Saturday, September 10, 2011

Siapa Ibumu, Siapa Ayahmu? Pentingkah Itu?


Safiyyah mendongak ke atas. Langit yang tidak bertepi membiru seakan-akan laut di daratan. Cuma tidak punya air yang akan tetap di situ sekalipun ia ditunggang-terbalikkan.
Berbeza dengan awan yang akan melimpahkan titisan hujan mahupun ribut yang memberi amaran bahawa manusia telah melampaui batas.
Lalu dialihkan pula bebola matanya tertancap pada kakinya yang hanya dibaluti stoking berwarna hitam. Sandalnya dilucutkan ke tepi bangku.
"Kenapa kau pakai stoking warna yang lebih kurang kulit kau? Tak ke sama je macam tak pakai stoking langsung?" Wardah menggeleng namun pandangan matanya telus langsung pada hati jernih Safiyyah.
Pandangan mata seorang sahabat. Tegurannya bukan untuk memalukan, bahkan menyelamatkan.
Terus sahaja Safiyyah mengukir senyuman mengenangkan ibrah dari sahabatnya itu beberapa hari yang lalu. Sambil berbual santai lantas sahabatnya yang sangat disayangi itu terus menegur tanpa berkias-kias.
Lembut tetapi tegas."Nah, aku bagi kau stoking aku ni. Lepas ni, kau pakailah stoking warna gelap. Baru brothers tak pandang kaki kau yang putih melepak tu. Aku dah basuh tau! Jangan duk cium-cium macam tu. "
Ketawa mereka terburai melihatkan gelagat Safiyyah mencuri-curi menghidu stoking yang dihulurkan.
Seringkali, ketika dia bersendirian merenung kehidupannya, antara wajah pertama yang akan terlintas dalam fikirannya adalah Wardah. Ya, gadis solehah itu sangat mendamaikan hatinya. Kata-katanya sentiasa punya manfaat.
Tiada langsung kata-kata yang membuka aib orang lain keluar dari lisannya. Benarlah bahawa jika berkawan dengan orang yang soleh, akan menajamkan fikiran. Lantaran perkataan mereka yang sentiasa berpaksikan Tuhan. Menyebabkan kita berfikir sedalam-dalamnya.
"Kau beruntung Wardah. Kau lahir dari keturunan yang mulia, keturunan beragama. Umi kau solehah, siap pakai purdah pulak tu. Ayah kau lulusan Universiti Al-Azhar. Adik beradik kau semuanya hebat-hebat. Aku......?"
Lantas, bahu Safiyyah dipegang kejap. Matanya merenung lembut tapi memujuk.
"Kenapa dengan keturunan kau? Hina sangat ke ibu kau hanya setakat lulusan universiti yang tak Islamik? Course pun tak Islamik? Walaupun dia tak pakai tudung labuh? Kenapa dengan ayah kau? Saat kebanyakan ayah zaman sekarang rela menerima rasuah demi sesuap nasi, ayah kau bertungkus lumus cari rezeki halal untuk kau. 'Maka, nikmat Tuhanmu yang mana kau dustakan'?"
Safiyyah menundukkan wajah. Terasa sangat tidak bersyukur. Ibu dan ayah membesarkan aku dengan ikhlas. Bukan untuk mengharapkan aku untuk kritik itu ini. Hidayah itu milik Allah. Akan dikurniakannya kepada manusia yang ikhlas. Ikhlas dalam mendidik anak-anak, insya Allah, akan lahirlah anak-anak yang berakhlak mulia.
Pegangan bahu Safiyyah dilepaskan perlahan-lahan. Suasana sunyi kembali menyelubungi. Hanya kedengaran esak tangis Safiyyah penuh penyesalan.
Safiyyah mengerdipkan matanya beberapa kali bagi menyingkirkan genangan air matanya yang bertamu saat memori itu ditayangkan dalam mindanya.
Sungguh, tidak Allah jadikan setiap peristiwa yang berlaku melainkan supaya manusia berfikir.
Dan sekarang, hari ini, Safiyyah kembali bersyukur kerana punya ibu bapa yang menyayanginya sepenuh hati dan sahabat yang sentiasa mengingatkannya kembali kepada Allah. Sandalnya kembali disarungkan lalu dengan langkah yang ringan kakinya diayun menuju ke bilik Wardah untuk mendengar celoteh sahabatnya tentang kehidupan.
"Bersahabatlah dengan penjual minyak wangi, sedikit sebanyak bau minyak wanginya akan terpalit pada kita".

No comments:

Post a Comment