Friday, August 23, 2013

Perut maju ke depan

Mampukah berdiet seminggu dapat menyelesaikan kesan pemakanan selama tujuh Syawal? Perut membuncit tidak semudah itu untuk dikempiskan semula. Tapi jangan pula menangis dan meratap kegemukan yang berlaku.
Pertama sekali yang perlu diingatkan adalah rancang waktu pemakanan. Selepas berpuasa selama sebulan, sistem pencernaan perut sudah direhatkan. Bayangkan keadaan perut kita yang lama berehat dan secara mengejut diberi makanan banyak tanpa henti. 
Hal ini boleh mendatangkan masalah kepada perut kita kelak. Jadi, nasihat terbaik adalah merancang pemakanan kita dengan makan secara berperingkat. Sepatutnya pada hari raya pertama lalu kita jangan makan terlalu banyak bagi memberi masa untuk perut kita kembali beroperasi secara normal.

Tapi itu sudah terlewat. Justeru mulai hari ini, kurangkan kuantiti pemakanan kita agar proses secara berperingkat masih boleh dilakukan.

Khas buat yang berpenyakit seperti jantung, darah tinggi mahupun diabetis, pengawalan jenis makanan yang diambil amat penting! Elak makanan tinggi gula dan karbohidrat.

Makanan ringan seperti kerepek dan kuah rendang atau berlemak harus dielakkan bagi pengidap sakit darah tinggi. Kandungan garam dan bahan perasa di dalam masakan itu sangat tinggi dan mampu menjejaskan kesihatan anda. Bagi pesakit jantung pula, sebolehnya makanlah makanan yang dinasihatkan oleh doktor anda. Makanlah kuih raya yang sihat mengandungi oat berbanding kuih-kuih lain.

Bagaimanapun jika sudah terlewat dan memang puas rasanya anda melanggar segala pantang, pastikan mulai hari ini anda perlu kembali aktif menjaga pemakanan dan elakkan daripada melawan kata doktor.

Minum air kosong banyak bagi mengimbangi kembali segala macam air manis yang kita minum sepanjang seminggu beraya lalu. Elak daripada minum air yang bergas kerana minuman ini hampir tidak mempunyai walau sedikit khasiat pun kepada tubuh. 

Malah kandungan gula di dalam air ini berada di paras sangat bahaya. Jadi, gantikan air ini dengan pengambilan air kosong dan juga jus buah-buahan jika anda memerlukan gula.


Paling mujarab

Seterusnya kawal saiz pemakanan dengan menggunakan pinggan kecil ketika mengambil makanan. Ini adalah cara disiplin yang dikatakan mampu mengawal saiz makanan kita. Jika kita menggunakan pinggan yang besar pasti kuantiti makanan diambil juga bertambah banyak.

Paling mujarab dan rasanya semua dinasihatkan untuk melakukan senaman ringkas. Perkara ini adalah paling wajib untuk kekal sihat. Curi masa setidak-tidaknya 15 minit setiap hari untuk kita lakukan senaman ringkas di rumah. Lakukan senaman secara berjadual.

Mengikut satu kajian yang pernah dilakukan sebelum ini, berpuasa sunat enam atau ganti adalah langkah terbaik untuk mendapatkan semula bentuk badan asal. Selepas puas makan ketupat, rendang dan sebagainya, inilah masanya untuk kita ganti semula puasa-puasa tertinggal masa bulan Ramadan ataupun laksanakan puasa sunat enam. 

Kebaikannya, badan kembali sihat dan kurus, pahala juga berganda. 

Untuk mengempiskan kembali perut kita yang sudah sedia membuncit, apa kata lakukan senaman tekan tubi sebanyak mana yang kita mampu setiap malam. Kemudian sehari ke sehari naikkan lagi bilangan tekan tubi itu. Untuk dapatkan hasil lebih cepat, lakukan selepas bangun tidur sekali.

Selain menari dan memperbanyakkan gerak langkah bagi membakar kalori yang terkumpul, ‘skipping’ juga menyeronokkan untuk kita turunkan berat badan. Lebih seronok jika ajak kawan-kawan turut serta. 

Rajin diri dengan menyapu minyak panas di kawasan badan berlemak setiap malam. Tapi awas, pastikan minyak itu diluluskan oleh Kementerian Kesihatan. Hati-hati, ikut arahan yang tertera di kotak minyak itu atau lebih elok jika dapatkan pandangan pakar dulu. Mana tahu nanti ada apa-apa kesan sampingan pula!

