Thursday, February 4, 2010

ANTARA PENGORBANAN CINTA DAN ILMU

Kisahnya bermula dengan sepasang Hafiz dan Hafizah yang berkenalan atas dasar cinta agama yang ada pada diri mereka dan mereka adalah Mohd (bukan nama sebenar) dan Aisyah (bukan nama sebenar).

Perkenalan kami bermula dengan aku begitu tertarik dengan agama yang ada pada diri Aisyah. Pertemuan pertama kami begitu mengujakan. Pertama kali dalam hidupku berjumpa dengan gadis yang begitu pemalu dan menjaga pandangan matanya. Ya, dalam tersenyum pada ketika itu juga aku teringat pada lirik lagu Kasih-Kekasih In-team ‘Wanita Hiasan Dunia, Seindah Hiasan Adalah Wanita Solehah’. Lamunanku terhenti bila Ustaz Zack masuk ke bilik kuliahku untuk madah Qiraat Ilmi.

Sejak detik itu aku sering memerhatikannya perwatakan gadis solehah yang menjadi idaman hatiku sekian lama. Aku cuba merisik khabar berita bertanya sama ada bunga idamanku sudah berpunya atau belum. Ternyata setelah dirisik, aku masih berpeluang untuk menjadi kumbangnya. Namun aku tidak berani untuk mendekati dirinya, bukan kerana takut. Tapi kerana segan dengan kekurangan diriku. Siapalah aku kalu dibandingkan dengannya. Dia belajar disekolah Arab tersohor di sebelah Utara. Sedangkan aku hanya seorang pemuda yang baru nak bertatih belajar agama.

Ya benar aku juga belajar di sekolah agama, tapi itu dulu 4 tahun lepas. Sudahlah madah-madah arab seperti di Sekolah Arab aku tidak belajar, Bahasa Arab Tinggi aku pun hanya mendapat 8E. Pastinya aku berasa cukup kerdil untuk mengenalinya. Terus aku pendamkan saja niat baikku untuk menjadikannya suri dihati. Alhamdulliah takdir Allah telah menentukan segalannya. Aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir semesterku. Keputusan itu memberi sedikit kekuatan untukku mengenalinya.

Aku mengunakan sahabatku sebagai orang tengah untuk menyampaikan hasrat hatiku. Ternyata cintaku berbalas. Cuma katanya aku boleh mengenalinya setelah mendapat izin dari orang tuanya. Ya Allah cukup besar kurniaanmu ini. Seorang gadis yang taat dan patuh pada Tuhan dan kedua ibubapanya. Setelah mendapat restu daripada ibubapaku, aku bersedia untuk bertentang mata dengan ibubapanya. Aku masih ingat ketika itu Jam tepat pukul 10.30 pagi.

Sebelum berangkat aku menunaikan solat hajat 2 rakaat memohon agar dipermudahkan pertemuan ini. Dengan penuh pengharapan aku berdoa pada tuhan yang memberi cinta ini padaku. Andai benar ada jodoh antara kami, maka satukanlah hati kami menjadi satu. Andai tiada jodoh antara kami aku mohon agar kau selesaikan perkara ini dengan baik. Alhamdulillah, aku berasa sedikit tenang akan luahan rasa pada tuhanku yang maha satu. Aku ditemani oleh temanku yang juga seusia denganku. Dia begitu memahami dilemaku. Mungkin kerana kami sama-sama sudah berusia.

Perjalananku ke rumah Aisyah sedikit bermasalah kerana alamatnya sedikit sukarku fahami. Namun setelah sejam akhirnya kami tiba disambut oleh Abi (panggilan Aisyah pada Ayahnya). Abi seorang ramah dan baik hati. Keadaan itu membuatkanku sedikit tenang. Apa yang menarik tentang Abi, dia mempunyai Fikrah Islam walaupun profesionnya bukanlah dibidang agama. Aku cukup kagum. Dan dari situ aku sedar bahawa sahsiah Aisyah bertitik tolak dari biah keluarganya yang memberikan tarbiah yang mantap tentang agama.

