Aku merenung kembali kisah silamku. Mengingati semula perjalanan hidup yang telah ku lalui di muka bumi Allah yang maha luas ini. Tiba-tiba mengundang sebak di dada dan begitu mudah membuatkan aku menitiskan air mata.
Ku renung kembali setiap yang berlaku ke atas diriku. Terimbau kenangan dahulu semasa aku berada di tingkatan lima, guru kelasku pada waktu itu ialah Ustazah Naemah. Dia pernah mengucapkan kata-kata yang biasa buat kami, anak didiknya. Mungkin pada orang lain ia hanya kata-kata biasa tapi pada aku cukup terkesan di hati hingga ke saat ini.
"Jadilah orang yang membawa manfaat kepada orang lain." Itulah kata-katanya yang segar di hatiku hingga ke saat ini. Aku mengingat kembali apakah manfaat yang telah kuberi setelah sekian lama aku bernafas di bumi Allah ini. Apabila difikirkan dengan mendalam, bagaikan tiada manfaat yang ku beri pada insan yang lain.
Pada orang lain, mungkin kerjaya aku sebagai pendidik sangat mulia di pandangan mereka, namun pada aku ia hanya satu amanah yang harus ku pikul lantaran aku menerima gaji setiap hujung bulan.
Tidak kurang juga kesabaranku hilang sewaktu menjalankan tugas oleh kerana perangai murid-muridku yang semakin hari semakin kreatif membentuk kenakalannya. Apabila pulang ke rumah, aku berfikir, adakah kerjaya aku merupakan satu ibadah buat diriku?
Apakah kerjaya yang dilakukan dengan memaksa diri sendiri kerana khuatir gaji dianggap syubhah andai tidak dilaksanakan dengan baik dikira ibadah di sisi Allah? Berapakah ilmu yang kusampaikan tersemat di hati anak didikku? Dan yang paling utama, berapa ramaikah di antara mereka yang mengamalkan ilmu yang telah ku sampaikan selama ini.
Apabila soalan-soalan sebegini menerjah fikiranku, nafasku menjadi sesak seketika. Sedar nyawa pinjaman Allah buatku akan ditarik bila-bila masa sahaja tanpa kuduga. Kudrat yang ada padaku juga hanya pinjaman dari Allah. Tiada apa yang mampu menghalang, andai yang Esa mahu mengambil kembali nikmat kesihatan dan nikmat sempurna pancaindera yang diberikan sementara buatku.
Seringkali aku terbayang, diriku hanya dibaluti kain kapan. Berapakah amalan soleh yang mampu aku persembahkan di hadapan Allah S.W.T nanti. Yang paling aku takuti, amalan yang selama ini ku kerjakan ditolak oleh Allah tetapi sebagai seorang hamba manakan aku mampu untuk mengetahuinya.
Segalanya hanya terjawab apabila rohku sudah meninggalkan jasadku. Dan saat itu juga, segala-galanya adalah terlambat buatku dan penyesalan sememangnya sudah tiada ertinya lagi.
Aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan aku untuk terus bernafas di dunia ini. Di kesempatan ini, aku bermohon agar diampunkan segala dosa-dosaku, diterima segala amalanku dan dijadikan aku wanita solehah yang cemerlang dunia dan akhiratnya.
Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dosa ibu bapaku, kaum keluargaku, guru-guruku, teman-temanku serta umat Islam seluruhnya sama ada yang masih hidup mahu pun yang sudah meninggal dunia. Amin ya Rabbal Alamin.
No comments:
Post a Comment