Wednesday, November 30, 2011

Aku Rasa Aku Tak Salah.. Tapi..

Aku rasa aku tak salah jika ada bencana alam yang melanda dunia, iyalah, bukan aku yang jadikan banjir, gempa bumi dan semua bencana.
Tapi sebenarnya salah aku kerana aku membuat maksiat, lalai dari mengingati yang bahawanya tugas aku sebagai khalifah di bumi Allah. Aku tidak ingin merubah diri sendiri dan orang lain sampai Allah murka dan menurunkan bala kepada umat manusia.
Aku rasa aku tak salah jika maksiat, zina, buang bayi berlaku tiap-tiap hari dan makin meningkat setiap masa, iyalah, bukan aku yang lakukan hal terkutuk itu. Aku buat kerja aku sahaja.
Tapi sebenarnya salah aku kerana aku tak mahu peduli tentang masyarakat. Tidak mahu menjadi contoh yang baik agar masyarakat beringat menjauhi maksiat. Aku sendiri banyak mengikut budaya-budaya barat dan aku sendiri meremehkan hubungan lelaki dan perempuan sebelum nikah sampai tanpa tak sedar dengan bertambahnya orang macam aku, membuat orang yang lain berasa tidak malu untuk ke arah zina dan berzina.
Aku rasa aku tak salah jika orang lain mengata buruk tentang aku, iyalah, mulut org kan. Payah nak tutup. Aku buat hal aku sudah.
Tapi sebenarnya aku salah kerana aku membiarkan orang lain berperangai buruk dan kerana sikap endah tak endah aku dan tidak mahu memaafkan, menasihati orang dan tidak menunjukkan kebaikan pada orang itu serta lari dari mendekati orang tersebut, membuat ramai yang lainnya terpalit dan terkena dengan kejahatan orang itu. Makin ramai orang yg merasa sakit hati kerana sikap 'ego' aku itu.
Aku rasa aku tak salah jika orang-orang Kafir memusuhi masyarakat Islam. Orang-orang kafir melakukan kekejaman ke atas orang Islam. Iyalah, memang dah dasar Kafir, memang jahat!
Tapi sebenarnya aku salah kerana aku sendiri yang tidak mahu berdakwah walaupun sekecil-kecil dakwah dan tidak pernah punya rasa untuk menunjukkan Islam itu baik kepada orang-orang Kafir. Aku terus-terusan hina dan benci orang Kafir tanpa aku sendiri melakukan ikhtiar untuk merubah diri sendiri dan masyarakat agar orang Islam dapat membuktikan bahwa Islam itu baik dan tidak membebankan. Pernahkah aku berusaha?
Aku rasa aku tak salah jika kemiskinan melanda dunia. Iyalah, dah mereka miskin, siapa suruh tak belajar rajin-rajin, belajar tinggi-tinggi.
Tapi sebenarnya aku salah kerana aku sendiri sombong dan sangat berkira jika ingin menghulurkan bantuan kepada mereka. Aku sering memboroskan duit aku kepada hal-hal yang sia-sia dan tidak penting.
Padahal duit itu hanyalah untuk nafsuku, mengapa tidak untuk saudara-saudaraku yang sedang menderita? Aku makan enak-enak setiap hari, jika tidak dapat yg enak, aku marah padahal aku dah selalu makan enak-enak, si miskin tidak pernah sekali pun merasa keenakkan makanan yang aku makan. Mengapa aku merasakan mereka tidak ada kena mengena dengan aku? Bukankah kita semua berasal dari Adam yang sama?
 
Aku rasa aku tak salah jika aku berkata tentang keburukan orang dan mengiyakan setiap keburukan orang lain yang diceritakan kepada ku. Iyalah, dah memang jahat, nak bela buat apa? Biarlah dia. Tak ada kena mengenapun dengan aku. Aku tak jahat macam dia.
Tapi sebenarnya aku salah kerana bermula dari aku, dan pertambahan aku sebagai orang-orang yang mengatakan dan mengiyakan keburukan orang tersebut, orang lain turut sama membenci orang itu. Semakin hari berkurangnya orang yang mendekati dia dan dia berasa tertekan dan membuatkan dia tidak mahu berubah dan sikapnya menjadi semakin buruk kerana tidak ada yang mahu menasihati dan menyayangi.
Dan semakin ramai yang sakit hati serta tiada keharmonian dalam masyarakat. Orang-orang menjadi semakin liar dan tidak mustahil sikap suka mengumpat juga berkembang pada orang lain. Aku telah memupuk budaya tidak sihat itu! Sebenarnya aku juga dua kali lima jahat.
Aku rasa aku tak salah kerana tidak menutup aurat dan tidak menutup aurat dengan baik. Iyalah, aku tengok semua orang biasa sahaja buat macam itu. Tak ada apa-apa pun. Ia kan kebebasan berpakaian namanya.
Tapi aku salah kerana aku telah membuka peluang mata-mata gatal yang tidak mahu menjaga pandangan. Salah aku kerana kerana dari aku dan bertambahnya orang macam aku, telah menaikkan nafsu manusia yang selama ini teguh, lama-kelamaan meruntuh! Dari kerana aku, yang lain tertarik mengikut sikap tidak menutup aurat aku dan mereka menjadi mangsa nafsu buas manusia! Puncanya aku, kejamnya aku!
Aku rasa aku tak salah setiap masa.
Tapi sebenarnya aku salah lebih berganda-ganda setiap masa. Kerana aku tidak pernah ambil peduli. Pantaslah neraka yang sehina-hina tempat kembali jika aku masih tidak mahu berubah.
Astaghfirullah!

5 Pantai Pulau yang Cantik Di Dunia

"Pantai adalah salah satu tempat yang paling seronok untuk menghabiskan percutian anda.Sama ada anda suka adventure, peminat alam semula jadi,atau anda hanya mahu ketenangan selepas jadual kerja yang sibuk.Dunia penuh dengan pantai yang indah,di sini adalah senarai kami pantai 5 atas pulau yang paling indah di dunia.

1. Fernando De Noronha, Brazil
 
 Fernando De Noronha no 1 dalam senarai pantai yang indah. Ia terletak kira-kira 200 kilometer jauhnya dari pantai Brazil. Ia pada asasnya kepulauan terdiri daripada 21 pulau-pulau dan pulau kecil di Lautan Atlantik. Penduduk hanya lebih kurang 2,000. Pulau ini sebagai Tapak Warisan Dunia yang diisytiharkan oleh UNESCO. Terdapat sekatan ke atas bilangan pengunjung yang melawat pulau inipada satu-satu masa oleh kumpulan pemuliharaan alam sekitar.

 2. Maldives Islands

 Kedua dalam senarai adalah Maldives. Negara pulau Maldives terletak di barat Lautan Hindi di selatan India. Ia terdiri daripada 1.192 pulau-pulau indah yang diliputi dengan batu karang yang berwarna-warni, pantai berpasir putih,dan pokok-pokok sawit. Cuaca di sini panas dan lembap sebagai lokasi sangat dekat dengan khatulistiwa.Pulau Maldives adalah salah satu destinasi teratas untuk berbulan madu juga.

 3. Anguilla, Caribbean

 Anguilla adalah tempat kecil yang tenang. Caribbean diliputi dengan pantai indah berpasir putih. Pemandangan yang menakjubkan dan air biru lautan menarik pelawat. Anguilla adalah tempat yang hebat untuk menghabiskan percutian anda bersama keluarga,atau  pasangan. Pulau yang bersih Anguilla dikunjungi oleh ramai pelawat tetapi seolah-olah masih tulen dan tidak disentuh. Anguilla terdiri daripada lebih 30 pantai.

