Pengertiannya menyeluruh. Puasa bukan hanya tidak makan dan minum pada waktu siang hingga Maghrib tapi seseorang itu juga harus menjaga tertib diri, mengawal semua pancaindera daripada melakukan dosa termasuk mengata, berprasangka buruk dan sebagainya.
Itulah satu aspek yang acap kali diambil ringan masyarakat kita khususnya anak muda. Cukupkah tanggungjawab sebagai seorang Islam dengan hanya tidak makan dan merokok pada siang hari sedangkan tuntutan lain diketepikan?
Salah dan itu satu kesilapan besar yang sepatutnya dipandang serius bagi memastikan puasa kita sempurna.
Seimbas lalu menjawab persoalan ramai teman, bagaimanakah kita hendak memastikan puasa sebulan Ramadan benar-benar memberikan kesan kepada diri? Jawapannya mudah seperti diterangkan dalam pelbagai tulisan sebelum ini.
Seimbas lalu menjawab persoalan ramai teman, bagaimanakah kita hendak memastikan puasa sebulan Ramadan benar-benar memberikan kesan kepada diri? Jawapannya mudah seperti diterangkan dalam pelbagai tulisan sebelum ini.
Tujuan ibadat puasa disyariatkan untuk melahirkan mukmin berjiwa bersih. Puasa paling berkesan ialah puasa mengikut segala tatacara digariskan Islam termasuk menahan diri daripada segala perlakuan yang membatalkannya.
Selain memperbanyakkan zikir dan syarat sah puasa lain, menjaga telinga supaya tidak mendengar kata-kata umpatan, nista, tuduhan palsu adalah syarat yang sudah digariskan bagi menjaga kesempurnaan puasa kita.
Inilah cara paling berkesan untuk menjadikan puasa yang sedang kita lakukan itu berkesan dan diterima. Pendek kata, puasa berkesan itu ialah puasa yang bukan sekadar melepaskan batok di tangga saja, sebaliknya memerlukan kepada iltizam terhadap syarat, adab dan rukun digariskan syariat Islam sepenuhnya.
Anda sudah baca dan faham?
Bukan perintah kering
Perlu mendirikan solat lima waktu sehari dan menjaga mulut daripada mengata. Malah telinga kita juga perlu dijaga supaya menjauhi anasir jahat yang gemar sekali berhasad dengki dan mengutuk. Puasa kita sia-sia jika hanya menahan lapar tanpa mengikut syariat lain yang sudah digariskan.
Menurut Allahyarham Profesor Dr Hamka, perintah puasa seperti juga perintah lain, bukanlah satu perintah kaku dan kering kerana ibadat puasa berupaya mengetuk hati, iman dan akidah. Amalan puasa dapat menyatukan akal dan perasaan, jiwa dan sanubari.
Selain sudut agama yang acap kali kita dengar mengenai kebaikan berpuasa, amalan ini turut memberi kesan dari sudut sosial juga. Ibadat puasa dapat mendidik kita menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri.
Sifat kehidupan dunia hari ini yang meletakkan hidup dalam lingkungan persaingan mendorong ramai dalam kalangan manusia menjadi individu yang egoistik dan individualistik. Jati diri manusia mudah tenggelam di tengah-tengah keegoan dirinya sehingga penyakit rohani seperti iri hati, hasad dengki, dendam dan permusuhan sesama manusia semakin berleluasa dalam masyarakat.
Justeru, puasa yang dilakukan dengan penuh penghayatan akan membawa kita kembali untuk hidup bermasyarakat. Ketika berpuasa, semua kehendak nafsu akan cenderung menjadi rasional oleh akal sehingga lapar dan dahaga yang dirasai itu mampu menghapuskan keangkuhan diri.
Kesedaran ini akan menumbuhkan rasa kasih sayang dan tanggungjawab sosial. Sifat ini akan menjadikan kita lebih peka terhadap orang kurang bernasib baik serta mereka yang berada dalam musibah.
Amalan puasa tidak sepatutnya dicemari dengan amalan keji seperti buruk sangka, kebencian, permusuhan, hasad dengki dan iri hati. Hendaklah kita menjauhi marah, mencaci dan mengata nista.
Rasulullah SAW pernah ditanya: “Apakah yang menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia?” Lalu baginda menjawab: “Bercakap dusta dan mengumpat.”
Nak hitung pahala
Sayangnya, lebih ramai pula anak muda kita yang mengisi masa terluang dan saat bosan menunggu waktu berbuka itu dengan mengumpat dan memburukkan orang lain. Malah ada juga yang dengan beraninya memfitnah dan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum.
