Wednesday, May 19, 2010

MAD'U CARI DA'IE ATAU SEBALIKNYA



Saya terpanggil untuk mencoret sesuatu yang saya rasa ada rasionalnya jika dikongsikan dengan sahabat bagi sama-sama kita lihat konteks situasi sekarang ini.

Setelah secara zahirnya kita ditiupkan roh oleh Allah utk hidup dimuka bumi ini. Kita sebagai manusia mempunyai suatu sifat yang kuat dalam diri kita iaitu sifat ingin tahu. Sifat ingin tahu inilah juga boleh dikatakan sebagai ilmu pengetahuan. Pada umur awalnya kita disuap dengan pelbagai ilmu pengetahuan melalui pengalaman dan juga suapan dari masyarakat disekeliling kita.Sebabnya, banyak sekali sisi-sisi kehidupan yang menjadi pertanyaan dalam diri kita.

Namun disini bukanlah ingin membicarakan mengenai ilmu, tetapi apa yang saya ingin ketengahkan ialah konteks isu semasa yang saya perhatikan dari kaca mata sendiri. Untuk lebih jelas, saya sebenarnya ingin membicarakan mengenai suatu situasi dimana guru ( duat ) mencari pelajar ( mad'u ) atau sepatutnya pelajar ( mad'u ) mencari guru ( duat ). Guru ( Duat ) Mencari Pelajar ( Mad'u ) Dalam konteks yang bagaimana duat perlu mencari mad'u nya?

Persoalan ini ingin saya lontarkan kepada kepemimpinan masyarakat mahupun masyarakat yang saya kategorikan sebagai faham. Bagi saya sebagai masyarakat yang sedar, faham dan mempunyai ilmu atau juga seorang da'ie, mereka perlu sedar bahawa dibahu mereka sebenarnya tertanggung satu beban. beban yang diamanahkan dan diberi kepercayaan kepada mereka untuk melaksanakan tugas untuk menyeru manusia kepada Allah (ad-da’wah ila Allah) adalah kewajipan setiap muslim dan muslimat di setiap masa.

Terutamanya di zaman kita ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam. Menyeru manusia kepada Allah adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah. Firman Allah yang bermaksud:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.” (Fushilat: 33)

Menyeru manusia kepada Allah menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Jika Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.” (Riwayat at-Tabrani)

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t dan kepada jalan yang benar, adalah sebaik-baik urusan dan amat perlu diketengahkan, terutama di zaman ini yang berkecamuk dengan pelbagai kefahaman dan ideology, trend semasa yang memperbodoh, menyesat dan menyelewengkan.

Menyeru manusia kepada Allah adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’arif (memperkenalkan), yang mendahului marhalah takwin (pembentukan).



Melalui pemerhatian saya terhadap masyarakat kita, kita akan mendapati bahawa kelemahan iman atau kelumpuhan iman di jiwa, adalah kerana tidak memahami hakikat Islam dengan sebenarnya dan serangan pemikiran adalah faktor utama yang menyebabkan masyarakat berada dalam suasana yang ada pada hari ini. Ia juga merupakan faktor utama yang membolehkan musuh-musuh Allah menjadikan sebahagian kaum muslim sebagai kuda tunggangan mereka untuk memerangi Islam; secara mereka sedari ataupun tidak.

Janganlah diharapkan kesedaran, tindakan, amal atau hasil yang baik untuk Islam daripada mereka ini, melainkan setelah iman dibangkitkan dari dalam jiwa mereka terlebih dahulu. Dengan itu iman akan mendorong mereka kepada mengenal Allah dan memahami Islam, beramal dan berjuang untuk Islam serta mempertingkatkan diri kepada martabat para ‘amilin yang soleh.

Mungkin apa yang saya perkatakan diatas merupakan suatu konteks yang besar iaitu masyarakat, baik, kita perkecilkan kepada suasana kampus. Sebagai da'ie, perkara yang sama juga kita perlu lakukan bagi menarik lebih ramai mad'u untuk diberi kefahaman. Saya bercakap berdasarkan pemerhatian bahawa perlu ada tindakan dari dai'e tuk mencari mad'u kerana kebanyakkan mad'u yang baru ini sebenarnya sedang mencari identiti mereka yang sebenar.

