Friday, August 8, 2014

Berlagak tapi...

Ramai anak muda memiliki sikap ingin menonjolkan kelebihan atau sesuatu yang unik pada orang lain, tapi hakikatnya hanya memperbodohkan diri sendiri saja. HAZRIL MDNOR meneliti beberapa perlakuan demikian yang boleh menjatuhkan imej seseorang secara tidak langsung.
Remaja memang tidak dapat lari daripada keinginan menunjuk-nunjuk kebolehan diri sejak azali lagi. Ia bersebab dan punca utama adalah untuk menunjukkan diri rasa dihargai. Tidak kurang juga mereka yang dahagakan perhatian dan pujian orang lain walaupun perbuatan itu terbukti memalukan diri sendiri.
Tidak salah untuk buktikan kekuatan atau kelebihan yang diperoleh, namun kesalahan utama remaja adalah menjadi seorang yang ‘palsu’ di mata orang lain. Dalam erti kata lain, sesuatu yang ditonjolkan itu bersifat melampau dan tidak disokong fakta yang sahih. Lebih teruk lagi, ia boleh memberi kesan jangka panjang seperti trauma atau tekanan yang boleh memberikan impak negatif pada kehidupan individu itu.

Bukan saja menular dalam kalangan jejaka, tapi wanita juga turut memiliki ‘budaya’ demikian. Hanya untuk mencuri perhatian dan jadi lain daripada yang lain, tidak kisah lakukan apa saja sehingga diri dicerca dan diejek dengan kata-kata tidak elok. Perhatikan beberapa situasi yang biasa dilihat untuk mencuri perhatian, tapi pada masa yang sama memalukan diri sendiri seperti dibincangkan penulis di bawah.

Situasi 1 - Pandai tapi bodoh

Gejala ini memang kerap berlaku sebenarnya. Di mana-mana saja boleh dilihat seperti di kolej, universiti mahupun sekolah menengah. Seseorang anak muda itu akan menunjukkan kepandaiannya kepada teman seolah-seolah dia saja yang pandai dan tahu segala-galanya. Pendek kata, individu begini tampak saja berilmu pengetahuan, tapi hakikatnya diri sendiri kurang buat kajian.

Percaya atau tidak, individu ini akan bercakap banyak dan luahkan segala idea serta apa yang difikir paling relevan. Contohnya, apabila sedang berbincang mengenai sesuatu isu membabitkan agama, dia akan berbicara seperti ulama mengalahkan mereka yang sudah lama berkunjung ke masjid. Tapi, hakikatnya dia sendiri tidak mengamalkan apa yang diketahuinya dan hanya berlagak untuk menunjukkan kononnya diri seorang yang alim. 

Dalam hal lain, kita boleh lihat bagaimana seseorang itu bijak meluahkan idea dan mengatur rancangan dalam sesuatu perbincangan berkumpulan. Namun, pada masa sama dia tidak melaksanakan apa yang dicadangkan, sebaliknya menyuruh orang lain melakukannya. Nampak saja pandai, tapi bodoh kerana tidak komited dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Ia juga terjadi dalam situasi perbualan sesuatu topik. Individu sebegini akan mencelah apabila orang lain bercakap dan kemudian tidak henti-henti memberikan fakta mengenai topik itu. Namun, realitinya dia tidak menggunakan fakta yang sahih apabila berbicara dan itu menunjukkan dia kurang melakukan kajian dan hanya berlagak tahu menahu saja. Akhirnya, diri sendiri diketawakan rakan.


Situasi 2 - Kaya tapi poket kosong

Ramai anak muda sedar diri sendiri tidak berduit, tapi kerana ego melangit, tak ingin rasa kalah ketika bersaing dengan orang lain. Kerana terlalu gemar bergaul dengan rakan yang berduit, tidak kisah menipu asalkan diterima dalam kumpulan itu.

Contoh yang boleh dilihat apabila ditanya mengenai soal pemakaian. Sanggup menipu orang lain mengatakan pakaian dibeli dengan duit sendiri, tapi hakikatnya ia dibeli ibu bapa. Justeru, mereka sebenarnya tidak ada duit dan tidak memiliki pekerjaan tetap, tapi hanya mengharapkan bantuan ibu bapa. Alasan, hendak memuaskan hati sendiri dan enggan digelar tidak berduit oleh rakan sebaya.

