Tuesday, October 4, 2011

Sekat Alunan Merdunya Suara - Akhir


Sekali lagi wajah kakaknya ditatap. Dia tidak puas hati mendengar cerita yang masih tergantung. Kakaknya menarik nafas panjang seketika. Bagai orang yang hendak berenang lagaknya.
" Entah mengapa. Suatu hari, dia bangun dari tidur seperti biasa. Kau nak tahu apa terjadi? Suaranya. Suaranya sudah tiada. Maksud akak, hilang! Hilang macam itu saja. Ada yang cakap, dia jadi macam tu sebab terkena buatan orang. Almaklumlah, banyak yang berdendam dengannya. Satu, sebab dia cantik. Satu lagi, sebab pinangan budak-budak kampung ni banyak yang dia tolak.
Tapi, akak tak percayalah ada orang yang sanggup nak "buatkan" dia sampai jadi macam itu sekali. Kata orang-orang tua yang lain, itulah padahnya kalau suara tu "dijual" merata-rata". Tatkala itu juga, sebuah pandangan tajam diberikan kepada Atikah yang kelihatan sedikit terkejut.
" Ika.... Akak dah lama suruh kau berhenti menyanyi kan? Tapi, akak tak nampak seperti kau nak berhenti pun. Akak kahwin hari itu pun kau yang beria-ia nak menyanyi. Kau tahu kan , Ika? Suara ini seperti apa bagi kaum perempuan? Suara kita ni berharga Ika.
Aurat! Salah jadinya kalau dilenggok-lenggokkan sehingga menarik perhatian kaum lawan jenismu. Kau tengoklah sendiri apa dah jadi dengan Isma. Sejak dari hari itu dia terus jadi macam tu. Hari-hari tenung langit sambil menadah tangan. Lepas itu menangis-nangis dan merintih -rintih tak tentu hala. Akak tak tahulah dia tadah tangan nak minta ampun pada Allah atau nak minta suara dia dikembalikan.
Tapi, apa yang akak nak beritahu kau sekarang ni, hargailah anugerah yang ada pada kau ni. Bukan semua orang ada anugerah macam kau. Suara yang merdu dan menawan ni sepatutnya kauperdengarkan kepada orang yang layak sahaja. Tak lain, tak bukan, suami kau, Ika.
Akak tak larang kalau kau nak menyanyi waktu kau sorang-sorang dekat rumah ni. Biar akak yang dengar. Tapi, tolonglah berhenti, Ika. Tolonglah berhenti "menjual" suara kau dekat luar tu buat santapan lelaki-lelaki lain. Akak tahu, mungkin ini saja cara kau nak cari rezeki. Tapi, kalau dah salah caranya, rezeki yang kau dapat pun tak berkat. Tak berkat, Ika.
Akak tak nak kau dapat azab nanti kerana suara kau ni. Akak sayang kau Ika. Jangan sampai suara kau pun ditarik balik macam si Isma tu.......", perlahan sekali nada suara kakaknya. Dia cuba menasihati adiknya dengan cara yang penuh lembut dan berhikmah, agar mudah masuk di kepalanya nanti. Agar diingati dan disematkan terus di dalam hati.
*******************************************************************
Sudah 2 tahun berlalu. Ika tidak menyanyi lagi. Pakaian serta penampilannya kini pun sudah berubah sama sekali. Dia sudah bertaubat. Sejak mendengar kisah mengenai Isma, Ika menjadi takut sekali. Takut akan azab Allah nanti. Sungguh dia tidak mahu menerima balasan buruk seperti Isma.
Masih dia ingat dahulu bagaimana dia diserang demam panas dan batuk-batuk sehingga tidak dapat bersuara selama 3 hari. Hidupnya pada waktu itu sungguh tersiksa. Rasa seperti hendak meraung-raung.
Lihatlah. Untuk kehilangan suara selama 3 hari pun dia sudah tidak sanggup. Apalagi untuk kehilangan suaranya buat selama-lamanya seperti Isma. Pasti dia juga akan menjadi gila. Mugkin lebih teruk dari itu. Bila terlihat akan artis-artis yang menyanyi di televisyen, Atikah teringat akan dirinya.
Dahulu, dia juga seperti itu. Berpakaian serba cantik dan bergaya. Cuma, dia tidaklah pernah muncul di televisyen seperti artis-artis tersebut. Walaupun begitu, permintaan terhadap suara merdunya tidak kurang hebatnya.
Kadangkala, sehingga dia tidak sempat untuk menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Jangankan 5 waktu, 1 waktu pun kadang-kadang tidak lepas. Begitulah sibuknya dia "menjual suara" sehingga dia lupa sama sekali pada Allah.
Belum lagi dihitung-hitung dosanya setiap kali dia cuba menggoda lelaki-lelaki kaya dengan suaranya yang manja dan lembut. Belum lagi dihitung-hitung panggilan telefon dia jawab dengan suara yang lembut dan manja. Apabila ditanya oleh teman serumah, "boyfriend"katanya. Ya, "boyfriend." Bercakap dengan 'boyfriend" mesti berlembut-lembut. Itu tanda sayang.
Teman serumah pula hanya mampu beristighfar panjang setiap kali terdengar akan suara-suara halus Atikah melayan lelaki-lelaki yang tidak putus-putus menghubunginya. Walau sehingga 3-4 pagi sekalipun. Berlinangan air matanya tatkala dia teringat akan dosa-dosanya yang lalu.
*******************************************************************
" Ika......" bisik suara itu di suatu malam yang tenang.
" Boleh nyanyi untuk Abang tak? Satu lagu saja. Ika ni..Kalau dalam tandas, rajin je meraung-raung dan bersenandung. Siap bersyair lagi Abang dengar. Tapi, dekat depan Abang, satu lagu pun tak pernah Ika nyanyi. Abang cemburu dengan tandas tu. Lain kali, kalau Ika masuk tandas, biar Abang teman je. Dapatlah juga menumpang kasih tandas tu untuk dengar suara Ika yang manis rupawan ni...."
Ika hanya tersenyum manis apabila mendengarkan lawak yang sungguh mencuit hatinya itu. Diberikan satu cubitan manja kepada susuk yang sedari tadi asyik membuat dia ketawa.
Imran terus-terusan membuat lawak. Senang hatinya melihat isteri tercinta tersenyum gembira. Ika yang datang hampir setiap hari ke masjid untuk belajar mengaji telah berjaya menarik hatinya. Ika yang selalu berjumpa ibunya untuk mempelajari perihal serta hukum-hukum agama terus dia ambil menjadi isterinya.
Kini, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai suami untuk mendidik Ika. Dia sendiri yang akan membimbing Ika. Dia sendiri yang akan memimpin tangan Ika ketika mereka sama-sama menuju ke syurga nanti. Atikah, Wanita bersuara merdu yang kini dia sekat alunannya untuk diperdengarkan hanya kepada dia yang layak.

No comments:

Post a Comment