Sunday, February 12, 2012

Merenung Kejujuran Hud-Hud Dan Ketegasan Nabi Sulaiman A.S

Banyak kisah ditampilkan di dalam Al Quran memiliki pengajaran yang relevan sepanjang zaman dengan kehidupan sosial kita. Al Quran telah menampilkan sejumlah tokoh-tokoh tauladan dan tokoh-tokoh pengajaran agar dijadikan renungan tentang akibatnya kepada masyarakat. Ada kisah pembela kebenaran yang terdiri dari Para Nabi, Rasul dan orang-orang yang soleh, ada juga tokoh pelopor kezaliman seperti Firaun, Tsamud, 'Ad, dan Abrahah

Selain dari tokoh-tokoh dari bangsa manusia, ada juga kisah yang menampilkan pelajaran dari bangsa haiwan. Kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud-Hud merupakan salah satu contoh kisah pengajaran yang terkandung di dalam Al Quran. Kisah ini dirakamkan di dalam surah An Naml ayat 20 hingga 28 supaya ia menjadi pengajaran kepada manusia, kisah mengenai sebuah kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh seseorangpun setelah kewafatan Nabi Allah Sulaiman A.S.

"Wahai Tuhanku! Ampuni kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tiada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya" - Surah As Shad:35, Al Quranul Karim

Pada satu ketika, Nabi Sulaiman A.S mengumpulkan seluruh pengikut-pengikutnya dan memeriksa mereka baik dari kalangan manusia, jin dan haiwan. Sesudah diteliti, ternyata burung Hud-Hud didapati tidak hadir sehingga menyebabkan Nabi Sulaiman A.S murka kepada Hud-Hud dan bertekad akan menyembelihnya sebagai hukuman. Tidak lama kemudian, Hud-Hud datang menghadap Nabi Sulaiman dengan penuh pengaduan, menjelaskan sebab-musabab keterlewatannya di dalam majlis perhimpunan yang diwajibkan oleh Baginda Sulaiman. Hud-Hud menjelaskan kepada Baginda bahawa ia terserempak dengan seorang wanita bernama Balqis, seorang ratu kerajaan Saba' yang memiliki singgahsana yang besar, tetapi malangnya ratu tersebut tidak beriman dan tunduk kepada Allah Taala.

Pengaduan Hud-Hud diterima oleh Nabi Sulaiman, lantas Baginda mengarahkan Hud-Hud untuk menyiasat perkara itu dan membawa surat perutusan dari Baginda. Diringkaskan di sini bahawa Hud-Hud adalah seekor makhluk kecil yang memiliki kepekaan dan prihatin terhadap peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Keistimewaan yang dimiliki oleh Hud-Hud adalah taat kepada pemimpin dan dahagakan maklumat. Walaupun Hud-Hud menyedari kelewatannya bertemu Nabi Sulaiman, Hud-Hud tetap hadir dengan membawa amanah untuk dihadapkan kepada pemimpinnya.
Keterlewatan Hud-Hud bukan alasan untuknya tidak hadir bertemu Nabi Sulaiman. Ini menunjukkan Hud-Hud memiliki sifat berani biarpun kemungkinan yang bakal berlaku ialah Hud-Hud akan dihukum oleh Nabi Sulaiman.

"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)" An Naml:21, Al Quranul Karim

Sekali imbas ancaman yang dituturkan oleh Nabi Sulaiman A.S kepada Hud-Hud tersebut adalah amat menggerunkan, apalagi jika ucapan tersebut ditujukan kepada manusia yang melalaikan perintahnya. Seolah-olahnya Nabi Sulaiman mengeluarkan ‘pekeliling surat berhenti kerja 24 jam’ kepada Hud-Hud, tetapi sambungan ayat selanjutnya menyerlahkan sisi lain yang walaupun disampaikan dalam keadaan murka, namun rasional masih menguasai diri Nabi Sulaiman, "...Kecuali jika dia datang kepadaku dengan alasan yang jelas".

Apa yang benar, Hud-Hud tidak terbang ke negeri Saba' untuk bersiar-siar, makan angin ataupun melanggar prinsip-prinsip umum seperti mengabaikan perintah pemimpin dan sebagainya, sebaliknya Hud-Hud terbang dan kembali ke perbarisan Nabi Allah Sulaiman. Kelewatan Hud-Hud adalah kerana ingin mendapatkan maklumat berkaitan keadaan politik di negeri Saba'. Misi yang dibawanya juga adalah misi yang besar, iaitu misi men-tauhidkan umat manusia, bukannya misi-misi berbentuk sekunder seperti masalah khilafiyyah, permusuhan peribadi dan tuduh-menuduh, tetapi misi menyelamatkan manusia dari menjadi 'parasit' kekufuran.