Akhir sekali paling mudah untuk dilakukan adalah dengan perbanyak makan epal hijau. Buah epal hijau bukan saja bagus dan berkhasiat, ia juga dapat mengurangkan kolesterol dalam badan. 

Buah epal juga mengandungi zat besi, magnesium, potasium, kalsium, soldium, vitamin C, vitamin A dan vitamin B serta sumber serat yang mudah larut. Untuk mendapatkan kesan yang baik, amalkan setiap pagi memakan atau jadikan epal hijau sebagai minuman harian kita.

Wednesday, August 21, 2013

Tips Pemilihan Cincin Pertunangan

memilih-cincin-pertunangan
Cincin yang perfect adalah cincin yang paling si dia suka. Kalau harga mahal sekalipun tapi tak ikut citarasa pasangan kita, memang tak best.
“Tapi kalau beli dengan pasangan dah tak surprise la bro,” kata si lelaki yang romantik. Betullah tu, kalau beli dengan pasangan, element of surprise tu dah takde. Paling priceless adalah saat cincin tu disarungkan pada jari pasangan dan masa itulah kali pertama dia nampak cincin tu dan dia langsung tak expect nak dapat cincin tu.
Jadi bagaimana saya buat? Ok. Ceritanya begini.
Mula-mula bawa pasangan pergi window shopping. Masuklah segala jenis kedai cincin, dari yang murah kepada yang mahal dan kat setiap kedai cari cincin yang paling dia suka.  Jadi at the end of the day, roughly korang dah ada idea cincin macam mana dia suka dan saiz cincin yang dia pakai.
Masuk kedai barangan kemas ni best sebenarnya dan lagi best adalah masuk kedai yang mana barangan dalam tu harga puluh atau ratusan ribu. Kenapa? Sebab mereka tak prejudis terhadap orang yang datang kat situ. Kedai paling mahal saya masuk adalah De Beers kat KLCC. Harga cincin berlian kat situ bermula daripada RM6000 dan ke atas.
Branch manager kedai (perempuan Melayu) layan kami dengan baik. Penerangan lengkap. Mereka sendiri faham orang yang datang cari cincin ni tak beli cincin on-the-spot dan akan ambil masa untuk pilih cincin terbaik. Jadi apa yang mereka buat adalah beri layanan terbaik dengan harapan barangan mereka akan menjadi pilihan. Sejam jugaklah spend masa kat situ.
Pergi pulak Poh Kong kat OneUtama. Masuk kedai takde orang greet, nak tengok cincin kena panggil promoter datang. Very unwelcoming.
Tentang bajet. Benda ni sensitif sikit tapi eloklah saya stresskan bajet tu ikut kemampuan sendiri. Jangan bebankan diri dengan benda di luar kemampuan. Itu sebab saya cakap cari cincin yang pasangan kita paling suka di setiap kedai, dari yang murah ke yang mahal. Dengan tu, bolehlah pilih ikut bajet yang ada.
Dan yang terakhir, macam mana nak hasilkan surprise element tu? Nak buat surprise ni kena plan betul-betul dan planning ni perlukan masa. Dalam entri sebelum ni, saya ada bagitau yang saya dah mula cari cincin sejak dari enam bulan lepas. Kalau nak tengok cincin dengan pasangan seminggu sebelum ianya diperlukan, memang susah la nak surprise sebab dia pun dah boleh expect yang mana satu.
Bila masa dah ada, kita buat isu tentang cincin tu. Contoh, “Mak cakap cincin ni elok bla.. bla.. bla.. ” atau “Biasanya orang ramai pilih cincin macam ni bla.. bla..” In my case, saya mainkan isu tentang cincin berlian yang mahal (sebab saya nak dapatkan cincin berlian untuk pasangan)
Screen Shot 2013-08-19 at 10.06.50 AM
 Diamonds Are Sham and It’s Time We Stop Getting Engaged to Them – Link
Lepas isu-isu yang ditimbulkan melalui artikel Memilih Cincin, si dia langsung tak boleh agak apa yang saya nak beli untuknya. Bak kata orang putih, the rest is history (terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang bagi respon, ada siap inbox lagi gambar cincin mereka).
Beberapa kali kena lecture dengan dia sebab kalau lalu kedai emas je saya cakap nak dapatkan cincin emas bentuk butterfly la, dragon la dan macam-macam lagi design yang pelik. ha ha ha.. Padan muka kat diri sendiri sebab panas telinga kena lecture, tapi seronok gak acah-acah dengan si dia.
Last-last masa nak sarung cincin tu terketar-ketar tangan dia lepas nampak mak keluarkan cincin dari beg. Priceless. Memang dengan sengaja tak letak cincin atas dulang sebab tak nak kasi dia nampak.
Romantik? I don’t know. Korang judge sendiri tapi pada saya, kisah unik macam ni lah yang akan jadi kenangan manis untuk saya dan pasangan ingat sampai bila-bila.