Justeru, kerana terlalu ‘obses’ membeli pakaian mahal, diri sendiri melopong poket kosong di kemudian hari. Apabila keluar saja lepak, macam-macam digayakan dengan baju mahal dan seluar mahal. Lebih teruk apabila kerap menunjuk-nunjuk pakaian yang baru dibeli di laman sosial. Ramai orang menyampah dibuatnya. Namun, apabila tiba saja soal memilih gerai makan dan kawan ingin minta belanja makan, pasti terburu-buru cari restoran murah kerana poket kosong, wang dihabiskan pada pakaian dan lain-lain perkara tidak berfaedah. Kata orang, lebih baik berpada-pada dengan rezeki agar tidak memalukan diri sendiri.


Situasi 3 - Maco tapi hampeh

Ini juga banyak berlaku dalam kalangan kaum Adam di mana mereka memiliki fizikal lelaki sejati dan ciri-ciri maskulin, tapi sebenarnya hanya bayangan saja. Mungkin badan tampak gagah dengan saiz otot besar, tapi diri sendiri sebenarnya takut dengan binatang kecil seperti lipas. Jika kita nilai daripada pandangan masyarakat, lelaki gagah tidak gentar dengan segala cabaran, tapi realiti adalah sebaliknya.

Apabila lepak dengan rakan terutama golongan wanita, sikap yang ‘steady’ dan sentiasa tenang itu memang dapat meraih pujian gadis. Tapi apabila datang saja penjahat atau perompak, mulalah kelam-kabut kerana tidak mampu mempertahankan kaum wanita. Bukan itu saja, apabila badan sakit sedikit, empunya diri cepat mengeluh kesakitan walhal kecederaan tidaklah seteruk mana pun.

Satu lagi situasi boleh dinilai di mana lelaki yang kacak dan bergaya di hadapan wanita, tapi tiba saja di rumah boleh nampak ‘rupa’ sebenar perangainya. Lihat saja bilik, bukan main bersepah seperti tongkang pecah. Buku berselerak, makanan dan plastik merata-rata dan katil tidak dikemaskan. Mungkin nampak saja maco, tapi hakikatnya pemalas. Bukan main cepat bersiap dengan gaya ranggi dan minyak wangi berjenama untuk berjumpa si gadis, tapi bila sampai bab mengemas, sifat malas terbukti melekat dalam diri.


Situasi 4 - Banyak cakap tanpa henti

Memang benar ramai orang beranggapan bahawa bercakap banyak itu menunjukkan kita tahu macam-macam. Penulis percaya semua orang pernah terserempak atau ada berkawan dengan mereka yang mulut murai. Setiap masa berceloteh sehingga tak ada kesempatan untuk mencelah. Dalam erti kata lain, dia mempunyai banyak cerita untuk dikongsikan.

Percaya atau tidak, banyak berbicara sebenarnya boleh tingkatkan kemahiran komunikasi, tapi jika ia tidak dikawal, buruk padahnya. Dalam sesuatu perbualan, semua orang ada hak untuk menyuarakan pendapat dan berkongsi cerita. Namun, jika biarkan si mulut murai membuka mulut, tak sempat kita untuk berbicara. Justeru, perlakuan ini sebenarnya hanya menimbulkan perasaan tidak puas hati antara rakan.

Bukan saja tidak berpeluang untuk berbicara, ditambah pula dengan cerita yang tidak ingin didengar. Lama-kelamaan pasti akan timbul rasa bosan untuk melepak bersama. Hari-hari akan dengar cerita yang sama saja. Lain ceritanya kalau berceloteh tanpa ada omong kosong. Sekurang-kurangnya bercerita tentang masa depan dan sesuatu yang produktif pun sudah memadai untuk mengeratkan hubungan antara rakan.