Masa yang paling ideal untuk para da'ie bertindak ialah ketika semester pertama lagi. Ini merupakan masa yang paling sesuai bagi memandu mad'u yang baru memahami perjuangan seorang mahasiswa dikampus, bukan hanya sebagai pelajar, menduduki peperiksaan atau ujian, akan tetapi juga sebagai mahasiswa yang bersama dalam perjuangan Islam.

Pelajar ( Mad'u ) Mencari Guru ( Da'ie ). Namun begitu, mad'u sebenarnya tidak terlepas begitu sahaja. Sebelum itu, setuju atau tidak jika sayaa katakan bahawa da'ie juga mad'u dan mad'u juga da'ie? Saya katakan demikian berdasarkan hadis dari nabi dimana : "Sampaikanlah dariku walau satu ayat"

Maknanya disini, mad'u yang menerima suatu ilmu agama juga perlu menyampaikan apa yang dia pelajari. Maka disini mad'u tadi juga orang yang menyeru ataupun da'ie. Jadi setelah apa yang si mad'u itu peroleh, seharusnya dia perlu mencari kebenarannya. Melalui siapa? Tentulah melalui seoarang da'ie. Mad'u yang cintakan ilmu dan faham apa yang disampaikan dai'e ditambah pula dengan rahmat Allah, insyaAllah akan terus mencari, memperbaiki dan mengubah hidupnya supaya diredhai Allah.

Kesimpulan Jadi disini jelas bahawa kedua-dua situasi ini perlu ada dalam suasana atau waqi' sebagai seorang dai'e mahupun mad'u, mad'u perlu mencari seorang dai'e dan dai'e juga perlu mencari mad'u. Ini kerana, kedua-duanya saling memerlukan bagi menghasilkan sebuah masyarakat yang faham, beramal dan berjuang untuk Islam keseluruhannya. Wallahu a'lam.

Hakikat Ilmu Seorang Hamba

Ramai yang tahu kepentingan mencari ilmu. Hatta, wahyu yang pertama diturunkan pada Rasulullah saw pun berbunyi 'IQRA' iaitu 'Bacalah!'. Tetapi, mengapa wahyu menyuruh Rasulullah saw membaca sedangkan baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca)?

Hakikatnya, 'baca' di sini bukan bermaksud membaca apa yang bertulis, tetapi apa yang tidak bertulis. Perkara yang tidak bertulis i.e yang tersirat jauh lebih banyak, yang tidak semua manusia mampu 'membacanya'.

Maka, ayat lengkap wahyu tersebut ialah "اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ" yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan". Jadi, ilmu yang kita ada semestinya perlu sampai kepada hakikat ketuhanan. Kalau belum, maka tidak sempurnalah ilmu itu.


Rasulullah S.A.W. telah bersabda :
العلم علمان : فعلم في القلب فذالك هو العلم النافع ؛ وعلم على السان فذالك حجة الله على ابن آدم

"Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu yang ada dalam hati (disertakan amal), maka itulah yang bermanfaat; dan ilmu (yang hanya) berada di atas lidah (tanpa diamal), maka itulah ilmu (yang menjadi) hujjah Allah (untuk mendakwa kesalahan) terhadap anak Adam." - [Riwayat Ibnu Syaibah dan Al Khatib]

Kata Imam Ghazali RahimahulLah Ta’ala :

"Ilmu yang meemberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah Ta’ala; (ilmu) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu; (ilmu) yang menambahkan ibadahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya; (ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia; (ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat; (ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya; (ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaithan dan tipuannya". - [Bidayatul Hidayah]

Kegagalan Mengajar Erti Kehidupan

Persoalan yang selalu kita dengari jika seseorang itu menghadapi kegagalan ialah; kenapa aku gagal sedangkan aku telah berusaha bersungguh-sungguh?, berdoa siang dan malam, akan tetapi kejayaan tidak juga muncul tiba. Di mana silapnya aku? Adakah Tuhan tidak menyayangi aku?

Bagi menjawab persoalan ini, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang saya telah jelaskan semasa usrah tersebut. Semoga kita semua mendapat manfaatnya. InsyaAllah.

Berusaha Untuk Memilih Kejayaan

Imam Abu Hassan al-Asyaari memperkenalkan teori al-Kasbu (usaha) di dalam membincangkan kudrat Allah Taala dan perbuatan manusia, iaitu pandangannya adalah pertengahan di antara golongan Jabariyyah dengan Muktazillah. Golongan Muktazillah berpandangan bahawa manusia yang menciptakan perbuatannya sendiri. Golongan Jabariyyah pula berpendapat bahawa manusia tidak mempunyai kuasa untuk mencipta perbuatan apatah lagi berusaha untuk melakukan sesuatu. Manakala Imam Abu Hassan al-Asyaari berpandangan bahawa manusia tidak mempunyai kuasa untuk mencipta perbuatannya akan tetapi berkuasa untuk berusaha.

