Wajah Arif kelihatan sugul dan muram. Tidak ceria seperti selalu, manis dengan senyuman, bersemangat dalam setiap ucapannya. Pandangannya yang selalunya kelihatan teguh kini hanya terlihat lemah. Nampaknya dia sedang memikul beban yang cukup berat dalam jiwanya. Beban perasaan yang mengusir sifat cerianya. Beban yang membuatkan dia berasa derita. Tertekan.
"Kau ada apa-apa masalah kah?" Tanya ku dengan nada suara ingin tahu.
Tadi Arif yang menghubungi ku melalui SMS. Katanya ingin berjumpa di tempat Restoran Impian Rasa. Ada perkara penting yang ingin dibincangkannya. Namun begitu, sudah beberapa minit berlalu. Teh tarik di atas meja, yang dipesannya tadi masih belum terusik.
"Ah, aku rasa berat sangat." Keluh Arif. Suara Arif kedengaran mendatar, dibayangi kekecewaan."Aku tak tahulah macam mana nak hadapi semua ini."
"Kenapa kau putus cinta kah? Hehehe..." Tanya ku sambil ketawa kecil. Sebenarnya Arif tidak ada kekasih atau teman wanita, tapi aku sengaja berjenaka bertanya soalan sedemikian rupa. Arif tiada teman wanita bukan kerana dia tiada peminat atau tidak laku. Ada.
Setakat ini sudah ada beberapa orang perempuan meluahkan perasaan cinta kepadanya, tetapi semuanya ditolak atas alasan ingin menumpukan perhatian kepada pelajaran. Itulah tanggungjawab seorang pelajar. Lagipun tidak lama lagi, Arif bakal menduduki peperiksaan STPM.
"Eh, tak adalah." Sanggah Arif. "Bila masa aku bercinta. Tak pernah-pernah pun."
"Habis tu, kalau bukan putus cinta, apa masalah yang berat sangat kau cakap tu." Aku cuba mengorek rahsia sebab dia bermuram semenjak tadi. "Cuba kau luahkan kepada aku. Mana tahu aku boleh tolong kau."
"Macam ni," Arif mengatur pernafasannya. "Aku cuba sampaikan di kampung aku, tentang apa yang kita belajar daripada Ustaz Fakhruddin. Mengenai adat yang bercanggah dengan agama, kenduri arwah, amalan timbang anak yang lahir pada bulan safar, menggantung tangkal dan sebagainya."
"Tapi masalahnya, bila aku cuba sampaikan kepada mereka tentang perkara ini, mereka tolak kata-kata aku. Mereka kata aku ni, masih muda, belum banyak makan garam, dan macam-macam lagi."
Aku cuba memberikan sepenuh perhatian kepada kata-kata Arif.
"Lebih malang lagi, bukan setakat penduduk kampung, dan jiran-jiran aku yang tolak. Keluarga aku sendiri pun tidak percaya dengan aku, melainkan abang aku seorang saja." Kata Arif dengan nada kecewa.
Kampung Selayang, tempat tinggal Arif sememangnya cukup terkenal dengan kekuatan adat resamnya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Kebanyakan penduduknya kuat berpegang teguh dengan adat. Bak kata pepatah, biar mati anak, jangan mati adat.
Oleh itu, apabila Arif cuba menjelaskan kepada orang di sekelilingnya tentang adat-adat mereka yang bercanggah dengan syariat Islam, maka mereka menolak perkataannya. Apatah lagi, Arif cuma seorang anak muda yang masih belajar dalam tingkatan 6. Tidak mudah bagi orang kampung untuk mempercayainya.
"Macam tu, apa diorang kata lagi?"
"Banyak. Aku dengar orang mengumpat aku. Orang cakap aku ni memandai-mandai nak cakap perkara agama, lupa asal-usul bangsa la." Luah Arif lagi. "Hati mana yang tak berat dikata macam tu..."
Arif mencapai teh tarik yang semakin sejuk di atas meja, dihirupnya perlahan-lahan. Sekali sekala dia menarik nafas yang bernada keluhan.
No comments:
Post a Comment