damaikan hati yang gundah ini,
sungguh, aku tak dapat menahan rasa cinta ini dari terus berputik,
Kau Maha Tahu akan isi hatiku,
Sampaikanlah rasa cinta ini pada dirinya,
Aku takut apakah cinta ini akan diterima,
Kerna aku hanya orang biasa.
Sungguh terkejut apabila secara tidak sengaja, aku terbaca diari milik sahabat baikku, Damia sewaktu mengemas mejanya semalam. "Isy, biar betul Damia ni jatuh cinta. Siapakah lelaki itu?", gumam hatiku sendirian. Setakat aku kenal, Damia seorang muslimah yang sangat menjaga dirinya daripada terjebak dengan dengan gejala cinta remaja.
Malah, dia sering menasihatiku agar menjaga rasa fitrah ini supaya tidak menjadi fitnah. Aku masih ingat lagi akan pesannya:"Bila mana seorang bayi dilahirkan, telah tercatat di Luh Mahfuz Allah, siapakah jodoh dan ajal mautnya. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa berdoa agar dikurniakan yang terbaik dan diri kita sendiri dahulu perlu menjadi baik. Dalam bulan Islam sendiri ada waktu mustajab doa yang dapat mengubah takdir hidup kita, contohnya waktu lailatul qadar, malam nisfu sya\'ban dan waktu2 mustajab doa yang lain. Percayalah pada qada' qadar Allah. Dia yang telah menciptakan kita dan Dia lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Ramai yang sibuk mencari cinta untuk baitul muslim, tapi tahap pertama iaitu fardul muslim pun masih belum sempurna lagi. Kalau tapak tak kukuh, bagaimana agaknya binaan itu akan teguh?. Jika solat pun sering sahaja kita lengahkan, solat subuh selalu lewat, rasa malas nak buat sesuatu kerja, sikap ammarah pun belum mampu kita kawal, bagaimana agaknya kita nak fikir tentang tahap kedua matlamat umum tarbiyyah (baitul muslim) itu?."
Nasihatnya lagi: "Cinta ini memang fitrah, tapi jangan kita jadikan ia fitnah. Contohnya, bila kita sedang berpuasa, kita disuruh agar tidak mendekati makanan kerana boleh jadi ia membawa fitnah yang boleh membawa kita berbuka puasa. Maka begitu juga CINTA, rasa suka itu fitrah. Jadi, kita dilarang mendekati maksiat seperti zina hati, dating dan bergayut dengannya di telefon agar fitrah itu tidak menjadi fitnah".
Pesanan itulah yang menjadi motivasi bagiku agar tidak terlibat dengan ujian cinta remaja ini. Tapi, kenapa pula dia boleh terlibat dalam kes begini. Patutlah, Damia sering bersendirian sejak akhir-akhir ini. "Mungkin dia ingin mencari kekuatan untuk menghadapi masalah hati ini. Ya Allah, peganglah hatinya agar dia tidak lari jauh dariMu. Dia seorang sahabat yang baik. Kasihanilah dia Ya Allah", doaku pada Allah setulus hati. Benar, Damia seorang sahabat yang sangat baik dan aku terhutang budi padanya kerana dialah insan yang berjaya mengubah hidupku. Teringat kembali peristiwa 2 tahun lepas..
Dulu, aku seorang gadis yang bebas dan tidak terlalu mementingkan Islam. Aku bertudung, tapi tidak memenuhi syariat yang ditetapkan, banyak pakaianku yang nipis dan ketat. Aku lebih suka mengikut fesyen terkini berbanding baju kurung, malah sering memandang orang yang berpakaian begitu ketinggalan zaman. Namun, segala-galanya berubah kerana satu insiden yang langsung tidak kuduga. Suatu petang, pintu bilikku rosak dan terkunci dari dalam. Oleh sebab kesempitan waktu dan kuliahku akan bermula 15 minit lagi, aku hanya bercadang untuk meminjam tudung dengan sahabat di depan bilik sahaja. Masya Allah, rupanya kedua-dua orang dalam bilik itu hanya mempunya tudung labuh kerana mereka berdua berasal dari maahad tahfiz. Jadi, dengan berat hatinya, aku memakai tudung labuh itu secara terpaksa. Kemudian, aku terus bergegas ke kuliah walaupun dalam keadaan malu kerana terpaksa berpakaian dengan imej yang kuanggap kolot ini.
