“Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu syaitan-syaitan”. (Imam Bukhari)
Ketidak fahaman mengenai peranan syaitan dan hubungan dengan nafsu manusia membuatkan sesetengah dari mereka meragui kebenaran hadis tersebut. Ini timbul apabila walaupun bulan ramadan dan dijanjikan dengan syaitan itu dibelenggu namun kejadian maksiat masih berleluasa. Tambahan lagi bagi individu-individu sendiri yang terlibat dengan maksiat, di sepanjang bulan puasa pun sukar merubah tabiat mereka. Ada yang bertekad untuk merubah amal buruk dan diganti dengan amal baik, perangai buruk kepada perangai baik namun tidak mampu. Jadi mereka tertanya-tanya “benarkah syaitan itu telah dibelenggu?”
Bagi ahli thoriqah mereka sentiasa dilatih menjalani riadhah serta berjihad melawan hawa nafsu sepanjang usia, tidak tertakluk kepada hari atau bulan atau tahun. Apa lagi bulan ramadan yang diberkati adalah menjadi kayu ukur menilai tahap diri, setakat mana kedudukan nafsu (diri) mereka pada sisi Allah. Mereka beriman dengan hadis nabi di atas dan mereka beriman dengan hadis nabi yang bermaksud: “Bermula yang terlebih sangat jahat daripada seterumu itu ialah nafsumu yang antara dua lambung itu”. Juga hadis nabi yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).”
Allah swt menyebut dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”
Kebanyakan orang hanya melihat hanya syaitan yang bertanggung jawab atas apa-apa kemungkaran yang berlaku, sebab itulah bila disebut syaitan dibelenggu mereka berpendapat tentulah tiada lagi kemaksiatan kerana syaitan telah dibelenggu. Pandangan ini tersangat jauh tersimpang kerana tidak mengenal perbezaan antara nafsu dan syaitan. Mengenal nafsu adalah termasuk di dalam bab mengenal diri.
Siapakah yang dimaksudkan dengan “Seteru mu” di dalam hadis di atas. Mari pula perhatikan maksud firman Allah ini:
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! “(Yaasin: 60).
Jadi di sini musuh atau seteru yang amat nyata ialah Syaitan. Kalau begitu yang dimaksudkan “Yang terlebih sangat jahat daripada seterumu (syaitan)” ialah NAFSU yang berada antara dua lambung mu. Ini bermakna Nafsu kita itu adalah terlebih jahat daripada syaitan…. benarkah begitu? Syaitan hanya mampu membisikkan perkara-perkara kejahatan tapi yang melakukan kejahatan dan kezaliman adalah manusia yang dikuasai nafsu (Ammarah) yang jahat.
Kita lihat samada Islam atau kafir adalah mempunyai perkakasan yang membentuk manusia serupa sahaja. Kalau orang Islam dan beriman ada nafsu orang kafir pun ada, kalau orang Islam ada hati orang kafir pun ada, begitu juga akal dan roh. Ini adalah dalil keadilan tuhan. Kalau kita lihat pada hadis “Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).”
Maka tahulah kita bahawa kelakuan jasad atau peribadi seseorang adalah dari hati (nafsu) yang di dalam rongga tubuh seseorang itu. Peribadi Firaun adalah kerana besarnya nafsu Firaun. Peribadi Abu Jahal adalah pembentukan nafsu jahat Abu Jahal begitulah seterusnya samada Yahudi, Nasrani dan sebagainya. Samada yang berjuang untuk Islam atau penentang Islam. Jadi bila kita lihat satu-satu golongan itu zalim seperti Firaun maka yang zalim itu adalah bertolak dari nafsunya yang bersifat zalim. Maka kita menentang golongan yang zalim ini pada jalan Allah sebenarnya kita berperang dengan nafsunya yang zalim di atas jalan syariat. Namun kita jangan lupa kepada dorongan nafsu kita sendiriyang melampaui syariat nabi yang juga wajib diperangi. Disamping kita berjuang menentang kerakusan nafsu pemerintah yang zalim baiklah juga kita berjihad melawan nafsu kita sendiri. Kalau setiap ahli jemaah Islam mempunyai tekad untuk berjuang menumbangkan pemerintahan nafsu yang zalim di dalam diri masing-masing dan menegakkan pemerintahan nafsu yang suci sudah tentulah kita akan mempunyai satu pasukan Mujahid yang terbaik di bawah pemimpin yang terbaik. Insyaallah.
Nafsu, hati, qolbu, akal, jiwa, roh adalah benda yang sama. Nama yang berbeza kerana mertabat yang berbeza. Dikatakan nafsu kerana ada sifat berkehendak. Dikatakan hati atau qolbi kerana ada kepercayaan (iman). Dikatakan akal kerana tahu membeza (memilih) dan dikatakan jiwa atau roh kerana mengesakan tuhan.
Syaitan pula dengan izin Allah Taala dapat menggoda dan membisikkan manusia bagi menyesatkan dari jalan sebenar pada keempat-empat daerah atau mertabat tadi. Pada daerah nafsu syaitan menggoda dengan keindahan dan keseronokan syahwat hingga lupa akan Allah. Pada daerah hati atau qolbu syaitan membisikkan rasa takabur, ingin menunjuk-nunjuk, ingin dipuji, rasa hebat, haloba, dengki, iri hati dan sebagainya. Pada daerah akal syaitan membisikkan perasaan Syak, Dzan dan Waham kepada akal manusia. Pada daerah ruh pula syaitan membisikkan bahawa ada sifat ketuhanan berdiri pada manusia, seperti Firaun merasa dirinya tuhan.
Seperti setengah orang berkata “Aku nak buang nafsu” sebenarnya tak boleh, kerana ia adalah sebahagian dari kejadian manusia. Hanya yang boleh dilakukan ialah menunduk atau mengawal nafsu atau menguasai nafsu dan bukan ditunduk, dikawal atau dikuasai oleh nafsu.
Ada pun jalan untuk kita mengawal nafsu ini adalah yang pertama mesti ada ilmu syariat nabi yang zahir dan syariat nabi yang batin serta beramal dengan ilmu tersebut. Mengerjakan amalan amalan wajib dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat bagi memantapkan keimanan kepada Allah. Menjalani thoriqah umum seperti sembahyang puasa dan sebagainya serta thoriqah khusus yang muktabar yang mempunyai sanad bagi mendapat warid dan Mahabbah tuhan. Mengenal khatir-khatir Nafasi, Syaitani, Malaikat dan Khatir Rabbani pada Latifatul Qolbi.
Oleh itu di bulan ramadan yang mulia ini walaupun guru kepada nafsu Ammarah yakni syaitan dibelenggu namun muridnya masih bebas dan meronta-ronta jika tidak dikawal. Dengan sebab itulah maksiat masih berleluasa yang berlaku di depan mata kita sehari-hari. Puasa tinggal beberapa hari sahaja lagi, marilah sama-sama kita berjihad melawan nafsu mengubah dengan tangan jika kuasa atau dengan lidah (zikrullah) atau paling kurangnya kritiklah dengan hati di atas keburukan mazmumah hati kita.
Wallahu a’lam
No comments:
Post a Comment