Beliau menafsirkan al-Kasbu dengan maksud ia adalah kuasa hamba untuk melakukan perbuatan yang mana perbuatan tersebut diciptakan oleh Allah Taala. Bagi hamba (manusia), al-Kasbu tidak memberikan kesan yang nyata di dalam perbuatannya. Ini bermakna segala perbuatan yang diusahakan adalah sesuatu yang dikuasai oleh kuasa bersifat baharu yang diciptakan oleh Allah Taala kepada manusia.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Padahal Allahlah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuatkan itu."
(Surah al-Soffat: Ayat 96).

Daripada teori al-Kasbu ini, dapatlah kita fahami bahawa setiap manusia diberikan pilihan samada untuk memilih kebaikkan ataupun memilih keburukkan. Jika kita memilih dan berusaha ke arah kebaikkan maka kebaikkan yang kita perolehi. Namun jika kita memilih dan berusaha ke arah keburukkan maka keburukkan yang kita perolehi. Ini bertepatan dengan peribahasa Melayu: Jika tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah ar-Rad: Ayat 11).


Dugaan Kegagalan Setelah Berusaha

Di dalam menjalani liku-liku kehidupan, kita tidak akan dapat lari daripada diuji dengan pelbagai dugaan dan rintangan daripada Allah Taala. Ujian yang datang tidak kira masa dan siapa sudah tentulah tersembunyi segala hikmah dan akan menjadikan diri kita lebih kuat.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."
(Surah al-Anbiya: Ayat 35).

Setelah kita penat berusaha bersungguh-sungguh untuk memilih kebaikkan dan kejayaan, sebagai umat Islam yang menyakini kekuasaanNya, kita disarankan untuk berdoa memohon diperkenan daripadaNya. Ini kerana Allah Taala sentiasa mendengar segala permohonan dan rintihan hamba-hambaNya.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
(Surah al-Baqarah: Ayat 186).

Walaubagaimanapun, kadang-kala apa yang kita doa dan pohon tidak semestinya diperolehi dan dimakbulkan pada ketika itu. Jika berlaku perkara ini, kita perlulah berbaik kepada konsep mengimani Qadha dan Qadar iaitu:

- Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala yang berlaku di dunia ini samada ia sesuatu kebaikkan ataupun keburukkan.

- Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki kuasa mutlak menentukan urusan di dunia ini walaupun kita diberikan pilihan untuk berusaha bersungguh-sungguh.

- Menyedarkan bahawa hakikat manusia itu lemah dan perlu kepada Allah Taala.

- Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.

Selain itu, dugaan juga datang bersama tujuan dan hikmah yang tersembunyi. Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara itu berlaku. Hikmah itu pula kadang-kala kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung tidak kita ketahui sehingga akhir hayat kita.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."
(Surah al-Mulk: Ayat 2).




Sabar Di Atas Segala Dugaan

Dengan dugaan kegagalan, kita belajar erti kesabaran. Ada ulama mentakrifkan sabar ialah menjauhkan diri daripada mengingkari, tenang ketika menelan kepahitan bala serta menampakkan ketidakperluan kepada makhluk ketika ditimpa kefakiran di dalam menempuh ranjau kehidupan. Malah Syeikh Sayyid al-Jurjani di dalam kitabnya Tarifat mentakrifkan sabar ialah tidak mengadu tentang penderitaan bala kepada selain Allah Taala.

Kesabaran di atas musibah dan kegagalan yang menimpa ialah dengan menyakini bahawa kehidupan di dunia ini adalah medan ujian dan cubaan. Allah Taala akan menguji iman hambaNya dengan pelbagai jenis musibah dan dugaan. Dia juga menduga hamba-hambaNya yang beriman dengan pelbagai cabaran agar Dia membezakan di antara orang yang jahat dengan yang baik dan yang beriman dengan yang munafiq.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Alif Lam Mim. Apakah patut manusia menyangka bahawa mereka (hanya) dibiarkan (sahaja) berkata: Kami telah beriman sedangkan mareka belum diuji."
(Surah al-Ankabut: Ayat 1-2).

