Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan berdiri, adalah lebih baik dia duduk.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk,pertamanya membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.
Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.”Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud:“Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)
Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah, sifat pemaaf meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi.
No comments:
Post a Comment