Benar sabda nabi kita. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah semulajadi. IbuBapalah yang menjadikannya Yahudi atau Kristian atau Majusi. (Riwayat Muslim, Bab Qadar No 2658)



Perbualanku kami berkisar soal hasratku terhadap Aisyah. Abi memberitahu dia faham akan hasrat baikku. Dan katanya ini sunnah. Namun nasihatnnya, aku perlu sedar kerana sunnah ini sedikit sukar untuk dilaksanakan berbanding sunnah-sunnah yang lain kerana terlalu banyak dugaan yang akan kunjung tiba dan memerlukan hati yang cukup sabar. Diakhir perbualan kami, Abi merestui hubungan ini dan menunggu perbincanganku dengan keluargaku tentang perkara ini.

Akhirnya setelah beberapa ketika ayah dan ibuku datang untuk merisik Aisyah. Aku menyatakan hasratku pada ibuku yang kami ingin kawin awal. Aku takut kalau pertunangan kami diikat lama-lama akan menganggu tumpuanku pada Al-Quran. Lagilah pula umurku sudah lewat untuk menghafaz Quran. Untuk mendapatkan Tasmi’ Quranku setiap hari, aku memerlukan masa hampir 5 jam untuk sehelai Quran. Cukup-cukup berat.

Kadang-kadang aku menangis sendirian mengenangkan sukarnya untukku menghafaz Quran. Mujurlah ada teman-temanku yang sudah Hafiz sebelum ini memberi semangat padaku bahawa semua ini dugaan biasa bagi seorang yang akan diberikan amanat untuk menjaga Kalam Allah. Pastinya Allah akan memberi dugaan yang berat bagi menguji sejauh mana komitmenku untuk menghafaz Quran. Ibu diam seketika. Ibu merenung jauh ke dalam mataku. Perlahan air matanya mengalir sayu.

"Kenapa ibu?" Tanyaku.

Dengan nada sebak ibu bersuara. “Ibu takut semua itu akan menganggu pengajianmu, Namun insyaallah ibu akan usahakan”.

Aku terus mencium tangan ibu. "Maafkan abang ibu, abang cuma harap ibu mengerti yang abang takut perkara buruk terjadi kalau abang kawin lewat."

Malam itu udara berlalu dengan cukup dingin. Ya mungkin kerana esok adalah hari ulang tahun kelahiran Rasullah S.A.W. Malam itu aku sekali lagi aku merafak sembah pada raja segala raja. Aku menghina diri, merayu dan memohon agar dipermudahkan segala kebutuhan hatiku kala ini. Hanya engkau yang maha mengetahui dan tahu apa yang paling sesuai untukku. Pagi itu sang mentari segar memancarkan sinarnya. Nyata keberkatan hari kelahiran baginda masih terasa walaupun sekian lama baginda telah meninggalkkan kita.

Setelah bersalam dengan keluargaku, aku berangkat ke asrama. Bagiku lebih selesa kalau aku menunggu jawapan keluarga Aisyah disamping teman-temanku. Kurang sedikit debaran hatiku jika diselangi dengan senda gurau teman-temanku. Tiba aku di asrama kira-kira jam 8.30 pagi. Suasana asrama lengang, hanya ada sekitar 5 hingga 7 orang saja dari teman-temanku. Semua sedang tidur.

“Ah mungkin mereka letih menghafaz Quran semalam untuk tasmi’ kami esok hari.” getus hati kecilku.

Aku mempersiapkan diriku untuk ke masjid. Daripada aku bersama mereka syahid (dalam erti kata tidur) lebih baik aku menghafal Quran di masjid. Aku memulakan hafalanku di awal juzuk 8. Ada lagi 3 juzuk muqarrar yang perlu aku habiskan dalam masa 6 minggu lagi. Untuk semester ini aku perlu menghabiskan hafalanku sebanyak 5 juzuk selama 14 minggu. Malaupun 14 minggu merupakan masa yang lama, namun semester ini kami berhadapan dengan banyak cuti umum dan menjejaskan tasmi’ Quran kami. Kalau dihitung-hitung tak sampai pun 10 minggu hari kuliah kami semester ini. Aisyah pula kalau tidak silapku berada diawal surah Al-A’raf, setengah juzuk dihadapanku.

Suasana di masjid itu cukup selesa untuk ku menghafaz Quran dengan dindingnya lohong dan tidak berpintu, memudahkan orang ramai untuk singgah dan menunaikan tanggungjawab 5 waktu mereka. Masjid inilah juga yang menjadi nadi utama kuliah Tahfizku. Masjid ini telah melahirkan ratusan hafiz sejak 20 tahun dahulu. Mungkin kerana keberkatan Al-quran yang sering dibaca disini menjadikan ia salah satu masjid yang cukup imarah setiap waktu dan masjid ini juga hampir setiap malam mempunyai kuliah-kuliah agama yang memaut hati setiap pencinta ilmu disini.