Ubah persepsi

Itu hakikat yang nyata buat anak muda yang baru saja meningkat remaja dan berada dalam proses mengenal diri. Terasa aura yang kuat untuk menonjolkan kehebatan diri sendiri kepada orang lain. Tidak kurang juga kepada anak muda yang banyak mengalami kegagalan dalam hidup. Semua itu mendorong kepada sikap yang suka menunjuk-nunjuk. Walaupun tidak berniat, ia terbit dari sudut sanubari seseorang.

Memang tidak salah jika sekali-sekala ingin menghebohkan fesyen baru, tahu perkembangan semasa, tapi tak perlulah melampau-lampau hingga orang lain naik meluat. Untuk berubah, perlu tanamkan inisiatif dan keinsafan dari awal. Takkan sudah hilang ramai rakan baru terdetik rasa ingin berubah bukan? Gen Y ada caranya.

Cuba latih diri untuk percaya bahawa kita istimewa dan tidak perlu tunjuk pandai untuk menarik perhatian. Dengan menjadi seorang yang rendah diri, itu sudah cukup untuk memberi persepsi pada orang bahawa kita unik dan ada ilmu pengetahuan. Jauhkan segala sikap takbur, sombong dan ego yang ada pada kamu. Sebenarnya sikap ini membawa kepada pertelingkahan dan lebih teruk lagi ‘putus’ kawan. Bukan semua orang senang dengan sikap kita.

Dalam al-Quran juga menekankan agar kita perlu sentiasa rendah diri dan tidak riak dengan apa yang ada. Bersyukur dengan nikmat dan kebolehan sendiri tanpa perlu heboh pada satu dunia, itu yang harus diterapkan dalam diri. Buang sikap bongkak kerana itu hanya memberikan persepsi buruk pada orang lain serta menjauhkan mereka daripada kita.

Tidak perlu menjadi ‘palsu’ semata-mata ingin memperoleh pujian. Lebih elok menjadi diri sendiri daripada dicerca orang ramai kerana terlalu mencuba untuk menukar personaliti dan menjatuhkan imej.

Gemuk

Tak salah untuk kita makan sepuas-puasnya bermula hari pertama Aidilfitri. SHUHADA MANSOR faham ada yang ingin lepas geram selepas sebulan ikat perut untuk berpuasa. Apabila risau berat badan naik mendadak, kenapa perlu bising sedangkan ia salah sendiri. Kawal nafsu supaya tak menyesal di kemudian hari.
Sejak hari pertama Ramadan kita didendangkan dengan lagu raya. Perut kosong berpuasa pastinya tidak sabar untuk meraikan Aidilfitri kerana lebaran boleh dikatakan seperti pesta makanan. Ketika kita tidak keruan menanti kehadiran Aidilfitri yang sememangnya menyajikan pelbagai makanan tradisional dan moden, doktor pula sedia berdepan dengan rungutan pertambahan berat badan.
Berjuta-juta rakyat di negara ini secara tradisi meraikan perayaan ini dengan menziarah sanak-saudara. Dan setiap kunjungan pastinya tidak sah jika tidak disajikan dengan makanan tradisi tanpa memikirkan kandungan gula, lemak dan sebagainya.

Penulis akui, walaupun tiada kajian mengaitkan majlis perayaan dengan pertambahan berat badan, pandangan beberapa pakar kesihatan bersetuju ramai pesakit mengunjungi mereka selepas berterusan memakan hidangan seperti rendang daging dan juadah berasaskan ayam. Bising dengan kenaikan berat badan dan sakit lain yang datang, siapa patut disalahkan?

Salah sendiri

Luahan seperti berat badan naik lima kilogram, baju dah ketat antara sesalan yang malas didengar. Pengakuan ini mungkin kerap didengari selepas Aidilfitri. Mengapa tidak, jemputan rumah terbuka mulai 1 Syawal hingga hari terakhir perayaan tidak putus-putus diterima.

Penulis percaya, mungkin ramai menyedari perubahan fizikal diri, namun sukar mengawal nafsu makan. Selain itu, ada juga yang merasa sukar menolak pelawaan pihak yang menjemput atau tidak sampai hati andai tidak dijamah juadah yang dihidang di depan mata. Konflik menjaga hati tuan rumah akhirnya memakan diri.