 4. Boracay, Philippines
 
 Pulau Boracay terletak 200 km ke selatan Manila. Pantai Boracay merupakan salah satu pantai yang paling popular dikalangan pelancong. Pantai di sini adalah yang terkenal dunia dengan pasir putih berkilat. Matahari terbenam di sini amat menarik. Ia pernah dialu-alukan tasalah satu pantai yang terbaik di dunia oleh Yahoo Travel dan BMW Tropical Beach Buku.Dan tidak ada syak padanya, ia terus untuk menarik pengunjung dengan pemandangan yang indah, matahari mencium pantai dan pasir putih berkilat dan lembut  yang tidak menjadi panas walaupun pada waktu petang yang cerah.

 5. Horseshoe Bay, Bermuda
 
 Horseshoe Bay di pulau Bermuda merupakan salah satu pantai yang paling popular dan indah dunia walaupun menjadi salah satu destinasi paling mahal. Cuaca baik,air yang tenang, pantai yang tenang, air jernih kristal membuat Horseshoe Bay salah satu destinasi kegemaran pecinta pantai. Perkara yang unik tentang pantai ini adalah pasir merah jambu yang tidak ditemui di mana-mana pantai pulau lain di dunia.

Sunday, November 27, 2011

Hijrah Minda Dan Tasawur

Penghijrahan yang abadi dan total kepada setiap insan muslimin sememangnya dituntut dalam Islam. Apakah tiada siapa yang terkesan daripada peristiwa penghijrahan 1433 tahun dahulu oleh Nabi Muhammad S.A.W?
Sesungguhnya hanya dengan dengan adanya peristiwa penghijrahan itu yang telah ditentukan Allah maka Islam berkembang dan mula tersebar meluas keserata pelusuk dunia.
Maka kini apakah tugas penyebaran dakwah itu terhenti? Tidak,setiap insan muslimin bertanggungjawab menyebarkan dakwah kepada setiap orang yang mereka temui, saling ingat mengingati tidak kira dalam apa jua bentuk penyebaran itu asalkan mengikut syariat Islam.
Hijrah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud meninggalkan satu tempat untuk menuju ke tempat lain. Ada di kalangan ahli bahasa yang memberi erti hijrah adalah merangkumi hijrah jasmani dan hijrah rohani. Maksud hijrah jasmani ialah meninggalkan satu-satu tempat. Manakala hijrah rohani pula ialah meninggalkan satu-satu sikap, kepercayaan, akidah, emosi dan tasawur serta menggantikannya dengan yang lain.
Hijrah amat terkenal di kalangan umat Islam kerana ia berkait rapat dengan peristiwa perpindahan Rasulullah s.a.w daripada Mekah ke Madinah dan juga merupakan tarikh permulaan pengiraan tahun Islam.
Hijrah lahiriah atau perpindahan badan dari satu tempat ke satu tempat atau dari satu negeri ke negeri yang lain merupakan sesuatu yang mudah dilakukan oleh manusia. Sememangnya manusia kerap berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan tujuan yang tertentu.
Saidina Jaafar ibn Abi Talib dengan rombongannya telah berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan diri dari tekanan pihak musyrikin Quraisy yang begitu dahsyat. Ramai para sahabat r.a selepas itu telah berhijrah ke Madinah untuk menyelamatkan akidah mereka dari diancam oleh musyrikin Mekah.
Di negara kita, ramai penduduk kampung telah berhijrah ke bandar. Tidak kurang juga yang berhijrah dari bandar ke bandar dengan tujuan untuk menambah pendapatan atau mencari keselesaan melalui pelbagai cara dan bidang mengikut kebolehan dan kelayakan masing-masing.
Di peringkat yang lebih rendah lagi, haiwan dan binatang juga melakukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat terutama di kawasan gurun atau tanah lapang yang luas semata-mata untuk mendapatkan makanan dan perlindungan akibat daripada perubahan musim dan cuaca.
Hijrah Dulu VS. Hijrah Kini
Jika diteliti maka sudah pasti terdapat perbezaan yang amat jelas antara hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda dengan hijrah yang dilakukan oleh manusia zaman sekarang iaitu yang tinggal di kampung menuju ke bandar.
Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a adalah bertujuan menyelamatkan agama dan akidah, mencari jalan bagi melicinkan usaha memantapkan penghayatan agama dan merupakan usaha mengembangkan risalah Islam kepada seluruh manusia sekalipun mereka terpaksa menanggung kerugian duniawi.
Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf r.a telah meninggalkan semua harta mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah setelah kaum muysrikin Mekah menghalang mereka membawa bersama-sama harta mereka.
Manakala hijrah atau perpindahan manusia zaman kini dari kampung ke bandar adalah bertujuan mencari rezeki dan keselesaan hidup. Namun, kedua-dua bentuk hijrah dan perpindahan tersebut tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t selagimana ia dilakukan kerana-Nya.
Falsafah Hijrah Nabi Dan Sahabat
Intipati peristiwa hijrah baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah bukan sahaja tertumpu kepada perpindahan jasadiah yang dapat disaksikan oleh mata, akan tetapi tujuannya yang lebih penting ialah untuk membimbing dan mendidik para sahabat r.a yang baru sahaja memeluk agama Islam ke arah kesempurnaan penghayatan Islam sedikit demi sedikit.
Pendek kata, falsafah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah adalah untuk memastikan perpindahan keyakinan, tasawur, akhlak dan sikap para sahabat r.a dari pengaruh jahiliyah kepada pengaruh wahyu dan fitrah, dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.
Falsafah hijrah ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w ketika baginda menegur kata-kata Saidina Umar kepada Bilal 'Wahai anak hitam'. Baginda berkata kepada Umar 'Sesungguhnya pada diri engkau ada ciri jahiliyah'.
Falsafah hijrah yang telah disemai dan dididik oleh Rasulullah s.a.w ke dalam diri para sahabat r.a ini perlu dihayati oleh generasi Islam masa kini. Sekiranya dengan berbekalkan falsafah hijrah, Rasulullah s.a.w berjaya membentuk sebuah masyarakat Islam yang unggul dan menjadi tuan kepada masyarakat-masyarakat yang bukan Islam di sekeliling Madinah, maka mengapa tidak generasi Islam masa kini menjadikannya sebagai neraca untuk membentuk masyarakat yang unggul dan disegani dalam segenap lapangan.
Sekiranya masyarakat Islam yang awal amat disegani dan dihormati oleh masyarakat yang bukan Islam, mengapa pula umat Islam hari ini dengan bilangannya yang ramai, muka buminya yang luas, kekayaan bahan mentahnya yang melimpah ruah dan cerdik pandainya yang tidak kurang hebatnya, masih menjadi masyarakat yang dipandang rendah dan diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam.
Masyarakat Islam masa kini juga telah dijadikan oleh masyarakat bukan Islam terutama masyarakat Barat sebagai tempat memasarkan barangan keluaran mereka. Al Syahid Sayid Qutub ada menyatakan, 'Sehinggakan untuk mendapatkan sebatang jarum pun orang Islam terpaksa mengimportnya dari Barat'.
Hijrah Minda
Di samping membawa para sahabat r.a berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w telah turut membawa bersama-sama minda mereka untuk berhijrah dari kepercayaan, tasawur, sikap dan akhlak jahiliyah kepada kepercayaan, tasawur, akhlak dan sikap yang bertepatan dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t.
Sebagai contoh, peristiwa ketika berada di dalam gua Tsur, baginda telah membetulkan kepercayaan dan tasawur yang ada di dalam minda Saidina Abu Bakar r.a. Tatkala melihat Saidina Abu Bakar r.a berada di dalam keadaan ketakutan dan kerisauan iaitu bimbangkan baginda berjaya dikesan atau diapa-apakan oleh kaum musyrikin Mekah, baginda pun berkata:
"Janganlah engkau berasa risau dan sedih, sesungguhnya Allah ada bersama-sama kita."
Dalam merobohkan tasawur jahiliyah daripada masyarakat Islam yang baru mengenal agama Islam tentang konsep persaudaraan sesama manusia tanpa mengenal batas sempadan negeri, warna kulit dan keturunan, baginda telah mempersaudarakan antara dua golongan yang mempunyai perbezaan yang jauh dari segi status. Baginda telah mempersaudarakan antara golongan yang mempunyai rumah dan tanah (Ansar) dengan golongan pendatang (Muhajirin) yang tidak mempunyai apa-apa selain dari diri dan agama yang mereka yakini.
Dalam menghijrahkan tasawur mereka tentang kedudukan seorang nabi atau rasul, baginda telah menunjukkan betapa diri baginda adalah manusia biasa yang tidak ada bezanya dengan manusia lain. Cuma bezanya Allah telah menurunkan wahyu kepadanya dan menyuruhnya supaya menyampaikannya pula kepada seluruh manusia.
Di dalam peperangan Badar, baginda telah menunjukkan betapa orang lain juga berhak memberikan pendapat sekalipun dalam saat-saat genting. Apabila salah seorang dari sahabat baginda mencadangkan supaya tentera Islam berkubu di bawah lembah berhampiran dengan kawasan air, baginda telah menerima cadangan tersebut sekalipun pada asalnya baginda mempunyai perancangan dan cadangan yang tersendiri.
Di dalam peperangan Uhud pula, baginda telah bersama-sama berjuang sehingga ditimpa kecederaan yang biasa dialami oleh pejuang-pejuang lain.
