Thursday, February 4, 2010

Berpakaian jarang diharam cium bau syurga


http://www.tkodaily.net/v2/themes/tkodaily2/images/c-3.jpg

MANUSIA memerlukan pakaian bagi membalut atau menutupi tubuhnya. Pakaian adalah nikmat Allah yang penting kepada manusia.

Allah menyuruh manusia, khususnya umat Islam supaya memakai pakaian, seperti firman-Nya bermaksud: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian yang indah apabila pergi ke tempat ibadah, seperti mengerjakan sembahyang atau pun memasuki masjid, makan dan minumlah, jangan melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas.(Surah al-A'raaf, ayat 31).

Pada masa ini, ramai berpakaian bagi melambangkan personaliti dan melindungi tubuh daripada cuaca panas atau sejuk.

Oleh kerana masa atau zaman berubah begitu pantas, maka rekaan dan corak pakaian pun sentiasa bertukar dan semakin canggih. Oleh itu, tidak hairan jika hari ini lahir pelbagai jenis rekaan pakaian yang tidak lagi mementingkan aspek akhlak dan moral.

Islam sebenarnya tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian tertentu untuk dipakai, baik ketika beribadah atau luar ibadah. Islam menetapkan pakaian itu mesti menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

Pakaian itu tidak menimbulkan kesan negatif terhadap pemakai dan yang melihatnya.

Antara adab berpakaian yang diatur oleh Islam ialah:-

Hendaklah menutup aurat.

Aurat lelaki menurut ahli hukum Islam ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, tapak tangan dan tapak kakinya.

Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: "Paha itu adalah aurat." (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Pakaian tidak jarang supaya tidak menampakkan tubuh.

Pakaian yang jarang menampakkan aurat dan tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampakkan warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.

Nabi bersabda bermaksud: "Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia, dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liuk badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh." (Hadis riwayat Muslim)

Pakailah pakaian yang tidak ketat supaya tidak kelihatan bentuk tubuh. Lagi pun pakaian yang ketat menyusahkan pergerakan pemakainya.

Memakai pakaian yang tidak menimbulkan rasa sombong di hati pemakainya. Nabi bersabda bermaksud: "Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat."

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bermaksud: "Barang siapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, An-Nasa'iy dan Ibnu Majah)

Tidak menyerupai pakaian golongan bukan Islam kerana dibimbangi orang Islam akan meninggalkan keperibadian Muslim sendiri.

Nabi bersabda bermaksud: "Sesiapa meniru atau menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka." (Hadis riwayat Abu Daud)

Pakaian lelaki mesti berbeza daripada pakaian wanita. Maksudnya, pakaian yang khusus untuk kaum lelaki tidak boleh dipakai oleh kaum wanita, begitu juga sebaliknya.

Rasulullah mengingatkan hal ini dengan keras menerusi sabdanya bermaksud: "Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Nabi juga bersabda bermaksud: "Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki." (Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim).

Pakaian lelaki tidak boleh diperbuat daripada sutera kerana diharamkan kaum lelaki memakai sutera.

Nabi bersabda bermaksud: "Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat." (Hadis riwayat Muttafaq 'alaih)

Muslimah perlu melabuhkan pakaian hingga menutupi kaki. Pakailah tudung/mini telekung yang sesuai bagi menutupi kepala/rambut, tengkuk, leher dan dada.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka menghulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Memilih pakaian berwarna putih kerana ia adalah yang terbaik untuk dipakai. Putih adalah warna yang sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah. Ia juga melambangkan kesucian.

Baginda bersabda bermaksud: "Pakailah pakaian putih kerana ia lebih suci dan lebih baik, dan kafankan mayat-mayat kamu dengannya." (Hadis riwayat An-Nasa'iy dan Al-Hakim).

Berdasarkan berita yang sahih, baginda memakai baju hijau dan serban hitam. Hijau adalah warna kesukaan Nabi.

Lelaki Islam tidak dibolehkan memakai cincin emas. Nabi bersabda bermaksud: "Haram kaum lelaki memakai sutera dan emas, dan dihalalkan (memakainya) kepada wanita."
Apabila memakai kasut atau seumpamanya, mulakan dengan sebelah kanan. Apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri. Rasulullah bersabda bermaksud: "Apabila seseorang memakai kasut, mulakanlah dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang pertama memakai kasut dan yang terakhir menanggalkannya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Apabila memakai baju, seluar atau seumpamanya, mulakanlah juga dengan sebelah kanan. Imam Muslim meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud: "Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai kasut, berjalan kaki dan bersuci."

Apabila memakai pakaian yang baru dibeli, ucapkanlah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi (bermaksud): "Ya Allah, segala puji bagi-Mu, Engkau yang memakaikannya kepadaku, aku memohon kebaikannya dan kebaikan apa-apa yang dibuat baginya, aku mohon perlindungan kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan apa-apa yang diperbuat untuknya, Demikian itu telah datang daripada Rasulullah."

Berdoa setiap kali memakai dan menanggalkan pakaian supaya memperoleh keberkatan. Ketika memakai pakaian, lafazkanlah: "Pujian kepada Allah yang mengurniakan pakaian ini untuk menutupi auratku dan dapat mengindahkan diri dalam kehidupanku, Dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia."

Sebagai seorang Islam, sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai menurut tuntutan agamanya. Sesungguhnya pakaian yang sopan dan menutup aurat adalah imej seorang Muslim

No comments:

Post a Comment