Tuesday, September 6, 2011

Merotan Hati


"Hati adalah sasaran utama proses tarbiyah," Kata-kata yang masih tersemat kukuh di jiwa saya.
Tema proses tarbiyah adalah Imanubillah (beriman dengan Allah S.W.T) dan  Imanubil akhirah (beriman dengan hari Akhirat). Tema ini akan terus ditekankan, difokuskan dan diutamakan dalam membentuk keperibadian mukmin yang tunduk dan patuh kepada sistem aturan Allah S.W.T.
Fokuskan diri kita dengan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa). Antara unsur-unsurnya ialah taubat, mengingati mati dan takut dengan azab api Neraka.
Tema-tema inilah yang kini menjadi fokus di dalam proses pembentukan keperibadian mukmin pada saat ini dan ia akan menjadi teras tarbiyah sehingga bertemu Allah S.W.T. Tidak boleh berlaku sebarang pengabaian terhadapnya walaupun seketika!
Kata-kata dari ulama Indonesia, dalam bahasa Indonesia ia disebut cambuk hati. Dalam bahasa kita, ia disebut "Merotan Hati". Mudah sebut, ia adalah pukulan, tubi-tubi kepada hati dengan sesuatu agar hati menjadi peka, sensitif, sedar dan kembali bermaya.
Merotan hati dengan amalan soleh inilah yang akan memberikan kita jalan untuk meniti Syurga Allah S.W.T. Jalan mencintai Allah, merindui Allah dan sentiasa memelihara hubungan jiwa, hati dan perasaan terhadap-Nya.
Ibnu Taimiyah R.A juga berkata perkara yang sama, " Sungguh, di dunia ini ada Syurga, siapa yang belum memasukinya, ia tidak akan memasuki Syurga Akhirat."
Mereka bertanya kepadanya, "Apakah itu?"
Ia menjawab, "Syurga ma'rifatullah (mengenal Allah), mahabatullah (mencintai-Nya), rindu kepada-Nya dan berlemah lembut kepada-Nya."
Hati kita sifatnya mudah berdolak balik. Bertukar rasa dan perasaannya. Hati kita perlu ada sistem yang menjadi peringatan yang tetap dan berkala. Jika tidak, hati itu akan menghitam, keras, kaku, tidak bermaya dan gersang.
Bayangkan, hati itu bermaksiat. Pada mulanya ia merasakan dirinya bersalah. Kemudian, terasa akan keseronokan maksiat. Kemudian, hilang rasa takut bermaksiat. Tanda kemuncak bermaksiat kepada Allah S.W.T ialah bermegah-megah dengan maksiat yang dilakukan.
Na'uzubillahiminzalik. Mohon lindung daripada Allah S.W.T.
Tema tarbiyah tidak dapat tidak harus berlingkaran dalam putaran ini : Tazkiyatun Nafs (penyucian jiwa), proses pembersihan diri melalui taubat dan memberikan ancaman-ancaman berkaitan azab neraka.
Hati perlu ditubi-tubi dengan amal soleh, amal kebaikan dan cahaya kebersihan ma'ruf. Simbahan cahaya kebaikan inilah menjadikan ia kembali bersih, jernih, putih dan segar. Jika tiada bentuk tubian sebegini, hati mudah terlalai, leka, lupa dan alpa.
Saya meninggalkan jejak di pondok teduhan ini dengan pesanan murabbi saya berkaitan hal ini, mudah- mudahan saya adalah individu yang sentiasa menyematnya di akal, menanamnya di jiwa dan membumikan dalam amalan.
Gagahkan dirimu untuk bangun awal di pagi yang hening sebelum Subuh untuk mendirikan solat sunat dua rakaat kerana ia adalah waktu yang terbaik untuk membersihkan dan menjernihkan hati. Ketika itu, ia merupakan latihan keikhlasan, kejujuran, perhambaan dan medan mencurahkan perasaan kepada Ilahi.
Lazimkan agenda harian di awal pagi dengan sarapan rohani sebelum sarapan pagi. Zikrullah dengan kalimah-kalimah menyentuh jiwa, membersihkan kotoran perasaan berdosa pada hati dan melembutkan hati yang telah keras dan lesu. Zikir al-Mathurat adalah zikir yang sesuai untuk diamalkan.
Pastikanlah setiap hari kita semua menatap, membaca dan mentadabur ayat-ayat suci al-Quran sekurang-kurangnya dua halaman. Inilah ubat penawar yang paling utama buat hati. Tiada pengecualian bagi Mukmin sejati.
Konsisten dan istiqamahkanlah melaksanakan ia secara berterusan setiap hari. Biarpun sedikit, tetapi keutamaan kita adalah istiqamah pada amal soleh yang berkualiti buat hati. Wahai diri, rasailah perbezaannya dan kenikmatannya.
Memburu kemanisan dan kelazatan Iman, ia perlu adalah kesungguhan, fokus, konsisten dan mujahadah yang tinggi.

No comments:

Post a Comment