Di dalam peperangan Ahzab, baginda turut bersama-sama mengerah tenaga untuk menggali parit yang telah dicadangkan oleh Salman al Farisi. Malah diriwayatkan bahawa baginda telah mengangkat batu yang besar yang tidak upaya diangkat oleh para sahabat r.a yang lain dan baginda telah mengalas batu di perut untuk menahan lapar akibat kekurangan makanan.
Di dalam peperangan Hunain, tatkala tentera Islam melihat bilangan mereka lebih ramai daripada bilangan tentera musuh lalu mereka merasakan bahawa mereka pasti mengalahkan tentera musuh. Namun Allah telah mengajar dan membawa minda mereka berhijrah. Allah s.w.t telah mengajar orang-orang Islam bahawa yang menentukan kemenangan dan kekalahan dalam peperangan itu adalah Allah s.w.t, bukannya bilangan dan kelengkapan yang hebat. Allah s.w.t telah menimpakan kekalahan di pihak tentera Islam sehingga Rasulullah s.a.w pula terdedah kepada serangan dan ancaman pihak musuh sehingga peristiwa ini telah diabadikan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran.
Dunia Tempat Berusaha
Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a tentang kehidupan di dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda mereka ketikamana baginda bersama-sama beberapa orang sahabat sedang berehat di bawah sebatang pokok dalam satu perjalanan. Baginda telah berkata kepada para sahabat:
"Sesungguhnya perumpamaan kehidupan dunia adalah seperti kita singgah di bawah pohon ini. Kita hanya singgah buat sementara waktu dan akan meneruskan perjalanan selepas beberapa ketika."
Dalam sabdanya yang lain, baginda telah menjelaskan kepada para sahabat bahawa :
"Dunia adalah ladang tempat bercucuk tanam untuk alam akhirat."
Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a terhadap konsep usaha dalam kehidupan dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda para sahabat r.a bahawa sekalipun Islam menekankan bahawa kehidupan akhirat itu merupakan kehidupan yang lebih baik dan kekal tetapi ia bukan bermakna boleh membantutkan usaha manusia ketika hidup di dunia ini.
Baginda telah membayangkan, sekalipun seseorang itu tahu bahawa hari kiamat akan berlaku pada keesokan hari namun dia tetap perlu melakukan kerja atau usaha yang sepatutnya dilakukan. Dalam perkara ini, baginda telah bersabda yang bermaksud :
"Sekiranya ditangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut."
Jika difikirkan, apalah faedahnya menanam benih kurma yang sudah pasti tidak akan mengeluarkan hasilnya dalam tempoh beberapa jam sedangkan keesokan harinya akan berlaku hari kiamat. Si penanam sudah pasti tidak akan sempat memakan hasil benih yang ditanamnya itu.
Namun baginda telah melafazkan hadith ini untuk membawa minda para sahabat r.a dan umat Islam bahawa tugas manusia di dunia ini ialah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sesempurna yang mungkin tanpa bersikap sambil lewa atau cuai. Ini kerana setiap tugas dan tanggungjawab yang ditunaikan akan dikira oleh Allah sebagai kebajikan sekalipun hasilnya tidak sempat dirasai oleh pelaku ataupun orang lain.
Baginda juga telah menanamkan ke dalam kefahaman masyarakat Islam bahawa alat atau jambatan untuk sampai ke akhirat adalah kehidupan dunia. Mereka yang meninggalkan kehidupan di dunia dengan alasan untuk menumpukan perhatiannya kepada kehidupan akhirat merupakan orang yang tersalah anggap terhadap konsep di dalam kehidupan Islam.
Ini kerana kebahagiaan atau penderitaan di akhirat adalah bergantung kepada amalan dan usaha manusia ketika hidup di dunia. Di dunia manusia dipikulkan dengan tanggungjawab dan kewajipan yang mesti ditunaikan dengan sempurna, iaitu apabila sahaja dia bertaraf mukallaf dan berakal.
Bagaimana mungkin manusia itu hendak mendakwa kebahagiaan menantinya di akhirat sedangkan dia tidak mengenali kewajipan dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan ketika dia hidup di dunia?.
Antara para sahabat r.a yang telah menerima penghijrahan minda yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ialah Saidina Umar al Khattab r.a. Beliau telah memahami bahawa dalam mencari kemudahan dan bekalan kehidupan dunia, manusia tidak boleh berserah kepada Allah tanpa berusaha.
Dengan kefahaman ini, Umar telah memarahi orang Islam yang hanya duduk beribadah di dalam masjid tanpa keluar berusaha mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarganya. Beliau telah mengungkap kata-kata yang kekal dalam catatan sejarah Islam yang unggul :
"Bagaimana kamu boleh hanya berserah diri kepada Allah sedangkan kamu tahu bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas atau perak."
Saidina Umar r.a juga telah mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan penghijrahan minda dan keyakinannya berhadapan sesama makhluk ketika beliau sedang mengucup Hajar al Aswad :
"Wahai batu, sekiranya aku tidak melihat Rasulullah mengucup engkau nescaya aku tidak akan mengucup engkau sepertimana yang aku lakukan sekarang ini."
Begitulah jelasnya tasawur Saidina Umar r.a terhadap Hajar al Aswad yang tidak boleh mendatangkan manfaat atau mudarat kepadanya. Tasawur ini terhasil setelah Umar r.a menerima sinar hidayah dan penjelasan daripada ajaran Muhammad s.a.w yang menanamkan keyakinan bahawa kuasa yang boleh mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia hanyalah kuasa yang datang dari Allah Tuhan Penguasa alam.
Demikianlah penghijrahan minda yang telah dibawa oleh Islam yang telah disampaikan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Usaha memahamkan manusia dengan konsep dan tasawur yang telah dibawa oleh baginda itu telah diteruskan oleh para sahabat, para tabi'in, para salafus soleh serta para ulama dan pendakwah di masa dulu dan sekarang.
Manusia Adalah Hamba Allah
Mereka sentiasa ingin melihat manusia hidup sebagai hamba kepada Allah dan bukannya hamba kepada nafsu atau makhluk lain dan juga jauh dari tasawur atau keyakinan yang tidak menepati ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana Islam datang dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan minda dan tasawur.
Perkara ini telah dijelaskan oleh Ruba'ei bin Umair ketika beliau berhadapan dengan Rustam, panglima perang Rum yang digeruni oleh pihak lawan dan rakan. Rustam telah bertanya kepada Ruba'ei :
"Mengapa engkau datang kepada kami?"
Ruba'ei menjawab : "Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah, dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat."
Usaha-usaha menghijrahkan minda dan tasawur manusia zaman kini amat perlu dan mesti dilakukan untuk memastikan semua manusia akan terus menjalani kehidupan dengan berlandaskan pemikiran bahawa dirinya adalah bebas dari sebarang perhambaan dan ketundukkan sama ada sesama manusia atau makhluk lain.
Dalam erti kata lain, usaha-usaha membawa minda dan tasawur masyarakat Islam masa kini untuk berhijrah ke alam suluhan cahaya hidayah Ilahi amat perlu bagi memastikan setiap individu muslim menikmati kemerdekaan yang penuh dari sebarang unsur penjajahan sama ada penjajahan lahiriah ataupun batiniah.
Dengan membebaskan diri dan jiwa manusia dari perhambaan atau penjajahan serta menjadikannya bebas merdeka, kita akan dapat melihat manusia berupaya mengketengahkan sifat-sifat positif yang wujud di dalam diri mereka dan mengusir jauh sifat-sifat negatif yang sentiasa menghalang perkembangan dan pembangunan manusia.
Kemerdekaan dan kebebasan manusia dari segi lahiriah dan batiniah ini amat perlu untuk menuju ke sebuah masyarakat yang matang dan bertamadun.
Segenap lapisan masyarakat sama ada di kampung, di kota, pelajar, pendidik, ahli perniagaan, ahli politik, ahli agama, pemimpin, pentadbir dan sebagainya perlu menghayati penghijrahan minda dan tasawur sepertimana yang telah dihayati oleh para sahabat Rasulullah s.a.w di suatu ketika dahulu.
Sungguhpun negara kita telah memperolehi kemerdekaan semenjak berdekad dahulu, namun penjajahan minda masih lagi wujud dan bertapak kuat sehingga sekarang. Masih ada di kalangan masyarakat negara Malaysia yang berkeyakinan bahawa barangan buatan tempatan mempunyai mutu yang lebih rendah berbanding barangan buatan luar negeri terutama yang datang dari Barat.
Masih juga ramai yang mempunyai tasawur bahawa negara ini hanya layak ditadbir dan diperintah mengikut telunjuk Barat atau kuasa asing kerana masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang kurang pengalaman dan dangkal dalam segi pemerintahan.
Sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan umat ini pasti terserlah apabila mereka telah benar-benar melakukan penghijrahan minda dan tasawur sebagaimana yang dilakukan oleh generasi hijrah para sahabat Rasullullah S.A.W lebih 1400 tahun dahulu.