Aku memulakan hafalanku dengan istigfar atas dosa-dosaku, selawat keatas junjungan besarku dan surah Al-Fatihah. Masa berlalu dengan begitu pantas, setelah 2 jam aku memerah otakku untuk menghafal semuka Al-Quran aku keletihan dan berehat sekejap. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi dengan lagu Mengemis Kasih The Zikr, lagu yang amat-amatku minati.

Tuhan dulu pernah aku menangis simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku dilorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi kian parah
Semalam sudah sampai ke penghujungnya
Kisah seribu dukaku harap sudah berlalu
Tak ingin lagi ku ulangi kembali
Gerak dosa yang menghiris hati
Tuhan dosaku mengunung tinggi
Tapi rahmatmu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmatku di bumi
Tuhan walau taubat sering ku mungkir
Namun pengampunanmu tak pernah bertepi
Bila selangkah ku rapat padamu
Seribu langkah kau rapat padaku Allah…………


Rupanya mesej dari kakakku.
Kak sudah selesai jumpa keluarga Aisyah, Abang duduk kat mana tu? Mak dan abah nak jumpa.

Alhamdulillah, terus aku membalas mesej itu.
Abang ada kat masjid ni, mari lah.

Penantian penuh debaran, aku tidak sangka semua ini berlalu dengan begitu cepat. Namun aku masih tertanya-tanya adakah rancanganku untuk berkahwin awal dipersetujui oleh mereka. Semua itu cukup menekankan fikiranku. Sukar bagiku untuk meneruskan hafalan dalam keadaan begini. Aku menapakkan kakiku ke belakang masjid untuk minum air sejuk di Water Cooler. Aku meneguk perlahan-lahan air sejuk itu sehingga habis. Moga-moga air sejuk ini dapat menenangkan sedikit kegusaran hatiku ketika ini.

Tiba-tiba aku terdengar jeritan kecil dari seorang kanak-kanak “Ayah Cik”. Aku terus berpaling.

Itu pasti panggilan dari anak bongsu kakakku Diyana yang berusia 6 tahun. Sudah sampai rupanya mereka. Diyana melambai-lambai dari kereta Nazaria kakakku, dan aku dapat melihat kereta Waja abangku mengikuti dibelakang bersama ibu-bapaku. Ini kali pertama bagi abangku melawatku setelah hampir 9 bulan aku menuntut ilmu disini. Mereka meletakkan kereta disebuah pondok dibahagian belakang masjid. Dalam perasaan yang penuh debaran aku berlari-lari anak menemui keluargaku.

Aku mencium tangan kedua ibu bapaku. Semua adik-beradikku tersenyum melihat telatahku. “Bereh blako doh, alik dia setuju. Cumonyo nak nikoh awal tu tak brapo bulih lagi la. Bukan gapo takut ganggu ngaji. Ayah dia mitok perabis 30juzuk dulu. Abis awal kawin awal. Tapi ayah dia kata boleh runding lagi” kata ayahku dengan nada memujuk dalam loghat pantai timur.




Aku redha dengan dengan keputusan itu walaupun ada sedikit tentangan dalam hati kecilku. Allahhuakbar… Allahuakbar. Laungan azan Zohor itu menamatkkan perbulan kami. Dengan perlahan ibu kesayanganku mencelah. “Gi la smaye dulu, pahni nak kelik jauh pulok”.

Kami solat zohor secara berjemaah dengan anak mukim yang lain. Diimamkan oleh imam yang satu untuk menyembah tuhan yang satu. Selesai wirid dan doa dari imam, aku melihat ayah menuju kesuatu sudut untuk menunaikkan solat sunat . Diakhir solatnya aku melihat ayah begitu tekun dan terkumit-kumit membaca sesuatu. Jarang aku melihat ayah begitu kusyuk berdoa. Mungkin ada sesuatu yang ingin dia kongsi bersama Allah yang maha mengetahui. Aku melihat dari jauh ibu sedang membimbit beg kain sembahyangnya menuju ke kereta.