Biarpun perlu menghadiri banyak majlis rumah terbuka, ia bukanlah alasan tidak mengawal pengambilan pemakanan atau melupakan amalan diet. Perlu diingatkan, makan secara tidak terkawal pada musim raya adalah berbahaya bagi individu yang mengalami masalah kesihatan apatah lagi memakan makanan berlemak tinggi seperti daging dan ayam tanpa ada had.

Isu ini dikongsikan Hospital Pakar KPJ Selangor, Norhafizah Zainal Arifin pada 2009 dalam artikel bertajuk ‘Tip Selamat Kurangkan Berat Badan’ dengan berkata, adalah sesuatu yang normal setiap kali selepas musim perayaan, beliau didatangi ramai orang yang mahu mendapatkan nasihat kerana berat badan naik secara mendadak.

“Musim perayaan dan undangan rumah terbuka tidak sepatutnya dijadikan alasan melupakan kepentingan pemakanan seimbang. Kegembiraan beraya tidak akan berkurangan biarpun kita mengawal pemakanan. Ini kerana kita bukannya tidak boleh merasa setiap juadah enak yang digemari, tetapi kuantiti makanan yang dijamah perlu dikawal,” katanya.


Adakah normal

Disebabkan isu ini sering menjadi topik hangat sepanjang Aidilfitri, penulis tertanya-tanya adalah normal berat badan bertambah selepas hari raya? 

Beberapa pandangan pakar kesihatan menyatakan situasi ini biasa berlaku apatah lagi di musim perayaan. Penganjuran rumah terbuka dengan menyajikan bermacam-macam juadah pasti membuatkan tetamu tidak dapat menolak keinginan untuk menjamah makanan dihidangkan.

Hidangan yang disajikan untuk jamuan rumah terbuka selalunya juadah tradisi seperti lemang, ketupat, rendang, lontong dan pelbagai sajian lain yang kebanyakannya mempunyai kadar kandungan lemak tinggi. Oleh itu, jika seseorang yang sering menghadiri rumah terbuka, tetapi tidak prihatin untuk mengawal pemakanan, kebarangkalian mereka mengalami kenaikan berat badan adalah tinggi.

Tiada siapa akan melarang anda untuk bersuka ria, tetapi dalam pada bergembira menghadiri jamuan rumah terbuka, ingatlah! Bagi anda yang tidak mahu berat badan bertambah atau mereka yang ingin mengekalkan berat badan ideal, harus berhati-hati memilih makanan.


Cara berat tidak naik mendadak

Berdasarkan beberapa tip kesihatan dan panduan pemakanan, rata-rata berpendapat sebaik-baiknya apabila memilih juadah, mulakan dengan mengambil buah-buahan terlebih dulu. Ini kerana ia dapat membuatkan perut kita rasa ‘terisi’ sebelum menikmati makanan lebih berat.

Apabila perut ‘terisi’, secara tidak langsung kita tidak akan rasa terlalu lapar hingga mengambil makanan dalam kuantiti berlebihan daripada sepatutnya. Selain itu, jangan paksa diri makan apabila sudah terlalu kenyang. Cuba kawal nafsu walaupun juadah yang disajikan sangat memikat selera.

Jangan salah faham, artikel ini bukannya menyuruh anda untuk tidak boleh langsung mencuba setiap juadah yang digemari di jamuan rumah terbuka. Anda boleh merasainya, cuma pastikan pengambilan dalam kadar sedikit atau berpatutan.

Fokus utama membabitkan makanan yang tinggi kandungan kalori. Memang agak sukar untuk mengawal nafsu makan apabila pelbagai juadah yang nampak enak terhidang di depan mata. Tetapi demi mengelak bertambahnya berat badan secara mendadak yang boleh menjadi punca kepada masalah lain, perlu beringat setiap masa.

Walau apapun alasan anda untuk ‘lepas geram’ selepas sebulan berpuasa, perlu diingat, berat badan bukannya mudah untuk diturunkan dalam masa singkat jika tidak mengamalkan pemakanan seimbang dan bersenam. Justeru, jangan ambil mudah dengan menikmati makanan sesuka hati, tetapi akhirnya susah hati apabila sukar menurunkan berat badan. Tiada salahnya ‘berjuang’ melihat makanan enak sepanjang lebaran asalkan tidak terseksa untuk menurutkan berat badan di kemudian hari.