Rupa-rupanya, seseorang telah datang menarik aku ke tepi jalan untuk menyelamatkan aku daripada dirempuh. Alhamdulillah, nyawaku masih panjang dan aku terselamat daripada kemalangan itu. Apa yang menarik perhatianku adalah kata-kata sahabat yang menyelamatkanku itu: "Syukurlah. Nasib baik kamu pakai tudung labuh kali ini,kalau tudung singkat, tentu kami tak sempat capai tadi", ujarnya dengan nada cemas. Zupp.. Kata-kata itu cukup menyentap hati. Langsung tak kusangka tudung labuh yang sering kupandang kolot ini telah menyelamatkan nyawaku pada hari itu. Terasa seolah-olah air sejuk yang dingin mengalir tenang dalam diri. Aku menangis di pangkuan perempuan itu, tapi bukan lagi tangisan seperti sewaktu putus cinta dulu, tapi tangisan kerana menginsafi dosa-dosa lalu, menangis tanda syukur kerana Allah masih menyelamatkan nyawa hambaNya yang terlalu banyak dosa. Ya, hidayah Allah boleh datang bila-bila masa sahaja. Bermula dari itu, aku berubah daripada seorang gadis bebas ke arah muslimah yang mengamalkan gaya hidup Islam. Semua ini berkat daripada kata-kata ikhlas seorang sahabat yang telah menyelamatkanku dulu dan dialah, Damia.
"Arin, jauhnya termenung sampaikan saya balik pun tak sedar," tersentak aku bila ditegur oleh Damia yang baru pulang daru kuliah. Lamanya aku termenung. Ingatanku kembali pada diari Damia, nukilan cintanya itu. Ingin sahaja aku bertanya siapakah pemuda itu, tapi niatku itu hanya disuarakan dalam hati kerana menghormati hak privasi dirinya. "Setiap manusia akan diuji", getusku dalam hati.
"Damia, awak okey?" tanya lelaki itu.
Damia hanya mengangguk sambil membetulkan bajunya. "Terima kasih, Fahim. Nasib baik awak datang cepat. Kalau tak, habislah kami dikerjakan oleh anak monyet nakal itu."ujar Damia sambil tersenyum.
"Sama-sama. Memang tanggungjawab setiap muslim untuk membantu saudaranya yang dalam kesusahan. Tu lah, awak ni cantik sangat sampaikan anak monyet pun boleh minat", ujar lelaki itu dengan nada bergurau.
"Ya lah tu, Oh, lupa nak kenalkan, ini sahabat baik saya, Arin", Damia memperkenalkan aku pada lelaki itu. Aku hanya tersenyum sambil menundukkan sedikit kepala sebagai tanda hormat. Rupanya, dia adalah pelajar senior tiga tahun lebih tua daripada kami dan belajar dalam kuliah farmasi. Aku jadi pelik melihatkan kemesraan mereka berbual, sedangkan Damia yang aku kenal adalah seorang yang pemalu dengan lelaki ajnabi.
"Apakah pemuda ini yang berjaya mencuri hati Damia?" soalku dalam hati. Setelah mengucapkan terima kasih, Damia meminta izin untuk beredar. Kemudian, kami meneruskan niat kami untuk pergi mengulang kaji di perpustakaan.
Aku mengambil kesempatan itu untuk bertanyakan tentang kandungan dalam diarinya itu, cinta siapakah yang dia sedang harapkan. Damia hanya tersenyum dan tidak menjawab persoalanku, sebaliknya dia berjanji akan memberitahu siapakah si dia setelah aku berjaya menjawab teka tekinya: "Kenapa siput babi berjalan lambat?". Pening kepalaku memikirkan jawapan teka teki tersebut. "Kan siput babi tak ada kaki, tentu dia susah nak berjalan", jawabku dengan penuh yakin. "Salah. Cuba lagi. Kalau dapat jawab, baru saya akan beritahu awak tentang rahsia ini", jawab Mia samba tersenyum memandangku. "Erm, mungkin sebab cengkerang di belakang tu berat hinggakan dia jalan lambat", tekaku lagi. Mia menggeleng kepala menandakan jawapanku salah lagi. "Alah, mana adil. Teka teki Mia selalunya pelik", jawabku tanda tak puas hati. "Nampak sangat mengaku kalah. Kalau begitu, Arin kalah. Saya pun takkan beritahu rahsia itu hingga tiba masanya nanti", ujar Damia lagi. Aku makin keliru dengan kenyataan Damia sebentar tadi, tapi aku menghormati hak peribadinya.
