Salam Ramadan. Hari ini kita mula menjalankan ibadah puasa, semoga kita dapat menunaikan Rukun Islam ketiga ini dengan penuh keimanan dan keinsafan. Bukan hanya menahan lapar dan dahaga tetapi juga mengelak dosa kecil yang boleh menipiskan pahala puasa.
Apabila puasa, tentu akan ditanya, buka puasa di mana? Pada bulan puasa juga, nafsu makan memang hebat hingga semua yang teringat pada siang hari hendak dibeli. Maklumlah seharian tidak makan, mahu makan sepuas-puasnya sebaik saja azan Maghrib berkumandang.
Hakikatnya, ketika berbuka, kita hanya mampu menjamah sedikit. Jangan membazir, beli serba sedikit. Hari ini kuih dua jenis, esok yang lain pula, kan puasa sebulan...
Kemampuan membeli memang tiada masalah dalam kalangan kita apabila tiba soal makan. Namun jangan diikutkan, membazir itu amalan syaitan.
Kemampuan membeli memang tiada masalah dalam kalangan kita apabila tiba soal makan. Namun jangan diikutkan, membazir itu amalan syaitan.
Bagi yang ingin berbuka di luar, terutama hotel dan restoran, sana sini menawarkan bufet berbuka puasa dengan pelbagai tarikan dan harga.
Sebelum puasa, saya sempat menghadiri promosi berbuka puasa di Restoran Puteri, Sungai Penchala. Restoran milik penulis lirik dan produser, Habsah Hassan itu menawarkan masakan Melayu Asli & Asia Barat dengan lebih 25 jenis hidangan yang ditukar setiap hari untuk memberi kepuasan kepada pelanggan.
Menariknya, harga ditawarkan sangat berpatutan dan murah berbanding di tempat lain yang turut menyediakan bufet buka puasa.
Dengan harga RM68 (nett) untuk dewasa dan RM30 (nett) kanak-kanak, ia tidak membebankan ibu bapa untuk membawa anak berbuka bersama atau meraikan keluarga besar berbuka bersama di luar.
Ramadan juga bulan rezeki apabila ramai berniaga, sama ada di bazar Ramadan atau pejabat. Bagi artis, inilah masanya mereka kurangkan aktiviti berlakon dan menyanyi tetapi digantikan dengan perniagaan. Macam-macam boleh dijual daripada pakaian, tudung, aksesori hinggalah biskut raya.
Khamis lalu, penyanyi Deja Moss datang ke pejabat membawa kek lapis Sarawak. Kata Deja, dia baru melancarkan bas Trans Nasional ke utara yang paparkan iklan kek lapisnya.
Kerjasama dengan syarikat bas itu selama sebulan ini akan menarik perhatian orang ramai untuk mendapatkan kek lapis yang dibuatnya sendiri.
Macam-macam jenis kek lapis dihasilkan Deja, menunjukkan betapa kreatifnya mereka hingga menghasilkan kek bercorak unik dan menarik itu. Tidak perlu susah-susah mahu buat sendiri, beli saja daripada mereka yang pakar membuatnya.
Perniagaan ini diusahakannya sejak enam tahun lalu dan sepanjang Ramadan ini dia sibuk menyiapkan tempahan kek lapis di restorannya, Cafe Hadeeja di Ukay Perdana, Hulu Kelang.
Penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu Aku Di Jiwamu Dia ini manis bertudung sejak dua tahun lalu dan datang bersama suaminya Azfendy Azzuddin Ahmad.
Lama juga tidak bertemu Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss, tetapi orangnya tetap manis dengan senyuman dan ramah.
Deja akui sejak tiga tahun lalu tidak memenuhi undangan fotografi dengan media kerana malu dengan keadaan dirinya. Rupa-rupanya rawatan IVF yang dilakukannya dalam usaha mendapatkan cahaya mata menyebabkan kegemukan hingga berat badannya mencecah 90 kilogram.
Rawatan selama tiga bulan itu juga tidak berjaya, tapi Deja tidak putus asa serta terus berusaha dan berdoa supaya dikurniakan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga yang dibina sejak 30 Ogos 2008.
Kata Deja, hidupnya kini tenang dan sesekali kalau ada undangan menyanyi dia akan penuhi, tetapi tidak seperti dulu. Masih ada permintaan untuk menyanyi tetapi disesuaikan dengan keadaan.
Deja juga sempat berkongsi cerita mengenai dugaan dilaluinya sebelum berhijrah. Rasa resah dan takut dilaluinya setiap hari hingga tidak lena tidur dan hanya dapat melelapkan mata dua jam setiap malam. Selebihnya sentiasa dihimpit ketakutan dan keresahan.
Suami membawanya bercuti menenangkan fikiran tetapi hanya tenang sementara, keresahannya kembali hingga akhirnya suami memintanya menutup aurat dan mendekatkan diri dengan Allah.
Alhamdulillah, kata Deja, segala keresahan itu hilang sebaik dia nekad berhijrah pada Jumaat, 15 Jamadil Akhir, dua tahun lalu. Deja juga bersyukur berjaya menurunkan berat badannya hingga 58 kilogram dan mahu mendapatkan kembali berat badan asal 55 kilogram.
No comments:
Post a Comment