Tuesday, August 20, 2013

Maaf…Bukan ‘Couple’ Yang Ku Pilih

Jauh di sana.. Kamu lihat..
Dua insan bermadu kasih
Dalam ikatan tiada halalnya

Jauh di sana.. Kamu lihat..
Mereka bermesraan
Berbalas pesanan ringkas mahupun surat

Jauh di sana.. Kamu lihat..
Mereka ber ‘abang’ ‘sayang’
Bukan pada hak mereka

Semua itu indah bukan?
Namun semua itu.. jauh disana..
Ya!!
Semua itu jauh di sana..
Sesuatu yang kamu hanya mampu lihat..

Di sana itulah syurga dunia yang mereka cipta..

Janganlah kamu dekat apa  yang jauh itu!!
Itu bukan caranya!!
Biarkan ianya kekal jauh..

Di sini… ku ceritakn…

Pertemuan kamu dan aku satu takdir
Terdetiknya cintaku untukmu
Jua satu takdir

Kadang-kadang aku menangis!
Aku ingin seperti mereka..
Bermadu kasih dengan mu yang ku cintai
Ingin bermesra di sebalik pesanan ringkas itu..
Namun di sebalik 1 sen kredit ku untuk pesanan ringkas itu,
Wujud kesal di jiwaku

Ya!!
Aku ingin bermesra dengan mu atas dasar cinta dari Ilahi

Namun seperti ada sesuatu menyedariku
Membuatkan aku menangis
Membuatkan aku meratapi
Inilah yang menyedarkanku dari lamunan

Benarkah perbuatan ku untuk bermesra denganmu?
Benarkah tindakan ku atas cinta anugerah Ilahi ini?

Allah…Allah….Allah…
Cinta itu amanah!
Aku bertanggungjawab atas semua itu

Sanggupkah aku mengkhianati kesucian cinta itu?
Apa yang akan ku jawab di saat Sang Ilahi bertanya akan amanah itu?!

Justeru!
Ku tegaskan diriku!
Ku bangkitkan kesegaran hati dan iman ini!

Ku tinggalkan kamu yang aku cinta!
Demi Dia dan demi menjaga maruahmu…

Sungguh… sakit hati ini..
Perit dan pedih…

Dalam gelap malam
Air mata ini menitis..
Mengadu kerinduan dan kepedihan ini
Aku yakin!
Dia sedang mendengar rintihan ini..
Aku yakin!
Kebahagiaan akan datang jua..

Kadangkala air mata menitis lagi
Mengenangkan dia yang ku lupakan
Lupa pada zahirnya
Namun di hati, tidak akan pernah ku lupakan..

Terpahat di hati ini
“Aku melupakanmu kerana Dia”

Aku melupakanmu..
Kerana kasih ini..

Air mata kian bercucuran di segenap doaku..
Melalui keperitan ini…
Namun kerana ku dahulukan Dia sebelum dia..
Ku dahulukan cinta padaNya sebelum cinta padanya

Mana mungkin ku katakan kasih dan cinta padamu
Sedang aku memimpin tanganmu ke neraka…

Aku tidak ingin kamu hanyut dan karam di lautan ini
Hidup ini pelayaran..
Musnahlah keindahan dan kemanisan iman itu..
Andai haram pencemarnya..

Benar di bibir ini menyatakan
“aku melupakanmu”

Namun di hati dan di setiap doaku
Pasti ada kamu
Cinta, kasih dan sayang ini fitrah..
Tapi ini caraku melaluinya..

Berbeza dengan pasangan lainnya

Aku tidak memilih untuk bermadu kasih
Bermadu asmara di bawah rintihan hujan

Namun…
Saat aku mencintaimu..
Aku serahkan semua urusan antara aku dan kamu padaNya.
Aku memilih untuk mendekatiNya..

Kerana aku ingin, ukhwah ini suci dan ada barakah nya..

Penjagaan Dia terhadapmu adalah yang terbaik
Cukuplah hanya Dia menjaga mu
Bukan aku yang kerdil ini..