8 Tips Mengelakkan Penangguhan

Pengurusan Masa:8 Tips Mengelakkan Penangguhan
1. Kenal pasti sebab penangguhan sesuatu tugasan
Tanya kepada diri anda, adakah anda takut akan gagal dalam tugasan tersebut? Ataupun, anda seorang yang mementingkan kesempurnaan yang hanya akan memulakan kerja setelah semuanya selesai? Ataupun anda seorang yang mudah terganggu dan tidak fokus dalam melangsaikan sesuatu tugasan?
2. Kenal pasti tugasan anda dan bahagikannya kepada tugasan yang lebih kecil
Satu tips motivasi pernah dikongsikan, untuk makan seeokor gajah, caranya adalah dengan memotong daging gajah itu kepada ketulan kecil daging.
3. Letakkan tarikh akhir untuk tugasan anda
Cuba berikan tarikh dan masa untuk sesebuah tugasan. Contohnya, anda meletakkan matlamat untuk menghabiskan membaca sebuah buku dalam masa 1 minggu.
4. Bekerja dalam blok masa yang kecil tetapi kerap daripada bekerja dalam satu blok yang mengambil masa yang panjang
Contohnya apabila belajar, rehatlah sebentar selama 10 minit untuk setiap 1 jam atau 30 minit setelah belajar selama 2 jam.
5. Mulakan dengan tugasan yang mudah dulu
Ini bertujuan untuk memberi momentum kepada anda untuk bergerak. Hal lain seterusnya akan menjadi mudah kerana momentum yang sedia ada.
6.  Mulakan dengan tugasan yang anda rasa sukar
Ini bercanggah dengan tips 6. Manfaat tips ini adalah untuk memberikan psikologi kelegaan kepada anda. Selepas anda berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan yang sukar, anda akan merasa sangat selesa kerana merasakan sebuah beban telah berjaya dialih. Tips ini memberi kepuasan kepada diri.
7. Memberitahu orang lain tentang tugasan anda
Contohnya, anda memberitahu kepada orang lain bahawa anda akan menyiapkan sesuatu tugasan dalam tempoh yang ditetapkan. Ini akan menimbulkan rasa tanggungjawab di dalam diri anda untuk melunaskan tugasan tersebut.
8. Elakkan berada di tempat yang mampu mengganggu anda
Contohnya anda boleh memilih untuk belajar di perpustakaan atau tempat lain yang lebih sunyi jika anda bimbang anda akan leka dengan internet.

Kelebihan Bulan Muharram

1. Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam kalendar hijriah.

2. Bulan Muharram adalah salah satu dari pada bulan-bulan Haram.

Allah berfirman, ”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram.

Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (At-Taubah: 36)

Nabi saw. bersabda, “Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan suci. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan satu bulan lagi adalah Rejab yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” (HR Muslim no. 1679)

Bulan Haram yang dihormati itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Umat Islam dilarang berperang dan berbunuhan dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Larangan untuk melakukan maksiat adalah lebih keras dibanding bulan-bulan lain.

Abdullah Ibnu Abbas ra. mengatakan maksiat yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar dosanya dan amal baik yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar pahalanya. (Tafsir At-Thabari)

Al Allamah Ibnu Hajar menulis, telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) memandubkan (yakni SUNAT) berpuasa di BULAN-BULAN HARAM .