Monday, August 4, 2014

Warkah Cinta Untukmu, Ayah & Ibu

Salam.. Selamat meraikan syawal disamping keluarga yang tercinta; Ada yang ceria, tidak dilupa juga yang sedang berduka. Semoga Allah merahmati kita semua.
Apakah aku masih berpeluang untuk bertemu Ramadhan yang seterusnya? Hanya Allah yang tahu..
Warkah ini mungkin tiada kaitan dengan anda; Tapi bacalah, semoga beroleh manfaat darinya.
===

WARKAH CINTA UNTUK AYAH & IBU

Assalamualaikum..
Untuk AYAH & IBU yang aku cintai…
Kalian berdualah jiwa ku.. Yang selalu memberikan semangat dan senyum dalam hari-hariku.. Senyum kalian, adalah kehidupan bagiku.. Tangisan kalian, adalah kehancuranku.. Keringat yang bercucuran di wajah kalian, adalah inspirasiku..
Duhai IBU..
Tanpa engkau aku tak akan menjadi seperti ini. Dengan semangatmu yang kuat, aku dapat berdiri tegak di tengah goyahnya jiwaku di terpa pelbagai dugaan. Tanpa mu, aku hanyalah gadis kecil yang tak akan mengerti tentang tenangnya jiwa seorang perempuan yang gagah.
IBU, suaramu begitu merdu aku dengar. Di kala kau menceritakan sebuah kisah sebagai penenang tidur ku. Tapi itu dulu IBU.. Dulu.. sebelum aku mengenal kata-kata teguranmu. Namun, di usia ku yang ke 19 ini, aku malu jika kau masih memarahiku. Entah mengapa? Aku tak ada alasan yang tepat sehingga aku malu mengakuinya. Ya.. begitu sombongnya aku. Namun, begitu aku selalu merindukan hal itu IBU.
IBU, kau adalah perempuan yang paling kuat yang pernah ku kenali. Aku pernah mendengar ceritamu mengenai Sayidatina Siti Khadijah R.A, isterinya baginda Rasulullah SAW, seorang yang penyabar dan tabah semangatnya dalam mengharungi hidup kepada pesuruh Allah yang agung.
Tugas dan tanggungjawab sebagai isteri dengan memberikan dorongan dan semangat kepada Rasulullah SAW dilaksana sebaik mungkin.. Ya IBU.. hebatnya beliau!
Siapa yang tak kenal akannya.. Dan mungkin masih banyak lagi wanita-wanita lain yang sama seperti mereka, atau hampir sepertinya..

IBU, KAU PERMATA HATIKU

Namun, di mataku.. kaulah wanita yang paling tabah itu IBU! Kaulah perempuan yang tak pernah dan tak ingin kalah dengan semua keadaan hidup yang begitu sukar di jalani.
IBU, kau bagaikan malaikatku.. Sewaktu kecil, begitu telitinya kau menjagaku.. Tidak akan kau biarkan seekor nyamuk pun yang menggigiti kulit halusku di waktu itu.. Di saat aku sakit, kau rela tidak tidur untuk menjagaku dan mendamaikan hatiku.. Sentuhanmu, membuatku tak berdaya. Ya.. bagaikan terusap oleh hembusan angin di kala senja.
Tapi, apa yang dapat ku berikan pada mu saat ini IBU? Tidak ada! Aku hanya dapat menyusahkanmu.. Membuatmu sedih dengan semua kata-kata dan perbuatan yang terkadang menyakitkan hatimu.. Aku hanya membuatmu gelisah, ketika aku lupa waktu pulang kerana kesibukanku sebagai mahasiswa, lalu terkadang aku bertanya? Apakah Allah akan memaafkanku, dengan apa yang telah aku lakukan pada mu IBU?
Dengan selembar kertas ini. Aku mohon maaf pada mu IBU. Aku tahu, maafku tidak akan bererti apa-apa. Kerana di dalam lubuk hatimu, kau selalu menutup kesalahanku yang begitu banyak ini, dengan CINTAmu yang begitu sangat besar.
Ya.. aku belum mampu membahagiakanmu saat ini IBU.. Namun, di setiap sujudku, namamu selaluku panggil. Jikalau waktu dunia tak berkehendak untuk kita selalu bersama, tapi aku yakin, di akhirat nanti kita akan saling berpelukan, sambil menikmati indahnya syurga akhirat.. Amin..

