Saturday, April 16, 2011

Jiwa Halus Milik-Nya


Usai maghrib, Mutmainnah mengesat air mata. Betapa deras ia mengalir sementelah hatinya semakin tegang menghitung khilaf yang dilakukan sehari-hari dalam sedar mahupun separa sedar. Bukan dengan Sang Khaliq sahaja, bahkan dengan ciptaannya juga. Bukan dia tidak pernah menyesal suatu ketika dulu. Dia pernah! Tetapi, dia tersungkur lagi.
Air jernih berjuraian menelusuri pipi dan dibiarkannya sahaja. Perempuan dan air mata ibarat sahabat sejati. Wudhu' itu ikatannya. Itu kata ibu Mutmainnah. Lantas, Mushaf ‘Uthmani digapainya. Sudah seminggu dia tidak menyentuh kitab suci itu lantaran telah dilarang oleh Allah kepada kaum hawa agar tidak menyentuh dan membaca kalam itu untuk tempoh-tempoh tertentu.
Walaupun pada hakikatnya, teman-temannya sering mengingatkan, jangan lupa zikir itu masih ada. Setiap langkah kamu ke dewan kuliah, pulang ke bilik, mahu ke mana-mana sahaja, lidah kamu masih tidak dihijabkan untuk menyebut nama-Nya, dan memuji keagungan-Nya.
Mutmainnah akui itu semua tapi tatkala bibir mula bergerak-gerak, pasti syaitan mula memadam ingatan dan mengalihkan pandangannya.
"Mutmainnah, cuba lihat sana! Baiknya lelaki tu kan? Jalan tak pandang perempuan pun.”
“Mutmainnah, tak payah la terkumat-kamit macam tu..Nanti orang ingat kamu sewel pula."
“Mutmainnah…ini...”
"Mutmainnah…itu.."
"Aku memohon ampun darimu ya Allah!" Mukanya diraup entah buat keberapa kali. Jutaan penyesalan dilontarkan untuk mendambakan keampunan Tuannya.
Tenang, diam, dan dengan perlahan-lahan dia menyelak halaman yang ditanda minggu lepas.
Ayat 125 dari surah Al-An’aam dibacanya dengan tartil, kemudian disambung pula dengan ayat 126. Dia berhenti seketika, bagaikan ada magnet yang menariknya untuk mentadabbur ayat tersebut. Terjemahan dibuka dan diteliti maknanya.
Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuhanmu; (jalan) yang lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat (Kami) kepada orang-orang yang mengambil pelajaran. [Surah Al-An’aam]
Air matanya lebat lagi. Tanda kesyukuran kerana tatkala bergelumang dengan karat-karat dunia, dia masih layak untuk dipimpin bagi menerima taufiq-Nya. Dia tidak memandang ke belakang lagi. Terasa dahaga dan lapar! Dengan rakus dia menyantap hidayah Allah yang mencurah-curah jatuh seolah-olah cuba untuk menyucikan hatinya yang sering berbolak-balik itu.
"Kalau benar aku sentiasa mohon untuk berlindung dengan Allah dari syaitan, kenapalah aku masih terdorong untuk menghampiri lereng-lereng dosa ni?" Mutmainnah berfikir lagi selepas menamatkan bacaannya pada malam itu. Mushaf biru itu disimpan kembali ke tempat asal. Dengan seragam putih yang masih tersarung, dia ingin mengisi malam-malam bercahaya itu dengan muhasabah.
*************************
Dia teringat kembali buku yang pernah dibacanya suatu ketika dulu yang bertajuk; 'Personaliti Wanita Yang Disayangi Allah & Rasul’. Buku itulah yang menjadi hadiah hari lahirnya yang ke-22 oleh kakaknya, Mardhiyah.
Wanita itu banyaknya nafsu 90 peratus manakala akalnya 10 peratus sahaja. Tetapi berbeda bagi sang laki-laki, 90 peratus itu akalnya, tetapi nafsunya 10 peratus sahaja.
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. [Surah An-Nisaa’: 32]
