Wednesday, April 6, 2011

Jangan Harap Orang Lain Buat Untuk Kita


Dunia ketika ini sedang memasuki akhir zaman. Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa manusia di zaman ini sudah tidak mementingkan agama. Barangkali agama hanya dianggap sebagai ritual semata-mata.
Ia mungkin sudah tidak menjadi sistem dalam kehidupan. Agama boleh dikatakan hanya digunakan di tempat dan keadaan tertentu sahaja. Misalnya, apabila mahu berkahwin, barulah agama digunakan. Sedangkan dalam sistem kehidupan yang lain, agama dipinggirkan.
Benar atau tidak, ramai daripada kita kelihatannya sudah tidak tahu membezakan antara Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Boleh dikatakan mereka tidak mempedulikan apakah yang Ain itu dan apakah pula yang Kifayah. Ain adalah wajib, sementara kifayah itu untuk direbut. Siapa yang cepat, dialah yang dapat. Bahkan menjanjikan banyak pahala.
Kita sudah tidak pedulikan semua berkenaan. Fardu Kifayah dilupakan terus. Manakala Fardu Ain pula bagaikan tiada. Entahkan mereka tahu atau tidak. Mungkin dalam kertas peperiksaan, mereka mampu mendapat keputusan yang cemerlang. Namun, untuk diamal, bagaikan tidak melekat di hati.
Contoh yang terbaik adalah makan. Fardu Ain itu adalah makan apabila lapar. Semua orang lapar dan semua orang akan makan bila lapar. Makan itu wajib. Andai tidak makan, ia akan menjadi mudarat. Ia tidak memerlukan kita untuk mewakilkan kepada orang lain untuk makan. Apabila diri kita kebulur, bukankah kita sendiri yang wajib untuk makan. Maka atas sebab itulah dalam perkara fardu ain, kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mengingatkan kita. Kita sendiri yang bertanggungjawab ke atas diri sendiri.
Kejahilan
Begitulah situasinya. Apabila ilmu Fardu Ain ditinggalkan. Untuk mengejar Fardu Kifayah apatah lagi. Kejahilan dalam mendalami dan mengamalkan Fardu Ain bertambah parah apabila usia semakin menaiki kedewasaan. Ada yang dipelajari sedari kecil, namun ditinggalkan di pertengahan jalan.
Fenomena ini juga barangkali sedang berleluasa dalam kalangan remaja kita. Remaja yang tidak dididik oleh ibu bapa tentang pendidikan agama termasuk Fardu Ain, kelihatannya sukar untuk mengenali fungsi dan tanggungjawab diri mereka. Ibu bapa yang jahil agama, menambahkan lagi parah situasi ini. Hanya membiarkan golongan pendidik untuk mengajarnya. Sedang mereka sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik kepada remaja.
Kejahilan Fardu Ain ini tidak terhenti di situ. Remaja yang semakin hanyut dengan kenikmatan dunia sudah tidak mempedulikan asasnya. Ketidakmahuan mereka mempelajari disebabkan tiadanya dorongan untuk remaja ke arah itu.
Ketika diri sendiri tidak bersungguh-sungguh mendekati ilmu agama, remaja semakin jauh daripada asas Fardu Ain apabila keseronokan dan pergaulan tidak terbatas menjadi keutamaan. Mengejar keseronokan berbentuk hiburan dan lagha menjadikan mereka tidak punya masa untuk mempelajarinya. Pergaulan dengan bertindak di luar batasan juga akhirnya membuatkan mereka semakin jauh.
Pendidikan
Sistem pendidikan di peringkat sekolah barangkali turut boleh ditambah baikkan. Sekiranya ketika ini penyelarasan ilmu Fardu Ain berada di peringkat sepatutnya, barangkali dari aspek amali boleh diperhebatkan lagi. Guru-guru dan ustaz menjadi pendamping yang paling rapat dalam kalangan pelajar.
Namun, pokok pangkalnya terserah kepada diri sendiri. Sama ada mereka mahu mendalami dan mengamalkannya, tuan punya tubuh punya kuasa. Membiarkan diri terus berada di dalam kejahilan tentang Fardu Ain, hanya akan memburukkan lagi keadaan mereka. Tepuk dada, tanya iman.
Ingatlah, tiada siapa yang dapat membina sesuatu kepada kita. Hanya diri sendiri yang boleh membinanya. Seperti contoh makan ketika lapar tadi, anda tidak boleh mewakilkannya kepada orang lain. Kita sendirilah yang perlu memakannya, andai tidak mahu mudarat menimpa.

No comments:

Post a Comment