AYAH, BERKORBAN APA SAJA

AYAH.. wajahmu selalu tegar.. Walau kulitmu sudah mula kerepot, dan tubuhmu tidak lagi segagah yang dulu.. Namun, aku masih sangat mengenalimu sebagai seorang lelaki yang selalu memberikan semangat dan cinta hingga rela berkorban untuk sang anaknya yang naif ini.
Betapa sering aku mengecewakanmu AYAH.. Dengan semua keluh kesahku padamu. Dan betapa tak sedar dirinya aku. Ketika aku sampai marah padamu, kerana engkau tak memberikan belanja yang cukup padaku..
Padahal disebaliknya, keringatmu mengalir deras, untuk mendapatkan sedikit wang demi memberi nafkah dan menyekolahkan anaknya ini.. Lalu kau tak lena tidur di waktu malam, untuk memikirkan hari esoknya.
AYAH, aku begitu takut. Dikala doktor berkata bahawa kau harus banyak berehat. Penyakit darah tinggi yang telah menyelamimu sejak puluhan tahun yang lalu, memaksa dirimu untuk berhenti bekerja, dan berhenti memikirkan hal-hal yang berat..
Dari itu ku tahu AYAH.. Begitu berat beban yang kau rasakan. Aku sempat berfikir, akan adakah waktu untukku memberi khidmat kepadamu? Namun secepat mungkin aku menghilangkan fikiran itu. Kerana sesungguhnya, aku belum siap untuk kehilanganmu.. Aku mencintaimu AYAH..
Aku tahu, kau hanya sempat menghabiskan pelajaran sekolah rendahmu. Kau tak sempat mengecapi rasanya menjadi seorang mahasiswa. Namun, begitu hebatnya kau AYAH. Tekad mu sungguh sangat besar untuk menyekolahkan kelima-lima anakmu ini untuk menjadi sarjana-sarjana yang kau banggakan..
Aku tahu, itu semua tidaklah akan terhasil dari sebuah pengorbanan yang sangat besar. Sekarang, tiga anak mu sudah menjadi sarjana AYAH... Dan kami telah berjanji bersama. Untuk membahagiakanmu nantinya.

AYAH.. IBU..

Ketika aku menuliskan surat cinta ini, air mataku tak henti mengalir membasahi pipiku. Kerana aku malu AYAH.. IBU.. aku malu pada diriku sendiri. Yang belum mampu membahagiakan kalian. Aku malu, dikala aku selalu saja meminta, meminta dan terus meminta, tanpa memperhatikan keadaan kalian sebenarnya..
Aku sangat mencintaimu, AYAH.. IBU.. sangat mencintai kalian..
Maafkanlah aku.. maafkanlah aku, yang belum mampu membalas cinta kalian seutuhnya. Aku yakin, Allahlah yang akan membalasnya, lebih besar dari apa yang mampu kami lakukan nanti..
Ketika surat ini telah kalian baca keseluruhanya, aku ingin sebuah pelukan hangat dari kalian berdua.. Aku ingin mencium kaki kalian, dan meminta maaf padamu, AYAH, IBU.
Ya.. hanya menulis sebuah surat ini yang mampu aku lakukan.. Wajah kalian, akan menjadi kekuatanku, di saat aku lemah. Menjadi inspirasiku, di saat aku diuji. Dan menjadi cita-citaku, untuk selalu membahagiakan kalian..
Amat besar hajat di hati anakmu ini AYAH, IBU membawakan kalian bersama kami anak-anakmu ini bersama para pecinta ilmu keKonvensyen 'The Bidadari' & 'School of Sahabah' pada 30 & 31 Ogos ini di Putrajaya. Hanya ini secebis kasih yang mampu aku sumbangkan dan harapkan kalian dapat bersamaku.
Terima kasih AYAH..
Terima kasih IBU..
Aku mencintaimu AYAH..
Aku mencintaimu IBU..