Aku ingin bersama mu ke syurga..
Syurga itu mahal nilainya
Justeru bukan jalan murahan yang harus di pilih

Biarlah hari ini, keperitan yang harus ku tempuh..
Bukan syurga dunia yang aku citakan
Namun syurga itu yang ku impikan

Andai jodoh aku dan kamu, pasti kita akan bertemu
Kan?

Thursday, August 15, 2013

10 FAKTA TRAGEDI YANG BERLAKU DI MESIR

Subhanallah, hari ini di kejutkan dengan berita keadaan Mesir yang huru-hara. Ya Allah, bantulah mereka untuk menegakkan kebenaran agamaMu. Kuatkanlah mereka ya Allah. 

Gambar di blur kesan daripada tembakan askar Mesir terhadap syuhadah ini. Otak terus terkeluar melalui lubang bekas kesan tembakan tersebut. Subhanallah. :'(

APA YANG SEDANG TERJADI? 


1. Mesir diishtihar darurat selama sebulan bermula jam 4 petang tadi.

2. Jeneral Abdul Fatah As-Sisi mengarahkan tentera menembak semua penyokong Dr Morsi.

3. Sehingga kini seramai hampir 3 ribu orang telah mati syahid dan lebih 10 ribu orang yang tercedera, termasuk dari kalangan kanak-kanak, ibu-ibu dan wanita.

4. Semua yang dibunuh adalah mereka yang tidak bersenjata.

5. Ambulan serta bantuan perubatan dihalang dari memasuki kawasan himpunan dan tidak dibenarkan memberi bantuan kepada mangsa.

6. Jurukamera turut ditembak dari udara menggunakan helikopter tentera.

7. Dr Morsi terus ditahan di suatu tempat yang dirahsiakan.

8. Tentera telah memusnahkan semua pusat pengumpulan makanan dan pusat perubatan para penyokong Morsi.

9. Kerajaan haram Mesir menutup semua rundingan. Mereka akan terus membunuh mana-mana rakyat yang menyokong Dr Morsi.

10. Lebih ramai rakyat Mesir mula bergerak dari pelbagai daerah dan kampung masing menuju ke medan perang untuk menyokong Dr Morsi dalam mempertahankan kerajaan Islam Ikhwan Muslimin.

Ayuh kita doakan kehancuran musuh Islam dan kemenangan umat Islam.

Tuesday, August 13, 2013

Usah Bersedih Jika Anda Belum Berpunya

  berpunya
Berpunya ke belum? | La moustache by =lieveheersbeestje

Ketika ramai rakan di sekeliling anda mempunyai teman di sisi, anda masih sendiri meniti hari yang mendatang. Tipulah jika tiada rasa cemburu kan?
Kerana fitrah manusia ialah ingin mencintai dan dicintai. Jika anda masih bersendirian,jangan bersedih.Kadang-kadang terlintas di fikiran kita,

“Bahagianya dicintai dan mencintai. Bilalah aku nak rasa macam tu”
“Kenapalah orang lain dah berteman? Aku seorang je yang single”
“Aku ni tak cantik/kacak ke sampai tak ada orang pun nak jatuh cinta dengan aku”
“Tuhan tak sayang aku agaknya. Sebab tu dia tak bagi aku pakwe / makwe macam kawan-kawan aku tu”

Bila kita bersendirian dan masih belum berpunya, bukan bermakna Allah tak sayang kita. Sebab Allah sayang kitalah, dia beri kita masa untuk bersendirian. Allah itu menguji kita dengan pelbagai bentuk ujian.
Mungkin kita diuji dengan bersendirian dan tiada teman di sisi.

Kawan-kawan kita yang berpunya itu tiada ujiankah?

Mereka juga sedang diuji. Dalam percintaan tidak selamanya bahagia sahaja.Adakalanya mereka bergaduh,berpisah dan sebagainya. Nampak tak ujian yang Allah turunkan itu berbeza buat hambaNYA?
Apabila kita bersendirian,kita dapat menghindarkan perkara-perkara yang menjerumuskan kita ke lembah dosa. Kita takkan terjebak dengan zina mata dan zina hati.Kita takkan terlibat dengan belenggu perasaan.
Tak perlu rasa bimbang jika kekasih hati berubah hati.
Mungkin anda belum berteman kerana anda belum bersedia. Bercinta bermakna anda perlu bersedia untuk dicintai dan bersedia untuk dilukai. Mungkin jika anda berteman sekarang, anda tidak mampu fokus dalam pelajaran.
Mungkin juga jika anda berteman sekarang, emosi anda akan selalu terganggu. Sebab itulah, Allah memberikan masa untuk anda bersendirian dan berdikari menempuh ranjau kehidupan ini.
Kita hanya mampu merancang kehidupan ini, tapi jangan lupa bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang.