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasa yang paling utama sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa di bulan Muharram". (HR Muslim no. 1163)

Monday, November 21, 2011

Kasih Sayang Tiada Noktah

Setiap anak di kurniakan ibu bapa. Tetapi sejauh mana boleh kita buktikan kasih dan sayang kita kepada ibu bapa sendiri. Adakah cukup sekadar memberi wang setiap bulan .Adakah itu bukti kasih sayang kita kepada mereka.
Ada kisah yang ingin dikongsikan di sini. Kisah seorang anak yang sanngup berkorban untuk menjaga bapanya yang sedang menderita sakit buah pinggang walaupun terpaksa berjauhan dengan suami tercinta. Ibunya telah meninggal dunia sejak dua tahun yang lalu.
Tiga hari seminggu, dia akan membawa bapanya ke pusat dialisis untuk menjalani rawatan. Setiap keperluan bapanya di urus dengan baik. Walaupun mempunyai adik-beradik yang lain, tetapi bapanya amat selesa dengan anak perempuannya yang seorang ini. Setiap kali dia menghantar bapanya untuk menjalani rawatan, segala keperluan untuk bapanya di penuhi, antaranya menyuapkan makan, memakaikan stoking dan lain-lain.
Kalau di lihat kerja itu memang nampak mudah, tetapi melayan kerenah orang tua, bukan semudah yang disangkakan. Kita perlu banyak bersabar, begitu juga, ibu bapa bersabar membesarkan kita sehingga kita dewasa. Tetapi berapa ramai anak yang sanggup untuk menghabiskan masa menjaga orang tua walaupun mempunyai segulung ijazah .
Adakah kita mampu untuk menjaga ibu bapa kita seperti itu? Belum tentu lagi kita mampu untuk melakukannya. Sekarang mungkin kita akan kata kita mampu untuk menjaga ibubapa kita, tetapi bila tiba masanya, kemana kita pada waktu itu. Sibuk mencari wang sehingga mengabaikan kedua ibu bapa kita.
Cuba fikirkan sejenak, berapa kali kita melawat ibu bapa kita, itu pun setahun sekali pada hari raya. Dan yang menetap bersama ibu bapa, sejauh mana kita telah berbakti kepada mereka. Membantu meringankan kerja mereka dirumah, itupun sudah cukup melapangkan hati mereka melihat anak membantu keperluan di rumah selain bantuan kewangan. Tetapi persoalannya, adakah kita melakukannya?.
Banyak bukti menunjukkan bahawa berbakti kepada kedua ibubapa adalah persoalan penting dalam islam. Allah menegaskan hal ini dalam firmannya:
"Allah telah menetapkan agar kalian tidak beribadah selain kepada-Nya; dan hendaklah kalian berbakti kepada kedua ibubapa". (Al-Isra' :23)
Allah talah meletakkan keredhaan-Nya pada keredhaan ibubapa.Rasul bersabda ;
"keredhaan Allah bergantung pada keredhaan kedua ibubapa.Kemurkaan Allah bergantung pada kemurkaan ibubapa" (HR.BUKHARI DAN MUSLIM)
Marilah kita sama-sama renungkan pengorbanan ibu bapa kita yang tiada penamatnya. Jasa mereka tidak mampu kita balas walaupun dengan jutaan wang ringgit. Apa yang penting, kasih sayang kita pada mereka yang tiada hentinya. Doakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat, Jadi lah anak yang tahu mengenang jasa ibubapa. Hargailah pengorbanan mereka.

Buat Si Cerdik Yang Berfikir Panjang

Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa mengkehendaki balasan dunia, nescaya kami berikan bahagian dari balasan dunia ini kepadanya. Dan barangsiapa mengkehendaki balasan akhirat, maka kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu. ( Surah ali 'Imran ayat 145 )
Pengajaran ayat :
Tujuan asas yang didapati daripada firman Allah swt ini adalah untuk memberi perangsang kepada orang yang beriman agar terus hidup dalam keadaan berjuang untuk membawa perubahan di jalan Allah swt tanpa merasa ragu atau gerun terhadap halangan-halangan daripada musuh Allah swt.
Ini adalah kerana :
Sikap penakut seseorang tidak akan menambah atau memanjangkan nyawanya. Sikap beraninya juga tidak akan memendek atau mengurangkan nyawanya. Sikap takut dan bimbang seseorang tidak akan dapat menolak qadar dan takdir Allah swt. Sudah pasti seseorang itu tidak akan mati sebelum tiba ajalnya (yang telah ditetapkan Allah).
Sesungguhnya Allah swt akan menganugerahkan setiap apa yang diminta oleh hambaNya samada sebahagian atau sepenuhnya, sesuai dengan peraturan Ilahi dan sejauh mana mereka menuruti peraturan kehidupannya. Manusia wajib tahu masa dan perkembangannya :
Masa dan kehidupan yang sementara iaitu kehidupan di dunianya. Masa dan kehidupan yang kekal abadi iaitu kehidupan di akhirat.
Bagi sesiapa di kalangan manusia mencari habuan dan balasan keuntungan di dunia, maka Allah swt akan memberikan balasan dunianya. Namun rugi yang amat sangat buatnya kerana gagal memperolehi ganjaran dan balasan yang lebih besar dan lebih hebat di akhirat kelak.
Sebaliknya, sesiapa yang bekerja, beramal dan berjuang untuk mendapatkan keuntungan di dunia dan di akhirat, maka Allah swt akan mengurniakan kepadanya di dunia dan juga habuan yang jauh lebih lumayan di akhirat kelak.
Semoga Allah memilih kita di kalangan mereka yang gigih bekerja, istiqamah dan ikhlas di atas jalan kebenaran dan kebaikan  ini sehingga ke penghujung kehidupan kita kelak.
Sumber rujukan :
Al Qur'an dan terjemahan – Pustaka Darul Iman, Kuala Lumpur 2007Tafsir Mubin (Jilid 1) – Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2009Tafsir al-Maraghiy (jilid 2) – Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2001

Mahkamah Hati

Bukankah kita sering diperingatkan,  berani kerana benar, takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus menerus melakukan kesalahan. Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyiksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi bersalah kepada Allah.
Mahkamah pengadilan itu ada tiga. Pertama, mahkamah di dunia, yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung sering bolos, bilis sahaja sering di gilis.
Kedua, mahkamah di akhirat, yang hakimnya Allah yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar akan terserlah, yang salah pasti kalah.  Akan ketara segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Tidak payah didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan "hidup" untuk menjadi saksi. Kulit, tangan, kaki, dan segala anggota akan bercakap. Rupa-rupanya "body" yang kita jaga, elus dan belai kini, akan mendakwa kita di mahsyar nanti. Di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki.
Ketiga ialah mahkamah hati. Saksi, pendakwa dan hakimnya adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya. Protesnya  terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang lebih menyakitkan.
Ya, dosa boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia, tetapi tidak akan mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri. Kita mungkin mampu menipu manusia, tetapi kita tidak akan mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi, ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati? Setia masa, setiap ketika dan di setiap suasana hati kecil akan bersuara. Tidak tega dengan kesalahan, tidak rela dengan kemungkaran.
Dosa itu derita. Kerana yang salah atau dosa itu sangat memberi kesan pada jiwa. Bila kita berdosa hakikatnya kita melakukan dua 'perlanggaran'. Pertama, perlanggaran ke atas fitrah hati yang tabii. Kedua, perlanggaran terhadap Allah, zat yang Maha Tinggi.  Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan.
Jangan dilawan fitrah sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan.  Fitrah ini adalah kurniaan Allah, yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan, diabaikan apatah lagi jika ditentang, maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan. Jadi, hati-hati menjaga hati, agar hati itu tidak mati!
Rasulullah SAW sangat arif tentang hakikat ini. Justeru, apabila beliau ditanyakan, apakah itu dosa? Baginda menjawab:
"Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya."
Oleh itu, awaslah wahai diri. Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan atau mendadak. Kata ulama, mujurlah dosa itu tidak berbau, jika tidak, tidak akan ada siapa yang sudi mendekati kita.
Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah

