Secara lazimnya, dua target utama dalam kecergasan adalah membina otot dan mengurangkan lemak didalam badan. Tetapi tahukah anda kedua-dua target ini berlawanan diantara satu sama yang lain.
Pembinaan otot-otot yang besar memerlukan anda untuk mengambil jumlah kalori lebih daripada keperluan normal anda.
Sebaliknya untuk mengurangkan lemak didalam badan memerlukan anda untuk mengurangkan jumlah pengambilan kalori berbanding pengambilan normal bagi membolehkan badan anda untuk membakar lebihan lemak.
Memaksa diri mencapai kedua-dua target pada masa yang sama bukanlah sesuatu yang bijak untuk dilakukan malahan dapat menyekat progres anda.
Kebanyakan orang yang kurus perlu membenarkan pengumpulan sedikit lemak dalam usaha menambahkan berat badan mereka. Namun persoalannya ialah berapa banyakkah pengumpulan lemak yang boleh anda terima? Faktor inilah yang perlu anda pertimbangkan.
Terdapat dua pendekatan yang biasanya diambil bagi menambah saiz otot didalam badan.
Pendekatan pertama ialah dengan memakan sebanyak mungkin makanan yang boleh dalam usaha untuk menambah jisim otot. Dengan harapan lebih banyak makanan yang dimakan, lebih banyak sintesis otot boleh berlaku. Pendapat ini ada banyak kekurangannya. Badan anda cuma mampu untuk mengasimilasikan sejumlah tisu otot sahaja pada sesuatu tempoh. Apabila badan anda selesai menjalankan proses ini, kalori-kalori berlebihan akan disimpan sebagai lemak didalam badan.
Pilihan kedua adalah untuk mengambil pendekatan yang lebih sederhana dengan hanya mengambil kalori tambahan secukupnya untuk menyokong tumbesaran otot. Kaedah ini membolehkan anda membina tisu-tisu otot sebanyak mungkin tanpa pengumpulan lemak dalam badan yang berlebihan.
Ini membawa kepada persoalan seterusnya, berapa banyak otot yang boleh anda bina? Berapa banyak kalori yang perlu diambil untuk mengekalkan otot-otot ini?
Individu yang berlatih secara semulajadi boleh mencapai penambahan setengah pound otot setiap minggu – jika dia melakukan latihan mengikut teknik yang betul. Jika individu tersebut tidak memiliki genetik yang terbaik serta tidak mengikuti program pemakanan yang betul, hasilnya turut akan berkurangan. Jadi berdasarkan kenyataan ini, untuk penambahan kira-kira 2-3 pound otot setiap bulan secara semulajadi, anda sama sekali tidak memerlukan pengambilan kalori yang terlalu tinggi.
Lebih tinggi kadar kalori yang anda ambil, lebih tinggi risiko untuk anda menambah jumlah lemak didalam badan anda. Amnya 250-500 tambahan unit kalori daripada jumlah yang diperlukan untuk mengekalkan otot-otot anda sudah memadai untuk membina otot berkualiti tanpa pengumpulan lemak dibadan. Sentiasa awasi kadar lemak dan bentuk badan anda. Sekiranya anda mendapati sebahagian besar penambahan berat badan anda disebabkan oleh lemak, kurangkan sedikit pengambilan kalori harian anda.
Anda juga perlu lebih praktikal dengan target yang ingin anda capai. Anda mungkin ada membaca dimajalah-majalah kesihatan mengenai jumlah kalori yang perlu anda ambil, tetapi tidak bermakna jumlah ini adalah mutlak untuk hasil yang terbaik. Setiap individu mempunyai kadar metabolisma yang berbeza dan ia banyak menentukan jumlah kalori optimum yang sepatutnya diambil oleh seseorang individu.
Jadi jika anda bercadang untuk memulakan proses penambahan saiz otot dibadan anda, pastikan anda mengambil pendekatan yang lebih perlahan. Bukan sahaja anda boleh mengekalkan bentuk badan yang anda inginkan malahan ia membantu anda untuk mengekalkan tahap motivasi anda. Bak kata orang-orang kat gym, biarlah otot yang naik jangan perut pulak yang naik!
No comments:
Post a Comment