Jika Allah memakbulkan doamu, itu tandanya sayangnya Allah kepadamu 
Jika Allah belum memakbulkan doamu, itu tandanya ujian Allah buatmu
Jika Allah tidak memakbulkan doamu, itu tandanya perancangan Allah lebih baik untuk masa depanmu.

Oleh itu,tak perlulah risau mengenai jodoh.Bila tiba dan waktu yang sesuai,anda pasti akan bertemunya.Jodoh kita sudah tertulis sejak azali.Teruskan berdoa semoga anda cepat bertemu jodoh yang ditentukan Allah.Yang penting teruskan memperbaiki diri supaya kita dapat jodoh yang baik.

Kenapa Lelaki Buncit Selepas Berkahwin?

Isu ni akan terlintas di fikiran semua lelaki yang berkahwin di Malaysia sebab dah jadi satu kebiasaan kita nampak kebanyakan lelaki Melayu akan membuncit selepas berkahwin.
Paling best, mereka salahkan hubungan kelamin suami isteri yang menyebabkan kebuncitan ni. Saya quote alasan yang popular ni:
Lelaki yang dah kahwin ni senang buncit disebabkan faktor kelamin sebenarnya. Kebuncitan lelaki ini berlaku apabila cecair daripada isteri yang mengalir masuk melalui alat sulit lelaki semasa hubungan kelamin akan membuatkan perubahan hormon yang membuatkan perut senang buncit. Bila ade sexual intercourse, orgasm & etc kelenjar pituari kat otak akan merembes hormon yang encourage cell growth.
Lepas kahwin, selalu ada sexual activities. Kadar testosteron menurun masa air mani keluar akan menyebabkan kadar metabolisme menurun. Sebab tu perut senang buncit sebab badan susah nak bakar lemak/kalori. Hormon estrogen (pengumpul lemak) yang tinggi dalam badan yang merosakkan hormon testosteron. Kurang hormon testosteron, muscle produced akan berkurang. 
Saya tak boleh terima alasan ni. Siapalah yang cerdik sangat keluarkan teori macam ni? Kalau betullah hubungan sex boleh jadikan seseorang itu boroi, maka kita ramailah lelaki muda yang bukan Islam boroi sekarang ni. Mereka sexually active sejak dari umur 18 tahun lagi.
Pada pendapat saya, ini alasan utama lelaki Melayu buncit selepas berkahwin:
  1. Tak bersenam. Selain daripada aktiviti ‘bersenam’ yang dilakukan di malam hari, lelaki Melayu kalau lepas kahwin jarang dah bersukan. Kalau masa bujang dulu, mungkin seminggu sekali ikut kawan bujang lain main futsal atau badminton, sekarang tak lagi. Yelah, dah kahwin mesti kena jaga isteri, mungkin pergi balik kerja bersama, ada juga yang tak nak tinggalkan isteri sorang-sorang kat rumah. Jadi dah takde masa untuk bersukan dengan rakan yang bujang.
  2. Bahan ujikaji isteri. Isteri baru belajar masak so nak cuba macam-macam resipi baru. Pada siapa lagi sang isteri ni nak mintak feedback kalau tak suami mereka? Bila dah masak, kenalah habiskan sebab kalau tak habiskan, takut isteri kecik hati. Betul tak?
  3. Kebanyakan perempuan suka makan. Mereka suka cuba macam-macam makanan, tapi mereka tak makan banyak. Beli macam-macam, order itu ini, last-last yang dimakan sikit je. Suami yang kena habiskan.
  4. Malas bersenam. Ni sepatutnya jadi alasan no. 1. Kebanyakan daripada kita malas bersenam dan hanya bersenam bila dah terlambat. Contoh: Dah nampak boroi barulah nak start jogging keliling tasik. Bersenam ni sepatutnya dijadikan rutin mingguan dengan tujuan untuk memastikan badan sentiasa sihat dan cergas, bukan semata-mata untuk mengempiskan perut yang buncit.
  5. Last sekali, makanan. Masakan Melayu ni memang kalori tinggi. Dulu-dulu, orang kita makan kalori tinggi takpe sebab mereka memerlukan tenaga banyak untuk bekerja membanting tulang di sawah padi. Sekarang tak lagi. Kerja dalam aircon, duduk depan komputer. Tak banyak guna tenaga. Bila digabungkan dengan faktor-faktor di atas, memang tak boleh elak dah masalah boroi ni.
Nah.. 5 alasan kukuh kenapa lelaki buncit selepas berkahwin. Jadi cukuplah dengan teori hubungan seks boleh jadikan seseorang lelaki boroi. Tak logik langsung.

