Monday, October 31, 2011

Benar-Benar Berubah Ke Arah Yang Benar

Berubah? Ke arah mana? Tentulah kepada yang lebih baik (good), benar (true) dan betul (right). Mana kayu ukur yang menentukan suatu itu benar, baik dan betul? Tentulah Al Quran dan Sunah. Yang Haq itu datangnya daripada Allah. Di atas kebenaranlah bertapaknya segala yang baik dan betul. Tanpa kebenaran, yang baik dan betul (pada pandangan manusia) tetap dikira buruk dan salah pada pandangan Allah. Apa yang datang daripada Allah – semuanya untuk kemakmuran, keharmonian dan kebahagiaan.
Tidak ada retorik yang paling hangat diperkatakan dewasa ini melainkan perubahan. Pemimpin mahu mencetuskan perubahan. Rakyat inginkan perubahan. Ya, sama ada perubahan itu kerana "terpaksa" (berubah atau rebah) atau kerana "rela" (berubah kerana Allah), terpulanglah. Pokoknya semua ingin berubah. Jadi mengapa kita tidak belajar dari Rasulullah s.a.w untuk melakukan perubahan? Bukankah baginda kita akui sebagai role model dalam kehidupan?
Rasulullah s.a.w. menggunakan kaedah daripada Allah untuk mengubah manusia. Walaupun Arab jahiliah ketika itu sedang berdepan dengan kegawatan politik (mereka sentiasa berbalah sesama sendiri), kegawatan ekonomi (ekonomi mereka dimonopoli oleh orang Yahudi) dan kegawatan sosial (perzinaan, perogolan, minum arak dan membunuh anak perempuan menjadi tradisi), tetapi Rasulullahlah s.a.w. tidak mengubat "penyakit-penyakit" itu pada akibat-akibatnya, tetapi terus pada puncanya.
Baginda yakin kegawatan yang bersifat lahiriah itu adalah hasil daripada "sakitnya" tiga elemen dalaman manusia – akal yang jahil, hati yang keras dan nafsu yang liar.
Inilah punca kejahatan manusia. Menyedari hakikat ini, Rasulullah s.a.w memulakan perubahannya dari dalam keluar (inside out) bukan dari luar ke dalam (outside in).
Tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menangani elemen dalaman dengan wahyu-wahyu di peringkat Makkah. Ayat-ayat Quran peringkat itu pendek-pendek dan sarat dengan persoalan tauhid. Semuanya berkisar pada asas iman – menerangkan tentang keesaan, keagungan, kebesaran dan keindahan Allah. Juga menggambarkan nikmat di syurga dan seksa di neraka.
Ini proses perubahan yang hakiki dan sejati. Rasulullah telah membuktikan betapa "formula" dari Allah ini relevan dan signifikan dalam menghadapi situasi dan kondisi umat Arab jahiliah dahulu yang lebih dahsyat kebejatannya berbanding umat Melayu kini.
Itulah kunci ke arah perubahan sikap. Tauhid yang kuat secara automatik akan mengubah rasa, fikiran dan tingkah laku manusia. Transformasi, reformasi, evolusi atau apa sahaja istilah yang dikaitkan dengan perubahan mesti berlandaskan tauhid. Ia membekalkan kekuatan pengetahuan, kemahuan dan kemampuan untuk berubah.
Tauhid ialah sumber kekuatan kerana ia mampu mengatasi semua elemen negatif yang datang dari luar diri sama ada yang datang dari keluarga, persekitaran, budaya bangsa, pengaruh atasan dan keserakahan nafsu sendiri.
Selepas itu, yakni ketika di peringkat Madaniyah, aplikasi sistem Islam mula dilaksanakan secara total. Dimulakanlah ekonomi, politik, budaya, pertahanan dan lain-lain. Namun asas dan teras tauhid yang dibina di peringkat Makkiyah tidak pernah dipinggirkan, bahkan terus-menerus disuburkan.
Seperkara lagi, kejayaan mengubah manusia banyak bergantung kepada faktor pengubah (individu yang hendak mengubah) itu sendiri. Justeru, pemimpin atau sesiapa sahaja di kalangan orang Melayu yang hendak mengubah sikap bangsanya mestilah menjadi teladan perubahan. Berubahlah untuk merubah orang lain!
Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah manusia kerana baginda terlebih dahulu menjadi qudwah hasanah – contoh yang baik pada seruan, pendidikan dan pimpinannya. Hanya orang yang berjaya mengubah sikapnya dahulu, barulah dia akan berjaya mengubah sikap orang lain. Manusia lebih mempercayai mata daripada telinga. Maksudnya, cakap kita yang didengar manusia akan menjadi hambar sekiranya sikap kita yang dipandang terlalu tercemar.
Dua faktor perubahan di atas – pertama, formula perubahan. Kedua, pemimpin perubahan, perlu ditangani secara serius sekiranya kita benar-benar ingin berubah. Kita berdoa, semoga setiap pemimpin Melayu tidak kira di kumpulan mana sekalipun mereka berada, menyedari hakikat ini dan mula menelusuri kaedah Rasulullah s.a.w ini untuk berubah. Insya-Allah, mukadimah yang tepat pasti memberikan kita natijah yang baik. Amin.

No comments:

Post a Comment