Musibah dan dugaan ini pasti akan datang samada terhadap harta benda ataupun diri sendiri. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala bermaksud:

"Demi sesungguhnya, kamu pasti akan diuji pada harta benda dan diri kamu."
(Surah ali-Imran: Ayat 186).

Firman Allah Taala lagi bermaksud:

"Demi sesungguhnya, Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta denda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikkan dari Tuhan mereka serta rahmatNya."
(Surah al-Baqarah: Ayat 155-157).

Tidak syak lagi bahawa orang mukmin yang sejati akan menanggung musibah ini dengan sabar dan penuh pasrah, bahkan dengan redha dan gembira. Kerana dia pasti musibah ini tidak diturunkan oleh Allah Taala kecuali untuk menghapuskan dosa-dosa serta menghilangkan kejahatan di dalam dirinya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Tidak ditimpa seseorang muslim itu daripada kepenatan, kesakitan, dukacita, kebimbangan, penderitaan, kesedihan dan tusukan duri sekalipun melainkan dengan perkra tersebut Allah Taala menjadikannya sebagai kifarat terhadap kesalahan-kesalahannya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Selain itu, musibah dan dugaan itu juga adalah untuk mengangkat darjat orang-orang beriman kepada satu darjat dan kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah Taala. Jika mereka menerimanya dengan penuh kesabaran dan keredhaan maka Allah Taala akan mengangkat lagi darjat mereka itu.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Apabila Allah telah mendahulukan kedudukan seseorang hamba kepada satu kedudukan yang tidak mampu dicapai dengan ilmunya maka Allah mengujinya pada tubuh badan, keluarga serta harta bendanya, kemudia Allah menjadikannya sabar terhadap ujian yang menimpa sehinggalah dia mencapai kedudukan yang telah disediakan oleh Allah Taala."
(Riwayat Abu Daud).

Redha Dengan Segala Ketentuan-Nya

Dengan kegagalan jugalah akan mengajar kita erti keredhaan. Syeikh Sayyid al-Jurjani di dalam kitabnya Tarifat telah mentakrifkan redha ialah perasaan senang hati dengan kepahitan qadha atau takdir. Manakala di dalam kitab ar-Risalah al-Qusyairiyyah menukilkan kata-kata Imam al-Muhasabi dengan mentakrifkan redha ialah hati tenang di bawah ketentuan hukum.

Rasulullah S.A.W. telah menerangkan bahawa orang yang redha dengan ketentuan Allah Taala merupakan manusia yang paling kaya kerana dia adalah orang yang paling gembira dan tenang, paling jauh daripada dukacita, sedih, marah serta kesempitan jiwa. Kaya bukanlah dengan banyaknya harta benda dan wang ringgit, tetapi kaya itu adalah kayanya hati dengan iman dan redha.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Bertakwalah kamu terhadap perkara-perkara haram nescaya kamu menjadi manusia paling beribadah. Redhalah dengan apa yang ditentukan Allah kepadamu nescaya kamu menjadi manusia paling kaya."
(Riwayat Tarmizi).

Redha juga merupakan sebab yang kuat untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Manakala kemurkaan pula merupakan sebab kesengsaraan di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Di antara kebahagiaan anak Adam ialah dia redha dengan takdir Allah kepadanya dan di antara kesengsaraan anak Adam ialah dia meninggalkan pilihan Allah Taala dan di antara kesengsaraan anak Adam juga ialah kemarahannya terhadap apa yang ditentukan Allah Taala kepadanya."
(Riwayat Tarmizi).

Yakinlah bahawa Allah Taala tidak redha kepada hambaNya kecuali setelah hamba itu redha kepadaNya di dalam semua hukum dan perbuatanNya. Di sebabkan itulah kita perlu redha di atas dugaan kegagalan yang menimpa diri kita ini.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah."
(Surah al-Bayyinah: Ayat 8).

Syukur Di Atas Nikmat-Nya

Kegagalan juga dapat mengajar kita erti kesyukuran. Sebahagian ulama mendefinasikan syukur ialah hati yang sentiasa teguh mencintai pemberi nikmat, anggota sentiasa mentaatiNya dan lidah sentiasa bergerak menyebut dan memujiNya. Imam Ibnu Abidin di dalam kitab Dalil al-Falihin mentakrifkan syukur ialah mengiktiraf nikmat serta melaksanakan khidmat. Sesiapa yang banyak melakukannya dia dinamakan orang yang benar-benar bersyukur.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan sedikit sekali dari kalangan hamba-hambaKu yang bersyukur."
(Surah Saba: Ayat 13).

