Wednesday, February 29, 2012

Perlu Arif Tabiat Lelaki

Qani'ah Syumaila membuka diarinya...
Ketika bergelar mahasiswa, saya menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua. Seronok mengisi masa dengan membaca. Buku Islam dan Cinta, karangan Abdullah Nasih Ulwan menemani petang saya pada hari itu.
Tiba-tiba, ada sebuah SMS masuk.
Saudari,
Awak kelihatan sangat solehah. Sudikah awak membimbing diri saya yang jahil ini. Saya mahu berubah. Saya ikhlas dahagakan petunjuk.  Classmate.
"Membimbing atau mengajak bercinta?" hati saya mempersoal.
Jika ikhlas mencari petunjuk, dia sepatutnya berjumpa ustaz, bukan berjumpa saya. Berjumpa saya hanya menyebabkan ruang  maksiat terbuka luas.
Sekalipun dia mengajak saya bernikah agar saya dapat mengubahnya, saya tidak boleh jahil tabiat lelaki. Lelaki lazimnya tidak suka sekiranya seorang isteri mengubah dirinya. Sekiranya peluang membuat perubahan itu ada tapi tidak boleh terlalu dipercaya. Peluangnya tipis sahaja.
Tatkala lelaki memegang darjat suami, keegoan mudah merasuk diri. Sukar mengikut kehendak orang lain apatah lagi kehendak isteri. Mengubah tabiat lelaki sangatlah payah. Apatah lagi, sekiranya cara hidupnya terbiasa dengan alpa dan dosa sejak muda.
Perlukah saya memperjudikan masa depan dengan menikahi lelaki yang tidak mampu membimbing diri sendiri? Adakah dia mempunyai modal untuk membimbing keluarganya nanti?
"Orang minta bimbingan saja. Kenapa fikir jauh sampai soal nikah?" syaitan mengejek saya.
"Jika aku berani memulakan, kena fikir kesudahan. Nikah dengan lelaki sebegini atau membiarkan anggota badan berzina. Baik abaikan sahaja." Saya patahkan hujah syaitan.
Seorang rakan menuju ke arah saya kemudian duduk di sebelah.
"Ramai kawan-kawan kita suka gandingkan nama awak dengan Presiden. Boleh saya tahu hal sebenarnya?" dia mengorek rahsia.
"Itu gosip sahaja. Kami tiada apa-apa," jawab saya.
Saya menyembunyikan rahsia bahawa memang benar Presiden pernah menghantar surat risikan kepada saya. Cuma, istikharah dan musyawarah saya dengan ibubapa belum mengatakan dialah orangnya. First thing first.
"Alhamdulillah. Saya sebenarnya sudah lama minat pada Presiden," dia meluahkan.
Saya tidak pelik mendengarnya. Wanita yang baik mudah tertarik kepada lelaki yang baik. Itu fitrah. Wanita yang jahat mudah tertarik kepada lelaki yang jahat. Begitulah sebaliknya. Saya tadahkan telinga mendengar bicara hatinya.
Katanya, yang ini lain. Rasa tertarik itu pada kesolehannya. Pada akhlaknya. Pada kesamaan visi dan misi dalam dakwah. Masing-masing tahu ada batasan. Dilemanya, hati mendesak untuk memberi perhatian. Hati mendesak untuk menunjukkan sikap memahami. Hati mendesak untuk saling berpesan-pesan atas kebenaran dan kesabaran.
"Awak ikut desakan hati?" saya bertanya.