Namun, tindakan Hud-Hud pula janganlah dijadikan alasan untuk bersikap tidak Wala' kepada pimpinan, iaitu wabak 'meroyan' dan 'hilang kawalan' dan 'emosional', atau watak mengutamakan pendapat sendiri berbanding keputusan pimpinan dalam melakukan gerak kerja jamaah sehingga tidak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam. Kisah ini tidak seharusnya dijadikan sandaran dalil kepada aktivis gerakan Islam untuk buat 'kepala sendiri' atau ingin berperanan sebagai Hud-Hud sahaja, iaitu mahu meninjau 'kawasan' sahaja tanpa melakukan kerja lain. Ini kerana yang terbang ke sana sini barangkali bukannya Hud-Hud milik Nabi Sulaiman, tetapi mungkin seekor gagak hitam yang merayau-rayau meninjau timbunan sampah.

Hud-Hud tetap meletakkan ketaatan kepada Nabi Sulaiman kerana ketaatan kepada pemimpin adalah perkara dasar (thawabit) dalam berjamaah, bukan mengabaikannya. Sikap yang ditunjukkan Hud-Hud juga memperlihatkan bahawa seorang perajurit Islam mestilah memiliki kepekaan terhadap amanah, sikap mengkaji dan teliti, bersemangat untuk menyedarkan kaum walaupun dengan kemampuan dan peranan yang kecil. Begitulah juga dalam ilmu dakwah, kategori penyampaian boleh dilakukan dengan pelbagai dari setinggi-tinggi kaedah penyampaian sehingga serendah-rendah daya kemampuan, bermula dari kuasa dan arahan, kemudiannya percakapan, penulisan dan seterusnya akhlak yang baik. Baginda Nabi Muhammad S.A.W sendiri sebelum dikenal sebagai pemidato di pentas dakwah dan politik, Baginda S.A.W pada awalnya dikenal melalui akhlak yang mulia sehingga digelar oleh sahabat dan musuh sebagai "Al Amin".

Manakala dari sisi pengajaran yang dapat kita amati dari sikap Nabi Allah Sulaiman pula, seorang pemimpin mestilah memiliki sifat tegas dan sentiasa mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya bertindak semberono dan menuduh tanpa pemeriksaan yang nyata. Ketelitian Nabi Sulaiman dapat dilihat melalui katanya di dalam surah An Naml ayat 27 :

"Nabi Sulaiman berkata; Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta"

Ketegasan ini menunjukkan kepada setiap pemimpin agar jangan segera percaya dengan setiap alasan yang diberikan tanpa penelitian. Dalam lapangan politik, seorang pemimpin memang wajar bersikap buruk sangka kepada barisan yang dipimpinnya, tetapi bukanlah dengan hanya bersikap buruk sangka sahaja tanpa mencari jalan penyelesaiannya. Periksa betul-betul setiap laporan yang dikemukakan, kerana khuatir maklumatnya ditokok-tambah, sedangkan realitinya 'jauh panggang dari api'. Ini kerana informasi yang tepat & boleh dipercayai sangat penting untuk meneruskan kelancaran organisasi agar visinya mampu bergerak laju tanpa 'tempang'.

Itulah yang ditekankan oleh Nabi Allah Sulaiman, Baginda tidak terus melulu menerima setiap patah kata-kata Hud-Hud, sebaliknya memeriksa intipati kebenarannya :

"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka" - An Naml:28, Al Quranul Karim

Imam Al Qurtubi di dalam tafsirnya mengatakan, "Ayat ini adalah dalil yang menunjukkan perlunya pengiriman surat-surat kepada orang-orang musyrik dan menyampaikan dakwah tauhid kepada mereka, dan mengajak mereka masuk Islam. Rasulullah S.A.W juga telah menulis surat kepada kerajaan Caesar Romawi dan Kisra Parsi dan kepada beberapa raja yang zalim" [ Rujuk Tafsir Qurtubi 13/189 ]

Di dalam Surah An Naml ayat 28, sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman juga mengajarkan bahawa seseorang pemimpin itu mestilah merasai kehilangan anggota pengikutnya sekiranya tidak hadir. Seorang pemimpin harus memerhatikan siapa yang tidak hadir dalam setiap pertemuan dan kegiatan kerana ia merupakan tanggungjawab yang mesti dilakukannya sebagaimana seorang imam memerhatikan kehadiran para makmum-nya. Kata Umar Al Khattab R.A, "Selidiklah sahabatmu di waktu solat. Jikalau mereka tidak hadir kerana sakit, engkau jenguklah. Dan sekiranya dalam keadaan sihat-sihat sahaja maka patutlah untuk dicela".