“Kau tahu tak, semalam aku ternampak dia dengan bos kita. Kan aku dah cakap, kau yang tak nak percaya,” kata seorang kawan di pejabat.
Itu contoh terbaik perbuatan sia-sia kebanyakan orang kita. Perut tahan lapar tapi mulut langsung tidak dipelihara. Kesannya, pahala puasanya entah bagaimana untuk dihitung dan mereka yang mendengar juga terperangkap kerana gagal memelihara telinga untuk menjauhi kata-kata jahat seperti ini.
Belum lagi pasangan kekasih yang kuat cemburu dan sentiasa berfikiran negatif terhadap pasangannya pada bulan puasa. Pantang sekejap kekasih hilang atau lambat membalas mesejnya, terus dituduh macam-macam.
Paling epik adalah sikap kebanyakan masyarakat kita yang masih tebal sikap iri hati dan hasad dengki terutamanya di pejabat atau institusi pengajian tinggi. Walaupun depan baik dan senyum lebar, tapi rupa-rupanya di belakang menyimpan rasa tidak puas hati walaupun sudah tinggal sejam untuk berbuka.
Beberapa situasi kelakar yang berlaku sepanjang bulan puasa dalam kalangan anak muda kita adalah pasangan kekasih akan cuba mengelakkan daripada berpegang tangan ataupun melakukan aktiviti maksiat seperti bulan lain.
Bagaimanapun, waktu malam akan ada ruang terkecuali iaitu boleh berpegang tangan kononnya sudah tidak dalam waktu berpuasa.
Ada juga yang mengenakan konsep bertudung sepanjang bulan puasa tapi sebaik tiba Aidilfitri, baju macam tidak cukup kain. Itulah realitinya remaja dengan ideologi dan konsep masing-masing.
Jauhilah prasangka buruk dan iri hati
Kenapa manusia perlu iri hati? Maksud iri hati berasal daripada perasaan tidak puas terhadap diri sendiri kerana melihat kesenangan orang lain. Rasa iri hati boleh melanda sesiapa saja dan di mana saja.
Bayangkan, di masjid atau surau pun ada berlakunya sikap jahat ini. Senario berlakunya rasa iri hati ini kerana orang lain lebih menonjol kepandaiannya mengurus aktiviti masjid atau surau. Jika di tempat kerja, ada iri hati pada rakan sekerja yang lebih berjaya dan menduduki jawatan lebih tinggi dan di dalam keluarga, iri hati kerana kakak atau adik lebih diperhatikan oleh orang tua dan sebagainya. Macam-macam jenis ada perasaan iri hati ini.
Perlu kita sedari bahawa perasaan iri hati tidak membawa kebaikan kepada kita, malah iri hati tidak merugikan orang lain selain diri kita sendiri.
Mengapa perlu menyeksa diri sendiri?
Orang yang iri hati akan rasa berduka cita atas kejayaan orang lain dan sebaliknya ia bersuka cita atas kegagalan orang lain. Ia tidak suka apabila ada orang lain lebih baik atau lebih berjaya daripada dirinya.
Manusia jenis ini juga cenderung kepada suka membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain, akibatnya diri sendiri menjadi sangat tertekan dan kehilangan rasa damai di hati dan jiwanya.
Oleh itu, harus segera dibuangkan perasaan ini kerana di mana pun kita berada pasti akan bertemu dengan orang yang mungkin lebih baik atau lebih berjaya berbanding diri kita.
Oleh itu, kita harus segera menilai diri sendiri, apa yang membuat kita menjadi iri hati terhadap orang lain. Daripada membuang masa dan tenaga untuk berasa iri hati, belajarlah melihat potensi terbaik yang ada di dalam diri kita untuk mencapai kejayaan seperti orang lain.
Apabila kita fokus pada apa yang kita miliki, sudah tentu kita akan rasa bersyukur dalam apa keadaan sekali pun. Namun apabila kita terlalu memikirkan apa yang tidak kita miliki dan melihat kelebihan orang lain, maka kita akan selalu berfikiran negatif dan tidak pernah rasa bersyukur.
Justeru, marilah sama-sama kita jauhi sifat iri hati, buruk sangka, hasad dengki terhadap seseorang dan yakinlah yang berlakunya sesuatu peristiwa itu kerana ketentuan dan takdir bukan kerana adanya sial pada sesuatu perkara.
Jika kita jauhi sifat ini maka kita akan menjadi hamba yang bersyukur dan memiliki akhlak mulia. Fikirkanlah kawan-kawan dengan akal untuk kita membezakan sesuatu yang baik dan yang buruk.
No comments:
Post a Comment