Saturday, February 6, 2010

Seerat Genggaman





“Sampai hati?” Dua patah hanya terungkap.


Renunganku tidak berbalasnya. Kutahu, dia telah membuat keputusan bernoktah. Tiada pujukan dan rayu mampuku sulami perasaan terbitan hati ini. Kini, karangan diariku akan tertulis tarikh tanpa amaran ini. Dia yang kumaksudkan adalah sahabat karibku, Saiful. Ef kebiasaannya.


Malam itu, pertemuan kami berakhir dengan ucapan salamnya tanpa berbalas. Terkilan rasanya jiwa, diri ini kubiarkan melakukan apa hendaknya. Menangis, menjerit, mencaci. Namun tidaklah terduga, sunyi benar perlakuanku. Ibarat pokok yang meraung tatkala dikhianati peribumi, raungan beralaskan sepi.


“Janji eh? Kita sama-sama masuk V”.


Kata yang terkata semasa kita berazam. Hendak belajar bersama agar keputusan PMR mendatang mampu mengulit harapan.


“Tapi kau kenalah tolong aku.. Ye lar.. Aku ni budak kelas keempat. Kau tu top-10 je selalu..” pinta Ef kepadaku.


Dengan senang hati aku setuju dan memberi galakan kepadanya. Bersyukur pada Rabb, ada juga sahabat yang percayakanku. Mungkin hal ini tidaklah sebesar manapun, tetapi Ef menaruh harapan kepadaku. Aku harus menjaga pandangan sahabatku ini. Kerana dialah orang yang pertama mempercayai setiap kebolehanku. Dan juga punca motivasi diri ini untuk terus mendaki gunung-ganang kehidupan merentasi duri fatamorgana dunia.


Perkenalan kita pada tahun lepas telah mengajarku erti persahabtan yang sebenar. Dialah juga yang mengajarku erti kasih palsu yang tidak setaraf meski bayangan cintaNYA. Kubersyukur sungguh pada masa itu. Cebisan paras peribadiku kau mampu ubah. Melarangku memakai gelang dan rantai. Menegahku berseluar pendek dan berT-shirtkan ketat ala indie.


Tidak pernahku jumpa remaja sepelikmu Ef! Hampir setiap pergantian siang kita bersama, mempelajari ilmu bahasa. Memahami ilmu peradaban. Menghayati erti perjuangan terdahulu. Menyokong bahu bersama sepanjang pelayaran selama sebentar itu.


Dipendekkan memori, kau lebih beruntung daripadaku. Kejayaan maksimummu, 8A dan berlatarkan kecemerlangan kokurikulum telah menempa nama di sekolah V. Namun, yang terjadi ke atasku lain seperti apa yang kita impikan. 7A yang kukecapi mengundang sedih berkacakan kesal dan kecewa.


Hari tetap berlalu tanpa membawa tawaran yang dinantikan. Engkau yang bingung hendak berpujangga berusaha menemui diriku selepas pasti aku tidak ditawari apa yang ternanti sedangkan engkau sudah melengkapkan keperluan di asrama nanti. Kuelakkan daripada bersua denganmu. Sedih dan pilu yang menemaniku menghasut diri agar melahirkan perasaan benci padamu kerana telah mungkiri janji kita, “Kita sama-sama masuk V”. Walhal, ianya menekan perasaan jiwaku, kuterus melayani rasa cemburu yang terbit menawan fikiran ini. Panggilan sahutanmu kuendahkan. Deringan di telefon tidak kujawab.


Hakikatnya, aku malu dengan diri sendiri dan daripadamu, aku berusaha menyorokkan diri. Meski hati yang mengenali erti sahabat meronta dan merayu agar ego diri tertunduk, tubuhku yang lain kuat memberontak.







Pada malamnya gemerlipan menasihatiku agar menghargai hubungan kita. Aku pasrah sujud pada Yang Mendengar. Memohon secebis kekuatan untuk memahami hikmahNYA yang tersembunyi. Entah mengapa, semenjak belaian syaitan berkala nafsu berjaya menembusi benteng imanku yang kian lemah, solatku tidak dapat kurasakan kehadiran ini diterimaNYA.


Namun, pada malam ini, linangan air mata syahdu tidak mampuku pujuk lagi. PadaNYA aku meluahkan segala di dalam kesunyian. Tangisan dan rintihanku biasanya akan disambuti Ef dengan tulusnya sebelum ini. Pada saat yang berlalu, barulah aku sedar. Sepanjang langkahku adalah untuk menunjuk-nunjuk kepada mata yang melihat. Ikhlas di hati semestinya telah lama pudar. Kesalahanku sejak nawaitu tidak betul. Dan untuk mengubati hati yang tertewas, kau aku salahkan. Astaghfirullahal ‘Azim! Mahalnya harga kesedaran itu. Ya Allah!!


Selesai sahaja solat ‘Isya’ itu, aku terus meminta izin kedua-dua insan yang kukasihi, untuk menemui Ef yang bakal bertolak lagi seminggu. Sebaknya hatiku sepanjang perjalanan ke rumahnya. Ayah yang dari tadi hanya mengingatkanku akan kasih Ilahi. Tak putus-putus menjaga diriku. Terima kasih ayah!


“Ef”!! “Ef!!!” jeritku sesudah kujejak hadapan rumahnya.


Kelihatan tubuh yang aku kenali, seorang insan bergelar sahabat membuka pintu. Wajahnya kunampak mengukir senyuman yang lama tidakku saksi. Tanpa sebarang kata, kami terus berlari mendapatkan kembali persahabatan yang hampir kuhancurkan. Pada malam itu, kami berpeluk erat sambil dilinangi air mata.


“Maafkan aku Ef.. Maafkan aku.. Aku telahpun mungkiri persahabatan kita.. Aku lupa..”


Ef mengangguk tanda kemaafannya seorang sahabat. Rasa syukur tak terhingga kepada hadrat Ilahi lahir di sudut hati. Alhamdulillah..


Seminggu yang tinggal kami banyak menghabiskan bersama. Nasihat dan peringatan sering diucapkan, bergilir-gilir. Aku telahpun membuat keputusan menerima tawaran sekolah K. Meski kami akan berpisah di mata, di hati tidak akan kami biarkan. Cabaran moral kami terima supaya berusaha untuk ibu bapa dan diri sendiri demi Allah.


Satu perjanjian dibuat lagi, “Tidak pernah berputus asa”!


No comments:

Post a Comment