Monday, August 12, 2013

Mari Menjadi Suami Yang Mempersona Isteri

Menjadi isteri yang mempersona suami?
Itu perkara biasa yang telah banyak dibincangkan dalam diskusi dan kesempatan. Tetapi tahukah anda wahai para suami, para isteri juga menginginkan lelaki yang mempersona sebagai suaminya.
Meski gambaran suami yang dikatakan mempersona itu boleh dikatakan subjektif, berbeza antara setiap perempuan dengan perempuan lain, tetapi dapat dikatakan secara umum kaum perempuan memerlukan pesona yang dapat lebih membuat mereka setiasa mencintai suaminya.
Boleh jadi selama ini si suami menyangkakan bahawa isteri kita mencintai kita kerana dia telah mendampingi, melayani, melahirkan dan mengasuh anak-anak kita.
Mungkin hal itu benar, tetapi untuk membuat perasaan isteri tidak berubah, tetap selalu mencintai kita dari waktu ke waktu memerlukan lebih banyak proses, perbuatan, tingkah laku yang semuanya bermula pada satu titik iaitu kita terus mempersona, sehingga dia menganggap kita layak untuk mendapat cintanya untuk selamanya.
Dibawah ini terdapat beberapa saranan yang dapat membantu kita untuk mempersona diri dimata isteri:

Mempersona dengan menjaga penampilan luar

Tidak disangsikan lagi bahawa penampilan luar dapat membangkitkan pesona pada jiwa perempuan. Suami yang dapat menjaga kebersihan dirinya, rapi dan wangi umumnya lebih mempersona berbanding suami yang comot, selekeh dan tidak menjaga kebersihan.
Bukankah Rasulullah SAW bersabda bahawa kebersihan itu cabang iman?
Umar bin Khattab ra pun pernah berkata, “Perempuan menyukai kalau suaminya berhias untuk dirinya, sebagaimana lelaki suka isterinya berhias untuk dirinya.”

Tidak Kaku dan Romantis

Suami seperti ini selalu mahu belajar memahami perasaan isterinya, mempunyai banyak cara dan gaya dalam mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada isterinya, juga tidak segan untuk menyatakan cintanya dengan kata-kata.

Berfikiran Terbuka

Suami seperti ini tidak segan mengungkapkan harapan, keinginan dan perasaannya agar isteri mengerti dan dapat melakukan hal yang sesuai dengan yang dikehendakinya.
Dia bukan suami yang diam dan membiarkan isterinya dalam kesulitan memendam apa yang diinginkannya.

Matang adalah Mempersona

Kebanyakan perempuan menginginkan suaminya adalah orang yang siap melindungi, membimbing dan dapat menjadi tempat bersandar. Lelaki yang matangseperti ini lebih mempersona perempuan berbanding yang masih kekanak-kanakan dan emosional.

Mengambil Berat dengan Keluarga

Adalah benar suami memiliki tanggungjawab dalam masalah nafkah, tetapi kesibukannya dalam pekerjaan atau hal lain tidak membuatkannya menjadi orang yang tidak acuh terhadap isteri dan anak-anaknya.
Dia mahu menemani anaknya belajar dan tidak keberatan mengantar isterinya pergi ke mana – mana.

Dapat Berkongsi Rasa

Suami yang mempersona mahu belajar bagaimana dapat merasakan apa yang sedang dirasakan isterinya.
Dia mahu mendengar dengan penuh perhatian ketika isteri sedang menceritakan permasalahannya, bersama merasakan kegelisahannya dan dapat membantu menenteramkannya atau mengatasi masalahannya.
Dia adalah tempat mengadu isterinya yang setia dan dapat dipercaya.

Mencintai Ibu bapa, Saudara dan Keluarga Isteri

Suami akan semakin mempesona isteri bila mencintai orang tuanya, menyayangi saudara-saudaranya dan bersikap baik kepada keluarganya. Dan jika sentiasa bersikap demikian maka percayalah isteri juga pun akan berusaha keras untuk mencintai orang tua kita dan bersikap baik pada saudara dan keluarga kita.
***
Jangan ragu dan gusar untuk melakukan tips – tips diatas. mulakan sekarang juga maka anda akan takjub mendapati limpahan cinta isteri yang seolah-olah tanpa batasan, kerana begitulah sifat dan karakter perempuan, dia akan memberi lebih dari apa yang anda berikan kepadanya!