"Ok, saya mengaku kalah. Habis, apa jawapannya?" soalku tidak sabar untuk mengetahui jawapannya. "Sebenarnya, siput babi tu berjalan lambat sebab dia ada masalah keliru identiti. Dia jalan lambat sebab sambil berjalan, dia sedang berfikir: aku ini siput atau aku ini babi?"jawab Damia dengan muka selamba. Aku hanya ketawa mendengarkan jawapan itu. Damia memang seorang yang suka bergurau dan kreatif dengan teka teki nakal yang tak masuk akal. Sikapnya yang peramah menyebabkan dia disukai dan disenangi ramai. Walaupun tampil dengan imej bertudung labuh, dia tetap mesra dengan semua orang dan tidak pernah berasa malu dengan imejnya itu walaupun sering dipandang ekstrem atau kolot oleh sesetengah orang. Aku kagum dengan prinsipnya iaitu kenapa kita perlu berasa malu dan rendah diri kerana berpakaian mengikut syari'at Islam? Kenapa perlu rasa malu untuk berpakaian dengan pakaian seperti ummahatul mukminin?
Sepanjang hujung minggu itu, kami manfaatkan masa sebaiknya untuk mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir sem tak lama lagi. Walau bagaimanapun, kami tak lupa untuk solat berjema'ah, baca Al Ma'thurat dan qiamullail bersama-sama. Alhamdulillah. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan teman sebilik yang sentiasa bersama dalam senang mahupun susah dan sentiasa mengingatkan aku tentang akhirat. Merekalah sahabat dunia akhirat: Damia, Husna dan Anis.
Masa yang dinantikan telah tiba. Kami akan bercuti selama sebulan setelah 4 bulan bertungkus lumus menuntut ilmu di bumi kampus ini. Setelah keluar dari dewan peperiksaan, kami berempat menuju ke kafe berdekatan untuk mengisi perut yang berkeroncong sejak pagi tadi. Sewaktu makan, Damia menjemput kami ke rumahnya pada hari Khamis minggu depan kerana ada majlis katanya. "Majlis apa Mia?" soal Husna meminta kepastian. "Majlis doa selamat dan solat hajat. Insya Allah, 2 minggu lagi saya akan sempurnakan separuh daripada agama ni". Tersedak aku apabila mendengarkan perkara itu, "Apakah sangkaanku selama ini benar? Mia nak kahwin ke?" persoalan demi persoalan muncul di fikiran. "Insya Allah, korang semua akan tahu nanti. Tak 'surprise'lah kalau saya beritahu sekarang", Damia hanya tersenyum sambil memandang kami bertiga.
Sesampainya di sana, ramai orang yang telah berkumpul di ruang tamu. Mia menyambut kami dengan senyuman yang lebar, senyum bakal pengantin katakan. Tiba-tiba, kami ternampak kelibat seorang lelaki yang agak 'familiar'. "Anis, bukankah itu Fahim? Biar betul mereka berdua ni?", soal Husna pada Anis. Kami benar-benar terkejut melihat Fahim dan keluarganya dalam majlis itu. Benarlah sangkaan kami selama ini, mereka berdua bakal bersatu.
"Mia, sampai hati tak beritahu kami. Dengan kawan sebilik pun nak berahsia. Tak awal sangat ke?", tanyaku pada Mia. "Nak buat macam mana, dah sampai seru. Rezeki Allah tak boleh ditolak. Insya Allah, nanti kalian pula yang akan menyusul. Saya doakan", Damia menjawab dengan senyum yang penuh makna. "Allahumma amin. Apa pun, tahniahlah Damia. Tak sangka langsung bahawa Fahim yang berjaya curi hati Mia", aku menepuk belakang Mia sebagai tanda sokongan seorang sahabat. Tapi, aku terkejut dengan reaksi Damia. Dia ketawa terbahak-bahak lalu memanggil Fahim yang sedang mengangkat gelas ke ruang tamu. Pelik dan hairan. Apa yang sangat melucukan sehinggakan Fahim pun turut ketawa setelah Damia memberitahunya perihal kata-kataku sebentar tadi.