Saturday, August 2, 2014

Tak rugi tak kawan

SHUHADA MANSOR mahu Gen Y sedar ada beberapa jenis kawan yang perlu dielakkan. Tak beri apa-apa kesan dalam hidup kalau kita tak berkawan dengan orang yang bersifat negatif. Jika mempunyai kawan seperti yang diterangkan di bawah ini, berhati-hatilah atau kalau boleh, tinggalkan saja.
MENGUNGKIT
Kadang-kadang dalam persahabatan ada masa kita kenalah berkorban sedikit. Ada harinya kita susah, ada hari kesusahan orang lain. Tak perlulah nak berkira ataupun nak mengungkit. Adat jika kawan tak cukup duit, kita hulurkan yang mana termampu untuk menolongnya. Tolong untuk menyenangkan kawan.

Tapi jika ada kawan yang hanya waktu anda senang mencari anda dan apabila susah menghilangkan diri. Lebih baik tinggalkan saja. Bukannya menghasut, tetapi individu jenis ini seperti tidak pernah menghargai persahabatan kerana anda pernah membantunya waktu susah dulu tapi apabila anda susah, dia hilangkan diri, malah berkira walaupun untuk membayar segelas teh ais.

HIPOKRIT

Sesiapa pun tidak boleh terima sekiranya ada kawan jenis ini. Lebih mudah dikatakan ‘talam dua muka’. Depan kita karakter punyalah baik, orang kata pijak semut pun tak mati tapi di belakang bukan main mengutuk kita. Kalau ada kawan jenis talam dua muka ini seelok-eloknya elakkan daripada kita membuka mulut kongsi perihal orang lain dengannya. Lebih-lebih lagi di zaman teknologi serba moden, belum sampai dua minit, habis semua perkara dijaja dan sampai ke telinga orang lain.


MENGHASUT

Ini antara karakter utama rakan yang perlu kita elakkan. Bahasa mudah untuk mereka ini adalah ‘batu api’. Kawan jenis ini suka mengapi-apikan orang lain. Jika anda bergaduh perihal kecil dengan kawan lain, mungkin mereka ini akan menambah cerita hingga membuatkan anda bergaduh besar dengan rakan terbabit. Difahamkan, orang jenis ini tidak mudah mengaku kalah, apatah lagi mengaku kesalahannya. Lebih teruk ada antaranya sanggup memastikan kawan yang tak disukainya jatuh menyembah bumi.


PENGAMPU

Kawan jenis ini selalunya akan setuju dengan semua yang kita lakukan tidak kira betul atau salah. Dia tidak berani menyatakan kebenaran. Dia tidak pernah menegur walaupun kita sedang melakukan kesilapan. Hakikatnya dia tidak jujur dan tidak ikhlas berkawan dengan kita. Semua perbuatannya seolah-olah ibarat ‘ada udang di sebalik batu’ (ada motif tertentu yang kita tidak tahu).


SUKA HIBURAN

Elakkan bergantung kepada hiburan sekiranya ada masalah. Kawan jenis ini ramai. Dia menjadi kawan kita hanya untuk tujuan berseronok-seronok. Mereka ini akan mengajak kita kepada perkara yang sia-sia contohnya pergi konsert, kelab malam atau ‘melepak’ tanpa arah tujuan dari lewat malam hingga pagi buta. Apa yang ada dalam kepalanya hanya nak berseronok. Cuba anda ajak dia pergi masjid atau majlis agama, jika dia hanya ketawakan anda, eloklah anda tinggalkan mereka. Tiada ada faedah untuk simpan kawan jenis ini.