Kegagalan yang kita hadapi kini adalah secebis sahaja daripada episod kehidupan yang penuh kesenangan, sedangkan nikmat yang diberikanNya sebelum ini terlalu banyak jika hendak dihitung dan dikira. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala bermaksud:

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya kamu tidak dapat menghitungnya."
(Surah Ibrahim: Ayat 34).

Syukur merupakan makam (kedudukan / peringkat) yang tertinggi bagi pengamal Tawasuf kerana ia melibatkan hati, lidah dan anggota. Allah Taala juga menyuruh kita banyakkan bersyukur dan menegah kekufuran sepertimana firmanNya bermaksud:

"Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengufuri (nikmat) Aku."
(Surah al-Baqarah: Ayat 152).

Allah Taala menyifatkan sebilangan besar manusia tidak bersyukur sedangkan betapa banyak kelebihan dan nikmat daripadaNya yang telah diberikan. Hanya sekali sekala dugaan datang, ia sesekali tidak akan melenyapkan nikmat dan kesenangan yang telah dikurniakanNya sebelum ini. Begitu jugalah jika dilihat pada dugaan dan ujian yang menimpa orang lain, alangkah bersyukurnya kita kerana dugaan yang kita perolehi tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan orang lain. Tidakkah kita bersyukur lagi?

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai kurnia yang besar (yang diberikanNya) kepada manusia, tetapi kebanyakkan mereka tidak mensyukuri."
(Surah an-Naml: Ayat 73).

Kesimpulan

Dalam mendepani ujian atau musibah yang melanda diri, kita sentiasa diingatkan supaya sentiasa bersabar dan menerimanya dengan hati yang terbuka serta penuh redha. Inilah panduan yang cukup berharga untuk diri kita agar kita dapat mengatasi setiap dugaan kegagalan ini dengan penuh ketakwaan kepadaNya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah."
(Riwayat Tarmizi).

Bergembiralah bagi sesiapa yang diberikan ujian! Bergembiralah juga bagi sesiapa yang sabar dan redha dengan ujian tersebut!

Dugaan kegagalan mengajar kita erti berusaha lebih kuat. Kegagalan mengajar kita erti berdoa setelah kita lalai daripada mengharapkanNya. Kegagalan juga mengajar kita erti kesabaran dan keredhaan dengan segala dugaaNnya. Kegagalan turut mengajar kita erti kesyukuran setelah mendapat nikmat kejayaan. Kegagalan itulah yang mengajar kita erti kembali kepadaNya setelah diri lupa dan leka mengingatiNya.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali (kepada kebenaran)."
(Surah al-Araf: Ayat 168).

Kegagalan mengajar kita erti kehidupan!

Friday, May 14, 2010

Keistimewaan Air Mata

Siapa kata menangis tak ada gunanya? Lama kelamaan menangis memang boleh membuatka...n mata merah dan bengkak. Tapi jangan salah anggap kerana menangis dan mengeluarkan air mata ternyata boleh jadi ubat ajaib yang berguna bagi kesihatan tubuh dan fikiran.

Apa saja? Ini dia 7 keajaiban yang bisa Anda dapatkan setelah menangis dan berair mata.

1. Membantu penglihatan

Air mata ternyata membantu penglihatan seseorang, jadi bukan hanya mata itu sendiri. Cairan yang keluar dari mata dapat mencegah dehidrasi pada membran mata yang boleh membuat penglihatan menjadi kabur.

2. Membunuh bakteria

Tak perlu obat tetes mata, cukup air mata yang berfungsi sebagai antibakteria yang alami. Di dalam air mata terkandung cairan yang disebut dengan lisozom yang dapat membunuh sekitar 90-95 persen bakteria-bakteria yang tertinggal dari keyboard komputer, pegangan tangga, bersin dan tempat-tempat yang mengandung bakteria, hanya dalam 5 minit.

3. Meningkatkan mood

Seseorang yang menangis bisa menurunkan level stress kerana dengan menangis, mood seseorang akan terangkat kembali. Air mata yang dihasilkan dari menangis karena emosi mengandung 24 percent protein albumin yang berguna dalam meregulasi sistem metabolisme tubuh dibanding air mata yang dihasilkan dari iritasi mata.