Maka beruntunglah bagi si wanita kerana telah dianugerahkan sang laki-laki sebagai pemimpinnya, kerana sang laki-laki itu banyak akalnya yang mampu mendidik dan menunduk nafsu si wanita tersebut.
"Eh..betul ke wanita ada banyak nafsu. Aku tengok zaman sekarang lelaki yang berlebihan nafsunya dari wanita." Desas hati kecilnya ketika itu.
***************************
Lantas, malam khamis 3 minggu lalu yang menjadi kebiasaan untuk Mutmainnah dan akhawat lain untuk menerima tarbiah dari naqibah mereka tidak dipersia-siakannya.
"Kak Aishah, kenapa Allah bagi kaum kita ni banyak nafsu?"
"Oh..kaya la kita ada banyak nafsu..hehe." Kak Aishah cuba berseloroh memulakan muqaddimah.
"Ala akak ni...takkan nak bergelar jutawan nafsu pulak, mentang-mentang baru balik Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan minggu lepas ye..." Mutmainnah sengaja menyakat naqibahnya itu kembali.
Seronok. Antara mereka tiada jurang. Walaupun bergelar seorang naqibah yang sudah berkahwin dan berkerjaya pula sebagai seorang jurutera, Kak Aishah tidak pernah meletakkan jurang yang tinggi antara dia dan mad'unya. Uslub tarbiyah yang menarik barangkali.
"Begini Ina, sebenarnya dalam dunia ni, nafsu ada 7 peringkat, dan bukan semua nafsu yang Allah cipta itu tak elok." Kak Aishah menarik nafas panjang.
"Nafsu pertama ialah Ammarah iaitu bagi mereka yang sentiasa menghampiri maksiat, terlalu gembira bila mendapat nikmat, dan terus berputus asa bila diuji. Mereka tak sedih dan tak akan menyesal jika berada di dalam maksiat dan kejahatan."
"Contohnya kak?"
"Contohnya? Emm, macam ni... Seorang wanita yang mengaku sebagai seorang yang beragama Islam tetapi bangga apabila tidak menutup aurat. Dia tahu hukum menutup aurat itu wajib tetapi tidak pernah berasa berdosa bila tidak memakai tudung atau apabila memakai pakaian jarang..."
"Yang kedua, nafsu Lawwamah iaitu bagi mereka yang kadang-kadang terjebak dengan dosa tetapi sering menyesal dengan perbuatannya itu. Dia sentiasa berusaha untuk berubah tapi kadang-kadang tidak dapat mengelak godaan syaitan. Kadang-kadang, manusia bernafsu Lawwamah ni akan terdetik di dalam hati mereka untuk berasa riya’ bila melakukan sesuatu kebaikan."
"Kak, macam mana nak elak nafsu Lawwamah ni ye?"
"Mujahadatunnafs! Jihad melawan nafsu. Sebenarnya, nafsu jahat dan iman sering berlumba-lumba untuk memenangi kita. Kita manusia, siap berakal lagi! Maka, pergunakanlah akal pemberian Allah ini dengan cara yang paling waras."
"Thanks kak…ok, sila sambung lagi. Hehe..."
"Ye baik cik adik. Nafsu ketiga ialah Mulhimah. Peringkat ini boleh dicapai bila manusia tu dapat melawan nafsu Lawwamahnya dengan bersungguh-sungguh untuk menyucikan hati. Biasanya, mereka ini memiliki sifat takut, syukur dan bertawakkal kepada Allah yang sebenar-benar, bukan hanya enak melafazkan kalimah syukur dan tawakkal di mulut sahaja. Taubat mereka pun merupakan sebenar-benar taubat. Bukan on off macam tu je."
Martabat seterusnya ialah nafsu Mutmainnah iaitu peringkat nafsu yang pertama yang diredhai Allah swt dan layak memasuki syurga-Nya."
Kak Aishah berhenti seketika untuk mengambil nafas barangkali, fikir Mutmainnah yang masih tersengih-sengih tatkala namanya disebut sebagai salah satu peringkat nafsu yang layak ke syurga.