Setiap Manusia Akan Merasainya

Keadaan di tanah perkuburan Wak-wak yang biasanya lengang kini dihadiri pengunjung. Nampaknya ada penghuni baru yang menghuni tanah perkuburan ini. Selepas selesai mengkebumikan jenazah Abdullah yang baru meninggal semalam, di bahagian atas tanah perkuburan Wak-wak, penduduk kampung yang terlibat pun mula mengatur langkah menuruni anak tangga ke kaki bukit. Ini kerana, tanah perkuburan Wak-wak terletak dikawasan bukit.
"Macam banyak pula orang meninggal sekarang ni kan Pak Man." Tanya Amin kepada lelaki yang sedang berjalan berdekatannya. Pada wajahnya lelaki itu jelas kelihatan jalur-jalur usia yang sudah semakin lanjut.
"Ya, Min." Jawab Pak Man yang sedang memikul cangkul yang digunakan untuk menggali kubur tadi, di bahunya. "Sudah takdir Allah s.w.t, kita sebagai hamba-Nya kena terima ketentuan-Nya."
"Ya Pak Man." Amin dengan nada yang muram. Pengalaman pertama kali menggali kubur, membuatkannya berfikir dan merenung tentang nasib dirinya. Hari ini dia menggali kubur untuk orang lain, mungkin esok, orang lain pula akan menggali kubur untuknya.
Aziz yang berjalan di belakang Pak Man dan Amin mempercepatkan sedikit langkahnya. Ingin turut serta dalam perbualan Amin dan Pak Man.
"Terkenal juga abang Abdullah ni ya, Pak Man." Kata Aziz. Kagum melihat orang ramai yang pergi ke pengkebumian Abdullah. "Ramai sangat orang, lain daripada biasa. Tidak pernah saya lihat depan mata ramai orang ziarah pengkebumian macam ni."
"Ya. Ramai itu memang ramai. Tapi sayangnya, tidak ramai yang dapat mengambil iktibar daripadanya." Pak Man melontarkan kata-katanya. Kata-kata yang diluahkan daripada pengalaman yang sudah lama terkumpul.
"Maksud Pak Man?" Amin mengerut dahi. Bajunya yang dibasahi peluh ketika menggali kubur tadi sudah semakin kering.
"Ramai daripada kita melihat orang meninggal dunia, menziarahi kematian. Tapi dia seakan-akan lupa dengan kematian. Melihat orang lain meninggal dunia, tidak membuatkannya terfikir atau merenung untuk bersedia menghadapi kematian dirinya. Amalnya tidak bertambah, dia tetap hanyut dengan dunia." Jawab Pak Man sambil tertunduk. Kelihatan daripada raut wajah Pak Man kebimbangan dan kegusaran. Bimbang memikirkan nasib dirinya yang sudah semakin tua. Tentu ajal sudah semakin dekat dengannya.
"Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa apabila mati seorang anak Adam, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain, lalu diamalkan, dan doa seorang anak yang soleh." Amin menyebutkan mahfum sebuah hadis shahih yang dihafal olehnya.
"Di dunia inilah sahaja tempat kita beramal. Selepas kehidupan ini, tidak ada lagi amalan yang kita boleh lakukan untuk bekalan kita menuju akhirat. Kita hidup di dunia ini bukan suka-suka, tapi ada tujuannya. Untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Hidup kita ini umpama sebuah perjalanan jauh yang melalui beberapa persinggahan." Pak Man meluahkan kata-kata renungan dan nasihat. "Sekarang ini, kita sedang berada di dunia. Salah satu daripada persinggahan untuk mengumpul bekalan dalam menempuh perjalanan yang cukup jauh. Amat jauh. Apabila kita telah pergi perhentian seterusnya, maka tiada cara lagi untuk berundur semula."
Amin dan Aziz mendengar dengan teliti, cuba menyelami dan menghayati pengertian yang tersurat dan tersirat dalam ucapan Pak Man.
"Kalau kita tidak menggunakan peluang yang kita ada ini dengan sebaik-baiknnya, maka akan rugilah kita. Benar-benar akan rugi." Pak Man menambah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Aziz dan Amin diam mendengar kata-kata itu. Pak Man sememangnya seorang yang banyak berfikir dan banyak hikmah. Sesuai dengan usianya yang sudah semakin lanjut. Aziz dan Amin masing-masing merenung diri. Adakah mereka termasuk di kalangan orang yang lalai yang disebutkan Pak Man. Lupa kepada kematian dan leka dengan dunia.
"Pak Man ini sudah semakin tua..." Keluh Pak Man, tetapi dia tidak menghabiskan kata-katanya. Suaranya kedengaran sebak. Dia terdiam, tidak sanggup untuk meneruskan ucapannya. Terasa berat.
"Ajal manusia itu tidak tentu Pak Man. Tiada siapa yang tahu bila ajal akan menjemput. Muda atau tua bukan penentunya. Bayi dalam kandungan pun boleh meninggal." Kata Amin sebagai peringatan bersama.
"Ya, betul juga." Pak Man mengangkat wajahnya memandang ke langit yang kebiru-biruan. "Hidup di dunia ini, kita tidak boleh leka. Sebagaimana kita buat persiapan untuk dunia kita pada esok hari, maka sebegitulah juga kita perlu berusaha untuk akhirat kita seandainya kita mati esok."
"Sebagaimana kata Rasulullah s.a.w, berusahalah untuk dunia kamu seakan-akan kamu akan hidup selamanya, dan berusahalah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok." Aziz menyebutkan sebuah hadis.
"Eh, Aziz, itu bukan hadis Nabi s.a.w lah!" Amin berkata pantas.
"Oh, betulkah?" Aziz mengerut dahi. Ini kali pertama dia mendengar orang menafikan apa yang disebutkannya tadi adalah hadis. "Tapi kenapa banyak orang cakap macam tu?"
"Banyak orang cakap tak semestinya betul. Perkataan itu memang terkenal dalam masyarakat, tapi ianya bukan hadis Nabi s.a.w. Syeikh Al-Albani menyebutkan ianya tidak mempunyai asal, yakni hadis palsu dalam kitabnya, Silsilah Ahadith Adh-Dhaifah wal Maudhu'ah!" Jelas Amin dengan yakin. "Hadis palsu tu maksudnya hadis yang direka-reka lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w secara dusta."
Syeikh Al-Albani adalah seorang ulama hadis kontemporari yang berasal daripada Albania. Beliau lahir pada tahun 1914 dan meninggal dunia pada tahun 1999. Pernah menjadi tenaga pengajar dalam bidang hadis di Universiti Islam Madinah selama tiga tahun, ketua Dirasah Islamiyah dan Fakulti Pasca Sarjana di sebuah perguruan tinggi di Jordan.
Beliau telah mendapat anugerah penghargaan tertinggi daripada Arab Saudi atas jasa-jasanya berupa King Faisal Foundation. Beliau mempunyai banyak karya yang bermanfaat kepada umat Islam, seperti Silsilah Ahadith Ash-Shahihah, Silsilah Ahadith Adh-Dhaifah wal Maudhu'ah, Tamam Al-Minnah Fi At-Ta'liq 'Ala Fiqhus Sunnah dan banyak lagi.
"Owh, jadi hadis palsu ni tak boleh gunakan?"
"Ya." Jawab Amin. "Nabi Muhammad s.a.w mengancam, barang siapa yang berdusta atas nama baginda s.a.w dengan sengaja, maka dia telah menyediakan tempat duduk bagi dirinya dalam Neraka!"
Aziz menelan air liur mendengar kata-kata Amin. Terkejut.
"Jadi, macam mana dengan aku?" Tanya Aziz dengan nada yang bimbang.
"Dulu kau tak tahu, tak apalah. Sekarang kau dah tahu, janganlah gunakan kata-kata tu lagi. Kalau kau guna pun, jangan katakan ianya adalah hadis daripada Rasulullah s.a.w." Amin cuba menenangkan kebimbangan jelas tergambar di wajah Aziz.
Aziz menarik nafas lega mendengar pernyataan tersebut. Pak Man tersenyum mendengar perbualan Amin dan Aziz. Kepandaian dan kecerdasan anak muda yang bernama Amin itu cukup mengagumkannya. Meskipun baru berumur 20 tahun lebih, tetapi dia mempunyai pengetahuan yang baik dalam agama. Pak Man, Amin dan Aziz sudah semakin jauh meninggalkan perkuburan. Sepanjang perjalananm balik ke rumah masing-masing, mata mereka disajikan dengan kehijauan yang menyenangkan mata.
"Setiap yang hidup pasti akan merasai mati..." (Surah Al-Anbiya': 35)

