Saya bertanya pada dia.
"Saya nak jadi kaya, supaya dengan kekayaan itu, saya boleh buat dakwah."
Saya tersenyum mengiakan jawapannya.
"Awak?"
Aku cuba meneliti wajahnya, berkira-kira apa reaksinya jika dia mendengar jawapanku.
"Saya nak jadi wakil rakyat. Dengan itu, saya dapat mengubah pemerintahan negara kita ini."
"Awak memang! Gila kuasa!"
Ketawa kami pecah berderai bersama himpunan suara-suara manusia yang amat ramai di kompleks pasaraya tersebut.
Hakikatnya, walaupun kita akan sering menciptakan impian-impian kita di dunia ini, satu sahaja impian yang takkan pernah berubah: melihat Islam tertegak di atas dunia ini.
Dengan impian itu, kita berharap, akan memasuki syurga Allah.
Sehinggalah kita berusaha sebaik mungkin, mencurahkan segala tenaga dan idea kita , wang dan juga perasaan kita, untuk mencapai impian ini.
Untuk melihat daulah Islam tertegak di muka bumi Allah ini.
Untuk beroleh syurga Allah,dengan rahmatNya.
Sehinggalah ketika kita mahu membina individu Muslim itu sendiri memerlukan perancangan yang serius, kompleks dan bijaksana. Sehingga begitu banyak tenaga dicurahkan untuk mengenal pasti dan menggali potensi-potensi anasir taghyir yang berada di corok pelosok dunia! Walaupun yang didapatinya itu adalah seorang!
Kerana kita amat yakin bahawa, terkadang, mendapat seorang yang seperti seribu umat itu, lebih berbaloi malah amat bermakna untuk dakwah dari membawa ribuan pengikut-pengikut dakwah, walaupun kedua-dua golongan itu sama pentingnya dalam bangunan dakwah.
Begitu jugalah, akhirnya kita memasuki anak tangga kedua, yang perancangan serta tarbiyah dan ujiannya teramat berbeza sekali dari fasa masa bujang. Dan itulah juga yang perlu kita fokuskan perhatian dan diberikan taujihaat yang khas dalam tarbiyah kita. Kerana dalam membina daulah, takkan mungkin berlaku tanpa adanya bangunan baitul muslim yang mapan.
Kerana dari keluarga muslim yang kukuh dan seimbang itulah, akhirnya akan terwujudnya masyarakat muslim, hasil dari keluarga muslim yang anak-anak mereka dididik dengan neraca iman dan Islam.
Dakwah di Malaysia yang telah hampir masuk ke dekad ke 4, menyaksikan kelahiran 2 generasi yang berbeza. Generasi 'baby-boomer' (generasi pertama dakwah, berumur 50-60) serta generasi Y ( generasi anak2 mereka, berumur 20an-30an).
Generasi Y ini telah pun melahirkan generasi ketiga dalam dakwah ini, yang saya kira mungkin satu masa nanti mereka akan dinamakan generasi Z. (hahaha, saya pun tak tahu generasi ini akan dinamakan generasi apa)
Aset pengalaman serta tinggalan-tinggalan usaha dakwah generasi baby-boomer inilah yang menjadi ibrah serta panduan buat generasi Y untuk terus melakarkan karya-karya dakwah.
Kelemahan serta kesalahan generasi terdahulu telah kita pelajari dan kita perbaiki, dan dari situlah kita akan membentuk generasi seterusnya menjadi generasi lebih cemerlang dari generasi kita sendiri.
Dan kita mungkin takkan dapat melihat daulah itu berada pada tangan kita. Mungkin saya sendiri takkan mampu menjadi wakil rakyat yang mampu mengubah negara ini.
Tetapi generasi Z kita akan pasti meraih kemenangan itu. Jika kita bersungguh-sungguh bekerja ke arah itu!
Tapi itu semua datang daripada kebijaksanaan kita mengambil aset pengalaman, mahupun hikmah yang tersembunyi pada generasi babyboomer kita, serta memanfaatkan prasarana yang telah mereka sediakan untuk kita.