Abangku sudah ada didalam kereta sambil menghidupkan enjin. Abangku dahulunya seorang akautan yang berjaya, namun mengambil keputusan untuk berhenti kerja setelah tidak mampu lagi hidup dalam suasana rasuah dan penuh dengan riba. Dia kini seorang guru yang bahagia dengan tugas-tugasnya. Tiada lagi tekanan dari bosnya untuk mengaudit projek Rm10 juta menjadi Rm20 juta, yang ada kini bagaimana untuk menghasilkan lebih ramai pelajar yang dapat cemerlang dalam SPM disamping mempunyai sahsiah yang tinggi.

Aku yakin dia tidak akan menyesal dengan takdir ini walaupun suatu ketika dahulu dia antara 10 pelajar terbaik SPM MRSM Pengkalan Chepa Kelantan dan pernah ditawarkan melanjutkan pelajaran di Oxford Universiti. Kerana yang pasti, setiap percaturan Allah pasti ada kesudahan yang baik.

Sebelum bertolak balik ibuku memberi kata-kata semangat kepadaku. “Abe ngaji sungguh la, mak nak sangat tengok abe jadi Hafiz. Abe sore jah harape ma, adik-beradik lain tak leh dah” kata ibu.

Kata-kata itulah yang sering aku dengar sejak kecil dan ialah yang menjadi azimat bagi diriku hingga hari ini. Aku mengucup tangan ibubapaku sebelum mereka berangkat pulang. Aku sempat melihat urat-urat yang sudah banyak muncul dijari ayahku. Keringatnya cukup membuatku terharu. Dia adalah seorang ayah yang cukup hebat dan sering memberiku semangat untuk untuk berjaya dulu,kini dan insyallah selamanya.

Malam itu, selepas solat isyak. Aku meneruskan rutin hafalanku sehingga pukul 11.30 malam. Sudah terlalu letih rasanya. Aku menuju ke paip air masjid untuk memperbaharui wudukku bagi menghilangkan rasa mengantuk. Selepas itu aku menunaikan solat hajat dan taubat dua rakaat sebelum tidur. Moga-moga Allah mengampunkan kekhilafan yang banyakku lakukan hari ini. Namun entah kenapa malam ini sukar benar aku melelapkan mata. Mungkin kerana SMS daripada ayah Aisyah selepas magrib tadi.

Assalamualaikum, pakcik harap kamu dapat menerima keputusan yang dibuat. Walauapapun, pakcik sudah menganggap kamu sebahagian dari keluarga ini. Banyak puasa… Moga Allah merahmati kamu.

Aku mengerti, mungkin ada hikmat dari semua ini. Tapi entah mengapa aku rasa cukup lemah, mampukah aku menahan rinduku padanya. Adakah kami dapat mengelakkan diri kami dari maksiat. Aku buntu. Kami sekelas dan setiap hari aku akan melihat wajahnya. Dan terkadang aku takut akan timbul fitnah yang besar. Kata orang bertunang ni banyak dugaan… Aku bukan hendak menafikan hadis rasul yang dinyatakan oleh ayah Aisyah.

Wahai para pemuda! Sesiapa yang berkemampuan hendaklah dia berkahwin, kerana ia akan menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Sesiapa yang tidak berkemampuan hendaklah dia berpuasa, kerana berpuasa adalah pendindingnya. (Riwayat Bukhari Dalam Bab Nikah)

Aku akui akan kebenarannya. Namun yang aku pertikaikan akan kemampuan diriku untuk berpuasa selari dengan tuntutan syara’. Puasa yang dimaksudkan oleh hadis itu adalah menjaga mata, mulut dan perbuatan dari perbuatan mungkar. Dan yang paling menjadi masalah bagiku adalah menjaga mata. Kolej kediamanku ditengah Bandar. Dikelilingi oleh seribu satu maksiat yang penuh berleluasa. Mana mungkin dalam keadaan begitu aku mampu menundukkan pandanganku setiap saat. Perlu juga seketika aku perlu melihat arah jalan yang perlu aku susuri untuk kesuatu tempat dan disamping perlunya untuk aku melihat maksiat ketika itu.

Ya mungkin ada hadis yang mengatakan pandangan pertama tidak berdosa. Namun masih ada kesannya. Mungkin untuk pertama kalinya nafsuku tidak terangsang. Tapi bagaimana jika kerap kali dan berulang kali. Yang nyata hubungan mata ada kaitan dengan organ nafsu. Seperti mana firman Allah dalam Surah An-Nur. Ayat 30-31

“Katakan(wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada melihat yang haram) dan memelihara kehormatan mereka."