Tenang Yang Dicari

Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.
Mereka yang pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah, masalah baru akan menjelma. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!
Itu bukan sikap seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita. Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!
Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat. Justeru, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia sebagai jambatan kebahagiaan akhirat.  Hukama ada berpesan, dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat. Soalnya, bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk akhirat? Apakah yang perlu kita cari dan perjuangan dalam kehidupan yang sementara ini?
CARILAH HATI YANG SEJAHTERA
Dalam hidup yang sementara ini kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbun salim). Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah 'syurga dunia' sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa. Siang malam, manusia bertungkus-lumus menumpuk harta tanpa memperdulikan kesucian jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin sempit. Harta semakin melimpah tetapi hati semakin sakit.
Kualiti jiwa yang rendah menyebabkan timbulnya sifat mazmumah. Ini akan menimbulkan masalah kepada pemiliknya dan orang lain. Sifat marah, dendam, sombong, iri hati, hasad dengki dan sebagainya membunuh ketenangan dalam diri. Ini menyebabkan penyakit-penyakit lahiriah seperti darah tinggi, lemah jantung, ulser, kanser, diabetes dan lain-lain. Hubungan antara kesihatan hati (psikologi) dengan fisiologi ini telah lama diakui oleh pakar-pakar perubatan.
Tanpa ketenangan tidak ada gunanya kesenangan. Harta, wang, kuasa dan pangkat tidak boleh ditukar ganti dengan ketenangan jiwa. Sebaliknya kekurangan harta, rendahnya jawatan atau pangkat, dapat ditampung oleh ketenangan jiwa.
Orang miskin yang sabar masih boleh menikmati kehidupan yang tidak boleh dinikmati oleh orang kaya yang ego. Sebaliknya, tanpa sifat qanaah, sihartawan sekalipun akan terus tersiksa oleh kemiskinan jiwanya. Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw melalui sabdanya bahawa kaya sebenar ialah kayanya jiwa.
IMAN MAMPU MENAMPUNG KEKURANGAN
Ada enam perkara yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam perkara itu stabil maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu adalah kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan. Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.
Sungguhpun begitu, dalam realiti kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam semua perkara itu. Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya.  Ada yang kaya tetapi kesihatan terganggu. Ada pula kesihatannya baik tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota masyarakat.
Begitulah lumrah dunia, tidak ada seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika demikian, apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup? Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung kekurangan dalam perkara-perkara yang lain. Jika seorang itu miskin, sakit, berpangkat rendah dan lain-lain kekurangan maka iman akan menampung kekurangan-kekurangan itu dengan sifat sabar, redha, qanaah, lapang dada dan tawakal.
Namun, tanpa iman segala kelebihan yang dimiliki akan tidak berguna. Tanpa iman, sikaya akan tamak dan tidak akan merasa cukup dengan kekayaannya, yang berkuasa akan menindas dan menzalimi, yang sihat akan lupa diri dan membuat kejahatan, yang banyak ilmu akan angkuh dan menghina orang lain.
Semua ini akan mengundang kebencian, ketidak puas hatian, kemarahan, kedengkian sesama manusia yang akhirnya akan menimbulkan krisis antara yang simiskin dengan yang sikaya, yang berkuasa dengan rakyat jelata, buruh dengan majikan dan lain-lain. Tegasnya, kualiti jiwa yang rendah (tanpa iman) itulah yang mencetuskan kemusnahan dalam hidup manusia. Dan untuk mengatasinya, tidak ada jalan lain kecuali dengan meningkatkan kualiti hati!
KUALITI HATI
Mengapa soal hati sangat penting? Hati adalah kuasa penggerak di dalam diri manusia. Jika hati dikuasai kebenaran, nescaya ia menjana kebaikan. Sebaliknya jika hati dipenuhi kebatilan, ia akan melahirkan kejahatan. Hati yang dipenuhi kebaikan dan kebenaran adalah hati yang berkualiti. Ia mampu menghadapi apa juga cabaran atau masalah dalam hidup. Manakala hati yang dikuasai kejahatan dan kebatilan, adalah hati yang lemah. Ia akan goyah menghadapi masalah dan cabaran dalam hidup.
Bila hati tidak berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan, keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka ini umpama meminum air laut, makin diminum semakin haus. Atau memburu fata morgana – bahang yang sangat panas disangka air.
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Sumber Text: Gentar Rasa
إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: ""Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita."" Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah At-Taubah 9:  Ayat ke 40)

Cantik Dipandang

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." [Hadis Riwayat Ahmad]
Rama-Rama Halus Sayapnya
Melihat gelagat rama-rama membuatkan ramai orang menjadi suka, ceria dan terpesona. Ramai yang akan tersenyum melihat kecantikan rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Pasti ada yang tidak kena jika ada bunga yang tidak dihinggapi rama-rama.
Ramai yang akan tertarik untuk menangkap rama-rama apabila melihat ia terbang berkeliaran di udara. Kecantikan rama-rama terletak pada warna dan corak sayapnya. Akan tetapi kecantikannya tidak akan kekal jika banyak tangan yang menyentuhnya.
Warna dan corak rama-rama pasti akan melekat pada jari jemari apabila kita menangkapnya. Selepas itu tiada sesiapa yang akan tertarik padanya lagi. Keindahan rama-rama telah hilang untuk dikagumi.
Indah Ibarat Wanita.
Wanita adalah hiasan dunia. Rama-rama ibarat wanita. Wanita indah untuk dilihat, tetapi nilai dirinya akan merosot setiap kali ada tangan-tangan kotor mencemari atau menyentuhi tubuhnya. Harga diri dan maruah mudah tercemar jika tidak dijaga dengan sempurna.
Begitulah wanita. Kecantikan wanita bagaikan rama-rama yang terbang membawa keindahan corak pada dirinya. Ia akan membuatkan lelaki mudah tertarik pada wanita. Tetapi untuk menjaga harga diri seorang wanita, bukanlah dengan membiarkan kecantikannya disentuh, dipegang oleh semua yang tertarik padanya. Biarlah kecantikan pada wanita itu diperolehi melalui jalan yang diredhai Allah.
Wanita harus menjaga harga kecantikan dan keindahan seorang wanita menurut ketentuan dan panduan yang Allah ajarkan di dalam al-Quran yang telah di sampaikan oleh RasulNya. Hanya dengan menuruti perintah Allah, kemuliaan, harga diri, kecantikan, dan keindahan seorang wanita akan terjaga dan terpelihara.
Wanita Yang Lebih Baik Dari Bidadari
Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya: Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?" Baginda menjawab, "Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin."Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu? Baginda menjawab, "Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning..." (Hadis Riwayat al-Tabrani)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Hadis riwayat Bukhari)  