Puasa Syawal

Dalam tempoh 29 hari menyambut Aidilfitri kecuali raya pertama, kamu semua berpeluang berpuasa sunat enam hari untuk menambah pahala. MURSHID EUNOS sengaja kongsi kebaikannya, ganjaran di sebaliknya dan bagaimana untuk kita sama-sama mencubanya tahun ini.
Berpuasa tidak terhenti selepas bulan Ramadan berlalu pergi. Raikan kejayaan kita selama berpuasa wajib pada bulan Ramadan dengan makan segala juadah Aidilfitri ketika hari pertamanya itu. Tapi masuk hari kedua Syawal, kita semua diberikan lagi peluang untuk terus menambah ‘point’ saham akhirat dengan berpuasa sunat enam.
Selalunya yang membuatkan kita semua alpa akan komitmen sunat ini adalah kesibukan masing-masing yang meraikan Syawal hingga melebihi manfaat yang diberikan. Masing-masing sibuk untuk berkunjung ke rumah sanak saudara dan teman-teman selain penuh dengan undangan rumah terbuka.

Macam mana pula nak menjamu selera di rumah terbuka kalau kita masih berpuasa? Itulah alasan yang acap kali kita gunakan. Penulis sendiri mengakuinya selain puasa sunat enam ini bukanlah tanggungjawab wajib sebagaimana bulan Ramadan.

Justeru, puasa sunat ini jarang sekali kita lakukan. Namun bukanlah itu mengukur secara total akan rutin anak muda kerana tidak dinafikan, masih ramai juga remaja yang tidak berhenti mencuri peluang untuk melakukan puasa sunat enam ini kerana memahami setiap manfaat yang diperoleh.

Apa kata kali ini, kita sama-sama rancang masa dan carilah enam hari dalam masa sebulan Syawal untuk melengkapkan amalan sunat berpuasa enam ini. Kita pasti tidak menyesal.

Rasulullah pernah bersabda, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” Bayangkan, itu kelebihan yang sudah dijanjikan untuk kita jika berjaya melakukannya.

Manfaat lain puasa enam Syawal termasuk sebagai penampal terhadap segala kekurangan amalan puasa pada bulan Ramadan. Semua amalan mendekatkan diri kepada Allah pada Ramadan tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia itu, selama dia masih hidup.

Malah mudah berpuasa selepas Ramadan menandakan diterimanya puasa Ramadan kerana melakukan kebaikan kemudian diteruskan dengan kebaikan lain, maka ia sebagai tanda terkabul amal pertama. Allah menjauhkan orang yang berpuasa enam daripada api neraka dengan jarak 70 tahun. Puasa selepas Aidilfitri sebagai tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadan.

Mungkin juga ramai yang tidak mengetahui bahawa berpuasa selama enam hari ini juga mempunyai hikmah tertentu dari sudut kesihatan manusia. Setelah merehatkan sistem pencernaan selama sebulan pada bulan puasa, pasti perut akan terkejut dengan kedatangan Syawal yang dipenuhi dengan pelbagai jenis juadah istimewa yang perlu dicerna.

Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Alangkah baiknya jika amalan puasa yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam pada bulan Ramadan diteruskan juga pada bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini menunjukkan bahawa ibadat puasa yang dilakukan bukanlah semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan, akan tetapi perasaan diri sebagai seorang hamba yang taat dan patuh dalam merendahkan diri mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Perlu difahami yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa enam hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadan, tapi kelebihan puasa setahun itu diperoleh setelah dilengkapkan puasa Ramadan dan disambung dengan puasa Syawal.

Ini bermakna puasa sehari dalam bulan Ramadan samalah seperti puasa sepuluh kali dan jika sebulan Ramadan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ia adalah 10 kali ganda. Puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan enam hari menyamai 60 hari iaitu dua bulan.

Maka jika ditambah 10 bulan dengan dua bulan samalah seperti puasa setahun.
Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat enam Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada ganti, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dulu enam hari puasa ganti dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa enam Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Antara hikmah disyariatkan puasa enam hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan tertentu seperti Ramadan, bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin pada permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.

Justeru, apa kata, Gen Y dan penulis sendiri ingin mencabar kawan-kawan untuk memulakan mengumpul pahala sunat yang besar ganjarannya ini. Jangan asyik sibuk memikirkan rendang dan ketupat sehingga baring tersandar.