Benar bila seseorang itu berpuasa, dia akan letih dan tiada tenaga. Dan akan menyebabkan libidonya menurun. Namun keberkesanan ini bersyarat jika kita menjaga pandangan dan mengelakkan sebarang rangsangan. Namun andai mata tidak jaga seperti ayat Quran diatas, puasanya kurang dapat berkesan kerana libido boleh meningkat bila melihat sesuatu yang ku sebutkan tadi. Jesteru benarlah kalam Allah. Allah yang merupakan jurutera agung mencipta manusia. Dia mengetahui bahawa ada sambungan wayar yang besar menyambungkan dua organ ini. Dan persekitaranku amat-amat tidak mengizinkan.

Aku bukan belajar di pasentran yang keadaanya terasing antara pelajar putra dan putri. Dalam masa yang sama suasana di pengajian pondok kurang maksiatnya berbanding di persekitaranku ketika ini. Dan keadaan itu akan memudahkan seseorang yang ingin bernikah namun tidak mampu untuk mengamalkan hadist tadi. Namun aku redha, mungkin ini hasutan syaitan yang ada disekelilingku. Jarang benar fikiranku melayang sejauh ini. Astagfirullahhalazim…

Aku mencapai Manzil yang sentiasa aku sisipkan pada Quranku. Antara kelebihan Manzil. Ia dapat menghindari hasutan syaitan yang menghantui kotak pemikiran kita. Ia hanya mengandungi ayat-ayat Quran sahaja. Fungsi dan ayat yang digunakan hampir sama dengan ayat-ayat Rukyah.

Keesokan pagi, selepas waktu tasmi’ Quranku. Aku menuju ke pentas pidato yang berada ditengah-tengah bangunan kolejku. Aku selaku pengerusi kelab Pidato Kolej ku pastinya perlu pertama hadir disitu. Pagi itu ada sahabatku dari kelab pidato akan menyampaikan pidatonya sebagai markah Kokurikulum kami semester dua. Dari jauh aku melihat sudah ramai yang hadir. Dan dicelah-celah ramainya muslimim dan muslimat ketika itu, aku dapat melihat Aisyah sedang memberi kata-kata semangat buat teman baiknya yang akan berpidato pagi ini. Dalam keadaan kesuraman cahaya matahari ketika itu, aku dapat melihat pantulan sinar cahaya dari jari Aisyah yang mulus.

Alhamdulillah, Aisyah sudah memakai cincin yang dihadiahkan oleh ibuku sebagai tanda hubungan kami. Namun aku cukup gusar sebenarnya. Aku takut akan timbul fitnah pada kami berdua. Sudahlah sekelas, bercampur pulak tu… Pastinya ramai yang akan mengerumuni Aisyah pagi ini bertanyakan cincin dijarinya. Selepas pidato pagi itu, aku terus menuju ke kelas bersama-sama temanku. Tibanya di kelas, kami menempatkan diri di tempat duduk yang sedia ada. Sambil menunggu pensyarah, aku merujuk tajuk perbahasan madah Tauhid hari ini, berkisar tentang Fahaman Muktazilah.

Disamping itu juga, ada sahabatku yang mengambil peluang untuk melancarkan hafalan baru untuk dihafaz malam ini. "Assalamualaikum…" dari jauh kedengaran salam yang agak tegas dari Syeikh Mohd Nasir sambil menapak laju kedalam kelasku. Beliau merupakan salah seorang pensyarah yang amat aku hormati. Belajar di Mesir selama 16 tahun. Ijazah Usulluddin dari Al-Azhar dan Diploma Darul Ifta’. Dari luar dia seorang guru yang agak garang tapi bila aku dekatinya, rupanya dia seorang guru yang penyayang dan sangat baik hati.

Hari itu jadual kelasku berakhir seperti biasa tanpa ada apa-apa perubahan pada jadual waktu. Dua minggu selepas itu, aku masih lagi tinggal satu maqra’ Juzu’ 8 untuk dihabiskan. Alhamdulillah hafalanku sudah semakin laju jika dibandingkan dengan dulu. Pagi itu aku masuk ke kelas diiringi oleh senyuman daripada teman-temankku.

“Demo tok oyat kawe dih, demo ada Ayat-Ayat Cinta loni” sergah teman baikku.

“gape dia ni” jawabku.

“Tuh acu tengok gak belakang tu, Aisyah pakai purdah dah tu. Takkan demo tok tau , demo ke che abang dia” Jawab kawankku.