Sunday, November 20, 2011

4 amalan elak hati jadi 'batu'

SESEORANG yang keras hatinya akibat terlalu kotor menghitam pasti tidak lagi merasakan kemanisan dan keseronokan beribadat. Lebih membimbangkan ialah apabila hati ke tahap tidak ‘bernyawa’ lagi (mati), pasti tiada lagi perasaan insani dalam diri mereka. Akibatnya, mereka tidak dapat lagi membezakan antara kebaikan dan keburukan. Hatinya terpadam sifat manusia yang bertamadun, mempunyai peraturan hidup, belas ihsan dan perasaan takutkan kemurkaan Allah s.w.t.
Melakukan kemungkaran dan kejahatan tidak sedikit pun memberi perasaan bersalah dalam diri. Maka sebab itu mereka sanggup melakukan apa saja bentuk jenayah atau kekejaman di dunia ini. Hati ialah organ paling utama dalam tubuh manusia. Ia kelak akan menjadi penilaian terpenting Allah terhadap hamba-Nya. Bayangkan, setiap kemungkaran dan kejahatan menerbitkan satu titik hitam pada hati manusia jika dilakukan tanpa bertaubat. Berdasarkan hadis Rasulul lah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Allah berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah al-Muthaffifiin ayat 14)
Oleh itu, manusia perlu sentiasa menjaga hati mereka sama seperti anggota badan yang lain supaya sentiasa sihat dan mendorong mereka melakukan kebaikan. Hati kotor dan keras perlu dibersihkan kerana kegagalan memulihkannya berfungsi dengan baik kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah pada hari akhirat kelak.
Allah berfirman bermaksud: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah az-Zumar ayat 22)
Sucikanlah ia dengan banyak mengingati Allah iaitu berdoa meminta keampunan daripada-Nya setiap hari serta menghitung kesilapan diri. Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)
Jika seorang berasa senang, berbangga melakukan maksiat selain tiada langsung penyesalan selepas melakukan dosa, itu adalah tanda hati mereka bermasalah. Renungilah kehidupan di dunia ini pasti ada penamatnya. Sudahkah kita bersiap sedia menghadapi fasa seterusnya?
Pendakwah bebas, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata empat perkara utama yang perlu dijaga untuk memastikan hati sentiasa sihat ialah menjaga amal ibadat, sibuk mencari ilmu, berkawan dengan orang yang boleh memberi bimbingan serta ba nyak berdoa kepada Allah.
“Jika solat lima waktu tidak dijaga ia menyebabkan hati jauh daripada mengingati Allah. Ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak supaya tidak sesekali meninggalkan solat."
“Begitu juga dengan tuntutan mencari ilmu, ia penting kerana amalan yang dilakukan dengan ilmu itu mempunyai kualiti dalam memastikan hati terdorong melakukan kebaikan."
“Bermohonlah kepada Allah untuk apa saja permintaan dan hajat kita kerana ia senjata orang mukmin selain memohon taubat supaya dosa silam diampunkan Allah,” katanya.
Menurutnya, hati adalah raja yang mengawal tubuh badan sama ada untuk melakukan kebaikan atau kemungkaran.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika rosak daging itu, rosaklah seluruh tubuhnya serta ketahuilah ia adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Setiap Muslim perlu bermujahadah melawan nafsu kerana syaitan tidak akan berhenti menggoda dan memesongkan hati manusia daripada segenap sudut sehingga ke hari kiamat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Diskusi Addin sempena Karnival Gegaria Harian Metro di Taman Awam Kubang Gajah, Temerloh, Pahang baru-baru ini.
Turut hadir, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood yang membincangkan topik ‘Hati Mati, Keluarga Sengsara’, Ia dipengerusikan Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Ustaz Zamanuddin Jusoh.
Siti Nor Bahyah berkata, baik atau sebaliknya seseorang itu bergantung kepada hatinya.
“Lihat hikmah yang terdapat daripada kisah Luqman al-Hakim apabila tuannya memerintahkan supaya menyembelih seekor kambing dan membawa bahagian terbaik dan bahagian yang terburuk. Kemudian Luqman membawa kepada tuannya seketul hati. Berkata tuannya: “Wahai Luqman sembelih seekor kambing dan bawa seketul daging paling tidak baik.” Lalu Luqman juga membawa seketul hati.
“Ia membawa maksud baik atau tidak seseorang itu bergantung kepada hatinya. Maka bersihkan hati dengan membuang empat ‘racun’ dalam diri iaitu berlebihan dalam berbicara, berlebihan melihat sesuatu, berlebihan dalam makan dan berlebihan dalam pergaulan." Menurutnya berlebihan dalam berkata-kata menyebabkan seseorang itu banyak melakukan dosa.
“Dalam sebuah kisah ketika Huzaifah bertemu nabi dan meminta diberi petua kepadanya apa yang patut dia cakap supaya isterinya senang mendengar. Nabi menjawab: “Beristighfar dahulu sebelum bercakap.”
“Jika makanan terisi de ngan banyaknya menyebab kan ia akan menjadi racun yang mengotorkan hati. Luqman al-Hakim berkata kepada puteranya: “Janganlah engkau banyak tidur dan makan. Barang siapa banyak melakukan kedua-duanya, pada hari kiamat dia miskin amal soleh.”
“Luqman memberi petua, perut sepatutnya diisi dengan satu pertiga makanan, satu pertiga minuman dan satu pertiga lagi untuk pernafasan,” katanya.
Siti Nor Bahyah mengingatkan kepada suami supaya memastikan mereka membawa rezeki halal lagi bersih kepada keluarganya.
“Kisah seorang lelaki yang bertanyakan kepada Rasulullah kenapa Allah tidak makbulkan doanya kerana dia tidak mendapat isteri dan anak yang soleh. Rasulullah berkata: “Perbaiki makanan dulu (halal dan baik) nescaya doa akan dikabulkan.”
“Justeru, setiap pagi sebelum suami melangkah keluar mencari rezeki salam dan cium tangannya serta berpesan kepada suami supaya mencari rezeki yang halal kerana tidak sanggup dibakar api neraka jika ia daripada sumber haram,” katanya.
Beliau berkata, tiga ramuan atau petua yang dapat membantu menyuburkan hati ialah bermuhasabah diri, menimbulkan perasaan khauf (takut) kepada Allah serta banyakkan beristighfar.
“Sebagai suami, contohnya mereka perlu bertanya diri mereka adakah sudah menjaga amanah (isteri dan anak) dengan sempurna? Binalah keluarga sehingga ke syurga apabila menjadikan solat berjemaah bersama-sama sebagai amalan.
“Melakukan solat berjemaah dapat menambah keberkatan serta merapatkan hubungan kekeluargaan. Maka akan lahirlah ‘keluarga syurga’ yang diidam-idamkan.
“Melalui istighfar juga mampu membersihkan diri manusia daripada dosa. Nabi yang dijamin syurga sekalipun tetap meminta keampunan kepada Allah setiap hari,” katanya.