"Orang yang memiliki nafsu Mutmainnah ni memiliki sifat pemurah yang amat sangat. Wang di tangan mereka tak pernah lekat kerana kerapnya bersedekah. Mereka juga kuat beribadah dan memiliki taqwa yang sebenar iaitu takut dan harap."
***************************
Oh...sesungguhnya nama tak dapat mewarisi peringkat nafsu! Mutmainnah hanya mampu mendengus di dalam hati. Dia masih ingat lagi kisah 'Takut & Harap Saidina Umar' yang mana bila ditanyakan oleh Rasulullah SAW.
"Hai Umar, apa yang kamu maksudkan dengan taqwa?"
Jawab Umar; "takut & harap, iaitu aku takut jika semua manusia layak ke syurga kecuali aku dan andaikata jika seorang saja manusia yang layak ke syurga, aku berharap itulah aku."
"Ok..nak sambung lagi ke?" Kak Aishah memecahkan kesunyian yang menyelubungi mereka sebentar tadi.
"Nak, nak..." Nusaibah, sahabat mereka dari Baling, Kedah cepat-cepat menjawab. Fuh, bersemangat.
"Seterusnya ialah nafsu Radhiah. Mereka yang berjaya sampai ke peringkat nafsu ini mempunyai hubungan dengan Allah yang dekat. Mereka mengenali zat-zat Allah dengan kenal yang sebenar-benarnya. Yang paling hebat, mereka tidak pernah takut akan bala dan tidak tahu gembira pada nikmat, yang mereka kenali ialah keampunan dan redha Allah sahaja."
"Oh...ini macam tahap wali-wali Allah la ni ye kak?"
"Yup..selain itu wali-wali Allah ini dianugerahkan dengan kelebihan memiliki firasat yang tinggi.”Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya; Takutilah akan firasat orang mukmin, sesungguhnya mereka melihat dengan nur(petunjuk) Allah SWT. [Riwayat At-Tarmizi]
"Oh...macam tu rupanya." sampuk Anisa, teman sehalaqah mereka juga.
"Ok..akak sambung sikit lagi ye. Dua saja lagi, akak cuba ringkaskan. Yang keenam ialah nafsuMardhiyah, iaitu orang yang memiliki peringkat nafsu ini mempunyai hati dan jiwa yang benar-benar sebati dengan Allah SWT dan yang paling best, setiap perbuatan mereka pasti telah diredhai Allah. Best kan?"
"Ha'ah...seronoknya kalau setiap amal kita confirm and confidence je Allah redha."
"Conclusion, buat yang Allah suruh, tinggal yang Allah larang! Seronok je akak cakap macam ni kan? Payah nak buat tu dik, payah! Sebab tu la, kita diberi peluang untuk istighfar. Leka dan terus memohon ampun. It is the best formula!"
"Dan yang last ialah nafsu Kamilah, peringkat yang hanya mampu diperoleh oleh para rasul, para nabi dan wali Allah. Betapa hebatnya mereka, setiap detik amal di dalam kehidupan mereka hanya Allah tujuannya. Tiada dunia dan segala isinya. Subhanallah!"
"Fuh..semput akak nak habiskan semua peringkat nafsu tu. Ok, semua dapat dan faham?"
"Dapat kak..." jawab mereka serentak.
"Ha..good girls! Sekarang, akak nak korang semua nilai balik nafsu korang semua kat peringkat mana. Muhasabah itu mesti! Ingat, penciptaan nafsu oleh Allah SWT itu cantik. Ada nafsu yang baik dan jahat. So, tak boleh nak pertikaikan lagi kenapa wanita tu ada banyak nafsu sebab kalau dia pandai menundukkan nafsunya, insyaAllah akal dan nafsu tu akan berjalan seiring."
Lagi satu, walaupun nafsu yang baik tu macam payah je kita nak dapat, tapi kita tak boleh putus asa. Contohnya, kalau Ina nak dapatkan peringkat nafsu Mutmainnah tu, kena jihad lebih la ye sayang..."
“Err...hehe. InsyaAllah kak!” Tersengih-sengih Mutmainnah. Macam tahu-tahu je aku tengah terfikir tentang tahap nafsu tu.
Kata-kata itu masih terngiang-ngiang sampai malam ini. Ya, mungkin aku terlalu mengikut nafsu yang kurang baik menyebabkan aku terjebak untuk melakukan dosa-dosa kepada Allah. Mungkin bagi mereka di luar sana, khilaf yang dilakukannya itu sekadar dosa-dosa kecil yang boleh diampunkan Allah bila-bila masa. Tetapi tidak bagi Mutmainnah, selagi mana tindakannya itu bakal menghantar kakinya untuk selangkah ke neraka, dia tidak tega untuk terus berasa bersalah!
Alhamdulillah, jiwa aku makin damai sekarang. Aku tahu Allah sayang pada aku. Moga hijrah aku kali ini lebih bererti. Aku yakin dengan izin Allah! Mutmainnah sudah mampu tersenyum. Malam 10 Muharam 1432 hijrah ini amat bermakna baginya. Dia telah menemui erti hijrah yang sebenar-benarnya. Esok, hari assyura. InsyaAllah, dia akan berpuasa sebagaimana disunatkan berpuasa.
Sabda Rasulullah SAW:
Puasa 'Asyura akan menghapuskan dosa setahun yang lalu. [Riwayat Imam Muslim]
Moga Allah terima taubat hamba-hamba yang suka meminta-minta tapi tidak pernah lupa untuk bersyukur pada-Nya!

No comments:

Post a Comment