Sunday, February 7, 2010

Sihat emosi: adakah hanya untuk golongan muda?

BIAR berapa pun usia anda, kebahagiaan emosi tidak seharusnya diambil mudah. Emosi yang sihat berkait rapat dengan setiap tindak-tanduk kita, justeru ia wajar diberi perhatian. Apabila emosi sihat, perasaan serta tindakan juga akan lebih terkawal. Anda akan lebih tabah menghadapi dugaan, mampu menjalinkan perhubungan yang bermakna dan bersemangat kental.

Mental sihat, cergas

Sihat dari segi mental bukan bermakna kita hidup tanpa sebarang masalah dan kedukaan. Sebaliknya apa yang dimaksudkan di sini ialah keupayaan untuk menghadapi segala cabaran dalam kehidupan bersandarkan kekuatan yang dimiliki.

Penjagaan fizikal jaminan emosi sihat

Walau berapa pun usia anda, perhatian yang diberikan terhadap kesihatan fizikal, iaitu dengan menjaga tubuh badan akan sekali gus menjadikan mental lebih sihat. Ini kerana sewaktu bersenam, otak dan sistem saraf akan menghasilkan sejenis kimia yang dinamakan endorfin yang mampu menceriakan mood anda! Senaman dapat meredakan tekanan, mengurangkan kerisauan dan kemurungan!

Amalkan corak pemakanan yang seimbang dan pastikan badan mendapat zat makanan yang diperlukan dengan secukupnya. Cara paling mudah ialah dengan mengambil makanan tambahan.
Keluarlah dan luangkan lebih banyak masa di luar rumah setiap hari, walaupun hanya 10 minit. Jadikan waktu bersendirian lebih terisi, produktif dan menyeronokkan dengan belajar menjadi teman kepada diri sendiri atau dengan menyertai sebarang kegiatan yang dapat merangsang pemikiran dan mencergaskan badan.

Anda juga perlukan tidur yang nyenyak. Secara purata, tidur selama tujuh hingga lapan jam setiap malam akan membolehkan anda menjalani kehidupan di tahap optimum pada keesokan harinya.

Luahkan perasaan

Berasa sedih adalah lumrah di kalangan mereka yang berusia. Ini mungkin disebabkan seseorang itu tidak lagi mampu berdikari, kehilangan kerjaya, berhadapan penyakit, ketiadaan orang tersayang, hilang upaya untuk bergerak dan sebagainya. Namun demikian, kita tidak harus menganggap kemurungan itu sesuatu yang normal kerana usia lanjut tidak bermakna anda harus hilang segala harapan dan kegembiraan. Apabila ini berlaku, jangan mengambil sikap menyendiri. Ambillah tindakan positif dengan meluahkan perasaan anda kepada seseorang.
Perasaan anda perlu diutamakan

1. Selami jiwa dan perasaan anda.

2. Baja daya kreativiti anda dengan menyertai aktiviti mencabar minda seperti merancang membina sebuah laman yang indah secara berperingkat.

3. Semarakkan rasa kasih sayang dan peliharalah haiwan kesayangan kerana melaluinya anda boleh mencurahkan kasih sayang manakala tanggungjawab terhadap haiwan itu akan menjadikan hidup anda lebih bermakna.

Binalah persahabatan yang ikhlas dan saling menyokong.

Anda mungkin berumur 60-an namun anda masih boleh hidup penuh bersemangat dan bersikap proaktif. Bertindaklah sendiri dan jangan menunggu orang lain memulakan sesuatu. Jika anda sudah melakukan segala-galanya tetapi masih berasa kecewa, ini bermakna anda benar-benar memerlukan bantuan. Bagi warga emas, sebarang tanda-tanda berikut adalah isyarat untuk mendapatkan pertolongan!
• Insomnia (sukar atau tidak dapat tidur)
• Berasa cemas dan risau
• Masalah ingatan
• Perasaan seolah-olah tidak berupaya dan berdaya berbuat apa-apa
• Rasa putus asa

Jika tanda-tanda ini adalah jelas, anda perlu mendapatkan bantuan profesional. Lebih awal anda mendapatkan kaunseling serta terapi, maka lebih cepatlah anda dapat mengatasi masalah tersebut dan memulihkan semangat serta emosi anda.

No comments:

Post a Comment