Kerana, tinggal kita sahaja yang mampu mewarisi dakwah ini.
Saya ulangi.
TINGGAL KITA SAHAJA YANG MAMPU MENERUSKAN DAKWAH INI!
Apabila kita melihat mak ayah kita, yang sudah pun pencen serta menghabiskan masa mereka menghitung hari ke negara akhirat. Di tangan mereka memutarkan bebola tasbih, dan bibir mereka basah dengan zikir. Kita melihat mereka mengimpikan kitalah yang dapat mewariskan perjuangan dan zuriat mereka di atas bumi Allah ini.
Begitu jugalah dengan generasi terawal dakwah ini. Tentu mereka mahu kita mewarisi dakwah mereka, mengembangkan serta mampu membumikan dakwah Islam di muka bumi ini.
Agar pahala mereka berterusan dan sehingga mereka mendapat pahala tertegaknya daulah Islam di dunia ini, walaupun jasad mereka ditemani bidadari syurga nanti.
Impian kita teramat besar.
Impian kita teramat besar.
Bila kita bermimpikan hanya untuk menjadi kaya mahupun wakil rakyat, mungkin kita akan dapat, mungkin tidak.
Atau kalau kita dapat pun, mungkin kita akan diuji oleh Allah, dan akhirnya hanyut dalam harta, kereta mewah, mahupun pada pangkat dan kefamousan.
Tetapi, bila kita impikan syurga Allah...
Syurga Allah taala..
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal shaleh (yang banyak), bagi mereka (kelak) surga yang mengalir di bawahnya berbagai macam sungai. Itulah kesuksesan yang maha besar (tanpa batas). (Q.S. Al-Buruj : 11)
Bagi orang-orang yang berbuat baik (profesional dalam segala hal), ada pahala yang terbaik (surga) dan tambahannya (melihat Allah). Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni surga, mereka kekal di dalamnya (Q.S. Yunus: 26)
"Contoh surga yang dijanjikan kepada orang-orang yang Bertaqwa itu (adalah) yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tiada berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar (arak) yang lezat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Tuhan mereka,(apakah) sama dengan orang yang kekal dalam Neraka dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong-motong ususnya?" (Q.S. Muhammad: 15)
Sehinggakan kita melihat kecilnya nikmat-nikmat dunia ini, dan kita amat dahagakan basahan-basahan sungai di syurga, dan berasa sangat nyaman bersama bakal-bakal ahli syurga di taman-tamanNya di dunia ini.
Sehinggalah, keinginan, ketamakan, tumuhaat kita pada syurga itu, mengatasi segala keperitan yang kita alami di dunia ini.
Sehinggalah obsesi kita kepada nikmat akhirat itu, menjadikan kita lupa akan kepayahan, kesengsaraan, kepedihan serta air mata kita di dunia ini.
Sehinggalah, kerinduan kita pada Rabb itu, menjadikan kita lupa dan tak terfikir akan habuan di dunia, walaupun seluruh masyarakat kita, seluruh masyarakat kita sedang berada dalam arus duniawi yang mengejar pangkat serta prestasi di dunia ini.
Kerana obsesi kita adalah syurga. Dan kita teramat mahukan syurga itu, sehingga kita berusaha untuk menggapainya. Pada usaha-usaha kecil mahupun besar dalam menyumbang ke arah tertegaknya daulah Islam ini.
Kerana itu, jangan kita pandang lekeh pada usaha-usaha membina manusia, walaupun dilihat kecil. Mahupun kepada usaha-usaha menarik semula sahabat-sahabat kita yang sedang mengalami fasa adaptasi yang sengit pada dunia pekerjaan mahupun keluarga. Mahupun kamu merasai diri kamu tidak penting buat dakwah, hanya kerana orang lain teramat super busy tahap mega, dan tidak sempat untuk memenuhi tuntutan ukhuwah buat kamu.