"Saya meminta dia menjaga, memperhatikan atau menasihati saya agar istiqamah," katanya.
"Lalu, apa yang terjadi?"saya berkata.
Dia meluahkan lagi,
Setiap hari...
Kalau tidak bertemu, rasa ada suatu yang hilang. Perlu segera diintai-intaikan.
Ada kerisauan tentang dirinya. Ada keinginan kuat untuk tahu kondisinya.
Andai bertemu, berpandangan, atau SMS muncul pula rasa bersalah, gelisah, menyesal dan takut membuat Allah murka. Kenapa ya?
"Kerana hati awak masih hidup mengenal mana dosa dan mana pahala," jawab saya.
"Lepas saya mengungkap cinta kerana Allah, dia seakan menjauhkan diri. Salahkah saya?" dia bertanya.
"Tanyalah hati. Bimbang, ungkapan cinta Yang Esa tapi pengisian leka dari-Nya," jawab saya.
Saya berkongsi pendapat dengannya. Dalam hubungan yang tidak halal, cinta yang fitrah amatlah senang bertukar menjadi fitnah. Sukar mengenali mana cinta dan mana nafsu kerana topengnya handal, sukar dikenali. Orang yang biasa mendidik hati mampu mengenalinya.
Saya tidak mahu terlalu mudah mengungkap cinta. Siapa yang bakal menerima ungkapan cinta mestilah lelaki high class bukan lelaki sembarangan. Perlu ada matlamat. Perlu lihat kesudahan. Menghampiri syurga atau menghampiri neraka?
Saya berpesan supaya tidak perlu bertindak bodoh mengucapkan "Good bye" kepada dunia andai kehilangan cinta manusia. Patah tumbuh hilang berganti. Yang penting, Allah setia mencintai.
Selepas rakan saya itu beredar, saya jadi tertanya-tanya. Kenapa wanita kaya, cantik, bijak, menarik dan solehah sepertinya tidak mendapat tempat di hati Presiden? Kenapa Presiden lebih sanggup cuba mendapatkan saya? Saya cuma seorang gadis yang sangat sederhana.
Saya semakin arif tabiat lelaki. Secara semulajadinya, lelaki sukakan cabaran. Yang mudah menyerah diri, mudah pula disakiti. Yang sukar didapati, semakin bersungguh dia mencari. Maka, saya perlu terus menghunus duri. Agar cinta ini terpelihara untuk seorang suami yang diredhai Ilahi.
Saya mesti terus belajar tabiat lelaki. Bukan untuk menyaingi atau mengalahkan mereka. Saya cuma tidak mahu diperdaya. Saya melihat betapa ramai wanita telah dipermainkan. Mereka gagal mempertahankan diri. Mereka gagal keluar dari kebergantungan kepada permainan cinta sandiwara lelaki.
Saya tahu saya tidak mampu mengubah tabiat lelaki. Tapi saya mampu membantunya menjadi lelaki sejati. Bukan dengan cara melayan dan membimbingnya menjadi model lelaki idaman. Lelaki pasti mengambil kesempatan di atas sebuah kelembutan.
Caranya, saya mesti menghunus duri. Awas, jangan dekat! Jika mahu, dapatkan secara terhormat. Biar lelaki tahu, wanita itu untuk diselamat bukan diperalat untuk keseronokan sekejap.
Malah, setelah nanti saya telahpun bergelar isteri, saya tidak boleh berhenti untuk belajar tabiat lelaki. Lelaki suka berjanji dan cepat berubah hati. Saya melihat realiti masyarakat. Biar betapa baguspun seorang isteri melayani suaminya, masih ada lelaki yang gagal setia malah sesuka-hati memperdaya isterinya. Apatah lagi jika isterinya banyak kelemahan, ramai lelaki lebih suka menghukum daripada mendidik sehikmahnya.
Saya yakin, ada suatu rahsia yang menggerakkan tindakan lelaki. Saya mesti arif rahsia ini. What you see is what you get. Saya mesti bijak menyelaraskan 'sudut pandang' terhadap sesuatu isu sensitif yang melingkari alam rumah tangga sejak mula. Perlu juga ada jaminan undang-undang untuk mempersiapkan diri pada sebarang kemungkinan. Bukan kerana tidak percaya tapi kerana tabiat lelaki cepat berubah.

No comments:

Post a Comment