Aku hanya mampu tersenyum melihat Aisyah ketika itu. Sangat ayu, itu saja ungkapan yang bisa aku ungkapkan. Hingga hari ini, kuliahku masih berbaki 4 minggu. Seterusnya aku akan menempuhi minggu ulangkaji dan 3 minggu peperiksaan. Cepat sungguh masa berlalu. Aku dan Aisyah cuba untuk membataskan hubungan kami sedaya mungkin agar cinta ini sentiasa dipayungi oleh rahmat dan kasih dari Allah S.W.T. Hingga ke hari ini kami tidak pernah berbual walau sepatah perkataan pun secara Kalau kami bertembung di kawasan kolej kami, aku dan Aisyah akan sama-sama mengelak mencari jalan yang lain.




Kalau ada perkara penting, berkaitan masa depan dan pelajaran sahaja kami akan berSMS dan telefon. Itupun keadaannya masih terbatas. Aisyah pandai mengawal perbualan itu agar tidak LAGHA (lalai) katanya. Perkataan yang selalu dia ingatkan padaku. Mungkin kerana menjaga Lagha itu, hingga hari ini aku masih belum mengenalinya secara menyeluruh. Hatta hari lahir Aisyahpun aku masih belum tahu. Begitulah Aisyah dan AKU. Namun aku mengerti, dia hanya mahukan cinta kami berputik mekar selepas ikatan yang sah. Baru best katanya. Dalam masa yang sama aku juga sering mentarbiah Aisyah akan kebaikan kahwin muda bagi pasangan yang ingin menjaga agama.

Alhamdullillh setelah aku berikan rujukan dari nas Quran dan Hadis yang sahih, dia akhirnya mengerti dan memahami hasrat hatiku bukan atas nafsu semata. Namun atas dasar cintakan sedikit nikmat iman yang telah Allah titipkan pada hati kami agar tidak hancur berkecai atas titis maksiat yang didugakan pada hati kami. Perbincangan kami tentang kahwin awal ini semakin kerap hingga tanpa aku sedari lusa adalah peperiksaan keduaku semester ini iaitu Tauhid.

Peperiksaan pertamaku adalah Syafawi Quran dan Qiraat Imam Nafi’ dan Warsy. Kami tekadkan hati kami bahawa kami benar-benar sudah bersedia dari sudut rohani dan jasmani untuk menempuhi alam perkahwinan disamping mendahulukan pengajian kami. Malam itu, Aisyah membuat keputusan untuk berbincang akan hasrat kami untuk kahwin awal pada akhir semester ini. Aku cadangkan sebelum dia berbincang dengan ayahnya malam ini, kami sama-sama tunaikan solat hajat dua rakaat agar dipermudahkan permintaan kami.

Malam itu, selepas Isya’. Hamzi mengajak aku mengajar kitab tauhid dirumahnya. Kurang faham katanya. Aku bersetuju sambil aku mengajak Zul bersama-sama menelaah pelajaran malam itu. Kami tiba di rumah Hamzi sekitar jam 10.30 malam selepas keluar makan terlebih dahulu. Aku menunaikan solat hajatku sedikit lewat malam itu walaupun telah diingatkan oleh Aisyah selepas Isya’ lagi. Sedang asyik aku menerangkan nota tauhid, tiba-tiba telifon bimbitku berbunyi memecahkan kesunyian malam itu. Satu SMS dari Aisyah.

Aisyah dah bincang dengan ayah, katanya ok. Cuma untuk lebih lanjut kita bincang esok saja sebab dah malam ini. Nanti ganggu study pulak.

Mungkin kerana khusyuk mengulangkaji malam itu. Aku biarkkan saja persoalan itu membaluti hatiku sehingga pagi esok. Pagi itu, aku bangun sebelum subuh. Mungkin kerana aku tidak tidur lena kerana memikirkkan persoalan yang sangat besar dalam hidupku ini. Selepas solat dhuha pagi itu di rumah Hamzi. Aku menelefon Aisyah untuk mendapatkkan kepastian perbincangan semalam.

“Erm Aisyah, macam ner semalam. Boleh habaq cikit.” Jelasku.

“Erm macam ni, Ayah Aisyah faham dan bagi. Cuma dia nak Mat faham bahawa tugas rumah tangga ni berat. Bila dah kahwin, kena jaga Aisyah lagi. Kena fikir untuk beli rumah dan kereta. Lagi kena fikir kerja. Jadi macam ner sekarang. Mat rasa dah sedia ke untuk tanggung Aisyah. Lagipun, bila dah kahwin memang menjadi tugas suami untuk jaga isteri. Betulkan?."