Nabi Sulaiman juga mengajarkan kepada bakal pemimpin negara supaya tidak meremehkan perkara kecil, kerana seringkali sesuatu yang besar bermula dari awalnya nampak kecil. Tugas yang dimainkan oleh Hud-Hud hanya kecil jika dibandingkan dengan jin Ifrit yang menanggung beban berat singgahsana Balqis, tetapi sumbangan jentera kecilnya bernama Hud-Hud tetap direkodkan di dalam Al Quran kerana "kejujuran"nya. Selain itu, sebagai manusia kita perlu merasa malu dengan Hud-Hud, spesis burung yang kecil tetapi hidupnya digunakan untuk misi besar iaitu mengajak manusia mentauhidkan Allah, bahkan dia melakukan tugasan mulia tersebut tanpa menunggu arahan khusus.

Jika kita telusuri dunia penciptaan yang berjaya mewujudkan peradaban di dunia, kita dapat melihat banyak karya-karya penciptaan dan hasil-hasil penemuan awalnya dirintis oleh individu tidak ternama seperti Ibnu Firnas (W.887) yang mencipta bingkai pesawat yang hanya boleh dikendalikan oleh seorang manusia sahaja. Kemudian hasil ujikaji tersebut didukung oleh Wright brothers iaitu Oliver Wright dan Wilbur Wright pada tahun 1903 sehingga berjaya menghasilkan pesawat secanggih kita saksikan pada hari ini. Demikan juga dalam medan dakwah, pada awalnya ia bermula daripada kekentalan seorang individu, kemudian akhirnya nanti ia menjadi garapan organisasi sebagaimana kejayaan dakwah Nabi Muhammad S.A.W yang bermula dari era pembinaan umat di Madinah, tetapi impak mutakhirnya Baginda berjaya mencipta pelbagai versi tamadun kerajaan dan ketokohan manusia yang berkiblatkan dakwah Islam.

Hasil kejayaan itu semuanya terangkum kepada kata kunci "Misi & Visi". Jika haiwan sekecil Hud-Hudpun memiliki visi dan misi-nya iaitu "MENTAUHIDKAN ALLAH", maka apatah lagi manusia yang diberikan kudrat menundukkan seluruh makhluk yang diciptakan Allah di muka bumi ini. Dengan visi dan misi inilah Salahuddin Al Ayyubi dapat menguasai kembali Baitul Maqdis, dengan visi dan misi ini Saifuddin Qutuz berjaya menewaskan tentera Tatar yang dianggap umat Islam waktu itu sebagai Ya'juj wa Ma'juj, dengan visi dan misi ini juga menyebabkan Khalid Al Walid tidak berkecil hati dengan perlucutan jawatannya sebagai panglima perang oleh Khalifah.

Penutup

Marilah kita tanamkan visi dan misi kehidupan kita semata-mata mentauhidkan Allah Taala. Elakkan cara berfikir "ia bukan kerja saya", sebaliknya bertindaklah seperti Hud-Hud yang walaupun dia hadir dengan 'lewat'nya, tetapi komitmen-nya, ke-ikhlasannya, kejujurannya dan gerak kerjanya dipertaruhkan semata-mata demi usaha mentauhidkan Allah Taala. Kita belajar ilmu untuk mentauhidkan Allah. Kita bekerja untuk mentauhidkan Allah Taala. Kita menceburkan diri dalam dunia politik dan kepartian untuk mentauhidkan Allah Taala, hatta dalam sekecil-kecil perkara sekalipun seperti menulis di "wall facebook" dan sebagainya juga demi mentauhidkan Allah Taala.

Ini kerana, jika anda benar-benar jujur, kesalahan bukanlah ukuran seseorang itu melakukan kederhakaan, tetapi adalah kejayaan yang akan menjadi renungan pada hari 'esok'. Kejujuran adalah sifat para pendokong kemenangan. Hal ini dapat kita pelajari dari kekalahan umat Islam di perang Mu'tah, iaitu ketika ketiga-tiga orang panglima perang yang dilantik Rasulullah S.A.W gugur syahid bernama Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib, dan Abdullah bin Rawahah; Khalid al-Walid mengambil alih tempat ketua tentera, atas permintaan beberapa individu di dalamnya. Khalid Al Walid melihat bilangan tentera Islam terlalu sedikit jika dibandingkan dengan tentera Rom. Oleh itu, Khalid membuat keputusan membawa tentera pulang ke Madinah. Apabila mereka hampir dengan Madinah, mereka telah disambut taburan tanah daripada orang ramai sambil berkata, "Wahai orang-orang yang melarikan diri. Kamu telah lari daripada medan jihad di jalan Allah".

Lantas Rasulullah S.A.W membela Para Sahabatnya yang jujur, "Mereka bukanlah orang yang melarikan diri tetapi mereka adalah orang yang akan mengulangi peperangan, Insya Allah" [ Rujuk Sirah Ibnu Hisyam 4/292 ]

Sumber Rujukan :
[1] Min Fiqhil Aulawiyyat, Dr. Majdi Hilali
[2] Feqh Nasr wa Tamkin, Dr. Mohamad Ali As Solabi

No comments:

Post a Comment