4. Mengeluarkan racun

Seorang ahli biokimia, William Frey telah melakukan beberapa kajian tentang air mata dan menemukan bahwa air mata yang keluar dari hasil menangis karena emosional ternyata mengandung racun.
Tapi jangan salah, keluarnya air mata yang beracun itu menandakan bahwa ia membawa racun dari dalam tubuh dan mengeluarkannya dari mata.

5. Mengurangi stres

Bagaimana menangis bisa mengurangi stres ? Air mata ternyata juga mengeluarkan hormon stres yang terdapat dalam tubuh yaitu endorphin leucine-enkaphalin dan prolactin.
Selain menurunkan level stres, air mata juga membantu melawan penyakit-penyakit yang disebabkan oleh stres seperti tekanan darah tinggi.

6. Membangun komunikasi

Selain baik untuk kesehatan fisik, menangis juga bisa membantu seseorang membangun sebuah komunikasi. Biasanya seseorang menangis setelah menceritakan masalahnya di depan teman-temannya atau seseorang yang boleh memberikan sokongan, dan hal ini boleh meningkatkan kemampuan berkomunikasi dan juga bersosial.

7. Melegakan perasaan

Semua orang rasanya merasa demikian. Meskipun Anda didera berbagai macam masalah dan cubaan, namun setelah menangis biasanya akan muncul perasaan lega.
Setelah menangis, sistem limbik, otak dan jantung akan menjadi lancar, dan hal itu membuat seseorang merasa lebih baik dan lega. Keluarkanlah masalah di pikiranmu setelah menangis, jangan dipendam karena Anda biasa menangis meledak-ledak.

Sunday, May 9, 2010


sempena hari yg baik ini.....
nk ucap berbanyak2 terima kaseh kt ibuku tercinta perngorbanan mu sungguh tinggi nilainya...
xterbalas oleh ku....

along sayang Ma....
kami semua sayang Ma sgt...

Tanpa Ma, siapalah kami....

terima kaseh byk2 ma...


Saturday, May 8, 2010

Bonda..
Selamat menyambut hari ibu.. Bagi ku.. Tiada satu hari pun yang khas hari ibu, kerana hari-hari aku menyintaimu..
Bonda.. Terima kasih aku ucapkan..
Kerana..

Bonda kandungkanku selama sembilan bulan
Tapi Allah berikanku roh kehidupan

Bonda lahirkanku dengan izinNya
Tapi Allah lengkapkanku dengan anggota

Bonda suapkanku makanan harian
Tapi Allah sedarkanku nikmat makanan dariNya

Bonda didikku dengan didikan Islam
Tapi Allah hadiahkanku erti hidup dalam Islam

Bonda ajarkanku alam kehidupan di dunia
Tapi Allah tunjukkanku batas-batas hidup untuk bersama denganNya

Bonda ajarkanku mengenali al-Quran
Tapi Allah anugerahkanku kefahaman al-Quran

Bonda berikanku duit untuk bekalan kehidupan
Tapi Allah berikanku nikmat dalam mengurus kewangan

Bonda tunjukkan jalan untukku mendengar ilmu-ilmu agama
Tapi Allah kurniakanku hidup bersama orang-orang yang cintakan agamaNya

Bonda bersusah-payah membesarkanku kerana kemiskinan
Tapi Allah anugerahkanku nikmat kelazatan selepas kesusahan

Bonda bersedih bila aku berjauhan dengannya
Tapi Allah berikanku hati yang selalu ingat padaNya

Bonda gembira dengan kejayaanku
Tapi Allah memahamkanku bahawa kejayaan tetap dariNya

Terima kasih bonda.. Syukur Ya Allah...

Sunday, May 2, 2010

Warkah Sepi Buat Emak

Emak...
Terlalu bosan rasanya duduk membilang hari. Sudah hampir sepuluh bulan emak pergi tapi rasanya baru semalam emak peluk Alang dan sejuk syahdunya masih terasa lagi. Emak andainya emak tahu itu lah pertama kali emak peluk anak emak yang nakal ni sejak Alang semakin dewasa dan itu juga kali terakhirnya.

Rupanya emak dah tahu yang emak ingin pergi jauh, hendak tinggalkan anak-anak emak, hendak tinggalkan dunia yang fana ini. Emak seperti sudah bersedia. Seminggu sebelum emak pergi, emak sudah menganyam tikar mengkuang sebanyak tiga helai. Akak beritahu sampai ke pagi emak menganyam tikar tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih sehingga akak pun berasa hairan.