"Oh, kiranya kamu semua ini ingatkan saya dan Mia bakal bertunang ke?" soal Fahim sambil menahan tawanya. Kami pelik seraya mengangguk. "Apa sebenarnya perkara yang melucukan hati mereka?", masing-masing mengerutkan dahi kehairanan. Kami bertiga diam tanpa suara. Suasana menjadi sunyi seketika, lalu Damia pun bersuara, "Anis, Arin, Husna. Saya minta maaf. Langsung tak ada niat nak bohongi kalian. Saja terdetik idea nakal untuk kenakan kalian semua. Jangan salah sangka, memang saya nak sempurnakan agama ni kerana 2 minggu lagi, saya akan berangkat untuk menunaikan umrah. Bukankah umrah itu salah satu kewajipan bagi tiap muslim sekali seumur hidupnya?". Masya Allah, patutlah mereka tak berhenti ketawa, rupanya kami dah tersalah sangka. "Tapi, apa kaitannya dengan Fahim? Kenapa Fahim boleh berada di sini? Baik sangat Fahim dengan keluarga Damia, macam ada apa-apa je", soal Husna meminta penjelasan. "Sebenarnya Mia ni anak sepupu saya. Sebab itulah kami rapat. Kamu semua ni kelakar lah, lain kali jangan cepat sangat serkap jarang. Tanya tuan punya badan dulu", nasihat Fahim pada kami bertiga. Kami hanya tersenyum malu, tanda mengaku salah.
"Habis tu, nukilan cinta jiwang yang awak tulis dalam diari itu untuk siapa?", soalku pada Mia kerana teringatkan diarinya itu. Mia hanya tersenyum sambil berkata, "Sebenarnya itu adalah sajak yang saya tulis sebagai tanda cinta seorang umat untuk Rasulullah, cinta sampai ke syurga. Nukilan itu saja ditulis kerana saya dah tak sabar untuk jejakkan kaki di Masjid Nabawi dan menjadi tetamu Rasulullah nanti", terang Damia panjang lebar. Allahuakbar. Kami benar-benar berasa malu pada malam itu. Mati-mati kami ingatkan Damia akan bertunang, semuanya bermula gara-gara nukilan cinta dalam diarinya. Tambahan pula, Damia ini sengaja hendak kenakan kami. "Pandai Mia kelentong kitorang. Dah sampai seru la, nak sempurnakan separuh dari agama la. ehmm, macam-macam", giliran kami bertiga pula berleter pada Si Mia. Lucu bila teringatkan kisah ni. Ingatkan jatuh cinta pada sang teruna mana, rupanya jatuh cinta pada Rasulullah insan mulia. Cinta seorang umat sampai ke syurga, moga beroleh syafaat di akhirat sana.
Ya Allah,
Damaikan hati yang gundah ini,
Sungguh, aku tak dapat menahan rasa cinta ini dari terus berputik,
Kau Maha Tahu akan isi hatiku,
Sampaikanlah rasa cinta ini pada dirinya,
Aku takut apakah cinta ini akan diterima,
Kerna aku hanya orang biasa...
Ya Allah,
Hidupkan hatiku dengan kehidupan hati kekasihMu,
Hidupkan rohku dengan kehidupan roh kekasihMu,
Hidupkan akalku dengan kehidupan akal kekasihMu,
Hidupkan keperibadianku dengan keperibadian kekasihMu,
Hidupkan jasadku dengan adab, sunnah dan hukum hakam kekasihMu,
Hidupkan seluruh kehidupanku dengan kehidupan seluruh diri kekasihMu
Ya Allah,
Aku akan menziarahi masjid tempat kekasihMu bersemadi,
Datang kerana rindu dan cinta pada kekasihMu,
Datang kerana ingin beribadah di masjid mulia itu,
Terimalah aku sebagai tetamu bumi barokah itu,
Sampaikan rasa cinta ini pada kekasihMu Ya Allah,
Moga cinta ini mampu membawaku ke syurga.
No comments:
Post a Comment