Thursday, August 1, 2013

Menahan jiwa

Pengertiannya menyeluruh. Puasa bukan hanya tidak makan dan minum pada waktu siang hingga Maghrib tapi seseorang itu juga harus menjaga tertib diri, mengawal semua pancaindera daripada melakukan dosa termasuk mengata, berprasangka buruk dan sebagainya.
Itulah satu aspek yang acap kali diambil ringan masyarakat kita khususnya anak muda. Cukupkah tanggungjawab sebagai seorang Islam dengan hanya tidak makan dan merokok pada siang hari sedangkan tuntutan lain diketepikan?
Salah dan itu satu kesilapan besar yang sepatutnya dipandang serius bagi memastikan puasa kita sempurna.

Seimbas lalu menjawab persoalan ramai teman, bagaimanakah kita hendak memastikan puasa sebulan Ramadan benar-benar memberikan kesan kepada diri? Jawapannya mudah seperti diterangkan dalam pelbagai tulisan sebelum ini.

Tujuan ibadat puasa disyariatkan untuk melahirkan mukmin berjiwa bersih. Puasa paling berkesan ialah puasa mengikut segala tatacara digariskan Islam termasuk menahan diri daripada segala perlakuan yang membatalkannya.

Selain memperbanyakkan zikir dan syarat sah puasa lain, menjaga telinga supaya tidak mendengar kata-kata umpatan, nista, tuduhan palsu adalah syarat yang sudah digariskan bagi menjaga kesempurnaan puasa kita.

Inilah cara paling berkesan untuk menjadikan puasa yang sedang kita lakukan itu berkesan dan diterima. Pendek kata, puasa berkesan itu ialah puasa yang bukan sekadar melepaskan batok di tangga saja, sebaliknya memerlukan kepada iltizam terhadap syarat, adab dan rukun digariskan syariat Islam sepenuhnya.

Anda sudah baca dan faham?


Bukan perintah kering

Perlu mendirikan solat lima waktu sehari dan menjaga mulut daripada mengata. Malah telinga kita juga perlu dijaga supaya menjauhi anasir jahat yang gemar sekali berhasad dengki dan mengutuk. Puasa kita sia-sia jika hanya menahan lapar tanpa mengikut syariat lain yang sudah digariskan.

Menurut Allahyarham Profesor Dr Hamka, perintah puasa seperti juga perintah lain, bukanlah satu perintah kaku dan kering kerana ibadat puasa berupaya mengetuk hati, iman dan akidah. Amalan puasa dapat menyatukan akal dan perasaan, jiwa dan sanubari.

Selain sudut agama yang acap kali kita dengar mengenai kebaikan berpuasa, amalan ini turut memberi kesan dari sudut sosial juga. Ibadat puasa dapat mendidik kita menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri.

Sifat kehidupan dunia hari ini yang meletakkan hidup dalam lingkungan persaingan mendorong ramai dalam kalangan manusia menjadi individu yang egoistik dan individualistik. Jati diri manusia mudah tenggelam di tengah-tengah keegoan dirinya sehingga penyakit rohani seperti iri hati, hasad dengki, dendam dan permusuhan sesama manusia semakin berleluasa dalam masyarakat.

Justeru, puasa yang dilakukan dengan penuh penghayatan akan membawa kita kembali untuk hidup bermasyarakat. Ketika berpuasa, semua kehendak nafsu akan cenderung menjadi rasional oleh akal sehingga lapar dan dahaga yang dirasai itu mampu menghapuskan keangkuhan diri.

Kesedaran ini akan menumbuhkan rasa kasih sayang dan tanggungjawab sosial. Sifat ini akan menjadikan kita lebih peka terhadap orang kurang bernasib baik serta mereka yang berada dalam musibah.

Amalan puasa tidak sepatutnya dicemari dengan amalan keji seperti buruk sangka, kebencian, permusuhan, hasad dengki dan iri hati. Hendaklah kita menjauhi marah, mencaci dan mengata nista.

Rasulullah SAW pernah ditanya: “Apakah yang menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia?” Lalu baginda menjawab: “Bercakap dusta dan mengumpat.” 


Nak hitung pahala

Sayangnya, lebih ramai pula anak muda kita yang mengisi masa terluang dan saat bosan menunggu waktu berbuka itu dengan mengumpat dan memburukkan orang lain. Malah ada juga yang dengan beraninya memfitnah dan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum.