Kerana, apabila kita memahami dan ingat balik akan impian syurga kita ini, maka di situlah, kita akan sentiasa 'mempush' diri kita, untuk meraih redha Allah, dengan usaha kita menjadi abid dan khalifahNya.
Kita akan sentiasa dahaga untuk meraih nikmat-nikmat syurga itu, walaupun dengan segala kekurangan yang kita ada.
Walaupun kita dihina dan dipandang enteng oleh manusia.
WAlaupun manusia tak mahu menerima kita dan menolak dakwah kita.
Kerana keberadaan kita dalam dakwah dan tarbiyah ini, bukan disebabkan manusia.
Bukanlah manusia yang menjadikan motivasi kita untuk kekal di jalan dakwah ini.
Bukannya murabbi, bukannya teman sebaya dalam dakwah, bukanlah juga mutarabbi kita.
Kerana manusia akan mengecewakan kita.
Mereka akan datang dan pergi dari kehidupan kita.
Malah, jika kita adukan semua masalah kita pada mereka, dan kita berharap mereka mampu menyelesaikan masalah kita, mereka takkan mampu . Sekali-kali takkan mampu!
Kerana, yang dapat memotivasikan diri kita, yang sentiasa menetapkan hati kita di jalan dakwah ini, hanyalah apabila kita berpegang pada tali Allah. Berpegang pada janji kita kepada Allah. Serta sentiasa mengharapkan syurgaNya, dan mengharapkan perjumpaan kita pada Allah.
Dan tentu, dunia ini, akan sentiasa menjadikan kita alpa akan impian kita itu.
Walaupun kita berada dalam lingkungan dakwah dan tarbiyah. Kerana dunia ini amat melekakan kita! Dan ramainya pengikut kita sendiri menjadikan kita alpa kepada Allah!
Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya. ( takathur:1)
'inilah maksudnya ayat alhakumuttakasur ini. Maknanya, manusia ini akan sangat suka berbanyak-banyak!'
Begitu ujar murabbi kami di satu masa aku bertanya kepadanya, mengapa ada antara asatizah, akhirnya keluar dari jemaah ini dan membuat kumpulan mereka sendiri.
'Tapi ustaz, takkanlah banyak pengikut dakwah pun begitu juga? Bukankah mereka dalam dakwah?'
Tanyaku, kurang memahami, bagaimana orang yang berada dalam dakwah dan tarbiyah, boleh terlupa akan peringatan ALlah ini.
'Memanglah. Manusia ini memang akan sibuk, mencari bukan sahaja harta, tetapi pengaruh dan pengikut!'
Benarlah, sedangkan Nabi Adam sendiri pernah alpa dan terleka, sedangkan dihadapannya adalah Allah, para malaikat serta syurga nikmat tiada tara!
Baginda sendiri boleh terlupa! Akhirnya Allah mendapati baginda sendiri tidak teguh keazamannya.
"Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa lalu, tapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh." (115:Surah Taaha)
Sehinggalah Allah mentarbiyah baginda, dengan tarbiyah yang keras, akhirnya baginda sedar dan bertaubat.
Dari ujian itulah akhirnya baginda belajar akan tipu daya syaitan dan menjadi teguh setelah itu.
Begitulah kehidupan kita.
Kita akan diuji, dengan kesenangan dan kesukaran.
Diuji dengan kemewahan mahupun kemiskinan.
Akhirnya Allah mahu lihat akan keteguhan dan keazaman kita dalam baiah kita kepada dakwahNya.
Samada selama ini, yang kita cari, adakah nikmat di dunia ini..
Ataupun kepada syurga, serta nikmat-nikmatnya yang nan abadi..
Sesungguhnya penghuni surga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka).(55) Mereka dan istri-istri mereka berada dalam tempat yang teduh, bertelekan di atas dipan-dipan.(56) Di surga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta.(57) (Kepada mereka dikatakan): "Salam", sebagai ucapan selamat dari Tuhan Pencipta Yang Maha Penyayang.(58) (Q.S. Yasin: 55 – 58)
No comments:
Post a Comment