhid dan nilai murni.
Teori ilmu berkembang secara empirikal dan asas ilmu yang bercorak keagamaan dianggap dogmatik dan tidak berorientasikan asas saintifik. Faham rasionalisme, humanisme, pragmatisme dan saintisme Barat berkembang pesat. Ia menjadi sumber rujukan dan kaedah utama dalam memperkasa proses pengilmuan dan pendidikan di kalangan sistem di negara umat Islam sendiri. Akhirnya, generasi yang lahir di kalangan warga umat ialah yang menyisihkan tasawwur atau ‘worldview’ ilmu dan pendidikan yang berteraskan nilai. Sebaliknya, berkembangnya sistem yang tidak menjadikan nilai dan etika sesuatu yang amat utama.
Skop pemikiran tidak lagi menghasilkan ilmuwan yang mempunyai upaya berfikir yang reflektif terhadap zaman dan perubahan. Tetapi sedang melakukan liberalisasi ilmu dan pemikiran berasaskan acuan Barat. Apa yang berlaku terhadap umat Islam ada sejarahnya. Sejarah itu menyebabkan wujudnya acuan yang menghasilkan ilmuwan Islam yang sifatnya terpinggir. Ilmuwan Islam tidak lagi menjadikan tradisi tadabbur dalam erti kata yang luas sebagai pedoman dalam melakukan kajian dan pengembangan.Sebaliknya, pendekatan kuantitatif dan kualitatif dalam kaedah penyelidikan hanya bersandarkan kepada fakta dan data yang dianalisis. Ia kemudian dijadikan rumusan atas hipotesis yang tidak terhubung langsung dengan nilai rohaniah dan kemanusiaan itu sendiri.Latihan intelektual ini tidak mampu menemui makna sesuatu yang terkait langsung dengan proses kejadian dan penciptaan, takdir dan musibah. Ia menyebabkan formula mengatasi masalah kemanusiaan yang parah semakin kehilangan punca.
Pada prinsipnya umat Islam tidak menentang Barat dari sudut faedah berbanding yang boleh didapati daripadanya. Apa yang disanggah oleh umat Islam ialah proses pembaratan yang memiliki tekad dan perancangan bagaimana minda dan tradisi keilmuan orang Islam dapat ditukar menjadi Barat. Seterusnya, meremehkan tradisi keilmuan dan pendidikan Islam yang terbina sekian lama dan terbukti pada masa yang lalu menghasilkan tamadun besar yang menyumbang kepada Barat dan Timur.
Perkara ini harus jelas di kalangan umat Islam supaya tidak timbul tanggapan bahawa Islam mengajar tradisi keilmuan yang tertutup. Seolah-olah al-Quran tidak mengajar pentingnya ilmu yang bermanfaat daripada tradisi dan tamadun orang lain. Pengalaman proses ketamadunan umat Islam pada masa lalu, tidak menolak kepentingan berbanding yang baik dan bermanfaat daripada tradisi orang lain. Keterbukaan Islam untuk menerimanya menjadi faktor yang sentiasa hidup dan perlu dihidupkan, terutama di tengah penguasaan Barat terhadap ilmu alat pada masa ini. "
No comments:
Post a Comment