Emak tidak pernah seperti itu. Semasa menganyam emak pasang radio kecil di sebelah emak tetapi emak seolah-olah tidak menyedari bahawa rancangan radio itu siaran siam dan kadang-kala siaran indonesia. Emak terus tekun menganyam. Rupanya tikar yang telah mak siapkan itulah yang di gunakan untuk mengiringi emak ke kuburan.

Emak juga sapu sampah sekeliling rumah sehingga bersih, emak jemur permaidani-permaidani, emak ubahkan sofa ke tempat lain dan emak biarkan ruang itu kosong. Rupanya, di situlah jenazah emak diletakkan.

Emak turut berpesan di mana semua duit dan barang kemas emak diletakkan. Ada yang dekat dalam almari, dekat dalam dalam beg, ada dalam ASB, ada dekat dalam Tabung Haji dan emak cakap kalau tidak berapa cukup lagi emak ada simpan dekat dalam gulungan tikar. Pada masa itu emak sedar tak Alang gelak apabila emak beritahu duit dalam gulungan tikar. Alang kata emak ni memang "fesyen" lama dan emak cuma gelak sahaja. Bahagianya saat itu.


Emak.....
Hari itu, hari sabtu 18/08/1999 pukul 3 petang emak tiba-tiba sakit perut. Apabila malam itu apabila Alang sampai dari Kuala Lumpur emak sudah dalam kesakitan. Akak dan abang dekat kampung semua dah pujuk tetapi emak tetap tidak mahu ke hospital dan cuma tinggal giliran Alang sahaja yang belum pujuk emak.

Emak kata emak tidak mahu duduk di hospital tapi Alang berkeras juga pujuk emak. Alang cakap nanti di hospital ada doktor, ada ubat untuk emak tetapi dekat rumah kami hanya mampu sapu minyak dan urut sahaja. Emak tetap tidak bersetuju tetapi akhirnya apabila melihat keadaan emak makin teruk sampaikan nak sentuh perut emak pun sakit, kami adik beradik sepakat hantar juga emak ke hospital.

Emak...
Ampunkan kami semua. Kami hendak emak sihat. kami sayang emak. Kami tidak mahu emak sakit sebab itulah kami terpaksa juga hantar emak ke hospital. Ampunkan kami emak.

Emak...
Malam itu abang bawa emak ke hospital dan itulah pertama dan terakhir kalinya emak naik kereta Alang. Masih terbayang betapa ceria dan gembiranya emak apabila Alang cakap hendak membeli kereta. Emak asyik tanya duit cukup atau tidak. Dan Alang cakap kalau tidak cukup kan emak banyak duit. Emak gelak sahaja.

Bila Alang sudah mempunyai kereta emak buat kenduri kesyukuran dan masih ingat lagi apabila Alang terlanggar Ah-Chong naik motor. Kerana takut Alang 'warning' kakak supaya jangan sesekali beritahu dekat emak. Bila balik sahaja kampung Alang cepat-cepat simpan kereta dalam garaj tetapi emak perasan juga 'bumper' depan kemek.

Emak tanya kenapa dan Alang jawab terlangar pokok bunga. Emak bukan tujuan Alang untuk menipu tapi cuma tidak mahu emak risau. Maafkan Alang kerana sampai emak pergi emak tidak tahu hal yang sebenar. Emak, Alang menipu emak, ampunkan Alang.

Emak...
Jam 4.30 pagi 19/08 /2006. Apabila tiba sahaja di hospital, jururawat tengah balut emak dengan kain putih. Emak mesti nampak Alang jatuh terduduk di lantai hospital. Mesti emak nampak abang cium dahi emak. Mesti emak nampak akak baca doa untuk emak. Mesti emak nampak adik terduduk dekat kerusi dekat sudut itu. Mesti emak nampak semua kan?

Emak...
Pagi itu balik dari hospital jam 5.20 pagi, Alang memandu dalam keadaan separuh sedar. Adik dekat sebelah diam melayan perasaan. Kenangan bersama emak berputar dalam kepala ini. Jalan di hadapan terasa makin kelam, airmata dah tidak mampu di tahan. Masa itu seandainya apa-apa terjadi di jalan itu Alang rela. Namun alhamdulillah, akhirnya Alang sampai juga di rumah. Sepanjang perjalanan terasa kedinginan subuh itu lain benar suasananya. Terasa syahdu dan sayu.

