Cahaya mentari yang terik serta menghangatkan memaksa Atikah keluar untuk mencari tempat yang lebih sejuk dan selesa. Atikah segera melangkah keluar. Agak perlahan langkahnya. Dilihatnya satu-persatu rumah yang telah terbina sekian lama di kampung itu.
Semuanya masih cantik dan setiap satunya mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Hanya itu sajalah yang menarik perhatiannya di kampung. Rumah-rumah orang kampung yang kebanyakannya masih mengekalkan rekaan serta tradisi lama.
Masih dia teringat bagaimana dahulu dia dan kakaknya juga punya rumah seperti itu. Rumah kecil, tetapi penuh kehangatan dan kasih sayang. Rumah kecil yang sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa dia dan ibunya. Rumah kecil tempat dia dan kakaknya diasuh serta dibesarkan.
Tetapi, semuanya itu tidak kekal lama. Kemalangan ngeri yang telah meragut nyawa ayah serta ibu tercinta meninggalkan dia dan kakaknya dengan seribu kepayahan sehingga rumah itu akhirnya terpaksa dijual untuk menampung hidup mereka berdua. Setelah itu, mereka menumpang kasih di rumah mak ciknya yang juga tinggal di kampung itu. Sehinggalah dia berpindah ke bandar dan kakaknya kini pula sudah berumah tangga.
Tiba-tiba, matanya tertancap ke arah suatu susuk yang amat menarik. Sangat cantik sehingga seorang perempuan sepertinya pun boleh tertawan. Inikan pula lelaki. Susuk yang sedang termenung sendiri di bawah pohon rendang itu didekatinya. Rasanya, wanita muda itu hanya beberapa tahun sahaja tua darinya.
" Assalamualaikum, Kak....", sopan sekali Atikah menegur wanita cantik yang kelihatan begitu tenang itu.
Wanita itu memandangnya sekilas lalu tersenyum. Manis. Manis sekali senyuman itu.
" Suaranya pasti lebih manis daripada itu.", itulah tanggapan Atikah pada kali pertama dia melihat wanita itu.
Wanita itu masih tersenyum. Pandangannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada langit Ilahi yang terbentang luas di depan matanya. Langit itu ditenung sejenak. Kemudian kedua-dua telapak tangannya diangkat dan ditadahkan menghadap langit yang luas itu. Ada rintihan kecil datang daripada wanita tersebut. Diiringi linangan air mata yang semakin hebat bercucuran. Kemudian, wanita tersebut menjadi semakin tidak terkawal. Kakinya dihentak-hentak kemudian dia bersujud di atas tanah. dicium-ciumnya bumi tempat sujudnya itu.
Atikah yang sedari tadi duduk di sisi wanita itu segera angkat kaki. Dia tidak mahu lagi berlama-lamaan di situ. Perihal wanita itu sungguh menakutkannya. Tidak ubah seperti orang-orang gila yang dia jumpa di bandar. Kadang-kadang tersenyum sendiri. Kadang-kadang menangis tidak tentu hala. Ada pula waktu-waktunya mereka mengganggu orang lain yang lalu-lalang di kawasan tersebut.
" Gila agaknya perempuan ni. Takda angin, takda ribut, tiba-tiba saja menangis. Menakutkan betul! Dekat kampung yang tenang macam ni pun ada jugak orang gila rupanya....", Atikah terus-menerus merungut di dalam hati. Boleh trauma kalau dia masih lagi mahu duduk di tempat itu sambil melayan kerenah perempuan yang menakutkan itu.
*******************************************************************
" Kak, tadi Ika keluar jalan-jalan keliling kampung. Ika jumpa seorang perempuan ni. Cantik orangnya, Kak. Baya-baya akak jugak. Tapi, dia.....dia macam tak betul je...", Atikah yang lebih selesa dengan panggilan Ika segera mengkhabarkan kepada kakaknya mengenai kejadian yang menimpanya hari itu.
" Owh. Rumah dekat hujung kampung itu ke? Isma. Isma namanya. Dia dulu pun macam kau. Pandai menyanyi. Orangnya pun memang sudah cantik. Banyak sekali pemuda kampung ini yang ingin mengambilnya sebagai isteri. Tetapi, semua ditolaknya....", sambil bercerita, kakaknya masih terus melipat baju yang sudah berlonggok di hadapannya. Atikah mendengar dengan penuh teliti. Dia masih menunggu untuk cerita yang selanjutnya.
" Kau tahu-tahulah kan... Perempuan cantik macam tu, mana mungkin nak berdampingan dengan lelaki yang miskin macam pemuda-pemuda dekat kampung ni. Semua pinangan yang datang dia tolak. Pinangan dari anak Tok Imam pun dia tolak tau", perhatiannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada cerita yang bakal disampaikan. Kain baju yang dilipat tadi ditinggalkan seketika.
*******************************************************************
Imran. Imran anak Tok Imam. Imran yang memang terkenal dengan sifat sopan dan merendah diri. Pernah juga suatu ketika dahulu Atikah tergila-gila akan pemuda itu. Namun, perasaan itu cepat sahaja berlalu seiring waktu. Kini, citarasanya sudah jauh berubah. Dia lebih selesa bermesra-mesraan dengan anak-anak Datuk yang datang ke kelab-kelab di bandar untuk mendengar nyanyiannya.
Atikah memang pandai sekali "berlakon". Apa sahaja pekerjaannya di bandar, langsung tidak pernah diketahui oleh kakaknya. Satu-satunya yang diberitahu adalah dia menjadi penyanyi"part time" di hotel-hotel mewah. Kerja-kerja "part time" yang lain ada baiknya disembunyikan sahaja.
Begitulah pendapat Atikah. Dia tidak mahu kakaknya naik angin apabila mendapat tahu bahawa dia masih lagi menyanyi di kelab-kelab dangdut yang dipenuhi oleh lelaki-lelaki gatal yang penuh helah. Helah licik yang telah banyak menghancurkan gadis-gadis muda yang cantik seperti Atikah. Tetapi, tidak pula Atikah pernah takut dengan semua itu. Asalkan pandai berhati-hati, pasti tidak ada apa-apa akan berlaku. Atikah memang seorang yang "optimistik" sekali.
No comments:
Post a Comment