“Kau tahu tak, semalam aku ternampak dia dengan bos kita. Kan aku dah cakap, kau yang tak nak percaya,” kata seorang kawan di pejabat.

Itu contoh terbaik perbuatan sia-sia kebanyakan orang kita. Perut tahan lapar tapi mulut langsung tidak dipelihara. Kesannya, pahala puasanya entah bagaimana untuk dihitung dan mereka yang mendengar juga terperangkap kerana gagal memelihara telinga untuk menjauhi kata-kata jahat seperti ini.

Belum lagi pasangan kekasih yang kuat cemburu dan sentiasa berfikiran negatif terhadap pasangannya pada bulan puasa. Pantang sekejap kekasih hilang atau lambat membalas mesejnya, terus dituduh macam-macam.

Paling epik adalah sikap kebanyakan masyarakat kita yang masih tebal sikap iri hati dan hasad dengki terutamanya di pejabat atau institusi pengajian tinggi. Walaupun depan baik dan senyum lebar, tapi rupa-rupanya di belakang menyimpan rasa tidak puas hati walaupun sudah tinggal sejam untuk berbuka.

Beberapa situasi kelakar yang berlaku sepanjang bulan puasa dalam kalangan anak muda kita adalah pasangan kekasih akan cuba mengelakkan daripada berpegang tangan ataupun melakukan aktiviti maksiat seperti bulan lain.

Bagaimanapun, waktu malam akan ada ruang terkecuali iaitu boleh berpegang tangan kononnya sudah tidak dalam waktu berpuasa.

Ada juga yang mengenakan konsep bertudung sepanjang bulan puasa tapi sebaik tiba Aidilfitri, baju macam tidak cukup kain. Itulah realitinya remaja dengan ideologi dan konsep masing-masing.


Jauhilah prasangka buruk dan iri hati

Kenapa manusia perlu iri hati? Maksud iri hati berasal daripada perasaan tidak puas terhadap diri sendiri kerana melihat kesenangan orang lain. Rasa iri hati boleh melanda sesiapa saja dan di mana saja.

Bayangkan, di masjid atau surau pun ada berlakunya sikap jahat ini. Senario berlakunya rasa iri hati ini kerana orang lain lebih menonjol kepandaiannya mengurus aktiviti masjid atau surau. Jika di tempat kerja, ada iri hati pada rakan sekerja yang lebih berjaya dan menduduki jawatan lebih tinggi dan di dalam keluarga, iri hati kerana kakak atau adik lebih diperhatikan oleh orang tua dan sebagainya. Macam-macam jenis ada perasaan iri hati ini.

Perlu kita sedari bahawa perasaan iri hati tidak membawa kebaikan kepada kita, malah iri hati tidak merugikan orang lain selain diri kita sendiri.

Mengapa perlu menyeksa diri sendiri?

Orang yang iri hati akan rasa berduka cita atas kejayaan orang lain dan sebaliknya ia bersuka cita atas kegagalan orang lain. Ia tidak suka apabila ada orang lain lebih baik atau lebih berjaya daripada dirinya.

Manusia jenis ini juga cenderung kepada suka membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain, akibatnya diri sendiri menjadi sangat tertekan dan kehilangan rasa damai di hati dan jiwanya.

Oleh itu, harus segera dibuangkan perasaan ini kerana di mana pun kita berada pasti akan bertemu dengan orang yang mungkin lebih baik atau lebih berjaya berbanding diri kita.

Oleh itu, kita harus segera menilai diri sendiri, apa yang membuat kita menjadi iri hati terhadap orang lain. Daripada membuang masa dan tenaga untuk berasa iri hati, belajarlah melihat potensi terbaik yang ada di dalam diri kita untuk mencapai kejayaan seperti orang lain.

Apabila kita fokus pada apa yang kita miliki, sudah tentu kita akan rasa bersyukur dalam apa keadaan sekali pun. Namun apabila kita terlalu memikirkan apa yang tidak kita miliki dan melihat kelebihan orang lain, maka kita akan selalu berfikiran negatif dan tidak pernah rasa bersyukur.

Justeru, marilah sama-sama kita jauhi sifat iri hati, buruk sangka, hasad dengki terhadap seseorang dan yakinlah yang berlakunya sesuatu peristiwa itu kerana ketentuan dan takdir bukan kerana adanya sial pada sesuatu perkara.

Jika kita jauhi sifat ini maka kita akan menjadi hamba yang bersyukur dan memiliki akhlak mulia. Fikirkanlah kawan-kawan dengan akal untuk kita membezakan sesuatu yang baik dan yang buruk.