Emak...
Alang masih ingat lagi, Alang membaca Al-Quran dekat tepi emak dan temankan emak. Jam 11.00 pagi emak sudah di mandikan. Anak-anak emak yang pangku emak semasa emak dimandikan. Emak mesti rasa betapa lembutnya kami mengosok seluruh tubuh emak. Alang gosok kaki emak perlahan-lahan. Emak perasan tak...?

Makcik yang mandikan emak memujuk Alang
. Mak cik tu kata;

"Dik...jangan nangis...kalau sayang mak jangan buat gitu...jangan nangis ya.."

Bila makcik itu cakap macam itu lagi laju airmata ini mengalir tetapi Alang kawal supaya tidak menitis di atas emak.

Emak...
Sampai sini surat ini Alang tulis. Alang menangis ni tapi dekat dalam bilik. Baru pukul 4.00 pagi tiada orang yang bangun lagi. Alang dengar nasyid tajuk "anak soleh", Alang sedih, Alang rindu dekat emak! Nanti bila Alang selesai sembanyang subuh, Alang baca Yassin untuk emak. Emak tunggu ya!


Sebelum muka emak di tutup buat selamanya semua anak-anak emak mengelilingi emak. Menatap wajah emak buat kali terakhirnya. Semua orang kata emak seolah-olah senyum. Masa itu Alang sentuh dahi emak, Alang rasa dahi emak sejuk sangat. Alang tidak mampu hendak cium emak. Alang tidak berdaya. Alang tuliskan kalimah tauhid kat dahi emak dengan air mawar dan airmata mengalir tanpa boleh ditahan.

Emak mesti ingat kan yang anak emak ini jadi imam solat jenazah untuk emak tetapi Alang suruh tok imam bacakan doa sebab Alang sebak. Jam 12 tengahari emak diusung keluar dari rumah, Akak pula sudah terkulai dalam pelukan makcik. Badan akak terasa panas.

Emak..
Anak emak yang seorang itu demam. Cuma akak sorang sahaja anak emak yang tidak mengiringi emak ke tanah perkuburan.

Emak.....
Hari-hari yang Alang lalui tanpa kewujudan emak terasa begitu kehilangan. Setiap malam selepas maghrib anak emak ini mesti berendam airmata. Sampai satu tahap waktu itu malam jumaat selepas maghrib. Selesai Alang baca yassin dengan kawan-kawan, Alang keluarkan gambar-gambar emak dekat dalam bilik. Semakin Alang tenung terasa semakin sayu dan tangisan tidak dapat dibendung.

Emak...
Alang cuba bertahan dan memujuk diri sendiri tetapi tidak juga reda. Alang rasa ingin telefon emak, hendak cakap dengan emak. Anak mak yang ni dah tak betul kan???? Dan akhirnya dalam sedu-sedan itu Alang telefon ke kampung, Alang cakap dengan akak. Alang nangis lagi, puas akak memujuk Alang, akak kata..." tak baik laa nangis aje..doa lah untuk emak.." . Dan akhirnya akak juga menangis.

Emak...
Di saat itu kerinduan terasa menusuk sehingga ke hulu hati, rasa pilu sangat. Menusuk-nusuk sehingga terasa begitu sakit di dalam dada ini. Sampai sekarang apabila kerinduan itu menjelma hanya sedekah Al-Fatihah yang mampu Alang berikan.

Emak...
Cukuplah sampai sini dahulu. Kawan Alang dah ketuk pintu bilik ni. Kejap lagi kami hendak pergi solat subuh kat masjid. Selalunya, Alang yang bawak emak naik motor tetapi kali ini Alang jalan kaki dengan kawan. Esok Alang ingat hendak tulis surat dekat ayah pula. Mula-mula Alang tidak tahu hendak hantar ke mana surat ni tetapi kawan Alang cakap simpan sahaja buat kenangan.

Akhir kata untuk emak, I LOVE YOU SO MUCH dan jutaan terima kasih kerana membesarkan Alang dan memberi seluruh kasih sayang dari kecil sampai masuk sekolah, sampai masuk universiti, sampai Alang boleh rasa naik kapal terbang, boleh rasa duduk dekat negara orang. Sampai akhir hayat ini jasa emak tidak akan mampu Alang balas.

Sekian terima kasih,

Yang Benar,
Alang