Aku tergamam. Ringkas, kemas dan padat. Itu saja situasi yang bisa aku gambarkan. Semangatku yang sebelum ini berkobar-kobar untuk kahwin luruh bagai ditiup angin kencang menerbang semua daun-daun pokok yang berputik hijau didahannya. Aku buntu. Mana mungkin aku bisa menyediakan semua keperluan itu disaat aku masih lagi belajar. Semua keperluan itu membutuhkanku untuk berkerja. Aku bukan tidak mahu berkerja. Malah aku sudah mempunyai Diploma dalam bidang kejuruteraan. Aku juga pernah dipanggil bekerja oleh kerajaan kerana aku merupakan pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam. (JPA).

Namum aku menolak semua itu kerana aku begitu mencintai ilmu agama. Empat tahun aku menunggu untuk memasuki bidang agama. Bukan satu jangka yang singkat. Banyak pahit maung yang ku harungi untuk mengapai ilmu agama disamping kesibukan kuliah kejuruteraanku ketika itu. Aku masih ingat selama 3 tahun itu, ibuku menyimpan segunung harapan agar aku menjadi seorang ustaz. Jadual hidupku cukup padat ketika itu.

Siangnya aku mengikuti kuliah kejuruteraan sehingga pukul 4 petang. Selepas itu aku berkejaran pula ke Nilampuri untuk mengikuti kelas Bahasa Arab dan ilmu agama di Arabic Language Colsultancy (ALC) sehingga pukul 7 malam setiap hari. Jangka masa dari asramaku ke ALC adalah sekitar setengah jam. Hari jumaat dan sabtuku juga agak padat. Kuliah agamaku di ALC bermula sekitar 3 petang. Aku perlu berulang-alik dari rumahku di Machang untuk ke ALC dan mengambil masa sejam perjalanan. Dan malam sabtu pula aku mengikuti kuliah dari Tuan Guru Dr. Abdul Basit Bin Tuan Guru Abdul Rahman membincangkan kitab Fiqh Manhaji.

Aku tidak kisah semua kesukaran dan kepenatan yang aku harungi, asalkan aku bisa mengecap manisnya ilmu mengenal Allah yang amatku cintai. Adalah amat mustahil bagiku untuk aku mengorbankan cintaku pada ilmu Allah, hanya kerana rasa cintaku yang hanya memberikan manfaat pada diriku sahaja. Sedangkan cintaku pada ilmu Allah, manfaatnya pada seluruh umat Islam. Rezeki Allah itu ada dimana sahaja. Pada zahirnya mungkin aku tidak mempunyai sumber pendapatan dan tidak bekerja. Tapi sebenarnya yang nyata, aku sudah bekerja. Bekerja dengan majikan yang paling kaya raya di seluruh alam semesta.

Aku sangat yakin dengan tali Allah yang dihulurkan pada setiap umat yang mengharapkan belas ihsan dari tuhan yang memiliki sifat Rahman dan Rahim. Dan ayat ini menjadi bukti penyaksian kasih sayang dan rezeki yang Allah pasti curahkan pada hambanya yang miskin tapi ingin berkahwin.

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) diantara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah amat luas (rahmat dan limpah kurnianya)." (An-Nur:32)

Dan juga aku masih teringat kepada hadis dari rasulullah tentang anjuran perkahwinan ini…

Sahal bin Saad r.a berkata: Seorang perempuan datang menemui Nabi s.a.w dan menyatakan bahawa dia menyerahkan urusan dirinya kepada Allah dan Rasul-Nya. Nabi bersabda: Aku tidak mempunyai keperluan terhadap perempuan. Seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku denganya. Rasulullah menjawab. Berikan padanya pakaian. Lelaki itu menjawab: Aku tidak memilikinya. Rasulullah bertanya lagi: Berikan padanya walau sebentuk cincin besi. Beliau memberitahu bahawa dia juga tidak mempunyai sebentuk cincin besi. Lantas nabi bersabda: Adakah kamu mempunyai Al-Quran? Jawab lelaki itu ini dan ini. Rasulullah bersabda: Aku kahwinkan engkau dengan perempuan ini dengan mas kawinnya al-Quran yang ada pada engkau. (Rujukan Kitab Fiqh Manhaji) (Riwayat Bukhari no 4741)

Jelas banyak kelebihan yang telah Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka yang beramal dengan Al-Quran. Dan hadis ini pula menceritakan kelebihan kepada mereka yang disibukkan dengan Al-Quran.

Diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. Daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda, Allah berfirman: “Sesiapa disibukkan dengan dengan mengkaji Al-Quran(merangkumi membaca, menghafal dan mengkaji ilmu agama) dan menyebut nama-Ku, sehingga tidak sempat meminta kepada-Ku, maka Aku berikan kepadanya sebaik-baik pemberian yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta. Dan keutamaan kalam Allah s.w.t atas perkataan yang lain adalah seperti keutamaan Allah s.w.t atas makluknya.” (Riwayat Tarmidzi – Hasan)

Disamping itu juga Allah s.w.t tidak akan pernah mensia-siakan ibu-bapa yang mendorong dan menanggung anak-anak mereka untuk menjadi hafiz dan mahir dengan ilmu-ilmu agama.

Daripada Mu’adz bin Anas r.a bahawa Rasullallah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang membaca Al-Quran dan mengamalkan isinya, Allah memakaikan pada kedua orang tuanya dihari kiamat suatu mahkota yang sinarnya lebih bagus daripada sinar matahari di rumah-rumah didunia. Maka bagaimana tanggapanmu terhadap orang yang mengamalkan ini.” (Riwayat Abu Daud)

Begitulah Allah s.w.t yang penuh dengan sifat pemurah dan cinta pada hambanya yang soleh. Ternyata dana yang dilaburkan oleh ibu-bapa buat anak-anak ini langsung tidak sia-sia. Malah menjadi dana pahala bagi mereka hingga ke akhirat kelak. Dengan pengorbanan yang sedikit, Allah membalasnya dengan balasan yang amat-amat berbaloi berbanding dengan apa yang ada dibumi ketika ini. Tidak ada yang lebih berharga di akhirat kelak selain pahala dari anak-anak yang soleh dan solehah didunia ini.

Seperti mana hadis yang kita sedia maklum. Bila mati seseorang anak adam, maka terputuslah semua amalanya kecuali 3 perkara. Antaranya Ilmu yang bermanafaat, sedekah jariah dan anak yang soleh dan solehah. Ketiga-tiga peluang ini sebenarnya boleh digapai oleh sesiapa sahaja diatas didunia ini. Bermula dengan bersedekah dengan menanggung anaknnya menjadi anak yang soleh dan solehah lantas menjadi anak yang berilmu.

Seterusnya anak yang berilmu ini akan mengembangkan ilmunya dengan mengajarkan ilmu yang diasaskan oleh ibu-bapanya sejak kecil kepada anak-anak muridnya. Disamping juga dia sering berdoa atas kebahagian ayah dan ibunya di alam kubur. Semuanya akan berterusan sehingga hari kiamat jika ilmu yang diajarkan itu terus dikembangkan oleh anak muridnya.

Namun, perjalanan hidupku masih jauh, cita-citaku masih jauh menjulang langit. Maafkanku Aisyah. Aku tidak mampu untuk untuk memenuhi semua tuntutan itu. Aku tidak mampu… Dan akhirnya keputusan telah dibuat. Aku juga mengerti akan keputusanmu untuk berpisah denganku. SUKAR UNTUK MENCARI GADIS YANG SANGGUP UNTUK HIDUP SUSAH bersama suami walaupun telah diberikan jaminan oleh ALLAH. Ya aku akui sukar untuk menyakinkkan seseorang dengan janji ALLAH walaupun dari bidang agama sekalipun. Aku sedar aku tidak mampu untuk membahagiakanmu dengan segala kekurangan material yang ada padaku.

Aku mendoakan kau bahagia dengan bakal suamimu. Mungkin telah ditakdirkan untukku menyintai PEMBERI CINTA terlebih dahulu dan menyusuri pahit getir mencari ilmu seorang diri. Ya ALLAH Tuhan yang Maha PEMURAH, PERMUDAHKANLAH PERJALANAN KEMBARA ILMUKU, DAN JADIKANLAH AKU HAMBAMU YANG ALIM, HAFIDZ QURAN dan BERAMAL DENGAN ILMU YANG KU PELAJARI. DAN TEMUIKANLAHKU DENGAN CINTA SEJATIKU …… AMIN…

No comments:

Post a Comment